SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

27 July 2008

Pertemuan UMNO-Pas satu anjakan paradigma

IPOH 26 Julai - Pertemuan antara Pas dengan UMNO merupakan satu anjakan paradigma yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar kedua-dua belah pihak dapat mengemukakan masalah masing-masing.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, pertemuan atau muqabalah itu secara tidak langsung membolehkan kedua-dua belah pihak memahami secara jelas tentang segala masalah yang berlaku.

''Ini satu anjakan yang berlaku kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuka peluang kepada kita untuk kemukakan masalah-masalah atau perkara yang perlu diselesaikan oleh kerajaan.

''Pas kemukakan pandangan untuk Barisan Nasional (BN) buat perubahan. Antaranya menghapuskan diskriminasi kepada negeri-negeri yang kita perintah. Amalan lalu hendaklah dihentikan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Kali Ke-13 di Dewan Orang Ramai Rapat Setia, di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, antara isu lain yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan UMNO ialah berkaitan dengan isu badan kehakiman negara.

Beliau mendakwa, badan kehakiman sedia ada merupakan warisan daripada UMNO lama dan bukan dilakukan oleh Perdana Menteri sekarang.

''Jadi Abdullah mesti sanggup buat perubahan dengan berani, itu sahaja. Kita tak boleh kemukakan (semua masalah) sekali gus, satu-satulah.

''Kita lihat dulu, dia tak boleh buat perubahan dalam serta merta atau tiga empat hari," katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat ekoran pertemuan tersebut, Abdul Hadi menjelaskan, Pas perlu memenuhi jemputan yang dilakukan oleh UMNO.

''Mengikut Islam, bila orang jemput, kita mesti penuhi jemputan itu. Apa masalah kita dan apa masalah dia telah disebut dalam pertemuan itu dan ini bukan kali pertama kita pernah bertemu.
''Dulu dalam isu Bosnia, Palestin dan Majlis Pembangunan Ekonomi Negeri (Mapen) juga, kita adakan pertemuan dengan kerajaan dan kita kemukakan idea untuk selesai masalah," jelasnya.

Justeru, Abdul Hadi berkata, sekutu Pas atau parti lain dalam Pakatan Rakyat tidak perlu bimbang kerana pertemuan berkenaan langsung tiada kaitan dengan soal Pas mahu bergabung dengan UMNO atau masuk BN.

''Jadi pertemuan seumpama itu akan diadakan pada masa akan datang sekiranya perlu dan bergantung kepada keadaan.

''Tidak ada perpecahan (dalam Pakatan Rakyat). Kenyataan saya sebelum ini ialah kita tidak buat muzakarah. Yang ada cuma muqabalah. Kita tidak mengadakan perdebatan. Yang ada kita cuma kemukakan apa masalah yang berlaku," katanya.
.

Pakatan Rakyat retak? DAP mahu status PAS dikaji

KUALA LUMPUR: Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan PAS.

"PAS ternyata mengundang keraguan tentang kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada PAS patut terus dibenarkan menganggotainya," kata Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh dalam kenyataan di sini hari ini.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan berita barubaru ini yang mengesahkan bahawa PAS dan Umno, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), mengadakan rundingan bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.

"Jaminan Presiden PAS (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa PAS tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini."

Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, PAS mengadakan perbincangan dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara itu," katanya.

Beliau juga menyelar langkah PAS mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno "atas nama perpaduan Melayu" dan menyifatkan langkah bersifat perkauman oleh PAS itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat, yang dianggotai DAP, PKR dan PAS, memerintah lima negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pepecahan gabungan ini akan menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan di negeri terbabit, kecuali di Kelantan di mana PAS mempunyai majoriti lima kerusi.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mencadangkan agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan serius. Kenyataan Nik Aziz ini mengetepikan kenyataan Hadi Awang di Ipoh semalam bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno atau menyertai Barisan Nasional.

"Jelas sekali, kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini memberi persepsi bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Rakyat," kata Karpal. Bagaimanapun, kenyataan Karpal juga mengandungi kesilapan apabila beliau menyebut Nasharudin Mat Isa sebagai setiausaha agung PAS, sedangkan orang kuat PAS itu adalah timbalan presiden parti berkenaan.

"Minggu lepas, Setiausaha Agung (sebenarnya timbalan presiden) PAS Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan PAS secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat.

"PAS tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal.

Beliau berkata pilihan raya umum pada 8 Mac lepas memberi mandat kepada gabungan pembangkang untuk memerintah lima negeri dan mempamerkan dengan jelas bahawa rakyat mahukan sistem dua parti.

"Perkara paling penting, rakyat tidak mengundi mengikut kaum. PAS memilih untuk berusaha bagi menyatupadukan semua orang Melayu dan bukannya berusaha ke arah melaksanakan dasar bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia, sedangkan Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia," katanya.

- BERNAMA
.

Tidak mustahil Umno-PAS bersatu, sejarah 70-an berulang?

KUALA TERENGGANU: Sejarah lebih tiga dekad yang lalu berulang? Umno dan PAS akan bersatu di bawah satu bumbung sebagaimana disaksikan awal 1970-an selepas pilihan raya umum 1969?

Jawapan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ialah: "Ya."Justeru, kata beliau, penyatuan antara Umno dan PAS bukan sesuatu yang mustahil kerana kedua-dua parti itu pernah bersatu di bawah sebuah pakatan sebelum ini.

Sehubungan itu beliau menegaskan, apa yang lebih penting, kedua-dua parti itu perlu berbincang dengan hati yang ikhlas bagi memastikan penyatuan itu dapat memberi kebaikan kepada mereka.

"Insya-Allah... tiada apa yang mustahil kalau kita lihat kepada sejarah dahulu pun pernah waktu yang lebih runcing lagi pada 1969, akhirnya kita boleh wujudkan satu formula yang lebih besar iaitu pakatan yang dinamakan Barisan Nasional (BN), bersama PAS," kata beliau dipetik Bernama.

Ahmad Shabery mengulas mengenai cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik semalam, supaya UMNO dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan manamana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.

Mengulas perkara itu, Ahmad Shabery berkata, tiada sebab kenapa keduadua parti itu tidak boleh mencari formula untuk bersatu demi kepentingan negara pada masa depan dan ia tidak semestinya melihat hanya untuk orang Melayu dan Islam tetapi perpaduan yang boleh dimanfaatkan oleh semua kaum di negara ini.

Beliau berkata, kedua-dua parti berkenaan perlu melihat penyatuan itu dalam konteks yang lebih besar berbanding sebelum ini, terutama dalam menghadapi keadaan sekarang yang lebih mencabar.

"Kalau ada hasrat suci untuk melihat ada penyatuan di kalangan orang Melayu dan Islam, saya rasa baik kita kembali kepada asal iaitu pakatan yang pernah kita tubuhkan atas nama UMNO itu sendiri.

"Kalau kita ikhlas tentang soal penyatuan, soal apakah bentuknya tidak penting. Tetapi yang pentingnya kesediaan untuk kita duduk berbincang dan muzakarah, dapat kita teruskan.

"Kita tidak mengenakan apa-apa syarat sebab bagi PAS sendiri sekiranya dia boleh duduk bersama parti-parti lain yang tidak pun bercakap tentang soal Islam, yang ada rekod menentang negara Islam, kenapa ia ingin mengenakan pelbagai syarat dan bentuk kerjasama dengan UMNO," katanya.
.

Muqabalah atau muzakarah: Najib tidak mahu berbalah, PAS tentukan nasib minggu depan

IPOH: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menerima jemputan Umno untuk mengadakan perjumpaan atau muqabalah kerana ia memberi peluang kepada PAS menyuarakan masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan secara bersemuka.

"Umno telah membuka jalan kepada kita... ini satu anjakan yang berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuka peluang kepada kita (PAS) kemukakan masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan," katanya.

Pimpinan PAS dan Umno telah mengadakan perjumpaan sebanyak tiga selepas pilihan raya umum Mac lepas.Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS Perak Ke-13 di sini, Hadi berkata, antara pandangan yang telah dikemukakan PAS ialah supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) menghapuskan diskriminasi kepada negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Katanya, kerajaan pimpinan Abdullah juga diminta membuat perubahan dan pemulihan terhadap badan kehakiman.Beliau berkata, Perdana Menteri telah menyatakan kesediaan untuk melakukan perubahan yang perlu secara berperingkat sepertimana dicadangkan oleh PAS.

Abdul Hadi sementara itu mengulangi bahawa keputusan sama ada muqabalah antara PAS dan Umno akan diteruskan bergantung kepada persetujuan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pusat yang akan diadakan tidak lama lagi - dipercayai pada pertengahan minggu depan.

Mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS di Kota Baharu, Kelantan dua hari lepas bersetuju meneruskan pertemuan itu jika keadaan memerlukan demi menjaga kepentingan Islam dan perpaduan rakyat terutama di negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang.

Abdul Hadi turut menolak dakwaan berlakunya perpecahan di dalam PAS ekoran perjumpaan yang diadakan oleh pimpinan keduadua parti itu serta wujudnya rasa tidak selesa partiparti lain dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, perjumpaan dengan pimpinan BN bukan pertama kali diadakan kerana sebelum ini juga pemimpin PAS dan DAP pernah bersama-sama dengan kerajaan membincangkan isu negara termasuk dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen).

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata perjumpaan antara pemimpin pembangkang dengan kerajaan adalah perkara biasa dalam konteks membincangkan masalah rakyat.

Di Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, muzakarah antara Umno dan PAS perlu diteruskan bagi mencari keputusan yang dilihat boleh memberi kebaikan kepada kepentingan ummah dan perpaduan kaum di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno itu berkata jika PAS bersetuju untuk bermuzakarah, Umno dan PAS boleh memperluaskan perbincangan terhadap perkara-perkara kepentingan negara yang difikirkan wajar.

"Eloklah muzakarah ini diteruskan, bukan sahaja perbincangan yang telah dibuat Presiden parti (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini), tapi kalau PAS bersetuju kita boleh perluaskan perbincangan (kepada) apa-apa yang wajar," katanya selepas menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir daerah Pekan 2007, di sini, hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa PAS bersedia bermuzakarah jika pertemuan kedua-dua parti itu dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan agama.

Ditanya sama ada pertemuan kedua-dua parti itu atas nama muzakarah atau muqabalah, Najib berkata: "Pasal istilah pun takkan nak berbalah, asalkan kita dapat berbincang dan mencari kata sepakat atas isu untuk membantu kepentingan ummah dan negara."

.

Umno, PAS dibubar tubuh parti baru satukan orang Melayu?

MACHANG: Menyusul isu muzakarah-muqabalah, hari ini Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya UMNO dan parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Selepas tiga hari pemimpin kanan PAS bertemu dan tiga hari selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang menyentuh isu syor muzakarah-muqabalah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan manamana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.

"UMNO bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam," kata beliau dipetik Bernama selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan Ke-37 di sini.

Nik Abdul Aziz memberitahu, UMNO tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini.

"Kalau tidak kena dengan Islam di manamana, cuba beritahu dan kalau UMNO itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu," katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.

Nik Abdul Aziz berkata, dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.

"Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam," katanya.
.