SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

25 August 2008

2 Exco Perak dihadap ke mahkamah hari ini

utusan_online

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Lima daripada enam orang termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terlibat kes rasuah mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, Perak akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Isnin ini.

Sehubungan itu, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) menegaskan, tidak timbul soal agensi itu perlu meminta maaf kepada kedua-dua ahli Exco berkenaan mahu pun kerajaan negeri Perak seperti dituntut oleh pihak terbabit semalam.

Dua ahli Exco yang akan didakwa Isnin ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 57, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, 52.

Tiga lagi yang akan turut didakwa ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kapten (B) Usaili Alias, 56; Juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, 46 dan Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 45.

Seorang ahli perniagaan, Fazirul Azim Ismail, 30, yang turut ditahan reman sebelum ini, bagaimanapun tidak didakwa oleh BPR.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang dihubungi Mingguan Malaysia hari ini berkata, keenam-enam mereka hanya dibebaskan dengan jaminan BPR selepas direman beberapa hari lalu, bukannya dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah.

Sehubungan itu, katanya, BPR mempunyai kuasa memanggil dan mendakwa mereka di mahkamah pada bila-bila masa.

Tambahnya, siasatan berhubung kes itu telah selesai manakala Bahagian Pendakwaan dan Perundangan BPR telah berpuas hati terdapat keterangan mencukupi untuk menuduh lima individu terbabit di mahkamah.

“Kita ada bukti yang kukuh untuk bawa mereka ke muka pengadilan, jadi tidak timbul isu soal minta maaf atau sebaliknya.

“Apabila orang lain kena terutama orang UMNO dia suka dan boleh terima, tapi apabila orang dia yang kena, kenapa tak boleh terima?

“Mereka kata nak hapuskan rasuah, tapi bila kita tangkap orang dia, suruh BPR dan media minta maaf pula... patut mereka kena bantu kita dan media,” katanya.

Semalam, kedua-dua ahli Exco Kerajaan Negeri Perak itu, Osman dan Jamaluddin memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan media untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai penglibatan mereka dalam kes rasuah tersebut kerana mendakwa ia berunsur fitnah.

Sekiranya gagal berbuat demikian, kedua-dua ahli Exco itu akan memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap BPR.

Hadir

Dalam kenyataan akhbar Ibu Pejabat BPR yang dikeluarkan di sini petang ini, BPR menjelaskan, agensi itu sedang menghubungi kesemua yang terbabit supaya hadir ke pejabat BPR Perak di Ipoh pada pagi 25 Ogos ini sebelum mereka dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan masing-masing.

Menjawab soalan sama ada pihak-pihak terbabit salah faham antara istilah bebas dengan jaminan BPR dan dibebaskan daripada pertuduhan oleh mahkamah, Ahmad Said berkata: “Kebanyakan mereka adalah peguam, sepatutnya mereka tahu dan biasa dengan istilah-istilah ini... kita bebaskan mereka dengan jaminan BPR, ini bermakna kita boleh panggil mereka bila-bila masa.

“Sekarang kita sudah ambil keputusan untuk tuduh mereka di mahkamah setelah meneliti segala keterangan dan bukti yang ada.”

Sementara itu, ditanya sama ada kedua-dua ahli Exco dan Kerajaan Negeri Perak tidak memahami mengenai prosedur tahanan reman dan pendakwaan oleh BPR, Ahmad Said memberitahu: “Mereka memang tak faham, kita akan siasat sesiapa saja kalau ada dakwaan berlakunya transaksi rasuah... tidak kiralah sesiapa pun.

“Kalau benar-benar ada keterangan dan bukti, kita akan dakwa mereka di mahkamah.”
.