SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

05 May 2009

Penanti - PAS tetap tidak bertanding, larang ahli lawan PKR

PAS kekal dengan pendiriannya melarang ahlinya bertanding menentang PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti demi menjaga semangat setiakawan.

"Kita tidak akan izinkan orang kita bertanding atas tiket bebas melawan parti komponen," Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dipetik berkata selepas perjumpaan tertutup dengan kepimpinan PAS Pulau Pinang di Butterworth malam tadi.

Sebelum ini, Pemuda PAS negeri dan kawasan Permatang Pauh mendesak parti meletakkan calonnya dengan alasan akar umbi tidak berpuas hati dengan tindakan ADUN PKR Mohammad Fairus Khairuddin mengosongkan kerusinya.
.
Mustafa meminta anggota parti itu tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan imej parti kerana keputusan telah dibuat sebelum ini iaitu mana-mana parti dalam gabungan pembangkang yang telah bertanding di sesebuah kawasan pada pilihanraya umum lalu berhak meletakkan calon mereka sekiranya berlaku kekosongan kerusi itu atas sebarang sebab.

"Bagaimanapun, kita boleh berbincang jika parti yang bertanding sebelum ini tidak bersedia untuk meletakkan calon mereka pada pilihanraya kecil," katanya.

Mustafa berkata, beliau akan memaklumkan perasaan dan suara akar umbi PAS Pulau Pinang yang mahukan parti itu bertanding kepada pimpinan tertinggi parti pada mesyuarat bulanan 10 Mei ini dan juga kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya telah mendengar dan memahami kehendak mereka dan saya juga telah memberi penjelasan mengenai alasan kita tidak bertanding di situ.

"Bagaimanapun, kedudukan kerusi pada pilihanraya umum akan datang boleh dibincangkan," katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, timbalannya Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Pemuda yang baru, Mohd Yusni Mat Piah.
.

Majlis Tertinggi BN Tentukan Kedudukan Di Penanti - Najib

Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan memutuskan sama ada perlu bertanding atau sebaliknya dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kawasan Penanti pada 31 Mei ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tak fikir ini (Penanti) isu Umno sahaja sebab bila kita bertanding... kita bertanding atas tiket Barisan Nasional.

"Kita tidak tergesa-gesa membuat keputusan. Kita ini parti begitu kuat pada kerja untuk kebajikan rakyat," katanya pada persidangan berita di sini, Selasa.

Najib, yang juga pengerusi BN berkata keputusan mengenai kedudukan Penanti akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Kerusi (DUN) Penanti kosong setelah bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkannya dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran.

Ketika diminta mengulas keputusan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan dan anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Au Kam Wah, menyertai Parti Gerakan, parti politik yang berpangkalan di Semenanjung, setelah tidak mempunyai parti selama hampir sembilan bulan, Najib berkata Tan bersama Au sudah berjumpa dengan beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semalam untuk memaklumkan perkara itu.

"Raymond menyatakan bahawa selepas berfikir semasak-masaknya beliau mengambil keputusan untuk memasuki parti Gerakan atas beberapa sebab.

"Antaranya ialah bahawasanya parti Gerakan adalah satu parti berbilang bangsa dan dia dapat menonjolkan dirinya sebagai pemimpin untuk semua kaum dan semua penyokongnya boleh menyertai bersama-sama dengan dia," katanya.

Mengenai kedudukan Tan dalam Kabinet negeri, Najib berkata perkara itu akan ditentukan kemudian.

"Itu kita serahkan kepada kuasa prerogatif Ketua Menteri dan lepas itu, Ketua Menteri akan buat cadangan kepada saya," katanya.

- BERNAMA
.

Pas tetap diterajui ulama – Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu tradisi jawatan presiden dan timbalan presiden dalam parti itu yang disandang oleh golongan ulama diteruskan.

Beliau menegaskan, sejarah kepimpinan Pas sejak awal penubuhan menunjukkan bahawa hanya golongan itu yang layak untuk memimpin parti mengikut landasan.

Katanya, ulama sedia ada bukan sekadar arif dalam soal agama tetapi mereka juga adalah golongan profesional.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pendirian Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi bahawa dua jawatan utama itu mesti disandang oleh ulama, beliau berkata:

“Ini bukan soal tidak setuju. Pas dah lama di bawah pimpinan ulama. Kalau ulama dulu tak banyak pelajaran tetapi sekarang mereka dah pandai, dah jadi profesional.

“Jawatan nombor satu dan dua ini mesti patuh kepada Islam. Yang penting beriman dan takwa kepada Allah.”

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan diminta menyatakan pendirian mengenai individu yang layak memimpin dua jawatan tertinggi Pas dalam polemik yang tercetus menjelang pemilihan Jun ini.

Baru-baru ini, Mohamed Daud dilaporkan berkata, jawatan tersebut perlu disandang oleh golongan ulama yang berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Kenyataan Mohamed bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak terutamanya Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang dan Dewan Pemuda Pas Kelantan yang berpendapat bahawa pemimpin yang bukan daripada aliran agama juga boleh memimpin parti itu.

Nik Abdul Aziz yang pertama kali menyatakan pendiriannya mengenai perkara ini selepas pulang dari mengerjakan umrah semalam menyeru semua pihak supaya kembali kepada ajaran Islam.

Beliau mengingatkan kembali sejarah kepimpinan dalam Pas suatu ketika dulu apabila berlaku kesilapan memilih menyebabkan beberapa pemimpin telah berpaling tadah.

“Dalam Islam, ulama dan profesional itu sendiri telah bergabung. Seorang ulama yang profesional adalah pemimpin dunia dan akhirat.

“Kita pernah pilih Datuk Hassan Adli sebagai pemimpin tetapi dia berpaling tadah. Ini buktinya pemimpin yang dilantik mestilah seorang Islam yang mukmin,” jelasnya.
.