SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

22 August 2008

Harga minyak turun 15 sen mulai esok

dipetik dari mstar online.com

PUTRAJAYA: Harga diesel dan petrol akan turun antara lapan sen dan 22 sen seliter mulai esok, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.


Harga runcit diesel akan dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter, katanya dalam kenyataan akhbar di sini.


Harga baru bahan api itu ditentukan dengan mengambilkira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos hingga 21 Ogos serta penetapan subsidi 30 sen seliter manakala subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk diesel berdasarkan harga baru itu ialah sebanyak 50 sen setiap liter.


"Jemaah Menteri hari ini telah mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru," katanya.


Abdullah berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan lepas.


Harga minyak mentah di pasaran dunia kini adalah sekitar US$121 setong berbanding sebelum ini harganya melonjak sekitar US$140 setong.

Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan lepas berbanding Julai 2007, yang diumumkan hari ini, meningkat pada kadar 8.5 peratus.


"Adalah menjadi harapan kerajaan agar pengurangan harga petrol dan diesel ini akan dapat membantu meringankan beban pengguna serta mengurangkan tekanan inflasi, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keputusan kerajaan ini juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa," katanya.


Pada 1 Ogos, kerajaan mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 haribulan setiap bulan, dengan penetapan subsidi 30 sen seliter.


Namun, Perdana Menteri berkata formula pelarasan harga pam ini hanya akan dilaksanakan sekiranya harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter.


Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan tetap berada pada RM2.70 seliter, katanya.


Pada 5 Jun lepas, kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.


Ketika itu, harga minyak mentah dunia adalah US$125 setong. Selepas itu harga minyak mentah dunia terus melonjak dan ada ketikanya mencecah sehingga US$140 setong.


Bagaimanapun, harga minyak mentah dunia menunjukkan trend penurunan sejak awal bulan ini.
Kenyataan itu tidak menyebut purata harga minyak mentah dunia antara 1 Ogos hingga 21 Ogos.


Mengikut rekod, harga minyak mentah dunia adalah sekitar US$115 setong minggu lepas dan semalam harganya US$121 setong.


Dengan pengumuman baru itu, peratusan harga petrol RON97 turun sebanyak 5.5 peratus, petrol RON92 sebanyak 8.4 peratus dan diesel sebanyak 3.1 peratus.


- BERNAMA


.