SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

11 July 2008

Hadi akui rundingan PAS-Umno, ulas impak isu dakwaan meliwat Anwar

PETALING JAYA: Dalam temu bual yang dilihat sebagai pendirian terbuka dan tegas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil mengakui PAS telah mengadakan perbincangan dengan Umno bagi menerokai kerjasama masa depan menegaskan, parti itu "berhak" berbuat demikian sambil menegaskan peranan PAS yang telah membawa kejayaan Pakatan Rakyat tidak harus "diketepikan" begitu sahaja.

Jelas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka memang telah diadakan selaras dengan sikap keterbukaan parti itu.Mengenai peranan PAS, kata beliau, "orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan."

"PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya umum ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. "Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya," kata beliau dalam temu bual dengan akhbar parti itu, Harakah dalam keluaran terbaru yang mula dijual semalam.

Mengenai perundingan dengan mana-mana parti politik, Abdul Hadi berkata, pihaknya juga mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Bukan dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan.

"Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya," kata beliau yang merujuk kepada kenyataan pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa pihaknya sudah mula mengadakan rundingan dengan wakil rakyat Barisan Nasional mengenai kemungkinan melompat parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang bertanya mengapa PAS tidak boleh mengadakan pertemuan dengan Umno.

"Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. "Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. "Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno," katanya lagi.

Dalam temu bual itu, Abdul Hadi juga menegaskan PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat, yang dibentuk selepas kemenangan barisan pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu."Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri.

"Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat buka n lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri," jelas beliau. Mengenai isu dakwaan meliwat dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini memainkan peranan sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, beliau berkata, pihaknya mahu isu berkenaan diselesaikan di mahkamah. Ia harus dibawa ke Mahkamah Syariah jika tidak boleh diselesaikan di mahkamah sivil, katanya.

"Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah," katanya lagi.


KANDUNGAN ulasan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan dengan Harakah pada 8 Julai lalu.

HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad. Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah? Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya. Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza. Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting. Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar atau pun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.

Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi.

.

Altantuya: Najib bersumpah depan pimpinan UMNO seluruh negara

"Wallahi Wabilahi Watallahi’ ... Begitulah lafaz sumpah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menafikan beliau pernah bertemu dan mengenali wanita Mongolia Altantuya Shariibu.

Beliau melafazkannya di depan Ketua UMNO Bahagian, Exco Pemuda, Wanita dan Puteri dari 191 bahagian UMNO di seluruh negara yang menghadiri taklimat khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra,Kuala Lumpur petang Khamis. Beberapa orang yang menghadiri taklimat itu memberitahu Agendadaily bahawa Najib melafazkannya secara spontan semasa giliran beliau berucap. Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan amanatnya.

Ia terus sambut dengan tepukan gemuruh pada hadirin. Dalam taklimat berkenaan Abdullah telah memberi penerangan tentang proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib. Mereka yang ditemui selepas taklimat berkenaan berkata lafaz sumpah Najib itu menghilangkan langsung keraguan terhadap berbagai fitnah dan dakwaan yang cuba mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dengan Altantuya. Ini termasuk akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramanian semasa sidang akhbar bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu yang kemudiannya ditarik balik pada pagi Jumaat.

“Apa lagi yang perlu kita ragu…kalau tidak …tak mungkin Datuk Seri Najib berani bersumpah begitu,” kata salah seorang dari mereka.

Selasa lalu semasa ditemui Agendadaily di bangunan Parlimen Najib berkata beliau telah melafazkan "demi Allah" tidak pernah jumpa Altantuya dan menyifatkan itu adalah pengakuan terbuka bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya. Beliau kata demikian ketika ditanya desakan beberapa pihak agar beliau bersumpah bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Semasa berucap pada satu majlis di Pekan Sabtu lalu Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak gentar atau takut untuk menghadapi fitnah terhadap dirinya kerana yakin kebenaran akan terbukti kelak. Katanya hanya Allah yang akan menentukan kebenarannya kelak terhadap segala fitnah yang dilemparkan kepadanya.
.

Ada pihak berpendapat tempoh peralihan terlalu lama - Muhyiddin

Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya. Oleh yang demikian, katanya, ada anggota parti yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya menurut laporan Bernama dari Tokyo. Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka. Beliau berkata sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti. Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.

"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan mengenai jawatan untuk ditandingi, Muhyiddin berkata: "Kita perlu lihat (reaksi ahli) keputusan ini (Majlis Tertinggi) dulu. Keputusan saya tidak penting."
.

'Saya sekarang Dr Muhammad Leo….'

"Saya sekarang Muhammad Leo Toyad…saya rasa ada kedamaian dalam Islam…" itulah jawapan spontan bekas Menteri Pelancongan ketika ditanya bagaimana beliau tertarik memeluk agama Islam.

Perihal Datuk Seri Dr Muhammad Leo Toyad Abdullah memeluk Islam bukannya perkara yang hendak diperbesarkan tetapi ceritanya yang ingin bersama Islam sejak berada dalam kabinet itu tidak pernah diberitahu pada sesiapa pun.

Beliau hanya memendam rasa dan keinginannya sejak sekian lama sehinggalah pada tarikh 17 Jun 2006 Dr. Muhammad Leo mengambil keputusan untuk di'Islam'kan oleh Iman Besar Negeri Sarawak.

Pada mulanya beliau yang masih lagi panggil oleh rakan-rakan sebagai Dr. Leo agak segan menceritakan hal itu kerana menganggap terlalu peribadi, namun akhirnya menjawab juga beberapa soalan.

Dr. Leo, sebelum ini beragama Roman Khatolik mempunyai seorang isteri dan empat orang anak yang sudah menjangkau umur lebih 18 tahun.

"Mereka tidak bersama saya…" jawab kepada Agendadaily semasa berbual dengannya di bangunan Parlimen ketika ditanya samada isteri dan anak-anaknya ikut sertai Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P212 Mukah mengakui tertarik dengan Islam kerana ramai dikalangan ahli keluarganya telah memeluk Islam.

Sebagai seorang baru dan tidak tahu tentang Islam, Dr. Leo kini sedang mendalami pengajian Al-Quran dan hukum hakam Islam melalui seorang ustaz.

"Saya juga seperti biasa menunaikan solat di masjid dan surau serta mengikuti pengajian di majlis ilmu yang adakan di masjid-masjid," katanya.

Disamping itu, Dr. Leo juga membaca buku-buku mengenai Islam, membaca sebutan ayat-ayat Al-Quran dengan betul dan turut menggunakan tape dan CD.

Dr. Leo dilahirkan di Mukah, Sarawak pada 11 April 1950, mendapat pendidikan awal di SRB St. Patrick Mukah pada tahun 1957 kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah di SMB St. Patrick Mukah pada tahun 1963, SMK Three Rivers Mukah pada 1968 dan SMK Tanjong Lobang Miri pada 1969.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri pada tahun 1976.

Pada tahun 1977 Dr. Leo telah memulakan tugas sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Jabatan Kesihatan Sarawak dan sekali lagi kembali ke UM kemudiannya berjaya menerima Ijazah Sarjana Kesihatan Awam pada tahun 1981.

Bergiat aktif dalam politik setelah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah pada tahun1980.

Kini sebagai Ketua PBB Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah, Ketua Bahagian Limbang dan Naib Presiden PBB Pusat.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial. Beliau kini adalah Pengerusi Saberkas Sarawak sejak 1998, Penaung dan ahli seumur hidup Persatuan Melanau Miri sejak tahun 1989, Presiden Persekutuan Melanau Sarawak semenjak tahun 2004 dan Penasihat Persatuan Bolasepak Bahagian Mukah sejak tahun 1998.

Pada tahun1982, Dr. Leo telah meninggalkan tugasnya di Jabatan Kesihatan Sarawak untuk bertanding mewakili Barisan Nasional di kerusi Parlimen Mukah dan memenangi kerusi tersebut buat kali pertamanya.

Dr. Leo juga terus berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen kawasan Mukah untuk tahun-tahun pilihan raya 1986, 1990, 1995, 2004 dan 2008.

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Luar Negeri semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menterinya.

.

Pakatan Rakyat fail usul tidak percaya PM, dibentang Isnin

DR. WAN Azizah Wan Ismail yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diserahkan kepada Yang Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen petang tadi. Mengiringi beliau seramai 14 anggota Parlimen dari pembangkang. Sekiranya diterima, usul tersebut kemungkinan akan dibincangkan pada Isnin depan apabila sesi Parlimen bersambung semula selepas bercuti tiga hari.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat memfailkan di Parlimen usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini dan ia dijangka kemungkinan dibahaskan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Jika dibenarkan untukn perbahasan ia akan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada waktu usul itu difailkan di Pejabat Speaker Dewan Rakyat pada pukul 3.45 petang ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuaratnya di Menara Dato' Onn di sini.

Abdullah yang ditemui wartawan memberitahu, Dr. Wan Azizah bebas membawa usul apa pun dan ia tidak akan menjejaskan peralihan kuasa berkenaan.

Pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Azizah berkata, pihaknya membawa usul berkenaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang semakin teruk dan perkembangan politik tanah air.

"Pakatan Rakyat ambil langkah ini sebagai permulaan kepada perubahan dan tindakan ini dalam peraturan Parlimen. Tindakan seperti ini akan berterusan selagi negara berkeadaan begini dan takyat menderita.

"Langkah ini menunjukkan mereka bertindak dan menyuarakan suara rakyat," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainya selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Beliau mempunyai hak untuk menolak usul berkenaan.

Kata beliau, usul itu bukan untuk diundi tetapi jika dibenarkan, ia hanya akan dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat dan tiada pengundian diadakan.

Usul itu berbunyi: "Bahawa dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan."

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan pula menjelaskan, pilihan raya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik yang mengakibatkan lima negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, sekali gus menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN).

Kemenangan tipis BN ini telah dicapai melalui manipulasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pembohongan yang tidak bermaruah, tambah kenyataan itu.

"Harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas pilihan raya umum walaupun Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan manifesto BN telah berjanji tidak akan menaikannya.

"Negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat juga dianaktirikan menunjukkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme.

"Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggungjawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara," kata kenyataan itu lagi.

Ia menambah, "perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan Kabinet beliau."

"Rakyat kini dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan rakyat, harga bahan makanan dan keperluan asas rakyat yang semakin mahal, keyakinan rakyat yang semakin terhakis terhadap institusi polis, peguam negara, badan kehakiman, peningkatan kadar jenayah dan gejala rasuah yang semakin membarah," katanya.

Azizah memasuki pejabat Speaker pada pukul 3.35 petang tadi dengan diiringi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

Perkembangan membawa usul itu merupakan yang kedua dalam tempoh sebulan ini.

Tiga minggu lalu Parti Maju Sabah (SAPP) - parti komponen Barisan Nasional (BN) melahirkan pendirian tidak percaya kepimpinan Abdullah dan memutuskan untuk membawa usul yang serupa pada 23 Jun lalu apabila Dewan Rakyat mula bersidang selepas berehat selama tiga minggu.

Bagaimanapun usul berkenaan tidak menjadi kenyataan dan semalam SAPP mengulangi bahawa usul sedemikian akan diteruskan kelak.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat sama ada hendak menerima usul yang dibawa oleh Pakatan Rakyat hari ini.

"Saya tidak faham kenapa pembangkang bertindak demikian. Tumpuan beliau (Dr. Azizah) ialah mahu mendapatkan undi tidak percaya, bukan mahu menyampaikan suara rakyat.

"Jika alasan beliau mahu menyampaikan suara rakyat, wakil rakyat sedia ada di setiap kawasan, sebab itu kami semua berada di Parlimen untuk menjelaskan kepada rakyat," katanya beliau ketika ditemui bangunan Parlimen hari ini.

.

Najib terharu dinamakan sebagai pengganti Abdullah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib berkata, beliau sangat terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepada beliau oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih kuasa menerajui Umno dan Barisan Nasional.

"Bukan mudah untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, tetapi demi menghormati pandangan umum beliau (Abdullah) sanggup buat begitu," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan taklimat khas bersama Presiden dan Timbalan Presiden Umno di sini hari ini.

Abdullah sebelum itu mengumumkan Najib sebagai pilihan beliau untuk mengambil alih jawatan presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional apabila beliau berundur pada Jun 2010.

Najib menjadi timbalan kepada Abdullah sejak Oktober 2003.

Najib berkata, mulai hari ini, proses itu akan bermula secara terusun dan teratur mengikut tradisi Umno dan ini akan memastikan proses peralihan kuasa dibuat tanpa berlaku sesuatu yang boleh meninggalkan kesan negatif kepada parti.

"Saya tetap menganggap dia sebagai ketua saya. Hubungan kami sangat akrab dan saya hendak melihat hubungan ini berterusan selepas peralihan kuasa itu," katanya.

Abdullah hari ini mengumumkan proses peralihan kuasa untuk menyerahkan keduadua jawatan tertinggi parti itu kepada Najib pada pertengahan 2010.

Najib berkata hubungannya dengan Abdullah amat akrab selama ini dan berharap keakraban itu akan berterusan dan berkekalan kerana Umno memerlukan sokongan padu daripada pemimpin dulu dan sekarang serta anggotanya.

"Proses kepimpinan boleh dibuat dengan cara baik tanpa membelakangkan tradisi atau sesuatu yang membawa kepada imej negatif kepada Umno atau pengundi," katanya.Beliau berkata dalam tempoh peralihan kuasa itu beliau tetap menganggap Abdullah sebagai ketuanya.

"Dalam tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri akan tentukan peranan dan perancangan, saya tetap menganggap beliau sebagai ketua saya," katanya.

Najib turut mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini dan mengharapkan sokongan padu daripada anggota parti.

"Saya minta supaya sokongan padu diberikan kepada pencalonan Perdana Menteri sebagai presiden parti dan saya rayu supaya pelan peralihan ini diterima parti kerana suara parti yang akan menentukan," katanya.
.