SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

23 November 2008

Kerajaan P. Pinang angkuh, tidak bertanggungjawab


KUALA LUMPUR 22 Nov. – Rakyat Pulau Pinang diminta bertindak tegas membantah langkah kerajaan negeri itu yang berdegil dan mahu meneruskan cadangan untuk menamakan jalan pada papan tanda dalam bahasa lain selain bahasa Melayu.

Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, sudah tiba masanya rakyat di negeri itu bersatu serta menunjukkan ‘kejantanan’ sebenar dalam isu tersebut.

‘‘Tindakan kerajaan Pulau Pinang disifatkan degil dan tanggungjawab kini terletak di tangan rakyat negeri itu sendiri untuk menentangnya.

‘‘Kedaulatan bahasa Melayu seharusnya sentiasa diangkat dan pertukaran kepada bahasa lain pada papan tanda sebenarnya tidak membawa maksud apa-apa,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang meneruskan cadangan untuk menamakan jalan pada papan tanda dalam satu bahasa lain di samping bahasa Melayu bagi mempromosikan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia.

Jelas Guan Eng, nama jalan itu akan ditulis sama ada dalam bahasa Inggeris, Tamil, Cina, Arab dan jawi, manakala dalam bahasa Melayu tetap dikekalkan sebagai menghormati ia sebagai bahasa kebangsaan.

Berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

Sementara itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menyebut bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi kecuali bagi perkara yang tertakluk kepada perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan.

Akta untuk penggunaan bahasa Melayu itu juga tertakluk kepada dokumen rasmi termasuk risalah promosi pelancongan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Mengulas isu yang sama, pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, rakyat negeri itu kini diberi pilihan untuk menyokong kerajaan mereka atau sebaliknya.

‘‘Rakyat boleh memprotes jika tidak suka, namun semuanya terpulang dan itu pilihan mereka sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang itu berhajat untuk mengguris hati orang Melayu.

Tegasnya, cadangan itu dilihat cubaan provokasi dan menunjukkan keangkuhan sebenar kerajaan Pulau Pinang.

‘‘Mereka sengaja meneruskan cadangan papan tanda itu untuk mengguris orang Melayu.

‘‘Kerajaan Pulau Pinang angkuh dan sebenarnya tiada masalah jika mereka membatalkan sahaja rancangan papan tanda pelbagai bahasa itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Safar Hashim berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang itu disifatkan cuba ‘mendaulatkan’ bahasa lain selain bahasa Melayu.

‘‘Kita tidak tahu apa tujuan mereka meneruskan cadangan itu, namun ia dilihat usaha untuk mendaulatkan bahasa lain,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang telah meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk memasang papan tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

.

Ada gerakan cabar saya sebagai ketua Wanita : Rafidah


Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mendakwa ada gerakan untuk mencabar beliau sebagai ketua pergerakan tersebut. Katanya, gerakan itu wujud walaupun pelan peralihan kuasa - untuk menyerahkan jawatan ketua Wanita kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil - pada Jun 2009 dipersetujui.


Rafidah memberitahu demikian ketika ditemui selepas beliau menemui para penyokongnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara pagi tadi.Rafidah berkata, mengikut pelan peralihan kuasa, selepas kekal sebagai ketua Wanita, beliau akan berunding dengan Shahrizat jika melantik ketua Wanita negeri. Ini bermakna, katanya, beliau tidak akan melantik ketua Wanita negeri yang tidak dipersetujui oleh Shahrizat.

Oleh itu, beliau mempersoalkan tindakan Shahrizat yang hanya mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan ketua Wanita selepas mesyuarat Wanita Umno bahagian berakhir."Saya memang hendak serahkan elok-elok kepadanya, jadi buat apa dia bangkit lagi kononnya saya sudah tidak ada penyokong.


Calon naib ketua

"Jangan guna kempen kononnya untuk pembaharuan. Tidak ada orang lama Umno akan hancur.

"Kita terima yang baru untuk digandingkan dengan pemimpin Wanita yang lama," katanya. Ketika ditanya gesaan sesetengah pemimpin Wanita supaya beliau memberi laluan kepada Shahrizat, Rafidah berkata: "Orang yang bercakap itu lebih tua daripada saya."

Rafidah juga mendedahkan banyak bahagian Wanita yang mahu mencalonkan calon lain selain Shahrizat bagi bertanding jawatan naib ketua Wanita Umno.

"Tetapi saya tidak mahu mereka mencalonkan orang lain kerana mahu berpegang kepada pelan peralihan kuasa yang telah ditetap dan dipersetujui pada Jun 2009.

"Mereka (bahagian) hendak mencalonkan Datuk Halimah (Sadique), Datuk Maznah (Mazlan) dan Datuk Seri Azalina (Othman Said) untuk calon jawatan naib ketua.



‘Tidak bermusuh'

"Jadi akhirnya mereka mencalonkan Shahrizat untuk jawatan tersebut," katanya.

Rafidah berkata, walaupun Shahrizat mencabarnya untuk jawatan ketua Wanita, beliau tidak bermusuh dengan naib ketuanya itu.Katanya, beliau memang tidak pandai bermusuh dengan sesiapa pun termasuk orang yang mencabarnya sebelum ini, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.

"Saya masih boleh bersama, bertegur dan bercakap dengan Dr Siti Zaharah."Tetapi dalam petandingan kali ini kita hendak tengok orang yang mengutamakan kepentingan diri atau untuk kepentingan parti.

"Saya dapat lebih banyak pencalonan iaitu 118 pencalonan, saya tidak cabar Shahrizat kerana saya hanya mempertahankan jawatan," katanya.

.

Umat Islam dilarang sertai yoga : Majlis Fatwa Kebangsaan

PUTRAJAYA: Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.

Arahan itu terkandung dalam fatwa yang diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini.

Pengerusi majlis itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan juga bersetuju dan memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

Jelasnya, perkara tersebut telah diputuskan oleh Majlis Muzakarah Kebangsaan yang bersidang 22 hingga 24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan. Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.

Namun demikian beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.

“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.

“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Selain Malaysia, amalan yoga telah pun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.

Tambah beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mengeluarkan fatwa berhubung isu tersebut. Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.

Ketika ditanya adakah keputusan majlis fatwa ini akan dipertikaikan oleh masyarakat bukan Islam, Shukor berkata:

“Fatwa ini khusus kepada umat Islam. Masyarakat agama lain masih bebas meneruskan amalan yoga. Kita menghormati agama-agama lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.”

Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.

"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan," katanya.

Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

.

Pemilihan Ketua Wanita mesti demokratik: PM

PUTRAJAYA: "Kalau nak bertanding... tandinglah dengan cara baik, jangan guna politik wang dan biarlah ahli Wanita Umno menentukan." Itulah pesanan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertegas untuk bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti, Mac depan.

Perdana Menteri berkata, disebabkan kedua-dua pemimpin itu sudah menyatakan pendirian masing-masing, maka beliau berharap pertandingan itu diadakan mengikut amalan demokrasi dan tidak menyebabkan sebarang pergaduhan atau perbalahan.

"Semua berhajat untuk bertanding dan mahu memberi ahli hak menentukan siapa yang akan dipilih untuk jadi ketua. Ahli Wanita Umno juga nampaknya sudah bersedia menghadapi pemilihan bagi ketua mereka.

"Saya harap biarlah semua jadi elok... jika tidak ada pertandingan elok juga, tetapi kalau ada pertandingan kenalah jalankan dengan baik. Itupun bukan satu keburukan, ada juga kebaikannya," katanya pada sidang media di majlis pecah tanah projek penswastaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini, petang semalam.

Abdullah mengulas keputusan Rafidah untuk tetap mempertahankan jawatannya itu selepas Shahrizat, kelmarin mengumumkan akan bertanding Ketua Wanita pada pemilihan parti, Mac depan.

Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah, Ogos lalu. Sehari selepas Shahrizat mengumumkan keputusannya, Rafidah dalam kenyataan tulisan tangan 10 muka surat semalam, pula menegaskan beliau akan mempertahankan jawatannya untuk tempoh 2009-2011 kerana pelan peralihan kuasa itu diingkari Naib Ketuanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, apa yang penting Wanita Umno dapat memberi ahlinya kepemimpinan yang baik dan membolehkan mereka menentukan pemimpin bukan sekadar jawatan ketua, tetapi juga jawatan lain yang akan dipertandingkan.

"Wanita Umno mesti bersikap adil supaya pertandingan ini tidak memecahbelahkan mereka. Jika mereka sayangkan Umno, pertandingan ini tidak akan buat mereka bermasam muka sesama sendiri dan Umno jadi tidak baik... itu yang penting.

"Kedua-dua mereka pemimpin berpengalaman dan saya ingat semua ahli kenal mereka dan sudah tahu siapa nak undi. Jangan menimbulkan keadaan tidak baik," katanya. Abdullah berkata, beliau mengharapkan yang terbaik daripada Wanita Umno yang menjadi sayap kanan parti.

"Kita mahu semuanya elok dan jika mereka berterusan mahu apa-apa tindakan saya sedia memberinya. Saya juga harap mereka dapat menyelesaikan masalah antara mereka," katanya. Ditanya sama ada Shahrizat dan Rafidah sudah menemuinya, Abdullah berkata, beliau tidak sempat berjumpa mereka kerana baru balik dari lawatan kerja ke Uzbekistan dan Turkmenistan, malam kelmarin.

"Saya kena fikir semula (sama ada mahu berjumpa dengan mereka atau sebaliknya)," katanya. Mengenai kedudukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden MCA bulan lalu, Abdullah berkata, Ka Chuan masih lagi dalam Jemaah Menteri dan menghadiri mesyuarat Kabinet, pagi semalam.

"Saya belum terima surat daripada Datuk Seri Ong Tee Keat (Presiden MCA) dan kami (Jemaah Menteri) tidak ada bincang perkara ini dalam mesyuarat Kabinet," katanya.

Khamis lalu, Bernama melaporkan Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Tee Keat.
.