SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

28 October 2008

Biarkan parti kuasai semula kerajaan

Calon timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, konsep parti menguasai kerajaan perlu diamalkan semula untuk mengembalikan sokongan ahli Umno kepada parti itu.

Katanya, ahli-ahli Umno akar umbi merasa kecewa kerana banyak cadangan dan kehendaknya tidak dilaksanakan oleh parti dan rakyat akhirnya merasakan mereka tidak dapat menentukan dasar kerajaan.

Beliau berkata, mereka menyokong Umno seperti yang digambarkan melalui slogan, manifesto dan janji tetapi jika itu semua tidak dilaksanakan, ia akan menggugat parti dan BN dalam pilihanraya umum.

Katanya, sistem sekarang sebaliknya ditentukan oleh kerajaan dan Umno menurut apa yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Keadaan ini telah menyebabkan keyakinan ahli-ahli Umno kepada parti kurang kerana agenda dan manifesto parti tidak dilaksanakan secara berkesan.

"Keputusan parti perlu dilaksanakan dan jika ini dilakukan kita boleh menyelesaikan banyak masalah."Jika Barisan Nasional (BN) ingin meyakinkan semula orang Melayu konsep parti menguasai kerajaan perlu dilihat dengan serius," kata ketua menteri Melaka, dalam temubual dengan Malaysiakini di ibu negara, Rabu lalu.

Mohd Ali, kini naib presiden Umno, menawarkan jawatan nombor dua dalam pemilihan Mac tahun depan susulan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan presiden Umno.

Daripada kuota 39 pencalonan untuk layak bertanding, beliau mendapat 23 sokongan di belakang seorang lagi naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi mendahului ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib (17 pencalonan).

Mohd Ali berkata, beliau mahu dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Umno dilaksanakan secara berkesan untuk membantu orang Melayu.Beliau juga mempersoalkan sebab dasar pembangunan untuk membantu orang Melayu tidak dilaksana supaya pemilikan aset orang Melayu mencapai 30 peratus seperti sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) hampir 40 tahun lepas.
.
"Kita hanya menguasai 19 peratus sedangkan kita ada kuasa dan keputusan kabinet dan parlimen sudah dibuat. Mengapa tidak dilaksanakan.

"Dasar kita semua baik tetapi semua keputusan mesti dilaksanakan. Misalnya orang merungut mengenai peranan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan kelambatan sistem penyampaian.

"Kalau kita (parti) kata GLC tolong, GLC mesti tolong kerana ini suara parti.

"Saya nak beri contoh UDA (Lembaga Pembangunan Bandar), dah berapa kali dalam perhimpunan agung kita kata mesti tolong pemilikan tanah orang Melayu dalam bandar.

"Kita dah bincang dan kita dah buat keputusan tetapi belum buat lagi. Patut bincang sebulan dua sahaja, perhimpunan nak datang lagi belum buat lagi.

"Siapa yang berkuasa parti atau pegawai atau kerajaan. Bukan kita nak ambil kedudukan pegawai kita, tetapi kita nak dilaksanakan secara berkesan.

"Buatlah dalam masa munasabah bukannya mengambil masa bertahun-tahun kerana ini boleh hilang kerajaan," katanya lagi.
.

Lantik Low: Pakatan 'tidak baca' sejarah PKNS

Umno mendakwa pelantikan seorang pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat "tidak membaca sejarah" agensi pembangunan ekonomi itu yang ditubuhkan untuk membantu bumiputera.

Wakil rakyat Kuang, Abdul Syukur Idrus menambah, beliau kesal dengan pelantikan timbalan pengurus korporat dan akaun PKNS Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar perbadanan tersebut.

Abdul Syukur, yang juga ketua Pemuda Umno Selangor, berkata tindakan menteri besar tersebut dipercayai atas desakan pihak lain, kemungkinannya DAP "untuk menguasai kerajaan."

Sementara wakil rakyat MCA bagi Sungai Pelek, Yap Ee Wah berkata beliau bersikap berkecuali terhadap pelantikan Low itu asalnya rakyat miskin di negeri itu mampu memiliki rumah.

"Mungkin (menteri besar) ada alasan tersendiri melantik Low," katanya.

Wakil rakyat DAP bagi Kampung Tunku, Lau Weng San pula menggesa PKNS melantik seorang tokoh pentadbir yang berwibawa tanpa mengira kaum.

Sambil menyifatkan pelantikan yang dibuat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "tepat pada masanya", Lau berkata: "Kita perlu memastikan supaya seseorang yang dilantik untuk menyandang jawatan ini merupakan seseorang yang berkemampuan untuk menepati sasaran ini tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan jantinanya."

Tambahnya, PKNS perlu bertanggungjawab kepada semua lima juta rakyat Selangor dan "bukan puak-puak tertentu sahaja".

"Adalah tidak masuk akal untuk kita menjadikan sebuah anak syarikat kerajaan itu sebagai sebuah syarikat yang memperjuangkan agenda-agenda sesetengah masyarakat sahaja padahal separuh daripada rakyat Selangor ialah golongan bukan Bumiputera," kata Lau di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
.

Dr. Mahathir tidak setuju mansuh ekuiti bumiputera

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan syarat pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam.

Menurut Mahathir ketika ini bukan masa yang sesuai untuk membuat sebarang perubahan.

"Saya fikir sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk membuat sebarang perubahan. Dunia pun huru-hara lagi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat penyenaraian awam bagi memastikan ia terus berdaya saing.

Tegasnya, perkara tersebut perlu dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu.

“Benda-benda macam ini patut bawa kepada BN, tak payah bincang di luar. Kalau kita isytihar orang akan mintak nanti," katanya.

Ditanya adakah cadangan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera itu akan menggugat hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Mahathir berkata:

“Kita sering bercakap mengenai hak orang Melayu dan Bumiputera tapi sebenarnya orang bukan Melayu pun ada hak dia juga.

"Jika kita ambil hak orang Melayu, kita juga kena ambil hak yang bukan Melayu pun...ini yang jadi masalah."

Jelasnya isu tersebut perlu dibincang secara rasional dan tidak boleh ditumpu kepada satu pihak sahaja.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu Dasar Ekonomi Baru (DEB)dimansuhkan secara beransur-ansur, Mahathir berkata:

“Kalau sudah tercapai matlamat DEB kita patut hapuskan.

"Tapi sekarang ini kita belum capai, banyak lagi nak kena buat."

Mengulas mengenai cadangan debat terbuka antara calon yang merebut jawatan pada pemilihan Umno kelak, beliau berkata masyarakat Malaysia belum mencapai tahap seperti di Amerika yang mengadakan perbahasan seperti itu.

“Kita belum sampai tahap Amerika lagi. Orang kita bukan peduli sangat apa kita debat pun,” katanya.

Jelas beliau, setiap calon dipilih oleh ahli parti bukannya orang luar dan debat tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.

“Jika dia orang Umno dia sokong Umno. Dia orang Pas dia sokong Pas. Dia orang MCA dia sokong MCA atau parti-parti Cina yang lain.

"Tentang apa yang kita bincang tak ada kesan, kalau nak tunjuk kita pandai bolehlah,” katanya.
Kelmarin, calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo menyahut cabaran Khairy Jamaluddin yang mengajak calon-calon Ketua Pemuda supaya berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing.

Bagaimanapun seorang lagi calon, Datuk Mukhriz Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan itu menyatakan soal pemilihan parti merupakan hal ehwal dalaman Umno dan tidak wajar dilakukan secara terbuka.

Sementara itu, ketika ditanya adakah pertandingan jawatan Ketua Pemuda antara Khairy dan anaknya, Mukhriz akan mewujudkan perpecahan dalam sayap Pemuda, Mahathir berkata:
"Saya tengok dulu untuk jawatan Naib Ketua, Khairy tak ada langsung pertandingan tapi bila sebut nama Khairy dia kena 'boo'.

"Maknanya pecah-pecah juga walaupun tak ada pertandingan."

Mengenai Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri bagi jawatan Presiden Umno tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang pencalonan dari mana-mana Umno bahagian yang bermesyuarat sejak 9 Oktober lepas, Mahathir berkata sukar bagi Tengku Razaleigh untuk bertanding sekiranya satu pencalonan pun belum diterimanya.

"Kalau kita dah setuju masih ada kuota untuk bertanding kena ikut kuotalah.

"Tapi kalau tak dapat pencalonan satu pun payahlah nak bertanding," katanya.

.

PM: Kerajaan tangguh beli eurocopter


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pembelian Eurocopter buat masa ini kerana krisis kewangan yang dihadapi negara.

Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata, rancangan pembelian eurocopter yang secara keseluruhannya bernilai RM1.67 bilion akan ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi mengizinkan.

"Pada waktu ini, keputusan yang telah diambil ialah Eurocopter tidak akan dibeli sebab kita memerlukan peruntukan-peruntukan untuk banyak lagi projek-projek yang lain.

"Sementara itu, menjimatkan itu adalah amat penting pada waktu ini oleh sebab kita menghadapi satu situasi ekoran daripada kedudukan ekonomi yang bersabit dengan krisis kewangan," katanya kepada media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Katanya, keputusan penangguhan tersebut dibuat pada 13 Oktober lalu semasa mesyuarat Majlis Ekonomi.

Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengumumkan kerajaan mungkin perlu menyemak semula pelaksanaan sesetengah projek utama termasuk pembangunan koridor ekonomi berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

Bagaimanapun isu pembelian 12 Eurocopter EC-725 bagi menggantikan pesawat Nuri untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) timbul sebaik ianya diumumkan Abdullah pada 26 September lalu.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid, berkata pihaknya akan meneliti isu pembelian helikopter Eurocopter pada mesyuaratnya akhir bulan ini kerana dipertikaikan banyak pihak yang mendakwa kerajaan membayar harga yang terlalu tinggi.