SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

14 November 2008

Matematik, Sains dalam bahasa Inggeris tak jejas prestasi UPSR

SERAMAI 19 pelajar Tahun Enam yang mendapat 5A dalam UPSR menerima habuan wang tunai RM100 daripada pihak sekolah dan PIBG SK Sultan Ismail IV Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid.
.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.
.
Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.
.
“Walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A dalam UPSR kali ini menurun, mereka yang memperoleh 4A meningkat manakala calon gagal berkurangan. Secara keseluruhannya, keputusan UPSR tahun ini OK.
.
“Tidak ada keputusan melonjak tinggi atau menurun secara serius, sekali gus menunjukkan selepas enam tahun pelaksanaan PPSMI, ia tidak menjejaskan prestasi murid," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh, Pintu Geng di sini, semalam.
.
Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu. Hishammuddin berkata, sebelum ini sekolah yang gagal biasanya di pedalaman atau luar bandar serta daif, tetapi tahun ini sekolah di kawasan berkenaan turut mencatat kejayaan.
.
“Ini menunjukkan agenda merapatkan jurang digital tercapai, sekali gus menjayakan matlamat saya untuk ‘meratakan padang permainan’ tadi,” katanya. Beliau bagaimanapun berkata, sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan itu kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh.
.
"Kementerian sedang meneliti keputusan UPSR dan akan dibentangkan ke mesyuarat meja bulat sebelum sebarang kata putus dibuat. Kita mengambil pendekatan yang realistik dengan mendengar pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik serta ahli politik termasuk pembangkang.
.
"Saya tidak mahu bersandarkan kepada emosi atau rasional yang tidak berpijak di bumi nyata dalam membuat keputusan mengenai PPSMI kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak kita nanti," katanya.


.

Menilai sikap seorang MB Perak

Oleh ZULKIFLEE BAKAR (WARTAWAN UTUSAN)

''GO...go''...'' Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu.'' Dua kata-kata ini bukanlah dilafazkan oleh orang biasa atau lebih tepat lagi insan di jalanan yang tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam kerajaan mahupun swasta.

Sebaliknya ia dilafazkan oleh seorang bertaraf Menteri Besar yang berkuasa di sebuah negeri. Demikianlah gambaran tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin yang bertindak di luar dugaan kelmarin apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya.

Kejadian berlaku ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridwan.

Ketika Mohammad Nizar yang mewakili sebuah parti yang memperjuangkan Islam iaitu Pas bertindak begitu emosional, pada hari yang sama seorang wakil rakyat DAP bertindak sebaliknya.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dipaparkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris begitu tenang menerima surat tuntutan tersebut. Beliau tidak menghalang jurugambar menjalankan tugas mereka.

Persoalannya, kenapakah Mohamad Nizar begitu emosional sehingga bertindak di luar kesopanan sebagai seorang pemimpin pembesar negeri?

Sejak 1991, penulis sudah beribu kali membuat liputan mengenai pemimpin Pas termasuklah aktiviti Presiden parti seperti Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor dan kini Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah penulis juga sudah terlibat dalam membuat liputan pemimpin-pemimpin kanan Pas yang lain seperti Mursyidul Am, Pas Datuk Nik Abdul Nik Mat, tetapi tidak pernah sekalipun pemimpin-pemimpin berkenaan bertindak emosi seperti Mohammad Nizar.

Apa yang lebih mengecewakan, rakan sejawatannya di Kedah yang juga dari Pas, Datuk Azizan Abdul Razak tidak pernah bersikap begitu kasar seperti mana Mohammad Nizar.

Ketika penulis menghubungi beberapa pemimpin dan ahli Pas bertanyakan pandangan berhubung tindakan Mohammad Nizar itu, mereka bukan sahaja terkejut malah benar-benar kecewa dengan Menteri Besar Perak tersebut.

Ini kerana Mohammad Nizar membawa imej Pas dan alasan tindakan tersebut mungkin kerana berada dalam tekanan boleh dipertikaikan.

Kalau itu hendak diambil kira, bagaimana dengan Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan Azizan. Ketiga-tiga pemimpin ini pernah mengalami tekanan yang maha hebat daripada pelbagai sudut termasuklah daripada media tetapi pernahkah mereka melakukan tindakan seperti mana Mohammad Nizar?

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan sentiasa menghormati peranan media, jika ada perkara yang tidak puas hati mereka akan memberi penjelasan, mereka tidak akan emosional dalam bertindak.

''Saya berharap Mohammad Nizar akan belajar daripada ketiga-tiga pemimpin Pas tersebut, jangan terlalu emosional dalam berhadapan dengan media,'' kata seorang pemimpin Pas ketika dihubungi.

Layanan

Sebenarnya jika mengimbas kembali rentetan layanan Mohammad Nizar terhadap akhbar Melayu terutamanya Utusan Malaysia, apa yang dilakukan oleh beliau hakikatnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sejak awal pemerintahan lagi Mohammad Nizar tidak menyenangi laporan-laporan Utusan Malaysia biarpun apa yang dibentangkan berasaskan fakta dan realiti.

Mohammad Nizar merupakan antara kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang memboikot akhbar ini selain Selangor tetapi di Kedah, Azizan lebih matang dalam berurusan dengan media.

Azizan pernah memberitahu media bahawa beliau tidak kisah apa pun yang dilaporkan, kalau betul sesuatu berita itu, beliau akan siasat perkara yang dibangkitkan dan kalau laporan tidak tepat beliau akan menegurnya.

Begitulah sikap seorang pemimpin yang matang dalam berpolitik, apatah lagi apabila sudah menerajui sebuah kerajaan negeri. Mohammad Nizar seharusnya lebih matang tetapi beliau seolah-olah melihat Utusan Malaysia ibarat 'musuh kamu yang paling nyata'.

Apa pun keadaannya tindakan Mohammad Nizar boleh mencemarkan imej Pas sebagai sebuah parti yang sentiasa bersikap terbuka dengan media.

Ketika pakatan pembangkang mencapai persetujuan untuk memboikot Utusan Malaysia, barisan kepimpinan tertinggi Pas memutuskan membenarkan akhbar ini membuat liputan muktamar parti tersebut yang berlangsung di Ipoh.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku adalah jelas terlalu banyak yang perlu Mohammad Nizar pelajari. Sebagai seorang Menteri Besar dan mempunyai latar belakang akademik dan agama yang baik, beliau seharusnya tidak bertindak seperti insan-insan tidak berpelajaran di jalanan.

Jadilah seorang pemimpin Islam yang sentiasa menghormati tata susila dan tidak seharusnya memaparkan tindakan yang akan dianggap angkuh dan sombong.

Mungkin dalam soal ini, kepimpinan Pas harus memberi teguran dan nasihat kepada Mohammad Nizar bahawa jawatan Menteri Besar yang disandangnya bukanlah segala-galanya, apatah lagi jika ia diperolehi berdasarkan situasi 'nasib sahaja'.

Mohammad Nizar tidak perlu merasa tertekan dengan laporan-laporan media apatah lagi bertindak memusuhi mana-mana media.

Kalau ada perkara yang dibangkitkan oleh sesuatu media itu tidak tepat sebagai seorang pemimpin, beliau harus bersedia membuat penjelasan.

Mohammad Nizar perlu belajar dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Pas yang sentiasa memahami tugas media.

Lihat sahaja bagaimana Nik Abdul Aziz yang sudah hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan tidak pernah sekalipun membuat tindakan yang dilihat mencemarkan imej dan kedudukannya sebagai ulama dan kepimpinan negeri.

Nik Abdul Aziz sentiasa bersedia memberi penjelasan jika ada laporan media yang tidak tepat. Tidak dinafikan ada juga sekali sekala Nik Abdul Aziz benar-benar tersinggung dengan sesebuah media tetapi beliau tidak pernah menjerit 'woi' kepada mana-mana wartawan dan jurufoto.

Berdasarkan kepada keadaan itu adalah perlu Mohammad Nizar bermuhasabah dan berusahalah menjadi pemimpin yang matang, profesional dan bijak dalam berhadapan dengan wartawan. Ingatlah pemimpin yang baik ialah pemimpin yang mampu mengawal perasaan sendiri.

.

Komen Dr Mahathir Mengenai PM Satu Peringatan Kepada Orang Melayu, Kata Muhyiddin

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed pada Rabu lepas bahawa kaum lain di negara ini boleh menjadi Perdana Menteri merupakan satu peringatan kepada orang Melayu supaya kekal kuat dan bersatu.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini berkata apa yang telah dikatakan mantan perdana menteri itu hanya merupakan fakta dan bagi mengingatkan orang Melayu untuk memastikan mereka masih kuat dan mampu untuk menerajui negara ini.

"Apa yang Tun sebut sepatutnya tidak perlu menjadi satu polemik. Ia hanya merupakan kenyataan peringatan.

"Saya tidak kata saya setuju atau tidak bersetuju. Saya hanya katakan ia hanya merupakan satu fakta," sambil berkata kenyataan Dr Mahathir berdasarkan kepada fakta bahawa Perlembagaan tidak menyebut bahawa jawatan Perdana Menteri itu berdasarkan kaum, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 di sini.

Ketika ditanya jika beliau bersetuju jika seorang bukan Melayu menjadi perdana menteri, Muhyiddin berkata ia bergantung bagaimana perasaan rakyat mengenai perkara itu dan juga senario politik negara pada masa akan datang.

Mengenai kenyataan Dr Mahathir bahawa mereka yang terbabit dalam politik wang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Muhyiddin berkata "Tun hanya bergurau".

"Ia juga boleh bermakna dia kecewa tentang apa yang berlaku dalam Umno dari segi kempen yang dijalankan dan amalan yang menggunakan wang," kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai politik wang dalam Umno tetapi berkata beliau malu dengan apa yang berlaku dalam parti itu.

"Saya tak nak bercakap banyak pasal tu sebab saya berasa malu pasal mendedahkan kelemahan parti saya sendiri hingga media "megah" bagi melaporkan hal-hal yang tidak baik bagi parti saya," katanya.

- BERNAMA

.