SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

03 June 2008

Sumpah Melayu

Sumpah Melayu, fikirkan semula - dipetik dari www.umno-reform.com

MAKA pada 10 Februari 1946, dibaca oleh orang Melayu mengenai sumpah Melayu untuk Melayu. Maka mereka bersumpah bahawa inilah asas keramat orang Melayu untuk terus membentuk tamadun bangsa untuk terus kekal relevan. Hari ini sumpah itu hanya dalam lipatan sejarah.

Hari ini sumpah itu seakan di khianati kerana orang Melayu sendiri berfikiran bahawa mereka perlu berubah – berubah dengan kemajuan – berubah untuk meninggalkan – nilai murni bangsa – secocok dengan pembangunan moden dunia dan nilai baru yang sesuai dengan pendidikan moden.
Kita bercerita untuk melepaskan sejarah, melanggar sumpah dan terus maju bersama-sama bangsa lain. Kita memilih menukar ketuanan kepada ketuanan rakyat.


Ketuanan yang lepaskan hak yang selama ini ada, menjajakan pegangan untuk memperoleh kuasa dan mendabik dada menjadi pejuang politik yang tidak bermakna untuk bangsa itu sendiri.

Sebenarnya ketuanan rakyat yang dilaungkan adalah penjualan hak yang ada. Sebenarnya kesamarataan dalam demokrasi yang diperjuangkan lupa, bahawa Melayu yang mengekor dan belum lagi boleh berlari. Perjuangan Melayu adalah untuk Melayu, tidak perlu digeruni dan di perlu dikhuatiri.

Perjuangan Melayu adalah untuk meningkatkan Melayu agar serasi bila bercerita mengenai kemodenan dan pembangunan agar kemajuan itu tidak timbul hanya di kelit mata kemudian di landa kepayahan hidup dan keciciran bangsa.

Kenapa Melayu takut membicarakan sumpah mereka? Kenapa Melayu takut membicarakan perjuangan Melayu? Adakah kerana ini menghilangkan rasa moden di kalangan mereka? Adakah ini menunjukkan bahawa kita tidak maju bila membicarakan tentang perjuangan bangsa?

Melayu sebenarnya perlu sedar dan perlu menjelaskan. Ketegasan kita memperkatakan hak dengan penjelasan yang sempurna. Kita perlu pertahankan sumpah kita kerana kita tidak mahu kedaulatan Melayu mengalir meninggalkan kita – lebih buruk bila Melayu beransur hilang di bumi sendiri.

Kita mesti mengenal apa yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan. Jangan terleka dengan perjuangan politik yang mementingkan segelintir mereka yang mahu terus berkuasa. Kita mahu mereka yang turut membicarakan hak yang perlu dipertahankan demi Melayu untuk Melayu.
Ini adalah untuk semua, yang tingi melangit, yang sedang duduk mencoret polisi dan kita yang berkeliaran di muka bumi menjadi rakyat Melayu yang kini seakan kehilangan maruah diri. Jangan angkuh membicarakan kemodenan dalam erti melupakan nilai Melayu kita yang ada. Jangan angkuh membicarakan pembangunan dengan menggadai hak kita.

Melayu itu perlu dicernakan semula. Dalam erti mempertahankan yang ada. Dalam erti memperjuangkan semula, yang telah terlepas akibat melanggar sumpah kita. Melayu itu perlu bangkit dalam melihat bahawa kita bukan ketinggalan tetapi kita semakin hari semakin pupus di muka dunia. Kita perlu menceritakan semula Melayu itu – dalam suasana baru tetapi penuh bermaruah dan tidak perlu segan pada apa yang kita ada.

Sekiranya ada antara kita – menyatakan sumpah ini kuno dan ketinggalan, maka katakan pada mereka, sumpah itu kekal membicarakan perjuangan kita dan yang terlupa adalah mereka yang palsu menyatakan bahawa ketuanan Melayu adalah sisa-sisa sahaja, perlu di campak bersama sampah-sampah lain yang tidak berguna dan bukan budaya yang perlu dipertahankan kerana mereka sedang menuntut kuasa untuk berdendam sesama Melayu yang ada dan mereka tidak ubah seperti sampah yang jijik untuk Melayu melihatnya.

Ini sepatutnya dikenang semula-kerana yang hilang kita, yang dikurangkan hak kita dan yang ada penipuan mereka yang membawa bunga-bunga palsu untuk kita – tidak berbau dan tanpa semangat dan roh sebenar.

Perjuangkan dan pertahankan – maruah bangsa agar kita menginsafi yang hilang pada kita kerana kita Melayu lupa bercerita – kita tidak hilang d dunia – wujud sebagai daun kering yang menanti terlerai dari pepohonan sungguhpun jejak ada tapi tidak bermakna.

Melayu Di Persimpangan

oleh Dr Khir Toyo

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian. Rentetan perbahasan awal saya mengenai Ketuanan Melayu dan Ketuanan rakyat dalam tulisan yang lalu, kini timbul satu lagi persoalan di kalangan orang Melayu. Melayu kini berada di persimpangan antara kelompok yang ingin terus kekal sebagai satu bangsa Melayu yang moderate (sederhana) seperti UMNO hari ini, dengan kelompok liberal yang mahu menukar segala kepentingan Melayu atas prinsip kesamarataan. Malah terdapat satu kumpulan Melayu lagi yang mahu kembali ke sifat ultranya yang tidak mahu bertolak ansur terhadap sebarang keadaan yang membabitkan kepentingan orang Melayu.

Elok difahami apakah makna ultra, moderate dan liberal ini. Ultra ini merujuk kepada kumpulan eksterim yang melihat kepentingan bangsa atau puaknya semata-mata tanpa mempedulikan kepentingan bangsa atau kaum lain. Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja tindakan demi menjaga kepentingan kaumnya tanpa mempedulikan kesan dan akibat tindakan tersebut.

Manakala moderate merujuk kepada kumpulan yang bersederhana dalam setiap tindakan. Melihat keadilan sebagai matlamat utama tanpa menjejaskan kepentingan bangsanya. Sentiasa melihat kepentingan pelbagai bangsa atau kaum tanpa menjejaskan kepentingan puaknya. Puak

Liberal pula pihak yang sentiasa terbuka kepada pelbagai pendapat dan tidak meletakkan bangsanya sebagai agenda. Sebaliknya hanya memperjuangkan kesamarataan dan logik akal semata. Dilema ini bukan sahaja di kalangan orang Melayu dalam UMNO malah juga Pas. Hari ini kita melihat Pas telah berubah dari sebuah parti ultra Islam kepada sebuah parti liberal Islam. Dari sebuah parti yang mengkafirkan orang UMNO kerana bekerjsama dengan bukan Islam, yang menolak IFC, menolak murtad kepada parti yang bersengkongkol dengan DAP dan sanggup menurut telunjuk DAP.

Pas yang dulunya ingin menutup pusat arak, judi dan maksiat kepada sebuah parti yang membenarkan pusat-pusat tersebut beroperasi. Malah Dr. Hasan Ali sudah mendakwa dalam DUN Selangor, bahawa Pas hari ini memperjuangkan kesamarataan antara agama. Boleh dikatakan Pas hari ini sudah menjadi sebuah parti Islam liberal yang telah menguburkan segala prinsip perjuangan negara Islamnya.

PKR pula ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atas asas untuk menarik mereka yang tidak setuju dengan Pas dan UMNO. Bolehlah dikatakan bahawa parti ini parti oportunis liberal. Mereka hanya menarik sesiapa sahaja orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan UMNO dan Pas tanpa apa-apa agenda khusus untuk orang Melayu.

Parti ini juga bolehlah dikatakan menggunakan pendekatan popular untuk menarik sokongan hingga menyebabkan ia tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas. Parti seperti ini tidak akan dapat bertahan lama dalam negara kita.

Datuk Onn Jaafar telah mencuba pendekatan Anwar melalui IMP dan akhirnya gagal bertahan lama. Persimpangan terbesar orang Melayu pastinya di dalam UMNO. Kelompok pertama ingin UMNO terus kekal sebagai sebuah parti yang moderate memperjuangkan hak-hak orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Sultan Melayu dikekalkan dalam status quo sedia ada. Bagi kumpulan ini keadilan mengakari perjuangannya, iaitu meletakkan yang hak ditempatnya terutama yang membabitkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Manakala kumpulan kedua melihat UMNO perlu berubah dengan lebih terbuka melepaskan beberapa kepentingan Melayu demi mendapat sokongan yang lebih banyak dalam pilihan raya akan datang. Sungguhpun teori menjadi liberal ini akan membantu menarik kembali sokongan belum ada bukti sahih, namun sudah terdapat pemimpin UMNO yang mempercayainya. Suara-suara mendesak liberalisasi dalam UMNO sudah kedengaran.

Seperti biasa bila wujud suara liberal akan muncul kumpulan ektremis atau ultra. Kumpulan ini sudah menuntut lebih banyak hak orang Melayu dikembalikan semula. Sudah ada suara mahu bahasa Malaysia kembali ditukar kepada bahasa Melayu, sistem kuota di universiti di kembalikan. Malahan ada juga yang sudah mendesak kerajaan turut mengkaji mewujudkan sistem kuota pekerja mengikut peratusan kaum di syarikat swasta.

Pada hemat saya, orang Melayu perlu mengekalkan suara moderate atau sederhana seperti UMNO hari ini. Melayu yang ultra bukan sahaja tidak membantu perkembangan kemajuan negara, malah akan terus melemahkan kuasa Melayu.

Ini kerana ramai golongan terpelajar Melayu sendiri tampaknya tidak lagi menerima idea-idea eksterim ini.Manakala idea Melayu liberal yang terbuka ini sungguhpun tampak idealis tetapi tidak akan mendatangkan keadilan dalam masyarakat majmuk seperti negara kita.

Ketika Melayu menjadi liberal, saya percaya akan muncul kumpulan-kumpulan ultra bangsa lain seperti Hindraf dan Dong Jia Zhong. Mereka mahukan orang Melayu menjadi liberal tetapi mereka sendiri bergerak ke arah ultra.

Hindraf misalnya memperjuangkan kedudukan kaum India sehingga memfitnah orang melayu melakukan penghapusan etnik. Manakala Dong Jia Zhong pula menolak usaha kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan. Apakah tindakan dua kumpulan ini bukan bercorak ultra? Apakah kemenangan DAP bukan merupakan kemenangan berunsur perjuangan ultra Cina?

Jika Melayu menjadi liberal saya percaya banyak lagi kepentingan Melayu akan dikorbankan. Apakah hanya kerana mahu menang dalam pilihan raya maka kita mahu memperjudikan nasib anak bangsa kita akan datang?

Liberal memperjuangkan kesamarataan. Kesamarataan bukan keadilan. Kesamarataan hanyalah agenda kapitalis yang tidak berhati perut yang mahu melihat yang lemah terus tertinggal dan yang kuat terus menguasai yang lemah. Mereka juga menyokong idea tiada perbezaan antara agama yang bertentangan dengan akidah orang Islam; yang jelas memperkatakan bahawa Islam adalah agama tauhid yang mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah s.w.t.

Islam sebenarnya menolak kesamarataan tetapi menegakkan keadilan, yang mana meletakkan agama Islam di tempat yang tinggi dengan membenarkan agama lain dianuti oleh umat lain. Inilah asas perjuangan orang Melayu yang moderate. Kami hanya mahu memastikan keadilan dilaksana dan terlaksana.

Keadilan di sini ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberi sesuatu kepada yang berhak. Misalnya keadilan dalam konteks Malaysia ialah mengekalkan hak-hak orang Melayu, agama Islam, Sultan Melayu dan Bahasa Melayu seperti yang dipersetujui semasa kemerdekaan.

Dalam masa yang sama, Melayu moderate akan memastikan hak-hak orang bukan Melayu yang janji akan terus kekal. Ini termasuk memperakui kewarganegaraan mereka, hak mereka untuk mengundi, berniaga, mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing, dan mengamalkan kepercayaan dan adat resam masing-masing.

Bagi saya UMNO mesti kekal di landasan moderate yang berjuang menegakkan keadilan, menolak kesamarataan kerana jika UMNO berubah kepada lebih liberal, saya bimbang kaum lain tidak akan berbuat perkara yang sama dan akhirnya UMNO akan dilihat lebih banyak memberi apa yang orang Melayu miliki kepada bangsa lain.

Bagi saya, bangsa lain juga perlu mengorbankan kepentingan kaumnya bukan sahaja UMNO. Jika perpaduan nasional dan juga kesamarataan menjadi pilihan, bangsa lain perlu sanggup mengorbankan sistem pendidikan mereka seperti yang berlaku di negara Singapura. Jika tidak tiada sebab mengapa UMNO harus bergerak daripada moderate kepada perjuangan yang lebih liberal.

Kesilapan memilih jalan di tiga persimpangan ini akan menyebabkan UMNO tidak akan relevan kepada orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Politik perkauman tidak akan dapat dileraikan dalam negara berbilang kaum yang mengamalkan perbezaan agama, budaya dan bahasa. Yang pentingnya bagaimana kita mencari persamaan di celah-celah perbezaan. Kerana persamaan itu akan membuahkan hasil ke arah pembentukan negara bangsa maju.

Jangan sampai UMNO berkorban dan terkorban kerana hanya memenuhi tuntutan bangsa lain. Takut nanti jadi seperti habis madu sepah dibuang; yang dikejar hilang entah di mana, yang dikendong bertaburan dipungut orang.

Permohonan Ezam tiga minggu lagi

Keputusan sama ada bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor akan diterima masuk semula ke Umno mungkin diketahui dalam tempoh tiga minggu lagi.Ini kerana sebarang permohonan untuk kembali semula menyertai Umno perlu diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Dan menurut Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mesyuarat MT yang terdekat mungkin diadakan dalam tempoh tiga minggu lalu. Oleh itu, katanya, keputusan berhubung permohonan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kembali menyertai Umno mungkin diketahui dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan sekaligus merasmikan seminar sehari yang bertajuk "Menjana Potensi Modal Insan" anjuran kementerian itu di Putrajaya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Ezam dan bekas Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh Anuar Shaari yang pernah meninggalkan Umno untuk menyertai parti pembangkang itu, kini berhasrat untuk kembali kepada Umno.


Masalah jadi ahli

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, hanya MT mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan kemasukan semula mereka, dan perkara itu akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam perkembangan lain, Muhammad turut tidak menolak terdapat beberapa kes di mana permohonan untuk menjadi ahli Umno mengambil masa yang lama. Beliau berkata, kebanyakannya berpunca di peringkat cawangan, bukannya di peringkat atasan.

"Kes-kes tertentu memang ada, tapi kalau kes itu dibawa ke MT, MT akan luluskan dengan segera," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan terdapat kesukaran untuk menjadi ahli Umno memandangkan tempoh yang begitu lama diambil untuk meluluskan sesetengah permohonan. Antara yang menghadapi situasi itu termasuklah Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa beliau mengambil masa enam bulan untuk diterima sebagai ahli.

Kuota: Pemuda DAP kecam badan Melayu

Pemuda DAP mengecam penolakan beberapa pertubuhan Melayu terhadap kenaikan kuota 45 peratus biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar bukan bumiputera seperti diumumkan minggu lepas.

Sambil menyifatkan penentangan terhadap langkah kerajaan itu "suara-suara retrogresif", setiausaha pergerakan itu Loke Siew Fook menggesa kerajaan agar bertegas dengan keputusannya itu.

"Pemuda DAP percaya biasiswa mestilah diberikan berasaskan dasar meritokrasi dan pelajar yang layak sama ada mereka bumiputera atau bukan bumiputera tidak boleh dinafikan hak mereka melanjutkan pelajaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sekali lagi kad perkauman dimainkan bagi melemahkan tujuan-tujuan meritokrasi dalam pendidikan Malaysia."

Minggu lalu menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa JPA akan menaikkan kuota pemberian biasiswa ke luar negara untuk pelajar bukan bumiputera daripada 10 kepada 45 peratus.

Pengenalan langkah ini ditentang oleh beberapa pihak, termasuk Pemuda Umno, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Loke, yang juga ahli parlimen Rasah, berkata pelajar bumiputera masih mempunyai banyak peluang mendapatkan biasiswa, termasuk yang disediakan oleh Majlis Amanah Mara (Mara) walaupun kuota biasiswa JPA telah dikurangkan daripada 90 kepada 55 peratus.

Semalam sambil menyokong kuota 45 peratus, Pemuda MCA berkata JPA sentiasa menambah jumlah biasiswa yang ditawarkannya dari tahun ke tahun. Tahun ini 2,000 pelajar mendapat biasiswa itu berbanding 900 tempat pada 2004, 1,200 (2005), 1,500 (2006) dan 1,800 (2007).

Ketua biro pendidikan Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, menolak hujah rakan sewajatannya dalam Pemuda Umno yang mendakwa langkah JPA itu menyebabkan "700 biasiswa untuk pelajar bumiputera telah hilang."

Ketua biro pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail, tidak bersetuju dengan kaedah pengagihan itu, namun bersetuju lebih banyak biasiswa wajar diberikan kepada bukan bumiputera.

"Kami tidak bersetuju dengan langkah menaikkan nisbah itu (daripada 10 peratus) tanpa menambah jumlah biasiswa," beliau dipetik sebagai berkata. Loke berkata, semua lapisan masyarakat mestilah "membuang mentaliti berasaskan kuota" bagi mencapai kecemerlangan akademik dan meningkatkan daya saing negara.

Presiden GPMS Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, pemberian biasiswa perlu mengambil kira bukan sahaja soal merit pencapaian, tetapi juga persoalan merit sosioekonomi rakyat.

Abim menyifatkan langkah itu tidak akan memberikan "keadilan sosial" dan bercanggahan pula dengan semangat hak keistimewaan Melayu.

PKPIM pula membantahnya dengan mencadangkan peruntukan biasiswa diberikan kepada semua.

Dr Asri tuduh Faisal 'berbohong'

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan satu karya penulis terkenal Faisal Tehrani sebagai sebuah "pembohongan" dan mendorongnya membantah penerbitan tersebut di sebuah akhbar tabloid.

"Kita boleh terima kepelbagaian, kita boleh terima pelbagai tafsiran, tetapi bukan pembohongan.

"Kita boleh terima karya seni. Saya rasa (saya) yang paling terima karya seni berbanding orang agama yang lain.

"Tetapi, macam mana pun kita tak boleh terima pembohongan," kata Dr Mohd Asri kepada Malaysiakini minggu lalu, ketika ditanya sebab beliau menulis surat membantah karya itu kepada Harian Metro.

Dalam suratnya bertarikh 6 Februari lalu, berdasarkan satu daripada siri novel Ketupat Cinta, beliau menyifatkan Faisal menggunakan "hadis palsu untuk mengagungkan Syiah" dan menggunakan "pegangan dan fahaman Syiah mengenai sambutan Asyura."

Aduannya itu berdasarkan siri keempat berjudul 'Bubur Ratapan Asyura' yang diterbitkan pada 5 Februari lalu di tabloid tersebut. Dr Mohd Asri bagaimanapun tidak menjelaskan bahagian-bahagian dalam karya sastera itu yang dianggap mengagung-agungkan fahaman tersebut.

Menurut surat tersebut, mufti itu menyatakan sasterawan popular itu "seorang yang berfahaman Syiah dan beliau menggunakan saluran penulisan sebagai wadah penyebaran fahaman yang dipegangnya.

"Salinan surat kepada ketua pengarang akhbar itu dikirimkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Selain karya tersebut, mufti Perlis mendakwa Faisal juga menyebarkan fahaman Syiah melalui blognya. Surat itu, yang dimuatkan di laman web Dr Mohd Asri buat seketika pada 1 Mei, diterbitkan kembali oleh Faisal dalam blognya pada pada hari yang sama, termasuk teks penuh karya yang dibantah mufti itu.

Menjawab dalam blognya, Faisal menafikan dakwaan mufti itu. Pemenang anugerah ‘Sastera Perdana’ itu berkata "sumber hadis yang dipetik adalah dari kitab-kitab Ahlus Sunnah Wal Jamaah."

"Saya tidak mengerti niat surat (mufti) ini. Melainkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga telah dianggap sesat lantas kita umat Islam hanya dibenarkan merujuk Ibnu Taimiyyah, Albani atau Ben Baz. Tentu keterbukaan merujuk sumber diizinkan dalam Islam, apatah lagi dunia akademik," katanya.

Mengulas lanjut reaksi penulis sastera tersebut, Dr Mohd Asri berkata jawapan itu hanyalah dakwaan dan sering dilakukan oleh kelompok Syiah untuk mempertahankan diri.

"Lama dah orang Syiah guna hujah ini, sejak kita belum lahir lagi. Dah seribu tahun lebih dah (guna hujah ini). Dia kata pakai sumber Sunnah (Ahli Sunnah wal Jamaah), tetapi bila kita semak balik, macam lain, ditafsir macam lain," katanya. Dr Mohd Asri menjelaskan, suratnya kepada akhbar itu sebagai susulan aduan individu berkaitan penyiaran 'Bubur Ratapan Asyura' kepadanya."Saya terima aduan daripada banyak pihak. Ada yang bertulis, ada yang lisan," katanya.

Ditanya kenapa beliau hanya membuat bantahan khusus siri itu sedangkan banyak lagi karya sastera Faisal, Dr Mohd Asri menjawab:"Ada orang bawa surat khabar itu (Harian Metro), tunjuk pada saya. Sebab itu saya rujuk pada tulisan itu.

"Diminta menjelaskan secara terperinci bahagian yang didakwa mempunyai unsur Syiah dan pengagungan terhadap perayaan Syiah, beliau berkata beliau tidak dapat melakukannya kerana tabloid itu tidak ada di tangannya sewaktu dihubungi Khamis lepas.

Ditanya maklum balas daripada akhbar tersebut, Jakim dan KDN terhadap surat rasminya itu setelah hampir tiga bulan dihantar, beliau berkata: "Saya tak perasan. Banyak sangat surat masuk. Nak kena tengok dulu," katanya, yang juga bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).

Ditanya tindakan selanjutnya yang bakal diambil terhadap siri novel itu kerana ia masih terus diterbitkan, beliau enggan mengulas. Dr Mohd Asri, walaupun menolak kandungan siri 'Bubur Ratapan Asyura', tetap mengakui bahawa karya sastera penulis itu berkualiti.

Diminta reaksinya terhadap tindakan mufti ini, Faisal enggan mengulas lanjut tentang hal ini.

"Peguam nasihatkan usah layan. Jika berlaku sekali lagi hal ini, saya tak akan teragak-agak heret dia ke mahkamah. Saya tak pasti apa lagi yang dia (Dr Mohd Asri) mahu dengan ini," kata Faisal kepada Malaysiakini melalui e-mel pertengahan Mei lalu.

Faisal, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa, memulakan siri novelnya Ketupat Cinta di akhbar itu pada 15 Januari lalu. Novel itu disiarkan secara mingguan setiap Selasa. Usaha mendapatkan ulasan akhbar itu, setakat ini, belum berjaya.

Tiada kawalan harga minyak mulai Ogos

Tiada kawalan harga akan dikenakan ke atas petrol dan diesel dengan pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api itu Ogos ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini. Beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan dua mekanisme subsidi bahan api iaitu "pendapatan tunai" dan penetapan kuota.

Menurutnya, dengan cara itu, harga bahan api di Malaysia akan mencerminkan harga pasaran global, demikian menurut laporan Bernama."Ia bergantung kepada harga pasaran global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pembinaan Malaysia Pertama 2008 di Kuala Lumpur hari ini.

"Kita sedang menuju ke arah inflasi yang memerlukan keseluruhan sistem subsidi diubah, dan ini akan dilakukan menjelang Ogos. Tetapi apa yang akan berlaku esok adalah suatu langkah ke arah itu.

"Kita akan melakukannya secara beransur-ansur kerana satu sistem subsidi sepenuhnya tidak boleh dilaksanakan serta merta sekarang.

"Esok harus dilihat dan dianggap sebagai sebahagian daripada perubahan keseluruhan itu," katanya.

"Kita tidak boleh naikkan harga tanpa memberikan suatu bentuk subsidi kepada rakyat Malaysia. Kita sedang memikirkan untuk menaikkan harga runcit dalam pasaran. Pada masa yang sama, kita perlu menghentikan penyeludupan dan penyalahgunaan yang berlaku," katanya.

Shahrir berkata kerajaan menjangka untuk menaikkan subisidinya ke atas komoditi itu hingga di antara RM55 bilion dengan RM56 bilion tahun ini, bergantung kepada harga minyak dunia. "Harga minyak terus meningkat, jadi peruntukan subsidi juga terus bertambah," katanya.


Tindakan berani

Sementara itu, dalam ucaptamanya dalam Rundingan Meja Bulat ke-22 Asia Pasifik di ibu negara hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa komuniti antarabangsa supaya mengambil langkah berani yang belum pernah berlaku untuk memerangi kenaikan melampau harga makanan, minyak dan komoditi. Bernama memetik beliau sebagai berkata, beban kenaikan harga kini yang ditanggung sebahagian besarnya oleh negara membangun dan miskin, boleh dengan mudah melimpah kepada masyarakat maju.

"Protes, demonstrasi dan rusuhan makanan telah tercetus di banyak negara di dunia membangun termasuk di rantau kita.

"Bagaimanapun kebimbangan ini tidak begitu ketara dilihat di dunia negara maju, kecuali berkaitan dengan kenaikan harga bahan api," katanya. Beliau memberi contoh tindakan berani Jepun dalam menangani kenaikan harga beras, dan mencadangkan langkah yang sama diambil oleh pasaran minyak.

"Untuk mengelakkan tawaran spekulatif, Jepun telah menggantung perdagangan beras dalam pasaran hadapan," katanya.


Bekalan beras

"Kita patut mengkaji langkah sedemikian bagi kemungkinan ia dilaksanakan untuk pasaran minyak, yang merupakan penyumbang penting melonjakkan harga komoditi lain. Kesemua langkah ini akan tentunya memerlukan rundingan dan perjanjian di peringkat antarabangsa," katanya.

Abdullah juga berkata Asean Campur Tiga (10 negara Asean dan China, Jepun serta Korea Selatan) juga boleh memainkan peranan dengan mewujudkan Simpanan Jaminan Makanan Asean memandangkan ia kini tidak mempunyak stok yang cukup bagi menstabilkan secara berkesan harga dan bekalan beras dalam kalangan negara anggota.

"Langkah juga perlu diambil untuk menggerakkan Simpanan Beras Kecemasan Asia Timur yang kini masih di peringkat projek perintis. Ia harus menjadi skim simpanan beras yang berdaya maju yang mendapat komitmen penuh daripada semua negara peserta," katanya.

Abdullah berkara harga beras, makanan ruji penduduk Asia, telah meningkat 76 peratus dalam tempoh lima bulan sejak Disember tahun lalu hingga April tahun ini, sementara harga keseluruhan makanan, meningkat 83 peratus sejak tiga tahun lepas dan harga minyak meningkat empat kali ganda sejak enam tahun lalu.

"Para penganalisis berkata harga itu sudah pada puncaknya. Pada satu ketika tidak syak lagi ia mesti berlaku. Tetapi buat masa ini ia kekal pada harga yang amat tinggi," katanya.