SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

15 June 2008

Malaysia akan bankrap jika terus beri subsidi minyak: Ku Li

Negara boleh jatuh bankrap jika kerajaan secara berterusan memberikan subsidi minyak kepada rakyat untuk mengimbangi kenaikan harga minyak dunia tanpa langkah bijak untuk menanganinya, kata bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.
.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh Petronas dan dengan kadar pengeluaran sebanyak 600,000 tong sehari pada masa kini, beliau berpendapat bahawa simpanan minyak dan gas negara mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan negara dalam tempoh lima tahun lagi.
.
Malaysia selepas itu, katanya akan terpaksa menanggung kos yang tinggi dan bergantung sepenuhnya dengan import minyak dari negara luar untuk menampung kegunaan negara.
.
"Harga minyak ini kalau terus diberi subsidi sebagaimana 45 tahun lalu, negara kita akan bankrap. Sekarang kita hasilkan 600,000 tong sehari ... lama kelamaan akan habis dan kita akan terpaksa mengimport minyak daripada Arab Saudi.
.
"Sekarang pun kita dah import dari Arab Saudi kerana hasil minyak dari perut bumi di negara ini termasuk di Terengganu tidak sesuai untuk keperluan kita seperti tar dan diesel. Kita terpaksa menapisnya terlebih dahulu di Singapura sebelum membawanya masuk ke Malaysia," katanya dalam sesi soal jawab pada Majlis Silaturrahim dan Penerangan Isu-Isu Semasa, di Hulu Terengganu, Jumaat.
.
Bernama melaporkan beliau yang pernah dilantik menjadi Pengerusi Petronas berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang peserta yang bertanya adakah beliau akan menaikkan harga minyak jika dilantik menjadi Perdana Menteri.
.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan langkah kerajaan menaikkan harga minyak petrol sebanyak 78 sen bagi menjadikan harganya RM2.70 seliter dan RM1 bagi diesel menjadikannya RM2.58 seliter, sebagai langkah tidak lojik kerana harga tersebut mungkin akan naik lagi.
.
"Apakah kerajaan sedia untuk ubah harga itu lagi jika sekiranya harga minyak mengalami kenaikan lagi kerana sekarang ia (harga minyak) belum asas yang kukuh?" tanya beliau. Tengku Razaleigh berkata kenaikan yang berlaku baru-baru ini adalah terlalu tinggi dan membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan rakyat pada masa kini amat tertekan dengan keadaan itu.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi pandangan bagaimana kerajaan harus menangani kos minyak mentah yang tinggi itu

Tiada permohonan laksana undang-undang Islam di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang tidak ada menerima permohonan daripada PAS untuk berbincang mengenai pelaksanaan undang-undang Islam di negeri ini, maka isu mengenainya tidak timbul, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
.
"PAS Pulau Pinang tidak pernah membincangkan dengan kami mengenai cadangan melaksanakan undang-undang Islam itu dan setakat ini tiada permohonan daripada mereka untuk bertemu dengan kami berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. Sehubungan itu, katanya, tiada sebab mengapa perkara itu harus dibincangkannya dengan mana-mana pihak termasuk penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
.
"Yang jelas, Pakatan Rakyat tidak pernah membangkitkan isu ini semasa kami hendak menubuhkan gabungan itu," kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PAS pusat, Azman Shapawi Abdul Rani semalam bahawa sayap itu kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.
.
Lim bagaimanapun berkata, sebagai kerajaan negeri yang adil, ia bersedia mendengar pandangan daripada semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan agenda politik masing-masing. Katanya, walaupun struktur Pakatan Rakyat masih belum lengkap sepenuhnya, gabungan itu mempunyai sebuah sekretariat yang menyelaraskan semua prosedur operasi di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan itu.
.
Azman dipetik sebagai berkata, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Menurut Azman, satu seminar untuk membincangkan perkara ini dalam kalangan anggota Pemuda PAS seluruh negara akan diadakan Ogos ini.
.
- BERNAMA

PAS cadang laksana Siasah Syariah di negeri pembangkang

Dewan Pemuda PAS Pusat kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah, di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, kata Timbalan Ketuanya, Azman Shapawi.

Beliau dipetik sebagai berkata, antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam Siasah Syariah ialah berkaitan dengan pengharaman tempat perjudian, menghadkan premis penjualan arak, dan etika pakaian di pejabat.

Sebuah jawatankuasa, tambahnya, telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor .

“Kita akui bukan mudah untuk melaksanakannya kerana di beberapa negeri pembangkang seperti Pulau Pinang dan Perak, PAS hanya mempunyai suara yang terhad.

“Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya upaya dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan ke-49 di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Azman Shapawi berkata satu seminar untuk membincangkan perkara ini di kalangan anggota Pemuda PAS seluruh negara, akan diadakan pada Ogos ini.

‘Tidak jejas hubungan’

Seminar itu, katanya, antara lain akan membincangkan kaedah paling sesuai digunakan di negeri-negeri berbeza.

“Misalnya di Kelantan PAS menguasai negeri manakala di negeri-negeri pembangkang lain yang bukan diketuai PAS, pelaksanaannya akan disesuaikan dengan undang-undang negeri di samping mengambil kira majoriti masyarakat setempat,” katanya.

Jelasnya, walaupun ada di kalangan pembangkang terutama DAP masih tidak sepakat berkaitan pelaksanaan undang-undang sebegini, beliau percaya masih ada ruang untuk pelaksanaannya memandangkan tidak semua pemimpin parti itu mengambil pendekatan yang sama.

“Kalau kita lihat pemimpin DAP di Pulau Pinang amat terbuka dan bertoleransi, termasuk menaikkan elaun guru KAFA,” katanya.

Beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan baik di antara parti pembangkang kerana masing-masing faham dalam keadaan sekarang, setiap parti tidak boleh bergerak sendiri.

“PAS tak boleh bergerak sendiri, DAP pun tak boleh bergerak sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor pun tak dapat bergerak sendiri, jadi masing-masing perlu menyokong dan bertolak ansur diantara satu sama lain,” katanya.
.
****************************************************************
.
KOTA BAHARU: Pemuda PAS Pusat kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani berkata untuk itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

“Kita akui bukan mudah untuk melaksanakannya kerana di beberapa negeri pembangkang seperti Pulau Pinang dan Perak, PAS hanya mempunyai suara yang terhad. Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya upaya dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan ke-49 di sini, hari ini.

Azman Shapawi berkata satu seminar untuk membincangkan perkara ini dalam kalangan anggota Pemuda PAS seluruh negara akan diadakan pada Ogos ini.

Jelasnya, seminar itu antara lain akan membincangkan kaedah paling sesuai digunakan di negeri-negeri berbeza.

“Misalnya di Kelantan PAS menguasai negeri manakala di negeri-negeri pembangkang lain yang bukan diketuai PAS, pelaksanaannya akan disesuaikan dengan undang-undang negeri di samping mengambil kira majoriti masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam Siasah Syariah ialah berkaitan dengan pengharaman tempat perjudian, mengehadkan premis penjualan arak, dan etika pakaian di pejabat.

Jelasnya, walaupun ada di kalangan pembangkang terutama DAP masih tidak sepakat berkaitan pelaksanaan undang-undang sebegini, beliau percaya masih ada ruang untuk pelaksanaannya memandangkan tidak semua pemimpin parti itu mengambil pendekatan yang sama.

“Kalau kita lihat pemimpin DAP di Pulau Pinang amat terbuka dan bertoleransi, termasuk menaikkan elaun guru KAFA,” katanya.

Beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan baik di antara parti pembangkang kerana masing-masing faham dalam keadaan sekarang, setiap parti tidak boleh bergerak sendiri.

“PAS tak boleh bergerak sendiri, DAP pun tak boleh bergerak sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor pun tak dapat bergerak sendiri, jadi masing-masing perlu menyokong dan bertolak ansur di antara satu sama lain,” katanya. BERNAMA

RM116.7j Rebat Dibayar Pada Hari Pertama

BANGI: Sebanyak RM116.734 juta rebat tunai dibayar kepada pemilik 239,414 kenderaan persendirian sehingga jam 4.30 petang semalam menerusi 683 pejabat pos di seluruh negara. Menurut kenyataan Pos Malaysia Bhd (PMB), petang semalam, pembayaran di semua pejabat pos yang mempunyai sistem berkomputer seluruh negara berjalan lancar walaupun menghadapi beberapa masalah kecil sebelah pagi.
.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, yang melakukan tinjauan di Pejabat Pos Bandar Baru Bangi dan Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, pagi semalam berkata, timbul sedikit masalah di Pejabat Pos Paloh di Johor kerana tiada bekalan elektrik.
.
Manakala beberapa pejabat pos yang lain ada masalah membabitkan pangkalan data, namun Pos Malaysia dapat menyelesaikan masalah tersebut kurang dari setengah jam.
.
"Ini hari pertama, mungkin ada beberapa masalah teknikal berlaku dan selepas ini saya percaya ia akan berjalan lebih lancar," katanya. Hadir sama Pemangku Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (PMB), Datuk Abu Huraira Abu Yazid.
.
Kerajaan memutuskan memberi rebat tunai kepada pemilik kenderaan persendirian bagi petrol dan diesel selepas penstrukturan semula harga bahan api berkenaan minggu lalu.

Shaziman berkata, pembayaran rebat tunai bagi keseluruhan pemilik kenderaan yang memperbaharui lesen pada tempoh 1 April hingga 31 Mei itu membabitkan 1.7 juta kenderaan dengan nilai antara RM700 juta hingga RM800 juta.

Katanya, pemilik kenderaan yang layak menerima rebat tunai tidak perlu tergesa-gesa menuntutnya kerana tarikh akhir tuntutan berakhir 31 Mac 2009.

Beliau berkata, PMB juga bersetuju beroperasi hari ini bagi memudahkan urusan tuntutan rebat tunai berkenaan di pejabat pos terpilih termasuk Pejabat Pos Besar dan pejabat pos di pusat beli-belah dan pasar raya besar.
.
"Bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah yang Ahad bukan hari cuti am, proses tuntutan berjalan seperti biasa mengikut waktu pejabat. Proses pembayaran pejabat pos ini adalah perkhidmatan baru yang ditawarkan kepada pengguna.
"Bagi mempercepatkan lagi urusan mengisi borang, orang ramai boleh memuat turun borang khas bagi tuntutan rebat tunai itu dari laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my," katanya sambil menasihatkan pemilik kenderaan berhati-hati dengan wang yang diterima bagi mengelak disamun.

Beliau berkata, sepanjang pembayaran rebat, Pos Malaysia Berhad turut mengambil langkah keselamatan di premis pejabat pos di seluruh negara dan memberi jaminan operasi biasa di pejabat pos tidak terjejas kerana pembayaran boleh dibuat di semua kaunter.
.
Sementara itu, pemilik kenderaan yang memiliki kad pengenalan sementara perlu mengemukakan sama surat laporan polis sebelum rebat boleh dibayar kepada pemilik kenderaan dan langkah itu bagi mengelak penipuan.

Beliau turut menjelaskan Pos Malaysia Berhad memberi jaminan bekalan wang untuk bayaran rebat tunai itu mencukupi dan jika ada masalah, terutama di kawasan terpencil serta jauh dari pejabat pos, pembayaran akan dibuat melalui kiriman wang.

"Pemilik kenderaan yang dilengkapi gas asli kenderaan (NGV) pula tidak layak untuk menuntut rebat berkenaan," katanya.

Mengenai cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya seseorang individu hanya layak dibayar rebat tunai bagi sebuah kenderaan berbanding maksimum lima kenderaan sekarang, beliau berkata, kajian terperinci perlu dibuat sebelum sebarang keputusan boleh di buat.

"Oleh kerana pembayaran rebat ini pertama kali dilaksanakan kerajaan, mungkin ada banyak kelemahan dan kekurangan. Ini semua kita akan teliti dengan kajian terperinci," katanya.

Tarikh tepat peralihan kuasa belum ditetapkan

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum ditetapkan lagi.

Perdana Menteri berkata, seperti yang diperjelaskannya semalam, beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh mereka.

Abdullah yang ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO negeri Terengganu, di sini ketika ditanya lanjut berhubung perkara itu, sambil tersenyum berkata: "Nak jelas apa lagi, You (wartawan) tak faham lagi...Ohh dah faham tapi nak tanya lagi...(nak tanya) bila.

"Saya (sudah) terang (jelaskan) semalam, itu sudah jelas, bahawasanya saya dan Datuk Seri Najib memang memahami peralihan kuasa akan dijalankan dalam keadaan yang baik, elok dan tersusun dan tidak menimbulkan apa-apa masalah.

"Dan yang keduanya, yang tetapnya tentu sekali saya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib kerana dialah saya akan pilih (sebagai) pengganti saya," katanya.

Abdullah menegaskan peralihan kuasa itu akan dilakukan sebagaimana kedua-dua mereka memahaminya berhubung perkara itu.

"Tarikh yang tepat belum ditentukan, bila masa tiba, peralihan itu akan dilakukan sebagaimana kami kedua-dua memahami," katanya.

Semalam, Abdullah berkata beliau dan Najib telah sepakat menentukan masa yang terbaik untuk peralihan kuasa itu.

Ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan, Abdullah berkata: "Saya dan Najib telah bermuafakat dan kita berdua telah bersetuju bilakah masanya saya bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih sebagai Perdana Menteri."

Royalti minyak dikembali - Terengganu akan dapat semula hak pengurusan lima peratus – PM

KUALA TERENGGANU 14 Jun – Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan sepenuhnya hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu yang ditarik balik sejak tahun 2000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan keputusan itu berkata, penyerahan semula royalti itu akan dibuat sebaik sahaja perincian mengenai perkara itu termasuk prosedur penyerahan ditetapkan dengan kerajaan Terengganu.

‘‘Secara terperincinya, prosedur dan langkah yang akan diambil berhubung pemberian semula royalti minyak ini akan ditetapkan apabila perbincangan dengan kerajaan negeri Terengganu diadakan.

“Kerajaan Persekutuan akan mula bagi (royalti) sebaik semua telah dipersetujui,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO Terengganu serta makan tengah hari bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan di sebuah hotel di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said meminta kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan rakyat.

Hak pengurusan royalti minyak itu yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion setahun ditarik balik pada tahun 2000 ketika pentadbiran Pas.

Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan.

Wang itu disalurkan terus melalui projek pembangunan dan bukannya melalui kerajaan negeri apabila Pas memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum 1999.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan Pusat telah menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Terengganu bagi tempoh tiga tahun sejak Mac 2004 hingga Mac 2007 berjumlah RM7.364 bilion.

Perdana Menteri berkata, tiada perubahan daripada segi jumlah royalti yang akan dikembalikan iaitu sebanyak lima peratus.

Abdullah berkata, beliau percaya penyerahan semula wang royalti itu akan membolehkan kerajaan Terengganu mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

Justeru, beliau menasihatkan pentadbiran Ahmad supaya melaksanakan perbelanjaan berhemah untuk persediaan ketika waktu sukar.

‘‘Kalau kita sudah ada wang, pandai-pandailah uruskan, kita mesti sentiasa uruskan wang dengan baik kerana kita akan menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan perbelanjaan yang kadang-kadang lebih daripada jangkaan.

‘‘Tapi kalau duit sudah habis dan kita tidak amalkan perbelanjaan berhemah, maka kita akan hadapi banyak masalah. Oleh itu perbelanjaan dan pentadbiran berhemah mesti menjadi amalan ketika waktu susah atau waktu senang,” ujarnya.

Sementara itu di Setiu, Ahmad ketika ditemui pemberita, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas keputusan tersebut.

‘‘Saya bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Terengganu gembira kerana Perdana Menteri prihatin dengan kehendak rakyat negeri ini,’’ ujarnya.

Katanya, dengan adanya royalti minyak ini akan membolehkan kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan mengikut keperluan rakyat.

Laporan Berita Sekitar Lawatan Pak Lah

Abdullah Tiba Di Kelantan Untuk Lancar Pelan Meningkatkan Beras Negara


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tiba di sini bagi lawatan sehari ke Kelantan untuk melancarkan pelan meningkatkan pengeluaran beras negara.


Perdana Menteri tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa pada 8.50 pagi diiringi isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

.

Ketibaan Abdullah disambut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan pemimpin-pemimpin parti. Beliau kemudiannya ke Hotel Renaissance di sini bagi menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri.


Perdana Menteri kemudian akan menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemimpin di hotel yang sama sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid negeri, Masjid Muhammadi di sini.Pada petang, Abdullah dijadual ke Kampung Bendang Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas untuk menghadiri Majlis Pecah Tanah Pelancaran Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara.


Sebelah malam, Presiden Umno itu akan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, 20 kilometer dari sini. Perdana Menteri dijangka bertolak ke Kuala Terengganu selepas menghadiri majlis itu.


**************************************************************************



Umno Kelantan Ikrar Tetap Setia Kepada Abdullah


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Umno Kelantan berikrar akan tetap setia dan menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menerajui parti dan negara walaupun beliau mungkin ditentang oleh "anak Kelantan" sendiri dalam pemilihan parti Disember ini.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata Umno Kelantan tetap menaruh keyakinan terhadap keupayaan Abdullah sebagai orang nombor satu parti."Walaupun jawatan presiden dicabar Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) yang juga anak Kelantan tetapi Umno Kelantan tetap berdiri di belakang Pak Lah.


"Dulu pun Ku Li pernah mencabar presiden (terdahulu) Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi Umno Kelantan pada waktu itu tetap setia kepada Dr Mahathir," katanya semasa berucap di hadapan Abdullah pada majlis makan tengah hari Perdana Menteri bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan di sini. Majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.


Annuar berkata Tengku Razaleigh berhak untuk bertanding jawatan itu dan Umno Kelantan menghormati hak itu."Itu hak peribadi Ku Li dan apa sahaja yang dilakukan ia tidak memecahbelahkan perpaduan parti," katanya. Umno Kelantan yakin Abdullah mampu memulihkan semula imej parti yang tercalar selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.


"Kami yakin Pak Lah mempunyai resipi untuk memulihkan imej parti dan kerajaan. Kami barisan Umno Kelantan tetap berada di belakang Perdana Menteri dan menyokong sepenuh apa yang akan dilakukannya," katanya.


Beliau berkata pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir, kerajaan ketika itu juga turut diuji dengan pelbagai ujian namun dengan sokongan kuat akar umbi, Umno dan kerajaan mampu menanganinya dengan baik," kata Annuar. Sebelum itu Abdullah menghadiri mesyuarat selama dua jam dengan Badan Perhubungan Umno Kelantan.


**************************************************************************



Abdullah Harap Rakyat Faham Rasional Kenaikan Harga Minyak


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat memahami rasional kenapa kerajaan menaikkan harga bahan api baru-baru ini tanpa sedikit pun niat untuk menambah beban mereka. Beliau berkata apa yang dilakukan kerajaan sehingga terpaksa menaikkan harga sebanyak 78 sen untuk petrol dan RM1 untuk diesel adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan walaupun memahami ia amat perit untuk ditanggung rakyat.
.
"Harga minyak kini terus naik dan kerajaan terpaksa menambah subsidi lagi," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa.
.
Abdullah mengulangi jaminan bahawa harga bahan bakar itu tidak akan dinaikkan lagi tahun ini walaupun kerajaan akan terus menanggung subsidi yang meningkat.

"Kita (kerajaan) memahami masalah rakyat dan sedang berusaha memastikan kenaikan minyak baru-baru ini tidak akan menambah beban mereka dan sebab itu kita beri jaminan harga tidak dinaikkan lagi (tahun ini)," katanya.

Beliau berkata isu kenaikan harga bahan bakar itu akan diperincikan lagi dalam pertemuannya dengan rakyat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala di sini, malam ini.


**************************************************************************


Abdullah Mahu Petani Bersungguh-Sungguh Bantu Jadikan Pertanian Sektor Utama Negara


PASIR MAS, 13 Jun (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa petani supaya turut serta dalam agenda kerajaan untuk menjadikan pertanian antara sektor paling utama negara. Perdana Menteri berkata sektor pertanian semakin berkembang dan kini bersaing dengan sektor perkilangan sebagai penyumbang utama pendapatan negara selepas sektor perkhidmatan.


"Alhamdulillah, sekarang ini kita boleh lihat perkembangan sektor pertanian semakin hebat."Sekiranya petani boleh bersungguh-sungguh meningkatkan hasil pertanian, lama-lama ia akan menjadi sektor penting yang membantu pembangunan ekonomi negara," katanya ketika melancarkan Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara di Kampung Bendang Perangkap, Bunut Susu, di sini.


Abdullah yang diiringi isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah sedang dalam rangka lawatan sehari ke Kelantan. Abdullah berkata sektor pertanian juga mampu memberi pulangan lumayan kepada petani yang kebanyakannya tinggal di kampung dan desa.


"Bukan mustahil rakyat yang bekerja sebagai petani dapat pendapatan yang lebih tinggi daripada yang bekerja di bandar," katanya.Beliau memberi contoh negara Belanda yang menjadi antara pembekal makanan utama dunia.


"Walaupun Belanda hanya sebesar negeri Pahang, ia kini mampu jadi negara nombor dua pengeksport makanan ke seluruh dunia," katanya.Perdana Menteri berkata Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara ditubuhkan bertujuan untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan mengurangkan penggantungan terhadap beras import.


Abdullah berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM64 juta bagi program meningkatkan pengeluaran padi negara serta memberikan geran bantuan kepada petani untuk membeli traktor. Katanya kerajaan merangka pelan tindakan jangka pendek yang antara lain melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, perataan tanah sawah, meningkatkan kesuburan tanah dan mengawal makhluk perosak padi.


Di bawah rancangan jangka panjang pula, tindakan akan diambil untuk membangunkan infrastruktur pengairan dan saliran seperti pembangunan sumber air baru, pembinaan rangkaian jalan ladang dan pembinaan struktur pengawalan banjir.


**************************************************************************


"Saya Juga Tidak Akan Pecah Belah Umno," Kata PM


KOTA BAHARU, 13 Jun (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melahirkan kenyataan senada dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau juga tidak akan merosakkan Umno. Menurut Perdana Menteri, seperti yang dinyatakan oleh Najib yang menegaskan bahawa beliau tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan parti yang diasaskan oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, beliau juga tidak sekali-kali akan memecahbelahkan parti keramat Umno.


"Saya tidak akan memecahbelahkan Umno. Di utara, Umno di asas oleh bapa dan datuk saya sendiri," katanya pada majlis makan malam anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini malam ini. Katanya, apa yang berlaku kepada Umno selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas tidak melemahkan Umno dan parti itu tetap mempunyai kekuatan untuk bangkit semula.


"Saya sedih dan terharu menerima keputusan pilihan raya yang lalu. Tetapi kita masih lagi ada tenaga, kita masih ada kekuatan," katanya.Yang turut hadir ialah Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa serta lebih 2,000 anggota Umno. Merujuk kepada keputusan pilihan raya umum lepas, Abdullah berkata anggota Umno tidak perlu merasa kecewa sehingga sanggup berbalah sesama sendiri dan akhirnya boleh merosakkan parti.


"Umno telah melalui pelbagai ujian sejak sebelum merdeka lagi sehinggalah sekarang, tetapi Alhamdulillah Umno masih kukuh dan mempunyai pejuang untuk mempertahankan bangsa dan negara."Sepertimana PAS di Kelantan yang pernah menang tipis tetapi kali ini kuat semula, dan saya yakin Umno juga akan seperti itu," katanya. Perdana Menteri berkata dalam lawatannya ke beberapa negara lain, beliau pernah ditanya mengenai Barisan Nasional (BN) yang kini memerintah negara tanpa memprolehi majoriti dua pertiga.


"Kata mereka, BN menang selesa sebenarnya dan tidak ada sebab bagi kerajaan yang ada tidak berbuat sesuatu untuk membangunkan negara dan rakyat.


"Saya berazam untuk pulihkan semula Umno," katanya. Menurutnya, lawatan seharinya ke Kelantan hari ini, beliau mendapati Umno Kelantan masih kuat walaupun kekuatannya masih belum mencukupi untuk merampas kembali Kelantan. Sehubungan itu, beliau meminta anggota Umno di peringkat cawangan untuk lebih berusaha keras bagi memperkasakan cawangan masing-masing.

.

"Kuatnya cawangan kuatlah bahagian dan saya gembira perpaduan yang ada di kalangan mereka cukup kuat," katanya.



Sekitar Lawatan Kerja Sehari Pak Lah ke Kelantan
















YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disambut oleh pelbagai lapisan masyarakat apabila tiba di Lapangan terbang Sultan Ismail Pengkalan Chepa untuk Lawatan Kerja Sehari ke Kelantan.
























BERTEMU RAKYAT: Abdullah bersalaman dengan orang ramai yang menyambut kedatangan beliau pada majlis pelancaran Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara di Kampung Bendang Perangkap, Bunut Susu dekat Pasir Mas.














TEKNOLOGI PERTANIAN: Abdullah bersama Annuar melihat kerja penaburan kapur untuk penyuburan tanah di Pasir Mas