SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

25 August 2008

Pilih calon 'kurang' mudaratkan agama, negara - Mufti Perlis

dipetik dari mstar.com

PERMATANG PAUH: Tanpa menyebut nama calon, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abdidin berharap pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan memilih calon yang "paling ringan mudarat" atau "membahayakan" agama dan negara, esok.

"Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi," kata beliau.


Beliau salah seorang pemilih berdaftar di bahagian Parlimen Permatang Pauh berkata, pengundi-pengundi perlu menilai siapa yang paling kurang bahaya dibandingkan dengan yang lain untuk masa depan negara dan umat.

"Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut.

"Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya. Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini," katanya.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh akan diadakan esok. Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat manakala Datuk Arif Shah Omar Shah pula bertanding atas tiket Barisan Nasional dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

"Satu pemilihan mesti dilakukan," kata beliau dalam rungannya di Mingguan Malaysia semalam.' Jelas beliau, jika tidak pun untuk memilih yang terbaik, sekurang-kurang memilih yang kurang mudarat antara semua.

"Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah. Undi ada nilai dosa dan pahala," katanya lagi.

Bagaimanapun tambah beliau, "barangkali memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah."

.

Demi politik....Anwar fitnah Najib amal agama Hindu



Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari Isnin membuat fitnah terbaru terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengamalkan acara kegamaan Hindu.

Pada sidang media di pejabat Yayasan Aman, bilik gerakan PKR di Permatang Pauh, Anwar membuat fitnah terbaru itu sebagai menjawab desakan kenapa beliau tidak mahu bersumpah mengikut cara Islam bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Najib angkat sumpah (merujuk kepada sumpah Najib di Masjid Guar Perahu, Jumaat malam) esok dia pergi sumpah Hindu dia pulak…adakah lusa dia nak pergi masjid lain angkat sumpah nak betulkan sumpah Hindu dia tu pula,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk mengenai Hindu itu berdasarkan penyiaran akuan bersumpah seorang lelaki India beragama Hindu oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang menuduh Najib mengamalkan upacara sembayang mengikut agama Hindu.

Dalam akuan bersumpah itu, Najib didakwa membawa seorang sami Hindu ke rumahnya setiap bulan bagi mengadakan acara sembahyang mengikut cara Hindu dengan duduk di hadapan api serta menggunakan segala peralatan acara keagamaan itu.

Fitnah terbaru Anwar itu dilihat sebagai usaha beliau untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapinya. Antara isu yang dihadapi Anwar ialah desakan agar beliau bersumpah bagi membersihkan dirinya dalam isu liwat.

Kedua, desakan agar beliau memberisihkan namanya ekoran pendedahan teman karibnya, Datuk S Nallakarupan bahawa Anwar menerima wang daripada syarikat judi 4-nombor ekor, Magnum Corporation.

Pada sidang media itu juga ekoran soalan mengenai sumpah oleh wartawan Agendadaily, Anwar sekali lagi ‘menyerang’ Agendadaily dengan menjawab soalan dengan berkata, "Ini agenda Najib dan agenda UMNO". Soalnya, soalan yang dikemukakan itu adalah biasa sahaja bagi mana-mana wartawan bagi mendapatkan reaksi kepada desakan dan tuntutan supaya Anwar bersumpah.

Namun, berdasarkan cara Anwar memberikan responnya, Anwar tidak selesa dengan soalan berikut kerana beliau tidak dapat memberikan jawapan secara objektif.

Bagi Agendadaily, inilah masalahnya bila ada pihak yang bersumpah mengikut cara Islam, Anwar akan segera mempertikaikannya tetapi bila ada akuan bersumpah seorang lelaki beragama Hindu, beliau akan percaya habis-habisan.

Ini adalah kali kelima Anwar serang Agendadaily
.

2 Exco Perak dihadap ke mahkamah hari ini

utusan_online

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Lima daripada enam orang termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terlibat kes rasuah mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, Perak akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Isnin ini.

Sehubungan itu, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) menegaskan, tidak timbul soal agensi itu perlu meminta maaf kepada kedua-dua ahli Exco berkenaan mahu pun kerajaan negeri Perak seperti dituntut oleh pihak terbabit semalam.

Dua ahli Exco yang akan didakwa Isnin ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 57, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, 52.

Tiga lagi yang akan turut didakwa ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kapten (B) Usaili Alias, 56; Juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, 46 dan Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 45.

Seorang ahli perniagaan, Fazirul Azim Ismail, 30, yang turut ditahan reman sebelum ini, bagaimanapun tidak didakwa oleh BPR.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang dihubungi Mingguan Malaysia hari ini berkata, keenam-enam mereka hanya dibebaskan dengan jaminan BPR selepas direman beberapa hari lalu, bukannya dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah.

Sehubungan itu, katanya, BPR mempunyai kuasa memanggil dan mendakwa mereka di mahkamah pada bila-bila masa.

Tambahnya, siasatan berhubung kes itu telah selesai manakala Bahagian Pendakwaan dan Perundangan BPR telah berpuas hati terdapat keterangan mencukupi untuk menuduh lima individu terbabit di mahkamah.

“Kita ada bukti yang kukuh untuk bawa mereka ke muka pengadilan, jadi tidak timbul isu soal minta maaf atau sebaliknya.

“Apabila orang lain kena terutama orang UMNO dia suka dan boleh terima, tapi apabila orang dia yang kena, kenapa tak boleh terima?

“Mereka kata nak hapuskan rasuah, tapi bila kita tangkap orang dia, suruh BPR dan media minta maaf pula... patut mereka kena bantu kita dan media,” katanya.

Semalam, kedua-dua ahli Exco Kerajaan Negeri Perak itu, Osman dan Jamaluddin memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan media untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai penglibatan mereka dalam kes rasuah tersebut kerana mendakwa ia berunsur fitnah.

Sekiranya gagal berbuat demikian, kedua-dua ahli Exco itu akan memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap BPR.

Hadir

Dalam kenyataan akhbar Ibu Pejabat BPR yang dikeluarkan di sini petang ini, BPR menjelaskan, agensi itu sedang menghubungi kesemua yang terbabit supaya hadir ke pejabat BPR Perak di Ipoh pada pagi 25 Ogos ini sebelum mereka dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan masing-masing.

Menjawab soalan sama ada pihak-pihak terbabit salah faham antara istilah bebas dengan jaminan BPR dan dibebaskan daripada pertuduhan oleh mahkamah, Ahmad Said berkata: “Kebanyakan mereka adalah peguam, sepatutnya mereka tahu dan biasa dengan istilah-istilah ini... kita bebaskan mereka dengan jaminan BPR, ini bermakna kita boleh panggil mereka bila-bila masa.

“Sekarang kita sudah ambil keputusan untuk tuduh mereka di mahkamah setelah meneliti segala keterangan dan bukti yang ada.”

Sementara itu, ditanya sama ada kedua-dua ahli Exco dan Kerajaan Negeri Perak tidak memahami mengenai prosedur tahanan reman dan pendakwaan oleh BPR, Ahmad Said memberitahu: “Mereka memang tak faham, kita akan siasat sesiapa saja kalau ada dakwaan berlakunya transaksi rasuah... tidak kiralah sesiapa pun.

“Kalau benar-benar ada keterangan dan bukti, kita akan dakwa mereka di mahkamah.”
.

Rencana : Berkubur di kubu sendiri

dipetik dari utusan_online

.
BERDASARKAN kepada kehebatan dan kehangatan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh serta isu-isu yang timbul sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di kawasan itu menggantikan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Jika Anwar bertanding di kawasan lain seperti Bandar Tun Razak atau Kuala Kangsar, di atas kertas, beliau sudah pun tewas.

Sebelum ini Anwar diuar-uarkan mahu bertanding di Bandar Tun Razak di kerusi Parlimen yang kini dipegang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memenanginya pada 8 Mac lalu hanya dengan majoriti 2,515 undi.

Sebelum Mahkamah Pilihan Raya membuat keputusan mengenai petisyen pilihan raya Parlimen Kuala Kangsar bulan lalu, beliau juga mengacah-acah kononnya ingin mencabar Tan Sri Rafidah Aziz daripada Barisan Nasional (BN) yang memenangi Parlimen Kuala Kangsar dengan kelebihan 1,458 undi.

Di Permatang Pauh, angin politik sedang hebat bertiup dalam kempen yang sering berlangsung dalam hujan gerimis. Jangkaan Anwar akan menang mudah pada hari pengundian 26 Ogos ini nampaknya mungkin tidak berlaku. Lawannya, Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN memberikan tentangan sengit. Malah, ada keyakinan di kalangan para pemimpin BN bahawa keajaiban mungkin terbit di Permatang Pauh.

Ketika majlis-majlis Anwar bertemu pengundi Cina disusun oleh para pemimpin DAP yang kini menguasai kerajaan Pulau Pinang, Arif Shah yang mendapat sokongan para pemimpin MCA dan Gerakan diberi sambutan yang lebih hebat oleh orang Cina di Permatang Pauh kerana beliau - dengan keupayaannya bercakap dalam dialek Mandarin, Kantonis dan Hokkien - boleh berkomunikasi dengan lebih baik dan dapat menyelami perasaan para pengundi Cina.

Ada tiga kumpulan pengundi yang akan menentukan masa depan politik Anwar. Pertama, pengundi muda; kedua, pengundi bukan Melayu khususnya orang Cina; dan ketiga, para penyokong Pas yang mengundi di Permatang Pauh. Undi mereka banyak membantu kemenangan isteri Anwar, Wan Azizah, pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dalam pilihan raya itu, Wan Azizah yang memperoleh 30,338 undi mengalahkan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang cuma mendapat 16,950 undi. Majoriti Wan Azizah ialah 13,338.

Bagaimanapun, keputusan di peringkat pilihan raya tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Permatang Pauh memperlihatkan pola yang sedikit berlainan. Di tiga DUN di kawasan itu iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti, calon-calon BN memperoleh undi terkumpul yang lebih besar daripada jumlah undi yang diperoleh oleh Pirdaus di peringkat Parlimen.

Calon-calon BN di tiga DUN itu iaitu Arif Shah (Seberang Jaya), Ahmad Sahar Shuib (Permatang Pasir) dan Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (Penanti) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu mengumpulkan sebanyak 20,093 undi daripada keseluruhan 47,305 orang yang keluar mengundi.

Di peringkat DUN, calon-calon BN mendapat 20,093 undi manakala tiga calon parti pembangkang daripada PKR dan Pas mendapat undi terkumpul 27,212.

Ini memberikan kelebihan majoriti parti pembangkang di peringkat DUN di Permatang Pauh cuma kira-kira 7,119 undi. Mengapa wujud perbezaan besar antara undi majoriti yang diperoleh oleh Wan Azizah (13,338) di peringkat Parlimen dengan undi majoriti tiga calon pembangkang di peringkat DUN (7,119) amat menarik untuk dianalisis.

Perbezaan undiPerbezaan antara 13,338 dan 7,119 menunjukkan sejumlah 6,219 pengundi yang memilih Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen pada 8 Mac lalu, di peringkat DUN mereka mengundi calon-calon BN.
.
Di atas kertas, jika 20,093 undi kepada calon BN di peringkat DUN itu dijadikan panduan, BN memerlukan hanya sekitar 3,700 undi tambahan untuk memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh dan mencipta sejarah menewaskan Anwar di kubunya sendiri.

Di kawasan Permatang Pauh, pengundi Melayu membentuk kira-kira 68 peratus daripada keseluruhan 58,459 pengundi berdaftar. Selebihnya 25 peratus ialah pengundi kaum Cina, 6.7 peratus pengundi India dan sebanyak 228 orang pengundi kaum 'lain-lain'. Di kawasan itu juga terdapat hampir 700 orang pengundi pos terdiri daripada anggota polis dan tentera.

Berdasar pilihan raya 8 Mac lalu, Seberang Jaya ialah kubu kuat BN manakala Penanti yang dimenangi oleh PKR merupakan kawasan pengaruh PKR. Permatang Pasir pula menjadi benteng Pas dengan calon Pas di kawasan itu, Mohd. Hamdan Abdul Rahman (memperoleh 11,004 undi) menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib yang cuma mendapat 5,571.

Kedudukan Pas memang kukuh di Permatang Pasir. Sekiranya para pemimpin BN dapat menyusun kempen mereka dengan baik dan berpeluang untuk menyampaikan mesej-mesej kepada para penyokong Pas dan pengundi atas pagar di kawasan itu serta menyedarkan mereka tentang nasib agama dan bangsa, tidak mustahil Anwar boleh tewas. Tanpa undi para penyokong Pas, Anwar akan belayar ke lautan politik yang tiada daratan.

Selain para penyokong Pas, satu lagi faktor dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh ialah pengundi muda. Pada pilihan raya umum 2004, peratusan undi pengundi muda di bawah 40 tahun yang diterima oleh BN di ketiga-ketiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh adalah tinggi.

Bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, bilangan pengundi muda yang menyokong BN merosot dengan mendadak iaitu 4,166 di Seberang Jaya, 2,507 di Permatang Pasir dan 2,157 di Penanti. Dalam pilihan raya itu parti pembangkang mendapat sokongan besar daripada pengundi muda iaitu 4,641 di Seberang jaya, 5,456 di Permatang Pasir dan 3,210 di Penanti.

Memujuk para pengundi muda supaya berfikir dengan rasional, jangan mempertaruhkan kepentingan nasional dan sentiasa memikirkan masa depan bangsa menjadi cabaran besar kepada jurukempen BN.

Isu lain yang dihadapi oleh jentera BN dan PKR di Permatang Pauh sekarang - yang juga mungkin menyakitkan kepala Anwar dan membuatkannya berdebar-debar - ialah apakah mood pengundi di Permatang Pauh dalam pilihan raya 8 Mac 2008 masih sama atau ia telah bertukar.
Sekiranya mood itu masih serupa, Anwar akan selamat.

Namun, kalau mood tersebut telah berubah - dan jika para pengundi di kawasan itu mula yakin bahawa hukuman mereka ke atas BN pada 8 Mac lalu mencukupi kerana mesejnya telah difahami, sebab sudah muncul kesedaran daripada kerajaan BN manakala UMNO memperlihatkan ia sedia bersatu tenaga menentang musuh bersama - politik Anwar mungkin dikebumikan di tanah kelahirannya sendiri pada 26 Ogos ini.

Pada hari Khamis lalu, ketika berkempen di kawasan Semilang Pantai di Seberang Jaya, Anwar dalam ucapannya merayu supaya beliau diberi peluang. Katanya, apabila beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh nanti, beliau akan membawa ahli- ahli Parlimen BN melompat ke pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan baru di Malaysia.

"Beri tiga bulan pada Pakatan Rakyat, kita akan selesaikan masalah-masalah Malaysia," janji bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam ucapannya yang digelapi berita penangkapan dua Exco PKR di Perak sehari sebelum itu atas dakwaan terbabit dengan rasuah wang dan seks, iaitu lima bulan selepas PKR bersama DAP dan Pas menguasai kerajaan negeri Perak.

Anwar ialah seorang yang pandai berdrama dan kadangkala kepetahannya menyembunyikan sesetengah fakta. Kepintarannya bermain kata-kata tidak dapat ditandingi oleh Arif Shah yang terkenal dengan komitmennya untuk membantu penduduk kawasan yang diwakilinya. Isu harga minyak, Bajet 2009 dan kelembutan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi antara bahan kempen Anwar.

Anwar juga menyerang kredibiliti Polis Diraja Malaysia, memperlekehkan Datuk Seri Najib Tun Razak selain mendakwa rakan- rakannya di Sabah 'akan melompat' menyertai Pakatan Rakyat apabila beliau kembali ke Parlimen.

Beliau tidak henti-henti membuat dakwaan itu walaupun pada malam yang sama beberapa pemimpin BN Sabah termasuk Ketua Menterinya Datuk Seri Musa Aman, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Pairin Kitingan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup turut berkempen membantu Arif Shah di Kampung Bagan Serai, kira-kira dua kilometer dari Semilang Pantai.

Dalam nada geram, Musa mengingatkan pengundi Permatang Pauh mengenai kelicikan Anwar. "Jangan anggap orang Sabah bodoh! Jangan dengar cakap-cakap manis Anwar… cakap-cakap kononnya orang Sabah mahu lompat itu semua tidak betul, itu bohong, ia cakap bagi senang-senang hati saja."

PembangunanMalah, Musa menasihatkan penduduk Permatang Pauh tentang betapa beruntungnya dari segi pembangunan kalau mereka memilih Arif Shah. Katanya, Arif Shah ketika ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

"Di DUN, beliau ialah wakil rakyat pembangkang. Tidak banyak yang boleh dilakukannya kerana kerajaan Pulau Pinang dikuasai oleh parti lain, tetapi kalau YB Arif Shah dapat jadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, beliau mewakili kerajaan Persekutuan. Ketika itu beliau boleh meminta peruntukan Persekutuan dibawa ke Permatang Pauh. Orang Permatang Pauh akan beruntung."

Para pengundi Permatang Pauh tentulah menimbangkan semua hujah ini. Dalam pilihan raya, para pengundi adalah raja dan mereka biasanya menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan bijaksana. Perkara yang sama juga berlaku di Permatang Pauh.

Anwar boleh berkempen dengan mendakwa dirinya teraniaya, Arif Shah juga boleh berharap dia mencipta sejarah menjadi 'Monster Killer', bukan setakat 'Giant Killer'. Tetapi akhirnya pada 26 Ogos ini nasib mereka tertakluk kepada apa yang para pengundi rasakan baik untuk politik.

Arif Shah Omar Shah ialah calon underdog yang menentang Anwar Ibrahim yang hebat - yang nasibnya menjadi sebutan di bibir Al Gore, pemimpin Amerika Syarikat yang secara terbuka menyokong hak-hak golongan homoseksual, dan Gus Dur, bekas Presiden Indonesia yang gambarnya meriba seorang wanita muda masih tidak dapat dilupakan oleh sebahagian besar orang Islam di Malaysia.

Menjelang pilihan raya kecil 26 Ogos ini, Anwar membawa bersamanya ke Permatang Pauh satu beban politik yang terlalu berat yang di dunia ini hanya beliau dapat mengusungnya. Dalam satu upacara mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan yang menjanjikan laknat Tuhan hingga ke hari kiamat, bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah menuduh Anwar meliwatnya.

Bagi seorang yang sentiasa mencipta strategi politik yang tidak dapat diimaginasikan, termasuk dengan beraninya sanggup bersembunyi di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu iaitu sehari selepas Mohd. Saiful membuat laporan polis dia diliwat oleh Anwar, Penasihat PKR itu tidak garang dalam kes-kes tertentu. Dengan sumpah laknat Mohd. Saiful membayangi pertimbangan para pengundi, Anwar menunggu tarikh 26 Ogos ini dengan penuh debaran.

Perbuatan beliau melakukan tindakan yang tidak terfikirkan seperti bersembunyi di Kedutaan Turki tetapi pada masa yang sama tidak berani bersumpah menafikan tuduhan Mohd. Saiful tentunya diambil kira oleh para pengundi yang menyedari bahawa sebagai manusia dan orang Islam, bagi mereka, kebenaran adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli dalam politik.

Permatang Pauh akan menghakimi Anwar. Permatang Pauh akan menentukan masa depan Arif Shah.

Sesuatu yang pasti ialah keputusan pilihan raya kecil itu akan menjadi turning point kepada politik orang Melayu dan negara. Prospek sama ada percakaran politik Melayu akan berterusan selama beberapa tahun lagi atau perbalahan dimatikan serta-merta bergantung kepada tekad para pengundi di Permatang Pauh.

Jika mereka memilih Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, orang Melayu di Permatang Pauh dan di luar Permatang Pauh harus bersedia memakai perisai untuk menghadapi pertempuran politik seterusnya - satu senario yang tentunya disukai oleh kawan- kawan Anwar dalam sesetengah parti cauvinis yang anti ketuanan Melayu.

Dengan perisai itulah, yang memberatkan perjalanan mereka, orang Melayu bakal menghadapi perang saudara dalam politik yang terus dicirikan dengan kebencian, pertelingkahan yang tidak produktif dan mungkin juga anarkisme.

Nasib politik orang Melayu dan bukan Melayu selepas 26 Ogos ini nampaknya telah disiapkan. Ia ditentukan oleh takdir politik lelaki berusia 61 tahun bernama Anwar Ibrahim.
.

PKR terima dana dari AS?

dipetik dari utusan_online

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos – Dana yang digunakan oleh calon Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjalankan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini adalah bantuan daripada negara luar terutama sekali Amerika Syarikat (AS).

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, Anwar sendiri telah mengaku tidak mempunyai wang yang cukup untuk berkempen namun masih mampu melakukannya.

‘‘Dia sendiri telah berkata bahawa dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk kempen, malah sanggup meminta bantuan penyokongnya melalui laman web untuk mendapatkan wang.

‘‘Namun, saya hairan bagaimana dia boleh meletakkan bendera dan poster partinya dengan banyak di sini. Oleh itu saya yakin bahawa dia mendapat bantuan AS,’’ katanya.

Khairy berkata demikian ketika memberi ceramah di hadapan kira-kira 3,000 penduduk di Permatang Pasir, di sini semalam.

Menurut Khairy sebagai balasan kepada bantuan yang diterima Anwar itu, perkara pertama yang akan dilakukannya jika berjaya menjadi Perdana Menteri ialah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-AS.

‘‘Saya tahu ini adalah perkara pertama yang akan dilakukannya yang akan menyebabkan rakyat negara ini sendiri rugi,’’ jelasnya.

Tambahnya, dia juga mempunyai maklumat yang Anwar telah berjanji dengan kerajaan AS bahawa satu pangkalan tentera laut akan dibina di Sabah jika hajatnya menjadi Perdana Menteri tercapai.

‘‘Saya sendiri tahu Anwar akan meluluskan pembinaan pangkalan tersebut jika beliau berjaya menunaikan cita-citanya.
.

Permatang Pauh, Islam Makin Jauh : Mufti Perlis

dipetik dari drmaza.com

Seorang wartawan akhbar politik menghubungi saya dan bertanya: “Siapakah yang akan saya undi di Permatang Pauh?”. Saya tidak pasti apakah tujuan soalan itu dikemukakan kepada saya yang bukan ahli politik ini. Saya kira, tujuannya mungkin untuk satu tinjauan umum politik. Namun bak kata orang: “undi anda adalah rahsia”.

Jika beliau tidak lupa, sebelum Pilihanraya ke-12 saya telah memberikan pendapat agar para pengundi mengundi berdasarkan calon, bukan partinya. Walaupun tidak dinafikan peranan sesebuah parti, tetapi Islam menentang sikap taklid buta yang menyokong apa sahaja sekalipun buruk hanya disebabkan sentimen kepuakan atau kepartian.

Saya memberitahu wartawan berkenaan bahawa dunia politik kita sudah semakin buruk. Barangkali nanti, dalam sebahagian besar keadaan, pengundi tidak lagi mengundi untuk memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik, sebaliknya akan memilih yang kurang buruk di kalangan yang buruk. Wajah siasah dicomotkan dengan begitu rupa, sehingga masyarakat sukar untuk menilai sesuatu kejadian atau isu, kerana semuanya ditafsirkan secara politik permusuhan yang menyimpan kesumat dan dendam antara satu sama lain.

Lebih malang lagi, yang bermusuhan bagaikan perang jihad antara tentera Islam dengan musuhnya itu berlaku sesama muslim, sementara orang lain mengambil kesempatan di antaranya mereka.

Mereka yang tidak terlibat dengan politik kepartian pun diheret ke kancah yang buruk tersebut. Ramai yang memburu dan mempertahankan jawatan politik itu berkempen dengan janji bahawa mereka akan memberikan kebebasan yang lebih kepada rakyat. Kebebasan bersuara dan berbicara katanya. Kebebasan rakyat menilai sesuatu pandangan itu dengan adil dan saksama.

Namun hari ini, ramai yang berbicara demikian memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah yang bukan-bukan kepada sesiapa sahaja yang berbicara tidak senada dengan politik mereka. Mencerca mereka yang memberikan pendapat yang berbeza, sekalipun tidak dengan tujuan politik kepartian.

Ternyata, kebebasan intelektual dirampas dengan cara yang rakus. Ramai penyokong aliran politik yang menulis di maya internet dan sms seakan telah tidak lagi percaya dengan kemunculan kematian dan Hari Akhirat. Seakan mereka merasakan Allah gagal untuk mengesan insan-insan yang menfitnah orang lain di sebalik maya internet dan hantaran sms. Mereka bagaikan tidak akan dibicarakan pada Hari Kiamat, maka mereka memiliki lesen untuk mengutuk dan menfitnah sesiapa sahaja yang tidak senada politik dengan mereka.

Pandangan-pandangan ilmiah akan ditolak mentah-mentah jika itu tidak menguntungkan aliran politik yang diperjuangkan. Menolak sesuatu dengan alasan tidak mengapa, tetapi memaki hamun orang yang memberikan pendapat itu menunjukkan adanya kecenderungan membentuk sikap kuku besi dalam aliran politik. Jika gaya politik yang seperti ini berterusan, pemikiran-pemikiran matang dan di luar kotak kebiasaan akan terbunuh dalam masyarakat kita.

Pemimpin-pemimpin politik seakan dilindungi dari segala penilaian dan kritikan. Pandangan dan sikap buruk pemimpin atau parti mereka akan dijustifikasikan dalam berbagai bentuk. Sesiapa yang mengkritik maka dia akan dimangsakan. Lalu masyarakat akan buta warna antara pandangan ilmiah dan serangan yang bertujuan untuk bersaing di medan politik. Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka hanya akan bertanya apa pemimpin politik kita kata.

Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: “Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut.

Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah.

Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam Pilihanraya Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang. Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain.

Perbezaan politik itu telah menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak mereka perjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain? Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai lagi. Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk?

Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara. Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang menjerit-jerit di jalanraya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama.

Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan. Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibubapa membiarkan anak-anak gadis yang masih muda remaja datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas seakan tiada batasan agama. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihanraya.

Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana yang sedemikian rupa mengundang pahala dan redha Allah. Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”.(Surah al-Baqarah ayat 190).

Ada sahabat saya yang hendak datang dari jauh membantu calon pilihannya. Dia hubungi saya bertanya pendapat. Saya kata kepadanya: “jika saudara fikir kedatangan saudara itu termasuk dalam amalan soleh yang diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak, datanglah. Jika tidak, saudara telah membazirkan harta yang Allah berikan begitu banyak”.

Katanya: “ada ustaz bersama saya”. Kata saya: “Halal dan haram itu berdasarkan tunjuk ajar al-Quran dan al-Sunnah, bukan kerana adanya ustaz atau mufti. Berapa ramai ulama Ahlul Kitab yang menjual agamanya. Adakah tergamak untuk saudara yang melazimi solat dan berzikir itu menyertai perarakan dan perhimpunan yang kedengaran padanya perkataan yang kesat, mencemar hak orang lain, carutan dan makian. Tiada tasbih, tiada tahmid, tiada rasa kerendahan diri kepada Allah dalam bersaing untuk menanggung amanah yang dipersoalkan di akhirat kelak.

Inilah politik ala jahiliah yang makin parah. Jika ia berterusan, rosaklah moral dan kematangan generasi mendatang. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik mesti melalui jalan yang baik juga. Sesungguhnya daerah ini daerah fitnah, jika saudara mampu menjauhinya, itu adalah lebih baik. Melainkan jika saudara datang untuk melakukan amar ma’ruf dan nahy munkar dalam setiap yang Islam ajar. Jika datang untuk berdakwah kepada Islam yang sebenar tanpa kepentingan tertentu, silakan. Atau sekadar meninjau, bolehlah”.

Kegawatan politik ini sehingga kita tidak lagi dapat tahu siapa yang jujur, siapa pula yang berlakon jujur. Pelakon drama bukan sahaja berada di atas pentas filem tetapi juga atas pentas politik. Amanah menjadi taruhan. Bagaikan sabda Nabi s.a.w: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari jantung hatinya dan tinggal bagaikan kesan hitam yang kecil. Kemudian dia tidur sekejap, dicabut lagi amanah darinya sehingga tinggal bagaikan kesan melepuh seperti engkau memijak bara dengan kakimu lalu ia melecup. Engkau nampak ia membengkak, tapi dalamnya tiada apa-apa.

Maka manusia pun berurusan, hampir tiada seorang yang menunaikan amanah. Lalu dikatakan “oh dalam puak tersebut ada seorang yang amanah”. Lalu orang menyatakan kepadanya: “alangkah bijaknya dia, alangkah teguhnya dia, alangkah sabarnya dia” padahal tiada dalam jantung hatinya sebesar biji sawi pun daripada iman” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Demikianlah berbagai pelakon politik yang dipuja oleh sebahagian umat Islam di berbagai negara di planet Bumi ini, padahal mereka mungkin pengkhianat umat atau lebih slogan dari realitinya.

Penyakit hilang amanah ini bukan baru. Bahkan lebih daripada itu, sebelum ini pernah ada orang politik dalam negara ini secara berani menyebut tentang sikap tidak amanahnya. Bahkan mempertahankannya. Lupakah kita dulu ada orang yang membeli undi dalam partinya dan memberi amaran sesiapa yang mengambil wangnya tetapi tidak mengundinya akan dituntut di akhirat. Seakan dia akan terus menjadi VIP di sebuah negara kurap di akhirat, di mana hanya orang bawah sahaja yang disoalkan dan yang atas dilepaskan.

Barangkali dia juga fikir akhirat boleh dibeli dengan dolar dan sen seperti mereka yang sibuk menjual borang upah pahala menjelang bulan puasa nanti. Atau seperti yang membeli undi atau kerusi bagi mendapatkan kuasa. Baru kebelakangan ini, apabila rakyat bangkit, orang politik mula takut. Tetapi sudah agak terlambat. Kebencian telah memenuhi setiap ruang sehingga apa sahaja cakap kerajaan benar atau salah sudah enggan dipercayai lagi.

Maka, masyarakat menjadi porak peranda, setiap agenda negara ditafsirkan dengan berbagai prasangka. Semuanya kerana kerakusan dan keegoan yang terlampau yang pernah dilakukan. Setiap kebaikan dipadamkan. Apa sahaja niat yang baik disangka buruk, apatah lagi jika memang dengan niat yang buruk. Banyak pihak sudah mengambil kesempatan atas keadaan ini. Proses memulih keyakinan rakyat pula bagaikan tikus membaiki labu. Jika pemerintah kini cuba mendengar nasihat orang yang jujur, tentu keadaan ini dapat diubah.

Di pihak yang hendak mengganti pun, bukan sedikit masalah yang ada. Bukan untuk berburuk sangka, tetapi berhati-hati sebab ramai disangka amanah belum tentu amanah. Masa depan umat Islam kelihatannya bagaikan terumbang-ambing. Pendirian agama dan prinsipnya bagaikan boleh dijual beli demi kegilaan kepada kerusi dan kuasa. Pendapat agama diserasikan dengan harga ‘kerusi’ di pasaran politik. Ukuran mereka bukan lagi redha Allah, tetapi kehendak politik kepartian.

Maka akad nikah dalam masjid juga, ada unsur ajaran Kristian, tapi tiada siapa yang membantah walaupun sekian lama telah dibuat. Sebabnya, kerana tiada isu politik. Namun, apabila sumpah dalam masjid ada isu politik, ia dibantah walaupun baru sekali dibuat. Sama sahaja macam zakat dan riba. Haram tidak bayar zakat dikempen di sana sini. Haram riba, tidak pula sibuk jabatan-jabatan agama dan kerajaan menerangkannya.

Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi. Ini seperti yang disebut dalam kaedah fekah: “Memilih kemudaratan yang kurang apabila bertembung dua kemudaratan”. (lihat: al-Zarqa`: Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 201, Damsyik: Dar al-Qalam).

Hendaklah dinilai; siapakah yang paling kurang bahaya dibanding yang lain untuk masa depan umat dan negara?. Seperti mana seorang yang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut. Walaupun dia tidak rela untuk memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya.

Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini. Satu pemilihan mesti dilakukan. Jika tidak pun untuk memilih yang terbaik untuk umat Islam dan negara ini, sekurang-kurang memilih yang paling kurang mudarat antara semua. Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim itu membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredhaan Allah s.w.t. Undi ada nilai dosa dan pahala di sisi Allah.

Jika setelah difikir dan dinilai, masih tidak mampu, beristikharahlah kepada Allah, nescaya Allah membuka jalan yang paling diredhai dan paling selamat untuk umat di kawasan berkenaan dan negara ini amnya. Cuma diharapkan tiada orang yang mempolitikkan pula solat istikharah dengan menyatakan ia tidak sah atau sebaliknya atau tidak boleh dilakukan pada musim pilihanraya. Solat istikharah adalah ajaran Rasulullah s.a.w buat sesiapa yang ragu-ragu dalam sesuatu perkara. Barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah kepada Tuhan.
.

23 August 2008

Anwar Semakin Gusar Hari Pengundian Semakin Dekat

BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos (Bernama) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini penuh yakin akan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil Selasa ini, dilihat semakin gusar untuk mempertahankan kerusi yang disandang isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak pilihan raya umum 1999.

Dengan hanya dua hari lagi menjelang hari mengundi Selasa ini, Anwar hari ini mengingatkan para penyokongnya agar tidak terlalu yakin dan harus berhati-hati dalam usaha mereka mengekalkan kerusi tersebut.

"Saya nak ingatkan semua, jangan kita confident sangat dan kita harus berjaga-jaga. Saya juga merayu kepada tuan, puan agar memberikan undi, untuk saya tunaikan janji saya menjaga rakyat di Permatang Pauh.

"Kalau yang datang bagi duit, kalau rasa tak cukup duit, ambiklah. Saya tak ada masalah. Tapi undi kena bagi pada kitalah. Ambil-ambil juga, undi bagilah sini," katanya ketika melawat bilik gerakan PKR di Semilang, Seberang Jaya dekat sini.

Anwar turut mendakwa hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja akan menjejaskan undi yang bakal diperolehnya nanti.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR melepaskan jawatannya pada 31 Julai lepas untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Anwar pada pilihan raya kecil ini dicabar calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 58,459 pengundi berdaftar.

- BERNAMA
.

DAP umum pendirian Anwar 'perdana menteri alternatif '

dipetik dari berita harian online
KUALA LUMPUR: DAP hari ini mengumumkan pendirian parti itu bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri alternatif Malaysia. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ia seiring dengan komitmen parti itu terhadap kerjasama dalam Pakatan Rakyat, membabitkan DAP-PKR-Pas.

Dalam ucapan dasar sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-15 di sini, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, parti itu mahu menjadi rakan yang bertanggungjawab dalam memegang kuasa pemerintahan sejajar dengan matlamat mewujudkan kerajaan rakyat.

Katanya, Pakatan Rakyat adalah pakatan sama rata yang tiada sesiapa akan mendominasi pihak lain. Anwar yang kini bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, sebelum ini mendakwa Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan pada 16 September ini.

Sejak awal minggu ini, tersebar risalah mengenai wujudnya 'Kabinet Bayangan' dengan Anwar menjadi Perdana Menteri serta mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk parti dalam Pakatan Rakyat.

Dalam ucapan dasarnya itu, Guan Eng turut menyentuh mengenai tentangan parti itu terhadap sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang dikatakannya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sidang medianya, Guan Eng mendakwa keputusan kerajaan menurunkan harga minyak semalam adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meraih simpati penduduk dan pengundi di Permatang Pauh.
.

Turun harga minyak bukan gimik politik: Ku Li

dipetik dari mstar online
.
BUTTERWORTH: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong tindakan kerajaan menurunkan harga minyak dan menganggapnya bukan gimik politik menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Selasa ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, tidak salah bagi kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak ketika kempen pilihan raya kerana ia menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) berusaha menunaikan janjinya apabila harga komoditi itu turun di pasaran dunia.

"Tidak ada salahnya walaupun ketika ini demam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Kerajaan juga tidak perlu menunggu sehingga 1 September untuk menurunkan harga minyak," katanya selepas menemui calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah di kediamannya di Jalan Tenggiri di Seberang Jaya di sini, hari ini.
.

490 anggota polis mengundi secara pos hari ini

TUNAI KEWAJIPAN.... Anggota polis Lans Kop Wan Ghazali Ahmad memasukkan kertas undi ke dalam undi pos pada hari mengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda, hari ini.

BUKIT MERTAJAM: Seramai 490 anggota polis hari ini keluar mengundi secara pos untuk pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini.

Proses pengundian itu, yang diadakan di Dewan Gemilang IPD itu, bermula pada pukul 8 pagi ini.

Penolong Pegawai Pengurus Undi Pos Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azizal Ahmad ketika dihubungi Bernama, berkata proses pengundian berjalan lancar dan pengundi mempunyai masa untuk menyerahkan kertas undi masing-masing kepada pihak pengurusan polis sebelum Selasa ini.

Katanya semua kertas undi yang telah ditanda perlu diserahkan kepada pejabat Pengurus Pilihan Raya sebelum pukul 5 petang hari Selasa ini untuk dibuka bagi proses pengiraan undi.

"Kertas undi yang diserahkan selepas pukul 5 petang tidak akan diterima," katanya.

Beliau berkata selain 490 anggota polis, terdapat 171 petugas pilihan raya yang layak mengundi secara pos dan setakat ini, hanya 83 orang sahaja yang memohon untuk membuat pengundian sedemikian.

Katanya semua petugas berkenaan akan mengundi di pejabat pengurus pilihan raya. Sementara itu, pegawai perhubungan media Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Supt. Shaharon Anuar Abdul Latif berkata proses pengundian setakat ini berjalan lancar. Katanya anggota polis berkenaan datang mengundi secara berperingkat kerana mereka sedang bertugas.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Pilihan raya itu diadakan berikutan perletakan jawatan anggota parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu.

Kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, Anwar, yang diiringi beberapa penyokongnya, meninjau proses pengundian secara pos di dewan berkenaan dan dilihat beredar dari situ kira-kira lima minit kemudian.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 58,459 pengundi dengan hampir 66 peratus Melayu, 25 peratus Cina, enam peratus India dan selebihnya kaum-kaum lain.

- BERNAMA
.

Fitnah Anwar terhadap Najib dijawab bersaksikan Allah

dipetik dari agendadaily

Jumaat malam menyaksikan sekali lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjelaskan isu mengenai fitnah yang dilemparkan ke atas dirinya yang dikaitkan dengan wanita Mongolia Altantuya Shariibu dengan bersaksikan Allah. Melafazkan “Wallahi Wabillahi Watallhi” , Najib menegaskaan beliau tidak mengenali Altantuya atau pun mempunyai hubungan atau terlibat dengan wanita tersebut.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Bahawasanya saya tidak terlibat dan mengenali wanita Mongolia yang dikaitkan dengan diri saya.

‘‘Biarlah Allah menjadi saksi di dalam Masjid Guar Perahu yang mulia ini. Saya tidak mahu kata ini sumpah rasmi atau tidak, tapi ini urusan saya dengan Allah. Apa pun tohmahan, saya percaya saya berdiri di atas prinsip yang benar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada satu majlis penyampaian bantuan kepada Masjid dan Surau di Majis Guar Perahu, Permatang Pauh. Pilihan raya kecil Permatang Pauh bukanlah pertama kali fitnah yang menuduh Najib terlibat dengan kes Altantuya disebut.

Sebaliknya calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pilihan raya kecil DUN Ijok di Selangor telah menjadikan fitnah itu sebagai bahan kempennya. Najib pula bukanlah ini kali pertama melafazkan kesaksian kepada Allah menafikan kenal atau terlibat dengan kes Altantuya.

Sebaliknya semasa di Ijok telah tegaskan perkara itu dan disusuli dalam satu perjumpaan tertutup dengan pimpinan UMNO Bahagian seluruh negara di PWTC. Namun, seperti sudah menjadi satu pegangan kepada pembangkang, apabila pihak lain membuat sumpah ia tidak layak dipercayai dan fitnah terus dilemparkan.

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh ini, Anwar sering mengaitkan Najib dengan wanita Mongolia tersebut malah beliau secara sinis mencerca Najib sebagai individu yang terlibat dalam pembunuhan bekas model tersebut.

Sebelum ini ekoran pendedahan isu yang berkaitan dengan Anwar, isterinya yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah kesal kerana serangan ke atas Anwar mengguris hatinya dan keluarga beliau. Namun, dalam fitnah ke atas Najib, apakah Wan Azizah tidak menasihati Anwar agar menjaga perasaan isteri dan keluarga Najib.

Anwar sehingga kini tidak pernah bersaksikan Allah dalam semua tuduhan yang dihadapinya termasuk kes liwat yang membabitkan Saiful Azlan Bukhari.

Sementara itu, Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi menyatakan, beliau sebagai orang mengetahui semua maklumat dairpada keluarga Altantuya menafikan sebarang pembabitan Najib dalam kes berkenaan.

“Saya adalah orang pertama pergi ke Mongolia dan telah membuka semua peti besi yang mengandungi dokumen Altantuya.

“Tiada satu dokumen pun, mahupun gambar, mahu pun video yang babitkan Datuk Seri Najib,” katanya.

.

Nalla dakwa ada 5 pita rakaman dedah Anwar

dipetik dari mstar online

PERMATANG PAUH: Bekas rakan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan mendakwa mempunyai lima pita rakaman, yang kini disimpan di luar, yang jika didedahkan boleh menjejaskan kerjaya politik Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

"(Saya) ada lima pita rakaman di luar negara... kalau saya mati hari ini (kerana telah menerima ugutan dibunuh) ia akan terbang (ke Malaysia)," kata beliau ketika berceramah untuk calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Permatang Pasir malam tadi.

Dalam ceramahnya itu, Nallakaruppan berkata, beliau menerima ugutan mati jika berkempen untuk BN, tetapi bersedia untuk berkorban kerana negara.

Nallakaruppan pernah ditahan dalam penjara kira-kira setahun selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan parti 10 dekad yang lalu.

Beliau telah keluar PKR tahun lalu selepas tidak menerima tiket untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Ijok, Selangor.

Malah dalam ceramah itu kata Nallakaruppan, beliau pernah memberi wang kira-kira RM60 juta kepada Anwar.

"Beliau ada angkat (terima RM60 juta). Suruh dia datang ke sini (Permatang Pasir) dan bercakap.

"Dia ada angkat (ambil), saya beri dia... Kalau saya ada terima wang RM60 juta, saya tak perlu berada di sini," kata beliau.

Nallakaruppan ketika itu merupakan pengarah perhubungan awam Magnum Corporation Bhd.

Beliau berkata, pendedahan ini dibuat kerana rasa cintakan negara ini dan tidak mahu pemimpin yang tidak boleh dipercayai menerajui negara ini.Nallakaruppan berkata, beliau tidak sedikit pun terkejut apabila timbul pelbagai tuduhan terhadap Anwar kerana beliau mengetahui siapa sebenarnya bekas Menteri Kewangan itu yang digauli 30 tahun.

"Selepas main tenis saya tahu mana dia pergi, sebab itu saya tidak terkejut," kata beliau.

Malah, menurut Nallakaruppan, beliau juga ada menerima ugutan supaya tidak berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Beliau telah menerima lebih daripada 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan supaya meninggalkan Permatang Pauh. Nallakaruppan berkata, ugutan-ugutan itu diterimanya sejak beliau menjejakkan kaki ke Permatang Pauh sejak seminggu lalu dan yang terbaru bilik gerakannya di Seberang Jaya didatangi beberapa lelaki India yang membawa bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengancam dua petugasnya.

"Saya terima SMS hampir setiap hari dan hari ini pun ada. Saya telah membuat lima laporan polis setakat ini," kata beliau dipetik Bernama, yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan menambah, SMS itu mengancam nyawanya.
.

Rasuah: Dua exco Perak didakwa Isnin ini

KUALA LUMPUR: Lima daripada enam orang termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Isnin ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat BPR hari ini, siasatan berhubung kes itu telah selesai.

"Bahagian Pendakwaan dan Perundangan BPR berpuas hati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk menuduh lima orang daripada mereka itu di mahkamah," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut BPR sedang menghubungi kesemua yang terbabit supaya hadir ke pejabat BPR Perak pada pagi 25 Ogos dan akan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan masingmasing.

Justeru, BPR berkata tidak timbul soal untuk memohon maaf seperti mana yang dituntut oleh mereka yang berkenaan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerajaan negeri Perak semalam memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran penyiaran laporan yang didakwa mencemarkan nama baik dua anggota Exconya.

Jika gagal, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undangundang dengan meminta ganti rugi daripada pihak terbabit.

Dalam sidang akhbar berasingan, dua Exco berkenaan menuntut media yang menyiarkan laporan berhubung kes rasuah itu menyiarkan kenyataan memohon maaf selain membuat penjelasan bagi membersihkan nama mereka dalam tempoh 24 jam.

- BERNAMA
.

22 August 2008

Isu rasuah Exco Perak: Kerajaan negeri gesa BPR dan media mohon maaf dalam 24 jam

IPOH: Kerajaan negeri Perak hari ini memberi tempoh 24 jam kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran penyiaran laporan yang telah mencemarkan nama baik dua anggota Exconya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu satu sidang media bersama selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang dengan meminta ganti rugi daripada pihak terbabit yang telah membuat dan menyiarkan laporan mencemarkan nama baik dua anggota Exco berkenaan.
Hadir sama di sidang media itu ialah Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Nga Kor Ming serta keduadua Exco terbabit.

Sementara itu, Ngeh berkata BPR dalam kenyataan kepada media mengatakan seorang daripada Exco yang ditahan terlibat dalam rasuah membabitkan RM100,000 untuk satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini serta rasuah seks.

Selain itu, Mohammad Nizar berkata dua anggota Exco kerajaan negeri Perak yang dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan tidak perlu digantung tugas bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya penggantungan tugas kedua-dua Exco itu tidak perlu kerana dakwaan mereka terbabit dalam kes berkenaan tidak dibuktikan.

"Kita akan benarkan proses undang-undang dilaksanakan dengan mengikut ketetapan dan fitrahnya. Kita tidak akan menghalang proses undang-undang," katanya.

Beliau berkata tidak ada peraturan dalam perkhidmatan kerajaan yang menetapkan mereka yang ditahan reman berhubung sesuatu kes perlu digantung tugas.

Katanya pentadbiran kerajaan negeri juga tidak terjejas dengan penahanan reman dua anggota Exco berkenaan, sebaliknya mereka masih meneruskan tanggungjawab dan menghadiri mesyuarat mingguan kerajaan negeri hari ini yang berlangsung mulai 10 pagi selepas dibebaskan.

"Kita akan meneruskan kerjakerja kita sebagaimana yang diberikan mandat oleh rakyat negeri Perak untuk kita mentadbir dan kita mahu menyatakan dengan sejelasjelasnya bahawa kerajaan negeri tetap melawan dan menentang apa-apa elemen rasuah serta apa-apa sahaja penyalahgunaan kuasa," katanya.
.

Harga minyak turun 15 sen mulai esok

dipetik dari mstar online.com

PUTRAJAYA: Harga diesel dan petrol akan turun antara lapan sen dan 22 sen seliter mulai esok, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.


Harga runcit diesel akan dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter, katanya dalam kenyataan akhbar di sini.


Harga baru bahan api itu ditentukan dengan mengambilkira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos hingga 21 Ogos serta penetapan subsidi 30 sen seliter manakala subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk diesel berdasarkan harga baru itu ialah sebanyak 50 sen setiap liter.


"Jemaah Menteri hari ini telah mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru," katanya.


Abdullah berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan lepas.


Harga minyak mentah di pasaran dunia kini adalah sekitar US$121 setong berbanding sebelum ini harganya melonjak sekitar US$140 setong.

Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan lepas berbanding Julai 2007, yang diumumkan hari ini, meningkat pada kadar 8.5 peratus.


"Adalah menjadi harapan kerajaan agar pengurangan harga petrol dan diesel ini akan dapat membantu meringankan beban pengguna serta mengurangkan tekanan inflasi, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keputusan kerajaan ini juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa," katanya.


Pada 1 Ogos, kerajaan mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 haribulan setiap bulan, dengan penetapan subsidi 30 sen seliter.


Namun, Perdana Menteri berkata formula pelarasan harga pam ini hanya akan dilaksanakan sekiranya harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter.


Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan tetap berada pada RM2.70 seliter, katanya.


Pada 5 Jun lepas, kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.


Ketika itu, harga minyak mentah dunia adalah US$125 setong. Selepas itu harga minyak mentah dunia terus melonjak dan ada ketikanya mencecah sehingga US$140 setong.


Bagaimanapun, harga minyak mentah dunia menunjukkan trend penurunan sejak awal bulan ini.
Kenyataan itu tidak menyebut purata harga minyak mentah dunia antara 1 Ogos hingga 21 Ogos.


Mengikut rekod, harga minyak mentah dunia adalah sekitar US$115 setong minggu lepas dan semalam harganya US$121 setong.


Dengan pengumuman baru itu, peratusan harga petrol RON97 turun sebanyak 5.5 peratus, petrol RON92 sebanyak 8.4 peratus dan diesel sebanyak 3.1 peratus.


- BERNAMA


.

Anwar dakwa pemimpin asing sedia bantu beliau

BUKIT MERTAJAM 21 Ogos — Hampir di setiap ceramah, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti menyebut nama-nama pemimpin asing yang menurutnya memberi sokongan kepada beliau dalam usahanya memenangi hati pengundi di Permatang Pauh.

Antara nama yang disebut ialah bekas Presiden Indonesia, Gus Dur atau Abdurrahman Wahid, bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada, ulama terkenal, Yusof Qardhawi dan yang terbaru beliau mengaitkan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair kononnya turut menyokongnya.

Malah, katanya ada pemimpin luar negara yang menawarkan kapal terbang serta mahukan khidmat beliau sebagai penasihat.

“Saya tak mahu dolak dalik. Ada pemimpin dari luar tawarkan kepada saya kapal terbang dan ada juga anak raja Arab yang dua kali telefon saya minta saya jadi penasihat dia. Saya kalau nak, cakap saja apa, anak raja itu akan bagi. Nak rumah macam istana dia bagi, nak gaji besar berbilion-bilion pun dia bagi tapi nak bagi puteri tak tahulah. Dia tak bagi kot.

“Sewaktu saya jadi pensyarah di luar negara, ada juga orang yang tawarkan saya jawatan yang tinggi. Tapi itu saya tak mahu.”

Anwar juga mendakwa kononnya pelabur-pelabur asing sedia membantunya menaikkan ekonomi negara jika beliau menjadi pemimpin.

“Pelabur-pelabur luar pun ada jumpa saya. Mereka cakap, Anwar, kamu pimpinlah negara ini kerana kalau kamu pimpin, ekonomi negara ini akan kami naikkan dalam masa tiga bulan. Itu kamu tak perlu risau,” katanya pada hadirin di ceramahnya di Kampung Pertama, Permatang Janggus dekat sini.

Sebelum ini, beberapa penganalisis politik berpendapat tindakan Anwar mengagung-agungkan pemimpin-pemimpin luar dan menggunakannya dalam setiap kempennya itu memperlihatkan bahawa beliau semakin terdesak.

Mereka berpendapat, sokongan daripada luar tidak dapat mempengaruhi undi dan kebanyakan bekas pemimpin itu masih dipengaruhi oleh dasar dan hubungan yang dibuat oleh Anwar ketika beliau mempunyai kedudukan.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh diadakan pada 26 Ogos ini berikutan peletakan jawatan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberikan laluan kepada suaminya, Anwar bertanding.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

— BERNAMA
.

21 August 2008

Umno tangguh mesyuarat cawangan

Semua mesyuarat cawangan Umno di seluruh negara telah ditangguhkan selama 11 hari ekoran pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Arahan tersebut dibuat oleh ibu pejabat Umno melalui surat pekeliling yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor.

Dalam surat tersebut, semua cawangan diarahkan menangguh mesyuarat masing-masing mulai 18 hingga 29 Ogos ini.Penangguhan tersebut dibuat untuk membolehkan Umno memberi tumpuan membantu calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Permatang Pauh.Penamaan calon berlangsung pada 16 Ogos lalu, manakala hari pengundian akan berlangsung pada 26 Ogos ini.

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru.Calon-calon yang bertanding ialah Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan Hanafi Hamad (Angkatan Keadilan Insan Malaysia).
.

Anwar pernah hentak meja minta lesen empat ekor diluluskan di Sabah - Najib

Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, pernah menghentak meja dan membuang fail meminta kerajaan Sabah meluluskan lesen empat ekor kepada syarikat yang beliau mempunyai kepentingan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata kejadian itu berlaku semasa Datuk Yong Teck Lee menjadi Ketua Menteri Sabah.

"(Beliau) nak lesen itu kerana abangnya pengerusi syarikat berkenaan," katanya semasa berucap di Peti Undi Barisan Nasional di Simpang Empat Seberang Jaya di Permatang Pauh Rabu malam.

Yong dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 1996 hingga Mei 1998, sementara Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga beliau dipecat daripada Umno pada September 1998. Najib berkata beliau bangga dengan tindakan kerajaan Sabah yang berprinsip daripada Anwar kerana tidak meluluskan lesen itu.

"Sekarang dia menyebut-nyebut tentang masyarakat Madani tetapi dulu minta luluskan lesen judi," katanya. Bernama melaporkan sebelum itu, pada satu majlis di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di sini, Najib mengumumkan sumbangan khas sebanyak RM100,000 bagi setiap masjid dan RM30,000 bagi setiap surau di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Beliau juga telah meminta umat Islam bersatu demi menegakkan syiar Islam dan perpaduan ummah. Katanya tindakan itu amat perlu memandangkan ketika kini banyak pihak yang cuba mencabar Islam terutama melalui penganjuran forum terbuka.

"Dengan bersatu tidak bermakna kita hendak menggugat hak orang lain, tetapi kita perlu membuat orang merasa segan dan hormat kepada kita," katanya.
.

Kempen di Permatang Pauh, senarai 'Kabinet' Anwar muncul di Parlimen

dipetik daripada mstar online.com.my

KUALA LUMPUR: Demam pilihan raya kerusi Parlimen Permatang Pauh turut merebak ke ibu negara apabila risalah keanggotaan Jemaah Menteri 2008 pimpinan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tersebar meluas di lobi Parlimen hari ini.

Senarai tersebut muncul di Permatang Pauh sejak malam kelmarin - hari keempat kempen pilihan raya kecil kerusi tersebut.

Masing-masing parti utama yang bertanding menafikan bertanggungjawab menyebarkan risalah sedemikian.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah hari ini menafikan ia dilakukan oleh BN.

Ia didapati turut diedarkan kepada pekerja-pekerja pilihan raya BN di Seberang Jaya.

Anwar juga menimbulkan taktik tersebut pada sidang media di Permatang Pauh pagi semalam.
Senarai tersebut mengandungi wakil ahli politik Pakatan Rakyat dalam agenda mereka ingin membentuk kerajaan menjelang 16 September depan.

Kabinet tersebut yang terdiri daripada 25 orang mempunyai tiga Timbalan Perdana Menteri tanpa memasukkan wakil PAS sebagai orang nombor dua.

Dalam risalah yang diedarkan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Naib Presiden PKR, R.Sivarasah turut diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman dan Undang-undang.

Sementara Presiden Persatuan Sabah Maju, Datuk Yong Teck Lee turut dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Bandar.

Selain itu, jawatan menteri kanan Kabinet pula adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Ehwal Agama, Presiden DAP, Karpal Singh menjadi Menteri Hal Ehwal Integriti dan Hubungan Persekutuan.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula dinamakan sebagai Menteri Kewangan II dan anak kepada Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut dinamakan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, Kit Siang yang ditemui berkata, beliau belum berpeluang melihat risalah tersebut dan tidak tahu mengenainya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang ditemui berkata, penyebaran senarai nama ahli Kabinet tersebut merupakan satu niat jahat terhadap Anwar.

"Kami sangat kesal dengan tindakan murahan ini. Ini merupakan satu propaganda di saat kita sedang mengharungi pertarungan politik.

Beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Tegasnya, terdapat banyak cara lain yang boleh digunakan untuk memperoleh sokongan daripada rakyat.

"Rakyat tidak akan tertipu dengan dakyah sedemikian, rakyat peka dengan apa yang berlaku," katanya.

Tambah beliau, pembangkang tahu siapa dalang di sebalik penyebaran risalah itu namun beliau enggan mendedahkannya.

"Kami tahu siapa dalang di sebalik penyebaran risalah ini.Saya tidak perlu menamakan mereka," katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, penyebaran risalah itu didalangi oleh pihak yang takut mereka akan tewas dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, 26 Ogos ini.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek berkata, perbuatan menyebarkan risalah tersebut bukan dari Umno mahupun BN.

"Saya tidak tahu siapa yang meyebarkannya. Ia bukan dari Umno mahupun BN," katanya di sini.
.

18 August 2008

Dedah permintaan Wan Azizah kepada PM

dipetik dari kosmo online

BUKIT MERTAJAM - Penduduk di Tanah Liat malam kelmarin didedahkan dengan kisah kesusahan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dibantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 lalu.

Bekas Ketua Angkatan Muda parti itu, Ezam Mohd. Nor (gambar) memberitahu, beliau membawa Wan Azizah berjumpa Perdana Menteri bagi membantu meringankan masalahnya.

Katanya, ketika berjumpa Abdullah, Wan Azizah meminta tiga perkara bagi membantu meringankan beban suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu berada di penjara.

Permintaan pertama ialah untuk membawa Anwar keluar dari penjara bagi membolehkannya mendapatkan rawatan di hospital.

"Perdana Menteri membuat panggilan telefon dan Anwar dibawa keluar pada waktu malam dari penjara ke hospital.

"Tidak pernah dalam sejarah, penjara dibuka waktu malam untuk membawa banduan ke hospital.

"Namun, Abdullah berbuat demikian bagi membantu meringankan kesusahannya," kata Ezam ketika berceramah di Tanah Liat di sini malam kelmarin.

Permintaan kedua ialah untuk membawa Anwar ke luar negara bagi menjalani rawatan dan perkara itu Abdullah memberitahu beliau tidak berjanji, sebaliknya sedia menimbang.

Permintaan ketiga pula ialah meminta Perdana Menteri tidak campur tangan dalam kes rayuan Anwar di mahkamah.
.

17 August 2008

Seruan Terbuka Kepada PAS - "Lupakanlah Muzakarah dengan UMNO"

Isu Muzakarah ini sudah terheret terlalu jauh. Sejak 'terbongkarnya' isu muzakarah UMNO - Pas ini, pelbagai lapisan masyarakat memberikan respon positif dan berharap ianya akan menghasilkan sesuatu yang boleh memberikan keuntungan kepada bangsa Melayu dan Islam. Harapan rakyat membuak-buak agar detik-detik bersejarah Muzakarah ini akan membawa pulangan yang mana nikmatnya bukan hanya untuk Islam malah turut memberi faedah kepada seluruh rakyat negara ini.

Para pimpinan dan ahli UMNO seluruh negara menyambut baik pertemuan antara Perdana Menteri dan pimpinan utama Pas. Mereka senada memberikan kepercayaan penuh kepada Presiden UMNO itu untuk mencari jalan merungkaikan halangan utama kepada perpaduan di kalangan umat Islam di negara ini. Bukan rahsia lagi masalah yang menjadi penghalang kepada perpecahan di kalangan umat Islam negara ini adalah politik kepartian.

Justeru inisiatif yang diambil oleh Perdana Menteri dengan mengajak pimpinan Pas bersemuka bagi membincangkan masalah umat adalah satu langkah terpuji yang tidak seharusnya disangsikan oleh sesiapa yang beragama Islam.

Pak Lah sebagai orang yang paling berkuasa di negara ini tanpa segan silu mengajak 'orang yang tiada kuasa apa-apa' untuk berbincang dari hati ke hati perihal kepentingan agama Islam mencerminkan keikhlasannya sebagai pemimpin unggul yang ikhlas untuk melihat bangsa dan agamanya terus diperkukuhkan.

Pada peringkat awal, Muzakarah ini telah menampakkan kemajuan yang ketara dengan kedua-dua pihak dilihat mengutamakan kepentingan agama melebihi kepentingan parti masing-masing. Bukankah itu merupakan tuntutan Islam ? Meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya.

Tahniah juga diucapkan kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mewakili Presiden Pas mengetuai beberapa orang pimpinan Pas bermuzakarah dengan Perdana Menteri.

Namun setelah berita Muzakarah ini tersebar, dalam Pas telah terbahagi dua antara golongan menyokong dan menentang.

Presiden, Timbalan Presiden, Timbalan Mursyidul Am Pas dan Majlis Syura adalah antara mereka yang beranggapan perlunya Muzakarah dengan UMNO ini.

Tetapi Mursyidul Am Dato' Nik Aziz Nik Mat menentang keras idea muzakarah dengan UMNO ini sehingga menampakkan perbezaan pendapat yang jelas dengan Presiden Pas sendiri. Ini tidak menghairankan kerana penasihat-penasihat rapatnya seperti Dato' Husam Musa dan Dato' Kamaruddin Jaafar adalah dikenali umum sebagai 'pengkagum utama Anwar Ibrahim'.

Lantas untuk merungkai perkara ini, Presiden mengetuai beberapa orang pimpinan Tertinggi Pas terbang ke Kota Bharu mengadap Nik Aziz di JKR 10 untuk memberikan penjelasan lanjut. Hasilnya setelah diberi penerangan sejelas-jelasnya, Nik Aziz akhirnya akur dan menerima idea Muzakarah tersebut dengan sedikit 'pindaan istilah' - Muzakarah haruslah digantikan dengan istilah Muqabalah.. yang sebenarnya untuk mewujudkan alasan penolakan Nik Aziz sebelum ini.

Tidak mengapalah istilah Muzakarah atau pun Muqabalah, asalkan maksud pertemuan itu yang sebenarnya menjadi keutamaan, bukan istilahnya.

Masyarakat yang mulanya agak khuatir dengan masa depan Muzakarah ekoran penentangan keras Nik Aziz sebelum ini, mula merasa lega dan seluruh negara mendoakan agar Muzakarah ini akan berlangsung dengan jayanya apabila melihat Ulamak-ulamak Pas mula merestui tindakan Presiden mereka untuk bermuzakarah dengan UMNO.

Tetapi Pas hari ini tidak sama seperti zaman awal penubuhannya. Pimpinan Pas kini juga tidak seikhlas seperti zaman Dato' Asri menjadi Presidennya. Ramai pemimpin Pas terutama yang baru hendak meningkat naik lebih mengutamakan kuasa dan 'hasil apabila berkuasa' dengan terus menerus membantah Muzakarah berkenaan. Kata-kata Presiden dibantah sewenang-wenangnya. Pandangan Majlis Syura diketepi. Pada mereka apa pun yang terjadi, Pas tidak boleh sekali-kali berhubung dengan UMNO walaupun atas kadar perbincangan biasa.

Tindakan ini tidak lain dan tidak bukan bagi menjaga hati sekutu mereka, DAP dan PKR kerana Muzakarah UMNO - Pas dilihat hanya akan menyebabkan mereka berkecil hati. Malahan lebih dari itu, muzakarah itu dilihat hanya akan menggagalkan angan-angan mereka untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada 16 Mei sebagaimana yang diratib oleh Anwar Ibrahim.

Pendapat Presiden mereka sudah tidak ada nilai. Pandangan Majlis Syura Ulama mereka juga sudah tidak releven lagi dengan tuntutan semasa kerana keghairahan membentuk kerajaan Malaysia bersama PKR dan DAP. Ini diakui sendiri oleh Timbalan Mursyidul Am, Dato Dr Harun Din yang mengatakan ahli UMNO lebih berdisiplin berbanding ahli Pas kerana menghormati dan patuh arahan Presiden berbanding Pas yang lebih banyak mempersoalkan.

Kini setelah mesyuarat panas selama 5 jam, Majlis Tertinggi Pas memutuskan isu Muzakarah bersama UMNO selesai dan tidak akan diteruskan lagi. Keputusan ini bukan sahaja telah mengecewakan masyarakat keseluruhannya malahan telah memberikan kemenangan peribadi kepada Anwar Ibrahim yang pastinya menjadi orang paling bimbang jika Muzakarah ini menjadi kenyataan.

Nampaknya pengaruh Anwar dalam Pas semakin kuat sehingga menenggelamkan suara ulama Pas dan secara tidak langsung memaksa Presiden Pas akur dengan desakan 'dalaman' yang menentang Muzakarah tersebut.

Orang yang kelihatan paling kecewa dengan pembatalan Muzakarah ini adalah Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas. Kecewa bukan kerana beliau merupakan watak utama dalam usaha menjayakan muzakah sebelum ini, tetapi kecewa kerana perjuangan Pas sudah hilang arah tuju kerana ketamakan kuasa dan harta dunia.

Kekecewaan beliau diluahkan dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda Pas Pusat yang mempersoalkan kenapa Pas tidak boleh berbincang dengan UMNO yang sama bangsa dan sama agama, sedangkan Pas boleh saja bergabung dengan DAP yang dari dulu sehingga kini menentang Islam dan sampai bila-bila pun akan terus menentang Islam.

Kekecewaan beliau amatlah berasas. Masakan tidak, untuk muzakarah dengan UMNO, Nik Aziz meletakkan pelbagai syarat antaranya mesti melaksanakan Hukum Hudud terlebih dulu tetapi tidak kedengaran pula syarat sebegitu apabila Pas bekerjasama dengan DAP dan PKR. Mungkin draf pelaksanaan Hudud di Pulau Pinang, Perak dengan Selangor sudah siap dan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat agaknya.

Nik Aziz juga memberi alasan tidak boleh bekerjasama dengan UMNO kerana kononnya UMNO tidak mengamalkan Islam. Apakah DAP dan PKR mengamalkan Islam sebagaimana yang dikehendaki PAS sehingga menghalalkan pakatan PAS dengan kedua-dua parti berkenaan? Atau adakah mungkin Pas telah berbincang dengan Karpal Singh atau Lim Kit Siang untuk melaksanakan pentadbiran Islam di Pulau Pinang dan Perak?

Jika alasan bergabung dengan UMNO juga akan menyebabkan undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan, apakah setelah menguasai 5 negeri sejak pilihanraya umum lalu Pas sudah dapat melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negeri berkenaan?

Kemuncak alasan yang diberikan Pas setelah gagal memikirkan alasan-alasan lain adalah jika bersama dengan UMNO tidak menepati tuntutan Islam.

Kita terima sajalah alasan itu kerana rupa-rupanya tuntutan Islam dalam Pas adalah bersama dengan DAP yang sampai kiamat menentang Islam, bukannya bersama dengan UMNO yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara, menjaganya sejak merdeka dan meletakkan Islam di tempat tertinggi dalam negara ini.

Kalau itulah matlamat negara Islam Pas, maka wajar sangatlah Muzakarah dengan UMNO tidak diteruskan.

Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasminya tanpa ada kompromi dengan agama-agama lain walaupun tidak pernah menghalang penganut agama lain mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini mengangkat institusi Islam seperti masjid dan surau melebihi tempat-tempat ibadat agama lain, bukan menyama-tarafkan kuil-kuil, gereja, tokong dengan masjid apabila memberikan mereka kebenaran membesarkan rumah-rumah ibadat tanpa had seperti keputusan kerajaan baru Selangor apabila berkuasa.

Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini tidak akan sekali-kali membenarkan penternakan babi dikomersilkan, cukup sekadar memenuhi keperluan setempat masyarakat bukan Islam berbanding negara Islam gabungan PAS-DAP-PKR yang telah memperuntukkan RM100 juta duit rakyat untuk membina Pusat Penternakan Babi besar-besaran di Sepang. Apakah negara Islam Pas mahu menjadi pengeksport babi terbesar di dunia?

Negara Islam Malaysia yang UMNO jaga ini menyediakan masjid-masjid dengan pelbagai kemudahan agar dapat dimanfaatkan oleh umat, berbanding kerajaan Islam gabungan PAS-DAP-PKR di Selangor yang mana di bebarapa kawasan meminta volume azan diperlahankan dengan alasan mengganggu ketenteraman orang bukan Islam.

Isu Muzakarah rupanya tidak habis begitu sahaja. Ia dibincangkan dengan panjang lebar dalam Muktamar Pas Pusat yang berakhir semalam.

Antara Resolusinya adalah memberikan kepercayaan kepada barisan kepimpinan Pas untuk meneruskan Muzakarah dengan UMNO. Pulak dah. Kejap boleh, kejap tak boleh. Kejap perlu, kejap tak perlu. Rakyat pening memikirkan keputusan Pas yang macam biskut ini. Ternyata Pas sendiri masih keliru dengan pendiriannya sama ada untuk terus istiqamah memperjuangkan Islam atau duduk sekandang dengan DAP dan PKR.

Kepada Pimpinan dan pengikut Pas, usahlah bersandiwara dengan rakyat di sebalik kesediaan kembali bermuzakarah dengan UMNO. Berpeganglah dengan keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu tidak akan ada lagi Muzakarah dengan UMNO.

Teruskanlah Muzakarah dan bergabung dengan DAP dan PKR kerana mereka lebih menepati syariat Islam berbanding UMNO. Teruslah Muqabalah dengan DAP untuk membina negara Islam dengan acuan mereka tiga beradik, PAS-DAP-PKR.
.

Muktamar PAS ‘ pecah kebisuan’

Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ

Sejak tsunami pilihanraya umum lalu lagi, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim beria-ia benar pukul canang menyatakan beliau bakal menjadi Perdana Menteri. Bermula dengan angan-angannya pada bulan April, membawalah kepada Mei dan Jun dan terakhirnya 16 September 2008, mantan Timbalan Perdana Menteri itu bertegas menyatakan beliau tetap akan menjadi Perdana Menteri.

Malah, beliau sudahpun menjanjikan pelbagai tawaran termasuk menurunkan harga minyak sehari selepas memegang tampuk pemerintahan. Pilihanraya kecil bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh adalah landasan terakhir bagi membolehkannya bergelar Yang Berhormat dan kemudiannya dipilih oleh ahli-ahli parlimen lain, termasuk 31 orang yang didakwa akan melompat dari Barisan Nasional (BN) menjadi Perdana Menteri.

Demikianlah senario yang dilihat umum sebelum berlangsungnya Muktamar Agung PAS di Ipoh Jumaat. Sebelum itu, Dewan Pemuda dan Muslihatnya pada muktamar masing-masing telah menzahirkan suara-suara yang tegas. Bermula daripada perwakilan Pemudanya, hinggalah ke perwakilan umum, semalam, ahli-ahli dan pemimpin PAS senada menyatakan mereka mahu Presiden parti, Datuk Seri Hadi Awang diangkat menjadi Perdana Menteri kerana kewibawaan dan perjuangannya.

Kata mereka, selaku ulama, Hadi adalah lebih layak berbanding dengan Anwar.

Selama ini, PAS tidak pernah bersuara sepertimana Anwar berkokok di merata tempat. Tidak berkokok tidak bermakna tidak berminat, itulah yang ditonjolkan oleh PAS melalui Muktamarnya di Ipoh kali ini.

Lagipun, menurut parti itu, Anwar atau sesiapapun tidak pernah berbincang dan menyetujui Anwar menjadi Perdana Menteri jikapun berlaku sebarang perubahan kuasa pada bila-bila masa.

Adalah mustahil, ketika bermati-matian dalam perjuangan politik, PAS tidak berminat memegang tampuk pemerintahan. Lantaran itu, ia tidak mendabik dada tentang kemampuan dan kebolehan parti dan pemimpinnya. PAS lebih berpegang kepada semangat tunggu dan lihat tetapi pada waktu yang sama bekerja keras mencari kejayaan dan melonjak ke hadapan.

Kenapa muktamar di Ipoh menjadi ‘pemecah kebisuan’ para penyokong dan pemimpin PAS? Sebabnya agak mudah iaitu mereka tidak mahu berkokok siang dan malam kerana ‘ayam jaguh’ sebenarnya tidak begitu sifatnya. Yang berbunyi sepanjang masa itu adalah ‘tin kosong’

Muktamar atau perhimpunan agung adalah landasan yang betul untuk menyatakan hasrat dan matlamat. Namun, apabila PAS telah menyatakan hasratnya dan dibuat pula pada saat-saat kempen pilihanraya Permatang Pauh sedang bermula, adakah PKR dan Anwar sendiri faham maksud tersirat yang hendak disampaikan oleh PAS?

Para perwakilan ke muktamar itu sudahpun meleraikan perasaan mereka iaitu jika pakatan pembangkang meminggirkan perjuangan Islam, eloklah pakatan itu sendiri dipinggirkan.

Jika amaran itu ditujukan kepada DAP, memanglah semua orang mudah memahaminya kerana parti itu memang tidak akan menerima Islam. Peringatan itu sebenarnya ditujukan kepada PKR yang dilihat oleh semua pihak termasuk ahli-ahlinya sendiri tidak jelas matlamat dan landasan perjuangannya.

Parti itu bermula dengan hasrat menegakkan keadilan kononnya untuk membela Anwar yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menghadapi pelbagai masalah perundangan yang berkesudahan dengan beliau duduk di rumah rehat Sungai Buloh.

Adakah masih sedemikian hasrat parti itu? Entahlah, tetapi yang menarik kini ialah PAS juga nampaknya seperti tertunggu-tunggu juga tarikh 16 September 2008 – tarikh Anwar mendakwa akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri.

Itu hasrat Anwar. Beliau sudah pujuk puluhan orang ahli parlimen BN untuk mencapai matlamat itu. Hasrat PAS pun sudah dijelaskan. Bagaimana pula hasrat baki ahli parlimen BN yang tidak melompat untuk menyokong Anwar?

Wakil-wakil BN atau sekurang-kurangnya UMNO yang tidak menyeberang, mungkin boleh fikir cara lain. Jika benar ada rakan-rakan yang akan meninggalkan BN mereka tentulah boleh berjabat tangan dengan rakan-rakan dalam PAS pula.

Dengan keadaan ini, tidaklah mudah sebenarnya untuk Anwar mencapai cita-citanya. Ada yang masuk dan ada juga yang boleh keluar, jadi jumlah ahli parlimen yang bersama-samanya tidak akan kekal seperti yang beliau hitung.

Dalam masa PKR sibuk berkempen di Permatang Pauh kini, parti itu juga harus mengukuhkan ‘pematangnya’ di kawasan-kawasan lain. Riak-riak yang dipamerkan oleh PAS masa kini boleh membawa maksud yang berbagai-bagai.

Anwar mungkin merasa selesa kembali bertanding di kawasan lamanya yang selama ini ditampung oleh isteri tersayang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Namun, menang atau kalah beliau di kerusi tersebut belum boleh dijadikan tiket untuk menjadi Perdana Menteri kerana Pas juga sudah bersiap dengan hasratnya dan hasrat itu pula tidak mungkin hasrat semata-mata. Pastilah hasrat itu juga disertai perancangan dan strategi.

Para pengundi di Permatang Pauh yang selama empat penggal lalu memberikan sokongan kepada Wan Azizah, pasti bukan semuanya berpaut kepada PKR. Sebaliknya, ramai adalah orang PAS. Kali ini mereka boleh mencorakkan atau menjadi penentu sama ada Anwar boleh menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya.

Jika mereka menyekat kemaraan Anwar di Permatang Pauh, terkuburlah hasrat penasihat PKR itu! Akan cerahlah peluang PAS……..! - 16/8/2008
.