SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

14 July 2008

KPN Saman Anwar RM5 juta jika tak mohon maaf

KUALA LUMPUR - "Tindakan menyaman Anwar Ibrahim adalah perlu kerana beliau mencabar kredibiliti saya sebagai Ketua Polis Negara."

Begitu komen Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar), sewaktu diminta mengulas tindakannya memberi tempoh dua hari sehingga hari ini supaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memohon maaf kepada beliau.

Musa juga menegaskan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan saman sehingga RM5 juta sekiranya penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan memohon maaf.

"Saya mahu Anwar meminta maaf secara terbuka dan menarik balik laporannya mengenai dakwaan kes pukul semasa beliau berada dalam tahanan pada tahun 1998," tegasnya.

Katanya lagi, dakwaan serta laporan itu berunsur fitnah dan secara tidak langsung ia disebarkan kepada khalayak.

Bagaimanapun, Musa enggan memberi komen lanjut berhubung tindakannya dengan memberi alasan perkara itu diserahkan sepenuh kepada peguam.
.

Debat minyak Anwar-Shabery ikut jadual - Agendadaily

KUALA LUMPUR: Sehingga tengah hari ini debat isu kenaikan harga minyak anjuran Agendadaily membabitkan kemunculan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan diadakan malam esok sebagaimana telah dirancang.
"Tiada sebarang perubahan setakat sekarang (sehingga 1.30 tengah hari), ia akan diadakan seperti yang telah dirancang walaupun ada banyak perkembangan setakat ini," kata Ketua Pengarang Agendadaily ketika dihubungi mStar Online.

Forum itu akan dikendalikan oleh Pengerusi DBP Datuk Johan Jaaffar (gambar).

Ketika ditanya sama ada kemungkinan ada perubahan atau sebagainya, Rosli memberitahu, debat akan diteruskan walaupun ada banyak perkembangan sejak pagi ini.

Beliau juga berkata, Johan telah memutuskan untuk menghentikan debat jika pemidato menyentuh isu di luar topik yang telah dipersetujui.

Semalam Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menolak kemungkinan beliau akan ditahan polis pada bila-bila masa berhubung kes dakwaan liwat yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Bernama TV melalui saluran Astro 502 akan menyiarkan secara langsung debat itu.Debat satu jam setengah itu bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" dan akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bermula pukul 9 malam.

TV9 juga akan menyiarkan debat itu secara langsung.

Johan berkata, debat itu menyerupai debat presiden di Amerika Syarikat."Kedua-dua pendebat itu akan berada di pentas dan diberi lima minit setiap seorang sebagai mukadimah dan saya akan tanya satu soalan setiap seorang," katanya.

Ditanya persediaan beliau sendiri untuk debat itu, Johan berkata beliau seboleh mungkin tidak mahu campur tangan terhadap soalan yang akan ditanya wartawan.

"Saya hanya akan menumpukan kepada tajuk dan tidak tahu soalan apa yang mereka akan tanya," katanya.

.

Dr Asri tegur kesilapan sirah dalam Al-Hidayah

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini mencadangkan kepada TV3 agar menyemak latar belakang penceramah dan isi kandungan yang bakal disampaikan untuk mengelak berulang kesilapan fakta seperti yang berlaku dalam slot 'Sirah' dalam rancangan Al-Hidayah TV3.

Difahamkan rancangan ini dikendalikan oleh penceramah motivasi terkenal Ustazah Siti Norbayah Mahmood yang dikenali dengan cadangan teknik cakar harimaunya untuk memikat hati suami.

Ketika dihubungi, Dr Asri berkata, banyak pihak telah mengadu kepadanya mengenai Slot Sirah dalam Rancangan al-Hidayah TV3 yang dikendali oleh seorang ‘ustazah.’

"Saya tidak dapat memberi respon sebelum ini kerana tidak berkesempatan menontonnya. Pada 13hb Julai 2008 yang lepas saya berkesempatan menontonnya pada waktu pagi.

"Ternyata apa yang menjadi kegusaran banyak pihak itu benar. Ustazah berkenaan telah menceritakan tentang Nabi ‘Isa a.s. tanpa berdasarkan sumber-sumber yang sahih. Bahkan kisah itu dibaluti dengan kekarutan yang amat sangat.

"Beliau mengisbatkan bahawa Maryam ibu Nabi Isa wafat sebelum Nabi a.s. dan mengemukakan kisah yang tiada sumber yang sah daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Bahkan bertentang juga dengan Bible.

"Kemungkinan besar beliau mengutip kisah ini daripada laman web Syiah sempena Perayaan “Mengingati Kewafatan Maryam” yang diraikan oleh Syiah Imamiyyah," kata Dr Asri yang terkenal dengan kelantangannya menegur sesuatu yang tidak betul.

Katanya lagi, kecenderungan penceramah-penceramah sebegini mengambil sumber-sumber yang tidak sahih tentang agama; termasuk hadis palsu dan riwayat Israiliyyat boleh mengelirukan orang awam mengenai Islam yang sebenar.

Oleh itu orang ramai diminta berhati-hati dalam mempercayai kisah-kisah yang dimuatkan dalam rancangan tersebut.

Dr Asri berkata, pihak stesen TV perlu menyemak latar belakang penceramah dan isi kandungan yang bakal disampaikan untuk mengelak berulang kesilapan fakta.

"Kalau rancangan itu (mengenai) sirah, semak dengan orang (yang mahir) sirah. Kalau syariah, semak dengan orang yang berkelayakan dalam syariah, semak dengan orang yang betul-betul ahli," katanya.

"Apa saja yang melibatkan fakta dalam agama, kena hati-hati," kata Dr Asri.
.

Abdullah terima baik cadangan berbincang dengan PAS

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima baik cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan Umno mengenai isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Perdana Menteri berkata Umno sedia untuk berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

"Jika ada persefahaman, maka kuranglah satu masalah yang melibatkan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan mengenai golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, di sini hari ini.

Namun, katanya, Abdullah apa sahaja yang perlu dilakukan untuk kebaikan orang Melayu juga perlu mengambil kira kebaikan rakyat keturunan lain.

Dalam satu temubual dengan akhbar PAS, Harakah, baru-baru ini, Hadi mengakui bahawa terdapat individu PAS mengadakan perbincangan dengan individu Umno bagi menerokai kerjasama.

Mengenai tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di ibu negara, Perdana Menteri berkata pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas, terutamanya untuk mengurangkan gangguan kepada lalu lintas akibat tunjuk perasaan anti kerajaan.

"Kumpulan yang mahu mengadakan tunjuk perasaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Polis cuba menyekat kekacauan," katanya.

Abdullah berkata demonstrasi sebegitu tidak seharusnya berlaku dalam bandar raya kerana ia menjejaskan perniagaan dan aktiviti harian orang ramai.

"Pekedai mahu berniaga dan mereka mempunyai hak terhadap jaminan tidak ada kekacauan. Oleh itu, polis mengambil langkah memastikan kekacauan jalanan tidak berlaku.

"Pada masa yang sama, penunjuk perasaan kata mereka tidak sepatutnya dihalang. Namun, polis bertanggungjawab memastikan tidak ada kekacauan," katanya.

Abdullah berkata perhimpunan seperti itu sepatutnya diadakan di stadium supaya tidak berlaku gangguan kepada orang ramai.

-BERNAMA
.

Anwar tak muncul, polis timbang beberapa tindakan susulan

PETALING JAYA: Ekoran kegagalan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung isu liwat, polis mempertimbangkan beberapa pilihan tindakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Perkara ini diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin. Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan pilihan-pilihan berkenaan.

"Saya tidak akan memberitahu apakah pilihan yang kita ada tetapi ini merupakan satu proses perundangan Malaysia," katanya.

"Anda fikir sendiri (pilihan)," kata beliau pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang tadi.

Menurut Bakri, Anwar telah dipanggil untuk direkodkan rakaman percakapannya di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah iaitu satu proses penyiasatan yang normal.

"Dalam proses penyiasatan kami, kami mengikuti proses perundangan yang sedia ada dan pemanggilan Anwar untuk merakamkan percakapannya (Sekyen 112) merupakan proses perundangan," jelas beliau.

Bakri berkata, proses merakam percakapan merupakan satu peluang dan ruang yang diberikan oleh pihak polis kepada Anwar.

"Pihak polis telah memberi ruang yang secukupnya untuk Anwar memberi keterangan. Kami menunggu kira-kira 80 minit tetapi beliau tidak muncul sebagaimana yang telah dipersetujui Sabtu lalu," katanya.

Pada Sabtu lalu, Anwar telah bersetuju untuk datang ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung isu liwat membabitkan bekas pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada bulan lalu.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa Anwar telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini iaitu dua hari sebelum laporan itu dibuat.

Selain itu, Bakri berkata laporan-laporan di internet yang mengatakan bahawa Anwar telah menghantar kenyataan kepadanya merupakan satu khabar angin.

"Sepanjang hari ini saya berada di balai polis Bukit Aman dan saya tidak menerima sebarang surat sejak 6 pagi tadi," kata Bakri.


****************** BERITA TERDAHULU ****************

Anwar tidak muncul di IPK KL sehingga 2.30 petang

Oleh G. MANIMARAN dan LEE YAN XIU

PETALING JAYA: Sehingga pukul 2.30 petang tadi, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak muncul di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk membantu polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan meliwat, yang kedua dihadapinya dalam tempoh 10 tahun.

Hanya wartawan yang berkumpul di hadapan IPK Kuala Lumpur manakala polis dijangka mengadakan sidang akhbar khas pada pukul 3.30 petang ini.

Kelmarin polis berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah bersetuju untuk menemui mereka bagi memberikan keterangan.

Anwar memutuskan untuk tidak hadir di IPK kerana arahan lengkap memintanya memberi keterangan berhubung dakwaan meliwat belum dikeluarkan polis sehingga pagi ini.

Polis pula akan menunggu sehingga pukul 5 petang untuk memutuskan tindakan susulan ke atas Anwar.

Peguam Anwar, Sankara Nair ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya memang ada perjanjian dengan polis untuk bekerjasama tetapi tiada arahan sempurna untuk tujuan siasatan.
.
"Kami menunggu arahan sempurna dan akan pergi menemui polis," kata beliau.

Kelmarin polis memaklumkan bahawa Anwar telah bersetuju untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuaal Lumpur pukul 2.30 petang untuk memberi keterangan berhubung isu meliwat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin ketika dihubungi pula memberitahu, Anwar sepatutnya datang menemui pihaknya pukul 2.30 petang.

"Kita akan menunggu kedatangan beliau. Jika tidak datang sehingga pukuk 5 petang, kita akan menentukan tindakan berikut," katanya.

Dalam pada itu, maklumat yang diperoleh dari blog Anwar menyebut Ketua Umum Pakatan Rakyat itu telah menyatakan keputusan untuk tidak hadir kepada Bakri menerusi satu surat semalam.

Surat itu antara lain berbunyi, " Kami telah diarahkan bahawa lebih kurang pada lewat pagi 12 Julai 2008 DSP DSP Jude Pereira dari pejabat tuan telah menghubungi peguam kami Encik S N Nair meminta anak guam kami Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menghadirkan dirinya ke IPK Kuala Lumpur pada 13 7 2008 (Ahad) untuk tujuan pengambilan keterangan.

"Peguam kami Encik S N Nair selepas berbincang dengan anak guam kami yang berada di Pulau Pinang telah memberitahu DSP Jude bahawa anak guam kami akan hadir pada 14 Julai 2008 pukul 2.00 petang di IPK Kuala Lumpur dan oleh itu suatu persefahaman baik telah dicapai oleh kedua-dua pihak seperti yang dipersetujui dari awal.

"Tetapi, kami telah dimaklumkan oleh DSP Jude lebih kurang jam 9.30 malam pada 12 Julai 2008 bahawa pihak polis telah pergi ke rumah anak guam kami di Segambut Dalam Kuala Lumpur dan telah cuba untuk menyerahkan suatu peintah di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah di bawah nama anak guam kami kepada salah seorang yang berada di rumah anak guam kami.

"Peguam kami Encik S N Nair membantah kepada DSP Jude bahawa ia adalah suatu serahan yang tidak teratur dan tiada keperlun untuk mengeluarkan perintah tersebut kerana anak guam kami telah akujanji untuk hadir seperti persefahaman baik yang telah dipersetujui di perenggan 3 di atas.

"Walaupun perkara di perenggan 5 di atas telah diberitahu kepada pihak polis, kami telah dimaklumkan sekali lagi oleh anak kepada anakguam kami bahawa lebih kurang pada tengah hari 13 Julai sepasukan pegawai polis telah pergi ke rumah anak guam kami di Segambut Dalam dan telah mengganggu dan telah menuntut keluarganya menerima penyerahan perintah tersebut walaupun telah diberitahu bahawa keluarganya tidak mempunai kuasa untuk menerima perintah tersebut kerana perintah tersebut telah dialamatkan secara kediri anakguam kami. Sepasukan pihak polis tersebut juga telah enggan untuk meninggalkan rumah anak guam kami dan oleh itu telah menyebabkan keluarg anak guam kami berada di dalam ketakutan dan intimidasi yang mana secara keseluruhannya adalah tidak perlu.

"Berdasarkan kepada di atas, anak guam kami merasa terlalu kecewa dengan sikap tidak professional dan tindakan-tindakan intimidasi pihak polis walaupun telah mencapai persefahaman baik untuk bekerjasama sebelum ini.

"Anak guam kami sekarang ini ingin menyatakan bahawa kecuali pihak polis bertindak secara profesional dan mematuhi persefahaan baik tersebut dan undang-undang, anak guam kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis.

"Walau apa pun, anak guam kami mengulangi kedudukan beliau bahawa anak guam kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis sekiranya pihak plis tidak mengganggu beliau atau mengintimidasi keluarganya dan tidak memungkiri persefahaman baik tersebut.

"Kami selaku peguam bela anak guam kami akujanji akan mengemukakan anak guam kami sekiranya kesemua syarat di perenggan 9 di atas dipenuhi oleh pihak polis dan kami memohon agar suatu tarikh baru ditetapkan supaya anak guam kami boleh hadir ke IPK Kuala Lupur untuk memberi keterangan di bawah keadaan yang tidak membahayakan mana-mana pihak. Dalam keadaan intimidasi yang dilakukan oleh pihak polis seperti ini, anakguam kami tidak dapat menghadirkan ke IPK Kuala Lumpur pada 14 Julai 2008 sehingga keadaan intimidasi ini lenyap sama sekali.

"Anak guam kami ingin memaklumkan bahawa beliau pada hari Rabu 16 Julai 2008 (Rabu) akan hadir ke pejabat Agensi Anti Rasuah untuk memberi keterangan.

"Sekali lagi kami mengulangi bahawa anakguam kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis tetapi tidak di dalam keadaa adanya intimidasi dan gangguan dari pihak polis."
.

Usul tak percaya ditolak, pembangkang keluar Dewan

DR. WAN AZIZAH Wan Ismail bersama Lim Kit Siang pada sidang media selepas usul tergempar yang difailkan Khamis ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Kesemua anggota Parlimen pembangkang iaitu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP hari ini bertindak keluar Dewan apabila usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin, yang menerima permohonan usul itu daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail Khamis lepas berkata, beliau telah memberikan alasan bertulis terhadap penolakan di bawah peraturan 18 (7), walaupun secara asasnya tidak diperlukan untuk membuat penjelasan.

"Speaker tak perlu beri alasan pun tetapi apabila saya tak jawab, seolah-olah saya sembunyikan sesuatu. (Alasan penolakan ialah kerana) Apabila saya baca usul berkenaan ia menyatakan mengambil ketetapan tidak percaya.

"Mengambil ketetapan ini membabitkan pengundian sedangkan 18 (1) dan 18 (2) ialah untuk merunding. Maca mana pulak saya boleh benarkan di bawah 18 (1) dan 18 (2)," katanya ketika memulakan sesi penggulungan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan di sini.
Beliau berkata, alasan lain yang diberikan secara bertulis kepada Dr. Wan Azizah mengenai sebab penolakan itu ialah semua yang hendak dkemukakan dalam Dewan mengikut peraturan mesyuarat itu sudah dikemukakan pada perbahasan usul kenaikan harga minyak tempoh hari.

Anggota Parlimen pembangkang membuat keputusan keluar Dewan selepas Pandikar Amin menyatakan sesiapa juga yang bangun untuk mempertikaikan keputusannya menolak usul berkenaan akan diarah keluar.

"Siapa yang bangun selepas (Anggota Parlimen) Batu (iaitu Tian Chua berhujah) saya akan arah dia keluar (Dewan)," katanya.

Ketika keadaan semakin hangat dengan penyokong kerajaan dan pembangkang bertikam lidah termasuk menyindir antara satu sama lain, Dr. Wan Azizah bangun meminta Pandikar Amin mempertimbangkannya semula.

"Kalau boleh timbangkan. Kita terpaksa meninggalkan Dewan. Inilah cara kami (menyuarakan hasrat rakyat)," kata Dr. Wan Azizah. Selepas Pandikar Amin tidak melayani permohonan itu dan menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad, Dr. Wan Azizah bangun dan keluar dari Dewan dengan diikuti kesemua anggota pembangkang lain.

Khamis lepas parti pembangkang menyerahkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri kepada Pandikar Amin di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.Usul itu diserahkan oleh Dr. Wan Azizah Ismail yang mengetuai 14 Anggota Parlimen dari parti pembangkang yang mewakili PKR, PAS dan DAP.

Usul itu adalah di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) yang berbunyi "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kempipinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan."

-BERNAMA
.

KL SESAK TERUK...

Polis meneruskan pemeriksaan ketat di kawasan bangunan Parlimen sejak awal pagi tadi. Langkah itu menyebabkan kesesakan teruk di ibu negara sejak awal lagi dan dijangka berterusan sehingga lewat malam ini.

Polis mengadakan pemeriksaan ketat Lembah Klang sejak petang kelmarin dengan mengadakan sekatan jalan di kebanyakan jalan dan lebuh raya. Langkah itu diambil ekoran desas-desus bahawa kemungkinan diadakan perarakan atau perhimpunan di ibu negara hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta maaf atas kesulitan dihadapi oleh orang ramai ekoran tahap pemeriksaan polis yang ketat.

Isu berkenaan juga dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang mempertikaikan tindakan polis yang menyukarkan kemasukan ahli-ahli Parlimen ke bangunan Parlimen.
Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat berkata, ia tidak perlu dipertikaikan kerana itu adalah langkah keselamatan.
.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau terlibat menganjurkan perhimpunan yang dimaksudkan polis hari ini. Katanya, Pakatan Rakyat tidak pernah memutuskan untuk mengaturkan program seumpama dan tindakan mengaitkan nama beliau dan pakatan itu adalah satu fitnah dan mengalahgunakan proses perundangan.
.

Polis berjaya sekat perhimpunan haram, tiada tangkapan dibuat

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyekat penganjuran perhimpunan 'haram' di luar bangunan Parlimen yang sepatutnya diadakan hari ini setelah mengadakan sekatan jalan raya sejak tiga hari lalu bermula Sabtu.

Perhimpunan itu dikatakan dirancang untuk memberi sokongan moral kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Notis usul itu dikemukakan Khamis lepas oleh Wan Azizah dan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata sekatan di beberapa buah jalan utama menuju ke Parlimen dibuat berdasarkan maklumat yang diterima.

"Pihak polis menyiasat secara terperinci maklumat yang diterima sebelum mengambil keputusan untuk mengadakan sekatan lalu lintas," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Jelas beliau, polis menyedari tindakan sekatan lalulintas menyukarkan pengguna jalan raya untuk ke tempat kerja, namun langkah demikian perlu diambil bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

"Hingga kini, polis masih menjalankan sekatan seperti biasa. Namun, kemungkinan besar kita akan hentikan sekatan pada lewat petang atau malam ini berdasarkan perkembangan semasa," katanya.

Antara jalan yang mengalami kesesakan teruk ialah Jalan Parlimen, Jalan Mahameru, Jalan Duta dan Jalan Kuching.

Ditanya samada wujudnya perhimpunan tanpa permit di tempat lain, beliau berkata hanya satu perhimpunan kecil dikenalpasti dilakukan di kawasan Pasar Seni kira-kira 2 petang tadi.

"Tiada perhimpunan dikesan di tempat lain kecuali di Pasar Seni. Namun, jumlah yang hadir adalah kecil iaitu 20 hingga 30 orang.

"Polis berjaya mengawal kumpulan itu dan tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya tentang perhimpunan yang turut melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Muhammad Sabtu turut memberitahu media, tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang sekatan dilakukan sejak Sabtu lalu walaupun pihak polis banyak menerima cemuhan daripada orang ramai.

"Polis telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota untuk jalankan sekatan mengikut lunas undang-undang. Kita tidak melakukan sekatan sewenang-wenangnya melainkan demi kepentingan awam," katanya.

Diminta mengulas mengenai penafian beberapa pemimpin parti pembangkang mengenai perhimpunan 'haram' ini, beliau berkata, "Itu perkara biasa, ini mainan mereka setelah melihat kekuatan polis.".

Beliau juga ditanya tentang persediaan pihak polis bagi mengawal keadaan semasa debat kenaikan harga minyak yang dijadualkan esok antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, polis akan menempatkan anggotanya bagi mengawal kemungkinan yang bakal berlaku.

Beliau turut menjelaskan kira-kira 20 peratus kekuatan anggota polis Kuala Lumpur digunakan dalam sekatan sejak tiga hari lalu.

Polis semalam mendapat perintah mahkamah untuk melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin berkata perhimpunan itu adalah perhimpunan haram dan mengingatkan orang ramai yang menyertai, atau menganjur perhimpunan tanpa permit itu, akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Polis 1967.

.