SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

13 June 2008

PM setuju beri pelepasan, pengurangan cukai pendapatan

PASIR MAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju untuk memberikan pelepasan atau pengurangan cukai pendapatan bagi meringankan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup akibat daripada kenaikan harga minyak.

Perdana Menteri berkata, pengumuman penuh berhubung perkara itu akan dibuat pada pembentangan Bajet 2009 yang dijadualkan 29 Ogos ini.

"Ada beberapa langkah yang akan diambil. Tapi pada masa ini, lebih baiklah saya tidak beritahu lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara di Kampung Bendang Perangkap, Bunut Susu di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 orang itu turut menyaksikan kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

- Bernama

Mufti Perlis rayu Mahathir-Pak Lah-Anwar-Nik Aziz 'duduk semeja'

MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menyeru pemimpin-pemimpin Melayu Muslim agar duduk semeja atas semangat persaudaraan untuk menyelesaikan masalah negara yang sedang dihadapi kini.

Dr Asri membuat seruan ini setelah melihat perkembangan politik yang tidak berapa sihat dewasa ini.

"Memandangkan masa depan umat Islam yang mula goyah maka saya merayu pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam agar dapat duduk semeja atas semangat persaudaraan Islam bukan atas semangat politik kepartian," kata Dr Asri ketika dihubungi di sini tengahari. Katanya lagi, masa depan negara dan umat lebih utama daripada segala-galanya.

"Maka saya merayu kepada tokoh-tokoh yang mempunyai hubungan baik dengan saya iaitu Tun Mahathir, Datuk Seri Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz agar sudi duduk semeja demi kepentingan negara," jelas Dr Asri.

Menurut Dr Asri, keadaan politik semasa membuat beliau terpanggil untuk membuat rayuan ini.

"Disebabkan ketidaksefahaman ini, orang lain mengambil kesempatan dan ini bukanlah masa yang sesuai untuk kita terus bertelagah," katanya.

Beliau juga menyarankan masa sekarang ini untuk mereka berbincang tentang masalah negara yang sudah mencapai tahap kronik ini.

"Saya rasa masa sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk mereka membincangkan hal tersebut. Setiap pemimpin juga perlu berdiskusi dengan parti masing-masing tentang apa yang mereka inginkan demi mencapai matlamat rakyat dan negara.

"Saya cuma mencadangkan. Walaubagaimanapun, saya rasa mereka patut lakukannya sambil mendengar luahan hati antara satu sama lain," terang Dr. Asri lagi.

Jika mereka bersetuju, mahukah Dr. Asri dilantik menjadi 'orang tengah' di dalam perbincangan tersebut?

Katanya, "Biarlah mereka pilih sendiri orang yang lebih sesuai."

Dalam isu lain yang bersangkutan, Asri mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan pusat dan negeri yang berusaha melakukan pemotongan elaun demi kepentingan rakyat.

"Di harapkan langkah-langkah lain terus diambil. Pihak istana-istana di seluruh negara juga perlu melakukan tindakan yang menggambarkan keprihatinan mereka terhadap rakyat.

"Demikian juga syarikat-syarikat swasta dan badan koperat yang berasingan yang mempunyai pendapatan yang tinggi termasuk Petronas perlu mengambil langkah yang sama. Pada masa inilah kita semua cuba membuktikan tangungjawab dan cinta kita terhadap rakyat,” kata Dr Asri.

Dr Asri akan mengulas lagi tentang isu ini petang nanti di Hotel Vistana di dalam satu sidang akhbar.

Abdullah Dan Najib Telah Sepakat Tentukan Masa Penyerahan Kuasa

KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sekali lagi memperjelaskan bahawa hubungannya dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememang terjalin baik tanpa sebarang masalah dan kedua-dua mereka telah sepakat dalam menentukan masa yang terbaik bagi penyerahan kuasa.

Perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri berikutan masih ada pihak yang sangsi hubungan antara beliau dan timbalannya itu termasuk ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin Umno Kelantan pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri itu hari ini.

"Saya dan Datuk Seri Najib dah tentukan bila masanya yang sesuai bagi saya menyerahkan jawatan kepada beliau.

"Kami tiada masalah dan hubungan kami berdua adalah baik," katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan di sini. Abdullah yang juga Presiden Umno berkata "bila tiba masanya nanti" penyerahan kuasa itu akan pasti berlaku.

Terdahulu, sejurus tiba di sini, Abdullah mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan itu selama dua jam. Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa.

Mesyuarat yang diadakan sebelum itu juga turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.Abdullah juga berkata sewajarnya semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai hubungan baiknya dengan Najib itu kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

"Yang penting semua perlu melihat hubungan kami berdua adalah untuk menguatkan parti dan kerajaan serta program pembangunan yang telah dirancang selama ini," katanya. Perdana Menteri turut menghargai sokongan semua pihak kepada beliau untuk terus memimpin parti dan negara dan berjanji bekerja lebih kuat demi kepentingan parti, kerajaan dan rakyat keseluruhannya.

"Saya amat menghargai sokongan terhadap saya dan kalau beri sokongan kuat dan padu seperti ini, saya akan terus bekerja dengan lebih kuat untuk parti dan kerajaan," katanya. Beliau berkata walaupun sokongan rakyat keseluruhannya semakin merosot yang diterjemahkan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Abdullah meminta penyokong Umno tidak patah semangat.

"Sebagai pejuang jangan kita patah semangat demi untuk agama dan bangsa kita dan istilah kecewa sepatutnya tidak ada dalam kamus pejuang ini."Pantang undur sebelum menyerah dan pejuang ini perlu berjuang. Kalau patah hati tak payah berjuang, biarlah tunggu mati sahaja," katanya.

Abdullah berkata kerajaan yang ada pada hari ini, sebenarnya tidak lemah walaupun Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum lalu.

"Kerajaan yang ada perlu memikirkan sokongan majoriti yang menyokong kita dan majoriti ini mahukan kita terus berjuang," kata Abdullah. Perdana Menteri yakin Umno akan kembali kuat selepas ini kerana masalah yang berlaku pada hari ini adalah sesuatu yang lumrah.

"Saya percaya kita boleh pulih dan kembali kepada kekuatan yang asal. Memang ada masa kita hilang kerusi dan ketika ini timbul kemarahan pelbagai pihak tetapi ia tidak akan selama-lamanya," katanya. Beliau berkata kerajaan Pusat sama sekali tidak akan menganaktirikan negeri yang diperintah pembangkang termasuk Kelantan kerana tidak mahu rakyat terus terseksa dan perlukan pembelaan kerajaan.

"Kita mahu bantu mereka yang kurang berkemampuan dan untuk itu jangan biarkan kita berasa lemah dan tidak bermaya untuk membantu mereka," katanya.Ini adalah lawatan yang pertama Abdullah selepas pilihan raya umum lalu untuk memberikan penjelasan kepada pemimpin dan rakyat terhadap senario politik terkini. Selepas solat Jumaat Abdullah akan ke Bendang Perangkap Bunut Susu bagi melancarkan Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara.

- BERNAMA

Harap rakyat faham rasional kenaikan harga minyak: PM

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat memahami rasional kenapa kerajaan menaikkan harga bahan api baru-baru ini tanpa sedikit pun niat untuk menambah beban mereka.

Beliau berkata apa yang dilakukan kerajaan sehingga terpaksa menaikkan harga sebanyak 78 sen untuk petrol dan RM1 untuk diesel adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan walaupun memahami ia amat perit untuk ditanggung rakyat.

“Harga minyak kini terus naik dan kerajaan terpaksa menambah subsidi lagi,” katanya ketika pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa. Abdullah mengulangi jaminan bahawa harga bahan bakar itu tidak akan dinaikkan lagi tahun ini walaupun kerajaan akan terus menanggung subsidi yang meningkat.

“Kita (kerajaan) memahami masalah rakyat dan sedang berusaha memastikan kenaikan minyak baru-baru ini tidak akan menambah beban mereka dan sebab itu kita beri jaminan harga tidak dinaikkan lagi (tahun ini),” katanya.

Beliau berkata isu kenaikan harga bahan bakar itu akan diperincikan lagi dalam pertemuannya dengan rakyat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala di sini, malam ini.

— Bernama

PM Tiba Untuk Lawatan Kerja Sehari Ke Kelantan

KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tiba di sini bagi lawatan sehari ke Kelantan untuk melancarkan pelan meningkatkan pengeluaran beras negara. Perdana Menteri tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa pada jam 8.50 pagi diiringi isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
.
Ketibaan Abdullah disambut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan pemimpin parti.
.
Beliau kemudian ke Hotel Renaissance di sini bagi menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri. Perdana Menteri kemudian akan menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemimpin di hotel yang sama sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid negeri, Masjid Muhammadi di sini.
.
Pada petang, Abdullah dijadual ke Kampung Bendang Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas untuk menghadiri Majlis Pecah Tanah Pelancaran Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara.

Sebelah malam, Presiden Umno itu akan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, 20 kilometer dari sini. Perdana Menteri dijangka bertolak ke Kuala Terengganu selepas menghadiri majlis itu.
— Bernama

Anwar - Sampai bila mahu bohong

DALAM kehidupan rakyat yang makin tersepit dengan segala penanggungan kos untuk sara hidup, Dato Seri Anwar Ibrahim terus menyemarakkan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan mengambil kesempatan di atas kenaikan harga minyak di pasaran dan mendabik dada mendakwa bahawa beliau mampu menyelesaikan kenaikan tersebut sekiranya Pakatan Palsu Rakyat menjadi kerajaan dan beliau menjadi Perdana Menteri.

Tindakan Anwar yang semakin berbelit-belit ini dan menuduh kerajaan Barisan Nasional menyusahkan rakyat dilihat hanya sekadar sebuah lagi retorik ataupun auta Anwar untuk menjadikan Kerajaan Barisan Nasional dipandang sinis oleh rakyat. Anwar hanya mahu menjadi Perdana Menteri dan kenaikan harga minyak dijadikan senjata untuk melunaskan cita-cita beliau yang lebih kepada pengamalan politik dendam peribadi.

Anwar sebagai Ketua Umum KeADILan telah banyak berbohong sejak akhir-akhir ini dan beliau terpaksa sering mencipta pembohongan demi pembohongan bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap diri beliau dan cuba mencari jalan supaya Pakatan Palsu Rakyat terus diterima oleh rakyat di Negara ini.

Kita tidak tahu di mana rasionalnya rakyat boleh mempercayai segala janji-janji yang sedang ditaburkan oleh manusia bernama Anwar Ibrahim ini. Kita juga tidak tahu apakah sebenarnya rakyat Negara ini sememangnya mudah tertipu dengan segala gaya dan bahasa badan Anwar Ibrahim dan apakah rakyat Malaysia sudah lupa kenapa Anwar dipenjarakan enam tahun lalu, terpenjara bukan kerana kes liwat ataupun menggoda isteri orang, beliau terpenjara kerana menyalahgunakan kuasa.

Apakah mampu seorang bekas banduan mencipta keajaiban untuk Negara ini? Apakah mampu seorang yang pernah diberikan kuasa tetapi akhirnya menyalahgunakan kuasa tersebut untuk kepentingan peribadi boleh dipercayai untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang baik serta sanggup berkorban untuk rakyat.

Anwar tidak perlu mengambil kesempatan mempopularkan diri, kononnya mampu mengatasi ataupun menurunkan harga minyak di pasaran, ini soal pasaran dunia dan untuk dalam negara terlebih dahulu, Anwar kena membuktikan bahawa beliau bukan memimpin sebuah parti yang munafik, bukan memimpin gagasan Pakatan Palsu Rakyat yang akan menipu rakyat. Anwar juga terus menipu rakyat dengan slogan Ketuanan Rakyat dan ini membelakangi orang Melayu sendiri.

Anwar perlu mengkotakan janji-janji dalam manifesto PRU12 lalu. Anwar kena buktikan bahawa mampu melakukannya sebelum berbicara soal menjadi Perdana Menteri ataupun apa sahaja kerana sehingga ke hari ini, baik Selangor, Kedah, Perak dan juga Pulau Pinang, janji-janji dalam manifesto tersebut hanya sekadar tinggal janji semata-mata.

Kerakusan kepimpinan yang diketuai oleh Anwar ini semakin terserlah dan Selangor, belum apa-apa, sudah ada pegawai kanan di pejabat Menteri Besar di soal siasat BPR kerana disyaki terlibat rasuah dalam pemberian kontrak pembersihan sampah.

Tindakan demi tindakan serta kenyataan demi kenyataan yang dilemparkan oleh Anwar Ibrahim selepas sahaja selesai PRU12 lalu dilihat lebih kepada maksud seperti mahu mengkhianati negara dan rakyat, meletakkan pentadbiran kerajaan dalam suasana yang tidak tenteram dan secara tidak langsung menakutkan pelabur-pelabur luar untuk datang melabur apabila Anwar tanpa segan silu menyatakan bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan tumbang dan digantikan dengan kerajaan Pakatan Palsu Rakyat.

Tindakan ini mampu mencetuskan kebimbangan di kalangan pelabur-pelabur luar dan apakah Anwar seorang nasionalisme ataupun patriotisme kerana sanggup meletakkan kepentingan peribadi untuk menjadi Perdana Menteri sebagai lebih utama daripada kepentingan negara dan rakyat.

Anwar seakan semakin tipis semangat cintakan bangsa dan agama dan beliau juga dilihat seperti sanggup mengorbankan segala yang pernah menjadi pegangannya satu ketika dulu demi melunaskan kehendak dan cita-cita beliau dan selepas dibenarkan untuk berpolitik, sasaran Anwar adalah mahu meruntuhkan kerajaan yang sedia ada walaupun demokrasi telah menentukan Barisan Nasional memerintah Negara ini tetapi untuk Anwar, walaupun terpaksa menggunakan pintu belakang bagi menggapai kuasa, beliau dilihat sanggup melakukannya menghalalkan cara.

Selepas terbukti berbohong kononnya akan berlaku peralihan kuasa sewaktu sidang parlimen baru-baru ini tetapi ternyata bohong, Anwar menikus seketika mungkin sedang mencari alasan atau helah untuk berbohong pada kali seterusnya dan tiba-tiba beliau muncul kembali mempertahankan bahawa kononnya pada 16 September (tak tahulah tahun ini ataupun tahun depan), kerajaan Barisan Nasional akan tumbang.

Sesiapa sahaja yang mengenali Anwar, mereka tidak akan hairan ataupun terkejut dengan segala taktik-taktik sumbang yang beliau lakukan dulu serta kini dan Anwar akan menggunakan segala kelebihan yang ada pada diri beliau untuk mengabui mata rakyat sedangkan hakikat sebenarnya beliau dilihat seperti mahu merampas kuasa dan menjadikan keadaan negara dari segi pentadbirannya tidak stabil.

Walaupun beliau sedar segala janji-janji dalam manifesto PRU12 lalu sekiranya dilakukan mampu memufliskan negara dan juga negeri, demi memuaskan nafsu politik dan kepentingan sementara, kelompok yang menamakan mereka ini penyelamat Malaysia bersedia memberikan rakyat kemanisan sementara walaupun akhirnya nanti rakyat akan sengsara.

Rakyat yang bijak seharusnya memberikan peluang kepada kerajaan hari ini mencari jalan untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul dan bukannya menimbulkan masalah di saat kerajaan sedang mencari jalan menyelesaikannya.

Muhyiddin: Ahli Umno berminat berkhidmat harus diberi peluang

MELAKA: Ahli-ahli Umno yang berminat untuk menawarkan khidmat kepada parti harus diberi peluang untuk bertanding pada pemilihan parti, kata Naib Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang demokratik, calon yang menawar diri itu, jangan disekat dan dihukum tidak boleh memegang jawatan dalam kerajaan, jika calon terbabit kalah dalam pemilihan.

"Jadi tidak harus dikaitkan dengan jawatan dalam kerajaan kerana jawatan dalam kerajaan adalah jawatan yang dilantik atau dipilih atas pertimbangan Perdana Menteri atau Ketua Menteri atau sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat tertutup Tataetika parti kepada Umno Melaka di sini, hari Khamis.

Turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Anggota Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang bahawa calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno supaya melepaskan jawatan dalam kerajaan jika kalah dalam pemilihan itu.

Azhar dilaporkan berkata, cadangan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berwibawa dan berkebolehan menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, proses pemilihan itu adalah sesuatu yang baik sebagai usaha untuk sentiasa meremajakan Umno.

Beliau berkata, sebelum ini, tidak ada usul sebegitu, malahan ada calon yang kalah tetapi masih diberi kepercayaan untuk terus memegang jawatan dalam kerajaan termasuk di peringkat negeri.

"Implikasi daripada syor itu (cadangan Azhar), mungkin lebih besar daripada yang dia fikirkan. Bagi saya kita tidak boleh campuradukkan dalam soal itu (pemilihan dalam parti dan jawatan dalam kerajaan," katanya.

Mohd Ali ketika diminta mengulas cadangan Azhar itu, berkata "itu pandangan beliau dan dalam perlembagaan tidak menyatakan demikian, maka terpulanglah kepada mereka yang hendak menawarkan diri."

Beliau berkata, dalam perlembagaan membenarkan sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan dalam Umno.

Ditanya mengenai taklimat tataetika parti, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno berkata beliau sedang menjelajah ke negeri-negeri untuk menjelaskan tataetika yang diperbaharui itu supaya benar-benar difahami anggota parti.

Beliau berkata kefahaman anggota parti penting bukan sahaja mereka patuh kepada perlembagaan tetapi semangatnya, amalannya, tingkah laku dan sebagainya.
.
"Ini suatu yang kita anggap penting supaya maruah dan imej Umno tidak akan tercemar oleh perilaku yang dianggap bertentangan dengan tataetika ini," katanya.Beliau berharap dengan kefahaman tataetika yang diperbaharui itu, tidak ada perkara yang bertentangan dengan tataetika berlaku dalam tempoh pemilihan parti yang akan bermula bulan depan di peringkat cawangan.

"Lembaga Disiplin ada kuasa untuk mengambil tindakan tetapi kita harap apabila semua anggota parti sudah faham semangat dan perjuangan, sepatutnya tataetika ini tidak menjadi masalah atau menganggap kita tidak bebas, tidak boleh bertindak secara demokratik, ini bukan tujuan tataetika ini diwujudkan," katanya.
.
Taklimat itu telah diadakan di Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan Melaka manakala negeri lain akan diadakan dalam beberapa minggu akan datang.

- BERNAMA

Isu minyak: Pembangkang anjur protes di 30 lokasi mulai esok

Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (GERAMM) akan mengadakan demonstrasi memprotes kenaikan harga minyak di lebih 30 lokasi di seluruh negara mulai hari ini (13/6/08).

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, demonstrasi pertama esok akan bermula di Masjid Kampung Baru dan menuju ke KLCC sebagai simbolik menentang kenaikan harga minyak.

“Kami akan terus mengadakan siri-siri perhimpunan aman yang akan diadakan di seluruh negara bermula esok selama dua minggu hingga akhir bulan ini,” kata beliau pada sidang media di Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Bagi perhimpunan esok GERAMM menjangkakan penyertaan lebih 5,000 orang.

Ditanya sama ada perhimpunan itu telah mendapat kelulusan polis, Shamsul berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai perkara itu ke Balai Polis Dang Wangi.“Kami tidak memohon permit. Tetapi pihak polis telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Kami percaya polis akan memberi kerjasama kerana mereka juga tertekan dengan kenaikan harga minyak,” katanya.

Shamsul berkata, GERAMM komited untuk terus menggerakkan mobilisasi rakyat untuk menyatakan protes berterusan dan konsisten mengenai isu ini.

Selain itu GERAMM juga sedang berusaha untuk mengumpulkan sejuta tandatangan tanda protes rakyat Malaysia mengenai kenaikan harga minyak.

Petisyen tersebut dijangka dibawa ke Parlimen pada 23 Jun ini oleh Ahli Parlimen PKR- Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

GERAMM turut dianggotai oleh Ikatan Kebajikan Rakyat (IKRAR), Anwar Ibrahim Club (AIC) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Ahmad Sabki Yusof dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Khairul Anuar Admad Zainudin.

Dalam pada itu, polis memberitahu pihaknya mungkin terpaksa menutup jalan yang menghala ke masjid Kampung Baru esok selepas solat Jumaat ekoran rancangan pihak tertentu untuk mengadakan perarakan dari masjid itu ke Menara Berkembar Petronas bagi membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan minggu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata antara 1,500 hingga 2,000 anggota keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan diletakkan dalam keadaan berjagajaga bagi menghalang perarakan itu.

"Anggota polis dari Balai Polis Daerah Dang Wangi dan Sentul juga akan berkawal di sekitar kawasan tersebut. Kita akan tutup beberapa jalan yang menghala ke kawasan (masjid) itu jika perlu," kata beliau dipetik Bernama.

Beliau berkata, pihak penganjur perhimpunan itu tidak memohon permit daripada Ketua Polis Daerah dan hanya sekadar menghantar surat makluman sahaja.

"Menyertai perhimpunan tanpa permit adalah salah dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius ke atas mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.