SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

08 July 2008

STATUS QUO KEKUASAAN NEGARA

dipetik daripada Ruhanie Ahmad

Perkembangan politik yang sedang menggegarkan tanahair ketika ini adalah satu thriller masterpiece karya pencatur kuasa yang bijaksana. Ia menggabungkan elemen seks, jenayah, darah dan nyawa. Ia dirancang secara rapi. Ia dilaksanakan secara menawan dan penuh sensasi.

Sukar untuk memastikan sama ada thriller ini disediakan oleh satu pihak yang khusus. Tetapi, matlamat utamanya adalah satu - mempertahan, mengukuh serta mengekalkan status quo kekuasaan negara yang wujud sekarang – biarpun lemah, tempang dan telah disanggah oleh rakyat jelata menerusi PRU12.

Malamat ini dicapai menerusi penggunaan plot adu-domba, babak tohmah-mentohmah, adegan perbalahan terbuka dan proses pembunuhan watak atau character assassination secara baling batu sembunyi tangan.Secara khususnya, matlamat ini dicapai menerusi satu strategi serampang empat mata seperti berikut:

Satu: Serampang pertama bertujuan mecalar dan mencemarkan kredibiliti dan integriti Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini dilaksanakan menerusi menerusi pelbagai cara. Paling menonjol sekali menerusi penggunaan akuan bersumpah atau statutory declaration yang sensasi.

Bersumpah

Akuan bersumpah pertama dibuat oleh Raja Petra Kamarudin selaku pengoperator sebuah portal berita internet. Ia disasarkan secara tepat kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Najib. Ia juga disasarkan secara sipi atau indirect kepada Najib.

Akuan bersumpah kedua dibuat oleh P. Balasubramaniam, seorang penyiasat persendirian yang nampaknya bersekutu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat PKR. Akuan bersumpah ini memang jelas disasarkan secara tepat atau direct kepada Najib. Walaupun Najib sudah menafikan segala-galanya, dan akuan bersumpah oleh Balasubramaniam sudah ditarik balik menerusi satu lagi akuan bersumpah yang mengandungi penafian yang sewajarnya, kesan kedua-dua akuan bersumpah ini tetap sama.

Persepsi umum terhadap Najib jadi amat negatif. Krebibiliti dan integriti Najib tercalar dan tercemar. Najib dipandang serong. Najib diragui. Peluang Najib mewarisi takhta kepimpinan negara jadi samar-samar. Peluang Najib bertanding jawatan Presiden UMNO juga mula diselubungi gerhana.

Secara tidak langsung, Najib kini diibaratkan seolah-olah sedang menjalani satu proses pembunuhan watak yang dilaksanakan secara perlahan dan penuh sensasi.

Tohmah Dua: Matlamat serampang yang kedua ialah untuk musnahkan kerjajaya politik Anwar. Ini juga dilakukan menerusi pelbagai cara. Paling ketara sekali adalah menerusi satu laporan polis yang menuduh Anwar kononnya meliwat seorang pemuda berumur 23 tahun.

Tindakan anak muda ini pula ditohmahkan sebagai didalangi oleh Najib. Lantas, Anwar pun jadi defensif dan berang. Pada 3 Julai 2008, Anwar pun menghebahkan kandungan satu akuan bersumpah oleh Balasubramaniam mengenai Najib.

Tetapi, walaupun akuan bersumpah ini memang menjejaskan Najib seperti dihuraikan di atas, kesannya terhadap Anwar juga tetap sama padahnya. Persepsi umum terhadap Anwar jadi negatif. Tuduhan liwat terhadap Anwar yang terbaru ini tetap menggerhanai politik dirinya. Integriti dan kredibiliti Anwar mula dipersoalkan. Ura-ura Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008 jadi semakin diperlekehkan oleh segolongan rakyat Malaysia.

Seluruh kesan di atas jadi semakin serius bila pada 4 Julai 2008, Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya mengenai Najib. Tindakan ini menyebabkan politik, nama baik dan imej Anwar kian meredum dan parah.

Terlalai

Secara tidak langsung, seluruh kesan di atas juga menyebabkan Anwar seolah-olah sama seperti Najib - melalui proses pembunuhan watak secara perlahan dan sensasi.

Tiga: Matlamat serampang yang ketiga adalah memastikan rakyat jelata Malaysia jadi asyik dan terlalai dengan sensasi politik mutakhir ini. Dengan cara ini diharapkan rakyat jelata melupakan seluruh kemarahan serta kekecewaan masing-masing terhadap cara dan gaya pucuk pimpinan tertinggi negara mutakhir ini menangani isu kenaikan harga bahan petroleum yang menyebabkan kesengsaraan hidup mereka.

Menerusi cara ini juga pucuk pimpinan tertinggi negara yang telah disanggah oleh rakyat jelata menerusi PRU12 seolah-olah terbebas daripada desakan dan tekanan supaya beliau meninggalkan persada kekuasaan tanahair dengan seberapa segera.

Empat: Matlamat serampang yang keempat adalah memastikan warga UMNO jadi bingung dan keliru terhadap perkembangan politik semasa yang penuh sensasi ini.

Putus Asa

Kebingungan dan kekeliruan ini diharap menyebabkan seluruh warga UMNO berasa jijik, muak dan jelak untuk terus mempersoalkan proses peralihan kuasa kepada Najib. Ia juga diharap menjadikan warga UMNO tidak ambil peduli lagi terhadap soal kesejahteraan parti, dan jadi amat putus asa terhadap usaha mendesak pucuk pimpinan tertinggi parti mengosongkan kerusi Presiden UMNO dengan segera demi agama, bangsa dan tanahair.

Demikianlah hebatnya kesan thriller percaturan kuasa yang sedang melanda Malaysia hari ini. Ia telah menjerumuskan Najib dan Anwar Ibrahim - dua personaliti yang berpotensi besar untuk menggugat status quo kekuasaan negara - ke kancah kontroversi yang serius dan terbuka.Hebat sungguh dalang di sebalik percaturan kuasa ini. Anwar digelabahkan dengan tuduhan Saiful. Najib pula digabrakan dengan kes Altantuya yang melatari siasah Malaysia mulai 2006.

Soalnya, siapakah mastermind kepada percaturan ini? Adakah mereka karyawan lokal? Mungkinkah mereka karyawan regional? Mustahilkah mereka karyawan global? Atau, barangkalikah gabungan daripada keseluruhannya?

Tukar Rejim

Inilah persoalan pokok yang sepatutnya menghantui seluruh rakyat jelata yang prihatin terhadap kesejahteraan negara pada ketika ini.Oleh itu, jangan sekali-kali rakyat jelata izinkan diri masing-masing dilalai dan diasyikkan dengan persembahan thriller politik bertaraf masterpiece ini.Desakan supaya persada kekuasaan negara dikosongkan dengan serta merta mestilah diteruskan. Desakan supaya kerusi Presiden UMNO dikosongkan dengan segera juga mesti dilakukan secara konsisten.

Jangan hilang fokus dan jangan kematian punca. Wajah-wajah dalang di sebalik thriller politik bertaraf masterpiece ini pasti akan dapat didedahkan sesudah tanahair ini mengalami pertukaran rejim.Hakikatnya begitu kerana kemungkinan besar para karyawan yang menghasilkan thriller politik ini adalah mereka yang berselindung di sebalik kuasa yang wujud pada hari ini. Jika tidak, mana mungkin matlamat utama thriller ini adalah mempertahan, mengukuh dan mengekalkan status quo kekuasaan Malaysia mutakhir.

Super Canggih

Oleh itu, kita serahkan soal Anwar dan soal Najib serta soal Saiful dan soal Altantuya ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta memastikan kebenaran atau kepalsuannya.Pada waktu yang sama, kita insafkan semua pihak bahawa kebenaran yang hakiki kepada segala-galanya ini hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Kita sedang berada dalam satu era yang amat membimbangkan. Kita sedang menyaksikan permainan serta percaturan kuasa yang super canggih. Kita mempunyai kuasa dan hak untuk memberhentikan segala-galanya.Kita persetankan seluruh sensasi yang wujud hari ini. Kita gunakan kebijaksanaan dan keberanian kita untuk bersuara dan bertindak secara berhemah dan berkesan supaya status quo kekuasaan negara mutakhir ini dirobah dengan segera.

.