SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

17 November 2008

Kukuhkan politik Melayu

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Politik Melayu perlu diperkukuh dan diperkasakan melalui penyatuan kaumnya yang ramai bagi mengelak daripada terus dicemuh dan dipersenda oleh pihak lain yang hendak mengambil kesempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kebelakangan ini, terlalu banyak penghinaan yang dilemparkan terhadap orang Melayu seolah-olah mereka telah hilang punca dan maruah.

“Fakta dan sejarah seolah-olah menjadi alat mainan politik lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina.

“Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tidak kisah lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Memorial Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Dalam hal ini, Rais yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Katanya, laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.

‘‘Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri,’’ tegasnya.

Justeru Rais berkata, orang Melayu perlu menghindari imej yang melemahkan perjuangan dan pada masa yang sama, bertindak apabila Melayu dan UMNO dicerca oleh politik luaran.

Rais berkata, fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu adalah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya, ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Timur Tengah dan seperti negeri China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu.
.
“Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini,” katanya.

Daripada aspek ekonomi, menurut beliau, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.

“Ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus daripada segi perolehan aset. Malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus. Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap?

“Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik UMNO misalnya ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut berkenaan, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun daripada segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai.

Justeru katanya, orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.

Mengenai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, Rais berkata, ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara.

Katanya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalankan usaha pemantauan dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan dengan segera.

Sementara itu, hadir sama pada program wacana tersebut ialah Presiden Perkasa yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pembentang kertas kerja dan pembahas ialah Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman; Pensyarah Undang-undang Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Shaik Mohamad Nor Alam; peguam Zainur Zakaria dan Abdul Halim Abdullah.

.

Melayu akan hilang dunianya jika tidak bangkit semula - Ibrahim


Walaupun hanya setengah hari tetapi Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Pribumi Dalam Perlembagaan yang dianjurkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia tetap panas.

Mujurlah bilangan jemputan dan hadirin cukup-cukup muat dalam dewan di Memorial Tun Hussein Onn tempat berlangsungkan wacana yang memperkatakan tentang bagaimana Melayu kini dilemahkan dan bagaimanapun Melayu harus bangkit semula.

Jika kata-kata hikmat Laksamana Hang Tuah ‘Melayu tak akan hilang di dunia’ dan beberapa kali disebut dalam majlis itu, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula ada ungkapan lain lebih tersirat maknanya.

“Hang Tuah kata Melayu tak akan hilang di dunia tetapi sebenarnya bagi saya, Melayu akan hilang dunianya,” ujar Ibrahim merujuk bagaimana orang Melayu kini berdepan zaman penghinaan, hilang maruah serta mudah diaibkan kaum lain.

Sebab itu katanya, inilah masa untuk mengarap keris yang tumpul.

“Tak perlu ramai tetapi semangat dan keberanian yang pernah ditunjukkan pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh dan Rosli Dhoby perlu terus mengalir dalam jiwa orang Melayu… inilah masanya kita bangkit bagi mempertahan hak-hak pribumi terutama yang ada dalam perlembangaan,” ujarnya menutup wacana tersebut.

Mustahil majlis itu tidak panas jika ucaptamanya disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abd Rahman.

Turut membakar semangat lebih 150 jemputan di wacana itu, peguam Zainur Zakaria dan Abdul Halim Abdullah serta Prof Dr, Shaik Mohamad Nor Alam dari Universiti Putra Malaysia serta di pengerusikan Datuk Ruhanie Ahmad.
.
Antara tajuk kertas dibentangkan adalah Isu Hak-hak Pribumi dan Perlembagaan, Perlembagaan sebagai struktur asas dalam tadbir urus negara bangsa.

Majlis itu berakhir dengan perisytiharan PERKASA 18 Dzulkaedah 1429/16 November 2008.

Ibrahim ketika ditemui Agendadaily seusai majlis itu berkata, lima asas yang dihasilkan melalui wacana itu akan menjadi keutamaan PERKASA bagi memperjuangkan hak-hak orang Melayu dalam tempoh terdekat.

Katanya, perkara-perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi perlu diperingatkan supaya ianya sentiasa jelas kepada pihak yang mempertikai hak orang Melayu di negara ini.

Lima perkara itu termasuk Perkara 66 mengenai kuasa Raja-Raja Melayu yang mesti dikekalkan dan bukannya dipinda dan diluluskan jika ada antara sultan tindak menandatanganinya.

“Perkara 153 mengenai kuasa Yang diPertuan Agong merizabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian lesen, permit, biasiswa atau bantuan tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya,” katanya.

Menurut ahli parlimen bebas Pasir Mas itu, fungsi Mahkamah Syariah di bawah 121 (1A) yang berkuasa menetapkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama Islam juga mesti kekal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Perkara lain yang turut difokuskan adalah akta menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa ilmu dan bukan diubah sesuka hati seperti kerajaan Pulau Pinang menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa,” ujarnya.

Beliau juga mencadangkan supaya bahasa Melayu terus kekal bahasa rasmi di mahkamah dan perlantikan hakim pula perlu mengambil kira mereka yang boleh berbahasa Melayu.

Perkara terakhir pula katanya, 159(5) mengenai kedudukan Tanah Rezab Melayu yang semakin banyak tergadai kerana bertukar syarat kepada projek pembangunan.

“Tanah rezab Melayu akan hilang sedikit demi sedikit kerana pengambilannya tidak diganti semula sedangkan kanun tanah memperuntukkan sebarang pengambilan tanah ini perlu diganti semula… tetapi ini jarang berlaku,”

“Perkara ini tidak boleh dipinda atau dibiarkan begitu sahaja. Saya difahamkan sudah banyak tanah rezab Melayu bertukar tangan dan tidak diganti,” katanya.

Ibrahim berkata, PERKASA juga akan meminta kerajaan memutuskan kementerian atau badan mana yang akan bertanggungjawab mengenai hal-hal atau hak-hak dalam perlembagaan ini.

“Ramai tak tahu siapa patut bertanggungjawab memaklumkan kepada umum mengenai hal-hal orang Melayu dalam perlembagaan. Tanpa ini, bukan Melayu tidak akan tahu mengenai hal yang sepatutnya diterima oleg Melayu atau pribumi di negara ini,” katanya.

Menurut Ibrahim, satu Sidang Kemuncak Kaum Pribumi membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan diadakan tahun depan bagi membangkitkan semangat serta kebangkitan orang Melayu.

“Kita belum terlambat lagi kerana apa yang berlaku terhadap orang Melayu ketika ini akan mengisafkan serta memberi kesedaran kepada kita untuk bangkit. Jika kita ada wanita Melayu yang boleh sampai ke kemuncak Everest, tak kan kita tidak berupaya mendepani ancaman ini,” ujarnya.

.

Harga minyak turun kali kelima mulai esok


PETALING JAYA: Selepas turun sebanyak 15 sen pada awal bulan ini - buat kali kelima, harga minyak turun lagi mulai esok.

Harga petrol RON 97, RON92 dan diesel turun sebanyak 15 sen seliter berkuatkuasa 12 tengah malam ini.

Harga runcit untuk petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen seliter kepada RM2.00 seliter daripada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan 15 sen kepada RM1.90 sen seliter dan harga diesel dikurangkan 15 sen seliter kepada RM1.90 seliter, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ini merupakan penurunan yang kelima sejak bulan Ogos, sebagaimana janji Kerajaan untuk menurunkan harga runcit petrol jika ada penurunan dalam pasaran dunia.

Jelasnya, kerajaan berharap para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak, supaya orang ramai mendapat manfaat yang sepenuhnya.

Beliau berkata para pengguna juga diharapkan akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walau pun harga telah turun, selaras dengan hasrat Kerajaan memastikan penggunaan tenaga yang efisien.
.
Minggu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menyatakan tentang harga minyak yang dijangka turun pada pertengahan bulan ini.

Ini berikutan harga purata minyak yang berada di paras AS$70 setong pada masa ini.

"Pada bulan Oktober lalu harga minyak berada di paras antara AS$74-AS$77 dan menurun kepada AS$70 semasa lapan hari terakhir bulan tersebut," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di Johor Bharu.

Shahrir berkata, harga niaga hadapan minyak iaitu pada bulan Disember juga menunjukkan ia akan berada pada paras di bawah AS$70.Trend harga minyak yang menurun itu, kata beliau, akan membolehkan harga minyak di pampam stesen minyak dikurangkan lagi pada harga yang berpatutan.

Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Ia merupakan kali kelima kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.

Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Mengenai kenaikan harga minyak pesawat ringan, Shahrir berkata, ia bukan bahan yang dikawal oleh kerajaan.

Katanya, kenaikan harga minyak tersebut dari RM6.20 kepada RM9.53 seliter di Kuala Lumpur dan RM9.80 seliter di Langkawi adalah berikutan kekurangan bekalan bahan itu.

.