SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

06 July 2008

Anwar enggan jawab cadangan bersumpah

BUTTERWORTH 5 Julai — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini enggan menjawab soalan media berkenaan cabaran supaya beliau bersumpah dengan menjunjung Al-Quran berhubung tuduhan liwat terhadapnya.

Ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah perdana di sini malam ini, beliau yang dikawal ketat oleh beberapa penyokongnya terus berlalu tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Baru-baru ini, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Anwar dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya ’bermubahalah’ atau bersumpah.

Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: “Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya.”

Terdahulu, ketika memulakan ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau sudah jemu bercakap dan mengulas berhubung tuduhan liwat terhadapnya.

“Seminggu yang lepas, kita telah dikejutkan dengan kisah itu (tuduhan liwat) dan saya tak nak, menyampah dan meluat dengan cerita kotor itu. Saya pernah dituduh dengan tuduhan yang sama dulu. Tuduhan daripada mereka yang kecewa dengan politik,” katanya.

- Bernama

.

Najib: Allah akan tentukan kebenarannya

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak gentar atau takut untuk menghadapi fitnah terhadap dirinya kerana yakin kebenaran akan terbukti kelak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hanya Allah yang akan menentukan kebenarannya kelak terhadap segala fitnah yang dilemparkan kepadanya.

"Allah yang akan menentukan yang benar, Allah yang akan membalas di Akhirat, silapsilap di dunia pun dah dapat balasannya nanti," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Berkelompok Tahunan Umno bahagian Pekan di sini, hari ini.

"Saya tidak gentar, tidak takut untuk hadapi fitnah, kebenaran akan terbukti, saya dan isteri (Datin Seri Rosmah Mansor) akan hadapi segala-galanya dan yakin kebenaran akan timbul," katanya.

"Sejarah sendiri akan menilai atau menghukum apa yang kita buat (jika kita bersalah)," katanya.
Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada laporan mengenai kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Kepada Umno anggota bahagian Pekan, Najib secara berseloroh berkata: "Janganlah buat saya rungsing hati dan kepala untuk serabut fikir hal di (bahagian Umno) Pekan."

"Dah banyak cabaran sehari dua ini, jangan ada kerenah pula di Pekan ini," kata Najib sambil tersenyum.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut berharap mesyuarat Umno peringkat cawangan bahagian itu pada Julai ini akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Kita bawalah nilai baru, semangat baru, terus berjuang dengan semangat baru dan jadiakan Umno parti yang segar, dinamik, anggun dan menarik kepada masyarakat," katanya.

Sebanyak 139 cawangan Umno di Pekan akan mula bermesyuarat pada 17 Julai ini dan bahagian Pekan merupakan bahagian Umno paling ramai keanggotaannya di Pahang iaitu seramai 32,087 ahli.

Najib berkata kemenangan besar Parlimen Pekan pada pilihan raya umum lepas perlu dipertahankan bagi memastikan Pekan dan Pahang terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional.

Sementara itu Timbalan Ketua Umno Bahagaian Pekan Datuk Ishak Muhamad berkata Umno Pekan akan terus berdiri teguh di bawah kepimpinan Najib bagi menghadapi sebarang fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang terhadapnya.

-BERNAMA
.

Tubuh suruhanjaya bebas siasat dakwaan liwat - Isa

SEREMBAN: Kerajaan disaran agar menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat semua aspek yang melibatkan isu dakwaan liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membuat saranan itu, bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad berpendapat rakyat kini makin keliru dengan tipu daya dan helah politik yang digunakan untuk menutup fakta yang berlaku.

Malah, kata beliau, berdasarkan kepada kenyataan yang dibuat oleh Anwar dan pemimpin PKR, mereka seolah-olah tidak yakin dengan sistem perundangan yang ada di negara ini.

"Oleh sebab itu, dengan penubuhan suruhanjaya bebas ini nanti yang keanggotaannya terdiri daripada kalangan pengamal undangundang, tokoh agama, ahli akademik, profesional dan ahli berpengaruh dalam masyarakat, boleh menyiasat dakwaan berkenaan secara telus dan saksama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamed Isa berpendapat kewajaran kerajaan menubuhkan suruhanjaya berkenaan antara lain disebabkan apabila laporan polis dibuat oleh seorang pemuda yang mendakwa diliwat, maka Anwar, PKR dan sekutu politiknya menganggapkan ia satu konspirasi yang diatur untuk menyekat kebangkitan politik Anwar.
.
Beliau berkata, menerusi penubuhan suruhanjaya itu, selain memastikan sama ada wujud konspirasi atau sebaliknya, ia juga boleh menghalang manamana pihak pada masa akan datang daripada membuat tuduhan palsu kepada pemimpin kerajaan yang kadang-kadang tidak masuk akal.

-BERNAMA

.

Anwar wajar tangkis dakwaan liwat elak rakyat keliru

MUAR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim patut menumpukan langkah menangkis dakwaan kes liwat terhadap dirinya bagi mengelak kekeliruan rakyat.

Beliau berkata, cara Anwar menangani masalah hingga melibatkan hampir seluruh rakyat di negara ini dalam isu peribadi beliau telah meletakkan rakyat dalam keadaan tidak tentu arah atau keliru.

"Saya dapat maklumat, sudah ada kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Datuk Seri Anwar akan mengulangi episod-episod lama tahun 1998 dahulu. Rakyat juga tidak faham ada pengakuan bersumpah dikemukakan tetapi ditarik balik, semuanya berbangkit kerana kes Datuk Seri Anwar," katanya.

Akibatnya, perkara ini menimbulkan situasi kurang selesa dalam negara apatah lagi ketika rakyat sedang menghadapi masalah kenaikan harga barang ekoran daripada harga minyak global, katanya selepas merasmikan Bengkel Usahawan Wanita dan pelancaran Direktori Usahawan Wanita Malaysia 2008, di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau dimaklumkan bahawa laporan media barat menggambarkan seolah-olah Malaysia sedang menghadapi kegawatan politik sehingga ada tanggapan bahawa ekonomi negara diteraju secara 'auto pilot' sedangkan ia sebenarnya ditadbir oleh kerajaan.

- BERNAMA
.

Mufti Perlis: Bermubahalah tak perlu junjung Quran

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berkata bersumpah dengan menjunjung Al Quran bukanlah kaedah Islam.

"Bukan itu yang dianjurkan oleh Islam. Nabi pun tidak pernah buat begitu. Bersumpah dengan menjunjung Quran adalah tradisi orang Melayu. Yang dianjurkan ialah bermubahalah atau bersumpah dengan berkata, "Jika benar saya yang melakukannya, laknatilah saya." Dan pihak yang satu lagi pun perlu berkata sedemikian.

"Dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi - Saya tidak melakukannya," kata Dr Asri.

Menurut beliau, "Kedua-dua mereka, baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah. Inilah cara yang pernah Nabi buat dulu," jelasnya Dr Asri lagi.

Dr. Asri membuat gesaan ini supaya dapat meredakan kekalutan yang sedang berlaku sekarang di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

"Perkara peribadi macam ini seharusnya tidak didedahkan kepada orang ramai kerana ia mengaibkan tapi setelah kecoh begini sudah menjadi urusan rakyat. Selepas, kedua-dua pihak bermubahalah, semua orang kena senyap dan tidak perlu memberikan sebarang ulasan lanjut.

"Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah," kata Asri.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyokong cadangan Dr Asri. Namun cara bersumpah yang dinajurkan Nik Aziz ialah bermubahalah sambil menjunjung Al Quran.

"Bermubahalah atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam," katanya.

Mursyidul Am PAS itu berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.

Bagaiamanpun, Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Setiap keterangan yang diberikan perlu dibuktikan. Jika tiada keterangan untuk dijawab, barulah beliau (Anwar) perlu bersumpah,” kata Dr Harussani

.

"BPR soal siasat saya tiga jam’’ – Mahathir

KUALA LUMPUR 5 Julai – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hari ini beliau telah disoal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) selama tiga jam berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video V.K. Lingam.

“Saya yakin saya akan disoal di mahkamah juga kerana kemungkinan saya dilobi untuk pelantikan hakim-hakim,” kata beliau dalam blognya http://www.chedet.com/.

Pegawai Khasnya, Sufi Yusoff dalam jawapan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama mengesahkan BPR telah menemu bual Dr. Mahathir pada 25 Jun lalu berhubung siasatan klip video tersebut.

Dr. Mahathir turut memberikan komen mengenai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang antara lain mendakwa kepentingan Anwar terhadap pelantikan secara wajar hakim-hakim sebenarnya adalah “untuk membalas dendam terhadap saya”.

“Sekarang Suruhanjaya Diraja menyebut nama saya sebagai salah seorang yang akan disiasat walaupun saya tidak ada kena-mengena dengan Lingam dan aktivitinya,” kata beliau.

Dr. Mahathir berkata, beliau hanya mengenali Lingam kerana beliau berjaya dalam beberapa kes litigasi dan “saya memutuskan mengambil beliau sebagai peguam saya dalam kes yang dibawa Anwar”.

“Tetapi Suruhanjaya Diraja menyimpulkan jika mungkin saya terlibat, maka saya mesti terlibat. Ini seperti mengatakan jika mungkin saya telah membunuh seseorang, maka saya mesti telah membunuh orang itu. Bukti di luar keraguan munasabah tidak perlu di sini,” kata beliau.

Menurutnya, beliau menyedari usaha untuk mencari kesalahan dalam tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

“Selama ini mereka tidak menemui apa-apa. Tapi sekarang mereka menemui cara tidak langsung untuk mengenakan saya,” kata Dr Mahathir dan menyatakan beliau tidak menagih simpati daripada sesiapa.

Suruhanjaya Diraja itu dalam laporannya antara lain, memperakukan supaya Dr. Mahathir, peguam V.K Lingam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, taikun Tan Sri Vincent Tan dan bekas-bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim disiasat.

Panel itu juga memperakukan supaya keenam-enam mereka disiasat di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Hasutan 1961, Akta Profesion Guaman 1976, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka kecuali Dr. Mahathir, telah memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman, dengan menyatakan beliau sedia ke mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 16 Julai untuk mendengar bantahan awal terhadap permohonan bagi semakan kehakiman oleh lima orang itu.

— BERNAMA.
.

Najib penghalang Anwar jadi PM – Ezam

SUBANG 4 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa memfitnah dan menyerang peribadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pemimpin nombor dua negara itu merupakan penghalang besar untuk Anwar mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, Anwar menggunakan taktik tersebut dengan matlamat mencemarkan imej dan maruah Najib bagi mengelakkan Najib menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Menurut Ezam, semasa masih berkuasa dalam kerajaan dan UMNO, Anwar pernah mengakui bahawa Najib merupakan seorang pemimpin yang pintar, cerdik dan berwibawa.

“Anwar pernah menceritakan beberapa kali kepada saya mengenai kepintaran dan kecerdikan Najib sebagai seorang ahli politik.

“Bagi saya, inilah puncanya Anwar bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Najib lebih-lebih lagi dalam keadaan Anwar semakin terdesak sekarang,” kata Ezam kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah: “Semasa Anwar menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada awal 1980-an, beliau mengakui tahap kebijaksanaan Najib yang ketika itu merupakan salah seorang Exco Pemuda yang jauh lebih bijak jika dibandingkan dengan exco-exco yang lain.”

Mengulas siri tindakan Anwar yang kini berhadapan dengan krisis peribadi ekoran laporan liwat yang dibuat oleh pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan baru-baru ini, Ezam berkata: “Anwar sememangnya mengakui kehebatan yang ada pada Najib.’’

Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda PKR memberitahu, serangan yang dilakukan oleh Anwar terhadap Najib terutama berkaitan isu Altantuya Shaariibuu telah lama bermula sejak sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu tetapi ia tidak seagresif sekarang.

“Kedudukan Najib pada masa ini cukup selesa iaitu hanya menunggu proses peralihan kuasa berlaku dan haluan perjalanan politik Najib berbeza dengan Anwar.

“Anwar sekarang berada dalam keadaan buntu dan terdesak. Dia kata sebanyak 30 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) akan lompat parti sedangkan dakwaan itu tidak berlaku.

“Bulan September semakin hampir dan peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kini semakin samar kerana strateginya untuk menarik ahli Parlimen BN menyertai pembangkang tidak menjadi,’’ katanya.

Berdasarkan maklumat yang diterimanya, Ezam mendedahkan tidak sampai sepuluh orang ahli Parlimen BN ‘mungkin’ akan lompat parti.
.
Jumlah itu tidak cukup untuk membolehkan pakatan pembangkang yang diketuai oleh Anwar membentuk kerajaan kerana pada masa ini BN mempunyai 140 ahli Parlimen manakala pakatan pembangkang hanya memiliki 82 orang wakil rakyat.

“Saya guna istilah ‘mungkin’ kerana kemungkinan ia berlaku mungkin ya dan mungkin tidak. Pas sendiri menekan Anwar iaitu Pas mahu memastikan mereka yang lompat parti adalah orang Melayu. Masalah ini juga merunsingkan Anwar,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, Ezam berkata, mahu tidak mahu Anwar terpaksa menggunakan taktik serangan peribadi terhadap Najib berhubung isu Altantuya walaupun faktanya terlalu longgar.

Beliau berkata, semua pihak dalam UMNO harus bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib mempertahankan kewibawaan dan imej UMNO.
“Jangan biarkan UMNO terus diserang dengan tuduhan yang bukan-bukan.

“Yang diserang sekarang ialah pemimpin nombor dua negara dan parti. Jangan biarkan Anwar menyerang pemimpin dan parti kita dengan sewenang-wenangnya. Kita wajib mempertahankan maruah pemimpin dan parti kita,’’ tegasnya.

Beliau berkata, umum mengetahui Anwar seorang ahli politik yang licik

“Anwar bijak membentuk persepsi yang mana dengan persepsi ini beliau mampu mempengaruhi rakyat. Sebagai pemimpin parti, kita tidak boleh membiarkan persepsi itu berleluasa.

“Pemimpin UMNO wajib bangun berikan penjelasan bahawa persepsi itu tidak betul. Najib tiada kaitan langsung dengan Altantuya. Apa yang dibangkitkan oleh Anwar itu adalah satu rekaan semata-mata,’’ katanya.

.