SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

13 August 2008

ADUN BN Seberang Jaya calon BN di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi di sini.
.
Menurut Najib, pemilihan Ariff Shah, 52, dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor tempatan dan semasa.

Katanya, beliau adalah calon terbaik menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merebut kerusi kawasan parlimen berkenaan. Najib mengumumkan demikian di hadapan kirakira lebih 3,000 penyokong BN di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di sini malam ini.

Beliau turut melancarkan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu malam ini di Pusat Konvensyen Sunway Carnival.Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan pengunduran penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga penasihat parti itu.Penamaan calon ialah pada Sabtu ini.

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang iaitu Seberang Jaya yang diwakili oleh Arif Shah, Permatang Pasir (diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS) dan DUN Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR.
.

Dewan Pemuda Pas tak sehaluan dengan Abdul Hadi

IPOH: Dewan Pemuda Pas mempunyai pendirian berbeza dengan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat sekiranya pembangkang membentuk kerajaan pusat pada 16 September ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata Pas akan tetap bersama dalam pakatan itu bersama parti lain dan jika timbul sebarang perbezaan pendapat, ia akan diselesaikan secara bijaksana. Beliau berkata, walaupun ada masalah dan ketidaksefahaman berlaku di antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, ia tidak bermakna mana-mana parti dalam pakatan itu termasuk Pas sendiri akan bertindak keluar daripada pakatan.

“Ini bukan ertinya kita (Pas) akan berkompromi bila melibatkan dasar-dasar Islam. Bagi kita semua pihak perlu hormati prinsip dan dasar masing-masing. Dengan keadaan beginilah rakyat pilih kita baru-baru ini, apa masalah kita selesai bersama dengan cara yang berhikmah dan bijaksana.

“Hakikatnya di negeri yang dikuasai pembangkang, Pas, DAP dan PKR boleh duduk semeja. Setakat ini, semua masalah boleh diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kenyataan beliau berbeza dengan kenyataan Abdul Hadi sebelum ini yang menegaskan Pas akan keluar daripada Pakatan Rakyat jika “kerajaan baru” selepas 16 September ini tidak menjadikan Islam sebagai teras kepimpinan dalam menerajui negara.

Berhubung rasa tidak puas hati sesetengah anggota Pas dengan penyertaan Pas dalam Pakatan Rakyat, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata perkara itu adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh parti tu. Ditanya sejauhmana kesepakatan semua parti dalam Pakatan Rakyat kerana secara umumnya terlihat bahawa masih ada yang rasa sangsi di antara satu sama lain, beliau mengakui masalah memang wujud dalam pakatan berkenaan.

“Tapi itu masalah biasa dalam pakatan, kita ambil itu sebagai cabaran.

"Barisan Nasional (BN) pun ada masalah, dalam komponen (BN) pun ada masalah, tapi mereka boleh selesaikan masalah itu, dalam Pas pun, kita berhadapan dengan perkara ini.

“Saya akui memang kita ada masalah, tapi masalah tu boleh selesai dengan cara kita, kita minta rakyat lebih adil, kami baru lepas 100 hari (memerintah), jadi berilah masa untuk buktikan kami boleh bersama,” katanya.

— Bernama
.

10 Fakta Pimpinan Kerajaan PAS Di Negeri Perak Darul Ridzuan

dipetik daripada -perakbangkit.blogspot-


1. Kerajaan Minoriti Melayu, Menjadi Boneka kepada Cina.

2. Pemberian Gerak Tanah Hak milik kekal sebanyak 60,000 lot kepada penduduk Kampung Baru.

Petikan Ucapan Penggulungan YAB Menteri Besar Perak pada Persidangan Dewan Negeri Perak 27 Jun 2008“ Ahli Yang Berhormat Chenderiang membangkitkan isu pemberian geran kekal kepada penghuni Kampung Baru.

Kerajaan Negeri sememangnya bercadang untuk menukar status hakmilik pajakan kepada hakmilik kekal selama-lamanya untuk lot-lot kediaman Kampung Baru”

Komen: Terima kasih YAB Menteri Besar Perak, Orang Melayu dapat tanah 99 tahun. Orang Cina dapat tanah hak milik kekal 999 tahun. Takper, inilah konsep negara berkebajikan, Melayu boleh tinggal atas pokok (macam Filem P. Ramlee).

3. Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Negeri Perak di hadapan Speaker Berketurunan India

4. MB Perak Berdiam diri isu Karpal Singh mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

5. Arahan Pertukaran 24 jam Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan Penubuhan Jabatan Agama Bukan Islam.

6. Pelupusan taraf Bumiputera bagi lot Bumiputera yang tidak terjual di Negeri Perak.

7. Menyokong Pusat Khinzir Raksasa (PKR) di Selangor.

8. Patung Berhala Hindu di Pejabat Yang Dipertua Dewan Negeri Perak.

9. Pemberian kontrak pembekalan barangan keperluan asas secara rundingan terus untuk penduduk termiskin bernilai RM 500,000 (Lima Ratus Ribu) kepada Syarikat Nga Foo Ting & Sons.

Petikan Ucapan Penggulungan YAB Menteri Besar Perak pada Persidangan Dewan Negeri Perak 27 Jun 2008

"Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat mementingkan kebajikan rakyat. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri pada masa ini memperuntukkan sebanyak RM1.0 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak RM500 ribu dibelanjakan untuk pembelian barangan keperluan asas, manakala selebihnya dalam bentuk wang tunai bagi mengurangkan beban rakyat termiskin termasuk ibu tunggal.

Seramai 5,000 orang miskin tegar akan mendapat manfaat. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri melalui sebut harga terhad telah melantik Syarikat Nga Foo Ting & Sons Sdn. Bhd.”

Komen: Apakah maksud sebut harga terhad?Apa bezanya dengan rundingan terus? Tak sampai 100 hari duit peruntukkan untuk rakyat termiskinpun telah di salah gunakan. Inikah yang dikatakan Kerajaan yang amat mementingkan kebajikan rakyat? Ader ker Exco Kerajaan Negeri Perak bernama Nga????

10. Ahli Dewan Negeri Perak dari Parti UMNO di ugut dan dilemparkan kata-kata kesat di Lobi Dewan Negeri Perak. Merujuk kes salah seorang Ahli Dewan Negeri Perak dari Parti UMNO telah diugut dan dilemparkan dengan kata-kata kesat oleh dua orang lelaki berbangsa India.

Dimana salah seorangnya di maklumkan merupakan Pemandu Peribadi YB Nga Kor Ming, Exco Kerajaan Negeri Perak. Antara perkataan yang terkeluar dari mulut beliau “Ini bukan Tanah Melayu, ini Malaysian Malaysia”.

Kejadian berlaku sebaik sahaja semua Ahli Dewan Negeri Perak dari Barisan Nasional bertindak keluar dewan pada persidangan Dewan 25-27 Jun 2008. Berikutan protes terhadap Speaker Dewan yang berat sebelah.

Apa yang mendorong beliau untuk menyerang YB Kamunting? Ia masih belum di ketahui puncanya.

Satu laporan polis telah dibuat oleh YB Kamunting, demi menjaga keselamatan beliau dan semua Ahli Dewan Negeri Perak dari Parti Barisan Nasional.Inilah satu contoh budaya politik baru yang menjadi amalan Kerajaan Pakatan Rakyat yang amat mementingkan kebajikan rakyat. Budaya samseng!


8 Fakta Kelemahan Kerajaan Nizar Boneka DAP

1. Kerajaan Minoriti Melayu yang dicucuk hidung oleh DAP Sosialis. Sebagai MB, Nizar boleh membentuk Kerajaan Majoriti Melayu Muslim, tapi beliau gagal melaksanakannya.

2. Diskriminasi Status Hakmilik Kekal antara Kampung Baru (Cina) dan RPT dll. walaupun bertentangan dengan Kanun Tanah Negara. Sebagai MB, Nizar mesti faham undang-undang dan tidak melakukan diskriminasi kaum.

3. ADUN Muslim bersumpah dengan Nama Allah pada Majlis Angkat Sumpah ADUN di hadapan seorang Speaker Hindu. Sebagai MB, Nizar boleh melantik seorang Speaker Muslim.

4. Nizar Boneka berdiam diri walaupun Karpal biadap kepada Sultan. Sebagai MB, Nizar sepatutnya menjaga kedaulatan Sultan dan mengherdik tindakan Karpal.

5. Baru 43 hari jadi MB, Nizar Boneka menunjukkan kuasa menukarkan Pengarah JAIP walaupun tanpa restu Sultan dan memberikan arahan 24 jam penukaran. Sebagai MB, Nizar mesti tunduk dan taat kepada perintah Sultan.

6. Nizar Boneka lupuskan Taraf Bumiputa kepada 130 lot rumah bernilai RM5 juta. Sebagai MB, Nizar tak perlu melakukan usaha menafikan hak bumiputra.

7. Parti Nizar Boneka menyokong Projek Khinzir Raksaksa (PKR) di Selangor. Sebagai MB, Nizar boleh menyatakan pendirian yang lebih jelas.

8. Nizar membiarkan Patung Hindu berada dalam bilik Speaker di SUK. Ini tak pernah berlaku sebelum ini. Sebagai MB, Nizar mesti ambil tahu hal ini dan melarang Speaker berkenaan berbuat sedemikian.

Nizar terlalu lemah dan amat boneka.
.
.

Jalil cabar Anwar? Najib umum calon BN malam ini

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan malam ini calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Majlis itu dijadual berlangsung pukul 9 malam ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan membuat pengumuman itu bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Ya kita sudah membuat pilihan calon yang akan bertanding," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Najib dijadual melancarkan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu malam ini di Pusat Konvensyen Sunway Carnival.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan pengunduran penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penamaan calon ialah pada Sabtu ini.
.

MB Selangor enggan minta maaf

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap agar tidak dipanjangkan isu cadangan beliau supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima 10 peratus pelajar bukan Bumiputera. Beliau juga enggan meminta maaf kerana membuat cadangan itu walaupun ia telah mencetuskan kemarahan orang Melayu dan juga bantahan daripada pelajar UiTM sendiri.

“Tak ada...ini bukan ada maaf atau apa, semua ini hanya untuk menerangkan isu yang telah dipolitikkan,” katanya pada satu sidang akhbar ketika ditanya mengenai desakan oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu yang mahu beliau memohon maaf secara terbuka kerana membuat cadangan itu yang dianggap menyinggung perasaan orang Melayu.

Semalam lebih 5,000 pelajar UiTM di Shah Alam berarak sejauh dua kilometer ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor itu sebagai tanda bantahan dan untuk menyerahkan memorandum yang menyatakan kesal mereka terhadap cadangan itu.

Abdul Khalid juga berkata kenyataan yang dibuat oleh beliau itu pada Ahad lalu bukanlah pendirian kerajaan Pakatan Rakyat atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). Katanya kenyataan itu dibuat ketika beliau menjawab soalan daripada media tentang kemasukan pelajar asing dan Bumiputera ke UiTM dalam konteks untuk mempertingkatkan mutu pendidikan tinggi, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera.

“Kerajaan Selangor amat kesal ulasan ini dilaporkan di luar konteks asal dan lebih menjurus kepada isu perkauman,” katanya. Abdul Khalid mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak pernah bermaksud mempertikaikan hak keistimewaan pelajar Bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi mengangkat martabat pelajar Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Katanya beliau merancang mengadakan perbincangan dengan universiti di Selangor supaya mereka dapat berusaha untuk mencapai tahap universiti bertaraf antarabangsa.

“Salah satu ciri yang menyebabkan universiti dikenali di peringkat antarabangsa ialah keterbukaan universiti daripada segi idea dan kemasukan pelajar dan juga dari segi pembabitan pelajar dalam perbincangan terbuka mengenai isu semasa,” katanya.

— Bernama
.

Khalid perlu mohon maaf

PM bidas cadangan buka UiTM untuk bukan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam membidas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana mencadangkan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ditubuhkan untuk melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera, terutama Melayu, dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.

Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang disertai lebih 250 pertubuhan Melayu pula mahu Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu memohon maaf secara terbuka kerana cadangannya menyinggung orang Melayu.

Pada masa yang sama, lebih 5,000 pelajar UiTM berhimpun di depan pintu masuk utama Bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bagi membantah cadangan Khalid membuka universiti itu kepada bukan Bumiputera. Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2008 di Serdang, menegaskan perkara berkaitan pengambilan pelajar UiTM bukan dalam bidang kuasa Khalid.

"Itu bukan dia punya kuasa. Hal berkaitan pengambilan adalah hal berkaitan institusi pengajian berkenaan. Mereka yang tentukan dasar," katanya.

Ahad lalu, Khalid mencadangkan sekurang-kurangnya 10 peratus kuota kemasukan pelajar baru ke UiTM setiap tahun diperuntukkan kepada bukan Bumiputera dan pelajar antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin kelmarin menyifatkan cadangan Menteri Besar Selangor itu sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu. Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar, ketika dihubungi Berita Harian semalam pula berkata, cadangan Khalid jelas menunjukkan PKR tidak menghiraukan hak orang Melayu.

"Khalid perlu mohon maaf kerana orang Melayu tersinggung dengan cadangannya. Sebagai pemimpin Melayu, Khalid seharusnya mempertahankan hak bangsanya dan bukan membangkitkan kemarahan orang Melayu.

"Kami melihat cadangan Khalid hanya merugikan orang Melayu dan BBPM berharap kerajaan akan mempertahankan UiTM," katanya. Osman berkata, pihaknya tidak berniat untuk menyekat peluang pelajar bukan Bumiputera, tetapi mereka mempunyai peluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam lain.

Presiden Persatuan Perpaduan Islam Malaysia, Datuk Zulkifli Ahmad, turut membantah cadangan Menteri Besar Selangor itu, yang menurutnya bukan saja tidak membantu bangsa sendiri, malah akan menyusahkan lagi orang Melayu.

"UiTM sebenarnya adalah peluang kepada pelajar Melayu dan Bumiputera miskin untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi. Kini Khalid mencadangkan supaya 10 peratus daripada kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera. Saya merasakan cadangan ini sungguh tidak logik," katanya.

Zulkifli berkata, Menteri Besar Selangor itu perlu sedar tidak semua ibu bapa di kalangan orang Melayu mampu menghantar anak mereka ke luar negara untuk menyambung pengajian. Katanya, selama ini UiTM menjadi tempat pelajar miskin Melayu melanjutkan pengajian dan perkara itu perlu dipertahankan.
.

PAS rela tinggal Pakatan demi Islam

PAS tegas mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan parti dan sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia tidak menguntungkan Islam.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin diketika dihubungi Malaysiakini hari ini.Akhbar tabloid harian, Sinar Harian melaporkan perkara yang sama di muka hadapannya hari ini.Hafiz berkata, pendirian tersebut menunjukkan bahawa perjuangan PAS mempertahankan Islam konsisten sejak dahulu lagi.

Katanya, ucapan Abdul Hadi itu merujuk tanggal 16 September depan apabila ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat kepada Pakatan Rakyat.Seperti yang telah dinyatakan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyertaan mereka cukup untuk memboleh Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Bantu calon PKR

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam ucapannya Ahad lalu, presiden PAS itu menegaskan jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, PAS tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.

"Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambilalih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.

"Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam," kata Hafiz.

Katanya, ucapan Abdul Hadi mendapat sokongan dari lebih 100 pemimpin PAS negeri yang menghadiri konvenyen tersebut.

Bagaimanapun, kata Hafiz, Abdul Hadi telah menyatakan bahawa PAS akan tetap menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Gambar sekitar perarakan membantah cadangan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera

dipetik dari Mstar Online
.
Pelajar UiTM menandatangani memorandum bantahan semasa berkumpul di Padang Kawad UiTM
.
Perarakan bermula dari Dataran Shah Alam menuju ke Bangunan SUK
.
8000 Mahasiswa UiTM melahirkan kekecewaan terhadap cadangan Menteri Besar Selangor
.
Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengetuai perarakan
.

Sebahagian pelajar UiTM memegang sepanduk dalam perarakan memprotes di hadapan Bangunan SUK

.Laungan 'selamatkan UiTM' oleh peserta perarakan

.

YDP MPP, Luqmannulhakim berbincang dengan pegawai keselamatan mengenai hasrat untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor

. Memorandum bantahan diserahkan kepada Pegawai Ahkbar Menteri Besar, Hasril Abu Hassan

.

Cadangan Khalid berbaur politik, kata ahli akademik dan persatuan belia

KUALA LUMPUR: Beberapa ahli akademik dan pemimpin persatuan belia hari ini menyifatkan cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya 10 peratus kuota kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing berbaur politik.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ismail Hussein berpendapat cadangan itu sangat "relevan" dengan sikap Pakatan Rakyat yang tidak mempedulikan masalah yang dihadapi orang Melayu.

"Pihak pemerintah Selangor perlu selesaikan masalah perkauman yang semakin meningkat dan bukan menambahkan lagi kecurangan ekonomi, sosial dan pendidikan antara kaum," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Abdul Khalid ketika mencadangkan perkara itu dua hari lepas berkata, langkah itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi itu.

Dr Ismail berkata semua pihak perlu sedar UiTM dibina untuk menyelesaikan sebahagian daripada kecurangan yang wujud di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera.

Presiden Majlis Belia Malaysia Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata, kenyataan Abdul Khalid itu umpama ingin meraih sokongan daripada kaum bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat.
"Kenyataannya berbaur politik. Bukan untuk menjaga kepentingan dan kualiti kaum Melayu. Mereka perlu faham matlamat penubuhan UiTM, iaitu untuk memberi kemahiran kepada pelajar Bumiputera sejak dari awal penubuhannya," katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Datuk Reezal Merican Naina Merican pula dalam SMS beliau kepada Bernama menyifatkan perbuatan Abdul Khalid seperti mengkhianat amanah teras orang Melayu.

"Seharusnya orang Melayu membuka mata dengan kenyataan Tan Sri Abdul Khalid. Saya juga percaya UiTM tidak pernah berkompromi soal merit dan pencapaian para pelajarnya walaupun ia diwujudkan khusus untuk kaum Bumiputera," katanya.

Reezal berkata dakwaan Abdul Khalid bahawa langkah membuka peluang kepada kaum bukan Bumiputera memasuki UiTM itu sebagai satu usaha untuk wujudkan persaingan yang sihat adalah cadangan tidak berasas.

Tokoh sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata cadangan Abdul Khalid itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana perkara itu pernah dibangkitkan dan cuba dilaksanakan beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun menurut Dr Khoo, cadangan itu tidak mendapat sambutan daripada kaum bukan Bumiputera kerana mereka kurang senang berada dalam universiti yang didominasi oleh satu kaum sahaja.

Sejarah UiTM bermula sebagai Dewan Latehan Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung (Rida) yang beroperasi mulai November 1956 di Petaling Jaya sebagai pusat percubaan menawarkan kursus persediaan untuk remaja luar bandar aliran Inggeris.

Kemudian pada Jun 1965, Dewan Latehan Rida diletakkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan namanya ditukar kepada Maktab Mara. Pada tahun 1967, ia bertukar menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dan dinaik taraf sebagai universiti pada tahun 1996 dan ditukar nama kepada UiTM pada tahun 1999.

Walaupun beberapa kali bertukar nama namun objektif dan matlamat penubuhannya masih kekal ke hari ini iaitu untuk mempertingkat dan menjamin keutuhan status sosio ekonomi Bumiputera.

- BERNAMA
.

Penuntut UiTM berarak bantah; pendirian beza PM, MB Selangor

SEBAHAGIAN daripada penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menyertai perarakan membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera, di Shah Alam pagi tadi.

PETALING JAYA: Di sebalik perarakan membabitkan hampir 8,000 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera, Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor hari ini mempertahankan pendirian mereka mengenai statusnya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, UiTM sendiri yang mempunyai kuasa dan hak dalam menentukan dasar pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi itu.Abdullah berkata, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai kuasa untuk mencadangkan supaya kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera.

"Ini bukan dia punya kuasa. Hal yang berkaitan dengan pengambilan (pelajar) adalah hal yang berkaitan dengan institusi pengajian yang berkenaan," kata beliau selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang, Selangor.

Dalam pada itu, Khalid pula berkata, syor supaya UiTM dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera dibuat dengan niat yang baik demi kepentingan semua pihak.

Kata Khalid, beliau memang sedar pihaknya tiada kuasa untuk menentukan kuota pengambilan penuntut bukan Bumiputera belajar di UiTM.

"Saya sedar UiTM sudahpun mengambil pelajar bukan Melayu dan kebanyakannya adalah dari luar negara," katanya selepas menghadiri sesi dialog belanjawan negeri di Subang Jaya hari ini.

Dengan menetapkan kuota, jelas beliau, ia boleh dilakukan dengan sistematik manakala bukan Bumiputera pula akan jelas tentang peluang menyertai UiTM.

"Saya tidak melihat apa-apa kekurangan jika membuka institut ini kepda semua dan saya juga tidak merasakan satu kesalahan bagi saya memberikan pandangan sedemikian," katanya lagi.

Sehubungan itu, kata Khalid, kerajaan negeri Selangor juga bersedia menemui wakil penuntut UiTM untuk menjelaskan pendirian tersebut.

"Kami mahu pelajar mengetahui pendirian kami dan kami menjemput mereka untuk taklimat (daripada kami).

"Kami juga bersedia ke UiTM dan memberikan taklimat di sana jika tiada halangan ke atas kami," tambah beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.Beliau melahirkan pandangan itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu 'dibuka' kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.

Bagaimanapun, kata Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing. Pagi tadi hampir 8,000 penuntut UiTM berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam bagi membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut, berusia lebih lima dekad, dibuka kepada bukan Bumiputera.

Tinjauan mStar Online mendapati penuntut UiTM telah mula berkumpul sejak 7.30 pagi untuk bergerak secara konvoi - menaiki bas UiTM, kereta dan menunggang motosikal bagi melahirkan pendirian bantahan mereka.

Pada awalnya pihak penganjur menjangkakan kira-kira 2,000 orang sahaja akan menyertai perarakan tersebut.

Perarakan yang diberi nama "Perhimpunan UiTM Di Hatiku" telah menyerahkan memorandum membantah syor tersebut kepada wakil Menteri Besar Selangor.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Selangor pukul 10 pagi.
.
"Kami mendesak agar Menteri Besar memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut (syor 10 peratus tempat di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera)," katanya.

Tindakan susulan termasuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri dan Canselor UiTM akan ditentukan selepas reaksi Khalid, kata beliau.

“Kita telah merancang pelan tindakan secara terpeinci. Susulan fasa kedua dan ketiga akan diteruskan termasuk memohon perkenan Tuanku Canselor (Tuanku Mizan Zainal Abidin) bertitah agar UiTM tidak diganggu,” katanya.

Luqmannulhakim berkata pergerakan bantahan hari ini bukanlah atas desakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah atau mana-mana parti politik.

Tambah beliau agar isu pembukaan UiTM kepada bukan bumiputera tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk meraih simpati dan juga undi dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan nanti.

“Kita melihat ini adalah taktik pihak tertentu menjelang pilihan raya kecil di Permatang Pauh nanti.

“Sekiranya tujuannya ialah untuk itu (politik), maka tolonglah hentikan kerana telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan khas untuk Bumiputera,” katanya.

Diminta mengulas mengenai pendapat yang mengatakan percampuran pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera akan mewujudkan satu persaingan yang sihat, beliau tidak bersetuju dengan pendapat itu.

“Saya amat tidak bersetuju kerana telah terbukti seperti apa yang berlaku di universiti-universiti lain setiap kaum tertentu hanya akan bergaul dengan kaum mereka sendiri.

“Ini bukan persaingan yang sihat. Keadaan ini lebih bahaya jika wujudnya perasaan mementingkan kaum sendiri walaupun belajar dalam satu institusi,” katanya.

Tegas beliau walaupun UiTM terdiri daripada kaum Bumiputera sahaja, tetapi para pelajarnya telah dididik untuk menghormati agama, adat dan kepercayaan kaum lain.

Diminta mengulas mengenai pembukaan UiTM kepada pelajar antarabangsa, beliau berkata tindakan itu adalah bagi kepentingan jangka masa panjang.

“Kepentingan kita diperingkat pelajar sekarang ialah agar dapat mewujudkan jaringan hubungan dua hala dengan pelajar antarabangsa pada masa-masa akan datang,” katanya.

Dr. Ibrahim dijadual mengadakan sidang media di pejabatnya di Shah Alam pada pukul 2 petang ini.

Sementara itu, penuntut UiTM yang membanjiri perkarangan Bangunan SUK bersorak melaungkan kata-kata seperti "Selamatkan UiTM", "UiTM Untuk Bumiputera" serta "Hidup UiTM".

Mereka juga memegang sepanduk yang bertulis "Kami Pertahankan Hak Bumiputera", "Kami Bantah Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera" serta "UiTM Hak Bumiputera".

Pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Ibrahim bagi memaklumkan tindakan mereka pagi ini.

Ketika dihubungi malam tadi, Luqmannulhakim berkata: "Kami komuniti pelajar UiTM membantah keras pandangan (membuka UiTM) sedemikian."

"Kami mendapati alasan bahawa tindakan mengkhaskan UiTM hanya kepada masyarakat Bumiputera menyebabkan pelajar Bumiputera kurang berinteraksi dan sebagainya adalah tidak benar," kata beliau.

Malah, pada pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bagi memaklumkan tindakan mereka.

Kata Luqmannulhakim, pada pertemuan itu pengurusan tidak menghalang MPP untuk mengambil langkah sedemikian.

Malah, tindakan ini hanya disertai pelajar UiTM, bukannya pengurusan dan kakitangan."Kami difahamkan pengurusan UiTM akan mengeluarkan kenyataan kemudian," katanya.

Perarakan menyerahkan memorandum itu kepada kerajaan negeri merupakan langkah pertama, kata beliau.

"Selepas ini kami akan menyerahkan memorandum yang serupa kepada Perdana Menteri dan kemudian Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM. Ini akan dilakukan minggu depan," katanya.

Mengulas lanjut, kata Luqmannulhakim, pihaknya akan menghimpunkan penuntut-penuntut UiTM di kampus induk di Shah Alam awal pagi esok sebelum berarak ke Bangunan SUK.

"Sehingga malam ini (Isnin) kami sudah memperoleh tandatangan menyokong memorandum bantahan daripada lebih 5,000 pelajar dan ia mungkin akan mencecah 10,000 orang esok," katanya.

Kata Luqmannulhakim, pendirian kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar yang meminta 10 peratus diperuntukkan kepada penuntut bukan Bumiputera dan rakyat asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.

“Memorandum ini bertujuan meminta beliau (Menteri Besar Selangor) menarik balik kenyataannya kerana bertentangan dengan prinsip penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan profesional di kalangan Bumiputera,” katanya.
.