SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

27 September 2008

Ku Li gesa pemilihan parti dikekal Disember ini

dipetik dari mstar online

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang semalam menyifatkan keputusan menunda pemilihan parti sebagai "permainan kanak-kanak" dua pemimpin, hari ini menggesa ahli-ahli Umno supaya menolak keputusan Majlis Tertinggi (MT) semalam.

"Mereka patut menolak (keputusan MT semalam) kalau sayangkan parti.

"Mereka mesti tentukan sikap untuk menolak kerana ini (peralihan kuasa) bukan perkara kecil," kata beliau pada sidang media di rumahnya di sini sebentar tadi.

Kata beliau, ahli-ahli Umno perlu meminta supaya pemilihan pucuk kepimpinan pusat dikekalkan Disember ini, bukannya menunda ke Mac depan.

Bagaimanapun beliau tidak bercadang untuk membawa sebarang usul berkenaan pelan peralihan kuasa yang dirancangkan walaupun ia sebenarnya di luar perlembagaan parti.

"Nak bawa usul kita perlu adakan mesyuarat khas dan perhimpunan khas.

"Ia bukan sesuatu yang senang untuk dapatkan sokongan bahagian. Memadailah saya buat bantahan lisan kerana bukan saya seorang saja (yang membantah), tapi juga ahli-ahli Umno lain," katanya.

Semalam Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu, yang sebelum ini pernah menawarkan diri mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanding jawatan Presiden berkata, beliau masih kekal dengan pendirian mahu menawarkan kepimpinan alternatif kepada Umno dan negara.

Hari ini beliau mengulangi pendirian itu sama ada Abdullah bertanding ataupun sebaliknya.

Semalam Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan sebelum 9 Oktober sama ada bertanding mempertahankan jawatannya ataupun tidak.

Tengku Razaleigh berkata, beliau tetap akan bertanding tidak kira bila pemilihan Umno diadakan.

.

'Peralihan dipercepat bukan kerana desakan saya' - Muhyiddin

dipetik dari mstar online

MUAR : Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempercepatkan peralihan kuasa kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak setahun lebih awal dari pelan asal Jun 2010 bukan kerana desakan beliau.


Beliau menjelaskan, pandangannya tentang kepimpinan Perdana Menteri selama ini yang kadangkala terasa lebih tajam dan pedas bukan berniat untuk menyinggung perasaan tetapi adalah untuk kepentingan masa depan parti


"Apa yang diputuskan itu bukan kerana desakan saya. Saya kira Perdana Menteri mengambil kira semua perkara.


"Kita harap apa yang diputuskan oleh Pak Lah dapat diterima dengan baik oleh semua," katanya kepada pemberita pada majlis tahlil di surau Jalan Bakri di sini, malam tadi. Beliau berkata demikian semasa ditanya pemberita mengenai adanya tanggapan bahawa keputusan Perdana Menteri itu adalah disebabkan oleh desakan-desakan beliau selama ini.


Pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam, Abdullah yang juga Presiden Umno mengumumkan MT membuat keputusan menunda tarikh perhimpunan agung parti itu yang sebelum ini dijadualkan Disember ini ke Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.


Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyifatkan keputusan itu akan melenyapkan soal ketidaktentuan politik negara sehingga membuatkan pelabur di dalam dan luar negara mengambil sikap tunggu dan lihat untuk melabur di negara ini.


"Proses peralihan kuasa ini akan memberi panduan lebih jelas kepada mereka dan tidak timbul lagi soal tidak ketentuan dalam negara ini," katanya.


Muhyiddin berharap anggota Umno akan terus bertaut kepada parti dan dapat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti dan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).


Mengenai penangguhan Perhimpunan Agung Umno ke Mac depan, beliau berkata, keputusan itu adalah munasabah dan berharap anggota parti tidak mempertikaikannya.


"Saya kira ia munasabah dan kita harap ia tidak dipertikaikan dan diterima dengan baik oleh semua ahli parti," katanya.


.

Najib: Penangguhan Perhimpunan Agung Umno keputusan bijak

dipetik dari mstar online

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan menunda tarikh Perhimpunan Agung Umno ke Mac tahun depan dan mengekalkan tarikh mesyuarat Umno bahagian sebagai keputusan yang bijaksana.

"Keputusan itu dibuat dengan penuh bijaksana selepas mendengar pandangan pemimpin dan ahli akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata tarikh sebenar perhimpunan agung itu akan diumumkan kemudian.

"Tarikh akan ditentukan dalam sedikit masa lagi tetapi yang pastinya ia akan berlaku bulan Mac," katanya.

Mesyuarat khas MT Umno hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan menunda tarikh Perhimpunan Agung parti yang sebelum ini dijadualkan pada Disember ini ke bulan Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Mesyuarat Umno bahagian dijadual dari 9 Okt hingga 9 Nov ini.
.

Peralihan kuasa lebih awal

dipetik daripada Berita Harian

ABDULLAH berkata sesuatu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno, di Kuala Lumpur semalam.

Perhimpunan Agung Umno, pemilihan ditunda Mac 2009

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mac tahun depan, kira-kira 15 bulan lebih awal daripada tarikh peralihan kuasa pada Jun 2010 seperti dijadualkan sebelum ini.

Tanpa menyatakan dengan jelas tarikh sebenar beliau akan melepaskan jawatan, Perdana Menteri, pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam, membayangkan pelan peralihan kuasa yang diumumkannya Julai lalu mungkin berubah.

Abdullah juga berkata, beliau akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatan Presiden Umno atau sebaliknya sebelum mesyuarat perwakilan bahagian bermula 9 Oktober ini.

“Bertanding atau tidak, (itu) keputusan saya. Anda boleh terus meneka tetapi keputusan muktamadnya milik saya.” katanya pada sidang media ringkas sejurus selepas selesai mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung kira-kira sejam di Menara Datuk Onn, di sini.

Sebelum mesyuarat khas itu, Abdullah mengadakan perbincangan empat mata dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak selama kira-kira 20 minit. Bagaimanapun, butiran perbincangan itu tidak diperoleh.

Ditanya mengenai pelan peralihan kuasa yang diumumkannya pada Julai lalu di mana Najib dijadualkan mengambil alih kepemimpinan pada 2010, Abdullah berkata: “Kalau sudah dipercepatkan, tidak timbullah (pelan peralihan) 2010 itu”.

Mengikut pelan peralihan kuasa itu, Abdullah dan Najib masing-masing akan mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti yang dijadual diadakan sempena perhimpunan agung Disember ini.

Bagaimanapun, Mesyuarat khas MT semalam memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan parti itu kepada Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa lebih awal. Mesyuarat semalam juga memutuskan supaya mesyuarat Bahagian Umno diteruskan mengikut jadual mulai 9 Oktober hingga 9 November ini. Pemilihan Umno sudah ditangguhkan 12 bulan sejak September 2007 bagi membolehkan parti membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum pada 8 Mac lalu.

Diminta menjelaskan maksud melicinkan proses peralihan kuasa lebih awal, Abdullah berkata: “Ia untuk membuat penyerahan apa juga yang diperlukan... peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga. Ini akan diputuskan antara saya dan Najib.”

Berhubung keputusan tidak menangguhkan mesyuarat Umno bahagian, Abdullah berkata sebarang perubahan tarikh akan membawa kesusahan dan tidak membawa kebaikan tambahan.

“Kalau ditangguhkan nanti tentu membabitkan prosedur lain dan menyusahkan. Semua bahagian akan bermesyuarat seperti biasa. Ada bahagian yang sudah menetapkan tarikh,” katanya.

Abdullah berkata, mesyuarat MT semalam juga sebulat suara meluluskan keputusan menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan parti, malah beliau tidak menerima sebarang tekanan daripada ahli MT untuk mempercepatkan peralihan kuasa.

“Tiada sebab MT mahu desak (peralihan kuasa dipercepat) sebab mereka tahu hubungan saya dengan Datuk Seri Najib sangat baik dan apa-apa pun, kami ada persefahaman. Jadi, tiada masalah mengenai perkara ini,” katanya.

Ditanya jika beliau sedia berkorban demi parti jika ia menuntutnya melepaskan jawatan yang disandangnya, Abdullah berkata, beliau sentiasa sayangkan Umno walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar.

“Saya tidak pernah tinggalkan parti, saya tidak sertai Umno 46 (Semangat 46). Saya tidak pernah sertai parti lain, juga tidak pernah berada dalam platform pembangkang atau menghentam Umno,” katanya.

Sementara itu, Abdullah turut menafikan desas-desus kononnya beliau akan bercuti selepas ini.
“Saya akan bercuti? Macam mana anda tahu? Tidak... saya tidak akan bercuti kerana saya masih ada banyak kerja untuk dibuat,” katanya.
.

Mahu akar umbi buat keputusan alih kuasa

PASIR MAS - Ketua UMNO bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman bersetuju dengan prinsip pelan peralihan kuasa 2010 yang disarankan Perdana Menteri.

“Saya bersetuju dengan prinsip tersebut tetapi biarlah keputusan itu dibuat oleh akar umbi, iaitu bahagian,” katanya ketika ditemui di Kubang Panjang, semalam.

Abdul Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan UMNO Kelantan memberikan sokongan penuh terhadap pelan peralihan kuasa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO Malaysia, iaitu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau memberitahu, biarlah bahagian yang menentukannya mengenai perkara tersebut melibatkan kedua-dua pemimpin terbabit.

“Kita punya prinsip peralihan kuasa, tetapi bila peralihan kuasa berlaku kita patut bagi kepada bahagian untuk menentukan iaitu akar umbi yang memilihnya,” katanya. Beliau berkata, perkara ini pernah disuarakan Perdana Menteri, bahawa peralihan kuasa itu boleh ditukar.

Annuar dalam kenyataannya pada 22 September lalu berkata, perbincangan yang diadakan di kalangan ketua-ketua bahagian Kelantan yang dihadiri hampir kesemua ketua bahagian mencapai kata sepakat menyokong pelan peralihan kuasa tersebut.
.