SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

08 October 2008

Pak Lah tidak pertahan jawatan Presiden Umno, berundur Mac

sumber mstar online
.
ABDULLAH Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur. Di sebelah kanan beliau ialah timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.
.
Abdullah akan melepaskan kedua-dua jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Mac depan.
.
Dengan keputusan Abdullah, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pasti akan dicalonkan merebut jawatan Presiden.
.
Malam tadi, bekas Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu wartawan di Kuantan bahawa beliau bersedia untuk bertanding jawatan Presiden jika dicalonkan.

Persidangan perwakilan bahagian Umno bermula esok dan akan membuat pencalonan untuk jawatan-jawatan induk parti.

Pendirian Abdullah itu selari dengan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya.

Abdullah membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn petang tadi.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan membuat pengumuman lusa sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka sudah mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Juga termasuk dalam senarai mereka yang berminat ialah Ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Bekas Naib Presiden Tan Sri Muhammad Muhd. Taib akan mengadakan sidang akhbar esok untuk menyatakan pendirian beliau manakala seorang lagi bekas Naib Presiden, Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad mahu melihat keadaan sebelum menyatakan pendiriannya.

Abdullah mengetuai Umno sejak Oktobet 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Beliau, Presiden Umno yang keenam menang tanpa dicabar pada pemilihan 2004.

Abdullah merupakan Perdana Menteri kelima Malaysia.

Ketika membacakan teks kenyataan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN, Abdullah berkata: "Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

"Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah.

"Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua."

Jelas Abdullah, beliau mempunyai beberapa inisiatif yang perlu dilaksanakan sebelum berundur Mac depan.

Terdahulu, Menara Dato' Onn yang menempatkan Ibu Pejabat Umno menjadi tumpuan dengan kawasan pekarangan premis itu sudah sesak dengan orang ramai yang menanti pendirian Abdullah.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula pukul 3.45 petang dan berlangsung lebih sejam.

Penyokong-penyokong Abdullah berkumpul di pekarangan Menara Dato' Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej "Hormati Peralihan Kuasa, Elakkan Perpecahan Lagi" sambil melaungkan "Hidup Pak Lah".

Najib tiba pukul 3.25 petang.

Abdullah tiba 10 minit kemudian untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang disusuli dengan laungan "Hidup Pak Lah" dan "Pak Lah Presiden, Najib Timbalan".
.