SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

08 July 2008

Anwar, Ahmad Shabery setuju format, debat tetap 15 Julai

PETALING JAYA: Forum berdebat membincangkan isu harga minyak antara Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan diadakan sebagaimana telah dirancang pada Selasa depan dengan kedua-dua mereka telah bersetuju format pidato yang ditetapkan.

Format debat juga telah dipersetujui oleh wakil Anwar iaitu Pengarah Strategi Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dalam pertemuan dengan Agendadaily pada petang ini. Forum itu dianjurkan oleh Agendadaily.

Ahmad Shabery telah pun mengesyorkan format debat sebelum ini.

Pada pertemuan petang tadi, Anwar juga telah mengirim surat persetujuan untuk menyertai debat itu.Ketua Pengarang Agendadaily, Rosli Ismail ketika dihubungi berkata, sebuah stesen televisyen juga telah menyatakan persetujuan untuk menyiarkan secara langsung debat itu.

Bagaimanapun beliau enggan menamakan stesen TV itu buat masa sekarang dan kos penyiaran juga telah dipersetujui pada dasarnya."Kami telah bersetuju untuk mengehadkan hadirin sehingga 200 orang sahaja supaya forum dapat berjalan dengan kondusif. Seramai 50 orang akan datang atas jemputan sebelah Anwar dan 50 lagi atas undangan Ahmad Shabey manakala baki 100 orang merupakan jemputan undangan kami," kata beliau.

Menjelaskan format berdebat, Rosli berkata, kedua-dua pemidato masing-masing akan diberi 10 minit untuk menyampaikan pandangan awak mereka dan ia akan disusuli dengan ulasan moderator yang dilantik.Nama moderator juga dirahsiakan.

"Kemudian, masing-masing pembahas akan memilih seorang hadirin daripada kalangan wartawan untuk mengemukakan soalan mereka," katanya.Sesi akan diteruskan dengan pertanyaan daripada pembahas sendiri dan kemudian pembahas akan dibenarkan untuk membuat rumusan masing-masing.Forum satu setengah jam itu akan bermula pada pukul 9.30 malam dan disiarkan secara langsung dari Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.Anwar dalam blognya semalam juga telah menyatakan persetujuan menyertai forum tersebut.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Shabery telah menasihatkan Anwar supaya menggunakan forum debat pada 15 Julai ini dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pendapat dan pandangan beliau mengenai isu minyak, bukannya mengadakan perhimpunan umum.Kata beliau, Anwar harus mengambil kesempatan daripada kesediaan beliau untuk berdebat mengenai isu minyak supaya rakyat dapat menilai perkara itu.

Ketika ditanya pandangan beberapa pihak supaya Menteri Penerangan tidak menghadiri forum berkenaan, Rosli memberitahu, ia sebenarnya merupakan pendekatan terbaik dan berbentuk intelek untuk membincangkan isu semasa negara.

"Ini merupakan era baru dalam membahaskan isu besar, isu negara," kata beliau dan menambah, Agendadaily bercadang untuk menjadikan forum seumpama itu sebagai acara bulanan pihaknya.
.

Gambar Bendera PAS Dgn Kalimah Allah Dlm Gereja di Shah Alam


Nik Aziz sifatkan Perhimpunan Sejuta Rakyat tersasar

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan penganjuran Perhimpunan Sejuta Rakyat anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Kelana Jaya, Ahad lalu, tersasar daripada matlamat asal.
.
Mursyidul Am Pas itu turut menyifatkan penganjur program itu tidak menjalankan tanggungjawab dengan betul sehingga mengecewakan penyokong pembangkang yang datang dari jauh.

"Saya tak terfikir benda tu berlaku, macam mana protes tiba-tiba jadi program nak seronok-seronok, ini tak betul. "Kalau protes, proteslah apa sibuk masuk benda lain sampai bertumbuk dan belasah orang," katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini. Nik Abdul Aziz juga berkata, beliau bersetuju tindakan 700 anggota Unit Amal Pas yang meninggalkan program itu sebagai tanda bantahan terhadap penganjur.
.

Kandungan emel Saiful Bukhari Azlan

From: Saiful Bukhari [..........]
Sent: Tuesday, July 08, 2008 4:41 AM
To: news
Subject: Bermuhabalah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Rakyat Malaysia, Dengan ini, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan ingin mencabar Anwar Ibrahim supaya BERMUBAHALAH di hadapan para ulamak. Kepada Rakyat Malaysia yang dikasihi, Ingin saya tegaskan disini bahawa isu ini adalah ISU PERIBADI antara saya dan Anwar.
Saya harap agar seluruh rakyat Malaysia bertenang dan tidak termakan dengan taktik kotor si MUNAFIK yang sedang dalam kelemasan ini. Saya terima segala tohmahan dengan hati terbuka dan tidak sesekali mempersalahkan rakyat dalam hal ini.

Sebagai mangsa, saya berhak untuk mendapat pembelaan. "Yang HAK Pasti Berdiri, Yang BATIL Pasti Jatuh", Allahhuakbar. Sekian, Saiful Bukhari.
p/s: Kepada Anwar, tetapkan tarikh dan masa untuk BERMUBAHALAH . Insyaallah saya akan hadir. Saya tidak gentar.
.

Formula Ezam kepada BN: Usah bimbang bayang-bayang politik baru Anwar, Pakatan

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN), selepas menyaksikan prestasi pilihan raya umum yang paling buruk dalam sejarahnya pada 8 Mac lalu, tidak harus bimbang dengan caturan politik baru Pakatan Rakyat, yang digerakkan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya BN harus kembali kepada asas asal dan mengekalkan formula sejarah penubuhannya yang diamalkan sejak lima dekad lalu, kata Mohamad Ezam Mohd. Nor.

Ezam, yang kembali ke pangkuan Umno - parti dominan BN pada Mei lalu memberitahu, asas bagi masa depan BN dan kesemua 14 parti komponennya ialah kembali kepada amalan prinsip dan nilai bersama yang diamalkan dan diguna pakai sejak awal 1950-an.

"Ada banyak cadangan mengenai penjenamaan semula BN dan sebagainya. Berdasarkan pengalaman saya, formula BN (semasa) adalah yang terbaik. Cara kita mengendalikan politik, mempunyai entiti berasingan bagi pelbagai kaum yang berlainan, perkongsian kuasa... itu adalah yang terbaik," kata beliau dalam temu bual khas dengan mStar Online dan The Star di sini.

"Saya ingin menekankan kita perlu memahami dan mengamalkan nilai dan prinsip yang digunakan oleh pengasas-pengasas yang kemudiannya muncul dengan gerakan politik dan pakatan politik dalam bentuk Perikatan dan BN," katanya. Perikatan yang awalnya dianggotai Umno, MCA dan MIC diubah nama sebagai BN selepas pilihan raya umum 1969 - tahun yang ia turut menyaksikan prestasi kurang memberangsangkan Perikatan yang ketika itu diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, BN bukan sahaja kehilangan lima negeri malah terlepas penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Kata Ezam, keadaan BN semasa berpunca daripada tindakan dalaman yang telah menghakis prinsip asas diketengahkan oleh pengasas-pengasas BN termasuk Tunku Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Cheng Lok dan mendiang Tun V.T. Sambanthan.

"Kita telah berkongsi negara, politik secara bersama, tahap toleransi yang cukup tinggi di kalangan mereka, sifat-sifat sebagai pemimpin politik (di kalangan pengasas) yang cukup tinggi... mereka (pengasas-pengasas) bukan merupakan pemidato tersohor, mereka orang biasa.

"Tetapi mempunyai sifat-sifat ahli politik yang cukup tinggi... bermakna mereka meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi, ini antara ciri yang paling penting di kalangan pengasas, aspek-aspek yang penting BN," kata beliau dan menambah: "Maaf untuk mengatakan sejak beberapa tahun yang lalu, aspek-aspek asas ini sudah hilang."


Ahli-ahli politik mula angkuh, sudah tiada sifat sebagai pemimpin politik, tidak berintegriti, amalan kesederhanaan mula terhakis dan gaya hidup mewah keterlaluan di kalangan pemimpin selain mengetepikan kejujuran.

Tambah Ezam: "Saya tidak melihat ini (nilai-nilai positif) dalam politik baru di Malaysia, yang mula dijenamakan oleh Anwar dan kumpulannya. Mereka cuba mempromosikan politik pelbagai kaum. Jika anda benar-benar mengkaji, politik pelbagai kaum telah dimulakan oleh pengasas (BN) dan mereka berupaya untuk melakukannya. "Ia adalah asas terbaik bagi BN. Ia adalah terbaik bagi masyarakat pelbagai kaum. "Dan, kumpulan Anwar datang dengan idea politik baru dan saya dapat melihat pemimpin BN pula mula menjurus ke arah permainan mereka, dan melakukan penjenamaan semula," katanya.

Kata Ezam, beliau tidak menentang proses penjenaaam semula tetapi menentang sebarang usaha untuk menghakis prinsip dan idea pengasas-pengasas BN selama ini.

"Mana-mana negara yang mantap ketamadunan, mereka akan memegang kukuh pada asas-asas pengasas negara. Tetapi saya merasakan ia sangat kurang di negara ini," ujarnya.Jelas Ezam, perubahan yang menghakis nilai-nilai teras pengasas negara terhakis sejak era pascapetroleum di negara ini.

"Anda boleh melihat perubahan itu... mungkin disebabkan wang petrol, pembangunan ekonomi, kita mendapati beberapa ramuan penting khususnya soal integriti telah diabaikan," kata beliau.

.

Gejala rasuah negara, Anwar sama-sama bertanggungjawab - Ezam

PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Noor, antara individu yang pernah rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih satu dekad berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu turut bertanggungjwab terhadap pelbagai masalah dihadapai negara khususnya soal rasuah, yang kini menjadi harapan ramai agar dapat ditangani dengan berkesan dan segera.

Ezam berkata, dengan mengambil kedudukan Anwar dalam kerajaan sehingga dipecat pada 1998, tindakan-tindakan beliau telah membawa kepada masalah sosial amalan rasuah."Anwar juga bertanggungjawab kepada sebahagian daripada apa yang berlaku. (Sebagai contoh) masa beliau menjadi Menteri Kewangan, beliau yang memperkenalkan projek kontraktor berwibawa, atas arahan sebagai Menteri Kewangan.

"Sepuluh syarikat telah diberikan projek untuk disenaraikan (di Bursa) dengan diberikan projek bernilai RM1 bilion ringgit, dan ini dilakukan secara (projek) terus dan wujud banyak rasuah di sana.

"Ini dibentuk oleh Anwar, dan saya ingin mendengar apakah pendirian beliau sekarang?... sekarang beliau bercakap mengenai tender terbuka dan sebagainya," kata bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR)Anwar kini bertindak sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR.

Ezam, bekas Setiausaha Politik kepada Anwar dari 1996 sehingga bekas Menteri Kewangan itu dipecat daripada Umno pada September 1998 menyatakan demikian dalam temu bual khas dengan mStar Online dan The Star.

Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi ini keluar daripada PKR, yang diasaskan bersama untuk membela Anwar dan mempertahankan keadilan, keluar PKR dua tahun lalu. Ezam mula berkhidmat dengan Anwar selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa dengan menyertai Institut Kajian Dasar, badan pemikir mendukung perjalanan politik Anwar, pada 1991 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik.

Ketika bersama PKR, Ezam pernah mengkritik amalan salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan pimpinan BN.Ezam yang mengemukakan borang permohonan untuk menyertai semula Umno pada penghujung Mei lalu diterima Majlis Tertinggi tiga minggu kemudian, kini berazam untuk membawa pembaharuan dalam parti dan kerajaan seiring dengan keterbukaan Perdana Menteri untuk membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman dan usaha mencegah rasuah.

Ketika diminta mengulas lanjut, Ezam berkata, Anwar yang bercakap mengenai soal kebebasan dan integriti sekarang tidak pernah membawa apa-ap pembaharuan yang dijanjikan ketika berada dalam kerajaan selama hampir dua dekad. Anwar juga telah menyertai Umno awal 1980-an untuk membawa perubahan dan pembaharuan. Jawatan terakhir beliau dalam kerajaan ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Timbalan Presiden Umno, dari 1993.

"Bercakap mengenai Anwar sebagai orang yang hendak membawa pembaharuan terhadap amalan rasuah, tetapi 15 dan 16 tahun lalu selepas dibentuk sebagai pemimpin penting dalam Umno, saya tidak melihat apa-apa yang dilakukan oleh Anwar sebagaimana dilakukan oleh Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai) sekarang," katanya lagi.

Apabila ditanya sama ada Anwar juga bertanggungjawab menyumbang kepada amalan politik wang dalam Umno yang pernah hangat diperkatakan satu ketika dulu, Ezam berkata, ia sebenarnya merupakan persepsi orang ramai.

"Ya, itu yang orang ramai kata. Saya hanya bersama beliau sebagai Setiausaha Politik untuk tempoh yang singkat, sejak 1996 dan (sehingga) Anwar dipecat. Malangnya (saya) tidak terlibat dalam pemilihan Umno (1993 dan 1996) dan hanya sertai selepas pemilihan umno," katanya.

Ketika ditanya sama ada kerjaya politik Anwar sudah mula berakhir dengan isu dakwaan meliwat yang terbaru, Ezam berkata, sukar untuk membuat rumusan itu pada masa sekarang."Ini kerana politk adalah persepsi. Anwar mempunyai kekuatan untuk bermain, untuk membentuk persepsi sedemikian. Beliau mungkin akan berjaya.

"Saya tidak mengatakan bahawa beliau terlibat dalam dakwaan itu. Saya tidak tahu, saya memang tidak tahu. Itu antara beliau, (bekas pembantu khasnya) (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan) dan Tuhan," katanya.Bagaimanapun jelas beliau, mengambil kira cara Anwar mengendalikan isu tersebut sejak seminggu lalu beliau menggunakan strategi persepsi iaitu mengubahnya daripada masalah peribadi kepada masalah politik.

"Ini adalah masalah peribadi tetapi menjadi masalah politik dengan berlindung di Kedutaan Turki, campur tangan AS, mengatakan konspirasi Timbalan Perdana Menteri, yang pada saya sesuatu yang tidak adil tetapi orang mungkin percaya," katanya.

.

Pakatan pembangkang bawa budaya liar dibidas

PUTRAJAYA 7 Julai - Pakatan pembangkang dibidas kerana membawa budaya liar dalam Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun yang dijalankannya di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perhimpunan yang dicemari insiden menunjuk punggung itu tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat.

''Saya tak tahu sama ada mereka nak galakkan budaya tunjuk punggung ini, apa manfaat yang kita peroleh daripadanya.

''Pakatan pembangkang cubalah disiplinkan orang yang mereka ajak ke situ," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun membantah kenaikan harga minyak anjuran pakatan pembangkang mencetuskan insiden yang memalukan apabila penyanyi lelaki kumpulan Carburetor Dung, Alak bertindak liar melondehkan seluar di hadapan para peserta perhimpunan itu ketika membuat persembahan di Stadium Kelana Jaya.

Ditanya sama ada Alak yang melondehkan seluarnya akan disiasat, Syed Hamid berkata, polis akan menyiasat setiap tindakan yang didapati bertentangan dengan undang-undang.

''Saya fikir kita tidak boleh rumuskan tindakan (ke atas Alak), tetapi tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang.

''Jangan harap bahawa kita boleh bina suasana konspirasi, suasana tidak adil untuk mengecualikan kita daripada undang-undang, semua orang tertakluk kepada undang-undang," katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang sering melemparkan tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas terhadap kerajaan.

''Takkan penasihat PKR atau pakatan pembangkang sahaja boleh buat tuduhan dan tohmahan kepada orang tetapi orang lain buat, (didakwanya sebagai) konspirasi.

''Dia (Anwar) tak nak orang bantah atau tak bersetuju dengannya, saya takut kalau orang macam ini diberi peluang oleh rakyat untuk memimpin negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, beliau tidak pernah melabelkan mana-mana individu termasuk Anwar sebagai spy (pengintip) kepada negara lain.

''Saya tak kata orang lain spy, saya langsung tidak pakai perkataan itu.

''Saya tak tahulah kalau dia nak menganggap dirinya (sebagai spy), saya tak pernah memakai perkataan yang sedemikian," katanya.

Anwar semalam mengeluarkan kenyataan akan mendakwa Syed Hamid kerana cuba melabelkannya sebagai ejen negara asing.
.

STATUS QUO KEKUASAAN NEGARA

dipetik daripada Ruhanie Ahmad

Perkembangan politik yang sedang menggegarkan tanahair ketika ini adalah satu thriller masterpiece karya pencatur kuasa yang bijaksana. Ia menggabungkan elemen seks, jenayah, darah dan nyawa. Ia dirancang secara rapi. Ia dilaksanakan secara menawan dan penuh sensasi.

Sukar untuk memastikan sama ada thriller ini disediakan oleh satu pihak yang khusus. Tetapi, matlamat utamanya adalah satu - mempertahan, mengukuh serta mengekalkan status quo kekuasaan negara yang wujud sekarang – biarpun lemah, tempang dan telah disanggah oleh rakyat jelata menerusi PRU12.

Malamat ini dicapai menerusi penggunaan plot adu-domba, babak tohmah-mentohmah, adegan perbalahan terbuka dan proses pembunuhan watak atau character assassination secara baling batu sembunyi tangan.Secara khususnya, matlamat ini dicapai menerusi satu strategi serampang empat mata seperti berikut:

Satu: Serampang pertama bertujuan mecalar dan mencemarkan kredibiliti dan integriti Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini dilaksanakan menerusi menerusi pelbagai cara. Paling menonjol sekali menerusi penggunaan akuan bersumpah atau statutory declaration yang sensasi.

Bersumpah

Akuan bersumpah pertama dibuat oleh Raja Petra Kamarudin selaku pengoperator sebuah portal berita internet. Ia disasarkan secara tepat kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Najib. Ia juga disasarkan secara sipi atau indirect kepada Najib.

Akuan bersumpah kedua dibuat oleh P. Balasubramaniam, seorang penyiasat persendirian yang nampaknya bersekutu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat PKR. Akuan bersumpah ini memang jelas disasarkan secara tepat atau direct kepada Najib. Walaupun Najib sudah menafikan segala-galanya, dan akuan bersumpah oleh Balasubramaniam sudah ditarik balik menerusi satu lagi akuan bersumpah yang mengandungi penafian yang sewajarnya, kesan kedua-dua akuan bersumpah ini tetap sama.

Persepsi umum terhadap Najib jadi amat negatif. Krebibiliti dan integriti Najib tercalar dan tercemar. Najib dipandang serong. Najib diragui. Peluang Najib mewarisi takhta kepimpinan negara jadi samar-samar. Peluang Najib bertanding jawatan Presiden UMNO juga mula diselubungi gerhana.

Secara tidak langsung, Najib kini diibaratkan seolah-olah sedang menjalani satu proses pembunuhan watak yang dilaksanakan secara perlahan dan penuh sensasi.

Tohmah Dua: Matlamat serampang yang kedua ialah untuk musnahkan kerjajaya politik Anwar. Ini juga dilakukan menerusi pelbagai cara. Paling ketara sekali adalah menerusi satu laporan polis yang menuduh Anwar kononnya meliwat seorang pemuda berumur 23 tahun.

Tindakan anak muda ini pula ditohmahkan sebagai didalangi oleh Najib. Lantas, Anwar pun jadi defensif dan berang. Pada 3 Julai 2008, Anwar pun menghebahkan kandungan satu akuan bersumpah oleh Balasubramaniam mengenai Najib.

Tetapi, walaupun akuan bersumpah ini memang menjejaskan Najib seperti dihuraikan di atas, kesannya terhadap Anwar juga tetap sama padahnya. Persepsi umum terhadap Anwar jadi negatif. Tuduhan liwat terhadap Anwar yang terbaru ini tetap menggerhanai politik dirinya. Integriti dan kredibiliti Anwar mula dipersoalkan. Ura-ura Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008 jadi semakin diperlekehkan oleh segolongan rakyat Malaysia.

Seluruh kesan di atas jadi semakin serius bila pada 4 Julai 2008, Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya mengenai Najib. Tindakan ini menyebabkan politik, nama baik dan imej Anwar kian meredum dan parah.

Terlalai

Secara tidak langsung, seluruh kesan di atas juga menyebabkan Anwar seolah-olah sama seperti Najib - melalui proses pembunuhan watak secara perlahan dan sensasi.

Tiga: Matlamat serampang yang ketiga adalah memastikan rakyat jelata Malaysia jadi asyik dan terlalai dengan sensasi politik mutakhir ini. Dengan cara ini diharapkan rakyat jelata melupakan seluruh kemarahan serta kekecewaan masing-masing terhadap cara dan gaya pucuk pimpinan tertinggi negara mutakhir ini menangani isu kenaikan harga bahan petroleum yang menyebabkan kesengsaraan hidup mereka.

Menerusi cara ini juga pucuk pimpinan tertinggi negara yang telah disanggah oleh rakyat jelata menerusi PRU12 seolah-olah terbebas daripada desakan dan tekanan supaya beliau meninggalkan persada kekuasaan tanahair dengan seberapa segera.

Empat: Matlamat serampang yang keempat adalah memastikan warga UMNO jadi bingung dan keliru terhadap perkembangan politik semasa yang penuh sensasi ini.

Putus Asa

Kebingungan dan kekeliruan ini diharap menyebabkan seluruh warga UMNO berasa jijik, muak dan jelak untuk terus mempersoalkan proses peralihan kuasa kepada Najib. Ia juga diharap menjadikan warga UMNO tidak ambil peduli lagi terhadap soal kesejahteraan parti, dan jadi amat putus asa terhadap usaha mendesak pucuk pimpinan tertinggi parti mengosongkan kerusi Presiden UMNO dengan segera demi agama, bangsa dan tanahair.

Demikianlah hebatnya kesan thriller percaturan kuasa yang sedang melanda Malaysia hari ini. Ia telah menjerumuskan Najib dan Anwar Ibrahim - dua personaliti yang berpotensi besar untuk menggugat status quo kekuasaan negara - ke kancah kontroversi yang serius dan terbuka.Hebat sungguh dalang di sebalik percaturan kuasa ini. Anwar digelabahkan dengan tuduhan Saiful. Najib pula digabrakan dengan kes Altantuya yang melatari siasah Malaysia mulai 2006.

Soalnya, siapakah mastermind kepada percaturan ini? Adakah mereka karyawan lokal? Mungkinkah mereka karyawan regional? Mustahilkah mereka karyawan global? Atau, barangkalikah gabungan daripada keseluruhannya?

Tukar Rejim

Inilah persoalan pokok yang sepatutnya menghantui seluruh rakyat jelata yang prihatin terhadap kesejahteraan negara pada ketika ini.Oleh itu, jangan sekali-kali rakyat jelata izinkan diri masing-masing dilalai dan diasyikkan dengan persembahan thriller politik bertaraf masterpiece ini.Desakan supaya persada kekuasaan negara dikosongkan dengan serta merta mestilah diteruskan. Desakan supaya kerusi Presiden UMNO dikosongkan dengan segera juga mesti dilakukan secara konsisten.

Jangan hilang fokus dan jangan kematian punca. Wajah-wajah dalang di sebalik thriller politik bertaraf masterpiece ini pasti akan dapat didedahkan sesudah tanahair ini mengalami pertukaran rejim.Hakikatnya begitu kerana kemungkinan besar para karyawan yang menghasilkan thriller politik ini adalah mereka yang berselindung di sebalik kuasa yang wujud pada hari ini. Jika tidak, mana mungkin matlamat utama thriller ini adalah mempertahan, mengukuh dan mengekalkan status quo kekuasaan Malaysia mutakhir.

Super Canggih

Oleh itu, kita serahkan soal Anwar dan soal Najib serta soal Saiful dan soal Altantuya ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta memastikan kebenaran atau kepalsuannya.Pada waktu yang sama, kita insafkan semua pihak bahawa kebenaran yang hakiki kepada segala-galanya ini hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Kita sedang berada dalam satu era yang amat membimbangkan. Kita sedang menyaksikan permainan serta percaturan kuasa yang super canggih. Kita mempunyai kuasa dan hak untuk memberhentikan segala-galanya.Kita persetankan seluruh sensasi yang wujud hari ini. Kita gunakan kebijaksanaan dan keberanian kita untuk bersuara dan bertindak secara berhemah dan berkesan supaya status quo kekuasaan negara mutakhir ini dirobah dengan segera.

.

Ezam ada pendedahan baru jatuhkan Pakatan Rakyat?

PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Nor mungkin mengetengahkan pendedahan-pendedahan terbaru?

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini, yang kembali ke pangkuan Umno lima bulan lalu, tidak menolak kemungkinan ke arah itu -bakal mendedahkan lebih banyak kes salah guna dan rasuah membabitkan Pakatan Rakyat.

Kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS diberi nama Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata Ezam, beliau mempunyai beberapa kes untuk diumumkan tetapi ia akan dilakukan secara teratur sebaik sahaja mendapat bukti-bukti yang kukuh."Saya seorang yang serius dengan fakta (bukti). Ya (akan didedahkan), bergantung pada bukti, kita akan mendedahkannya," kata beliau dalam temu bual khas di sini hari ini.Selepas kembali Umno, baru-baru ini Ezam mendakwa PKR Selangor telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan lambang Pejabat Menteri Besar pada kepala surat untuk mendapatkan sumbangan daripada syarikat swasta bagi meraikan sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan campuran negeri itu. Sebahagian sumbangan itu kemudian disalurkan ke dalam akaun PKR.

Malah penghujung bulan lalu beliau juga mendedahkan pelantikan adik Anwar Ibrahim, Rusli sebagai penasihat syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ezam memberitahu, pendedahan buat peringkat ini akan ditumpukan ke atas Selangor semata-mata.

Ketika ditanya sejauh mana Pakatan Rakyat akan dapat bertahan, Ezam berkata, beliau bukan tukang meramal nasib dalam soal itu tetapi mengambil kira perkembangan semasa adalah "sukar bagi Pakatan Rakyat" untuk bertahan.Kata beliau, kedudukan Pakatan Rakyat juga kemungkinan menjadi tanda tanya selepas tarikh sasaran 16 September yang ditetapkan oleh Anwar untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru. Beliau juga tidak yakin bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencapai sasaran tersebut.

Anwar kini berhadapan dengan isu dakwaan meliwat bekas pembantu khasnya.

Ketika ditanya apakah mesej yang akan disampaikan jika bertemu Anwar pada bila-bila masa mulai sekarang, Ezam memberitahu: "Saya akan minta beliau menjadi seorang negarawan, menjadi negarawan, dan memiliki sifat-sifat sebagai seorang negarawan.

"Kata beliau: "Kita memerlukan seorang pemimpin yang kuat, seorang pemimpin Melayu yang berpengaruh untuk negara ini."Justeru, tambah Ezam, beliau tidak akan meluangkan masa dan tenaganya untuk mempromosikan Anwar sebagai pemimpin negara ini.Baru-baru ini beliau menyifatkan Anwar tidak berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengenai isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula, Ezam memberitahu, Presiden PKR itu tidak relevan dalam soal kepercayaan kepimpinan."Teras ini berkaitan dengan Keadilan dan Anwar Ibrahim," katanya lagi.

Ezam berkhidmat dengan Anwar sejak 1991 dan dilantik sebagai Setiausaha Politiknya lima tahun kemudian.

Beliau dipecat daripada Umno pada 1998 bersama Anwar.

.

Mufti Perlis jawab isu kemuka empat orang saksi kes liwat

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin jelas bercanggah pendapat dengan Mufti Perak, Dato Harussani Zakaria dalam kes orang yang menuduh dirinya diliwat mesti mengemukakan empat orang saksi dan jika gagal boleh disebat 80 kali.

"Mereka ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat," kata Dr Asri.

"Jika disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?

"Kesalahan memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu zalim," katanya lagi.

Baru-baru ini, Dr. Asri meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya 'bermubahalah' atau bersumpah.Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: "Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya."

Cadangan Dr Asri tidak dipersetujui oleh Dr Harussani yang berpendapat Ketua Umum Pakatan Rakyat itu tidak perlu bersumpah atau bermubahalah.

Ini kerana, menurut Dr Harussani, isu liwat itu terletak dalam bab jenayah (kazaf) dan orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan.

Dr Asri pula berkata, "Sebenarnya seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat boleh menguatkan kes dan tidak semestinya mengemukakan empat orang saksi saja. Pendakwa boleh mengemukakan qarinah (bukti atau apa saja yang berkaitan) untuk membantu siasatan," jelasnya.

Dr Asri bertanya, adakah mungkin selepas ini pihak-pihak berkenaan akan mencadangkan supaya wanita-wanita yang membuat aduan menjadi mangsa rogol datuk, bapa, atau orang lain kena membawa empat orang saksi dan disabit 80 sebatan rotan.

"Dapatkah dicari empat orang saksi beriman? Di mana pula di dunia ini ada orang yang dirogol disaksikan empat orang saksi beriman dan saksi-saksi itu pula akan hanya melihat saja tanpa melarang perbuatan itu?," tanyanya lagi.

Cadangan bermubahalah yang pernah disuarakan oleh Dr Asri tempoh hari jelas mengundang pelbagai reaksi dari ulamak dan ahli politik.

Dr Harussani tegas berkata yang Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah kerana katanya ia tidak menepati undang-undang Islam.

Kata beliau lagi, kes isu liwat yang membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.
Kata Dr Asri, selepas bermubahalah (bersumpah) tidak bermakna orang itu tidak akan dihadap ke mahkamah.

"Mubahalah lain, prosedur mahkamah lain. Mubahalah timbul akibat ada pihak yang tak percaya pada sistem kehakiman, percaya ada komplot, bila masyarakat tidak mempercayai satu sama lain, bila saksi dianggap palsu, mahkamah pula tidak boleh dipercayai.

"Daripada terus berbalah antara satu sama lain dan membiarkan keadaan berterusan dan tuduh menuduh, elok didatangkan bermubahalah. Satu jalan penyelesaian untuk tidak terus berbalah," kata Dr Asri.

Ketika diminta mengulas kenyataan Dr Harussani yang mengatakan cadangan bermubahalah itu datangnya orang yang terlebih pandai, Dr Asri hanya berkata, "hasad itu tidak baik."

.

Dr. M pertahan Najib, Anwar ada motif politik

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam kenyataan bagi mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mendakwa tuduhan yang dilemparkan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu hanya berdasarkan dengar cakap dan bermotifkan politik.

"Saya tidak tahu kenapa beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadikan Datuk Najib sebagai sasaran. Bukan Datuk Najib yang melaporkan perbuatannya. Saya fikir beliau sentiasa menyerang Datuk Najib. Mungkin beliau fikir Datuk Najib menjadi penghalang bagi beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri (atau) Perdana Menteri.

"Anwar tidak dapat menyertai Umno...Saya tidak fikir Umno akan menerimanya.

Tuduhan terhadap beliau (Najib) semuanya berdasarkan dengar cakap. Tidak ada bukti. Bila kata yang beliau lakukan sesuatu, perlu berikan bukti. Tidak boleh suka suka kata.

"Saya dengar seseorang lakukan ini. Itu bukan bukti," kata bekas Perdana Menteri itu semasa ditemui pemberita selepas beliau mengunjungi Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8).

Dr Mahathir mengulas tuduhan yang dibuat oleh Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat, yang mendakwa Najib terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantunya Shaariibuu, yang ditemui mati dibunuh dengan kejam pada tahun lepas.

Tiga individu, termasuk penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, menghadapi pertuduhan bunuh itu.

Minggu lepas, dalam satu lagi pendedahan menggemparkan, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang bekerja sebagai seorang daripada pembantu Anwar membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar.

"Ada kempen bersepadu menyerang Najib. Saya tidak tahu kenapa. Bukan sahaja oleh Anwar, juga oleh seorang lagi, (penulis blog) Raja Petra (Kamaruddin), dan beberapa yang lain. Ada orang yang mendalangi semua ini, mungkin untuk menyekat Najib daripada kemungkinan mencabar Perdana Menteri," dakwa Dr Mahathir.

Ditanya pendapatnya mengenai suasana politik semasa negara, beliau berkata:

"Saya fikir mereka (pentadbiran sekarang) tidak mahu bercakap mengenai politik lagi. Mereka mahu bekerja jadi saya akan tengok mereka bekerja."

Kepada soalan lain sama ada suasana politik semasa negara akan menjejaskan ekonomi, beliau mendakwa ia boleh kerana keadaan sekarang tidak menggalakkan orang untuk datang ke Malaysia.

- BERNAMA
.

Sekitar Perhimpunan Sejuta Rakyat yang KECOH







































































.