PUTRAJAYA: "Kalau nak bertanding... tandinglah dengan cara baik, jangan guna politik wang dan biarlah ahli Wanita Umno menentukan." Itulah pesanan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertegas untuk bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti, Mac depan.
Perdana Menteri berkata, disebabkan kedua-dua pemimpin itu sudah menyatakan pendirian masing-masing, maka beliau berharap pertandingan itu diadakan mengikut amalan demokrasi dan tidak menyebabkan sebarang pergaduhan atau perbalahan.
"Semua berhajat untuk bertanding dan mahu memberi ahli hak menentukan siapa yang akan dipilih untuk jadi ketua. Ahli Wanita Umno juga nampaknya sudah bersedia menghadapi pemilihan bagi ketua mereka.
"Saya harap biarlah semua jadi elok... jika tidak ada pertandingan elok juga, tetapi kalau ada pertandingan kenalah jalankan dengan baik. Itupun bukan satu keburukan, ada juga kebaikannya," katanya pada sidang media di majlis pecah tanah projek penswastaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini, petang semalam.
Abdullah mengulas keputusan Rafidah untuk tetap mempertahankan jawatannya itu selepas Shahrizat, kelmarin mengumumkan akan bertanding Ketua Wanita pada pemilihan parti, Mac depan.
Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah, Ogos lalu. Sehari selepas Shahrizat mengumumkan keputusannya, Rafidah dalam kenyataan tulisan tangan 10 muka surat semalam, pula menegaskan beliau akan mempertahankan jawatannya untuk tempoh 2009-2011 kerana pelan peralihan kuasa itu diingkari Naib Ketuanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, apa yang penting Wanita Umno dapat memberi ahlinya kepemimpinan yang baik dan membolehkan mereka menentukan pemimpin bukan sekadar jawatan ketua, tetapi juga jawatan lain yang akan dipertandingkan.
"Wanita Umno mesti bersikap adil supaya pertandingan ini tidak memecahbelahkan mereka. Jika mereka sayangkan Umno, pertandingan ini tidak akan buat mereka bermasam muka sesama sendiri dan Umno jadi tidak baik... itu yang penting.
"Kedua-dua mereka pemimpin berpengalaman dan saya ingat semua ahli kenal mereka dan sudah tahu siapa nak undi. Jangan menimbulkan keadaan tidak baik," katanya. Abdullah berkata, beliau mengharapkan yang terbaik daripada Wanita Umno yang menjadi sayap kanan parti.
"Kita mahu semuanya elok dan jika mereka berterusan mahu apa-apa tindakan saya sedia memberinya. Saya juga harap mereka dapat menyelesaikan masalah antara mereka," katanya. Ditanya sama ada Shahrizat dan Rafidah sudah menemuinya, Abdullah berkata, beliau tidak sempat berjumpa mereka kerana baru balik dari lawatan kerja ke Uzbekistan dan Turkmenistan, malam kelmarin.
"Saya kena fikir semula (sama ada mahu berjumpa dengan mereka atau sebaliknya)," katanya. Mengenai kedudukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden MCA bulan lalu, Abdullah berkata, Ka Chuan masih lagi dalam Jemaah Menteri dan menghadiri mesyuarat Kabinet, pagi semalam.
"Saya belum terima surat daripada Datuk Seri Ong Tee Keat (Presiden MCA) dan kami (Jemaah Menteri) tidak ada bincang perkara ini dalam mesyuarat Kabinet," katanya.
Khamis lalu, Bernama melaporkan Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Tee Keat.
.