SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

01 July 2008

Tuduhan konspirasi Azizah serius dan berniat jahat

dipetik dari KPMU.net
.
Tuduhan Wan Azizah yang melibatkan beberapa orang menteri kabinet mempunyai konspirasi untuk menjatuhkan suami beliau adalah merupakan satu tuduhan yang amat serious kerana ianya boleh menjatuhkan kredibilti pemimpin-pemimpin berkenaan.Walaupun ramai yang tahu bahawa tuduhan liar ini adalah kerana Wan Azizah terdesak untuk menyelamatkan suami beliau yang kini dituduh melakukan liwat sekali lagi tetapi ianya secara tidak langsung adalah merupakan satu tuduhan yang berniat jahat. Dari apa yang kita lihat semua gambar yang diambil oleh Saiful (yang diliwat) beliau adalah merupakan seorang remaja yang suka bergambar dengan pemimpin -pemimpin dan minat beliau dalam politik amat mendalam.

Walaupun Azalina hanya memberikan komen bahawa beliau hanya kesian dengan Wan Azizah, ianya memberikan satu makna yang perit untuk Wan azizah menerimanya, mungkin kata-kata Azalina sebagai seorang wanita kepada seorang wanita, meninggalkan kesan yang mendalam kepada Wan Azizah. Saiful juga mungkin terjerbak dalam arus politik dan kemungkinan bercita-cita tinggi untuk menonjolkan diri dalam politik telah mencari jalan untuk melepasi tembok politik dengan menjadi pembancuh kopi kepada pemimpin Parti Keadilan. Oleh kerana budak cantik ini mempunyai tarikan yang istimewa, beliau akhirnya di ambil oleh Bos besarnya untuk menjadi pegawai khas, (khas lah…..) Seharusnya Wan Azizah lebih arif dengan wajah-wajah yang khas ini dan menghalang semua perhubungan khas boss besar dengan remaja cantik ini. Kali ini Anwar mungkin agak sukar untuk menangani skandal ini kerana pihak forensik telah memereksa kondominium yang bernilai lebih 2 juta seunit ini dan telah memeriksa CCTV dan juga mengumpulkan bukti.

Anwar juga agak gentar kali ini untuk menghadapi keyataan ini dan telah menyembunyikan diri dan enggan bertemu dengan wartawan buat seketika sehingga beliau didesak untuk melakukannya. Anwar juga telah mereka banyak cerita yang mana jalan ceritanya berkait-kait untuk melepaskan diri. Mustahil Anwar akan mengaku. Tak siapa yang berada dalam kedudukan Anwar akan mengaku akan perbuatan luar tabie nya.

Berbagai tomahan yang terdesak dibuat termasuk mengatakan bahawa beliau menerima ugutan dan ancaman maut, kemudian keluar atas jaminan tiga orang menteri (yang hanya memberikan statement diakhbar , bukannya jaminan) Gambar yang tidak bermakna juga digapai untuk dijadikan bahan mempertahankan Anwar Ibrahim oleh isterinya. Kini timbul pula cerita terbaru yang menyatakan bahawa PKR baru sahaja mahu mengumumkan pilihanraya kecil minggu hadapan dan polis mengetahuinya dan inilah sebabnya berlaku tuduhan ini.

Bersembunyi di Quality hotel dan lari ke kedutaan Turki hanya kerana takutkan bayang-bayang. (Kami tidak dapat bayangkan betapa kelakarnya, bagaimana mereka lari dari Quality hotel bersembunyi bagaikan seorang pelakon yang sedang dikejar pembunuh sedangkan tidak ada apa-apa yang berlaku). Biarlah bukti pihak polis menutup segala cerita dongeng Anwar yang mungkin mendapat nasihat dari Raja Petra atau kami kenali sebagai Raja Mat Jenin. Lepas ini apakah lagi yang akan direka oleh Anwar untuk menyelamatkan diri. Jika dahulu racun Arsenik, sakit pinggang, mahu di suntik HIV dll. Mungkin Anwar sudah bosan dengan cerita lompat-lompat dan kini mahu mainkan cerita sembunyi -sembunyi pula.

Jika Anwar berjiwa besar, biarkan pihak polis menjalankan tugas mereka dan biarkan mereka melakukan keadilan untuk rakyat dan juga untuk generasi akan datang, rakyat Malaysia belum boleh menerima masyarakat luar tabie seperti di negara -negara lain walaupun ada keluarga di Malaysia yang boleh menerima hakikat ini. Jika benar Anwar tidak bersalah dan PKR mahu umumkan pilihanraya kecil, umumkan sahaja. Apa yang perlu Anwar risau kerana beliau tidak bersalah.

AS dituduh campur tangan, Malaysia hantar nota bantahan

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Washington berikutan tindakan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang membuat kenyataan bahawa negara itu menentang sebarang siasatan atau pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbau politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim berbuat demikian berikutan kenyataan Washington yang dilihat sebagai campur tangan dalam urusan dalam negara Malaysia.

"Itu satu kenyataan yang saya anggap cuba campur tangan dalam hal negara kita. Kita ada kerajaan, kita ada undang-undang, kita ada siasatan.

"Kita tahu apa yang hendak dilakukan. Kita akan pastikan siasatan (kes tuduhan liwat terhadap Anwar) akan dijalankan dengan baik dan adil dan tidak menzalimi sesiapa, itu matlamat kita, itu amalan kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan singkat dengan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya di Bangunan Parlimen hari ini.

Jabatan Negara AS dalam kenyataannya hari ini juga menyebut negara itu turut membantah sebarang tindakan oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Anwar atas tuduhan meliwat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak turut membidas Amerika Syarikat atas kenyataan itu.

Katanya, kes yang kini dalam siasatan polis itu tidak langsung mempunyai kaitan politik.

"Ia tidak pernah ada kena mengena dengan politik. Washington sepatutnya mendapatkan maklumat yang tepat sebelum buat kenyataan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin MIC bagi membincangkan masalah yang dihadapi kaum India di negara ini.

Katanya, penyiasatan polis terhadap Anwar tidak bermotifkan politik.

"Ia tidak bermotifkan politik. (Ia) Tidak pernah terlintas langsung di fikiran kami, jadi Washington perlu mendapatkan fakta yang betul," katanya.
.
-BERNAMA

Ezam tidak terkejut dakwaan liwat kedua terhadap Anwar

SHAH ALAM: Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor tidak terkejut dengan dakwaan liwat kali kedua yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, beliau mempunyai sebab untuk berkata demikian dan akan menjelaskan perkara itu pada masa yang sesuai.

“Bagaimanapun saya tetap berpendirian saya tidak mahu mengaibkan orang, sehinggalah maruah saya dicabar dan saya harus membela maruah saya, saya akan katakan perkara sebenar,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Selangor di sini hari ini.

Ditanya sejauh mana beliau mengenali akhlak Anwar, beliau berkata: “Ia akan buka aib orang jadi saya tak nak ulas. Saudara boleh tafsir sendiri.” Mohamad Ezam yang juga bekas setiausaha politik Anwar, berkata tuduhan liwat terhadap Anwar bersifat peribadi dan bukan berunsur politik seperti yang didakwa oleh Anwar.

Mengenai dakwaan Anwar bahawa kerajaan terbabit dalam konspirasi untuk menjatuhkan karier politik beliau dengan mengaitkannya sekali lagi dalam kes liwat dan ancaman bunuh yang didakwa diterimanya, Mohamad Ezam berkata dakwaan itu sama sekali tidak masuk akal.

“Tidak masuk akal pun orang nak buat konspirasi dalam hal yang sama membabitkan orang sama dua kali, tak logik pun. Anwar seharusnya tunggu, kenapa nak tergesa-gesa dakwa ada ancaman bunuh. Tunggu sahajalah siasatan polis dan selepas itu pertahankan diri sekiranya ada asas,” katanya.
— Bernama

PM minta Washington jangan campur tangan kes Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini meminta Washington agar jangan campur tangan terhadap dakwaan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia hal ehwal dalaman negara.

Perdana Menteri juga berkata kenyataan pentadbiran Amerika Syarikat mengenai kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai menghalang siasatan pihak berkuasa terhadap kes itu dengan bebas dan telus. Beliau mengulas kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey awal hari ini bahawa Amerika Syarikat menentang siasatan atau pendakwaan ke atas Anwar yang bermotifkan politik.

Abdullah juga memberi jaminan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa keselamatan suaminya terjamin. Beliau berkata, siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan itu akan dibuat secara menyeluruh.
.

Amerika tidak perlu campur tangan dalam hal ehwal Malaysia, kata Ali Rustam

MELAKA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengingatkan Amerika Syarikat agar tidak campur tangan dalam hal ehwal Malaysia mengenai dakwaan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Amerika Syarikat tidak boleh mencampuri hal ehwal Malaysia yang merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

"Kita (Malaysia) sebuah negara yang merdeka, bebas dan demokrasi, kita bukan negara yang dijajah oleh Amerika Syarikat, jadi tidak ada sebab mereka hendak beri amaran kata dua kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pembekalan beras super tempatan 15 peratus hancur oleh Pemasaran Melaka Sdn Berhad kepada peruncit di sini, hari ini.

Mohd Ali mengulas kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey semalam yang menyatakan Amerika Syarikat menentang siasatan atau pendakwaan ke atas Anwar yang bermotifkan politik.

Seorang bekas pembantu Anwar telah membuat laporan polis pada Sabtu lepas mendakwa diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu di sebuah kondominium mewah di Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar telah menafikan dakwaan itu yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, dan telah mengemukakan saman terhadap lelaki itu.

Mohd Ali mempersoalkan siapa Amerika Syarikat untuk memberi amaran kepada Malaysia tidak boleh menjalankan undangundangnya sendiri.

"Kita bukan berada dalam zaman penjajahan di mana negara lain menentukan perundangan negara lain, kita hidup dalam negara yang bebas merdeka, kita ada undang-undang kita sendiri dan kita berhak menentukan negara dan nasib kita," kata Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka.

Beliau berkata campur tangan Amerika Syarikat itu berkemungkinan terdapat konspirasi dengan Anwar untuk menekan Malaysia.

Malaysia sebagai sebuah negara merdeka tidak perlu takut untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan undang-undang negara ini, katanya.

-BERNAMA

Dakwaan liwat Anwar: Amerika beri Malaysia amaran

Amerika Syarikat (AS) hari ini memberi Malaysia amaran agar tidak menjadikan dakwaan terbaru kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim satu siasatan yang 'bermotifkan' politik.

Malah, AS juga menggesa agar Anwar tidak dikenakan tuduhan liwat.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tom Casey yang dipetik AFP berkata: "Perkara utama bagi kami ialah undang-undang seharusnya mengatasi soal politik."

"Dan, kami sudah pasti menentang sebarang bentuk penguatkuasaan undang-undang atau prosedur-prosedur kehakiman bagi apa jua tujuan selain daripada tujuan undang-undang itu sendiri."

Sambil menyatakan bahawa Anwar pernah berhadapan dengan tuduhan seumpama itu pada masa lalu tetapi telah diketepikan oleh mahkamah, Casey berkata: "Jadi, kami berharap paten yang sama tidak berulang."

Semalam Anwar keluar daripada berlindung di kediaman Duta Turki di Kuala Lumpur selama lebih 30 jam.
.

Anggota Parlimen persoal penganjuran Forum Kontrak Sosial

KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen hari ini membidas tindakan Majlis Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial yang disifatkan sengaja menimbulkan provokasi di kalangan rakyat berhubung isu itu.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang membangkitkan isu itu dengan tegas mempertikaikan motif penganjuran forum berkenaan dan kenyataan-kenyataan ahli panelnya yang disifatkannya berbentuk provokasi dan menguji ketahanan serta jati diri kaum Melayu dan peribumi negara ini.

"Sejak dari awal sudah timbul syak wasangka pada saya apa motif sebenarnya diadakan forum ini. Saya juga membaca ucapan-ucapan ahli panel terutama Dr Kua Kia Soong (penulis buku 13 May Revisited) yang menghuraikan pelbagai perkara.

"Saya percaya jika forum ini dibuat di tempat terbuka dan ramai orang Melayu yang hadir, saya yakin akan berlaku pertumpahan darah pada waktu itu juga," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Forum berkenaan Sabtu lepas menimbulkan kemarahan orang Melayu, terutama bila ahli panelnya yang terdiri daripada bukan Melayu yang disifatkan tidak layak membincangkan hak dan kedudukan kaum itu.

Antara ahli panel ialah Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mavis Puthucheary; Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr. Kua Kia Soong; dan peguam, Tommy Thomas serta ahli akademik, Dr. Farish Noor.

Ibrahim berkata, orang Melayu dan masyarakat pribumi di negara ini telah lama memendam perasaan tidak puas hati terhadap pencapaian dan kepentingan kaum sendiri yang tidak mencapai tahap sepatutnya.

Beliau berkata bagaimanapun menyedari pentingnya untuk mewujudkan keselamatan dan kestabilan politik dalam negara, mereka tidak mengambil tindakan drastik bagi menyatakan ketidakpuasan hati.

Mendengar hujah Ibrahim yang membara itu, Datuk Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mencelah untuk bertanya sama ada tindakan Majlis Peguam itu boleh ditafsirkan sebagai salah satu cara untuk mempertikaikan Perlembagaan Negara.

"Hujah mereka bahawa perkataan Kontrak Sosial itu tidak ada dalam Perlembagaan mungkin ini percubaan atau usaha mereka untuk secara halus mempertikaikan Perlembagaan.

"Dan ini akan menjadi budaya supaya apa yang ada dalam Perlembagaan terutama berkaitan hak dan keistimewaan orang Melayu itu dipersoal. Tidakkah ini tindakan bertujuan memulakan konspirasi untuk mempertikai Perlembagaan oleh Majlis Peguam?," tanya Dr. Puad.

Bersetuju dengan persoalan itu, Ibrahim berkata, kenyataan bahawa terma Kontrak Sosial itu tidak wujud di dalam Perlembagaan mula dicetuskan Prof Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz yang mendakwa bahawa tidak wujud kontrak itu secara fizikal antara rakyat Malaysia yang terdiri pelbagai kaum.

"Saya tidak tahu sama ada betul atau tidak kenyataan ini dikeluarkan Prof Ungku Aziz, tetapi kenyataan ini telah dipergunakan oleh orang anti-Melayu, anti kemajuan Malaysia dan antiperpaduan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) menggesa semua pihak yang mempertikaikan soal kontrak sosial itu supaya segera menghentikan tindakan mereka bagi mengelak berlakunya perpecahan antara kaum.

Beliau berkata selama ini telah wujud perpaduan yang menjadi teras kemajuan negara, tetapi sejak akhir-akhir ini terlampau banyak perkara yang dipersetujui (kontrak sosial) cuba dipertikaikan banyak pihak.

"Saya harap semua pihak hentikan perkara mencabar apa yang telah kita terima sejak 50 tahun ini dan jangan sampai ada orang hilang kesabaran," katanya.

- BERNAMA

Saya bengang - Pandikar Amin

KUALA LUMPUR: “Saya bengang” itu reaksi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tindakan beberapa ahli dewan yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat dan mencabar kredibiliti beliau sebagai Speaker.

“Susah nak percaya jika dikatakan mereka (Ahli Parlimen) tidak faham peraturan, kebanyakan mereka peguam yang handal,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan tindakan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), yang mencabar Pandikar Amin supaya menggunakan kuasa yang ada untuk mengusir mana-mana ahli dewan yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.

Gobind sebelum itu tidak berpuas hati dengan Pandikar kerana tidak membenarkannya mengemukakan soalan tambahan yang didakwa Pandikar tidak berkaitan dengan soalan asal yang diajukan.

“Saya tak berniat nak mengugut, tetapi jika saya bagi kelonggaran, timbul pula kekecohan…salah juga.

“Saya bukan tak berani…semua orang berani, tetapi perlu guna keberanian dengan kebijaksanaan,” katanya.

Berhubung tindakan semua Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan kerana turut tidak puas hati dengan keputusan Pandikar membenarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat penjelasan tambahan mengenai Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang dibentangkan Khamis lalu bagi pihak Perdana Menteri, Pandikar berkata Najib boleh berbuat demikian berdasarkan Perkara 45.

Najib juga telah mengemukakan notis dua jam mengikut Perkara 25 sebelum dibenarkan membuat penjelasan.

Pandikar Amin mengingatkan bahawa ahli dewan boleh mengemukakan usul bantahan mengikut Perkara 43.

“Perkara 43 boleh digunakan untuk kemukakan usul bantahan, tapi mereka tidak mahi guna. Mereka suka nak mencabar Speaker,” katanya dengan kecewa.

Ibrahim Ali: Tindakan pembangkang 'tidak bijak'

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini sekali lagi kecoh apabila anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan beramai-ramai sebagai tanda protes terhadap Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tafsiran Aturan Urusan Mesyuarat Dewan.

Pembangkang mengambil tindakan itu selepas Pandikar Amin membenarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan penjelasan tambahan kepada usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Mereka mendakwa tindakan Speaker itu bertentangan dengan aturan urusan mesyuarat dewan.
Kejadian itu berlaku tidak sampai sejam selepas anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo digantung daripada menghadiri persidangan Dewan rakyat selama dua hari kerana acap kali melanggar arahan dan mencabar Speaker.

Bantahan pada mulanya dikemukakan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang berkata ucapan Najib itu di luar kebiasaan kerana lazimnya selepas pembentangan kajian oleh Perdana Menteri, usul itu akan terus dibahaskan anggota Dewan.

Pandangan Lim ditolak Pandikar Amin yang berkata kebenaran bagi ucapan menteri oleh Najib adalah berlandaskan peraturan mesyuarat.

Tidak puas hati dengan jawapan Speaker, Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangun dan bertanya adakah ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini tidak cukup jelas dan dicelah Lim yang mendesak supaya Najib membuat kenyataan tambahan dengan mengambil bahagian dalam perbahasan seperti mana peruntukan yang diberikan kepada anggota Parlimen yang lain.

Turut mempertikaikan keputusan itu ialah Chua Tian Chang (PKR-Batu), Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Speaker berkata sebelum membuat keputusan, ia telah ditimbangkan sebaik mungkin lalu meminta anggota Dewan memberi laluan kepada Najib untuk memberikan penjelasan tambahan itu demi kepentingan rakyat.

Keputusan Pandikar Amin itu menyebabkan anggota Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan dewan.

Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas) merupakan satu-satunya anggota Parlimen bukan Barisan Nasional yang tidak menyertai protes itu dan menyifatkan langkah anggota Parlimen pembangkang itu sebagai "tidak bijak".

- BERNAMA

Teori Konspirasi Anwar Bergema Lagi

'Hero Konspirasi', Anwar Ibrahim kembali ke pasaran dengan teori konspirasi terbarunya. Sejurus laporan polis terhadapnya berkaitan dengan kes liwat yang dibuat oleh pegawai khasnya sendiri, Anwar melarikan diri ke kediaman rasmi Duta Turki di Jalan Ampang dengan alasan untuk berlindung demi menjaga keselamatannya.

Tidak cukup dengan itu, beliau membuat kenyataan yang dibaca oleh S.Sivarasa, Naib Presiden PKR, mendakwa laporan polis yang dibuat oleh pegawai khasnya itu adalah diatur dan direncana oleh musuh-musuh politik yang bimbang dengan kehadirannya. Beliau mendakwa ianya adalah konspirasi politik yang berniat jahat untuk membunuh karier p0litiknya. Anwar memulakan teori konspirasi barunya.

Tidak cukup dengan itu, isterinya Datin Seri Wan Azizah pula mendakwa Anwar terpaksa berlindung di kedutaan Turki kerana keselamatannya terancam. Menurutnya Anwar pernah menerima ancaman akan dibunuh. Teori lagi. Anehnya tiba-tiba pula lepas laporan polis kes liwat terhadap Anwar, muncul teori ancaman bunuh. Tapi tidak pernah pula laporan polis dibuat, alasannya tidak percaya kepada polis. Ish Anwar...Anwar....

Yang jadi kemusykilannya adalah mengapa Anwar pula yang kata dirinya terancam? Sepatutnya si Saiful Bahri, pegawai khasnya yang membuat laporan polis itulah yang merasa terancam selepas membuat laporan polis. Ini lebih wajar kerana pastinya pengikut-pengikut Anwar akan marah sangat-sangat kepada Saiful. Logiknya kalau Saiful yang merasa terancam adalah juga kebenarannya, ini tiba-tiba Anwar pula yang rasa terancam. Tak logik...Tak logik...

Ezam Mohd Noor, bekas Setiausaha Politiknya sendiri meminta rakyat jangan melayan sangat teori konspirasi dakwaan Anwar ini. Sebagai seorang yang sangat rapat dan pernah dikenali sebagai klon Anwar, pastinya beliau tahu serba serbi pasal Anwar...luar dan dalam.. siang dan malam...

Apa pun polis sedang jalankan siasatannya. Kita tunggu saja hasil siasatannya nanti.
.

Ezam: Jangan termakan cerita konspirasi Anwar

KUALA LUMPUR 30 Jun – Orang ramai diminta tidak termakan dengan ‘cerita’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim konon wujud konspirasi untuk menjatuhkannya menggunakan laporan polis yang mendakwa beliau meliwat seorang pembantunya baru-baru ini.

Bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, adalah mustahil kerajaan sengaja mereka-reka atau membuat konspirasi seumpama itu untuk menjatuhkan Anwar.

“Secara logiknya, tiada siapa hendak buat konspirasi dengan menggunakan ‘modal’ yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Menurutnya, perbuatan Anwar mengaitkan nama beberapa pemimpin negara dan kerajaan dengan konspirasi serta menuduh mereka membuat dakwaan itu untuk menjatuhkannya juga bercanggah dengan ajaran Islam.

“Jika Anwar tidak suka dirinya dituduh tanpa bukti, dia juga tidak harus berbuat perkara yang sama.

“Kalau ada bukti, tunjukkan. Jangan tuduh sembarangan dan kemudian pergi bersembunyi. Kenapa?” ujar Mohamad Ezam merujuk kepada tindakan Anwar berlindung di kedutaan Turki di ibu negara sejak awal pagi semalam.

Ketika ditanya mengenai dakwaan kejadian liwat yang membabitkan Anwar dan pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Ezam memberitahu, apa yang berlaku “adalah antara Anwar, Mohd. Saiful dan Allah.”

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Anwar merupakan seorang yang pandai bermain sandiwara bagi menutup kelemahan peribadinya.

Beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja bagi menutup kelemahan diri termasuk menggunakan kedutaan asing bagi meraih perhatian antarabangsa.

“Dia menggunakan alasan kononnya wujud konspirasi sekali lagi oleh kerajaan untuk menjatuhkannya sedangkan tuduhan itu tidak benar,” kata Mohd. Ali.

Beliau berkata tindakan Anwar menggunakan pelbagai pihak untuk bercakap bagi pihaknya dengan mendakwa kes itu sebagai konspirasi hanya memburukkan imej negara, kerajaan dan rakyat.

“Kalau beliau (Anwar) tidak bersalah, beliau patut berani hadapi pihak polis dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
.