SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

04 August 2008

Minda Pengarang: Permatang Pauh sekadar gendang politik pembangkang

KEPUTUSAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu bakal mengundang polemik politik berpanjangan.

Tindakan itu dilihat sebagai usaha jangka pendek untuk menyelamatkan karier politik Anwar yang nampak tercalar berikutan dakwaan kes liwat yang dihadapi sekarang atau satu strategi politik Pakatan Rakyat untuk memastikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu terus bersilat dalam kancah politik sekarang.

Semuanya bergantung kepada tafsiran masing-masing, namun yang jelas tindakan itu bakal memanaskan lagi suasana politik yang sedang membara sekarang, apabila pilihan raya kecil bakal diadakan dalam tempoh 60 hari. Bagi kita, tindakan Dr Wan Azizah itu dibuat semata-mata bagi kepentingan politik jangka pendek, tanpa melihat keadaan rakyat yang semakin tertekan akibat bahana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Lainlah jika peletakan jawatan itu disebabkan faktor lain seperti uzur yang tidak mengizinkannya berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Nampaknya, Pakatan Rakyat semakin bernafsu meneruskan hasrat kononnya untuk mengambil alih kerajaan tanpa melihat kemelut yang dihadapi rakyat. Bagi mereka, tujuan kuasa politik lebih kuat berbanding kesejahteraan rakyat ketika berhadapan masalah ekonomi.

Kini, semakin jelas arah perjuangan politik yang sebelum ini kononnya berorientasikan rakyat, lebih tertumpu kepada untuk merebut kuasa. Langkah itu dilihat sebagai taktik Anwar untuk mengabui pandangan rakyat terhadap kesnya yang berlarutan sekarang. Sebelum ini, kita mendengar pelbagai kenyataannya yang nampak berbelit-belit termasuk akan bertanding jika mahkamah mengosongkan kerusi Kulim-Bandar Baharu.

Namun, belum sempat mahkamah membuat keputusan, Anwar bertindak lebih awal bertanding di Permatang Pauh yang sebelum ini diwakili isterinya. Akhirnya, tembelang Anwar terserlah dengan sikap gelojohnya untuk menguasai kerajaan yang kononnya akan terlaksana bulan depan. Lebih menghairankan DAP dan Pas sebagai regu dalam Pakatan Rakyat turut merestui tindakan itu.

Kita bersetuju kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa tindak-tanduk Anwar itu hanya untuk mengekalkan populariti sebagai pemimpin pembangkang dengan mengumumkan beliau hanya menunggu masa untuk merebut kuasa. Berdasarkan senario politik masa kini, kita nampak hanya Anwar yang sebenarnya ingin merebut kuasa untuk memerintah negara, sedangkan pemimpin Pas dan DAP sebenarnya tidak berminat kerana lebih selesa dengan menjadi pembangkang yang kuat.

Namun percubaan menunjuk pengaruh Anwar memaksa pemimpin pembangkang lain akur dengan tindak-tanduknya.

Justeru, rakyat tidak harus terpedaya dengan tindak-tanduk pembangkang, yang mencanang gendang politik supaya mereka terus dilihat berada di dalam kelompok tertinggi politik negara, taktik yang dimainkan Anwar sejak dulu, sama ada ketika berada di dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang sekarang.
.