SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

04 August 2008

Soal Jawab: BN kena cari calon sehebat saingan

Strategi kempen boleh hasil keputusan mengejut di Permatang Pauh KELMARIN, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi ruang kepada suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding pada pilihan raya kecil.

Ikuti pandangan penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, mengenai perkembangan terbaru ini kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Mohd Azis Ngah.


BAGAIMANA Dr melihat perkembangan terbaru politik negara berikutan keputusan Dr Wan Azizah? Politik negara kini memang dalam keadaan tidak menentu atau ketidakpastian. Umno sedang sibuk dengan persediaan Perhimpunan Agung dan persaingan dalam parti. Seiring dengan itu, hambatan daripada luar seperti cabaran Anwar banyak mewarnai politik negara ini ?

Dalam tempoh beberapa bulan ini hingga Disember atau pertengahan tahun 2010, pelbagai perkara boleh dan akan berlaku. Perancangan peralihan kuasa ditakuti tidak berlaku seperti diharapkan jika muncul perkara luar duga seperti disaksikan sekarang. Ini belum lagi dengan cerita cross over atau lompat parti yang dibayangkan Anwar. Dalam MCA juga penuh dengan pelbagai keputusan menarik, terutama apabila Presiden tidak mahu bertanding.

Saya tertarik dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ulasannya mengenai tindakan pemimpin Gerakan, Lee Kah Choon, menyertai DAP sebagai jumping from a sinking boat (melompat dari bot yang tenggelam) yang mempunyai makna sangat mendalam. Oleh itu, memang politik negara kini benar-benar berada dalam satu pusingan tidak menentu dan agak sukar diduga. Apa lagi dalam politik sebagai satu seni serba mungkin dan dalam politik juga tidak ada rakan dan musuh yang kekal ... yang kekal ialah kepentingan.


Apakah ini sebahagian strategi PKR dan Pakatan Rakyat untuk merealisasikan impian membentuk Kerajaan Pusat yang digembar-gemburkan pada September ini?

Strategi ini sudah dapat dibayangkan oleh orang ramai dan pemerhati politik. Anwar pernah menyatakan berulang kali bahawa beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil. Ketika perdebatan dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini, beliau mengulanginya lagi.

Saya berpandangan bahawa Pakatan Rakyat memang akan meneruskan rancangan yang sudah dinyatakan. Cuma sejauh mana perancangan boleh direalisasikan dan apakah berjaya untuk mendapat kuasa pada September ini masih menjadi tanda tanya kerana bukan mereka menentukan semua jadual dan percaturan politik negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, mahkamah (berhubung kes liwat) dan sebagainya masih berupaya memainkan peranan untuk mempercepat dan memperlahankan perancangan Pakatan Rakyat. Malah, mereka boleh melakukan lebih daripada itu jika ada sesuatu di luar dugaan berlaku.


Pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan. Oleh kerana Ramadan dijangka bermula 1 September ini, ada kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan pada bulan ini?

Walaupun memiliki tempoh 60 hari, SPR biasanya tidak menunggu hingga saat akhir untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Sebagai contoh, pilihan raya kecil tidak diadakan hingga hari ke-50 atau lebih kerana bimbang sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku seperti bencana banjir atau sebarang kekacauan yang tidak mudah diatasi dalam jangka masa singkat. Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh yang bersesuaian, biasanya dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Oleh kerana September adalah bulan umat Islam berpuasa, saya berpendapat pilihan raya akan diadakan akhir bulan ini atau awal September.


Adakah tindakan Dr Wan Azizah adalah kali pertama seorang Ahli Parlimen memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil?

Sepanjang yang diketahui, tidak ada lagi kes seperti ini, apa lagi di negara ini. Ahli Parlimen wanita di Malaysia juga tidak ramai dan boleh dikira siapakah yang meletak jawatan untuk suami. Paling hampir ialah memberi laluan kepada anak seperti pada pilihan raya umum lalu, itu pun tidak dalam bentuk mengosongkan kerusi dengan meletak jawatan.


Kebanyakan pilihan raya kecil sebelum ini diadakan kerana penyandang jawatan meninggal dunia. Apakah tindakan seseorang penyandang sengaja meletakkan jawatan supaya suatu pilihan raya kecil diadakan boleh dilihat mempermainkan proses demokrasi untuk kepentingan peribadi?

Memang selama ini penggantian Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri lazimnya berlaku secara semula jadi atau tidak dapat dielak seperti kematian, keuzuran yang serius atau alasan teknikal seperti kejayaan satu bantahan melalui petisyen.

Kaedah meletak jawatan begini pernah berlaku dalam kes pilihan raya kecil Parlimen Ampang Jaya pada 1989 apabila Lim An Koon meletak jawatan dan diikuti pertandingan antara Datuk Ong Tee Keat dan Allahyarham Datuk Harun Idris yang mewakili Semangat 46.

Sebelum itu, pada 1988 di Parlimen Johor Bharu, Datuk Shahrir Abd Samad bertanding dengan calon BN, Mas'ud Abdul Rahman. Ini tidak seharusnya digalakkan kerana undi dan amanah diberi rakyat seperti tidak dihargai dan mengembalikan kepada mereka untuk mengundi semula sedangkan pemenang sepatutnya memikul tanggungjawab itu selama sepenggal. Lebih baik saja menanti hingga tempoh itu tamat agar amanah yang diberikan itu dilaksanakan.

Ini boleh dipersoalkan walaupun Wan Azizah mempunyai ruang secara perundangan untuk berbuat demikian.


Pada masa depan, pilihan raya kecil boleh diadakan kerana sebab remeh-temeh. Sebagai contoh, seseorang mencabar penyandang untuk meletak jawatan supaya mereka bertanding dalam pilihan raya kecil untuk membuktikan kehebatan masing-masing. Ini bukan mustahil ?

Ya! Memang tidak mustahil. Malah, ia pernah berlaku, tambahan pula dengan kewujudan ruang dan kelonggaran perundangan yang ada setakat ini. Ia memang boleh disalahgunakan untuk menunjukkan pengaruh dan kekuatan. Kita juga biasa mendengar pemimpin yang saling cabar mencabar seperti, 'kalau berani silalah letak jawatan dan kita bertanding.'

Ini yang menyebabkan di beberapa negara lain, ada aspek perundangan yang tidak mengadakan pilihan raya kecil apabila wakil rakyatnya meletak jawatan. Bagaimanapun, kesedaran politik dan kepentingan memegang amanah itu adalah lebih penting berbanding aspek perundangan kerana kesedaran dapat mendidik masyarakat kepada nilai positif dalam politik.


Anwar sinonim dengan Permatang Pauh yang kali pertama diwakilinya pada 1982 dan ini diwariskan kepada Dr Wan Azizah dalam tiga pilihan raya umum lalu. Adakah ini suatu kelebihan kepada Anwar?

Pandangan seimbas lalu, memang kelihatan Permatang Pauh adalah kawasan selamat kepada Anwar. Dr Wan Azizah yang mengambil alih kawasan itu mulai 1999 pun menang sedangkan itu adalah kawasan asal Anwar. Permatang Pauh adalah pangkalan politik Anwar, tetapi beliau juga tidak boleh terlalu mengambil mudah. Pilihan raya tetap pilihan raya apabila ada persaingan, kempen, pujukan dan strategi lawan.

Perkembangan beberapa hari sebelum pilihan raya turut boleh mengubah keadaan. Walaupun nampak seperti kawasan selamat, beliau masih perlu turun padang dan berkerja keras. Calon Barisan Nasional (BN) pun tidak diketahui lagi. Jika calon BN boleh melakukan kempen yang baik dengan pelbagai sumber atau 'perbelanjaan kempen' yang menarik, calon berkenaan boleh melakukan kejutan. Sama seperti persaingan perniagaan, pakej yang baik daripada penjual boleh menarik pembeli walaupun dalam fikiran pembeli sudah ada jenama pilihannya.

Demikian juga dalam politik. Tawar-menawar dalam pilihan raya kecil ini akan sangat menarik diperhatikan nanti. Walau siapa pun yang bertanding, yang pasti pemenangnya ialah penduduk Permatang Pauh. Dua minggu sebelum pilihan raya adalah musim durian runtuh kepada mereka. Malah, mulai sekarang, mereka boleh memikirkan apa yang perlu disuarakan daripada kempen ini. Perlu tambahan sekolah, jambatan atau hospital?


Anwar adalah calon 'heavyweight' dan sewajarnya lawannya juga 'heavyweight'. Adakah bakal calon BN perlu anak Pulau Pinang atau lebih khusus, anak Permatang Pauh sendiri?

Sudah tentu untuk meningkatkan peluang kemenangan, lebih baik BN meletakkan calon 'heavyweight' menentang Anwar, kecuali memang difikirkan tidak mahu cuba merampas kerusi itu dan meletakkan sesiapa saja asal ada pertandingan. Setakat ini, tidak nampak ada calon yang setanding dari segi latar belakang. Anwar adalah pemimpin Pakatan Rakyat walaupun bergelar Ahli Parlimen.

Beliau juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertanian, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan banyak lagi jawatan penting dalam kerajaan dan Umno. Agak sukar mencari calon yang setara ketokohan dan pengalamannya.

Selain faktor calon, saya fikir BN dan Umno harus memikirkan cara lain untuk meningkatkan peluang seperti strategi kempen yang luar biasa, pujukan dan lain-lain untuk menang.


Ada ura-ura bahawa bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar, akan dipilih bertanding di Permatang Pauh. Adakah ini percaturan bijak dan tepat?

Mungkin beliau boleh menjadi calon berdasarkan latar belakang Umno Pulau Pinang dan kawasannya, tetapi dari sudut pandangan pengundi, beliau bukan benar-benar popular di kalangan orang ramai.

Mohamad Ezam Mohd Nor juga menawar diri, tetapi lebih banyak isu yang Anwar ada untuk dihamburkan dalam kempen jika bekas Ketua Angkatan Muda PKR itu bertanding. Memang agak menyulitkan bagi Umno untuk mencari saingan setanding. Calon BN yang dipilih mesti memenuhi kriteria seorang yang bersih dan rekod yang baik agar tidak dapat diburukkan dalam kempen Pakatan Rakyat.


BN memang diketahui mempunyai kelebihan dari segi kewangan untuk berbelanja besar dalam pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil. Adakah ini akan dilakukan di Permatang Pauh dan bagaimana pula dengan Pakatan Rakyat?

Jika Umno benar-benar berhasrat menyekat Anwar, memang perbelanjaan besar perlu digunakan. Bagaimanapun, apa yang menyulitkan seperti pada pilihan raya umum lalu, Pakatan Rakyat juga menggunakan perbelanjaan besar. Lihat saja poster dan pelbagai bentuk kempen yang dilaksanakan. Dari mana Pakatan Rakyat mendapat perbelanjaan itu tidak diketahui, ini memang menjadi tanda tanya.

Namun, bukan itu yang menjadi perkiraan sekarang. Bagaimana untuk mengimbangi ketokohan yang diperkuatkan pula dengan sokongan perbelanjaan yang Pakatan Rakyat ada. Saya berpandangan, untuk bertanding seperti dalam pilihan raya kecil yang lain, tidak perlu sampai berhabis-habisan kerana ia tetap menyulitkan.


Anwar kini disiasat berhubung kes liwat membabitkan bekas pembantunya. Siapakah yang mendapat kelebihan berhubung kes ini dalam pilihan raya akan datang?

Kes ini akan menjadi modal yang lebih kukuh untuk Pakatan Rakyat dan bukan untuk BN. Berikutan kebocoran laporan perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), ternyata Anwar mendapat banyak kelebihan. Saya percaya isu ini dipergunakan sebaik-baiknya nanti.

Saat ini digunakan untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil kerana orang ramai dengan bantuan media alternatif memberi gambaran yang bersih kepada Anwar. Saya tidak fikir BN dapat menggunakan isu liwat untuk berkempen bagi memburukkan beliau, melainkan laporan itu tidak didedahkan atau menggambarkan sebaliknya.


Adakah keputusan bertanding ini suatu strategi untuk mengalihkan perhatian rakyat berhubung dakwaan kes liwat yang beliau hadapi, terutama jika kes itu dihadapkan ke mahkamah?

Dari satu segi, boleh juga dilihat seperti itu. Ketika masyarakat menumpukan perhatian kepada kes itu, sudah tentu perhatian orang ramai secara tiba-tiba beralih kepada pilihan raya kecil. Ia memang dapat mengalih perhatian orang ramai kerana kemunculannya pada pilihan raya adalah satu isu yang sangat menarik perhatian orang ramai, sama ada dalam atau luar negara.

Namun, dari satu segi lain, ia memang dalam perancangan Pakatan Rakyat yang sudah menyatakan lebih awal mengenai perkara ini. Bagaimanapun, polis kelihatan akan terus melaksanakan tugas dalam kes ini dan dipercayai tumpuan kepada kes ini tetap mendapat liputan dan perhatian, apa lagi jika dibawa ke pengadilan dan proses seterusnya.

Oleh itu, percubaan mengalih perhatian tidak juga berjaya sepenuhnya.


Rumusan terhadap persoalan yang dibincangkan.

Keadaan ini agak menyulitkan kepada BN. Politik tidak semesti dilihat berakhir dengan persaingan dan kemenangan dan kekalahan kepada satu pihak. Politik juga boleh disulam dengan perbincangan, tawar menawar dan tolak ansur.
.

Ezam sedia dedah rahsia Anwar

Maklumat bergantung kepada suasana kempen pilihan raya Permatang Pauh

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor, sedia mendedahkan rahsia lebih besar Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Mohamad Ezam berkata, pendedahan itu bergantung kepada suasana kempen pilihan raya kecil itu yang tarikhnya akan diumumkan minggu depan.

Beliau yang menyifatkan Anwar sebagai licik berpolitik tidak mahu memperincikan mengenai rahsia itu kerana kemungkinan akan memberi kelebihan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri dalam pilihan raya itu.

"Untuk menghadapi Anwar, saya perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan tersalah langkah.

"Bagaimanapun, saya bertanggungjawab menyatakan kebenaran yang semua orang patut tahu," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau berkata, ada sesetengah rahsia sudah diumumkan ketika berceramah kepada orang ramai seperti perjuangan Anwar yang sudah terpesong jauh dari prinsip untuk membela kepentingan orang Melayu. Katanya, Anwar dikatakan membawa konsep politik baru, iaitu politik berbilang kaum dalam PKR, tetapi pendekatan itu hanya akan mengancam kemakmuran dan keselamatan negara selain menjurus kepada kehancuran orang Melayu.

Di SHAH ALAM, Mohamad Ezam melabelkan Anwar sebagai bukan 'pendekar sejati' kerana memilih untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh.

"Selama ini orang kata Anwar ni seorang pejuang sejati atau pendekar dan saya pun dulu percayalah dia betul-betul pejuang. Dia bukan pendekar, dia dah tunjuk dirinya yang sebenar.

"Kalau betul dia pendekar dia tak menyorok di kawasan selamat. "Kalau dia pendekar dia sepatutnya pergi ke tempat paling sukar untuk menang dan di situlah tempat dia turun dan bertanding,'' katanya dalam ceramah perdana anjuran Umno Bahagian Shah Alam di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, katanya persoalan sama ada beliau dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu tidak penting walaupun sebelum ini menyatakan kesediaannya menentang Anwar di Permatang Pauh.

"Paling utama sekarang adalah memastikan sesiapa saja yang menjadi calon bertanding menentang Anwar mampu mencapai kemenangan," katanya. Umno Permatang Pauh dilaporkan mahu anak tempatan dipilih menjadi calon dan meminta pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan orang luar seperti Ezam atau Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang pernah bertanding.

Ketuanya, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, memberi alasan bahawa ini bagi memudahkan Umno bahagian itu dan BN menjalankan kerja merampas Parlimen itu daripada pembangkang.
.

Tindakan Wan Azizah lepas jawatan bazir wang rakyat

GEORGETOWN: Tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil, bukan saja mengkhianati amanah pengundi di kawasan itu malah membazirkan wang rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata tindakan Wan Azizah itu hanya menyusahkan pengundi kawasan berkenaan yang sudah memilihnya pada pilihan raya umum lalu.

"Pengundi Permatang Pauh seharusnya berasa tidak puas hati kerana Wan Azizah tidak bersungguh-sungguh untuk menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan itu untuk suaminya," katanya selepas mendengar taklimat keselamatan dan pencegahan jenayah di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan Wan Azizah melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang sejak tiga pilihan raya lalu, Khamis lalu semata-mata untuk membolehkan suaminya bertanding di kawasan itu. Syed Hamid berkata, tindakan Wan Azizah itu juga menyusahkan pihak lain termasuk polis untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara sepanjang pilihan raya kecil itu.

Selain itu, ia juga menambahkan beban tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru saja mengendalikan Pilihan Raya Umum 2008 pada Mac lalu serta membazir wang kerajaan.

Di MACHANG: Ahli Majlis Teringgi (MT) Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik, berkata usaha Anwar bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan isterinya, adalah tindakan untuk agenda politiknya. Beliau berkata, dalam saat ini, Anwar singkirkan isterinya untuk mendapat tempat yang lebih baik dan berusaha untuk mengekalkan status politiknya walaupun sedang berdepan tindakan undang-undang.

Di KOTA BHARU: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Latiff Ahmad, berkata BN tidak perlu meletakkan calon pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kerana Anwar mempunyai taktik tertentu demi kepentingan peribadinya.

"Anwar ingin jadikan pilihan raya kecil itu sebagai "mahkamah rakyat" dalam usaha meraih simpati masyarakat di situ selain medan untuk berdebat bagi menutup segala perbuatan jenayahnya selama ini," katanya.

Di KETEREH: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, menganggap usaha mengadakan pilihan raya kecil itu akan membazirkan duit kerajaan dan rakyat. Katanya, negara baru saja mengadakan pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini dan sekiranya diadakan satu lagi pilihan raya walaupun pilihan raya kecil, ia sudah tentu membabitkan pembaziran wang rakyat.

Di KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad menyifatkan keputusan Wan Azizah, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh adalah tidak munasabah dan menipu rakyat di sana. Noraini berkata, keputusan Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang wanita pertama di Parlimen memberi laluan kepada suaminya, Anwar, bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu dilihat akan menyusahkan rakyat kerana terpaksa keluar mengundi untuk kali kedua dalam tempoh empat bulan yang bukan disebabkan oleh masalah kesihatan atau kematian Ahli Parlimen.
.

Saiful teman Anwar ke luar negara tiga kali

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan dia mengiringi Penasihat Parti Keadilan rakyat (PKR) itu ke luar negara sebanyak tiga kali tahun ini.

Dalam blognya, `Demi Allah, Bangsa dan Negara' kelmarin, Mohd Saiful menerangkan tugasnya sebagai `coffee boy' termasuk mengiringi pemimpin PKR berkenaan ke tiga negara itu. Destinasi pertama adalah Hong Kong, diikuti Bangkok, Thailand. Kedua-dua lawatan ini adalah pada awal dan akhir Mei lalu. Satu lagi destinasi ialah Singapura antara 16 hingga 18 Jun lalu.

Selain itu, katanya, tugasnya membantu Ketua Staff, Ibrahim Yaacob, mengurus jadual Anwar dan mengatur pertemuan sulit. Pertemuan sulit itu termasuk Ahli Parlimen yang hendak melompat parti dengan mesyuarat diadakan di sebuah kondominium, iaitu Kondo Desa Damansara, yang dikatakan milik seorang ahli atau pemimpin Pas bernama Hassanudin.

Mohd Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara dua hari sebelum laporan polis dibuat.

Berikutan dakwaan itu, Anwar ditahan bagi membantu siasatan kes itu pada 16 Julai lalu dan dibebaskan keesokan hari. Dalam blog itu juga, Mohd Saiful menyerahkan kepada pembaca sama ada mahu mempercayai pendedahan itu serta mencadangkan mendapatkan penjelasan Anwar sendiri mengenai dakwaannya.

Berikutan kesnya selesai disiasat polis, Mohd Saiful mengumumkan akan menunaikan janjinya untuk melakukan sumpah berhubung kejadian liwat itu dalam jangka masa terdekat serta berdoa agar Pejabat Peguam Negara mengambil kes itu bagi mendapatkan keadilan. Mohd Saiful juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat bertanding kepada Anwar dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
.

Minda Pengarang: Permatang Pauh sekadar gendang politik pembangkang

KEPUTUSAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu bakal mengundang polemik politik berpanjangan.

Tindakan itu dilihat sebagai usaha jangka pendek untuk menyelamatkan karier politik Anwar yang nampak tercalar berikutan dakwaan kes liwat yang dihadapi sekarang atau satu strategi politik Pakatan Rakyat untuk memastikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu terus bersilat dalam kancah politik sekarang.

Semuanya bergantung kepada tafsiran masing-masing, namun yang jelas tindakan itu bakal memanaskan lagi suasana politik yang sedang membara sekarang, apabila pilihan raya kecil bakal diadakan dalam tempoh 60 hari. Bagi kita, tindakan Dr Wan Azizah itu dibuat semata-mata bagi kepentingan politik jangka pendek, tanpa melihat keadaan rakyat yang semakin tertekan akibat bahana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Lainlah jika peletakan jawatan itu disebabkan faktor lain seperti uzur yang tidak mengizinkannya berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Nampaknya, Pakatan Rakyat semakin bernafsu meneruskan hasrat kononnya untuk mengambil alih kerajaan tanpa melihat kemelut yang dihadapi rakyat. Bagi mereka, tujuan kuasa politik lebih kuat berbanding kesejahteraan rakyat ketika berhadapan masalah ekonomi.

Kini, semakin jelas arah perjuangan politik yang sebelum ini kononnya berorientasikan rakyat, lebih tertumpu kepada untuk merebut kuasa. Langkah itu dilihat sebagai taktik Anwar untuk mengabui pandangan rakyat terhadap kesnya yang berlarutan sekarang. Sebelum ini, kita mendengar pelbagai kenyataannya yang nampak berbelit-belit termasuk akan bertanding jika mahkamah mengosongkan kerusi Kulim-Bandar Baharu.

Namun, belum sempat mahkamah membuat keputusan, Anwar bertindak lebih awal bertanding di Permatang Pauh yang sebelum ini diwakili isterinya. Akhirnya, tembelang Anwar terserlah dengan sikap gelojohnya untuk menguasai kerajaan yang kononnya akan terlaksana bulan depan. Lebih menghairankan DAP dan Pas sebagai regu dalam Pakatan Rakyat turut merestui tindakan itu.

Kita bersetuju kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa tindak-tanduk Anwar itu hanya untuk mengekalkan populariti sebagai pemimpin pembangkang dengan mengumumkan beliau hanya menunggu masa untuk merebut kuasa. Berdasarkan senario politik masa kini, kita nampak hanya Anwar yang sebenarnya ingin merebut kuasa untuk memerintah negara, sedangkan pemimpin Pas dan DAP sebenarnya tidak berminat kerana lebih selesa dengan menjadi pembangkang yang kuat.

Namun percubaan menunjuk pengaruh Anwar memaksa pemimpin pembangkang lain akur dengan tindak-tanduknya.

Justeru, rakyat tidak harus terpedaya dengan tindak-tanduk pembangkang, yang mencanang gendang politik supaya mereka terus dilihat berada di dalam kelompok tertinggi politik negara, taktik yang dimainkan Anwar sejak dulu, sama ada ketika berada di dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang sekarang.
.

Analisis: Semua tumpu Permatang Pauh


Kali pertama Anwar bertanding selepas dipecat 10 tahun lalu dari kerajaan

PADA hari penamaan calon Pilihan Raya Umum 2008, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyatakan kesediaan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh jika beliau menang bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil.

Kelmarin, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi kerusi itu selepas mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail, mengotakan kata-katanya.

Pengumuman itu juga menamatkan teka-teki mengenai kawasan Parlimen yang bakal ditandingi suaminya selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu layak bertanding kerana hilang kelayakan selepas dipenjarakan.

Kini, semua pihak termasuk negara luar memerhati dengan penuh minat terhadap pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kerana ia bakal menentukan nasib Anwar yang sebelum ini begitu ghairah meuar-uarkan bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih pentadbiran negara menjelang 16 September ini.

Apakah Anwar yang pertama kali mencuba nasib di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum 1982 dan mengalahkan calon Pas, Zabidi Ali dengan majoriti 14,352, masih mendapat sokongan pengundi Permatang Pauh?

Dengan pelbagai isu dan kontroversi yang melingkari perjalanan hidup Anwar khususnya dalam tempoh 10 tahun lalu, sama ada beliau masih mendapat sokongan mahupun simpati pengundi Permatang Pauh yang kini berjumlah 58,449 orang, adalah sesuatu yang subjektif.

Tetapi, apa yang pasti Parlimen Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar selepas beliau pertama kali menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan. Pengaruh Anwar di kawasan kelahirannya itu tidak siapa boleh nafikan. Jika melihat sejarah permulaan Anwar menjadi wakil rakyat bagi Parlimen Permatang Pauh, anak kelahiran Cherok To' Kun, Bukit Mertajam itu terus menang besar dalam tiga pilihan raya.

Pada pilihan raya umum 1986 dan 1990, beliau mengalahkan calon Pas, masing-masing Muhamad Sabu dan Mahfuz Omar, dengan majoriti 10,479 dan 16,150 undi. Selepas itu, beliau mengalahkan pencabarnya, Abdul Rahman Manap daripada DAP dengan majoriti 23,515 undi pada 1995.

Selepas dipecat daripada Umno pada 1998 dan tidak boleh aktif dalam politik sehingga April lalu, beliau terlepas tiga pilihan raya umum. Kerusi yang dipegang selama empat penggal, diwarisi isterinya. Wan Azizah yang pertama kali bertanding pada pilihan raya umum 1999, memperoleh simpati pengundi Permatang Pauh dan menang dengan majoriti 9,077 undi apabila berdepan dengan calon BN, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

Ketika Barisan Nasional (BN) memperoleh kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum 2004, Wan Azizah masih mampu mempertahankan kerusi Permatang Pauh walaupun dengan majoriti 590 undi apabila menundukkan pencabarnya, Datuk Pirdaus Ismail. Sekali lagi pada pilihan raya umum lalu, Wan Azizah mendapat sokongan penduduk Permatang Pauh dan kali ini majoriti lebih besar iaitu 13,388 undi, menewaskan Pirdaus buat kali kedua.

Dalam tempoh kira-kira 26 tahun lalu, pengundi Permatang Pauh begitu 'menyayangi' Anwar dengan memberi undi kepada beliau dan isterinya. Walaupun Wan Azizah bertanding atas tiket pembangkang, mereka yang sebelum ini ahli Umno sebagaimana dibuktikan sejak 1982 hingga 1995, sanggup berpaling tadah dengan memberi undi kepada PKR dalam tiga pilihan raya.

Tiada siapa menafikan Anwar mempunyai pengaruh besar terhadap pengundi Permatang Pauh dan pada pilihan raya kecil kali ini, beliau berpeluang besar untuk terus mempertahankan kawasan lamanya. Bukan mahu memperkecilkan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno tetapi hakikatnya BN hanya menguasai dua daripada 13 kerusi Parlimen dan 11 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

BN, khususnya Umno perlu mengakui mereka bakal berdepan cabaran paling sengit untuk merampas semula Permatang Pauh walaupun rakyatnya tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat mereka.

Bagaimanapun, bukan mustahil untuk menewaskan Anwar pada pilihan raya kecil tidak lama lagi. BN, khususnya Umno Bahagian Permatang Pauh mesti bekerja keras dan yang lebih penting lagi bersatu dalam satu barisan.

Isu tiada keserasian di kalangan pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh bukan cerita baru, malah sudah lama berlaku dan kini semakin ketara berikutan persaingan merebut jawatan ketua bahagian menjelang pemilihan Oktober depan.

Pada pemilihan kali ini, bahagian itu mungkin menyaksikan persaingan lima penjuru untuk merebut ketua bahagian apabila Datuk Abdul Jalil Majid dijangka dicabar oleh Pirdaus yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian; Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah; bekas Pemangku Ketua Umno bahagian, Datuk Ahmad Saad dan bekas Ketua Pemuda bahagian, Razak Osman.

Perebutan itu sudah tentu akan menjejaskan permuafakatan di kalangan ahli Umno, sedangkan pada masa sama akan berdepan dengan lawan lebih besar. Perpaduan kalangan pemimpin dan ahli Umno bahagian itu amat penting bagi menghadapi perjuangan lebih besar kerana merekalah yang akan menentukan sama ada Anwar boleh ditundukkan atau tidak.

Dengan bilangan pengundi Melayu sebanyak 69.63 peratus, usaha meraih sokongan padu daripada mereka tidak boleh dikompromi.

Justeru, perpecahan di dalam Umno Permatang Pauh pada saat sebegini genting perlu dielak sama sekali. Apa yang lebih penting, pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh perlu mengetepikan kepentingan peribadi dengan bersatu menguatkan parti dengan mengembalikan sokongan orang Melayu kepada BN.

Kemenangan pada pilihan raya kecil kali ini yang pertama selepas BN menerima tamparan hebat pada pilihan raya umum lalu bukan satu pilihan lagi. Ia bukan setakat merampas semula kerusi Permatang Pauh tetapi mempunyai implikasi amat besar kepada politik negara, sekali gus menguburkan impian Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
.

Tindakan Pas jelas tak ikhlas

Umno tak akan bekerjasama parti hipokrit

KUALA LUMPUR: Tindakan Pas menolak mengadakan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) jelas menunjukkan sikap tidak ikhlas parti itu memperjuang-kan Islam dan bangsa Melayu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Pas meletakkan pelbagai syarat untuk bekerjasama dengan Umno terutama melaksanakan hukum hudud dan qisas.

"Sekurang-kurangnya, kita tidak akan bekerjasama dengan parti hipokrit seperti Pas yang meletak pelbagai syarat, tetapi tidak mengenakan sebarang syarat apabila bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata: "Umno tidak terjejas sedikit pun kalau mereka tidak mahu bekerjasama kerana sebelum ini pun tanpa mereka, Umno mentadbir dengan baik dan tawaran Umno mahu bekerjasama dengan Pas di Perak hanyalah demi kebaikan rakyat negeri itu," katanya. Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka menyambut baik keputusan Pas untuk terus mengadakan perbincangan dengan Umno demi perpaduan Melayu dan Islam.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata terpulang kepada Pas membuat keputusan mengenai pelawaan mewujudkan kerajaan campuran itu.
.
"Lagipun kita tidak mengetahui perbincangan sebenar dalam mesyuarat mereka itu. Bagaimanapun, isu berkaitan agama Islam dan kepentingan Melayu masih boleh dibincangkan dalam perjumpaan antara kedua-dua pihak," katanya.
.

Taktik Anwar untuk kekalkan populariti: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih teraju kepemimpinan negara sebagai satu pembohongan. Perdana Menteri berkata, tindakan Anwar yang sering mendakwa beliau hanya menunggu masa merampas kuasa, sebenarnya bertujuan mengekalkan popularitinya sebagai pemimpin pembangkang.

"Apa yang dilakukannya (Anwar) jelas menjurus ke arah itu dan beliau sentiasa cuba meraih populariti dengan berbuat demikian... seperti pasaran saham," katanya dalam wawancara dengan agensi berita The Associated Press (AP) di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang berulang kali mendakwa sudah mendapat persetujuan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti menyertai PKR, sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan Pusat dengan majoriti mudah sebelum 16 September.

Abdullah berkata, hakikatnya ketika ini majoriti pemimpin semua parti komponen BN tetap taat dan setia kepada kepemimpinan beliau serta kerajaan masih terus mendapat sokongan antara 80 hingga 90 peratus pemimpin terbabit.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga tidak berhasrat menggunakan undang-undang darurat bagi mengawal keadaan jika berlaku demonstrasi jalanan oleh pihak yang mungkin tidak berpuas hati jika Anwar didakwa atas tuduhan meliwat.

"Saya tidak fikir kita perlu menggunakan undang-undang itu, sudah tentu tidak. Mengapa pula harus ada bantahan tidak terkawal kerana ia sudah tentu tidak akan dilakukan oleh parti pembangkang yang mendakwa mereka boleh membentuk kerajaan?.

"Sudah tentu jika mereka pembangkang yang bertanggungjawab, mereka tidak akan membuat sesuatu sehingga seolah-olah meletakkan kedaulatan undang-undang di tangan sendiri dan mengadakan demonstrasi sesuka hati," katanya.
.

Wan Azizah lepas jawatan

AHLI Parlimen Permatang Pauh yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media perletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh di ibupejabat PKR

Presiden PKR beri laluan Anwar bertanding kerusi Permatang Pauh KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat menghantar surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam, yang akan memberi maklum balas Isnin ini.

"Keputusan ini sejajar dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan Pusat tahun ini dan ia dilakukan selepas saya mendapat persetujuan keluarga serta rakan lain dalam Pas, DAP serta PKR.

"Saya berterima kasih kepada pengundi Permatang Pauh yang menyokong saya sejak tiga penggal lalu. Saya bagaimanapun akan kekal sebagai Presiden PKR dan Pengerusi Yayasan Aman," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, di sini.

Turut hadir ialah Anwar; anak mereka, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; wakil DAP yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan peguam Anwar, Sivarasa Rasiah. Kerusi Parlimen Permatang Pauh disandang Anwar atas tiket Barisan Nasional (BN) antara 1982 hingga beliau dipecat daripada Umno pada September 1998. Pada 1999, Wan Azizah memenangi kerusi itu atas tiket PKR dan berjaya mengekalkannya sehingga pilihan raya umum Mac lalu.

Peletakan jawatan itu sekali gus mengakhiri kedudukan Wan Azizah selaku ketua pembangkang wanita pertama di Parlimen dan beliau menjelaskan, penggantinya akan dipilih selepas Pakatan Rakyat berbincang mengenainya. Wan Azizah berkata, beliau percaya Anwar mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk memacu pembangunan ekonomi negara dan integriti untuk menyatukan rakyat.

Anwar, pada sidang media itu, berkata beliau terharu dan amat terhutang budi kepada isterinya kerana sanggup melepaskan kerusi itu untuk memberi laluan kepadanya. Katanya, pucuk pimpinan PKR sudah berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang memberi sokongan padu kepada keputusannya untuk bertanding di situ.

"Mulanya memang saya nak bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu jika kerusi disandang Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Nordin diisytiharkan kosong oleh mahkamah tetapi kes itu mungkin dilengahkan akibat kerenah undang-undang.

"Jadi, saya akan kembali kepada pengundi di Permatang Pauh meminta mandat mereka untuk membolehkan saya kembali ke Parlimen. Malah Wan Azizah sendiri sudah menyatakan kesediaannya memberi laluan kepada saya ketika berkempen pada pilihan raya lalu," katanya.

Anwar menafikan Permatang Pauh menjadi pilihan kerana ia kawasan lamanya dan dianggap kerusi selamat untuk PKR, sebaliknya menegaskan sedia bertanding di mana pun kerusi termasuk Bandar Tun Razak yang ditawarkan penyandangnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim atau Gombak yang diwakili Mohamed Azmin.

Katanya, beliau menganggap semua kerusi Parlimen sebagai kawasan selamat berdasarkan sentimen rakyat pada masa sekarang. Beliau juga menyangkal dakwaan pengumuman itu dibuat mengejut berikutan wujudnya khabar angin sejak kelmarin bahawa beliau mungkin ditahan dalam tempoh 48 jam.
.

Pas tolak kerjasama Umno: Hadi

Parti pembangkang kekal bersama Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pas semalam menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada pada peringkat Pusat mahu pun negeri, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, Pas mengulangi pendirian parti itu untuk terus kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan aktif dan positif selaras dengan perjuangan bersama termasuk membuat perubahan kerajaan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan serentak mesyuarat Majlis Syura Ulama dihadiri hampir semua pemimpin kanan parti itu kecuali Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat tidak berbangkit," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, Isnin lalu, mengajak Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di negeri itu dengan wakil Pas akan terus menjadi Menteri Besar.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, Pas akan terus membuka pintu rundingan dengan semua pihak termasuk Umno, parti politik bukan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), institusi mahu pun individu demi kepentingan negara dan ummah.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu ketika ditanya mengenai istilah yang boleh dirujuk pertemuan itu berkata, Pas tidak kisah apa juga istilah yang diguna pakai sama ada muqabalah atau muzakarah.

"Saya sebut pertemuan secara umum, nama itu buatlah nak buat apa pun, pertemuan akan ada tetapi dengan semua bukan saja dengan Umno, dengan semua parti politik yang bukan Pakatan Rakyat, NGO dan semua pihak," katanya.

Abdul Hadi juga ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap mana-mana pemimpin parti itu yang mungkin akan mengadakan pertemuan sulit dengan Umno bagi membincangkan tawaran parti lawan.

"Tidak ada sulit lagi, boleh diadakan pertemuan dan pertemuan ini sudah tentu akan dimaklumkan kepada parti dan selama ini pun memang dimaklumkan kepada parti," katanya.

Ditanya mengenai usaha Pas untuk menghargai penyokong dan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum lalu, beliau berkata Pas menghargai sokongan daripada masyarakat bukan Islam kepada parti itu dan akan meneruskan penghargaan kepada mereka.

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Harun Din memberikan taklimat berkaitan muqabalah kepada mesyuarat yang turut dihadiri Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
.

Sultan Kelantan Canselor UMK

Pemasyhuran bentuk satu hubungan erat sektor pendidikan dengan istana


KOTA BHARU: Pemasyhuran Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan mencipta sejarah dalam institusi Diraja Kelantan sekali gus membentuk satu hubungan erat sektor pendidikan dengan istana.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Zainai Mohamed, berkata pemasyhuran yang dijangka disempurnakan pada 10 Ogos ini juga menjadikan baginda sebagai anggota Diraja Kelantan pertama dilantik sebagai Canselor.

Katanya, melalui pemasyhuran ini, ia juga melambangkan wujudnya hubungan erat istana dalam sektor pendidikan tinggi khususnya di negeri ini.

"Pemasyhuran ini penting kepada institusi Diraja Kelantan kerana belum pernah ada anggota Diraja Kelantan dilantik sebagai Canselor dan Tuanku Ismail Petra mencipta sejarah dalam perkara ini.

"Melalui pemasyhuran baginda itu juga, ia mampu mewujudkan satu kesepakatan baik kerana sektor pendidikan negeri ini kini bukan hanya menjadi tanggungjawab awam lagi, malah akan turut membabitkan institusi Diraja Kelantan," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

UMK yang ditubuhkan dua tahun lalu kini beroperasi di Kampus Kota di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, adalah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ke-19 ditubuhkan di Malaysia. Kampus induknya sedang dibangunkan di Tangok, Bachok dengan peruntukan awal Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta untuk membiayai pembinaan bangunan pentadbiran serta fakulti pengajian.

Dr Zainai berkata, dengan pemasyhuran Tuanku Ismail Petra itu, ia menjadikan UMK sebagai universiti paling muda di negara ini yang menerima Canselor paling awal berbanding universiti lain yang sudah beroperasi dua atau tiga tahun. Katanya, ia adalah sejarah kepada universiti ini sekali gus menjadi cabaran untuk bersaing dengan universiti lain yang kini sudah mencapai status universiti utama di negara ini seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Selalunya Canselor akan dilantik dalam tempoh kira-kira tiga tahun penubuhan universiti, namun UMK menerima lebih awal dari itu. Walaupun menerima dalam tempoh muda, ia menjadi satu cabaran kepada UMK untuk bersaing serta lebih cemerlang pada masa depan," katanya.
.

Analisis: Gabungan mampu elak perpecahan

Tawaran Umno Perak bentuk kerajaan buka lembaran baru

TAWARAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali untuk bergabung dengan Pas membentuk kerajaan Perak membuka lembaran baru dalam senario politik negara yang sekian lama dihantui perpecahan orang Melayu-Islam akibat perbezaan fahaman politik.

Apa pun tanggapan dan persepsi terhadap tawaran kerjasama itu, hakikatnya ia melakar titik pertemuan bahawa tiada persengketaan atau perbalahan yang tidak boleh didamaikan jika ada usaha berterusan mencari penyelesaian.

Walaupun tawaran bekerjasama membentuk kerajaan negeri antara Pas-Umno itu kelihatan mudah berbanding pelaksanaannya, yang mungkin membawa satu seribu cabaran, usaha tetap perlu dilakukan demi penyatuan orang Melayu. Tentu saja ada pihak kurang senang dengan tawaran Umno Perak itu, kerana mereka sebenarnya mahu melihat orang Melayu terus berbalah kerana untungnya pasti kepada mereka.

Selepas keputusan pilihan raya umum lalu, Umno kini mempunyai 27 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, manakala MCA (satu), dan jika Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pas (enam kerusi) bermakna ia akan membentuk 34 kerusi, berbanding ketika ini Pakatan Rakyat yang mempunyai 31 kerusi hasil gabungan DAP (18 kerusi), Pas (enam) dan Parti Keadilan Rakyat (tujuh).

Tawaran Tajol Rosli itu tentunya selepas mengambil kira pelbagai aspek sama ada dari sudut politik orang Melayu, malah lebih besar daripada itu bahawa perpaduan orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk negara ini sangat penting demi memastikan pembangunan serta kestabilan negara.

Tajol Rosli berkata, beliau mengemukakan tawaran itu bagi menyahut cadangan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi merealisasikan hasrat Menteri Besar Kelantan itu, supaya kedua-dua parti itu dibubarkan bagi dapat menubuhkan parti baru untuk orang Melayu-Islam. Perpecahan orang Melayu tidak dapat mewujudkan kestabilan politik negara dan ia tidak mungkin wujud tanpa kerjasama Pas-Umno.

Bagi memastikan tawaran kerjasama itu tidak dilihat sebagai satu muslihat politik Umno, awal-awal lagi Tajol Rosli menolak untuk menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerana berpendapat jika beliau sebagai bekas Menteri Besar berada dalam kerajaan negeri sudah pasti akan dituduh perancang utama segala bentuk pentadbiran kerajaan negeri kelak.

Umno Perak juga tidak meletak sebarang syarat bahawa mereka hanya akan menerima gabungan kerjasama itu jika Menteri Besar datang daripada wakil Umno walaupun mereka memilik lebih banyak kerusi dari Pas.

Sebaliknya, Tajol Rosli memberi kepastian bahawa wakil Pas akan terus menerajui Perak sebagai Menteri Besar dan melantik ahli Exco berdasarkan kepada agihan yang sesuai jika gabungan itu berjaya direalisasikan.

Apapun, usaha gabungan Pas-Umno membentuk kerajaan negeri bukan perkara mudah kerana banyak perkara perlu diperhalusi apatah lagi selepas gabungan Pakatan Rakyat antara Pas, DAP dan PKR sudah semakin selesa dengan kerjasama mentadbir Perak. Ada pihak berpendapat adalah tidak adil untuk Pas meninggalkan rakan lain yang membentuk Pakatan Rakyat selepas bersusah payah di peringkat awal menubuhkan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika diminta reaksinya terhadap tawaran itu, berkata beliau komited dengan Pakatan Rakyat apatah lagi selepas diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir kerajaan negeri selepas pilihan raya umum lalu.
.