SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

25 August 2008

Pilih calon 'kurang' mudaratkan agama, negara - Mufti Perlis

dipetik dari mstar.com

PERMATANG PAUH: Tanpa menyebut nama calon, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abdidin berharap pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan memilih calon yang "paling ringan mudarat" atau "membahayakan" agama dan negara, esok.

"Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi," kata beliau.


Beliau salah seorang pemilih berdaftar di bahagian Parlimen Permatang Pauh berkata, pengundi-pengundi perlu menilai siapa yang paling kurang bahaya dibandingkan dengan yang lain untuk masa depan negara dan umat.

"Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut.

"Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya. Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini," katanya.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diadakan esok. Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat manakala Datuk Arif Shah Omar Shah pula bertanding atas tiket Barisan Nasional dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

"Satu pemilihan mesti dilakukan," kata beliau dalam rungannya di Mingguan Malaysia semalam.' Jelas beliau, jika tidak pun untuk memilih yang terbaik, sekurang-kurang memilih yang kurang mudarat antara semua.

"Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah. Undi ada nilai dosa dan pahala," katanya lagi.

Bagaimanapun tambah beliau, "barangkali memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah."

.

Demi politik....Anwar fitnah Najib amal agama Hindu



Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari Isnin membuat fitnah terbaru terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengamalkan acara kegamaan Hindu.

Pada sidang media di pejabat Yayasan Aman, bilik gerakan PKR di Permatang Pauh, Anwar membuat fitnah terbaru itu sebagai menjawab desakan kenapa beliau tidak mahu bersumpah mengikut cara Islam bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Najib angkat sumpah (merujuk kepada sumpah Najib di Masjid Guar Perahu, Jumaat malam) esok dia pergi sumpah Hindu dia pulak…adakah lusa dia nak pergi masjid lain angkat sumpah nak betulkan sumpah Hindu dia tu pula,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk mengenai Hindu itu berdasarkan penyiaran akuan bersumpah seorang lelaki India beragama Hindu oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang menuduh Najib mengamalkan upacara sembayang mengikut agama Hindu.

Dalam akuan bersumpah itu, Najib didakwa membawa seorang sami Hindu ke rumahnya setiap bulan bagi mengadakan acara sembahyang mengikut cara Hindu dengan duduk di hadapan api serta menggunakan segala peralatan acara keagamaan itu.

Fitnah terbaru Anwar itu dilihat sebagai usaha beliau untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapinya. Antara isu yang dihadapi Anwar ialah desakan agar beliau bersumpah bagi membersihkan dirinya dalam isu liwat.

Kedua, desakan agar beliau memberisihkan namanya ekoran pendedahan teman karibnya, Datuk S Nallakarupan bahawa Anwar menerima wang daripada syarikat judi 4-nombor ekor, Magnum Corporation.

Pada sidang media itu juga ekoran soalan mengenai sumpah oleh wartawan Agendadaily, Anwar sekali lagi ‘menyerang’ Agendadaily dengan menjawab soalan dengan berkata, "Ini agenda Najib dan agenda UMNO". Soalnya, soalan yang dikemukakan itu adalah biasa sahaja bagi mana-mana wartawan bagi mendapatkan reaksi kepada desakan dan tuntutan supaya Anwar bersumpah.

Namun, berdasarkan cara Anwar memberikan responnya, Anwar tidak selesa dengan soalan berikut kerana beliau tidak dapat memberikan jawapan secara objektif.

Bagi Agendadaily, inilah masalahnya bila ada pihak yang bersumpah mengikut cara Islam, Anwar akan segera mempertikaikannya tetapi bila ada akuan bersumpah seorang lelaki beragama Hindu, beliau akan percaya habis-habisan.

Ini adalah kali kelima Anwar serang Agendadaily
.

2 Exco Perak dihadap ke mahkamah hari ini

utusan_online

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Lima daripada enam orang termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terlibat kes rasuah mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, Perak akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Isnin ini.

Sehubungan itu, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) menegaskan, tidak timbul soal agensi itu perlu meminta maaf kepada kedua-dua ahli Exco berkenaan mahu pun kerajaan negeri Perak seperti dituntut oleh pihak terbabit semalam.

Dua ahli Exco yang akan didakwa Isnin ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 57, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, 52.

Tiga lagi yang akan turut didakwa ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kapten (B) Usaili Alias, 56; Juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, 46 dan Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 45.

Seorang ahli perniagaan, Fazirul Azim Ismail, 30, yang turut ditahan reman sebelum ini, bagaimanapun tidak didakwa oleh BPR.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang dihubungi Mingguan Malaysia hari ini berkata, keenam-enam mereka hanya dibebaskan dengan jaminan BPR selepas direman beberapa hari lalu, bukannya dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah.

Sehubungan itu, katanya, BPR mempunyai kuasa memanggil dan mendakwa mereka di mahkamah pada bila-bila masa.

Tambahnya, siasatan berhubung kes itu telah selesai manakala Bahagian Pendakwaan dan Perundangan BPR telah berpuas hati terdapat keterangan mencukupi untuk menuduh lima individu terbabit di mahkamah.

“Kita ada bukti yang kukuh untuk bawa mereka ke muka pengadilan, jadi tidak timbul isu soal minta maaf atau sebaliknya.

“Apabila orang lain kena terutama orang UMNO dia suka dan boleh terima, tapi apabila orang dia yang kena, kenapa tak boleh terima?

“Mereka kata nak hapuskan rasuah, tapi bila kita tangkap orang dia, suruh BPR dan media minta maaf pula... patut mereka kena bantu kita dan media,” katanya.

Semalam, kedua-dua ahli Exco Kerajaan Negeri Perak itu, Osman dan Jamaluddin memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan media untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai penglibatan mereka dalam kes rasuah tersebut kerana mendakwa ia berunsur fitnah.

Sekiranya gagal berbuat demikian, kedua-dua ahli Exco itu akan memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap BPR.

Hadir

Dalam kenyataan akhbar Ibu Pejabat BPR yang dikeluarkan di sini petang ini, BPR menjelaskan, agensi itu sedang menghubungi kesemua yang terbabit supaya hadir ke pejabat BPR Perak di Ipoh pada pagi 25 Ogos ini sebelum mereka dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan masing-masing.

Menjawab soalan sama ada pihak-pihak terbabit salah faham antara istilah bebas dengan jaminan BPR dan dibebaskan daripada pertuduhan oleh mahkamah, Ahmad Said berkata: “Kebanyakan mereka adalah peguam, sepatutnya mereka tahu dan biasa dengan istilah-istilah ini... kita bebaskan mereka dengan jaminan BPR, ini bermakna kita boleh panggil mereka bila-bila masa.

“Sekarang kita sudah ambil keputusan untuk tuduh mereka di mahkamah setelah meneliti segala keterangan dan bukti yang ada.”

Sementara itu, ditanya sama ada kedua-dua ahli Exco dan Kerajaan Negeri Perak tidak memahami mengenai prosedur tahanan reman dan pendakwaan oleh BPR, Ahmad Said memberitahu: “Mereka memang tak faham, kita akan siasat sesiapa saja kalau ada dakwaan berlakunya transaksi rasuah... tidak kiralah sesiapa pun.

“Kalau benar-benar ada keterangan dan bukti, kita akan dakwa mereka di mahkamah.”
.

Rencana : Berkubur di kubu sendiri

dipetik dari utusan_online

.
BERDASARKAN kepada kehebatan dan kehangatan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh serta isu-isu yang timbul sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di kawasan itu menggantikan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Jika Anwar bertanding di kawasan lain seperti Bandar Tun Razak atau Kuala Kangsar, di atas kertas, beliau sudah pun tewas.

Sebelum ini Anwar diuar-uarkan mahu bertanding di Bandar Tun Razak di kerusi Parlimen yang kini dipegang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memenanginya pada 8 Mac lalu hanya dengan majoriti 2,515 undi.

Sebelum Mahkamah Pilihan Raya membuat keputusan mengenai petisyen pilihan raya Parlimen Kuala Kangsar bulan lalu, beliau juga mengacah-acah kononnya ingin mencabar Tan Sri Rafidah Aziz daripada Barisan Nasional (BN) yang memenangi Parlimen Kuala Kangsar dengan kelebihan 1,458 undi.

Di Permatang Pauh, angin politik sedang hebat bertiup dalam kempen yang sering berlangsung dalam hujan gerimis. Jangkaan Anwar akan menang mudah pada hari pengundian 26 Ogos ini nampaknya mungkin tidak berlaku. Lawannya, Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN memberikan tentangan sengit. Malah, ada keyakinan di kalangan para pemimpin BN bahawa keajaiban mungkin terbit di Permatang Pauh.

Ketika majlis-majlis Anwar bertemu pengundi Cina disusun oleh para pemimpin DAP yang kini menguasai kerajaan Pulau Pinang, Arif Shah yang mendapat sokongan para pemimpin MCA dan Gerakan diberi sambutan yang lebih hebat oleh orang Cina di Permatang Pauh kerana beliau - dengan keupayaannya bercakap dalam dialek Mandarin, Kantonis dan Hokkien - boleh berkomunikasi dengan lebih baik dan dapat menyelami perasaan para pengundi Cina.

Ada tiga kumpulan pengundi yang akan menentukan masa depan politik Anwar. Pertama, pengundi muda; kedua, pengundi bukan Melayu khususnya orang Cina; dan ketiga, para penyokong Pas yang mengundi di Permatang Pauh. Undi mereka banyak membantu kemenangan isteri Anwar, Wan Azizah, pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dalam pilihan raya itu, Wan Azizah yang memperoleh 30,338 undi mengalahkan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang cuma mendapat 16,950 undi. Majoriti Wan Azizah ialah 13,338.

Bagaimanapun, keputusan di peringkat pilihan raya tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Permatang Pauh memperlihatkan pola yang sedikit berlainan. Di tiga DUN di kawasan itu iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti, calon-calon BN memperoleh undi terkumpul yang lebih besar daripada jumlah undi yang diperoleh oleh Pirdaus di peringkat Parlimen.

Calon-calon BN di tiga DUN itu iaitu Arif Shah (Seberang Jaya), Ahmad Sahar Shuib (Permatang Pasir) dan Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (Penanti) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu mengumpulkan sebanyak 20,093 undi daripada keseluruhan 47,305 orang yang keluar mengundi.

Di peringkat DUN, calon-calon BN mendapat 20,093 undi manakala tiga calon parti pembangkang daripada PKR dan Pas mendapat undi terkumpul 27,212.

Ini memberikan kelebihan majoriti parti pembangkang di peringkat DUN di Permatang Pauh cuma kira-kira 7,119 undi. Mengapa wujud perbezaan besar antara undi majoriti yang diperoleh oleh Wan Azizah (13,338) di peringkat Parlimen dengan undi majoriti tiga calon pembangkang di peringkat DUN (7,119) amat menarik untuk dianalisis.

Perbezaan undiPerbezaan antara 13,338 dan 7,119 menunjukkan sejumlah 6,219 pengundi yang memilih Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen pada 8 Mac lalu, di peringkat DUN mereka mengundi calon-calon BN.
.
Di atas kertas, jika 20,093 undi kepada calon BN di peringkat DUN itu dijadikan panduan, BN memerlukan hanya sekitar 3,700 undi tambahan untuk memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh dan mencipta sejarah menewaskan Anwar di kubunya sendiri.

Di kawasan Permatang Pauh, pengundi Melayu membentuk kira-kira 68 peratus daripada keseluruhan 58,459 pengundi berdaftar. Selebihnya 25 peratus ialah pengundi kaum Cina, 6.7 peratus pengundi India dan sebanyak 228 orang pengundi kaum 'lain-lain'. Di kawasan itu juga terdapat hampir 700 orang pengundi pos terdiri daripada anggota polis dan tentera.

Berdasar pilihan raya 8 Mac lalu, Seberang Jaya ialah kubu kuat BN manakala Penanti yang dimenangi oleh PKR merupakan kawasan pengaruh PKR. Permatang Pasir pula menjadi benteng Pas dengan calon Pas di kawasan itu, Mohd. Hamdan Abdul Rahman (memperoleh 11,004 undi) menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib yang cuma mendapat 5,571.

Kedudukan Pas memang kukuh di Permatang Pasir. Sekiranya para pemimpin BN dapat menyusun kempen mereka dengan baik dan berpeluang untuk menyampaikan mesej-mesej kepada para penyokong Pas dan pengundi atas pagar di kawasan itu serta menyedarkan mereka tentang nasib agama dan bangsa, tidak mustahil Anwar boleh tewas. Tanpa undi para penyokong Pas, Anwar akan belayar ke lautan politik yang tiada daratan.

Selain para penyokong Pas, satu lagi faktor dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh ialah pengundi muda. Pada pilihan raya umum 2004, peratusan undi pengundi muda di bawah 40 tahun yang diterima oleh BN di ketiga-ketiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh adalah tinggi.

Bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, bilangan pengundi muda yang menyokong BN merosot dengan mendadak iaitu 4,166 di Seberang Jaya, 2,507 di Permatang Pasir dan 2,157 di Penanti. Dalam pilihan raya itu parti pembangkang mendapat sokongan besar daripada pengundi muda iaitu 4,641 di Seberang jaya, 5,456 di Permatang Pasir dan 3,210 di Penanti.

Memujuk para pengundi muda supaya berfikir dengan rasional, jangan mempertaruhkan kepentingan nasional dan sentiasa memikirkan masa depan bangsa menjadi cabaran besar kepada jurukempen BN.

Isu lain yang dihadapi oleh jentera BN dan PKR di Permatang Pauh sekarang - yang juga mungkin menyakitkan kepala Anwar dan membuatkannya berdebar-debar - ialah apakah mood pengundi di Permatang Pauh dalam pilihan raya 8 Mac 2008 masih sama atau ia telah bertukar.
Sekiranya mood itu masih serupa, Anwar akan selamat.

Namun, kalau mood tersebut telah berubah - dan jika para pengundi di kawasan itu mula yakin bahawa hukuman mereka ke atas BN pada 8 Mac lalu mencukupi kerana mesejnya telah difahami, sebab sudah muncul kesedaran daripada kerajaan BN manakala UMNO memperlihatkan ia sedia bersatu tenaga menentang musuh bersama - politik Anwar mungkin dikebumikan di tanah kelahirannya sendiri pada 26 Ogos ini.

Pada hari Khamis lalu, ketika berkempen di kawasan Semilang Pantai di Seberang Jaya, Anwar dalam ucapannya merayu supaya beliau diberi peluang. Katanya, apabila beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh nanti, beliau akan membawa ahli- ahli Parlimen BN melompat ke pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan baru di Malaysia.

"Beri tiga bulan pada Pakatan Rakyat, kita akan selesaikan masalah-masalah Malaysia," janji bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam ucapannya yang digelapi berita penangkapan dua Exco PKR di Perak sehari sebelum itu atas dakwaan terbabit dengan rasuah wang dan seks, iaitu lima bulan selepas PKR bersama DAP dan Pas menguasai kerajaan negeri Perak.

Anwar ialah seorang yang pandai berdrama dan kadangkala kepetahannya menyembunyikan sesetengah fakta. Kepintarannya bermain kata-kata tidak dapat ditandingi oleh Arif Shah yang terkenal dengan komitmennya untuk membantu penduduk kawasan yang diwakilinya. Isu harga minyak, Bajet 2009 dan kelembutan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi antara bahan kempen Anwar.

Anwar juga menyerang kredibiliti Polis Diraja Malaysia, memperlekehkan Datuk Seri Najib Tun Razak selain mendakwa rakan- rakannya di Sabah 'akan melompat' menyertai Pakatan Rakyat apabila beliau kembali ke Parlimen.

Beliau tidak henti-henti membuat dakwaan itu walaupun pada malam yang sama beberapa pemimpin BN Sabah termasuk Ketua Menterinya Datuk Seri Musa Aman, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Pairin Kitingan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup turut berkempen membantu Arif Shah di Kampung Bagan Serai, kira-kira dua kilometer dari Semilang Pantai.

Dalam nada geram, Musa mengingatkan pengundi Permatang Pauh mengenai kelicikan Anwar. "Jangan anggap orang Sabah bodoh! Jangan dengar cakap-cakap manis Anwar… cakap-cakap kononnya orang Sabah mahu lompat itu semua tidak betul, itu bohong, ia cakap bagi senang-senang hati saja."

PembangunanMalah, Musa menasihatkan penduduk Permatang Pauh tentang betapa beruntungnya dari segi pembangunan kalau mereka memilih Arif Shah. Katanya, Arif Shah ketika ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

"Di DUN, beliau ialah wakil rakyat pembangkang. Tidak banyak yang boleh dilakukannya kerana kerajaan Pulau Pinang dikuasai oleh parti lain, tetapi kalau YB Arif Shah dapat jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, beliau mewakili kerajaan Persekutuan. Ketika itu beliau boleh meminta peruntukan Persekutuan dibawa ke Permatang Pauh. Orang Permatang Pauh akan beruntung."

Para pengundi Permatang Pauh tentulah menimbangkan semua hujah ini. Dalam pilihan raya, para pengundi adalah raja dan mereka biasanya menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan bijaksana. Perkara yang sama juga berlaku di Permatang Pauh.

Anwar boleh berkempen dengan mendakwa dirinya teraniaya, Arif Shah juga boleh berharap dia mencipta sejarah menjadi 'Monster Killer', bukan setakat 'Giant Killer'. Tetapi akhirnya pada 26 Ogos ini nasib mereka tertakluk kepada apa yang para pengundi rasakan baik untuk politik.

Arif Shah Omar Shah ialah calon underdog yang menentang Anwar Ibrahim yang hebat - yang nasibnya menjadi sebutan di bibir Al Gore, pemimpin Amerika Syarikat yang secara terbuka menyokong hak-hak golongan homoseksual, dan Gus Dur, bekas Presiden Indonesia yang gambarnya meriba seorang wanita muda masih tidak dapat dilupakan oleh sebahagian besar orang Islam di Malaysia.

Menjelang pilihan raya kecil 26 Ogos ini, Anwar membawa bersamanya ke Permatang Pauh satu beban politik yang terlalu berat yang di dunia ini hanya beliau dapat mengusungnya. Dalam satu upacara mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan yang menjanjikan laknat Tuhan hingga ke hari kiamat, bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah menuduh Anwar meliwatnya.

Bagi seorang yang sentiasa mencipta strategi politik yang tidak dapat diimaginasikan, termasuk dengan beraninya sanggup bersembunyi di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu iaitu sehari selepas Mohd. Saiful membuat laporan polis dia diliwat oleh Anwar, Penasihat PKR itu tidak garang dalam kes-kes tertentu. Dengan sumpah laknat Mohd. Saiful membayangi pertimbangan para pengundi, Anwar menunggu tarikh 26 Ogos ini dengan penuh debaran.

Perbuatan beliau melakukan tindakan yang tidak terfikirkan seperti bersembunyi di Kedutaan Turki tetapi pada masa yang sama tidak berani bersumpah menafikan tuduhan Mohd. Saiful tentunya diambil kira oleh para pengundi yang menyedari bahawa sebagai manusia dan orang Islam, bagi mereka, kebenaran adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli dalam politik.

Permatang Pauh akan menghakimi Anwar. Permatang Pauh akan menentukan masa depan Arif Shah.

Sesuatu yang pasti ialah keputusan pilihan raya kecil itu akan menjadi turning point kepada politik orang Melayu dan negara. Prospek sama ada percakaran politik Melayu akan berterusan selama beberapa tahun lagi atau perbalahan dimatikan serta-merta bergantung kepada tekad para pengundi di Permatang Pauh.

Jika mereka memilih Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, orang Melayu di Permatang Pauh dan di luar Permatang Pauh harus bersedia memakai perisai untuk menghadapi pertempuran politik seterusnya - satu senario yang tentunya disukai oleh kawan- kawan Anwar dalam sesetengah parti cauvinis yang anti ketuanan Melayu.

Dengan perisai itulah, yang memberatkan perjalanan mereka, orang Melayu bakal menghadapi perang saudara dalam politik yang terus dicirikan dengan kebencian, pertelingkahan yang tidak produktif dan mungkin juga anarkisme.

Nasib politik orang Melayu dan bukan Melayu selepas 26 Ogos ini nampaknya telah disiapkan. Ia ditentukan oleh takdir politik lelaki berusia 61 tahun bernama Anwar Ibrahim.
.

PKR terima dana dari AS?

dipetik dari utusan_online

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos – Dana yang digunakan oleh calon Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjalankan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini adalah bantuan daripada negara luar terutama sekali Amerika Syarikat (AS).

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, Anwar sendiri telah mengaku tidak mempunyai wang yang cukup untuk berkempen namun masih mampu melakukannya.

‘‘Dia sendiri telah berkata bahawa dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk kempen, malah sanggup meminta bantuan penyokongnya melalui laman web untuk mendapatkan wang.

‘‘Namun, saya hairan bagaimana dia boleh meletakkan bendera dan poster partinya dengan banyak di sini. Oleh itu saya yakin bahawa dia mendapat bantuan AS,’’ katanya.

Khairy berkata demikian ketika memberi ceramah di hadapan kira-kira 3,000 penduduk di Permatang Pasir, di sini semalam.

Menurut Khairy sebagai balasan kepada bantuan yang diterima Anwar itu, perkara pertama yang akan dilakukannya jika berjaya menjadi Perdana Menteri ialah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-AS.

‘‘Saya tahu ini adalah perkara pertama yang akan dilakukannya yang akan menyebabkan rakyat negara ini sendiri rugi,’’ jelasnya.

Tambahnya, dia juga mempunyai maklumat yang Anwar telah berjanji dengan kerajaan AS bahawa satu pangkalan tentera laut akan dibina di Sabah jika hajatnya menjadi Perdana Menteri tercapai.

‘‘Saya sendiri tahu Anwar akan meluluskan pembinaan pangkalan tersebut jika beliau berjaya menunaikan cita-citanya.
.

Permatang Pauh, Islam Makin Jauh : Mufti Perlis

dipetik dari drmaza.com

Seorang wartawan akhbar politik menghubungi saya dan bertanya: “Siapakah yang akan saya undi di Permatang Pauh?”. Saya tidak pasti apakah tujuan soalan itu dikemukakan kepada saya yang bukan ahli politik ini. Saya kira, tujuannya mungkin untuk satu tinjauan umum politik. Namun bak kata orang: “undi anda adalah rahsia”.

Jika beliau tidak lupa, sebelum Pilihanraya ke-12 saya telah memberikan pendapat agar para pengundi mengundi berdasarkan calon, bukan partinya. Walaupun tidak dinafikan peranan sesebuah parti, tetapi Islam menentang sikap taklid buta yang menyokong apa sahaja sekalipun buruk hanya disebabkan sentimen kepuakan atau kepartian.

Saya memberitahu wartawan berkenaan bahawa dunia politik kita sudah semakin buruk. Barangkali nanti, dalam sebahagian besar keadaan, pengundi tidak lagi mengundi untuk memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik, sebaliknya akan memilih yang kurang buruk di kalangan yang buruk. Wajah siasah dicomotkan dengan begitu rupa, sehingga masyarakat sukar untuk menilai sesuatu kejadian atau isu, kerana semuanya ditafsirkan secara politik permusuhan yang menyimpan kesumat dan dendam antara satu sama lain.

Lebih malang lagi, yang bermusuhan bagaikan perang jihad antara tentera Islam dengan musuhnya itu berlaku sesama muslim, sementara orang lain mengambil kesempatan di antaranya mereka.

Mereka yang tidak terlibat dengan politik kepartian pun diheret ke kancah yang buruk tersebut. Ramai yang memburu dan mempertahankan jawatan politik itu berkempen dengan janji bahawa mereka akan memberikan kebebasan yang lebih kepada rakyat. Kebebasan bersuara dan berbicara katanya. Kebebasan rakyat menilai sesuatu pandangan itu dengan adil dan saksama.

Namun hari ini, ramai yang berbicara demikian memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah yang bukan-bukan kepada sesiapa sahaja yang berbicara tidak senada dengan politik mereka. Mencerca mereka yang memberikan pendapat yang berbeza, sekalipun tidak dengan tujuan politik kepartian.

Ternyata, kebebasan intelektual dirampas dengan cara yang rakus. Ramai penyokong aliran politik yang menulis di maya internet dan sms seakan telah tidak lagi percaya dengan kemunculan kematian dan Hari Akhirat. Seakan mereka merasakan Allah gagal untuk mengesan insan-insan yang menfitnah orang lain di sebalik maya internet dan hantaran sms. Mereka bagaikan tidak akan dibicarakan pada Hari Kiamat, maka mereka memiliki lesen untuk mengutuk dan menfitnah sesiapa sahaja yang tidak senada politik dengan mereka.

Pandangan-pandangan ilmiah akan ditolak mentah-mentah jika itu tidak menguntungkan aliran politik yang diperjuangkan. Menolak sesuatu dengan alasan tidak mengapa, tetapi memaki hamun orang yang memberikan pendapat itu menunjukkan adanya kecenderungan membentuk sikap kuku besi dalam aliran politik. Jika gaya politik yang seperti ini berterusan, pemikiran-pemikiran matang dan di luar kotak kebiasaan akan terbunuh dalam masyarakat kita.

Pemimpin-pemimpin politik seakan dilindungi dari segala penilaian dan kritikan. Pandangan dan sikap buruk pemimpin atau parti mereka akan dijustifikasikan dalam berbagai bentuk. Sesiapa yang mengkritik maka dia akan dimangsakan. Lalu masyarakat akan buta warna antara pandangan ilmiah dan serangan yang bertujuan untuk bersaing di medan politik. Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka hanya akan bertanya apa pemimpin politik kita kata.

Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: “Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut.

Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah.

Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam Pilihanraya Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang. Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain.

Perbezaan politik itu telah menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak mereka perjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain? Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai lagi. Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk?

Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara. Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang menjerit-jerit di jalanraya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama.

Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan. Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibubapa membiarkan anak-anak gadis yang masih muda remaja datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas seakan tiada batasan agama. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihanraya.

Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana yang sedemikian rupa mengundang pahala dan redha Allah. Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”.(Surah al-Baqarah ayat 190).

Ada sahabat saya yang hendak datang dari jauh membantu calon pilihannya. Dia hubungi saya bertanya pendapat. Saya kata kepadanya: “jika saudara fikir kedatangan saudara itu termasuk dalam amalan soleh yang diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak, datanglah. Jika tidak, saudara telah membazirkan harta yang Allah berikan begitu banyak”.

Katanya: “ada ustaz bersama saya”. Kata saya: “Halal dan haram itu berdasarkan tunjuk ajar al-Quran dan al-Sunnah, bukan kerana adanya ustaz atau mufti. Berapa ramai ulama Ahlul Kitab yang menjual agamanya. Adakah tergamak untuk saudara yang melazimi solat dan berzikir itu menyertai perarakan dan perhimpunan yang kedengaran padanya perkataan yang kesat, mencemar hak orang lain, carutan dan makian. Tiada tasbih, tiada tahmid, tiada rasa kerendahan diri kepada Allah dalam bersaing untuk menanggung amanah yang dipersoalkan di akhirat kelak.

Inilah politik ala jahiliah yang makin parah. Jika ia berterusan, rosaklah moral dan kematangan generasi mendatang. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik mesti melalui jalan yang baik juga. Sesungguhnya daerah ini daerah fitnah, jika saudara mampu menjauhinya, itu adalah lebih baik. Melainkan jika saudara datang untuk melakukan amar ma’ruf dan nahy munkar dalam setiap yang Islam ajar. Jika datang untuk berdakwah kepada Islam yang sebenar tanpa kepentingan tertentu, silakan. Atau sekadar meninjau, bolehlah”.

Kegawatan politik ini sehingga kita tidak lagi dapat tahu siapa yang jujur, siapa pula yang berlakon jujur. Pelakon drama bukan sahaja berada di atas pentas filem tetapi juga atas pentas politik. Amanah menjadi taruhan. Bagaikan sabda Nabi s.a.w: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari jantung hatinya dan tinggal bagaikan kesan hitam yang kecil. Kemudian dia tidur sekejap, dicabut lagi amanah darinya sehingga tinggal bagaikan kesan melepuh seperti engkau memijak bara dengan kakimu lalu ia melecup. Engkau nampak ia membengkak, tapi dalamnya tiada apa-apa.

Maka manusia pun berurusan, hampir tiada seorang yang menunaikan amanah. Lalu dikatakan “oh dalam puak tersebut ada seorang yang amanah”. Lalu orang menyatakan kepadanya: “alangkah bijaknya dia, alangkah teguhnya dia, alangkah sabarnya dia” padahal tiada dalam jantung hatinya sebesar biji sawi pun daripada iman” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Demikianlah berbagai pelakon politik yang dipuja oleh sebahagian umat Islam di berbagai negara di planet Bumi ini, padahal mereka mungkin pengkhianat umat atau lebih slogan dari realitinya.

Penyakit hilang amanah ini bukan baru. Bahkan lebih daripada itu, sebelum ini pernah ada orang politik dalam negara ini secara berani menyebut tentang sikap tidak amanahnya. Bahkan mempertahankannya. Lupakah kita dulu ada orang yang membeli undi dalam partinya dan memberi amaran sesiapa yang mengambil wangnya tetapi tidak mengundinya akan dituntut di akhirat. Seakan dia akan terus menjadi VIP di sebuah negara kurap di akhirat, di mana hanya orang bawah sahaja yang disoalkan dan yang atas dilepaskan.

Barangkali dia juga fikir akhirat boleh dibeli dengan dolar dan sen seperti mereka yang sibuk menjual borang upah pahala menjelang bulan puasa nanti. Atau seperti yang membeli undi atau kerusi bagi mendapatkan kuasa. Baru kebelakangan ini, apabila rakyat bangkit, orang politik mula takut. Tetapi sudah agak terlambat. Kebencian telah memenuhi setiap ruang sehingga apa sahaja cakap kerajaan benar atau salah sudah enggan dipercayai lagi.

Maka, masyarakat menjadi porak peranda, setiap agenda negara ditafsirkan dengan berbagai prasangka. Semuanya kerana kerakusan dan keegoan yang terlampau yang pernah dilakukan. Setiap kebaikan dipadamkan. Apa sahaja niat yang baik disangka buruk, apatah lagi jika memang dengan niat yang buruk. Banyak pihak sudah mengambil kesempatan atas keadaan ini. Proses memulih keyakinan rakyat pula bagaikan tikus membaiki labu. Jika pemerintah kini cuba mendengar nasihat orang yang jujur, tentu keadaan ini dapat diubah.

Di pihak yang hendak mengganti pun, bukan sedikit masalah yang ada. Bukan untuk berburuk sangka, tetapi berhati-hati sebab ramai disangka amanah belum tentu amanah. Masa depan umat Islam kelihatannya bagaikan terumbang-ambing. Pendirian agama dan prinsipnya bagaikan boleh dijual beli demi kegilaan kepada kerusi dan kuasa. Pendapat agama diserasikan dengan harga ‘kerusi’ di pasaran politik. Ukuran mereka bukan lagi redha Allah, tetapi kehendak politik kepartian.

Maka akad nikah dalam masjid juga, ada unsur ajaran Kristian, tapi tiada siapa yang membantah walaupun sekian lama telah dibuat. Sebabnya, kerana tiada isu politik. Namun, apabila sumpah dalam masjid ada isu politik, ia dibantah walaupun baru sekali dibuat. Sama sahaja macam zakat dan riba. Haram tidak bayar zakat dikempen di sana sini. Haram riba, tidak pula sibuk jabatan-jabatan agama dan kerajaan menerangkannya.

Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi. Ini seperti yang disebut dalam kaedah fekah: “Memilih kemudaratan yang kurang apabila bertembung dua kemudaratan”. (lihat: al-Zarqa`: Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 201, Damsyik: Dar al-Qalam).

Hendaklah dinilai; siapakah yang paling kurang bahaya dibanding yang lain untuk masa depan umat dan negara?. Seperti mana seorang yang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut. Walaupun dia tidak rela untuk memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya.

Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini. Satu pemilihan mesti dilakukan. Jika tidak pun untuk memilih yang terbaik untuk umat Islam dan negara ini, sekurang-kurang memilih yang paling kurang mudarat antara semua. Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim itu membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredhaan Allah s.w.t. Undi ada nilai dosa dan pahala di sisi Allah.

Jika setelah difikir dan dinilai, masih tidak mampu, beristikharahlah kepada Allah, nescaya Allah membuka jalan yang paling diredhai dan paling selamat untuk umat di kawasan berkenaan dan negara ini amnya. Cuma diharapkan tiada orang yang mempolitikkan pula solat istikharah dengan menyatakan ia tidak sah atau sebaliknya atau tidak boleh dilakukan pada musim pilihanraya. Solat istikharah adalah ajaran Rasulullah s.a.w buat sesiapa yang ragu-ragu dalam sesuatu perkara. Barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah kepada Tuhan.
.