SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

09 October 2008

Khairy dapat pencalonan pertama

Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan pertama untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Beliau yang juga naib ketua pergerakan tersebut, mendapat pencalonan pertamanya daripada bahagian Machang di Kelantan.Pergerakan Pemuda Umno Machang mencalonkan Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau, sebagai ketua ketua Pemuda dalam mesyuaratnya hari ini.

Mesyuarat tersebut berlangsung di Sekolah Menengah Sains, Labok dekat sini hari ini. Selain Khairy, tiga orang lagi telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut.

Mereka ialah ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan timbalan pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam persidangan perwakilan Pemuda Machang hari ini, dihadiri oleh 337 ahli daripada 125 cawangan.

Dalam pengundian yang dijalankan, Khairy mendapat 96 undi dan Mukhriz memperolehi 78 undi manakala ahli perwakilan lain tidak mengundi.

Bahagian itu mencalonkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar di Selangor, Faizal Abdullah, untuk jawatan naib ketua.

"Kami merasakan Khairy mampu menggalas tanggungjawab besar dalam usaha memperkasakan Pemuda dan seterusnya memperkuatkan Umno," kata Eriandi Ismail.

Sebelum itu, Eriandi menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian Machang menggantikan Datuk Sazmi Miah yang melepaskan jawatan kerana faktor umur.

Umno Bahagian Machang akan mengadakan mesyuarat perwakilannya esok.

Wanita Umno bahagian itu, yang juga mengadakan mesyuaratnya hari ini, mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi mempertahankan jawatan ketua dan naib ketua Wanita Umno.
.

Gandingan Najib-Muhyiddin jadi pilihan

Regu Najib-Muhyiddin dijangka menjadi pilihan utama pencalonan bahagian bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan.
.
Beberapa pemimpin bahagian yang dihubungi Malaysiakini menyuarakan keyakinan mereka terhadap kemantapan gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memulih semula sokongan rakyat terhadap Umno.
.
Najib hari ini secara rasmi mengumumkan akan bertanding jawatan presiden, manakala Muhyiddin akan mengumumkan esok, hasratnya bertanding timbalan presiden.
.
Sehingga ini tiga orang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden. Mereka adalah Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
.
Seorang lagi ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pertama menawar diri bertanding jawatan tersebut, telah menarik diri hari ini dan akan bertanding jawatan naib presiden.
.
Mengenai jawatan ketua Pemuda Umno pula, mereka berpendapat Khairy Jamaluddin, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo layak untuk menerajui pergerakan Pemuda.
.
Bagaimanapun, timbalan ketua bahagian Pulai, Osman Sapian berpendapat Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun, paling berwibawa untuk memimpin pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
.
.
Gadingan mantap
.
Katanya, ini kerana tetokohan yang ada pada beliau dan bukannya kerana beliau anak mantan presiden Umno.
.
Manakala Khairy pula, katanya paling sesuai mempertahankan jawatan naib ketua Pemuda kerana beliau perlu belajar sebelum menerajui pergerakan itu.
.
"Untuk membentuk gandingan mantap dalam pergerakan Pemuda, Mukhriz perlu berganding dengan Khairy kerana kedua-duanya mempunyai kewibawaan," katanya lagi.
.
Manakala ketua Pemuda Umno bahagian Bagan, Marzuki Yahya pula berkata, gandingan Najib dan Muhyiddin boleh memulihkan semula Umno.
.
"Muhyiddin mempunyai pengalaman dan kematangan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku dalam Umno," katanya.
.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin lain mempunyai hak untuk bertanding dan sesiapa pun tidak boleh menyekat hak mereka untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
.
.
Mesti berani menegur
.
Manakala bagi Pemuda pula, Marzuki menyerahkannya kepada perwakilan pergerakan itu bagi memilih pemimpin utama mereka.
.
Tetapi, katanya, Pemuda memerlukan seorang pemimpin yang berani menegur untuk kebaikan parti.
.
Sementara itu, ketua Umno bahagian Lumut, Datuk Dr Zambery Kadir berkata, Muhyiddin paling layak menjadi timbalan presiden Umno kerana beliau bukan sahaja popular di kalangan kelompok Umno tetapi juga di dunia antarabangsa.
.
Calon lain, kata ketua penerangan Umno Perak itu, Mohd Ali dan Ahmad Zahid pula hanya efektif untuk jawatan naib presiden Umno.
.
"Mereka belum sesuai untuk menjadi timbalan persiden Umno kerana timbalan presiden Umno adalah timbalan perdana menteri," katanya.
.
Manakala Dr Zambery berpendapat Khairy, Mukhriz dan Dr Mohd Khir layak untuk menerajui pergerakan Pemuda.Selangor mahu Muhd TaibKatanya, ketua Pemuda yang baik ialah yang boleh memahami politik sebenar yang berlaku dalam Umno sekarang ini.
.
"Mereka tidak boleh syok sesama sendiri tetapi perlu mendekati golongan profesional muda, yang boleh turun ke universiti dan ke kampung-kampung untuk menarik sokongan mereka kepada Umno," katanya lagi.
.
Bagaimanapun, ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus pula berkata, ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib layak untuk menjadi timbalan presiden.
.
"Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas di peringkat pusat dan negeri dan oleh kerana itu beliau layak menjadi timbalan presiden Umno dan seterusnya timbalan perdana menteri," katanya.
.
Beliau berkata, pertandingan akan memberi peluang kepada perwakilan untuk memilih siapa yang paling layak menjadi timbalan presiden Umno.
.
Syukur berkata, semua calon naib presiden mempunyai kebolehan dan berpengalaman untuk menjawat jawatan tersebut.
..

Muhyiddin minta semua bahagian calon Najib

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua bahagian Umno supaya memberi pencalonan 100 peratus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti bagi menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti Mac depan.

Katanya, beliau membuat gesaan tersebut bagi bagi memastikan peralihan kuasa yang telah ditetapkan sebelum ini, berjalan lancar.

Beliau memberitahu pemberita demikian di majlis rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Illias Husin di Kampung Kuchelong di Bachok hari ini.

Muhyiddin, yang diramal bertanding jawatan Timbalan Presiden, bagaimanapun enggan mengesahkannya walaupun didesak oleh wartawan, demikian menurut Bernama.

Katanya beliau akan membuat pengumuman esok "bagi mengambil berkat Jumaat".

.
Kena ikut tertib.

Semalam perdana menteri buat keputusan, hari ini saya dimaklumkan Datuk Seri Najib akan buat pengumuman, wajarnya saya tunggu giliran lepas itu," katanya.

Mengulas kenyataan ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang tetap mahu bertanding jawatan presiden Umno walaupun pelan peralihan kuasa dipercepatkan ke Mac depan dari Jun 2010, Muhyiddin berkata tiada halangan untuk Tengku Razaleigh berbuat demikian.

"Bagaimanapun kita serahkan kepada kebijaksanaan dia sebagai orang lama dan berpengalaman dalam parti. Saya fikir saya tak layak menasihati beliau, saya juga menghomati beliau, tapi saya fikir beliau akan mengambil kira semua perkara selepas keputusan Perdana Menteri semalam, yang berharap timbalannya (Najib) akan jadi pengganti.

"Tetapi ini tidak bermakna kita tak benarkan sesiapa bertanding, sesiapa saja yang berhasrat menawarkan diri, dia boleh bertanding, dia ada hak untuk bertanding, tapi akhirnya terserahlah kepada perwakilan yang akan buat keputusan," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno, mengingatkan semua bahagian yang akan bersidang mulai esok supaya mengelak insiden yang boleh mencemar nama baik parti.

"Umno parti teras dalam negara yang perlu terus dipelihara. Peranan Umno besar, pemilihan kali ini bukan hanya memberi peluang memperbaiki kedudukan dalam parti tetapi juga untuk tingkatkan semula imej parti," katanya.
.

Najib umum tanding Presiden UMNO

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini secara rasmi menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac depan.

Najib membuat pengumuman tersebut di majlis Aidilfitri bersama kepimpinan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan pemimpin masyarakat semua peringkat di Kuala Terengganu, petang ini.

"Sehubungan dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (yang mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun depan).

"Saya dengan rasa rendah hati dan penuh rasa tanggungjawab, ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno," kata Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno.

Menurut Bernama, Najib, yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kuala Terengganu pagi ini sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno.

Semalam, Abdullah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac tahun depan sekaligus memberi laluan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas itu.

Abdullah, yang percaya Najib akan dipilih sebagai Presiden Umno yang baru pada pemilihan parti kira-kira enam bulan lagi, mahu timbalannya itu, mengambil alih kepimpinan Umno, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan daripadanya.

Proses peralihan kuasa Perdana Menteri kepada timbalannya itu, sebelum ini ditetapkan dilakukan pada Jun 2010. Bagaimanapun, atas desakan ahli-ahli, ia dipercepatkan pada Mac tahun depan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Najib berkata dengan sokongan daripada akar umbi dan para perwakilan parti, beliau berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan Umno dengan pembaharuan-pembaharuan yang disebutkan perdana menteri semalam.

"Saya percaya bahawa pengumuman ini akan membolehkan proses demokrasi dalam parti berjalan lancar dan terus subur di samping membolehkan semua ahli Umno berganding bahu untuk memantapkan lagi parti," katanya.
.

Zahid tawar diri tanding hanya jawatan Naib Presiden

dipetik dari mstar online


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengubah fikiran untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Beliau, sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, berkata keputusan itu dibuat demi menjaga perpaduan anggota peringkat akar umbi dan kekukuhan parti serta menghormati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang bakal menerajui Umno.

"Saya memohon sokongan dan pencalonan daripada akar umbi dalam persidangan Umno bahagian-bahagian untuk jawatan berkenaan (Naib Presiden) sahaja.

"Saya juga ingin menyatakan sokongan dan taat setia tidak berbelah bagi saya kepada Datuk Seri Najib, yang telah diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti sebagaimana yang telah diputuskan," katanya dalam satu kenyataan ringkas petang ini.

Ahmad Zahid, yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memahami situasi dan realiti politik semasa, yang memerlukan pengorbanan daripada seseorang demi perpaduan dan kekuatan parti.

- BERNAMA
.