29 December 2009

Bukan Melayu Boleh jadi MB Kelantan.. Nik Aziz boleh jemput Lim Kit Siang

Cekati Tembaga menulis..

Nik Aziz nampaknya akan akhiri tahun 2009 yang penuh dengan kontroversi bagi dirinya dengan satu lagi kontroversi.

Tahun 2009 bagi Nik Aziz cukup meletihkan. Dia dihimpit dengan segala kemelut dari kiri dan kanan. Isu-isu seperti pelantikan menantu yang dipertikaikan seluruh negara, isu 'rasuah' haji yang diakuinya sendiri, isu perebutan kerusi empuk yang disandangnya selama hampir 20 tahun dan pelbagai isu lain sepanjang tahun ini hanya menyebabkan tidur Nik Aziz tidak lena.

Itu belum lagi diambil kira dengan perbalahan terbuka antara orang harapan dengan anak dan menantunya. Belum dikira lagi dengan kritikan terbuka anak lelakinya sendiri terhadap penasihat-penasihat peribadinya yang didakwa seringkali memberikan nasihat yang menyeleweng. Juga tidak dikira dengan kemunculan anak perempuannya membela suami di alam siber dengan terang-terang menuntut Exco kesayangan Nik Aziz meletak jawatan.

Semua ini hanya mengakibatkan Nik Aziz tidak memperolehi ketenangan hari tuanya sebagaimana doa umat Islam lain. Sebab itu Nik Aziz semakin hari semakin tidak menentu tutur lidahnya. Nik Aziz kian menghampiri eranya sebagaimana tahun 2009 yang hanya berbaki 2 hari lagi.

Tetapi tidak cukup dengan itu, semalam Nik Aziz umumkan sedia meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan bagi memberi laluan kepada orang bukan Melayu menjadi Menteri Besar negeri ini.

Menurut Nik Aziz orang bukan Melayu pun boleh menjadi Menteri Besar Kelantan dengan syarat dia beragama Islam. Oleh itu jika pada masa akan datang orang Kelantan jangan marah apabila orang Cina atau Siam yang jadi ketua di Kota Darul Naim.

Dengan kenyataan Nik Aziz ini nampaknya satu lagi hak orang Melayu Kelantan akan tergadai. Kalau selama ini sejak merdeka, Kelantan menjadi antara negeri yang ekslusif dengan mensyaratkan hanya orang Melayu yang automatiknya beragama Islam sahaja layak mengetuai kerajaan Kelantan, jadi dengan 'keterbukaan' Nik Aziz ini Kelantan tidak ada bezanya dengan Pulau Pinang yang diketuai oleh Cina.

Kalau itu yang kita dan rakyat Kelantan redha, kita terimalah hasrat Nik Aziz ini dengan dada terbuka. Terimalah kenyataan betapa dengan hasrat Nik Aziz ini, Kelantan akan mencatat sejarah yang baru.

Rakyat Kelantan kena terima hakikat bumi Kelantan bukan lagi milik Melayu walaupun Melayu berjumlah 95% tapi relalah kaum yang hanya 3% bakal menjadi ketua kepada orang Melayu Kelantan. Bila ini berlaku jangan salahkan Nik Aziz kerana dia ada kuasa untuk merobah dan kita yang beri Nik Aziz kuasa untuk melakukannya.

Teruskanlah Tok Guru.. juallah apa saja, gadailah apa yang masih ada. Biarlah anak Melayu nanti berkelana di bumi sendiri. Ajaklah Lim Kit Siang jadi MB selepas Tok Guru bersara nanti.

Biarlah orang Melayu merempat asalkan undi cina Tok Guru dapat.
.

28 December 2009

Buku menarik yang wajar dibaca..


Salam hormat kepada seluruh rakyat Malaysia...

Menjelang beberapa hari sebelum tibanya tahun baru 2010, Cekati Tembaga mencadangkan seluruh pembaca mendapatkan buku karya penulis terkenal, S.H Al-Attas. Mungkin ada perkara baru yang kita tidak tahu atau yang perlu kita tahu..

Selamat Membaca dan Salam 2010.
.

15 December 2009

Jambatan Runtuh, Wakil Rakyat Pas entah di mana..

Cekati Tembaga menulis..

Petang tadi (14/12/09) kira-kira jam 5.00 ptg, sekumpulan kira-kira 100 orang penduduk Permatang Rambai, Pasir Puteh melahirkan rasa tidak puas hati atas kegagalan pihak kerajaan Pas Kelantan membaiki jambatan yang runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Jambatan ini sejak sekian lama menjadi laluan utama yang menghubungkan Kg Permatang Rambai dengan Bukit Abal, di Pasir Puteh. Sejak setahun yang lepas jambatan ini sudah mulai rosak dan runtuh namun masih boleh dilalui oleh pejalan kaki dan motosikal.

Penduduk telah berkali-kali mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pas Kelantan agar jambatan ini dibaiki namun rayuan-rayuan penduduk hanya disahut dengan janji-janji manis kerajaan pimpinan Nik Aziz.

Kemuncak kepada keresahan penduduk, banjir yang berlaku baru-baru ini telah meruntuhkan sama sekali jambatan ini.

Dengan runtuhnya jambatan ini, penduduk yang perlu ke pekan Bukit Abal tidak ada pilihan lain selain terpaksa melalui jalan jauh sehingga 5 km termasuklah anak-anak kampung yang belajar di SMU(A) Diniah, Bukit Abal. Baru-baru ini juga ada pelajar kampung ini yang dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki SPM terlibat dalam kemalangan ketika cuba melalui jambatan ini sehingga patah kaki dan motosikalnya terjatuh ke dalam sungai.

Penduduk meminta jambatan ini dibaiki sebelum berlaku kemalangan jiwa kerana mahu tidak mahu mahu mereka terpaksa juga menggunakan jambatan ini walaupun berbahaya kerana ia merupakan satu-satunya pilihan yang ada berbanding menggunakan jalan yang jauh.

Penduduk juga mempersoalkan sikap wakil rakyat kawasan ini yang buat tak endah sahaja dengan aduan dan masalah yang dihadapi rakyat ini sedangkan jambatan ini jugalah yang sering menjadi laluannya sewaktu berkempen pilihanraya dulu.

Bosan dengan sikap berhelah mencari alasan oleh kerajaan Pas, penduduk berkumpul untuk meluahkan rasa tidak puas hati dan merasakan mereka dianaktirikan oleh kerajaan Pas Kelantan.

Di bawah ini adalah gambar-gambar keadaan jambatan yang runtuh dan bantahan yang dibuat oleh penduduk. Terima kasih kepada Pulas Perut yang telah bergegas ke tempat kejadian sebaik dihubungi oleh penduduk untuk membawakan anda foto-foto menarik.


Jambatan runtuh menyebabkan laluan Kg Permatang Rambai ke pekan Bukit Abal terputus

Penduduk hanya mampu melihat kesan runtuhan

Pada musim hujan, sungai ini akan dipenuhi air sehingga merbahayakan penduduk kampung

Masyarakat kampung berkumpul menyuarakan rasa kecewa atas kegagalan wakil rakyat Pas menyelesaikan masalah mereka

Kanak-kanak paling berisiko apabila melalui jambatan maut ini

Warga emas terpaksa dibantu...

Bantahan penduduk pelbagai peringkat umur

Apa yang dipaparkan di sepanduk lahir dari rasa kecewa kerana dianaktirikan oleh kerajaan Pas Kelantan

14 November 2009

Bai'ah Talak 3 - Pas jangan dolak dalik

Cekati Tembaga menulis..

Nampaknya Isu Bai'ah Talak 3 telah menjerut ketat leher parti itu sehingga kenyataan yang dikeluarkan pimpinannya semakin celaru dan tidak berpijak pada kenyataan.

Kalau mahu menutup isu ini pun seharusnya pimpinan Pas mengaku sahaja ianya pernah berlaku, mengakui ianya tidak wajar berlaku, seterusnya mohon maaf pada seluruh rakyat kerana membuatkan seluruh negara tertanya-tanya dan juga pada isteri-isteri calon-calon Pas yang diperjudikan rumahtangga mereka. Pas juga wajar memberi jaminan Bai'ah seperti ini tidak akan berlaku pada masa akan datang.

Kita amat berterima kasih pada Blogger seperti Mahaguru58 yang mendedahkan bukti di sebalik kewujudan Bai'ah ini sehingga ianya menjadikan kepala pemimpin-pemimpin parti itu kian berserabut.

Sebelum ini memang wujud khabar angin berlakunya Bai'ah seperti ini di Kelantan di hadapan Nik Aziz sendiri, pada ketika telor Pas berada di hujung tanduk. Khabarnya ketika itu semua wakil rakyat Pas dipanggil ke JKR 10 (kediaman rasmi Nik Aziz) dan dikehendaki berikrar tidak akan meninggalkan parti itu bagi memastikan Kerajaan Pas Kelantan tidak rebah. Walau bagaimanapun Bai'ah ini disimpan erat semua wakil rakyat Pas pada masa tu.

Tetapi kali ini Bai'ah talak 3 sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Memang tidak ada kemusykilan lagi Bai'ah ini wujud terutama di Selangor sebagaimana diakui sendiri oleh Khalid Samad, Ahli parlimen Shah Alam.

Bai'ah yang menggunapakai skrip yang sama juga wujud di Perak dan di Kelantan. Tapi ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Nik Aziz Nik Mat. Nik Aziz kata bukan setakat tidak pernah berlaku di Kelantan, malah dia sendiri tidak pernah mendengarnya.

Sebagai Mursyidul Am Pas pastinya apabila dia mendakwa tidak tahu menahu kewujudan Bai'ah Talak 3 dalam parti itu adalah kenyataan yang membohong, munafik tahap dewa.

Di Perak, ia telah diakui sendiri oleh wakil rakyat Pas YB Ramli Tusin, ADUN kawasan Gunung Semanggol, Perak pada ceramah sempena Pilihanraya Kecil Bukit Gantang pada 1 April 2009. Ini disebutnya dalam ceramah, bukan April Fool ni. Cuba tuan-tuan tengok klip di bawah.


video
Dalam klip ni dengan jelas dia kata calon-calon wakil rakyat Pas di Perak telah berBai'ah tidak akan belot pada perjuangan Pas dengan Takliq akan gugur Talak 3 jika meninggalkan parti itu. Bukankah ini menunjukkan Bai'ah Talak 3 memang wujud. dan terbukti.

Di Perak lafaz Bai'ah ini dibaca secara seorang demi seorang di depan Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya Pas negeri itu. Menurut Ahmad Awang, dengan Bai'ah itu, tidak akan ada seorang pun wakil rakyat Pas akan sanggup keluar parti itu walaupun ditawarkan habuan sebanyak RM 5 juta. Begitu sekali ia boleh mengikat wakil rakyat Pas.

Tuan-tuan boleh membacanya di sini.






















Menurut Ahmad Awang lagi lafaz Bai'ah di Perak adalah SAMA SEPERTI DIGUNAKAN DI KELANTAN. Maknanya di Kelantan juga mengamalkan Bai'ah Takliq Talak 3.

Bukankah ini secara tidak langsung menunjukkan Nik Aziz bohong apabila menfikan Bai'ah seperti itu berlaku di Kelantan.
.
Kenapa Nik Aziz berbohong! Bukankah bohong adalah salah satu daripada ciri orang munafik.
.

11 November 2009

Pas ditimpa bala kerana doa Nik Aziz sendiri?

Cekati Tembaga menulis..

Dalam seminggu ini isu Bai'ah Takliq Talak 3 Pas menjadi topik utama didebatkan oleh bukan sahaja pemain-pemain politik malah mereka yang tidak terlibat dengan politik juga cukup berminat mengulas isu ini.
Cekati Tembaga telah membuat ulasan isu ini pada minggu lepas setelah ia didedahkan oleh blogger Mahaguru58. Bagi tuan-tuan yang belum membacanya sila ke sini.

Apabila isu ini semakin tersebar di media perdana, malah disahkan sendiri oleh YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, isu ini seakan tiada penghujungnya. Ia menarik minat ramai sehingga diulas oleh pemimpin negara, tokoh-tokoh agama, aktivis sosial, pelajar dan semua golongan.


Cubaan Presiden Pas, Haji Hadi Awang dan Nik Aziz menafikan tahu menahu hal bai'ah ini dengan tujuan untuk menutup isu ini dipandang sepi sahaja. Malah semakin dinafi oleh Nik Aziz, semakin ramai memberikan komentar dan ulasan mengkritik dasar bai'ah ini.

Adalah mustahil Hadi Awang dan Nik Aziz tidak ketahui kewujudan bai'ah ini kerana sebagai Pesuruhjaya negeri, kedua-duanya secara logiknya terlibat secara langsung dalam majlis bai'ah ini. Bukankah pendedahan yang dibuat mengatakan bai'ah ini diikrarkan secara beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri?

Hadi Awang dan Nik Aziz usah bersikap munafik dalam hal yang semua orang sudah tahu. Mengapa harus dinafikan perkara yang sudah berlaku kerana ia tidak dapat mengubah apa-apa. kalau tindakan mereka berdua ini adalah untuk menunjukkan ia hanya tuduhan liar, ia hanya sia-sia kerana ia diakui sendiri oleh pimpinan Pas seperti Khalid samad.

Dalam hal ini kita tabik pada Khalid Samad (gambar) kerana berani berterus terang mengakui beliau juga bertaklik perkara yang sama. Walaupun kemudiannya melahirkan rasa kesal kerana mendedahkan perkara ini Khalid wajar dipuji kerana keberaniannya itu. Pastinya ramai pimpinan atasan Pas yang tidak puas hati atau marahkan Khalid tetapi percayalah tindakan Khalid mendedahkan isu bai'ah demi kebaikan umat Islam dalam Pas terutama kaum muslimatnya.

Terkadang kita terfikir mengapa sejak akhir-akhir ini, Nik Aziz sendiri sentiasa berdepan dengan pelbagai gelora dalam pemerintahannya. Sejurus menimbulkan hasrat mahukan EGM Pas diadakan ekoran mahu bersihkan Pas dari dua tiga kerat pemimpin yang didakwanya bermasalah, Nik Aziz juga dikejutkan dengan serbuan SPRM ke Pejabat Menantunya ekoran dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa.

Tidak cukup dengan itu, ketenangan yang diharapkan Nik Aziz sebelum mengerjakan haji minggu depan pun tidak menjadi kenyataan apabila debaran degup jantungnya disentap dengan dakwaan yang timbul betapa perbelanjaan Nik Aziz mengerjakan haji ditaja oleh individu tertentu yang dirahsiakan. Apabila dibuktikan dakwaan ini, mahu tak mahu Nik Aziz terpaksa mengakui dirinya memang ditaja tetapi menegaskan ianya tidak salah dan tidak mempunyai unsur rasuah.

Kita bersangka baik dalam hal ini dan percaya memang Nik Aziz tidak teringin pun ke Mekah dengan duit tajaan jika ada unsur rasuah. Tapi sejauh mana dapat meyakinkan rakyat kerana Nik Aziz bukan orang biasa, tapi sebagai Menteri Besar Kelantan. Masakan orang naik habiskan duit berpuluh ribu tanpa harapkan balasan apa-apa!

Hari ini timbul lagi isu baru, pemecatan blogger terkenal Kickdefella dari jawatannya sebagai Pegawai Perhubungan Korporat, Perbadanan Menteri Besar yang diterajui oleh menantu Nik Aziz. Malah khabarnya surat pemecatan itu ditandatangani sendiri oleh menantu kesayangan Nik Aziz itu. Dan blogger terkenal itu khabarnya akan mendedahkan perkara yang kita tidak jangka yang lama bergelora di pejabat menantu Nik Aziz itu. Macam-macam benda yang akan timbul nampaknya.

Perkara ini akan kita ulas sedikit hari lagi tetapi kita tertanya-tanya dalam usia menjelang 80 tahun, setelah hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, mengapa satu demi satu isu yang berkait langsung dengan Nik Aziz dan keluarganya timbul?

Sekali fikir mahu juga dinyatakan di sini agar biarlah Nik Aziz habiskan sisa-sia usia pemerintahannya dengan tenang. Usah diganggu beliau meniti hari-hari terakhir menjelang persaraannya.

Tetapi ini soal prinsip. Prinsip yang dipegang tidak harus digadaikan dengan tolak ansur atas dasar perikemanusiaan.

Soalnya kenapa masalah yang dihadapi Nik Aziz semakin bertimpa-timpa sehingga langsung tidak memberinya peluang untuk menghela nafas lega?

Apakah ini kifarat Allah atas sebagai balasan doa laknatnya terhadap UMNO? Allah sahaja yang tahu.

Walau bagaimanapun percayalah Tok Guru.. pintu taubat masih terbuka. Moga di depan Kaabah nanti akan dibukakan Allah tabir yang menutupi kebenaran yang terselindung.

Kita sentiasa doakan Tok Guru akan kembali ke jalan yang benar.
.