SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

08 October 2008

Presiden Umno: Ku Li digesa sokong Najib

dipetik dari malaysiakini.com

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini mengajak ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya bersama-sama memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden Umno yang baru.

Beliau yang juga ketua menteri Melaka berkata, ini penting dalam usaha menguatkan parti dan bersama-sama untuk menghadapi cabaran yang lebih besar untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Mohd Ali menegaskan demikian ketika diminta mengulas pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan Umno Mac depan.

Abdullah juga mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri selepas Najib dipilih sebagai presiden Umno yang baru.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti Mac depan.

Calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan, timbalan presiden (20% atau 38 pencalonan), naib presiden (10% atau 19 pencalonan) dan Majlis Tertinggi (5% atau 10 pencalonan).

Mengulas lanjut, Mohd Ali yakin keputusan Abdullah akan dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mencapai kemenangan yang lebih besar pada masa depan."Saya berpendapat semua pemimpin Ummo di semua peringkat akan kembali bersama menyokong kepimpinan, iaitu presiden parti yang baru."Saya yakin ianya dapat dilakukan oleh Datuk Seri Najib," tambahnya.

Mohd Ali adalah antara tiga pemimpin Umno yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Dua orang lagi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sementara itu, Utusan melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai menyifatkan keputusan perdana menteri itu sebagai satu pengorbanan pemimpin berjiwa besar yang perlu diberikan pujian.

Keputusan Abdullah itu, katanya, perlu dihargai kerana sanggup mengorbankan kepentingan peribadi dengan mengundurkan diri lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

"Ini juga menunjukkan Abdullah akur dan sedia mendengar suara akar umbi bagi membolehkan penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak menjalankan tugas sebagai pemimpin parti dan kerajaan khususnya bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13,’’ katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau akan memberi reaksi berhubung pengumuman perdana menteri untuk tidak mempertahankan jawatannya, di Terengganu esok.

"Esok...esok,’" katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini.

Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Terengganu pagi esok.

.

Umno Perlu Majlis Ulama : Mufti Perlis

“Satu hakikat yang sukar untuk dinafikan oleh sesiapa pun adalah UMNO pada hari ini begitu tenat dengan berbagai penyakit yang tidak putus mengunjungi tubuh parti itu. Sebagai seorang rakyat dan pengkaji Islam, saya rasa beberapa cadangan perlu dikemukakan kepada UMNO, mudah-mudahan penyakitnya itu boleh diubati.

Cadangan ini perlu dibuat di atas sebab di tangan parti tersebut masih ada kuasa pemerintahan yang mana pergolakannya akan memberi kesan kepada sekelian rakyat. Berikutnya, kembalinya parti tersebut kepada landasan yang betul dapat menyelamat umat Islam yang berada dalamnya.

Saya dengan ini mencadangkan agar UMNO mengambil langkah berani dengan menubuh Majlis Ulama parti berkenaan. Namun, penubuhan itu bukan sekadar mengujud sebuah replika tanpa fungsi, sebaliknya hendaklah Majlis Ulama tersebut berperanan membimbing perjalanan parti selaras dengan kehendak Islam dalam segala aspek.

Tokoh-tokoh agamawan yang jujur, amanah dan progresif yang cintakan parti itu diberi kebebasan untuk membetulkan UMNO. Sekaligus kemelayuan UMNO itu akan kelihatan begitu terikat dengan prinsip-prinsip Islam secara syumul. Jika tidak, dengan pergolakan yang ada sekarang UMNO akan terus kehilangan ruh islami. Sebaliknya, ia akan menjadi padang perlumbaan kuasa yang sebahagian besar mereka bercita-cita mengaut kekayaan harta.

Dengan wujudnya Majlis Ulama yang progresif, diharapkan ahli-ahli UMNO sentiasa berada dalam disiplin dan diberi kesedaran tentang tanggungjawab kuasa adalah bagi melaksanakan amanah Allah dengan bijaksana dan jujur. Namun hendaklah dipastikan bahawa Majlis Ulama itu didokongi oleh mereka yang tidak takut melainkan Allah, bukan ulama fulus yang dalam sejarah UMNO telah banyak merosakkannya”.
.

Keputusan Abdullah satu pengorbanan besar: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno adalah satu pengorbanan yang besar dan harus dihormati.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata keputusan yang dibuat Abdullah itu mempamerkan bahawa beliau lebih mementingkan parti daripada diri sendiri.

“Kita dimaklumkan bahawa beliau (Abdullah) tidak berhasrat mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti Mac akan datang dan semua pemimpin komponen BN nampaknya memiliki perasaan berbelah bagi, tetapi menghormati perasaan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

“Ini (tugas Presiden) akan terus diambil oleh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai orang yang ditunjuk olehnya, dan selepas diambil kira banyak perkara yang berlaku, saya percaya ia dibuat atas kepentingan parti dan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita di Menara Datuk Onn, di sini hari ini.

Beliau menyifatkan keputusan Abdullah sebagai pengorbanan yang cukup besar kerana tindakan melepaskan kepemimpinan bukan sesuatu yang mudah.

“Saya kira beliau mengambil kira semua sudut iaitu mengambil kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi,” katanya mengenai keputusan Abdullah itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau akan mengumumkan Jumaat ini sama ada untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti nanti. Beliau berkata langkah itu adalah susulan daripada keputusan Abdullah hari ini untuk tidak mempertahankan jawatan presiden parti, dan wujudnya kekosongan jawatan Timbalan Presiden parti dengan Najib dijangka bertanding merebut jawatan Presiden parti pada pemilihan Umno nanti.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata akan mengumumkan pendiriannya bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Abdullah dan Najib menyatakan pendirian masing-masing.
.
- Bernama
.

Kenyataan media penuh Pak Lah terajui negara hingga Mac

KENYATAAN MEDIA DATUK SERI ABDULLAH HJ AHMAD BADAWI SELEPAS MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT DEWAN TERTINGGI BN DI KUALA LUMPUR DAN MENGUMUMKAN TIDAK PERTAHAN JAWATAN PRESIDEN

SAYA telah berkhidmat kepada negara lebih dari 45 tahun. Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang wakil rakyat.

Saya telah bertugas sebagai ahli pentadbiran sehingga, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memegang jawatan yang tertinggi di dalam kerajaan. Saya telah melihat Malaysia melangkah maju dari sebuah negara yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan disegani.

Walaupun prestasi pencapaian negara adalah membanggakan, saya percaya bahawa negara kita berada di sebuah persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan.

Sekiranya kita gagal membuat perubahan tersebut, segala pencapaian kita selama lebih 50 tahun mungkin tergadai. Dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah. Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Tempoh saya sebagai Presiden Umno akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya.

Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang. Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan:

- Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.

- Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.

- Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Kedua, saya telah begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata negara. Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu,saya telah menjelaskan tentang komitmen Kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial.

Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata negara.

Ketiga, saya ingin melihat kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni. Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis. Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua.

Bagi tujuan ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.

Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini.

Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama; melainkan peraduan dan keharmonian.

Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit.
Ini adalah masa untuk memperkukuhkan peraduan dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya.
..

Pak Lah tidak pertahan jawatan Presiden Umno, berundur Mac

sumber mstar online
.
ABDULLAH Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur. Di sebelah kanan beliau ialah timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.
.
Abdullah akan melepaskan kedua-dua jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Mac depan.
.
Dengan keputusan Abdullah, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pasti akan dicalonkan merebut jawatan Presiden.
.
Malam tadi, bekas Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu wartawan di Kuantan bahawa beliau bersedia untuk bertanding jawatan Presiden jika dicalonkan.

Persidangan perwakilan bahagian Umno bermula esok dan akan membuat pencalonan untuk jawatan-jawatan induk parti.

Pendirian Abdullah itu selari dengan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya.

Abdullah membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn petang tadi.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan membuat pengumuman lusa sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka sudah mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Juga termasuk dalam senarai mereka yang berminat ialah Ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Bekas Naib Presiden Tan Sri Muhammad Muhd. Taib akan mengadakan sidang akhbar esok untuk menyatakan pendirian beliau manakala seorang lagi bekas Naib Presiden, Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad mahu melihat keadaan sebelum menyatakan pendiriannya.

Abdullah mengetuai Umno sejak Oktobet 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Beliau, Presiden Umno yang keenam menang tanpa dicabar pada pemilihan 2004.

Abdullah merupakan Perdana Menteri kelima Malaysia.

Ketika membacakan teks kenyataan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN, Abdullah berkata: "Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

"Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah.

"Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua."

Jelas Abdullah, beliau mempunyai beberapa inisiatif yang perlu dilaksanakan sebelum berundur Mac depan.

Terdahulu, Menara Dato' Onn yang menempatkan Ibu Pejabat Umno menjadi tumpuan dengan kawasan pekarangan premis itu sudah sesak dengan orang ramai yang menanti pendirian Abdullah.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula pukul 3.45 petang dan berlangsung lebih sejam.

Penyokong-penyokong Abdullah berkumpul di pekarangan Menara Dato' Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej "Hormati Peralihan Kuasa, Elakkan Perpecahan Lagi" sambil melaungkan "Hidup Pak Lah".

Najib tiba pukul 3.25 petang.

Abdullah tiba 10 minit kemudian untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang disusuli dengan laungan "Hidup Pak Lah" dan "Pak Lah Presiden, Najib Timbalan".
.