SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

01 July 2008

Anggota Parlimen persoal penganjuran Forum Kontrak Sosial

KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen hari ini membidas tindakan Majlis Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial yang disifatkan sengaja menimbulkan provokasi di kalangan rakyat berhubung isu itu.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang membangkitkan isu itu dengan tegas mempertikaikan motif penganjuran forum berkenaan dan kenyataan-kenyataan ahli panelnya yang disifatkannya berbentuk provokasi dan menguji ketahanan serta jati diri kaum Melayu dan peribumi negara ini.

"Sejak dari awal sudah timbul syak wasangka pada saya apa motif sebenarnya diadakan forum ini. Saya juga membaca ucapan-ucapan ahli panel terutama Dr Kua Kia Soong (penulis buku 13 May Revisited) yang menghuraikan pelbagai perkara.

"Saya percaya jika forum ini dibuat di tempat terbuka dan ramai orang Melayu yang hadir, saya yakin akan berlaku pertumpahan darah pada waktu itu juga," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Forum berkenaan Sabtu lepas menimbulkan kemarahan orang Melayu, terutama bila ahli panelnya yang terdiri daripada bukan Melayu yang disifatkan tidak layak membincangkan hak dan kedudukan kaum itu.

Antara ahli panel ialah Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mavis Puthucheary; Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr. Kua Kia Soong; dan peguam, Tommy Thomas serta ahli akademik, Dr. Farish Noor.

Ibrahim berkata, orang Melayu dan masyarakat pribumi di negara ini telah lama memendam perasaan tidak puas hati terhadap pencapaian dan kepentingan kaum sendiri yang tidak mencapai tahap sepatutnya.

Beliau berkata bagaimanapun menyedari pentingnya untuk mewujudkan keselamatan dan kestabilan politik dalam negara, mereka tidak mengambil tindakan drastik bagi menyatakan ketidakpuasan hati.

Mendengar hujah Ibrahim yang membara itu, Datuk Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mencelah untuk bertanya sama ada tindakan Majlis Peguam itu boleh ditafsirkan sebagai salah satu cara untuk mempertikaikan Perlembagaan Negara.

"Hujah mereka bahawa perkataan Kontrak Sosial itu tidak ada dalam Perlembagaan mungkin ini percubaan atau usaha mereka untuk secara halus mempertikaikan Perlembagaan.

"Dan ini akan menjadi budaya supaya apa yang ada dalam Perlembagaan terutama berkaitan hak dan keistimewaan orang Melayu itu dipersoal. Tidakkah ini tindakan bertujuan memulakan konspirasi untuk mempertikai Perlembagaan oleh Majlis Peguam?," tanya Dr. Puad.

Bersetuju dengan persoalan itu, Ibrahim berkata, kenyataan bahawa terma Kontrak Sosial itu tidak wujud di dalam Perlembagaan mula dicetuskan Prof Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz yang mendakwa bahawa tidak wujud kontrak itu secara fizikal antara rakyat Malaysia yang terdiri pelbagai kaum.

"Saya tidak tahu sama ada betul atau tidak kenyataan ini dikeluarkan Prof Ungku Aziz, tetapi kenyataan ini telah dipergunakan oleh orang anti-Melayu, anti kemajuan Malaysia dan antiperpaduan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) menggesa semua pihak yang mempertikaikan soal kontrak sosial itu supaya segera menghentikan tindakan mereka bagi mengelak berlakunya perpecahan antara kaum.

Beliau berkata selama ini telah wujud perpaduan yang menjadi teras kemajuan negara, tetapi sejak akhir-akhir ini terlampau banyak perkara yang dipersetujui (kontrak sosial) cuba dipertikaikan banyak pihak.

"Saya harap semua pihak hentikan perkara mencabar apa yang telah kita terima sejak 50 tahun ini dan jangan sampai ada orang hilang kesabaran," katanya.

- BERNAMA