SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

17 March 2009

Terima Keputusan Lembaga Disiplin Dengan Tenang - Muhyiddin

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota parti harus menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Beliau juga berharap para penyokong berkenaan tidak merasa kecewa dan mengambil tindakan yang boleh membawa kesan negatif kepada situasi politik dalam Umno atau negara.

"Saya bersimpati dengan apa yang dihadapi sahabat saya Datuk (Seri Mohd) Ali Rustam dan yang lain. Sebagaimana yang diketahui, soal disiplin terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin Umno.

"Tentulah mereka sudah membuat penyiasatan terhadap aduan-aduan yang sebelum ini dikatakan tidak diberikan perhatian," kata Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang berada di Dubai untuk perasmian Malaysia Services Exhibition 2009 di sini.

Lembaga itu mendapati Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka, melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, sebagaimana diumumkan hari ini oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Muhyiddin yang juga calon Timbalan Presiden berkata sekiranya keputusan telah dibuat, maka ia harus dihormati kerana sudah tentu ada asas yang digunakan untuk memutuskan bentuk tindakan yang sesuai untuk diambil.

"Apa yang saya harap ialah sahabat dan penyokong bertenang dalam menghadapi keadaan sebegini. Ini sesuatu yang memang kita tidak duga.

"Tetapi sebagai anggota parti yang bertanggungjawab, kita harus fikir soal kepentingan parti dan mengelak daripada perkara yang boleh membawa kesan negatif kepada senario politik dalam negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata proses pemilihan parti akan berlangsung seperti biasa dan terserah kepada perwakilan untuk membuat pertimbangan berhubung siapa pemimpin yang hendak mereka pilih.

"Sepatutnya mereka mengambil kira soal masa depan negara dan Umno, dan berbuat sesuatu yang difikir boleh memberikan manfaat atau kebaikan dalam soal kepimpinan parti dan kerajaan," kata beliau.

Lembaga Disiplin turut mendapati Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Bagaimanapun, seorang lagi calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo didapati tidak bersalah.

- BERNAMA
.

Ali Rustam Dilarang Bertanding Timbalan Presiden

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu hadapan setelah didapati bersalah melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak bersalah melanggar tataetika ahli parti.

-BERNAMA
.

Muhyiddin - Najib perlu Timbalan yang kuat

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengalaman luasnya di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa melayakkannya untuk mengisi jawatan nombor dua dalam Umno dan kerajaan.

Muhyiddin, 61, yang berdepan dengan dua pencabar - Datuk Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib untuk merebut jawatan timbalan presiden Umno - berpengalaman menjadi Menteri Besar Johor selama 13 tahun dan menganggotai kabinet selama hampir 14 tahun.

Lagi pula, Mohd Ali dan Muhd Taib bukan ahli Parlimen dan oleh itu tidak secara automatik layak untuk memegang jawatan timbalan perdana menteri, yang selama ini diisi oleh pemimpin nombor dua Umno.

Mereka berdua perlu dilantik sama ada sebagai senator atau bertanding dalam pilihanraya kecil - sesuatu yang ingin dielakkan kerana suasana politik yang tidak memihak kepada kerajaan sekarang.

Muhyiddin juga menolak hujah Muhd Taib bahawa tidak boleh ada "dua ekor singa menghuni bukit yang sama".

Muhammad (foto) yang sebelum ini menegaskan beliau tidak bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, merujuk kepada kemungkinan timbalan yang kuat boleh mengancam kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa depan.

"Pada masa bilamana kita berdepan dengan masalah yang serius, seperti yang dihadapi Umno sekarang, maka apa yang diperlukan adalah satu pasukan kepimpinan yang kuat," kata Muhyiddin dalam wawancara selama 60 minit dengan Malaysiakini di pejabatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Jika anda berkata tidak (perlu timbalan yang kuat), maka ia bermakna anda berkata 'pilihlah pemimpin yang tidak begitu kuat' atau 'pilih seorang yang lemah'.

"Saya tidak fikir itu yang Umno mahu atau itu yang negara mahu. Negara, dalam keadaan seperti sekarang, memerlukan kepimpinan yang kuat," tegasnya.
.

Hina Sultan Perak - Karpal mengaku tidak bersalah

KARPAL Singh dibawa ke mahkamah hari ini atas tuduhan menghasut dalam satu sidang akhbar berkaitan Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari lalu. Beliau didakwa di hadapan Hakim Mohamad Sakeri Mamat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan menghasut.

Karpal dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dalam satu sidang media berkaitan Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari lepas.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)B, Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Karpal bagaimanapun dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM2000 dengan seorang penjamin.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat di bawah seksyen berkenaan bersama transkrip sidang media Karpal pada 6 Februari lalu yang didapati mengandungi kenyataannya untuk mendakwa Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Karpal mendakwa Sultan Perak bertindak di luar bidang kuasanya serta membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.

Semasa prosiding hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Kamaludin Mohd Said turut memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi supaya mahkamah berkenaan menetapkan tarikh perbicaraannya.

Karpal bagaimanapun tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim kemudiannya memutuskan kes itu disebut itu disebut sebutan semula kes serta tarikh perbicaraan akan ditetapkan di Mahkamah Tinggi.

Karpal yang juga seorang peguam mewakili dirinya sendiri pada prosiding hari ini.

Bagaimanapun turut bersama beliau ialah 12 lagi peguam pembantu termasuk empat orang anaknya iaitu Gobind Singh Deo, Jagdeep Singh Deo, Ram Karpal Singh dan Sangeep Kaur. Peguam lain adalah RSN Rayer, Sakaran Nair, Malik Imtiaz, M. Kulasegaran, Ramesh Sivakumar, K A Ramu, Lim Lip Eng dan M. Manogaran.
.

Datuk Ibrahim Yahya dilantik Ketua Pengarah RTM

Tahniah kepada Datuk Ibrahim Yahya, bekas Panel Pemikir JASA yang telah dilantik ke jawatan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) mulai hari ini.

Datuk Ibrahim, 48, menggantikan Datuk Abdul Rahman Hamid yang kini bertugas sebagai Penasihat Penyiaran Digital kepada Menteri Penerangan sejak 2 Jan lepas, menurut kenyataan Kementerian Penerangan hari ini.

Pelantikan ini sesuai dengan pengalaman luas beliau dalam bidang media dan penyiaran.

Beliau juga dikenali dalam dunia blogger sebagai Ibrahim Tiger, sebelum ini merupakan Penasihat Media kepada Menteri Penerangan. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengurus ehwal semasa dan penyiaran TV3 dan ketua pengarang berita Berita Harian.
.
Tahniah Datuk.
.

Gobind Singh digantung 12 tahun

Wakil rakyat DAP Gobind Singh Deo digantung tugas sebagai ahli parlimen selama setahun selepas mengaitkan timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz diluluskan melalui undi mulut selepas dibahas selama kira-kira 40 minit. Sewaktu pengundian dijalankan, kesemua ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda membantah.

Usul tersebut dibentangkan pada kira-kira jam 11.30 pagi di hadapan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pembentangan usul tersebut dibantah keras oleh pembangkang, sehingga menimbulkan kebuntuan hampir satu jam.

Pandikar hanya dapat mengawal keadaan pada kira-kira 12.30 tengahari dan membenarkan ahli-ahli parlimen membahaskan usul tersebut. Usul terhadap ahli parlimen Puchong kerana dianggap menghina dewan berhubung tuduhannya terhadap Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu.

Minggu lepas, anak lelaki Pengerusi DAP Karpal Singh itu digantung tugas sehari kerana kenyataannya tersebut.

Teks lengkap usul seperti berikut:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan : Bahawa pada 12 Mac 2009, Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, ahli parlimen kawasan Puchong semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa YAB timbalan perdana menteri, ahli parlimen kawasan Pekan terlibat dalam kes pembunuhan. Bahawa Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong juga telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.

Dan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong adalah merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong hendaklah digantung tugas dari jawatannya sebagai ahli parlimen selama dua belas (12) bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan. Dalam masa penggantungan ini Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan kemudahan sebagai seorang Ahli Parlimen.

Kuasa Speaker

Sebelum itu, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berhujah bahawa walaupun ia boleh dibahaskan sebagai usul 'tergempar', tetapi notis selama tujuh hari diperlukan sebelum ia dibahaskan.

Sebaik sahaja usul itu dibaca, Kamaruddin Jaffar (PAS-Tumpat) mencadangkan supaya perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan tidak diserahkan kepada Dewan untuk memutuskannya.

Beliau berkata, adalah jelas menurut Perintah Tetap 80(1) bahawa perkara itu dikehendaki dirujukkan kepada jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, Pandikar Amin berkata Speaker mempunyai kuasa yang luas dan mutlak untuk mentafasirkan Perintah Tetap.

Katanya, Dewan mempunyai kuasa yang lebih besar daripada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan oleh itu beliau mahu ahli Dewan membahas dan membuat keputusan mengenainya.
.

Calon Timbalan Presiden akan digantung?

Mesyuarat Lembaga Disiplin Umno esok menjadi tumpuan ekoran tersebarnya khabar angin sejak seminggu lalu yang menyatakan seorang pemimpin kanan Umno akan digantung daripada bertanding dalam pemilihan Umno berhubung kesalahan politik wang.

Malah sebuah akhbar berbahasa Cina telah menghantar 'SMS alert' hari ini yang mengatakan bahawa Lembaga Disiplin akan mencadangkan penggantungan keahlian seorang calon jawatan timbalan presiden Umno.

Menurut SMS tersebut, lembaga itu dijangka mencadangkan pemimpin tersebut digantung keahlian selama tiga tahun.

Tiga orang calon bagi jawatan tersebut ialah Naib Presiden Umno - Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam - dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Muhyiddin merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, manakala Muhd Taib adalah menteri kemajuan luar bandar dan wilayah. Mohd Ali adalah ketua menteri Melaka.

Khabar angin yang sama juga heboh diperkatakan di kalangan petugas media di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu.Di kalangan Umno sendiri, ianya sedang panas diperkatakan. Malah mereka secara terbuka menyebut nama calon yang akan dikenakan tindakan tersebut.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno itu, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail akan mengadakan sidang akhbar khas petang esok selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Dalam sidang akhbar tersebut, beliau dijangka mengumumkan hasil siasatannya yang melibatkan pemimpin terbabit.

Pegawai calon-calon timbalan presiden yang dihubungi hari ini berkata mereka tidak tahu menahu mengenai khabar angin tersebut.

"Kami meneruskan kempen seperti biasa," kata pegawai seorang calon timbalan presiden yang dihubungi hari ini.

Menurutnya, dalam masa 10 hari terakhir ini, pihaknya akan meningkatkan kempen di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

"Malam ini, majlis memperkenal calon-calon di sebuah hotel di Shah Alam," katanya.
.

.
Reaksi Mohd Ali dan Muhd Taib

Sementara itu, Mohd Ali enggan mengulas khabar angin yang mengatakan ada calon timbalan presiden Umno sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno. Ditanya kebenaran khabar angin tersebut, beliau hanya berkata: “Itu kena tanya Lembaga Disiplin (Umno).”

Ketika ditemui pemberita sebelum majlis memperkenalkan diri calon Majlis Tertinggi (MT) Umno di sebuah hotel di Shah Alam, Mohd Ali juga enggan mengulas sama ada dipanggil mengadap atau menerima sebarang surat dari jawatankuasa itu.
.
Ketika sama ada beliau bimbang dengan penyebaran khabar angin itu ketua menteri Melaka itu menjawab: “Kenapa saya perlu bimbang?” Menjawab soalan tentang tujuan pertemuannya dengan ketua bahagian Umno di Melaka esok, Mohd Ali berkata ia “untuk (persediaan) perhimpunan agung Umno”.

Katanya, perjumpaan itu tiada kaitan dengan sebarang pengumuman beliau hendak menarik diri daripada pertandingan.

Ditanya mengenai laporan akhbar arus perdana hari ini, ketua menteri Melaka itu berkata beliau tidak membaca akhbar mengenainya. Oleh itu, tambah Mohd Ali, beliau tidak boleh mengulasnya. Diminta memberikan reaksi sama ada khabar angin itu memberikan kesan negatif kepadanya, Mohd Ali berkata: “Sabarlah, kita tidak boleh campur hal Lembaga Disiplin”.

Sementara itu, Muhd Taib yang ditemui selepas majlis tersebut, menjawab ringkas: "Tak tahu... belum diumum secara rasmi."

Muhyiddin pula enggan mengulas mengenai perkara itu.
.