SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

09 June 2008

Bot peronda negara jiran halang nelayan Malaysia di Pulau Merambong

JOHOR BAHRU 9 Jun — Nelayan-nelayan di Gelang Patah kini tidak lagi dapat menangkap ikan di perairan Pulau Merambong, kawasan yang kaya dengan sumber ikan, berikutan tindakan bot-bot peronda negara jiran menghalang nelayan.

Menurut nelayan itu, walaupun pulau itu terletak dalam sempadan maritim Malaysia, pihak berkuasa negara jiran sering menghalang mereka daripada menangkap ikan di kawasan terbabit terutamanya pada waktu malam.

"Walaupun kita tahu kita berada di dalam perairan Malaysia berdasarkan kedudukan boya penanda sempadan, mereka (bot peronda negara jiran) tetap bertindak menghalau kita dengan alasan berada terlalu dekat dengan sempadan perairan negara mereka,” menurut nelayan di Kampung Pendas Laut, Mohd Rosli Abu, 58, kepada Bernama hari ini.

Anggota bot peronda pengawal negara jiran itu dakwanya, juga pernah beberapa kali merampas kad pengenalannya ketika beliau sedang menangkap ikan berhampiran pulau itu pada waktu malam.

Mohd Rosli berkata, mereka memberi alasan mahu memeriksa sama ada beliau mempunyai rekod jenayah, sebelum memulangkan kembali kad pengenalannya itu.

"Kadang kala ada di antara bot-bot peronda terbabit dipandu laju berhampiran bot kecil saya, sehingga hampir mengakibatkan bot saya terbalik disebabkan ombak,” katanya, dan menambah, ini sebagai usaha untuk menghalaunya.

Pulau Merambong yang tidak berpenghuni itu terletak berhampiran sempadan maritim Malaysia dan Singapura. Ia hanya terletak kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan bot dari Tuas, Singapura berbanding 30-45 minit dari Gelang Patah.

Nelayan, Tarmizi Jailani, 46, pula berkata, tindakan agresif bot peronda negara jiran itu mengakibatkan nelayan-nelayan tempatan kini tidak menjadikan kawasan perairan sekitar Pulau Merambong sebagai kawasan tangkapan ikan.

"Apabila masuk sahaja 7 malam, nelayan akan meninggalkan kawasan perairan sekitar Pulau Merambong kerana bimbang akan gangguan dari bot-bot peronda negara jiran,” katanya.

Nelayan-nelayan tempatan menurutnya, mengetahui tentang kedudukan sempadan maritim di antara Malaysia dan Singapura di sekitar Pulau Merambong itu berikutan terdapatnya beberapa tanda sempadan yang didirikan oleh Jabatan Laut.

"Kita sudah bertahun-tahun menangkap ikan di sini, kita tahu di mana perairan Malaysia dan perairan Singapura,” kata Tarmizi.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya Datuk Abdul Aziz Sapian meminta pihak berkuasa negara ini menjalankan rondaan dengan lebih kerap di perairan Pulau Merambong bagi menangani masalah gangguan bot peronda negara jiran terhadap nelayan tempatan.

"Kita terima banyak laporan dari nelayan-nelayan tempatan tentang gangguan daripada bot peronda negara jiran walaupun mereka (nelayan tempatan) jelas berada di dalam perairan Malaysia,” katanya.

Beliau yang membawa media tempatan melawat Pulau Merambong menggunakan kapal Jabatan Laut Wilayah Selatan hari ini mahukan pulau yang terletak di lokasi strategik di Selat Johor itu dibangunkan.

Menurutnya, Pulau Merambong itu amat strategik kerana ia terletak di tengah-tengah laluan perkapalan yang sibuk untuk ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), loji janakuasa Tanjung Bin dan Asia Petroleum Hub serta laluan ke kawasan industri Tuas di Singapura.

— BERNAMA

Bayaran rebat dicepatkan kepada Sabtu ini

PUTRAJAYA 9 Jun — Kerajaan hari ini mengumumkan bayaran rebat kepada pemilik kenderaan persendirian yang layak yang sebelum ini dijadualkan mulai 1 Julai, dipercepatkan kepada Sabtu ini bagi mengurangkan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan pada April dan Mei tahun ini juga boleh mendapatkan bayaran berkenaan di pejabat pos pada tarikh berkenaan.

Maklumat terperinci mengenai prosedur berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis menangani inflasi di pejabatnya di sini hari ini.

Pemilik kenderaan berkuasa 2000 cc ke bawah, pikap dan pacuan empat roda yang berkuasa 2500 cc ke bawah akan diberi rebat RM625 setahun namun, bagi pemilik motosikal berkuasa 250 cc ke bawah rebatnya RM150 setahun.

- Bernama

Elaun keraian PM, TPM, menteri dan timbalan menteri dikurangkan 10 peratus

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan empat langkah mengurangkan beban rakyat, termasuk mengurangkan elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri kepada 10 peratus.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memutuskan cuti anggota Kabinet yang ditanggung kerajaan selama seminggu hanya dalam negara Asean. Tiga langkah lain ialah mempercepatkan bayaran rebat tunai mulai Sabtu ini bagi meraka yang membaharui cukai jalan pada April dan Mei, selain menambah kuota fleetcard untuk mengusaha pengangkutan dan menambah baik jaringan sosial.

Katanya, semua langkah itu dapat menjimatkan RM2 bilion yang akan digunakan untuk membayar bentuk bantuan lain kepada rakyat.

Rasmi: Tiada lagi Islam Hadhari di Pulau Pinang

Pulau Pinang mengambil keputusan rasmi menghentikan promosi program Islam hadhari di negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin.

Menurutnya, perkara itu akan diumumkan secara rasmi selewat-lewatnya minggu depan.
"Saya akan membuat sidang akhbar itu mungkin di sekitar hujung minggu ini atau minggu depan.
Jadi keputusan kita, di Pulau Pinang ini, kita tidak menggunakan istilah haram (mengharamkan Islam hadhari). "Kita tidak akan meneruskan sama sekali program Islam hadhari ini.
"Kita akan menumpukan untuk membangunkan dan menggerakkan sebanyak-banyaknya segala program-program Islam yang telah sedia ada dan kita syiarkan tujuan itu tanpa perlu menggunakan istilah-istilah yang mengelirukan,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.
Menjelaskan maksud "tidak meneruskan" itu, Mohammad Fairus berkata, "ertinya, segala program (Islam hadhari) mesti dihentikanlah dan ditumpu (kepada usaha) menghidupkan apa yang ada di dalam Islam, sebagaimana yang nabi bawa sejak 1400 tahun lalu."
Keputusan itu diambil - tidak lama selepas Selangor mengambil langkah yang sama pada 26 Mei lalu - setelah mendapat nasihat 20 hingga 30 orang pakar-pakar agama dan bekas-bekas mufti, katanya.
"Setelah saya berbincang dan mendapat nasihat daripada beberapa pakar agama, malah beberapa bekas mufti, tokoh-tokoh agama, ulama ini bersetuju," katanya. Beliau bagaimanapun enggan menyebut beberapa tokoh ulama dan pakar yang dirujuknya.
Diminta mengulas jika terdapat pihak yang enggan mematuhi arahan ini, Mohammad Fairus berkata: "Itu bermaksud mereka engkar pada ketetapan penguasa negeri. Dan kita menyatakan keputusan kita, kita tak akan meneruskan (program Islam hadhari)."
Ditanya tindakan yang bakal diambil mereka, beliau berkata kerajaan negeri belum memutuskan tindakan lanjut. "Yang itu, saya akan tentukan kemudian," tambahnya.
Mohammad Fairus berkata kerajaan negeri telah menghentikan program mempromosikan versi Islam tersebut walaupun tiada pengumuman rasmi dikeluarkan sebelum ini.
Sementara itu, kumpulan aktivis muda Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) melihat tindakan kerajaan Selangor mengharamkan Islam hadhari itu sebagai "terperangkap dalam usaha BN."


"Kami yakin, tentulah harapan rakyat kepada kerajaan baru di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak adalah bagi melihat kerajaan Pakatan Rakyat memainkan peranan membela nasib golongan terpinggir seperti peniaga kecil, ibu tunggal, mahasiswa dan semua lapisan masyarakat daripada hanya terbelit dengan ‘perangkap’ Umno dan BN," kata jurucakapnya Hasmi Hashim.
"Tatkala rakyat merintih kekurangan beras di dapur dan ribuan nelayan yang kekeringan diesel untuk ke laut, tindakan mengharamkan Islam hadhari boleh sahaja dianggap sebagai mengalih isu yang sedang dideritai rakyat."
Hasmi, juga ketua bahagian PKR Parit Sulong berkata, niat asal perjuangan reformasi 1998 untuk menuntut kebebasan bersuara wajar direnung kembali ketika kerajaan-kerajaan negeri Pakatan, termasuk Selangor, bakal menyambut 100 hari pemerintahan.
"Kami bimbang dengan pemaksaan kuasa termasuk pengharaman Islam hadhari hanya membayangkan bagaimana kerajaan baru ini dilihat mirip autoritarian ala kerajaan (BN) terdahulu," kata Hasmi dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan lepas, exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata: "kerajaan telah membuat keputusan, Islam hadhari tidak diizinkan untuk diperkembangkan di negeri Selangor, cukuplah dengan dinul (agama) Islam."
Susulan kenyataan tersebut, mufti-mufti Perlis dan Perak mempertahankan Islam hadhari.


"Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan," kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru- baru ini.


"Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu."


Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan.
"Apa yang saya faham setelah berbincang dengan perdana menteri dahulu, Islam hadhari menepati tujuan Islam," katanya.
Semalam menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zahid Hamidi dilaporkan berkata Dr Hassan "tidak menolak konsep" Islam hadhari dan tidak juga mengharamkannya.
Mengulas lanjut kenyataan awalnya itu, Dr Hassan pernah memberitahu Malaysiakini: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program-program keagamaan."
Pada 27 Mei, media rasmi PAS Harakahdaily.net melaporkan bahawa Hassan mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari akan ditarik balik tauliahnya.

Tuntut janji Anwar turunkan harga minyak

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mencabar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menjelaskan langkah-langkah yang beliau akan ambil untuk menurunkan harga minyak yang naik mendadak minggu lalu.

Naib presiden PRM Koh Swe Yong mengulas kenyataan Anwar bahawa apabila "Pakatan Rakyat memegang tampuk pemerintahan pusat, pasti akan menurunkan harga minyak" dan jika "Pakatan tidak menunaikan janji-janji, menurunkan harga minyak, beliau akan meletakkan jawatan."

Beliau mencabar Anwar mengumumkan harga minyak akan diturunkan oleh Pakatan "kerana menurunkan harga 5 sen atau 20 sen pun, (boleh disebut) turun harga juga." Koh juga berkata Anwar sebagai pendukung ekonomi pasaran bertentangan dengan konsep menjaga kebajikan rakyat seperti disebarkan oleh parti pembangkang.

Untuk mengelakkan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai semata-mata "cakap-cakap politik", katanya lagi, Anwar harus segera mengarahkan Selangor yang dikuasai oleh Pakatan untuk menunaikan janji-jani manifesto pilihanraya umum.

Manifesto itu, antaranya, menurunkan cukai pintu, cukai tanah dan memberi wang saguhati seribu ringgit kepada pelajar-pelajar baru yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

"Sekiranya kerajaan negeri Selangor tidak melaksanakan janji-janji pilihanraya umum itu, kerajaan negeri Selangor harus meletakkan jawatan sebagai tanda maaf kepada pengundi Selangor," kata Koh dalam satu kenyataan.

"Perbuatan di atas dapat membuktikan kini apa yang dikatakannya adalah benar, bukan cakap-cakap politik."

Rais nafi desak PM undur

Datuk Seri Rais Yatim tidak pernah meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan dan Presiden Umno sebelum pemilihan parti Disember ini.

Bagaimanapun, satu sumber memberitahu Malaysiakini, menteri luar itu pernah meminta Abdullah melakukan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa permukiman ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno di Shah Alam, Khamis lalu.

Dalam majlis tersebut, Rais diberikan tanggungjawab membentang hasil perbincangan kumpulan tersebut yang diketuai oleh Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ahli MT lain.

Dalam permukiman tersebut, 52 anggota MT dipecahkan kepada tiga kumpulan. Kumpulan Dr Rais dan Muhyiddin disertai 14 lagi anggota. Dua kumpulan lagi masing-masing diketuai oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Kumpulan (Rais) tersebut mengandungi 16 ahli MT, termasuk ketua Pemuda, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad.

"Ia bukannya pandangan peribadi Rais tetapi kumpulan tersebut kerana Rais mewakili kumpulannya," kata sumber yang dekat dengan program tersebut ketika dihubungi hari ini. Sumber menyebut, ketika diminta mengulas laporan sebuah laman web yang mengatakan ahli parlimen Jelebu itu telah meminta Abdullah berhenti dari jawatan kerajaan dan politik segera sebelum pemilihan parti Disember ini.

Akibatnya, Rais dilaporkan dikecam oleh ahli-ahli MT lain, khususnya yang tidak bersama kumpulan diskusi tersebut, kerana kenyataan sewaktu pembentangan didakwa bercanggahan dengan keputusan kumpulan.

Selain dua Menteri itu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Azim Zabidi turut serta. Apabila ditanya lebih perinci, menurut laporan laman web tersebut, beberapa anggota kumpulan Rais mengakui mereka membincangkan isu peralihan kuasa tetapi tidak mendesak perdana menteri berundur dalam masa terdekat.

Sumber itu menegaskan, pandangan Rais tentang peralihan kuasa merupakan keputusan kumpulan tersebut yang membincangkan kehendak ahli parti peringkat akar umbi selepas kemerosotan teruk Umno dan BN dalam pilihanraya umum Mac lalu. Rais dipilih membentangkan hasil perbincangan kumpulan itu, kata sumber lagi, kerana ahli-ahli kumpulan tersebut merasakan beliau pemimpin yang paling kanan dalam kumpulan tersebut.

"Ahli-ahli parti di peringkat cawangan mahu penentuan yang jelas mengenai peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib," kata sumber.

"Rais meminta Perdana Menteri memberikan perhatian yang jelas mengenai peralihan kuasa tersebut," katanya lagi. Mengulas mengenai laporan tersebut, sumber itu berkata, ada orang semakin kritikal dengan Rais berikutan beberapa kenyataan lantangnya terhadap parti dan pucuk pimpinan terutama sejak kebelakangan ini.

Jakim buat penilaian '100 Hari 100 Kereta' esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat ketetapan sama ada peraduan '100 Hari 100 Kereta' yang dianjurkan Celcom (Malaysia) Bhd (Celcom) menyalahi hukum Syarak atau sebaliknya, dalam satu mesyuarat yang dijangka diadakan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu akan dibuat Panel Kajian Syariah Jakim yang akan bermesyuarat bagi merungkai kekeliruan yang timbul di kalangan orang ramai berhubung peraduan itu.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad dan disertai Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Anan C Mohd; Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Penasihat Kanan Bahagian Undang-Undang Celcom, Jalaluddin Mokhtar.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak menentang hasrat syarikat telekomunikasi mengadakan pelbagai kempen, tetapi sentiasa mengingatkan mereka bahawa jika sesuatu hadiah yang ditawarkan itu memberikan konotasi ada unsur merugikan, ia hendaklah dielakkan.

"Jika ini berlaku, saya berpendapat mereka boleh cari dan cipta pendekatan lain. Contohi mekanisme seperti Sijil Simpanan Premium (SSP) yang dilaksanakan Bank Simpanan Nasional (BSN)... wang yang dilaburkan tidak hilang dan hadiah pula diperoleh.

"Bagaimanapun, bagi saya unsur perjudian hanya boleh dikategorikan jika sejumlah wang yang dilaburkan itu tidak membawa pulangan atau faedah kepada individu terbabit, maka hukumnya judi dan judi itu haram," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turun padang dalam Program Dakwah Salam Hadhari 'Masih Ada Yang Sayang' di sini, semalam. Hadir sama Wan Mohamad; Pengarah Jawi yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali dan Pengarah Eksekutif Yayasan Salam Malaysia, Md Ghani Ibrahim.

Khamis lalu, akhbar melaporkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyifatkan peraduan '100 Hari 100 Kereta' anjuran Celcom sebagai haram dan perlu dijauhi semua umat Islam. Pertimbangan itu dibuat Mohd Asri selepas mengambil kira cara peraduan itu dilaksanakan dan dikendalikan pihak penganjur dengan menerapkan unsur tidak sihat, termasuk perjudian.

Beliau meminta semua umat Islam di negara ini tidak sekali-kali menyertai peraduan '100 Hari 100 Kereta' terbabit bagi mengelak bukan saja terpedaya, malah terjerumus kepada satu perbuatan dianggap haram di sisi Islam.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyarankan syarikat terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk merujuk kepada Jakim sebelum mengadakan sebarang peraduan bagi mengelakkan sebarang pertikaian.

"Kita bukan menghalang kreativiti, tetapi kalau peraduan yang boleh mendatangkan kekeliruan terutama dalam aspek membabitkan hukum agama, maka ia hendaklah dirujuk pada pakar sebelum diadakan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Datuk Najmuddin Abdullah, yang ditemui di Subang, berkata pihaknya yakin mesyuarat Jakim esok akan membuat ketetapan yang berpihak kepada mereka kerana yakin promosi yang dilakukan tidak bercanggah dengan Syarak. Katanya, sebelum promosi dijalankan, Celcom sudah menjalankan kajian selain mendengar pandangan daripada panel peguam Syarie serta merujuk kepada Jakim dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kita yakin peraduan itu tidak berunsur perjudian tetapi disebabkan persepsi yang berbeza, Celcom memutuskan untuk mendengar sekali lagi pandangan Jakim yang akan diketahui Selasa ini," katanya yang enggan mengulas lanjut kerana Celcom akan membuat kenyataan bersama Jakim selepas mesyuarat itu.

Syabas tolak terma, syarat akujanji pemberian air percuma

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini menolak terma dan syarat pembayaran yang dijanjikan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri Selangor berhubung pemberian 20 meter padu air percuma.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan, berkata setelah menelitinya, Syabas tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB itu yang ditandatangani 6 Jun lalu dan dihantar kepada Syabas dengan serahan tangan, pagi ini. "Surat penolakan Syabas itu dihantar kepada KDEB untuk makluman dan tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Ruslan berkata, Syabas tidak bersetuju dengan akujanji itu yang mencadangkan pembayaran bil air yang diberikan percuma kepada pengguna hanya akan dibuat oleh KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor oleh KDEB siap sepenuhnya, September depan. Katanya cadangan KDEB itu secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi syarikat itu. Ruslan berkata, Syabas berpendapat pemberian air percuma yang dicadangkan kerajaan Selangor itu tiada kaitan dengan program penstrukturan yang dicadangkan di negeri itu.

"Oleh itu, cadangan balas Syabas ialah untuk mengebil kepada pihak KDEB setiap penghujung bulan dan pembayaran oleh KDEB kepada Syabas perlu diterima dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan tersebut,” katanya. Katanya, kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan itu akan menyebabkan Syabas terpaksa menghentikan program pemberian air percuma itu.
Ruslan berkata Syabas akan meneruskan dengan pengeluaran bil seperti biasa tanpa pemotongan atau subsidi sehingga ia berpuas hati dengan akujanji yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor mahupun KDEB bagi pembayaran 20 meter padu air yang dijanjikan kerana Syabas tertakluk kepada perjanjian konsesi seperti yang ditandatangani dengan kerajaan negeri dan Pusat.
— Bernama

Bahan api: Kenapa rakyat Malaysia perlu bayar lebih

KUALA LUMPUR: Kira-kira pukul 7 malam Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan untuk menghadiri satu majlis taklimat yang diatur sebelumnya bagi semua anggota Dewan Negara di Bangunan Parlimen di sini.
Setengah jam kemudian, beliau tiba di sana dan terus memberi penjelasan kepada mereka tentang keputusan kerajaan menaikkan harga bahan bakar sebanyak 41 peratus, seperti yang beliau umumkan tiga jam sebelum itu di pejabatnya di Putrajaya.
"Melalui cara beliau bercakap, cara beliau menyatakan sebab-sebabnya dan cara beliau memberi penjelasan tentang isu itu, Perdana Menteri kelihatan memahami apa yang beliau lakukan. Semuanya (penjelasan itu) diberi tanpa berpandukan teks dan beliau memberi menjelasan tentang perkara itu secara panjang lebar.
"Abdullah memberi penerangan tentang isu itu secara jelas dan padat. Ringkasnya, setelah sesi itu berakhir, kesimpulan saya ialah beliau tahu apa yang beliau perkatakan," kata Senator Datuk Gooi Hoe Hin, yang menghadiri taklimat tertutup itu.
Bagi kerajaan, langkah mengurangkan subsidi bahan bakar merupakan cara terbaik untuk memastikan wang yang diperoleh daripada pembayar cukai, digunakan secara lebih produktif seperti menambah baik kemudahan pendidikan, kesihatan dan prasarana demi faedah rakyat sendiri, daripada membiarkan sebahagian besarnya dibelanjakan secara tidak berhemat oleh pemilik kenderaan. Kerajaan membuat keputusan untuk menangani isu itu secara berterus terang bagi mengelak rakyat menjadi semakin marah berikutan kenaikan harga bahan bakar.
Langkah konkrit

Sejajar dengan itu, kerajaan juga akan mengumumkan beberapa langkah konkrit minggu ini bagi meringankan beban yang dipikul pengguna. Gooi menerima hakikat bahawa kerajaan tidak lagi mampu untuk terus memberi subsidi terhadap bahan bakar apabila harga minyak mentah mencecah hampir AS$140 setong. Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan sepatutnya mengurangkan subsidi itu secara beransur-ansur, berdasarkan harga di pasaran antarabangsa.
"Memberi subsidi umpama memberi candu. Apabila rakyat sudah menjadi penagihnya, amat sukar untuk menariknya kembali kerana mereka akan mula mempersoalkan kenapa ia perlu dikurangkan," katanya. Mulai sekarang, Malaysia perlu menghentikan pemberian subsidi bahan bakar dan bukan menunggu hingga tibanya keadaan di mana kerajaan tidak lagi mampu meneruskannya, kata beliau.

Malaysia, yang merupakan negara pengeluar minyak, memperkenalkan subsidi bahan bakar pada 1982 bagi mengurangkan kesan buruk yang ditanggung oleh pemilik kenderaan akibat kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia. Kini, pemberian subsidi ini melibatkan hampir sepertiga daripada jumlah bajet negara.
Keputusan berisiko

Pandangan Gooi itu itu dikongsi oleh banyak pakar ekonomi dan penganalisis politik, yang percaya bahawa Malaysia terpaksa menerima saja pengajaran yang menyakitkan itu ketika kerajaan perlu membuat "keputusan yang berisiko tinggi daripada segi politik" dalam menangani isu berkenaan. Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA) Datuk P.H.S. Lim berkata sebelum ini, kerajaan tidak menaikkan harga bahan bakar kerana ingin menjadi popular.
Beliau berpendapat kerajaan sepatutnya hanya memberi subsidi bagi bahan makanan dan pengangkutan awam, bukan terhadap bahan bakar kegunaan kenderaan persendirian kerana langkah itu mengakibatkan wujudnya ketidakcekapan dalam sistem ekonomi. Kerajaan juga, kata beliau, sepatutnya memperkenalkan setem makanan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah untuk membeli bahan makanan.
"Baru-baru ini, saya ditanya, apabila kerajaan memberi diesel pada harga lebih murah kepada nelayan, adakah pengguna mendapat ikan pada harga lebih murah," katanya. Penganalisis politik Khoo Kay Peng pula berkata, jumlah subsidi bahan bakar telah meningkat dengan mendadak sejak 1982 dan apabila Abdullah mengambil alih teraju pentadbiran negara ini pada 2004, keadaan sudah mencapai tahap yang tidak lagi mengizinkan kerajaan untuk terus menghulurkan subsidi berikutan harga minyak yang melonjak.
Kata beliau pentadbiran Abdullah berpendapat bahawa penjimatan wang pembayar cukai hasil daripada pengurangan pemberian subsidi, perlu disalurkan ke jalan lebih baik seperti menambah baik sistem pengangkutan awam untuk memberi lebih banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
"Sejak 2004, kerajaan sudah pun bercadang memotongnya, tapi saya tak tahu kenapa ia tidak berbuat demikian. Kerajaan tahu, suatu hari nanti, tindakan itu perlu juga diambil.
Tindakan terus

Kalau tindakan ini terus ditangguhkan dan tiba-tiba keputusan terpaksa dibuat untuk membuat pemotongan besar, sudah tentu rakyat menjadi amat marah," kata Khoo. Beliau berharap penjimatan sebanyak RM13.5 bilion daripada subsidi bahan bakar akan digunakan secara bijak dan produktif. Tindakan kerajaan menghentikan pemberian subsidi bahan bakar juga disokong badan antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Berdasarkan data IEA, subsidi bahan bakar di China, India dan Asia Barat saja melibatkan AS$50 bilion tahun lepas. Jumlah ini akan menjadi lebih besar pada 2008 jika harga minyak terus meningkat, kata Pengarah Eksekutif IEA Nobuo Tanaka.
Malah, beliau berkata "bukanlah suatu andaian yang tidak masuk akal" kos melindungi pengguna daripada harga pasaran di ekonomi sedang muncul ini akan meningkat kepada AS$100 bilion tahun ini. Tanaka berkata, subsidi memberi ruang kepada pengguna untuk terus menggunakan minyak secara tidak berhemat dan melonjakkan harga minyak dunia, hinggakan dalam banyak keadaan, ia menjadi beban ekonomi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh kerajaan, yang lama kelamaan, memaksa kerajaan perlu mengubah dasarnya bagi membiarkan kuasa pasaran mengawal permintaan.

Petronas meraih

Hakikat bahawa Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan Petronas meraih keuntungan sejak sekian lama, sering mendorong kebanyakan rakyat Malaysia untuk bertanya kenapakah subsidi minyak tidak boleh terus diberi kepada mereka. Ahli politik pembangkang mendakwa penjelasan kerajaan bahawa harga runcit petrol RM2.70 sekarang masih rendah berbanding di negara lain di rantau ini, tidak boleh diterima kerana ia sepatutnya dibandingkan dengan harga di negara pengeluar minyak mentah lain.
Bagi menguatkan hujah mereka, ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan satu senarai perbandingan:
  1. Emiriyah Arab Bersatu (RM1.19 seliter)
  2. Mesir (RM1.03 seliter)
  3. Kuwait (RM0.67 seliter)
  4. Arab Saudi (RM0.38 seliter)
  5. Nigeria (RM0.32 seliter)
  6. Venezuala (RM0.16 seliter)
Mengulas perkara ini, Ketua Ahli Ekonomi RAM Consultancy Services Dr Yeah Kean Leng berkata, memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pengeluar minyak lain dan malah, sesetengah negara membangun, memberi subsidi yang besar jumlahnya bagi harga bahan bakar.
"Tapi, apa yang menjadi persoalan ialah saiz subsidi yang mereka berikan kerana kebanyakannya hanya berjumlah kira-kira 2.0 hingga 4.0 peratus daripada KDNK mereka, kecuali sesetengah negara pengeluar minyak seperti Brunei, memberi hingga 5.0 peratus daripada kadar KDNKnya.

"Malaysia memberi kira-kira 6.0 hingga 7.0 peratus daripada jumlah KDNKnya berdasarkan harga AS$135, iaitu suatu jumlah yang terlalu besar dan kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk mengurangkannya," kata beliau.

Mendadak

Yeah berkata kenaikan mendadak harga bahan bakar baru-baru ini tidak dapat dielakkan setelah kerajaan membiarkan jurang antara harga pasaran dan harga yang disubsidi menjadi terlalu lebar dan pelarasan tidak dibuat sepanjang tahun ini apabila harga minyak mentah melonjak daripada AS$50 kepada lebih AS$100 setong.
"Sebab itulah kuantum yang perlu dipelaraskan begitu besar supaya ia mencapai tahap yang mampu ditanggung," katanya. Penganalisis politik Ong Kian Ming pula berkata, Petronas tidak boleh terus memberi subsidi terhadap harga bahan bakar memandangkan keuntungan kasarnya sudah pun dimasukkan ke dalam tabung kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti.
"Separuh lagi perlu digunakan bagi dilaburkan semula ke dalam kegiatan penyelidikan dan pembangunan medan minyak di dalam dan di luar Malaysia. Jika semua keuntungannya digunakan bagi menanggung subsidi bahan api untuk kegunaan domestik, suatu hari nanti, kita mungkin akan mencapai tahap menjadi pengimport sepenuhnya," kata beliau. Lagi pun, kata beliau, Petronas hanya menguasai 30 peratus daripada pasaran runcit tempatan dan ini bererti subsidi selebihnya akan jatuh ke tangan syarikat minyak asing.

Ketika membentangkan penilaian beliau tentang keadaan semasa, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican secara berterus terang berkata Petronas akan gulung tikar dalam tempoh 10 tahun lagi jika semua keuntungan yang diperolehnya diserahkan kepada kerajaan bagi membiayai subsidi bahan bakar.

Banyak syarikat minyak telah berkubur atau menghadapi masalah kewangan kerana keuntungan mereka habis diambil bagi tujuan seperti itu, katanya.

Untuk rekod, Petronas membayar RM52.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai, royalti dan dividen pada tahun kewangan lepas dan jumlah ini merupakan 32 peratus daripada hasil yang dijana oleh kerajaan pusat.

Sejak ditubuhkan pada 1974 hingga tahun lepas, Petronas membayar kepada kerajaan sejumlah RM335.7 bilion daripada keuntungannya yang berjumlah RM570 bilion.
-BERNAMA

OIC: Malaysia bangkit isu harga minyak

Malaysia akan membangkitkan isu kenaikan harga minyak - yang telah naik secara mendadak sehingga mencecah lebih AS$130 setong, pada pertemuan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Kampala, Uganda pertengahan bulan ini.

Dunia Islam, menurut Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim, perlu menangani isu tersebut dengan segera kerana minyak dikeluarkan oleh negara-negara Islam tetapi pihak berkenaan lebih cenderung untuk mengikut pendirian Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), bukannya mahu membantu ummah.

"Malaysia ingin menyarankan bahawa negara-negara OIC berminat untuk menyalurkan cadangan penyelesaian kepada masalah (kenaikan harga minyak)," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketiga Mengenai Dunia Islam dan Barat: Merapatkan Jurang di sini, hari ini.

Mesyuarat OIC akan berlangsung dari 18 hingga 20 Jun.

Tegas Rais, Malaysia juga ingin menekankan kepentingan OIC menyentuh cara untuk mengatasi kenaikan harga makanan yang kini mula menjejaskan seluruh dunia di mana sebahagian besar negara pengguna merupakan anggota pertubuhan tersebut.

Ketika ditanya sama ada beliau bercadang untuk memanjangkan satu kenyataan mengenai isu berkenaan kepada OPEC, Rais berkata: "Ia (tindakan itu) sangat diingini tetapi kita ada struktur untuk diikuti. Saya perlu menyuarakan kepada OIC terlebih dahulu."

Dalam ucapannya, Rais berkata, kunci bagi memastikan hubungan yang lebih baik antara dunia Islam dan Barat ialah dengan memperbetul persepsi media Barat bahawa Islam merupakan agama yang menganjur kepada keganasan dan sinonim dengan kumpulan seperti Al-Qaeda.


"Salah satu halangan ialah kuasa media Barat yang tidak memberi kita ruang untuk memahami Islam secara lebih objektif."Liputan mereka lebih berupa berita sensasi mengenai keganasan, penaklukan, peperangan dan bukan Islam yang sebaliknya, Islam yang menganjurkan kehidupan yang tenang dan menghargai kecantikan. Di sinilah wujudnya masalah." kata beliau dipetik Bernama.

Beliau berkata, OIC dan lain-lain pertubuhan dan persatuan Islam juga tidak pernah mengambil langkah untuk memperbetul tanggapan salah yang dilaporkan oleh media Barat yang menyamakan masyarakat dan agama Islam dengan Al-Qaeda.


"Inilah peranan media yang saya sebutkan. Peranan media Barat yang menjumlahkan Al-Qaeda dengan Islam. Sebenarnya ini bukan kenyataan, ini adalah satu gerakan politik yang dilakukan oleh kumpulan Al-Qaeda.


"Islam bukan Al-Qaeda. Ini tak pernah dipecahkan oleh mana-mana pihak sama ada di bawah OIC ataupun di bawah persatuanpersatuan wilayah di dunia ini.


"Setiap kali di Britain keluar kisah Al-Qaeda, ia disamakan dengan Islam. Inilah satu persepsi salah yang perlu kita baiki."Bagaimana kita melakukannya, saya fikir ia perlu melalui usaha bersepadu media Islam untuk membetulkan fakta.

"Kita perlu mengadakan forum, layanan media dan kesungguhan politik di kalangan anggota OIC untuk menonjol gambaran dan idea yang sebenar," katanya.


Sementara itu Rais berkata, Malaysia bercadang menganjurkan perbincangan dengan negara anggota OIC berhubung kenaikan mendadak harga minyak dunia, pada persidangan OIC seterusnya beberapa minggu lagi.

Abdullah jumpa ketua cawangan UMNO untuk dapat maklum balas


Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan semua ketua cawangan UMNO di setiap negeri adalah bertujuan untuk mendengar pandangan, keluhan dan mendapat maklum balas daripada akar umbi.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, lawatan dan pertemuan itu membolehkan ahli-ahli cawangan di bahagian yang dilawati berinteraksi secara langsung dengan Presiden parti.

Menurut beliau, lebih penting, program itu memberi kesempatan kepada Abdullah untuk menjelas dan meredakan isu-isu yang berbangkit.

''Yang lebih penting ia turut memberi peluang kepada para pemimpin terbabit meluahkan apa yang terbuku di hati mereka selama ini.

''Lawatan Presiden sudah bermula dan pertemuan akan diadakan lebih intensif untuk mengetahui apa masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi.

''Sebelum ini, Abdullah hanya bertemu dengan Ahli Majlis Tertinggi (MT), ketua bahagian dan kali ini dengan ketua cawangan pula untuk mendapat maklum balas,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memberitahu demikian ketika diminta mengulas pertemuan Presiden UMNO dengan 800 ketua cawangan UMNO dari Pahang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Semalam Abdullah mengadakan pertemuan membabitkan kira-kira 1,500 cawangan UMNO dari Perak di PWTC.

Menurut Muhammad, lawatan Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) cukup penting dalam usaha mengembalikan keyakinan pemimpin di peringkat cawangan pada pucuk pimpinan parti.

Pertemuan itu kata beliau, dapat menjelaskan banyak kekeliruan yang berlaku dan semua itu penting bagi mengukuhkan kekuatan parti dan kepimpinan.

Beliau berkata, program yang pertama kali diadakan ini akan membolehkan kira-kira 20,000 pemimpin di peringkat akar umbi memberikan pandangan mereka kepada Presiden UMNO.
Muhammad Taib berkata, sepanjang sesi pertemuan antara Presiden dan pemimpin di peringkat akar umbi, Abdullah mendengar banyak pandangan dan mendapat maklum balas mengenai apa yang berlaku di peringkat bawahan.

''Setakat ini, maklum balas yang diperoleh daripada pertemuan itu sangat menggalakkan selain penerangan yang diberikan oleh Abdullah dapat diterima pemimpin di peringkat bawahan,'' katanya.

Katanya, Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO Selangor, Pulau Pinang dan Kedah sebelum diteruskan ke beberapa negeri yang belum dilawati lagi.

Wakil rakyat DAP tidak pakai songkok dianggap biadap

Tindakan DAP mendesak empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu supaya tidak memakai songkok pada majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai biadap dan menderhaka kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail.

Beberapa ADUN berpendapat, parti itu secara jelas berpendirian kurang ajar dengan merendahkan peraturan dewan itu serta tidak menghormati adat negeri ini dan orang Melayu.
ADUN Nusajaya, Datuk Aziz Sapian berkata, disebabkan majlis itu akan dirasmikan oleh Sultan Johor maka sesiapa yang tidak mengikuti peraturan dewan tersebut seolah-olah tidak menghormati Sultan.

"Jika wakil rakyat daripada DAP tidak mahu menghormati Sultan atau peraturan Johor maka lebih baik jangan duduk di negeri ini dan keluar serta pergi sahaja ke negeri lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang menyatakan ADUN Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai songkok atau tidak pada majlis perasmian pembukaan DUN pada 19 Jun ini.

Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez berkata, kesemua wakil rakyat tersebut pada dasarnya tidak mempunyai masalah untuk memakai songkok tersebut.

Bagaimanapun katanya, sebahagian ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meminta mereka tidak memakai songkok pada majlis pembukaan yang akan dirasmikan oleh Sultan Johor itu.

Norman berkata, mereka dalam dilema sama ada hendak mengikut arahan CEC atau mengabaikannya dengan memakai songkok pada majlis tersebut.

Aziz berkata, pendirian DAP itu tidak boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat kerana jika dibandingkan wakil rakyat daripada parti lain, misalnya Pas boleh memakai songkok dan bukannya kopiah.

ADUN Tiram, Datuk Maulizan Bujang pula berkata, tindakan DAP itu adalah seperti cuba mencemarkan institusi raja di negeri ini dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat kerana ia menyinggung perasaan orang Melayu.

"Sepatutnya apabila mereka sudah bersetuju untuk menjadi wakil rakyat maka mereka perlu tahu dan mematuhi segala peraturan dewan dan tidak perlu timbul perkara ini," tegas beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Pengajian Tinggi Johor negeri.

Menurutnya, semua rakyat khususnya orang Melayu perlu mengambil pengajaran dan sedar terhadap pendirian DAP yang tidak menghormati budaya orang Melayu.

Turut berkongsi pendapat, ADUN Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, empat ADUN DAP tersebut diingatkan supaya jangan bersikap keras kepala atau angkuh sebaliknya perlu berfikiran terbuka dengan mematuhi peraturan.

Menurutnya, arahan DAP pusat perlu diabaikan kerana perkara itu adalah bersangkutan dengan peraturan Johor.

"Mereka perlu berfikiran terbuka kerana memakai songkok bukan bermakna mereka masuk Islam tetapi ia wajib dipakai dalam dewan seperti juga hakim dalam mahkamah memakai rambut palsu," jelasnya.

Kerajaan Persekutuan Akan Berunding Dengan Johor Mengenai Pengambilalihan Pulau Pisang, Kata Rais

Kerajaan persekutuan akan berunding dengan kerajaan negeri Johor mengenai pengambilalihan pengurusan dan pembangunan di Pulau Pisang, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga merancang untuk membuat pemetaan, kaji ukur dan penyelidikan ke atas 110 buah pulau di negara ini yang statusnya masih belum ditentukan.


Rais berkata beliau percaya kerajaan negeri Johor akan bersetuju dengan jenis pembangunan yang akan dijalankan di Pulau Pisang.

"Dengan perundingan dan kebenaran kerajaan negeri Johor, kita akan bekerjasama dengan Singapura untuk mencari penyelesaian terbaik. Seperti yang telah saya katakan selepas isu Batu Puteh dan Terumbu Tengah, kita mahu meneruskan hubungan yang harmoni dan akrab dengan jiran kita, kenyataan yang turut dikongsi rakan sejawatan saya dari Singapura.

"Kita akan terlebih dahulu membuat kajian berhubung perjanjian (antara Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan kerajaan British pada 1900 mengenai pengurusan rumah api di Pulau Pisang). Keadaannya termaktub mengikut sejarah.

"Kita akan lakukan kajian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Antarabangsa Ketiga bertema "Dunia Islam dan Barat: Merapatkan Jurang". Rais mengulas gesaan anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan semalam bahawa Malaysia perlu segera memulakan rundingan dengan Singapura mengenai pengambilalihan pengurusan rumah api di Pulau Pisang.

Ahmad berkata walaupun Pulau Pisang terletak dalam perairan Malaysia, rumah api di pulau itu diuruskan oleh Singapura mengikut perjanjian antara Sultan Ibrahim dan kerajaan British pada 1900. Rais juga berkata Malaysia perlu tahu mengenai status pulau-pulau di perairannya dan telah meminta laporan dibentangkan kepada Kabinet untuk diputuskan tindakan lanjut yang perlu diambil, sama ada di Sabah, Sarawak, Johor atau di Kedah.

"Misalnya, kalau kita lihat sejarah Phuket, sebenarnya kita miliki pulau itu dulu tapi sejarah dah mengambilnya (pulau itu) dari kita, kita tak buat apa.

"Jadi bagi 110 buah pulau (di negara kita) itu, kita akan cuba buat kerja rumahnya dan saya sendiri telah meminta satu laporan dibuat kepada Kabinet untuk diambil tindakan (lanjut) terhadap setiap pulau yang disahkan sebagai milik Malaysia," katanya.

-BERNAMA

Rumah ibadat : Selangor didesak kaji semula

dipetik dari Utusan Malaysia

Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor diberi kata dua supaya mengkaji semula hasrat menghapuskan peraturan yang mengehadkan saiz rumah ibadat bukan Islam atau mungkin berhadapan tindak balas orang Melayu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (gambar) berkata, keputusan itu seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum.

Kata beliau, peraturan yang hendak dihapuskan itu selama ini telah dapat memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

''Peraturan itu dirangka berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak pun sesekali menghalang pembinaan rumah ibadat sebarang agama asalkan ia seimbang dengan keperluan.

''Sebagai contoh, penduduk Selangor beragama Hindu kira-kira 700,000 orang dan jumlah kuilnya lebih 1,000 buah manakala orang Islam pula jumlahnya hampir empat juta orang dengan masjid sebanyak 380 buah.

''Kalau jumlahnya lebih daripada penduduk hingga menimbulkan rasa tidak harmoni saya bimbang akan ada reaksi atau tindak balas kerana tak puas hati oleh orang Melayu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi.

Ia diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr. Xavier Jayakumar bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu.

Keputusan yang dicapai selepas pertemuan dengan pemimpin bukan Islam semalam itu juga mahukan supaya pemaju perumahan menyediakan tapak lebih luas untuk rumah ibadat bukan Islam berbanding 0.4 hektar sahaja ketika ini.

Sementara itu, Mohamad Khir menegaskan, tindak tanduk Xavier dan Ronnie dalam isu ini jelas menggambarkan mereka sebagai tidak memahami sensitiviti orang Melayu.

Katanya, sepatutnya pemimpin kerajaan negeri yang Islam memperhalusi terlebih dahulu isu tersebut sebelum membenarkan anggota Exco berkenaan membuat keputusan yang menyentuh soal seperti itu.

''Sebab itu biar pun ada Pas, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam dengan parti lain manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka.

''Sedangkan sesuatu isu tidak boleh ditangani dengan sama rata tetapi memerlukan keadilan dengan dalam isu ini semua kaum mesti mendapat rumah ibadat mereka mengikut keperluan,'' jelasnya.

Rakyat Selangor berhak tidak bayar 20 meter padu air

Rakyat Selangor berhak untuk tidak membayar 20 meter padu air pertama yang bersamaan RM11.40 sekalipun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tetap memasukkan jumlah itu dalam bil yang akan dikeluarkan bulan ini.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, ini memandangkan kerajaan negeri telah menjanjikan pemberian air percuma itu seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya pakatan pembangkang.

Menurutnya, walaupun Syabas tidak boleh melaksanakan pemberian air percuma itu, kerajaan negeri yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP perlu bersedia membayar pampasan berjumlah kira-kira RM17 juta sebulan.

"Kerajaan negeri sudah berjanji memberi rebat air, mereka mesti mengotakan janji walaupun apa cara sekali pun. Oleh itu, penduduk Selangor yang mempunyai bil air kurang RM11.40 bermula bulan ini sepatutnya tidak perlu menjelaskan bil itu.

"Pertelingkahan antara Syabas dan kerajaan negeri sepatutnya tidak membabitkan rakyat. Jika Syabas tidak boleh melaksanakan kerana ada perkara yang belum selesai, kerajaan negeri mesti bersedia membayar pampasan sebanyak RM17 juta sebulan kepada Syabas," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian ketika ditemui di luar program perjumpaan khas parti itu di sini hari ini.

Mohamad Khir ditanya mengenai kenyataan Syabas hari ini bahawa syarikat pembekal air itu akan tetap memasukkan jumlah 20 meter padu dalam bil bulan ini walaupun kerajaan negeri berjanji akan memberikan air percuma kepada rakyat.

Syabas memberikan alasan kerajaan negeri belum membuat keputusan hasil perundingan berhubung perkara itu.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu, kerajaan negeri menjanjikan pelbagai perkara kepada rakyat tanpa mengkaji terlebih dulu semua janji itu darisudut perundangan.

Beliau memberi contoh kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr. Hassan Ali yang mendakwa kerajaan negeri akan menerima royalti sebanyak RM100 juta setahun hasil penjualan pasir tanpa mengkaji Kanun Tanah Negara yang membabitkan undang-undang kerajaan negeri dan Pusat.

Dr. Mohamad Khir berkata, penangguhan pemberian air percuma itu sudah dijangka kerana tiada komunikasi antara Syabas serta kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu tersebut.

Beliau berkata, pemberian air percuma untuk 20 meter padu pertama itu hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membeli Syabas.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri perlu membayar antara RM4.5 dan RM5 bilion kepada Syabas jika mahu membeli syarikat pengeluar dan pembekal air bersih di Lembah Klang itu.
"Saya percaya Syabas akan meletak harga lebih tinggi kerana nilai yang sehingga RM5 bilion itu diberikan ketika perbincangan Januari lalu," katanya.

Sedangkan, katanya, pembelian Syabas itu mengambil masa bertahun untuk diselesaikan.

Ahli Parlimen dan Adun Pembangkang Juga Perlu Dipotong Elaun

Reaksi Sayuti Omar Susulan Cadangan Salahuddin Ayub Agar Elaun Menteri Dipotong

MENARIK dan ada nilainya cadangan Ketua Dewan Pemuda Pas, Sallahudin Ayub kali ini. Beliau mencadangkan supaya elaun para menteri dipotong bagi langkah penjimatan wang kerajaan.Cadangan itu sesuatu yang baik tetapi sukar untuk dilaksanakan! Menteri manalah rela wang elaunnya dipotong. Sebaliknya kalau ditambah tidak ada siapa yang membantahnya.

Di dalam Malaysia ini hanya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang bersedia mengembalikan semula wang elaun yang diperuntukkan kepadanya. Tempoh 10 tahun pertama menjadi MB, Nik Aziz tidak ambil pelbagai elaun khas yang sepatut diterima olehnya. Malahan mulanya beliau bercadang nak pakai kereta Proton Saga sahaja sebagai kereta rasmi. Tetapi entah macam mana tidak jadi? Kira-kira hampir RM1 juta wang elaun itu dikembalikan semula kepada Perbendaharaan negeri.

Bagaimana pun selepas 15 tahun kemudian tidak terdengar lagi laporan mengatakan Nik Aziz mengembalikan wang elaun keraian yang diperuntukkan kepadanya. Dan beliau pakai juga Mercedez Benz sebagai kereta rasminya. Alasannya kalau beliau pakai Proton Saga, Exco nak pakai apa? Makanya kenderaan MB dengan Exco mesti berbeza. Kalau Tok Guru tanya saya ketika itu, saya akan jawab Exco pakai motosikal honda sajalah.

Saya tidak tahu apakah ada perbezaan dari segi kualiti dan juga keturunan antara kuda Nabi Muhammad s.a.w dengan kuda para sahabatnya. Begitu juga mengenai unta baginda? Mengenai cadangan Salahudin tadi saya ingin panjangkan cadangan itu agar bukan saja elaun menteri dipotong sebaliknya elaun timbalan menteri, ahli Parlimen, Adun, Senator juga boleh difikirkan untuk dipotong sama. Biarlah dalam berkorban untuk bangsa dan negara ini semua pihak terlibat. Kalau setakat menteri dan timbalan menteri saja, hanya mereka dari kalangan parti BN sahaja yang terlibat, ahli Parlimen atau pihak pembangkang terlepas. Kerana itu ia perlu diperluaskan kepada ahli Parlimen, Senator dan Adun agar orang Pas, PKR dan DAP juga turut sama boleh membuat pahala.

Dalam ibadat membuat pahala ini bukan semestinya bernilai ribuan ringgit, tetapi seringgit pun sudah cukup. Yang penting ialah komitmen. Macam mana Tok Guru Nik Aziz tetap mengenangkan derma daripada bekas Menteri Pertanian, Sanusi Junid yang pernah mendermakan seringgit kepada Pas untuk tujuan kebajikan sekitar tahun 70-an dulu.

Saya kira Salahudin kena ralat cadangannya itu dengan turut mengemukakan agar elaun ahli Parlimen dan Senator Pas, PKR juga dipotong, dan cadangan seumpana itu perlu dilanjutkan kepada negeri-negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Barulah adil namanya dan tidaklah kita dikatakan hanya cemburu kepada wang orang saja tetapi bakhil kepada wang kita sendiri!