SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

26 May 2008

Masih ada pemimpin UMNO mahukan Ezam kembali?

Khabar angin mengenai kemasukan Mantan Ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor kembali ke dalam UMNO kini menarik perhatian ramai. Sama ada spekulasi ini merupakan sesuatu realiti atau ianya fenomena “jual dulu, baru cari modal” (dalam pendekata Inggerisnya, short selling) sebagai taktik untuk mengembali keyakinan ahli-ahli UMNO kepada proses ‘kemasukan dan penerimaan’ Ezam kembali UMNO, merupakan sesuatu yang hanya masa menentukan.

Yang nyatanya, spekulasi kebalinya Ezam kepangkuan UMNO merupakan sesuatu yang “Lebih sudu dari kuah”. Sehinggakan MP BN untuk Pulai Dato’ NurJazlan Mohamed menyifatkan dalam Edge Daily “Episod Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘keluar bersyarat’ dari UMNO tidaklah sehebat ‘ancaman’ Ezam kembali kedalam UMNO dan mempunyai prospek sebagai Ketua Pemuda UMNO”.

Apabila disingkap kembali, siapa Ezam dan apa hebatnya gerangan ini? Mungkin ada di kalangan ahli Pemuda UMNO masih lagi ingat Mantan Pegawai Khas Mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda Petaling Jaya Selatan ini, yang suatu masa dulu ‘menyelengara’ sekian ramai pemimpin UMNO peringkat Cawangan dalam Bahagian lamanya dulu, dengan kadar bulanan untuk suatu yang tempoh yang cukup strategik.

Ataupun ada yang masih ingat ini merupakan personaliti yang dipenjarakan kerana gagal mempersembahkan kunun-kunun “enam kotak” penuh mengandungi pelbagai maklumat rahsia (bawah Akta Rahsia Rasmi) yang cukup kuat untuk memenjarakan beberapa Menteri Kabinet kerana kesalahan rasuah.

Persoalanya sekarang, kenapa “enam kotak” ini tidak pernah ditimbulkan lagi oleh sesiapa, termasuk mendesak Ezam mengotakan janji janjinya itu?

Apakah dikalangan pemimpin UMNO hari ini amat “Mudah lupa”? Atau sengaja ‘buat buat lupa’?

Rencana penganalisa politik The Star, Joceline Tan mengenai Ezam dan PKR

PAS bawa usul Pulau Batu Puteh ke Parlimen

KUALA LUMPUR, 26 Mei:

PAS akan mengusulkan isu Pulau Batu Puteh yang terlepas kepada Singapura di Dewan Rakyat (Live Parlimen), kata Timbalan Presidennya, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dijangka akan membawa usul berkenaan esok.
Usul berkenaan dikemukakan di bawah perkara 18 (1) dan surat pemberitahuan akan disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Amin Mulia hari ini.

Menurut Ustaz Nasharudin yang dipetik Harakahdaily, PAS kesal dengan kelemahan hujah yang disampaikan oleh pasukan pembela Malaysia menyebabkan Pulau Batu Puteh terpaksa diserahkan kepada Singapura.

Sambil menyifatkan kelemahan itu suatu yang tidak boleh diterima, beliau berkata PAS menyedari keputusan itu telah pun dibuat namun parti itu kesal dengan kelemahan yang sepatutnya tidak berlaku.

“Berbanding kumpulan pembelaan Singapura, bahan-bahan yang dibawa Malaysia tidak kuat untuk pertahankan tanah milik negara kita.

“Kita kesali tindakan itu tetapi perkara ini dah berlaku, dan kita minta penjelasan dibuat atas kelemahan itu kerana ia akan melibatkan nasib nelayan-nelayan Johor yang menangkap ikan di situ,” katanya.

Kesetiaan Kepada UMNO

Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad
  1. Saya kurang faham dakwaan pemimpin-pemimpin tertentu UMNO bahawa mengkritik atau mendesak Presiden UMNO berhenti bermakna tidak setia kepada UMNO.
  2. Tun Razak dan beberapa pemimpin UMNO yang lain telah tidak bersetuju dengan yang di Pertua UMNO Dato Onn Jaafar berkenaan dengan cadangannya untuk buka UMNO kepada semua kaum sehingga Dato Onn terpaksa undur.
  3. Apakah sikap dan perbuatan Tun Razak dan rakan-rakannya ketika itu bermakna mereka tidak sayang dan tidak setia kepada UMNO?
  4. Pada 1969-71 Tun Razak dan lain-lain pemimpin UMNO secara tidak langsung tidak bersetuju dengan kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tunku telah undur diri.
  5. Apakah Tun Razak kerana menolak kepimpinan Tunku, iaitu tidak setia kepada Tunku sebagai Presiden UMNO maka dianya tidak setia kepada parti?
  6. Pada tahun-tahun 1986-7 [Tun] Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan DATO SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI bertindak untuk menjatuhkan saya sebagai Presiden UMNO. Mereka jelas tidak setia kepada saya.
  7. Apakah saya tuduh mereka tidak setia kepada parti? Apakah mereka dilarang berjumpa ahli-ahli UMNO? Apakah mereka ditegah berkempen untuk memburukkan nama saya, tidak undi saya? Apakah tentangan terhadap saya dianggap oleh saya dan oleh mereka sebagai tidak setia ada parti?
  8. Sepatutnya setelah Dato Seri Abdullah kalah dia tidak diterima masuk UMNO Baru kerana tidak setia kepada saya.
  9. Tetapi dia diterima masuk dan dibenar bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi dan kemudian Naib Presiden.
  10. Jika saya pegang kepada tafsiran sesiapa yang tidak setia kepada saya tidak setia kepada parti, apakah akan saya lantik sekali lagi Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dan kemudian sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan seterusnya.
  11. Saya tak suruh ahli UMNO sokong apa yang saya lakukan.
  12. Tetapi fikirkanlah akan kewajaran dakwaan sesiapa yang tidak setia kepada Dato Seri Abdullah adalah tidak setia kepada parti UMNO.
  13. Apakah UMNO adalah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah UMNO?
  14. Jika Abdullah Ahmad Badawi dengan UMNO adalah sama dan satu, maka parti ini bukan lagi UMNO. Apa perlunya saya jadi ahli dalam parti Abdullah Ahmad Badawi?
  15. Hanya mereka yang berkepentingan sahaja yang menyebar dan mendokong konsep UMNO adalah Dato Seri Abdullah dan tanpa kesetiaan kepada Dato Seri Abdullah maka ahli tidak setia kepada UMNO.

Minda Pembaca: Ezam... Sepi semakin mencengkam

Oleh ilmuana.blogspot.com
Ahad, 25 Mei 2008

SEPERTI mana Anwar, Ezam juga adalah seorang tokoh yang saya kenal dari jauh, kedua-duanya mempunyai daya tarikan yang hampir sama sekalipun kelebihan harus diberikan kepada Anwar kerana pengalaman dan kerusi 'tok guru'nya kepada Ezam dalam kehidupan berpolitik.

Dalam usia 40-an,beliau dilihat lebih matang dan berani untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa Anwar, berbanding Azmin yang masih menumpang tuah dan karisma Anwar melalui PKR. Walau bagaimana pun faktor kecewa adalah jawapan yang paling dekat kepada persoalan mengapa beliau sanggup keluar meninggalkan PKR parti yang pernah beliau menjadi antara orang yang sama sama mengasaskannya dulu semasa Anwar masih di dalam penjara.

Kekecewaannya berasas kerana setelah berpenat lelah dengan segala macam pengorbanan, tiba-tiba ada rakan yang lebih dulu untuk menawarkan diri dalam merebut jawatan tertinggi, malah kekecewaannya bertambah apabila hasrat itu turut disokong oleh gurunya sendiri Anwar, sekaligus sokongan itu secara moralnya menghantar diri beliau dalam kelompok mereka yang kalah.

Saya juga pasti akan merasa kecewa andai berada pada kedudukan beliau pada waktu itu. GERAK hanyalah berperanan sebagai tempat untuk mengubat hati yang luka, mengisi kekosongan agar tidak terlalu dihambat oleh rasa yang kecewa.

Selepas pilihanraya 8 Mac, tsunami politik menyaksikan PKR dan pakatan pembangkang menang banyak kerusi termasuk menguasai lima negeri malah ada ura-ura mengatakan bakal mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan. Dalam tempoh kegembiraan rakan-rakan menyambut kemenangan besar itu di mana Ezam berada..? Sepi pasti makin mencengkam.. Sesuatu harus difikirkan segera agar tidak terlalu jauh ketinggalan di belakang, untuk tunduk kembali menumpang kasih dalam PKR pantang sekali, manakala PAS juga nanti lambat laun akan bersemuka juga dengan wajah-wajah yang melukakan melalui kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Lalu jalan yang paling selamat ialah UMNO yang sebenarnya tidak ada lagi seteru yang besar sebagaimana dulu sewaktu keluar bersama Anwar kerana tidak bersetuju dengan Mahathir. Selepas Mahathir, tiada lagi seteru di dalam UMNO, Pak Lah sendiri bukanlah menjadi satu halangan yang besar dalam perjuangan politiknya andai dinilai kembali kepada asas keluarnya beliau dari UMNO dulu.

Keluarnya Mahathir dari UMNO adalah satu saat yang paling sesuai dan relevan untuk Ezam kembali berjuang melalui UMNO sebagaimana dulu. Tambahan lagi dengan dasar terbaru Pak Lah yang bercadang untuk memulihkan sistem kehakiman dan badan pencegah rasuah amatlah bersesuaian dengan apa yang ingin diperjuangkannya dalam GERAK selama ini.

Malah prinsip Ezam itu tidak pernah tersasar dengan prinsip dan pegangan politik Anwar sendiri yang selalu mengungkapkan bahawa beliau tidak pernah memusuhi UMNO dan akar umbinya, bahkan tidak setuju dengan sikap beberapa kerat pemimpin tinggi yang rasuah.

Kepada Ezam..selamat meneruskan perjuangan.

Annuar Musa: Teguran Dr M pandangan peribadi bukan mewakili parti

KOTA BAHARU: Umno Kelantan berpendapat teguran Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah pandangan peribadi sebagai anggota parti dan bukan mewakili seluruh anggota Umno.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Annuar Musa berkata teguran bekas perdana menteri itu tidak menjadi ancaman kepada parti, sebaliknya memberi peluang semua pihak menilai buruk dan baiknya tindakan itu.

"Tun (Dr Mahathir) boleh bersuara untuk menegur manamana yang dianggap tidak betul bagi dirinya tetapi tidak boleh meminta orang lain berbuat demikian dan mengikut jejaknya keluar daripada parti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Annuar, yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, berkata sewajarnya Dr Mahathir tidak memilih jalan mudah dengan cara keluar daripada Umno kerana ia boleh memberi impak kepada parti.

"Bila Umno lemah dia pilih jalan sendiri dengan keluar parti. Adakah itu tanggungjawab sebagai ahli Umno?" soalnya.

Annuar berharap semua anggota parti berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan menyokong setiap usaha yang dilakukan bagi memulihkan parti.

"Saya ucapkan tahniah kepada Pak Lah sebab signal yang ditunjukkan oleh rakyat (pada pilihan raya umum lepas) menjadi kekuatan untuk beliau memperbaiki lagi Umno," katanya.

BERNAMA

SPR sudah sedia, pilihan raya tergempar?

PUTRAJAYA: Lebih 140,000 pekerja yang secara langsung terlibat dalam pilihan raya umum ke-12 telah dinasihatkan agar bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan kemungkinan pilihan raya umum tergempar. Sambil menegaskan tidak mahu membuat spekulasi mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, beliau telah meminta mereka supaya bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan.

Beberapa pemerhati politik, dengan mengambil kira senario politik semasa, tidak menolak kemungkinan pilihan raya boleh diadakan.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi, kami tidak boleh membuat spekulasi.
"Bagaimanapun kami bersedia untuk apa jua kemungkinan. SPR berupaya untuk menguruskan pilihan raya (tergempar jika diadakan) kerana kami mempunyai segara infrastruktur (untuk mengadakan pilihan raya)," kata Abdul Rashid.Pilihan raya tergempar merujuk kepada pilihan raya yang diadakan secara tiba-tiba tanpa sebarang penunjuk awal.

Abdul Rashid menyatakan demikian dalam temu bual khas dengan mStar Online di pejabatnya di sini. Malah, Abdul Rashid menjelaskan, ketika mesyuarat postmortem pilihan raya umum ke-12 sejak dua bulan yang lalu, beliau telah menyeru agar membuat persedian yang sepatutnya.

"Saya telah memaklumkan mereka dalam pertemuan sepanjang dua bulan yang lalu, sila membuat persediaan kerana pilihan raya (tergempar) boleh diadakan bila-bila masa jua. Ini nasihat yang saya berikan kepada mereka," katanya.

Katanya, beliau memberikan nasihat sedemikian kerana ia merupakan sebahagian daripada fungsi dan peranan suruhanjaya berkenaan.

"Saya tidak membuat spekulasi apa-apa, ia tidak baik untuk membuat spekulasi kerana ia hanya politik sahaja," katanya.

"Sebagai badan fungsian, kita perlu membuat persediaan. Ia merupakan tugas kami, tugas anggota panel Suruhanjaya untuk memberikan nasihat (agar bersedia)," katanya.

Pertengahan bulan ini, Timbalan Pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu, pilihan raya umum yang baru boleh diadakan pada bila-bila masa meskipun tempoh mandat kerajaan yang memerintah kurang daripada dua bulan. Undang-undang tidak menghalang daripada membubarkan Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri. Malah pada minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya tergempar ekoran tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti.

Sementara itu, Dr. Chandra Muzaffar, pemerhati politik tanah air dan hubungan antarabangsa berkata, kemungkinan untuk diadakan pilihan raya tergempar dalam waktu terdekat memang ada.

"Ia adalah satu kemungkinan kerana ada laporan yang mengatakan terdapat ahli-ahli Parlimen yang akan masuk parti lain (Pakatan Rakyat). Jika ini berlaku, kemungkinan Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), dari segi lunas perundangan boleh menghadap Yang di-Pertuan," katanya.

Jika ramai wakil rakyat yang melompat parti, Yang di-Pertuan Agong boleh mengundang parti yang ada majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru atau pun memberi perkenan bagi membubarkan Parlimen.

"Bagaimanapun saya tidak menganggap ia sebagai satu kemungkinan serius. Tetapi dalam politik kemungkinan-kemungkinan seumpama itu tidak boleh ditolak begitu sahaja," kata beliau yang juga Presiden Pergerakan Just.

Jika keadaan itu berlaku, jelas beliau, ia boleh menjadi detik bersejarah kerana tidak pernah berlaku di negara ini.

Prof. Madya Dr. Abdul Muati @ Zamri Ahmad, pensyarah komunikasi politik dari Universiti Putra Malaysia memberitahu, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

Bagaimanapun, jelas beliau, peluang untuk diadakan pilihan raya tergempar memang ada jika ada ahli Parlimen yang melompat parti.

Malah, keputusan mengadakan pilihan raya tergempar juga bergantung sama ada parti pemerintah boleh memperoleh lebih banyak kerusi daripada sekarang.

"Berdasarkan sentimen semasa, Umno dan BN kemungkinan tidak akan memperoleh lebih daripada kerusi semasa.

"Sentimen sokongan kepada Pakatan Rakyat masih kukuh. Jadi, jika BN berpendapat bahawa ia boleh mendapatkan lebih banyak kerusi, maka pilihan raya tergempar mungkin diadakan," katanya lagi.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN memperoleh 140 kerusi di Dewan Rakyat dan pembangkang pula 82.

Katanya, langkah mengadakan pilihan raya tergempar juga tidak begitu baik kepada ekonomi kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

"Ini kerana ia akan menggambarkan suasana negatif di kalangan pelabur. Oleh itu, jika benar-benar BN merasakan boleh menang banyak kerusi, ia akan mengadakan pilihan raya tergempar," katanya.

Bagaimanapun, Profesor Datuk Dr. Syed Arabi Idid yang berada di luar negara berkata, setakat ini tiada kemungkinan pilihan raya tergempar akan diadakan.

"Tiada nampak apa-apa sebab pilihan raya tergempar akan diadakan," kata beliau.

Tengku Razaleigh minta dicalon

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KOTA KINABALU 25 Mei - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta bahagian-bahagian UMNO di Sabah tidak takut untuk mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden parti pada pemilihan Disember ini.

Katanya, mereka perlu berani berbuat demikian jika mahukan perubahan.

''Janganlah takut untuk mencalonkan saya, jika rakyat Sabah mahukan perubahan, sekarang adalah masanya untuk menunjukkan keberanian.

"Sabah bukan lagi rakyat kelas kedua dan tidak kurang berbanding dengan rakyat di Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan dengan para pemimpin peringkat akar umbi UMNO Sabah pada satu majlis di sini malam tadi.

Pertemuan yang bermula pada pukul 8 malam itu, dihadiri kira-kira 1,000 ahli UMNO dari seluruh negeri ini dan Razaleigh dikatakan menggunakan majlis tersebut untuk meraih sokongan bertanding jawatan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, dalam pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu tiada ketua UMNO sama ada di peringkat bahagian atau negeri hadir.

Tengku Razaleigh berkata, banyak perubahan perlu dilakukan kepada rakyat di negeri ini termasuk dalam aspek pemberian royalti minyak, jawatan dalam kerajaan dan beberapa isu berkaitan dasar cukai.

Menjawab beberapa soalan pada sesi dialog, beliau berkata, pihak pengurusan tertinggi UMNO perlu membuat beberapa perubahan termasuk pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan calon pilihan raya yang sepatutnya mengikut kehendak akar umbi.

''Kita mahu mengubah agar UMNO lebih demokratik, kita mahu dihentikan amalan ketua perhubungan ditunjuk oleh orang di Kuala Lumpur tetapi ditentukan oleh bahagian-bahagian," ujar beliau.

Sementara itu, Tengku Razaleigh pada sidang akhbar selepas itu berjanji akan menunaikan permintaan rakyat Sabah jika terbukti mereka berani membawa pencalonan serta memberi kemenangan kepadanya merebut jawatan Presiden UMNO.

''Saya katakan jika rakyat Sabah berani buktikan dengan pencalonan saya, saya jamin boleh selesaikan banyak perkara, asalkan rakyat Sabah mahu menyelesaikannya.

''Saya janji, demi Allah apa yang saya cakap, saya sudah 71 tahun, kalau mati lepas itu masuk nerakalah sebab tidak tunai janji," katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin akan melepasi kuota pencalonan untuk bertanding, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui kerana UMNO cawangan belum bermesyuarat.
"Masih terlalu awal, cawangan belum bermesyuarat dan ini akan ditentukan selepas calon-calon UMNO bermesyuarat barulah mereka dapat menentukan siapa yang akan dicalonkan," ujarnya.
Beliau juga menegaskan, tidak akan merajuk atau membuat apa-apa tindakan di luar batasan jika tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi.

"Ini bukan untuk saya, saya cuma mahu menjadi calon untuk membawa perubahan tetapi kalau orang tidak mahu perubahan, saya tempah tiket ke Mekah buat umrah... buat apa saya nak sakit kepala," katanya.

Bangunkan P. Pisang - Bagi menjamin status kedaulatan pulau milik Malaysia

PONTIAN 25 Mei

Kerajaan perlu segera merangka program untuk membangunkan Pulau Pisang bagi menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau tersebut berkekalan, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut diminta mengkaji untuk mengambil alih pengurusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting kerana pulau tersebut mempunyai persamaan dari segi sejarah dengan Batu Putih.

Katanya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, ia dibimbangi boleh membawa kepada satu lagi tuntutan bertindih.

“Ini kerana Pulau Pisang kini menempatkan rumah api yang diuruskan oleh pemerintah Singapura seperti mana yang mereka jalankan ke atas Batu Putih sejak sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perkumpulan Wanita (WI) Johor, di sini, semalam.

Oleh itu katanya, Kerajaan Pusat atau negeri perlu merangka pembangunan di Pulau Pisang sebagai mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Batu Putih yang kini menjadi milik republik itu.

“Cukuplah Singapura mempunyai hak ke atas Batu Putih dan menyerahkan sepenuhnya operasi rumah api di Pulau Pisang kepada Kerajaan Malaysia,” tegasnya.

Menurut beliau, Pulau Pisang yang mengandungi empat buah pulau kecil dengan keluasan 178.4 hektar jauh lebih besar daripada Batu Putih yang saiznya hanya 0.1 hektar.
“Mengambil pengalaman pahit orang Johor apabila Batu Putih menjadi milik mutlak Singapura, Pulau Pisang tidak sewajarnya menerima nasib yang sama apabila berlaku tuntutan pada suatu masa nanti.

“Justeru Kerajaan Pusat dan negeri perlu mencari jalan untuk membangunkannya supaya tiada lagi sebarang dakwaan mengenai pemilikannya pada masa depan,” katanya.

Tambah Ahmad, sebagai pulau yang terletak di kawasan Parlimen Pontian, banyak perkara yang boleh dilakukan supaya pulau tersebut ‘diaktifkan’ dan tidak hanya berfungsi sebagai rumah api seperti sekarang.

“Antaranya ialah pembinaan jeti yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia bagi memudahkan pelawat mendarat pada waktu surut serta bekalan elektrik dan air bersih,” ujarnya.

Sekarang ini hanya terdapat satu jeti di pulau itu yang dikendalikan oleh pihak Singapura untuk tujuan pengurusan rumah api tersebut.

Selain itu kata Ahmad, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) boleh mencadangkan Pulau Pisang sebagai Taman Negara seperti Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Katanya, Pulau Pisang juga sesuai dijadikan tapak perkhemahan dengan syarat kemudahan awam seperti surau, tandas, bilik air dan sebagainya disediakan terlebih dahulu.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya amat pedih apabila keputusan ICJ mengenai Batu Putih banyak mengkhususkan kepada pemilikan rumah api.

“Bagi mengelakkan perkara seperti itu tidak berulang lagi, Pulau Pisang sewajarnya tidak dibiarkan tanpa ada satu program pembangunan yang menguntungkan Malaysia dan negeri Johor,” jelasnya.

Tambahnya, beliau juga telah melawat Pulau Pisang baru-baru ini dan sebelum itu, Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani pernah melawat pulau tersebut bersama-sama ketua-ketua jabatan peringkat daerah.

Katanya, segala aspek pembangunan yang dicadang akan dikaji supaya mesra alam dan kepada nelayan yang berteduh daripada cuaca buruk dan sebagainya.

Jelas beliau, Pulau Pisang juga boleh dijadikan destinasi pelancongan bagi Pontian dengan adanya aktiviti serta kegiatan yang ditawarkan kepada orang ramai.

“Tetapi yang penting ialah soal pemilikannya kepada Malaysia dan negeri Johor, walaupun rumah api itu diuruskan oleh Singapura disebabkan faktor sejarah lampau,” jelas Ahmad.


Pulau Batu Putih: Batuan Tengah harus dimanfaatkan

KITA HARUS MANFAATKAN KEDAULATAN KE ATAS BATUAN TENGAH

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada Singapura sungguh mengecewakan rakyat negara ini khususnya orang Johor. Apa tidaknya memandangkan Pulau itu sejak begitu lamanya adalah sebahgian daripada wilayah Johor. Dengan itu hilanglah sebahgian daripada kawasan strategik yang menjadi laluan penting untuk semua kapal berulang alek ke Cina dan Jepun dari Eropah, Timur Tengah dan India.

Kita hanya mendapat sagu hati apabila ICJ memutuskan bahawa Batuan Tengah yang terletak 0.96km ke selatan Pulau Batu Putih adalah hak milik Malaysia manakala Tubir Selatan kira-kira 4km ke Selatan PBP diputuskan kepunyaan negara yang menguasai perairan di mana ia berada. Keputusan ini sungguh memusykilkan dan mungkin akan melarutkan lagi hubungan antara kita dengan republik yang banyak dipengaruhi Yahudi itu.

Bila dianalisa keputusan itu secara menyeluruhnya dan dari hujah yang diberikan nyata sekali ICJ mengakui kawasan itu berada dalam taklukan Kesultanan Johor sejak dari awal lagi. Apa yang telah mendorongnya memutuskan PBP menjadi milik Singapura adalah surat dari Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada 21hb Sep 1953 yang menyatakan bahawa Kerajaan Johor tidak memiliki pulau itu sebagai jawapan kepada sepucuk surat dari Setiausaha Jajahan British di Singapura pada 12hb Jun tahun itu yang hendak tahu status pulau itu.

Sebagaimana dipersoalkan Mathaius Chang, seorang peguam berpengalaman luas mengenai undang-undang antarabangsa dan pernah bertugas sebagai setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam satu analisanya terhadap keputusan itu, kenapakah penjajah British di Singapura ketika itu telah bertanyakan status pulau itu kepada kerajaan Johor yang ketika itu adalah juga dibawah kuasa penjajah British. Surat itu diutuskan oleh Setiausaha Penjajah British di Singapura kepada Penasihat British kepada Kerajaan Johor.

Dengan itu semestinya jawapan yang akan diberikan akan memihak kepada kuasa penjajah. Chang menyatakan bahawa sungguh aneh surat itu tidak diutuskan kepada Sultan Johor tetapi sebaliknya kepada Penasihat British, ia itu pentadbiran penjajah British di Singapura bertanyakan status pemilikan sebuah wilayah Johor kepada wakil kuasa penjajah itu di Johor.

Agak pelik juga yang menjawabnya adalah Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor yang ketika itu adalah dibawah pengaruh Penjajah British. Chang menghujah bahawa kedaulatan pulau itu bukannya berada pada Kerajaan Johor yang dijajah tetapi pada Sultan. Sepatutnya surat demikian diutuskan kepada Sultan; dan Sultanlah yang harus menjawab bukannya wakil kerajaan kerana sebenarnya kedaulatan sesebuah wilayah Johor terletak di atas bahu Sultan.

Apa pun surat itu hanya menyatakan bahawa Kerajaan Johor tidak memiliki pulau itu. Ia tidak pula menyatakan status kedaulatannya sebagai sebahagian daripada tanah wilayah Johor di bawah nauangan Sultannya. Chang juga persoal kenapa nama pulau itu pun disebut sebagai Pedra Banca, nama yang diberikan penjajah, bukannya Pulau Batu Putih nama pulau itu yang sebenar sebagai tanah di bawah naungan Sultan.

Sebagaimana dihujahkan Malaysia pemilikan tidak semistinya menjurus kapada status kedaulatan sesuatu bidang tanah. Singpura hanya memiliki rumah api dan apa-apa bangunan lain yang dibinanya di atas pulau itu tetapi kedaulatan pulau tetap berada pada Johor. Ini adalah juga seperti Singapura misalnya mempunyai kuasa mentadbir kawasan dimana terdapat loji penapisan airnya di Kangkar Tebrau tetapi ia tidak mempunyai kedaulatan ke atas tanah itu.

Apa pun berikutan dengan keputusan terakhir ini Malaysia dan Johor harus meneliti kembali segala perjanjiannya yang membenarkan berbagai loji penapisan air Singapura di Johor. Jangan pula nantinya Singapura mahu menuntut semua kawasan-kawasan itu sebagi kepunyaannya.

Kita sesungguhnya harus berhati-hati dengan niat sebenar republik itu terhadap kita memandangkan betapa kuatnya ia dipengaruhi Yahudi Zionis. Keputusan ICJ bahawa Batuan Tengah, dua kelompok batu batan kira-kira 250 meter jarak antara keduanya, dan hampir satu km ke selatan PBP adalah kepunyaan Malaysia tidak menghairankan kerana kelompok itu sebenarnya adalah dalam satu kelompok pulau batu batan yang mengandungi PBP, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, kira-kira empat km di selatan PBP yang sememangnya menjadi sebahagian daripada wilayah dibawah taklukan kesultanan Johor sejak beberapa lamanya.

Oleh itu agak aneh juga ICJ memutuskan bahawa Tubir Seltan dipunyai oleh kerajaan yang menguasai perairan di situ. Sepatutnya kesemua kelompok pulau dan batu batan di situ menjadi sebahagian daripada wilayah Johor.

Bagaimana pun keputusan itu kini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Oleh itu kita juga terpaksa akur dengannya. Apa yang kita boleh buat adalah memantabkan kedudukan kita di Batuan Tengah. Jelas sekali Singapura juga kecewa dengan keputusan yang memberikan hak Batuan Tengah kepada Malaysia kerana ini telah menggagalkan usahanya untuk menambak keseluruhan kawasan itu untuk memantapkan lagi kedudukannya di situ.

Keputusan itu juga kini sudah membolehkan nelayan Johor kembali menangkap ikan di perairan sekitar Batuan Tengah tanpa memasuki ke PBP. Singapura juga kini tidak mempunyai hak lagi menghalau nelayan kita ke Batuan Tengah dan meronda di perairannya. Kapal-kapal perangnya hanya boleh meronda di sekeliling PBP saja dan tidak harus menceroboh ke perairan Batuan Tengah.

Bagi Malaysia pula memandangkan wujudnya dua kelompok batuan, kita sudah harus berfikir untuk menyambungkan kedua batuan sejarak 250 meter itu saja. Ini akan membesarkan batuan itu menjadi sebuah pulau yang lebih besar lagi dari PBP. Kita dengan itu juga sudah harus adakan perancangan untuk mendirikan berbagai bangunan kemudahan untuk memantau kawasan berdekatannya dan mungkin juga menyediakan kemudahan untuk kegiatan menyelam dan snorkeling.

Kini kita harus memanfaatkan keadaan sekitar kawasan perairan kita itu bagi menentukan kedaulatan kita ke atasnya tidak digugatkan oleh sesiapa.

Rejal Arbee 26 Mei 2008

Kerajaan Selangor haram program berkaitan Islam Hadhari

SHAH ALAM:

Kerajaan Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang mempunyai kaitan dengan Islam Hadhari mulai hari ini kerana tidak mahu konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikembangkan di negeri itu.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, berkata selaras dengan arahan itu, semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari. Beliau memberi alasan konsep Islam Hadhari tidak diperlukan kerana ajaran Islam yang diamalkan umat Islam di negara ini sudah lengkap dan menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan manusia sejagat.

"Kita tidak mahu konsep Islam Hadhari dikembangkan di negeri ini. Ini kerana, ajaran Islam yang kita amalkan sudah lengkap dan ajaran inilah yang kita mahu sandarkan untuk memerintah Selangor," katanya pada sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.


Pesuruhjaya Pas Selangor itu juga menafikan pemimpin Pas di negeri itu pernah berjanji untuk menutup semua pusat hiburan dan kilang arak sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri. Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin Pas, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.

"Jika ada yang mendakwa saya dan ahli Pas lain yang membuat janji ini, sila tunjukkan bukti, " katanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, Pas yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentadbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.


"Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni. "Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa," katanya.

Hassan mendakwa, pembinaan Jalan Sekinchan-Sabak Bernam adalah contoh pemberian tender secara runding terus yang diakui oleh Jabatan Audit Negara sebagai projek yang dibina tanpa mematuhi peraturan Jabatan Kerja Raya (JKR). Ketika itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) bangkit mencelah dan memberitahu kes itu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).


"Projek ini ditentukan oleh JKR. Apa-apa tindakan pun mestilah kepada JKR. Bagi saya mudah saja, apa-apa cadangan yang dibuat ikut peraturan saya akan luluskan. "Bagi kes Balkis, misalnya, jika ada salah guna kuasa atau wang sila buat laporan," katanya.

Kenderaan asing dilarang beli minyak mulai Jumaat

KUALA LUMPUR:
Mulai Jumaat ini, kenderaan asing tidak lagi dibenar membeli minyak di Malaysia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, di Dewan Rakyat, hari ini.

Malaysia Perlu Buat Persediaan Untuk Laksana Keputusan ICJ Dengan Segera - PM

Malaysia perlu membuat segala persediaan untuk memastikan apa jua yang perlu dilaksanakan ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatin (South Ledge) dengan segera, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga perlu dengan cepat menentukan garis sempadan Terumbu Karang Selatin di dalam kawasan perairan Malaysia.

“Dengan itu, menentukan South Ledge benar-benar di kawasan perairan kita, maka tentulah nanti pulau itu akan dianggap sebagai pulau milik Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei Mengenai Masa Depan Asia ke-14.

Apabila ditanya sama ada Malaysia yakin akan memiliki Terumbu Karang itu, Perdana Menteri berkata: “Apa yang saya dimaklumkan, South Ledge bukan jauh sangat dari Middle Rocks. Hanya 1.7 kilometer. Ia berada di dalam kawasan perairan kita.”

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan ICJ di The Hague yang menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Terumbu Karang Tengah, manakala Terumbu Karang Selatan pula adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Abdullah yang sedih dengan keputusan ICJ yang menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kerajaan serta rakyat Malaysia kepada semua pegawai dan pakar Malaysia yang bertungkus lumus membuat persediaan untuk membawa kes itu ke mahkamah serta terlibat dalam perbicaraan yang memakan masa begitu lama.

“Saya tahu mereka telah berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Abdullah turut menasihati rakyat supaya memastikan mengelak keadaan yang boleh membawa kepada apa-apa perbalahan atau situasi yang boleh menimbulkan kesusahan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata Malaysia memahami bahawa keputusan ICJ yang dibuat itu cukup jelas berdasarkan fakta-fakta.

“Menang pun tak menang semua, kalah pun tak kalah semua,” katanya.

Beliau berkata: ” Walaupun kita berasa sedih kerana tidak berjaya, kita mesti sedar bahawa keputusan itu adalah keputusan yang dibuat oleh mahkamah antarabangsa. Keadilan mahkamah itu kita perlu akui.”

“Kita perlu bersyukur Middle Rocks adalah milik kita. Yang perlu ditentukan ialah South Ledge,” katanya.

Beliau berharap pegawai dari kedua-dua negara serta pegawai pemetaan dapat menentukannya mengikut undang-undang yang ada.

Di peringkat menteri, Abdullah berkata beliau tidak perlu berjumpa dengan pemimpin Singapura mengenai kes ini, “tetapi Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim akan berjumpa rakan sejawatannya di Singapura untuk menentukan tindakan yang akan diambil oleh kedua-dua pihak.”

Abdullah berkata beliau akan menghadap Sultan Johor mengenai keputusan ini, dan juga Dr Rais, yang akan menerangkan dengan lebih terperinci mengenainya.

– BERNAMA

'Keputusan ICJ cetus pertindihan hak'

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda yang memberikan Singapura hak ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah menjadi milik Malaysia, mungkin boleh mencetuskan isu pertindihan hak kawasan antara kedua-dua negara. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata isu pertindihan hak kawasan antara Malaysia dan Singapura itu timbul berikutan kedudukan Pulau Batu Puteh dan Pulau Batuan Tengah yang terlalu hampir antara satu sama lain.

"Agak menarik keputusan ICJ kerana kedua-dua pulau ini berdekatan tetapi kedaulatan berlainan," katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai rekaan landskap Massif Design di Taman Universiti, Skudai, di sini, semalam.

ICJ melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura terhadap hak kedaulatan Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan Pulau Batuan Tengah. Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke Timur Singapura. Jarak antara Batuan Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 km, manakala Terumbu Karang Selatan dengan Pulau Batu Puteh kira-kira 4 km. Berikutan itu, kata Ghani, Johor menyerahkan kepada Kerajaan Pusat untuk membuat keputusan seterusnya terhadap pulau Batuan Tengah selepas sah ia menjadi hak Malaysia.

Katanya, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan apa juga bentuk pembangunan yang mungkin boleh dijalankan di pulau berhampiran Teluk Ramunia, Pengerang itu. Ghani berkata, Johor berpendapat Malaysia dan Singapura perlu menunggu rumusan terperinci daripada Jawatankuasa Teknikal sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua pulau yang sah menjadi hak masing-masing itu bagi mengelak pertindihan hak kewilayahan.

"Saya percaya jawatankuasa itu akan membuat pertimbangan terbaik dan mengambil kira semua aspek, terutama berkaitan hak dan kawasan perairan serta kesannya terhadap subjek lain termasuk kegiatan nelayan di Pengerang.

"Johor menerima keputusan ICJ dengan hati terbuka dan yang jelas ialah kedaulatan Johor khususnya daripada segi sejarah adalah tepat dan benar terhadap semua pulau yang ada di situ dan Singapura sendiri. Daripada aspek sejarah, kedaulatan Johor diterima ICJ," katanya.

Selain Batu Puteh, beliau berkata setakat ini tidak ada lagi pulau di negeri ini yang mempunyai masalah berbangkit, terutama berkaitan tuntutan hak milik dan kedaulatan membabitkan Johor dengan negara lain. Katanya, Pulau Pisang di Pontian tidak menghadapi masalah tuntutan hak dari negara lain kerana jelas pulau itu adalah hak milik Johor berdasarkan kepada pendaftaran tanah yang dilakukan di negeri ini.

"Kita tidak menghadapi masalah pertikaian hak dan kedaulatan berhubung Pulau Pisang kerana ia adalah sah milik Johor dan tidak boleh dituntut negara lain," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia berkata, proses menentukan garis sempadan baru antara kedua-dua negara mungkin mengambil sedikit masa. "Sebelum ini Pulau Batu Puteh adalah garis sempadan yang memisahkan negara kita dengan negara jiran itu dan kini ia sudah pasti berubah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, jurucakap itu mengakui tindakan segera perlu diambil bagi menentukan sempadan baru maritim negara.

"Saya percaya, ketika ini sudah pasti ramai nelayan yang tidak akan pergi ke kawasan sana (Pulau Batu Puteh dan Batuan Tengah) kerana bimbang kemungkinan tersilap masuk ke perairan negara jiran itu," katanya.

Empat syarat pakai gelang bermagnet

Gelang bermagnet yang semakin popular dipakai lelaki dengan niat membaiki kesihatan harus memenuhi empat syarat, kata ketua penolong mufti Perak, Zamri Hashim.

Syarat-syarat tersebut:
  1. Pemakainya tidak beriktikad (yakin di dalam hati) bahawa gelang itu memberi kesan kesembuhan kerana yang memberi kesan itu hanyalah Allah
  2. Pemakainya tidak berniat memakainya kerana menyerupai wanita dan bukan untuk bermegah-megah.
  3. Gelang mesti terbukti mempunyai kesan saintifik dan secara klinikal mempunyai pengaruh terhadap pengaliran darah di dalam tubuh seperti didakwa oleh pakar yang berwibawa.
  4. Jika pemakaian gelang itu menimbulkan fitnah terhadap maruah si pemakai, lebih baik lelaki itu memakai baju berlengan panjang yang dapat menyembunyikan gelang berkenaan.

Menurut Bernama, pandangan ketua penolong mufti diterbitkan oleh Jabatan Mufti Perak.

Makluman

Saya lambat sedikit update blog kerana terpaksa berada di Kuala Lumpur dari Khamis hingga Ahad lepas kerana urusan Jabatan. Insyaallah saya akan update date dari masa ke masa.