SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

10 July 2008

Transkrip sidang akhbar Abdullah ketika umumkan peralihan kuasa

Transkrip penuh sidang media Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan peralihan kuasa dalam Umno dan Barisan Nasional daripada beliau kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Pada hari ini kita adakan mesyuart Majlis Tertinggi seperti biasa. Dan lepas itu pula diadakan satu sesi taklimat antara saya dan Datuk Seri Najib dengan pemimpin parti Umno peringkat negeri, exco Pemuda, Wanita, Puteri dan ketua-ketua bahagian.

Dalam mesyuarat MT yang diadakan itu selain daripada menimbang cadangan yang telah dikemukan oleh jawatankuasa pengurusan berkaitan hal parti saya tadi juga mengambil kesempatan itu untuk memaklumkan kepada ahli MT bahawa saya telah sampai pakatan dan telah maklumkan kepada Najib iaitu saya tidak akan memimpin parti BN dan Umno dalam pilihan raya akan datang, pilihan raya ke-13 dan juga ini bermakna satu peralihan kuasa perlu ditentukan.

Dan sepertimana saya maklumkan pada MT dia bermula dengan apa yang saya umumkan pada hari ini iaitu saya mencadang untuk menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan parti dalam pertengahan tahun 2010. Dan dalam jangka sama itu saya akan bertanding untuk jawatan presiden parti dan saya telah pun nyatakan pada Najib bahawa saya inginkan supaya beliau dapat terus menjadi timbalan kepada saya.

Saya menghargai persahabatan dan kerjasama dengan beliau, persefahaman yang baik pada peringkat cukup tertinggi mengenai isu-isu yang kami sama-sama hadapi dalam parti dan juga kerajaan dan juga kerja-kerja yang telah kami laksanakan bersama, kami menganggotai banyak jawatankuasa Kabinat berkaitan isu-isu penting dan Najib juga telah jalankan tugas yang lain dengan mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa yang lain yang telah saya serahkan pada beliau. Saya dapati hubungan itu adalah baik dan tujuan saya adalah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan pelaksanaan program-program yang banyak dan janji-janji pilihan raya yang perlu dilaksanakan.

Maka saya tentu sekali rasa amat senang hati jika sekiranya timbalan pada waktu itu ialah Najib, dan sampailah pada tarikh saya akan serahkan jawatan saya padanya. Inilah penghargaan saya kepadanya. Saya pilih beliau untuk pengganti saya kerana saya ingin dan percaya beliau dapat memimpin parti dengan baik. Sementara itu kami berdua akan berusaha tingkatkan kekuatan parti kembalikan parti pada keududukan yang dapat sokongan yang padu daripada rakyat, dengan bilangan yang ramai lebih banyak lagi daripada dahulu waktu kami menghadapi pilihan raya dan di samping itu terus melaksanakan program lain yang antara lain saya amat berhasrat untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk basmi kemiskinan tegar di samping laksana program yang lain.

Saya amat menghargai juga kesediaan Najib menerima cadangan saya itu dan tadi saya telah memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin Umno yang datang tadi, yang ada di Dewan Merdeka mengenai perkara ini dan apa yang saya umumkan itu mendapat restu yang baik yang telah mereka tunjukkan dengan standing ovation yang telah mereka berikan kepada saya. Dan dalam kedua-dua pertemuan itu MT dan juga pada pertemuan dengan ketua-ketua parti Najib juga telah memberi ucapannya, responsnya kepada apa yang saya telah maklumkan kepada MT dan kepimpinan Umno di Dewan merdeka.

Sebelum anda kemukakan apa-apa soalan, ada baiknya Najib buat kenyataan berkaitan perkara ini.

Ulasan Najib terhadap pengumuman itu:

Seperti yang amat Datuk Seri Abdullah, Presiden Umno telah nyatakan bahawa beliau telah umumkan bahawa hari ini bermula proses peralihan kuasa secaa tersusun dan teratur mengikut tradisi Umno di mana yang amat berhormat telah memberi keyakinan pada saya untuk menjadi penggantinya.

Sesungguhnya saya amat rasa terharu atas kerelaan beliau lepaskan jawatannya mengikut jadual yang telah disebutkan tadi. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk lepaskan jawatan saebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tetapi demi menghargai pandangan umum belau sanggup berbaut demikian dan saya rasa amat terharu dan di samping itu perasaan saya bertambah lagi apabila beliau beri kepercayaan pada saya.

Keputusan ini melambangkan dalam parti kita soal succession, soal proses peralihan kepimpinan boleh dibuat dengna cara yang baik tanpa membelakangkan tradisi atau pun membuat sesuatu yng boleh membawa kepada imej yang negatif kepada Umno atau mana-mana pemimpin. Dalam tempoh peralihan kuasa ini beliau akan tentukan peranan dan pembahagian kuasa yang tertentu dan saya tetap akan menganggap beliau sebagai ketua saya. Saya juga telah nyatakan pada perhimpunan itu supaya sokongan yang padu diberikan kepada pencalonan Datuk Seri Abdullah sebagai Presiden parti dan saya juga merayu supaya pelan peralihan ini diterima oleh parti kerana suara parti akhirnya akan tentukannya. Saya juga nyatakan kesediaan saya tawarkan diri bertanding jawatan sebagai Timbalan Presiden dan berharap ahli parti akan merima saya sebagai timbalan presiden, saya turut nyatanya hubungan saya dengan Abdullah sangat akrab dan harap ia diteruskan selama dia jadi Perdana Menteri dan selepas agar hubungan kami berdua terus berkekalan seperti sedia kala kerana Umno perlu sokongan padu dari pemimpin dahulu dan sekarang.

Sesi soal jawab:

1. Ditanya mengapa pertengahan 2010 dipilih untuk peralihan kuasa:

Tak payah tanyalah. Saya ingat dalam masa yang berkaitan dari sekarang hingga selepas pemilihan parti masa itu cukuplah untuk saya laksanakan pelbagai projek dan apa juga rancangan yang diaturkan bersama-sama dengan Najib. Begitu juga dengan parti kita boleh sama-sama kukuhkan parti dan keduanya tentulah nanti Najib perlu masa untuk membuat persediaan setelah mengambil alih untuk menghadapi pilihan raya 2013 atau 2012 atau pada bila-bila masa tetapi sesuai bagi pilihan raya itu ialah pada 2013 perlu diadakan pilihan raya yang ke-13, kalaupun hendak diawalkan itu saya tidak boleh katakan, tetapi 2013 ialah tahun terakhir hendak diadakan pilihan raya.

2: Adakah nanti sempat untuk laksanakan janji untuk memulihkan sistem perundangan negara dan Majlis Mencegah Rasuah:

"Insya-Allah akan dapat dibuat. Saya janjikan banyak benda yang perlu saya laksanakan.

3. Mengapa diumumkan sekarang?:

"Saya ingat adalah penting proses diumumkan sekarang kerana ia mengambil masa. Dalam masa ini saya juga akan bagi peluang kepada Najib untuk hadiri forum dan mesyuarat antarabangsa yang lazimnya saya hadir mewakili kerajaan untuk mula berinteraksi dengan pemimpin negara lain dan juga kesempatan beliau untuk jalankan tugas dari masa ke semasa.

4. Adakah jawatan presiden dan timbalan akan dipertandingkan:

"Ya, sesiapa pun boleh bertanding.

5. Adakah keputusan ini akan diberitahu kepada Perdana Menteri Australia nanti:

"Buat apa saya hendak buat begitu. Saya tidak percaya anda tanya soalan itu.

6. Apakah penerimaan kepada pengumuman tadi:

"Ada yang beri nasihat dan pandangan tetapi akhirnya itulah keputusan yang diberikan dan semasa kami berdua memaklumkan perkara itu kita mendapat restu, standing ovation, dan saya anggap mereka terima. Mereka juga akan turun ke bawah untuk beritahu, tentulah akan ditanya ahi apa hal apa yang berlaku, harapan kita mereka akan terangkan dan saya percaya mereka akan dapat terangkan persetujuan saya dan Najib itu.

7. Adakah sebarang keputusan dibuat agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi?:

"Tidak sebut, tetapi apa yang berlaku saya telah memulakan kenyataan mengenai perkara ini dan Najib kemudian juga beri kenyataan dan kalau kedua-dua kami dah setuju begitu saya nak bertanding jawatan presiden dan Najib timbalan presiden dan itulah kedudukannya. Walau bagaimanapun ia terpulang siapa nak buat interpretasi.

8. Najib didakwa terlibat dengan kes Altantuya. Adakah ini akan memberi kesan pada rancangan ini:

"Tidak saya tidak fikir begitu kerana ia adalah dua isu berbeza dan ini adalah keputusan di peringkat parti dan Najib adalah pengganti yang baik.

9. Datin Seri Wan Azizah tadi di Parlimen hantar notis tidak percaya:

"Itu adalah hak dia, saya tak ada di Dewan tadi, tetapi tidak mengapa kita dengar dulu apa keputusan Speaker.

10. Datuk Seri tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Tidakkah Datuk Seri rasa sedih:

"Sebenarnya saya rasa sedih sedikit. Tetapi lebih dari itu saya merasakan satu kejayaan kerana saya telah dapat mengambil satu tindakan yang terutamanya telah diterima baik. Itulah yang kita kehendaki, saya berpendapat bahawa peralihan kepimpinan itu mesti dijalankan dalam proses yang baik dan disenangi parti dengan cara ini yang mengganti akan dapat menjadi pemimpin kepada parti dan bukan setengah parti dan geng dia. Kalau jadi pertandingan atau pertarungan, biasa berlaku jadi lepas itu siapa menang ada rasa terkilan, susah sikit dengan kumpulan yang kalah disebab berlaku sesuatu perkara masa pemilihan maklumlah, kalau pemilihan yang melibatkan pertandingan akan berlaku perpecahan pada parti dan ini juga akan merungsingkan ahli Umno sendiri, apa yang hendak mereka buat. Mereka rasa tak senang, jadi dengan cara begini jadi satu approach yang paling baik, parti tak berkocak semua berjalan baik, peralihan berlaku, kepimpinan terus berjalan tak payah mengabil masa perbaiki parti, proses semua jalan baik. Dari segi itu saya rasa apa yang dapat saya lakukan adalah sesuatu yang mensyukuri saya, kerana saya pilih seseorang yang dapat pimpin parti dengan baik.

10. Adakah keputusan ini diambil kerana tekanan:

"Ini adalah wajar. Kalau ikut tekanan sebelum Disember, ada yang suruh tunggu sampai complete, macam-macam pandangan ada yang suruh tunggu hingga lepas pilihan raya akan datang, tebus balik kekalahan, macam-macam pandangan, tetapi apa yang penting ialah perasaan saya dalam hal ini dan saya ras saya mesti serahkan jawatan saya kepada pengganti saya maka inilah yang saya pilih.

11. Ini kemenangan bagi pembangkang:

"Pembangkang akan buat apa saja untuk pastikan saya letak jawatan secepat mungkin, malah mereka mahu hapuskn BN, itu yang mereka buat, seolah-olah amalan demokrasi yang ada dengan Parlimen dan pilihan raya yang kita ada tidak cukup bagi mereka. Tamak lagi masih nak buat itu dan nak buat ini tak mengendahkan keputusan. Kita kena beri perhatian kepada menjayakan janji yang telah kita berikan pada rakyat, itu yang penting, bukan nak libatkan persengketaan. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan tanpa dipesongkan dengan kegiatan lain yang dengan itu mengurangkan kesungguhan kita laksanakan projek kita.

12. Dengan ini, apakah harapan Datuk Seri tentang keputusan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden:

"Harapan? Tak payahlah, biarlah dia buat keputusan sendiri.

13. Apakah harapan Datuk Seri tentang projek yang akan dilaksanakan:

"Selepas saya meletakkan jawatan saya percaya, projek yang baik akan dilaksanakan, tetapi kalau tidak pun saya tidak akan memaksa. Apabila orang lain mengambil alih, dia akan akan membuat keputusan, tetapi saya percaya apa yang baik akan diteruskan. Ini tidak bermakna projek yang saya laksanakan tidak boleh ditambah nilai tetapi ini terpulang kepada kebijaksanaan pengganti saya.

14. Ada kemungkinan Datuk Seri ubah fikiran:

"Tidak. Saya telah buat keputusan."

.

Abdullah serah jawatan Presiden Umno kepada Najib Jun 2010

ABDULLAH Ahmad Badawi (kanan) bersama Mohd. Najib Tun Razak pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi.

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Ketika ditanya sama ada sebarang keputusan dibuat bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti nanti, Abdullah berkata tidak ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu dan berharap Najib akan terus menjadi timbalannya sehingga beliau menyerahkan kuasa nanti.

"Saya dapati hubungan itu adalah baik. Niat dan tujuan saya ialah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan program-program yang banyak dirancang termasuk janji-janji pilihan raya.

"Maka saya rasa senang hati jika sekiranya timbalan saya Najib sampai tarikh (itu) nanti, (apabila) saya menyerahkan jawatan saya. Inilah penghargaan saya kepadanya dan saya memilih beliau menjadi pengganti saya kerana saya yakin dan percaya beliau dapat memimpin parti dengan baik," katanya.

Dalam tempoh peralihan itu, Abdullah berkata mereka berdua akan berusaha meningkatkan kekuatan parti dan mengembalikan semula parti kepada kedudukan yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat dengan bilangan yang lebih ramai daripada dahulu iaitu sewaktu parti menghadapi pilihan raya dan melaksanakan program-program yang lain.

Perdana Menteri berkata sepanjang tempoh itu juga beliau berhasrat untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi membasmi kemiskinan tegar di negara ini selain melaksanakan program-program lain.

Abdullah juga menghargai kesediaan Najib untuk menerima cadangannya itu yang mendapat restu baik daripada pemimpin Umno pada pertemuan tertutup hari ini iaitu dengan mendapat tepukan dan "standing ovation" dari mereka.

Ditanya mengapa pertengahan tahun 2010 dipilih untuk peralihan kuasa itu, Abdullah berkata jangkamasa itu dilihat mencukupi untuk beliau melaksanakan pelbagai projek dan rancangan yang diaturkan bersama dengan Najib.

"Dalam tempoh itu juga segala perancangan termasuk pembaharuan dalam perundangan dan juga Suruhanjaya Anti Rasuah juga, InsyaAllah akan selesai dilaksanakan," katanya. Beliau berkata timbalannya itu juga memerlukan masa untuk membuat persediaan mengambil alih untuk pilihan raya seterusnya iaitu 2012 atau 2013.

Ditanya mengapa beliau mengumumkan peralihan kuasa itu sekarang, beliau berkata : "Saya fikir adalah penting proses penyerahan itu perlu mengambil sedikit masa. Dalam masa ini juga saya akan memberi peluang kepada Datuk Seri Najib untuk menghadiri forum-forum, mesyuarat yang lazimnya saya hadir mewakili kerajaan". Katanya tempoh sepanjang proses peralihan kuasa itu juga memberi peluang kepada Najib untuk berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin negara lain.

Persidangan akhbar yang turut dihadiri Najib itu berlangsung dalam suasana ceria dan selepas selesai membuat pengumuman Abdullah telah meminta Najib untuk bercakap kepada pemberita sebelum mereka menjawab pertanyaan-pertanyaan. Abdullah berkata kerjasama dan persefahaman baik antara beliau dengan Najib mengenai isu yang sama-sama dihadapi dalam parti dan kerajaan adalah dihargai. Katanya mereka banyak menganggotai mesyuarat jawatankuasa kabinet berkaitan isu-isu penting dan Najib juga menjalankan tugas-tugas lain dan mempengerusikan jawatankuasa lain yang ditugaskan kepada Najib.

Mengenai pandangan anggota MT berhubung keputusan beliau itu, Perdana Menteri berkata mereka telah memberi pandangan masing-masing dan akhirnya mempersetujui keputusannya. Beliau menganggap "standing ovation" oleh pemimpin parti peringkat bahagian dalam Dewan Merdeka hari ini sebagai tanda mereka bersetuju.

"Kita harap perkara ini disampaikan ke peringkat anggota akar umbi yang tentunya bertanya apa yang berlaku dan apa yang terjadi.

"Jadi saya harap kepimpinan peringkat bahagian ini memaklumkan apa yang dipersetujui antara saya dan Datuk Seri Najib," katanya.Ketika ditanya sama ada beliau tidak akan mencampuri urusan kerajaan selepas mengundur diri, Abdullah berkata: "Untuk itu, anda perlu tunggu. Apabila ia berlaku baru anda akan tahu".

Mengenai Najib yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, beliau berkata ia merupakan suatu perkara yang lain dan tidak berkaitan dengan keputusan parti pada hari ini.

Mengenai usul undi tidak percaya yang cuba dibawa oleh Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di Parlimen hari ini, Abdullah berkata Presiden Parti Keadilan Rakyat itu bebas membawa usul apa pun dan ia tidak akan menjejaskan peralihan kuasa berkenaan.

Pemberita juga bertanya kenapa beliau dilihat tidak menunjukkan sebarang emosi dan tidak dilihat sedih mengenai keputusannya itu, secara spontan dan berseloroh, Abdullah membuat reaksi seperti orang menangis dan tergelak kemudiannya bersama-sama Najib dan beberapa pemimpin Umno yang turut hadir pada sidang akhbar itu.

"Saya berasa sedikit sedih. Tetapi saya rasa ada banyak pencapaian. Saya rasa saya sudah dapat mengambil satu-satu tindakan terutamanya yang sudah diterima baik. Itulah yang kita kehendaki," katanya. Perdana Menteri berkata peralihan kepimpinan dalam parti harus merupakan satu proses yang baik, disenangi parti agar sesiapa yang menjadi pengganti akan menjadi pemimpin kepada parti bukannya kepada setengah daripada parti atau kepada kumpulan penyokongnya sahaja.

"Biasanya kalau jadi pertarungan atau pertandingan, biasa berlaku sesiapa yang menang ada rasa terkilan, susah sikit dengan kumpulan yang kalah.

"Ada sajalah. Maklumlah... Yang kita tak mahu ialah pemilihan yang melibatkan persaingan, pertandingan yang akan berlaku perpecahan kepada parti dan merunsingkan ahli Umno sendiri dan mereka rasa tak senang," katanya. Dengan cara ini (peralihan kuasa) menjadi satu pendekatan yang paling baik dan parti tidak bergolak, katanya. Beliau berkata keadaan itu akan membolehkan kepimpinan seterusnya tidak perlu menggunakan banyak masa untuk memperbaiki dan memperelokkan parti kerana proses peralihan sudah berjalan dengan baik.

Ditanya sama ada rancangan peralihan kuasa itu dibuat atas desakan pihak tertentu, Abdullah berkata ia adalah keputusan yang wajar dan jika ada tekanan ia sudah lama berlaku dan pelbagai pandangan yang diberikan mengenainya.

"Ada yang suruh tunggu sampai pilihan raya seterusnya. Macam-macam...Tapi yang penting perasaan saya dalam hal ini dan saya mesti serahkan jawatan saya kepada pengganti saya," katanya. Menjawab soalan sama ada keputusan itu adalah satu kemenangan kepada pembangkang yang mendesak beliau meletak jawatan beliau berkata : "Saya akan berdepan dengan mereka. Mereka mahu mengusir saya dan BN. Tak cukup lagi mereka nak buat itu ini. Pembangkang boleh cakap apa saja," katanya. Katanya, inilah masa untuk memberi perhatian kepada pelaksanaan janji kepada rakyat dan bukannya terlibat dalam persengketaan parti dan sebagainya yang mana Umno bertanggungjawab tanpa dipesongkan dengan perhatian lain.

Ditanya mengenai harapan beliau kepada Tengku Razaleigh Hamzah selepas pengumuman hari ini, Abdullah menyerahkan kepada Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu untuk membuat keputusannya sendiri. Abdullah juga berkata beliau tidak akan mendesak projek-projek yang dirancang oleh beliau dilaksanakan kerana apabila seseorang lain memimpin kerajaan, tentunya beliau mempunyai caranya yang sendiri dan mengikut apa yang difikirnya terbaik.

"Apa yang baik adalah baik dan ini tidak bermakna bahawa ia tidak boleh diberi nilai tambahan," katanya. Abdullah yang mengakhiri sidang akhbar selama 27 minit itu berkata beliau sudah membuat keputusan dan tidak akan menarik balik keputusan itu. Suasana sidang akhbar itu tenang dan ceria dihadiri berpuluh-puluh wartawan media cetak dan elektronik tempatan.

Pada suatu ketika sebelum menerima soalan dari pemberita, Abdullah juga berganjak sedikit mengalih kerusi yang didudukinya untuk memberikan ruang kepada Najib untuk memberikan kenyataan kepada pemberita mengenai peralihan kuasa.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Bendahari Umno Datuk Abdul Azim Zabidi.

- BERNAMA

Siaran langsung debat Anwar VS Shabrey di TV3

Debat antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada malam 15 Julai ini anjuran http://www.agendadaily.com/ akan disiarkan secara langsung oleh TV3 selaku penyiar rasmi.

Debat itu juga akan disiarkan secara langsung pada waktu sama oleh Astro Awani.Difahamkan kemudiannya RTM1 akan buat siaran tertunda debat berkenaan.

Hanya 200 orang saja - 100 orang jemputan penganjur,50 pihak Anwar dan 50 pihak Ahmad Shabrey diundang menyaksikannya di Dewan bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur.

Debat itu adalah dibawah tajuk ' Hari ini membentuk kerajaan,esok turun harga minyak '
.

Madah Berhelah Terbaru Anwar

Dato' Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas membuat aduan di Mahkamah Syariah Persekutuan mengenai dakwaan liwat terhadap beliau.

MAHKAMAH SYARIAH PENENTU NASIB ANWAR?.....

Kenapa Dato Seri Anwar Ibrahim merujuk kes dakwaan liwatnya ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan? Beliau pernah berkata dia berani bersumpah tapi dengan bersyarat? Buktikan tuduhan dahulu, katanya.

Adakah ini 'madah berhelah' terbaru dari Anwar atau kejujuran yang dituntut oleh penyokong-penyokongnya?

Mungkinkah Anwar akur dengan nasihat Mufti Perak, Datuk Dr Harussani Zakaria yang mencadangkan kes fitnah meliwat ini dibawa ke Mahkamah Syariah.

Persoalan beranikah Anwar mahupun Saiful bermubahalah (sumpah laknat), bersumpah guna nama Allah ataupun berani menjunjung Al-Quran masih menjadi tanda tanya?

Yang penting, cabar mencabar untuk bersumpah adalah satu perkara baru dalam senario politik Malaysia.

Akidah dan pemahaman umat Islam juga turut dicabar untuk kembali kepada apa yang pernah dibuat oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW apabila berhadapan dengan dakwaan Saiful Bukhari Azlan menuduh Anwar meliwatnya.

Di zaman Rasulullah, Nabi Muhammad SAW tidak sewenang-wenangnya menggunakan kaedah yang kita kenal dengan nama mubahalah melainkan seperti dilakarkan dalam tinta sejarah bilamana Rasulullah dicabar puak Najran untuk menegakkan kenabiannya.

Pelik sekali, Malaysia yang tidak beramal dengan syariah Islam tiba-tiba mengusulkan kes liwat ini dirujuk pada Mahkamah Syariah? Dan mereka-mereka yang tidak pernah mengamal apa yang dituntut oleh Al-Quran tiba-tiba mengusulkan merujuk pada Al-Quran sepenuhnya.

Mubahalah adalah jalan terbaik untuk mengadili sesuatu perkara yang melibatkan tuduhan zina, rogol atau liwat. Dan ketika kita berada dalam keadaan sangsi, ragu, buntu dan tidak percaya dengan sistem kehakiman negara kita.

Siapakah di antara Anwar dan Saiful yang berani mengungkapkan bermubahalah sumpah laknat: "Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" manakala satu pihak lagi perlu menyebut " Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku."

Bak kata Dato' Nik Aziz Nik Mat, "Sumpah laknat adalah jalan terakhir!".
.
-foto THE STAR
.

Peguam Anwar pertahan 'qazaf', tempelak Mufti Perlis dan Nik Aziz

Anwar bersama peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman tiba di pejabat JAWI di Jalan Damansara pada jam 10.15 pagi tadi (9 Julai). Isterinya Wan Azizah turut hadir sama.Diikuti dengan seorang lagi peguam Anwar Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek. Sim Tze Tzi, pembantu peribadi Anwar (berkaca mata, di belakang) juga turut hadir.

PETALING JAYA: Peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman mendakwa cadangan yang dikemukakan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan disokong oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, supaya anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari Azlan bersumpah adalah salah dan tidak mengikut syarak.

“Ini adalah kesalahan jenayah yang serius. Dalam soal ini sumpah (bermubahalah) tidak boleh diguna pakai seperti mana yang beliau katakan,” katanya kepada mStar Online.

Kamar Ainiah berkata sumpah biasanya digunakan untuk membuktikan pemilikan harta atau hak milik.

“Sumpah juga boleh digunakan oleh pasangan suami isteri iaitu apabila si suami mendakwa bahawa isterinya telah melakukan zina dengan orang lain. Beliau tidak perlu mengemukakan bukti.

“Isterinya juga perlu bersumpah untuk menafikan perkara itu. Namun selepas kedua-duanya bersumpah maka secara langsungnya ikatan perkahwinan mereka akan terputus,” tambah beliau.

Katanya Anwar hanya boleh bersumpah jika bukti-bukti yang dikemukan Saiful tidak kuat dan lemah.

“Saiful boleh kemukakan seberapa banyak saksi, tetapi jika bukti yang diberikan tidak kukuh, maka Anwar akan bebas dari tuduhan.

“Namun selepas itu kesalahan itu akan kembali kepada Saiful,” katanya.

Katanya lagi, dalam kes dakwaan liwat oleh Saiful terhadap Anwar, peruntukan yang harus digunakan ialah ‘qazaf’.

“Qazaf digunakan apabila seseorang itu membuat tuduhan terhadap seseorang, tetapi dia tidak dapat mengemukan bukti melalui empat orang saksi (lelaki beriman) mengikut syarak.

“Jika pendakwa (Saiful) tidak boleh mengemukan saksi mengikut hukum syarak maka kesalahan itu akan dikembalikan kepadanya,” kata Kamar Ainiah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 jika sabit kesalahan boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000.Ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan. Tambah beliau ‘qazaf’ digunakan bagi mengelakkan orang ramai membuat sebarang dakwaan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang individu secara sesuka hati.

Ditanya bagaimana seseorang wanita yang dirogol mampu mengemukakan bukti mengikut Syarak, beliau berkata masyarakat harus tahu membezakan antara rogol dan zina.

“Rogol lain, zina lain. Senang jika kita nak buktikan wanita dirogol iaitu melalui keadaan fizikalnya atau kerosakan pada alat sulitnya.

“Zina pula dilakukan dengan rela tanpa paksaan. Kebanyakan kes, wanita yang berzina mendakwa dirinya dirogol setelah mereka hamil, mereka buat laporan setelah beberapa bulan,” terang beliau.

Dalam kes dakwaan liwat Saiful, Kamar Ainiah berkata beliau (Saiful) sepatutnya membuat laporan awal jika beliau benar-benar diliwat.

“Sepatutnya beliau tampil lebih awal. Bukannya setelah ‘diliwat’ beberapa kali seperti yang didakwa,” katanya.

Ditanya bagaimana Saiful mampu mengemukan bukti dia diliwat kerana sudah pasti tiada siapa yang melihat kejadian itu, beliau berkata itu terpulang kepada Saiful untuk buktikannya.

"Dia yang buat dakwaan, jadi dia kena buktikan. Kalau dari awal dia tahu tak dapat kemukakan bukti, lebih baik berdiam diri," katanya.

Beliau juga musykil dan hairan mengapa Saiful sebagai seorang yang muda dan berpelajaran tidak menghalang dirinya daripada ‘diliwat’.

“Kalaulah benar, Saiful sepatutnya bertindak melawan, bukan membiarkan sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai tarikh perbicaraan kes ini, beliau berkata perkara itu terpulang kepada kepantasan pegawai pendakwaraya menjalankan siasatan.

“Hari ini Datuk Seri (Anwar) buat aduan. Kemudian pendakwaraya akan mengambil keterangan daripada Saiful.

“Kemudiannya siasatan akan dilakukan sebelum perbicaraannya dimulakan,” katanya.
.

Bermubahalah atau bersumpah dengan Al Quran: Apa kata tokoh agama?

INSIDEN cabar mencabar agar bersumpah atau bermubahalah membabitkan isu dakwaan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, kian hangat diperdebatkan.


Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.


Adakah Islam membolehkan umat Islam bersumpah? Dalam keadaan manakah, kaedah bersumpah ini dibolehkan? Bagaimana pula kaedah bersumpah dengan menjunjung al Quran, adakah ini dianjurkan? Atau adakah ini sebahagian dari tradisi orang Melayu yang masih kuat dipegang hingga ke hari ini.


Tidak pernah lagi terjumpa satu ayat pun yang mengatakan kita dibolehkan bersumpah dengan menjunjung Al-Quran untuk membuktikan kebenaran.


Beberapa ulamak dan tokoh agama bercanggah pendapat apabila diajukan tentang al-Quran dijadikan sebagai alat untuk membuktikan seseorang itu berada di pihak benar atau tidak.


Bolehkah penyelesaian pintas menyelesaikan sesuatu masalah fitnah dengan memaksa individu yang didakwa terbabit dengan melafazkan sumpah mubahalah atau sumpah laknat?


Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Shukor Husin:


Lafaz sumpah wajar dijadikan jalan terakhir selepas mereka yang saling tuduh-menuduh tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan itu melalui proses lain dalam mencari keadilan.


Dalam kes isu tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, mana-mana pihak mesti berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menggunakan al-Quran dan lafaz sumpah laknat ketika mahu menyelesaikan masalah berkenaan.


"Cuba usahakan cara lain dulu yang boleh mengait atau mengelakkan seseorang itu daripada tuduhan berkenaan. Biarlah proses perundangan menentukan kebenaran tuduhan ini melalui proses pencarian bukti, saksi dan sebagainya.


"Jika tuduhan itu berlanjutan, melarat dan tiada jalan keluar, barulah lafaz sumpah itu digunakan," katanya diminta mengulas kewajaran cadangan untuk bersumpah menjunjung al-Quran bagi membuktikan kebenaran masing-masing.


Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid:


Islam tidak pernah mensyariatkan supaya orang yang terbabit dalam fitnah bersumpah dengan menjunjung al-Quran tetapi cukup hanya bersumpah dengan nama Allah SWT.


"Tidak wajar dan haram hukumnya untuk seseorang Islam menjadikan al-Quran sebagai alat untuk bersumpah kerana yang diharuskan agama ialah bersumpah dengan melafazkan nama Allah sebanyak tiga kali," katanya.


"Hanya Allah SWT yang berhak menggunakan nama makhluknya seperti al-Quran dan alat lain dalam mempertahankan kebenaran sesuatu perkara. Manusia pula disyariatkan bukan bersumpah dengan alat atau al-Quran sekalipun ketika mempertahankan diri mereka daripada fitnah atau penipuan tetapi cukup dengan menyebut tiga nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi.


"Kalimah sumpah itu adalah yang termasyhur dan biasa disebut semua orang sama seperti lafaz sumpah yang digunakan ketika pemimpin politik mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri," katanya.


Mufti Johor, Datuk Noh Gadut:


Isu fitnah seperti dakwaan kes liwat yang sedang hangat diperkatakan ini wajar ditangani di mahkamah.


"Ia akan membabitkan lebih ramai pihak berwibawa dalam menentukan keputusan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak," katanya.


Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin


Bersumpah dengan menjunjung Al Quran bukanlah kaedah Islam.


"Bukan itu yang dianjurkan oleh Islam. Nabi pun tidak pernah buat begitu. Bersumpah dengan menjunjung Quran adalah tradisi orang Melayu. Yang dianjurkan ialah bermubahalah atau bersumpah dengan berkata, "Jika benar saya yang melakukannya, laknatilah saya." Dan pihak yang satu lagipun perlu berkata sedemikian.


"Dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi - Saya tidak melakukannya," kata Dr Asri.


Menurut beliau, "Kedua-dua mereka, baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah. Inilah cara yang pernah Nabi buat dulu," jelasnya Dr Asri lagi.


Beliau turut menegur kesilapan fakta berhubung mubahalah yang dikaitkan sebagai kaedah "menjunjung al-Quran" sedangkan menurutnya dalam mubahalah, setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika berada di pihak yang salah.


Mufti Perlis itu percaya mubahalah yang tidak memerlukan wang atau modal akan menghapuskan prasangka dan hukumannya adalah adil.


Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut "Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" manakala satu pihak lagi perlu menyebut " Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku."


"Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah," kata Asri.


Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat


Beliau menyokong cadangan bermubahalah cuma cara bersumpah yang dianjurkan ialah bermubahalah sambil menjunjung Al Quran.


"Bermubahalah atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.


"Tapi kalau ada prosedur lain, lakukan dahulu yang lain itu, pihak mahkamah tentu tahu apa yang sepatutnya," katanya.


Mursyidul Am PAS itu berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.


"Bersumpah atau bermubahalah merupakan langkah paling akhir yang perlu dibuat selepas proses perundangan dijalankan.


"Tapi biarlah pihak mahkamah siasat dulu. Bersumpah adalah langkah yang terakhir," kata Tok Guru itu.


Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria


Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah kerana ia tidak menepati undang-undang Islam.


"Namun Anwar perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan," katanya.


Dr Harussani berkata yang menuduh kena mengemukakan empat orang saksi di mahkamah. Kalau tidak boleh dikenakan sebatan 80 kali.


Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman


Perbuatan bermubahalah (sumpah laknat) adalah bercanggah dengan ajaran Islam terutama jika ia membabitkan unsur-unsur politik.


Beliau berkata, sumpah adalah suatu perkara yang tidak boleh dipermain-mainkan dan hanya perlu dilakukan ketika dalam mahkamah membabitkan peruntukan undang-undang atau kanun tertentu.


''Sumpah bukan boleh dibuat sewenang-wenangnya, jika yang bersumpah itu mahu menunjukkan bahawa kalau dia benar-benar bersalah maka akan turun azab daripada Tuhan.


''Tetapi bagaimana pula keadaannya jika orang yang bersumpah itu tidak dikenakan azab (di dunia), adakah itu menunjukkan dia benar-benar tidak bersalah.


''Sedangkan ajaran Islam hanya mempercayai bahawa azab Allah kepada umat-Nya akan dikenakan di akhirat dan bukannya di dunia," katanya.


.