SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

03 July 2008

Petikan Perang Mulut Ibrahim Ali dengan Karpal Singh


Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, sesi soal jawab telah berakhir. Jam sekarang ini 11.30.

[Masa untuk Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan telah tamat]

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, peraturan mesyuarat. Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 4. Saya nak bertanya Tuan Yang di-Pertua, apabila Tuan Yang di-Pertua dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua, ianya dipilih secara sebulat suara dan seseorang Yang di-Pertua mengisi jawatan Yang di-Pertua dalam Dewan ini dianggap atau pun memang disifatkan sebagai kerusi yang mulia sebab apabila Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, sesiapa sahaja masuk dalam Dewan ini, ianya mesti tunduk kepada Yang di-Pertua dan saya menyanjung tinggi apabila Yang di-Pertua meletak jawatan Ketua UMNO Bahagian apabila mengisikan kekosongan, mahu mengisi jawatan sebagai seorang Speaker tetapi yang saya paling dukacita apabila saya baca akhbar hari ini iaitu mengenai dengan kenyataan Tuan Yang di-Pertua mengatakan Yang Berhormat Puchong meminta maaf kepada Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Puchong pula mengatakan dia tidak minta maaf.

Kalau ianya tidak dilaporkan oleh akhbar, saya tidak kisah sangat pun mungkin saya bangkit juga tapi keluar dalam akhbar yang dibaca oleh semua rakyat dan sepanjang saya memerhati perjalanan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya cukup kagum sebab menangani masalah dalam Dewan ini tidak mudah tetapi saya tengok kesabaran Tuan Yang di-Pertua hanya sekali sepanjang sidang ini seorang Ahli Parlimen telah diminta keluar. Yang saya ingat waktu saya menjadi Ahli Parlimen dulu tahun 1986 dan 1990 di waktu Allahyarham Tun Zahir menjadi Speaker, boleh dikatakan selang sehari juga Ahli-ahli Parlimen diminta keluar tetapi Tan Sri begitu sabar dan kenyataan itu seolah-olah apabila Tan Sri mengatakan ahli Puchong minta maaf, ahli Puchong kata tidak minta maaf, ia membayangkan seolah-olah Tuan Yang di-Pertua bercakap bohong dan ini kerusi yang dimuliakan.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya tidak boleh terima jadi saya nak minta Yang Berhormat Tan Sri membuat ruling dan membuat kenyataan apa yang sebenarnya bagi membetulkan persepsi rakyat terhadap Dewan yang mulia ini. Kalau tidak, ianya mencemarkan nama Dewan Rakyat ini. Saya tidak boleh terima perkara ini Tuan Yang di-Pertua. Saya amat menyanjung tinggi tentang kerusi Tuan Yang di-Pertua sebab itu walaupun saya juga ada sifat agresif jugalah, saya mengakui tapi saya tahu mematuhi peraturan mesyuarat. Apabila dalam Dewan saya patuh, di luar Dewan saya akan bercakap benar kerana bohong itu salah dan tidak baik di sisi Islam. Saya minta ruling.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Tuan Speaker, point of order.

Tuan Yang di-Pertua: Boleh saya buat keputusan dulu kepada satu point of order selepas itu...

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Yang sama Tuan Speaker.

Tuan Yang di-Pertua: Boleh saya cakap yang dulu itu, selepas itu baru saya cakap.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Ada kaitan dengan Peraturan Mesyuarat 4.

Tuan Yang di-Pertua: Juga? Sila.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Jadi bermakna saya akan buat keputusan sekali.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Tuan Speaker, jika seseorang yang boleh dihormati membangkitkan perkara seperti ini bahawa Peraturan Mesyuarat 4, saya terima tetapi seorang yang ada digelar sebagai ‘katak’, seorang yang tidak ada maruah langsung, tidak ada hak untuk membangkitkan perkara ini dalam Dewan yang mulia ini hari ini. Orang ini tidak ada hak kerana dalam sejarah orang ini telah lompat dari satu parti kepada parti yang lain.

Dato' Seri Azmi bin Khalid [Padang Besar]: Apa kena mengena dengan peraturan mesyuarat ini?

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Khasnya dia ada dalam parti lompat bukan bebas.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, cukup. Yang Berhormat Pasir Mas, cukup.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, kejap-kejap. Saya minta Ahli Parlimen yang lain jangan campur, jangan campur. Ini boleh bertemu buku dengan ruas. Saya tak hairan sikit pun. Ya, tak ada kena mengena!

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Tuan Speaker, saya belum habis.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Ini sangkaan jahat. Tak ada kena mengena!

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Dia cakap duduk. Katak, katak.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Dalam parti DAP pun ada katak!

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Katak duduk.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Eh barua, barua!

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas, cukup.

Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [Lenggong]: Nampak sangat...

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas, Yang Berhormat Bukit Gelugor, sudahlah.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Eh, dulu masuk ISA menangis!

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Yang di-Pertua, 36(12).

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Pahat, duduk dulu semua. Duduk dulu. Macam mana saya boleh buat keputusan kalau sekali gus bercakap?

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Saya belum habis.

Tuan Yang di-Pertua: Sudah. Saya tahu.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Tuan Speaker, saya belum habis.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Bukit Gelugor, kalau pun belum habis, saya tahu tujuan yang sebenar. Yang persoalan ini mengenai dengan diri saya. Biarlah saya buat keputusan mengenai apa yang berlaku. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau ikut peraturan mesyuarat, ikut pengamatan saya, pengamatan saya hampir semua tidak mengikuti peraturan mesyuarat termasuk Yang Berhormat Bukit Gelugor, termasuk Yang Berhormat Pasir Mas, termasuk semua pada sesuatu ketika. Itulah makanya kali-kali saya terpaksa memberi penjelasan bahawa tugas Yang di-Pertua cuma mempengerusikan Mesyuarat. Untuk mendisiplinkan diri, patuh kepada Mesyuarat, itu terpulang kepada diri masing-masing. Menuduh seorang yang bukan-bukan. Saya pun pernah pindah parti tapi tak semestinya katak. [Tepuk]

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Ini kenyataan. Bukan saya membela apa-apa. Cuma apa yang berlaku kelmarin adalah begini. Pertama, dalam peraturan mesyuarat, apabila kita membuat rujukan kepada surat khabar itulah makanya Ahli-ahli Yang Berhormat, minta izin dengan izin ini yang dilapor. Tidak semestinya apa yang dilapor itu betul. Jadi makanya apa yang saya terbaca pada hari ini walaupun disebut oleh Yang Berhormat Pasir Mas begitu, satu akhbar saya baca dia menyatakan perjumpaan saya dengan Yang Berhormat Puchong dua jam. Tidak betul. Bagi saya, apabila Yang Berhormat Puchong jumpa saya kelmarin, maka itu pada tengah hari saya membuat keputusan bahawa saya kata saya anggap perkara ini adalah perkara sudah selesai.

Jadi apa yang berlaku selepas Yang Berhormat Puchong jumpa dengan saya, dia buat kenyataan akhbar, itu soal lain lagi, soal lagi. Yang Berhormat Puchong hari ini ada. Betul dia jumpa saya, apa yang dia sebut dalam akhbar, dia kata dia jumpa saya, dia minta clarification bahawa sama ada bila dia boleh masuk dan sedemikiannya, saya kata tomorrow can, boleh. Cerita dia bahawa cordial, betul cordial. Semua buku-buku di depan saya kena buat reference sama ada saya silap ke dia silap ke siapa ke saya sudah bagi tahu bahawa sesiapa yang mengeluarkan point of order mesti sekarang ini substantive by reference. Jangan lagi point of order, point of order mengikut pendapat sendiri. Itulah makanya saya bawa Erskine May. Jangan sama sekali ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang berdiri point of order sahaja inti pati sendiri pada ketika itu baru berdiri langsung tidak tahu menahu apa objektif point of order.


Jadi terpulang kepada Yang Berhormat Puchong untuk membetulkan itu, apa yang dia sebut kelmarin kerana bagi saya, saya tidak percaya apa yang dilapor di akhbar. Sebagai contoh peraturan mesyuarat tidak perlu kita dengar apa di luar, yang penting di sini. Yang Berhormat Puchong ada. Jadi saya tidak juga boleh membuat ruling kepada soal ini kerana ini melibatkan diri saya. Apabila saya percaya apa yang tercoret dalam akhbar, bermakna saya dipanggil sebagai liar. Itu betul tetapi saya tidak percaya apa yang tertulis kerana ada kadang-kadang kedapatan bahawa tidak betul seperti dua jam, tidak ada dua jam. Lebih kurang 5-6 minit atau sepuluh minit begitu.


Jadi saya tidak boleh keputusan terhadap itu cuma persepsi yang saya akan gambarkan di sini, saya tidak jemput Yang Berhormat Puchong datang ke bilik saya. Dia datang, dia tanya bila? Dia hujah sebut “I am sorry to put you in thi”. Dia tanya kesihatan saya. Secara gentleman saya kata ‘....’ ada Ahli-ahli Yang Berhormat sometimes give me all this pressure which is very unnecessary’. Jadi, kalaulah umpamanya kita panjang lebarkan lagi ini, adakah ini merupakan satu tindakan yang boleh menjamin bahawa tidak ada lagi Ahli-ahli Yang Berhormat yang melanggar peraturan mesyuarat. Tidak boleh kamu jamin. Ada juga akan melanggar peraturan mesyuarat tetapi kalau juga Majlis ini mahu juga mengambil tindakan kepada Yang Berhormat Puchong kerana soal yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pasir Mas dan secara kebetulan pula Yang Berhormat Bukit Gelugor bukan membantu saya. Menghangatkan lagi Dewan dengan mengatakan, mengeluarkan cakap ketam, lompat katak, apa lah benda yang pandai lompat.

Saya pun pernah lompat parti, maka saya tidak boleh mengambil keputusan kepada itu. Biarlah Majlis yang mahu mengambil keputusan nanti. Kalau ada satu dan timbalan saya datang ke sini, kerana saya ada interest saya terlibat, tetapi saya nyatakan di sini bagi saya, kalau pun ada tindakan diambil pada seseorang ianya tidak menjamin bahawa Parlimen Malaysia akan tertib melalui daripada itu. Terpulang kepada Ahli Yang Berhormat. Itu sudah soal Majlis, bukan lagi soal saya.

Bagi saya, apa yang berlaku di antara saya dan Yang Berhormat Puchong kelmarin, saya puas hati apa yang dia hujah pada saya. Setelah dia berjumpa dengan saya, apa yang di hujah di luar, yang dilapor oleh akhbar itu deal dia dengan akhbar. Saya tidak percaya dengan apa yang dilapor kerana inconsistency ada berlaku. Saya tengok di TV semalam, channel TV3 dan RTM1 tidak berlaku seperti apa yang dihujah oleh Yang Berhormat Pasir Mas.

Saya harap termasuk Yang Berhormat Bukit Gelugor. Sir, please you are one of the most experiences Parliamentarian here. Tolonglah mulai daripada saat ini, saya merayulah Parlimen Ke-12 ini, jadikan sebagai satu Parlimen di mana fikiran-fikiran bercambah di sini dengan begitu tertib, waras, baik untuk kepentingan masyarakat.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Bukan untuk kepentingan saya secara peribadi. Cuma, jagalah kerusi ini sekali sekala.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Yang di-Pertua, mahu penjelasan sahaja Tuan Yang di-Pertua.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Seorang demi seorang. Itu minta penjelasan.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Saya bangun dahulu.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Batu Pahat dahulu.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Saya bangun dahulu.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Yang di-Pertua, semalam saya membangkitkan soal.

Tuan Yang di-Pertua: Tidak apa, tidak apa. Sekarang ini pun siapa yang bangun dahulu jadi pertengkaran.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Okey, tidak apa. Saya duduk.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Sila.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Yang di-Pertua, cuma saya memohon sedikit penjelasan. Saya membangkitkan semalam soal bimbang perkara ini menjadi precedence. Jadi, oleh kerana Yang Berhormat Puchong ada di sini. Bolehkah kita bertanya dengan beliau bahawa sebenarnya apa yang dia katakan, dia tidak meminta maaf itu adalah benar ataupun tidak. Kalau tidak...

Tuan Yang di-Pertua: Boleh tidak umpamanya kalau perkara ini kamu bincang setelah saya tidak duduk lagi di sini.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Okey, boleh.

Tuan Yang di-Pertua: Because involve ini. Saya sudah beri penekanan tadi, bahawa apa yang disebut di depan saya...

Tuan Gobind Singh Deo [Puchong]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: ...itulah makanya saya buat keputusan kelmarin bahawa saya kata saya anggap perkara ini selesai. Jadi, apabila saya sudah tidak duduk di sini kalau Ahli Yang Berhormat sendiri, Majlis ini adalah Majlis Ahli Yang Berhormat bangkitkan, terpulang kepada Ahli Yang Berhormat. Saya tunggu dahulu Timbalan Yang di-Pertua 1, untuk duduk di sini. Jadi, mohon maaflah Ahli Yang Berhormat kerana semua ini pun timbul daripada gelagat Ahli Yang Berhormat juga.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Ini, point of order Tuan Yang di-Pertua.
[Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Saya kata jangan lagi, tunggu. Tunggu saya diganti. Yang Berhormat Padang Serai duduk dahulu. Terima kasih.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya. Apa dia Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Tuan Yang di-Pertua. Ini 36(4), adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa yang kurang sopan “Get out”. Sebentar tadi, Yang Berhormat Pasir Mas beberapa kali menggunakan kata “barua”. Dewan ini tidak boleh terima satu perkataan sebegitu. Dewan yang mulia ini perlu dihormati.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Bangun]

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: This is unparliamentary dengan izin. Saya mahu satu keputusan dibuat.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, Yang Berhormat Pasir Mas.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga ingin merujuk pada peraturan mesyuarat yang saya bangkit di waktu Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan sidang ini dan bersekali dengan apa yang dibangkit oleh Yang Berhormat Padang Serai. Saya menyebut perkara “barua” ini sebab ada pihak yang mengatakan...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Kena explain point of order yang mana satu Yang Berhormat.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Point of order, satu yang nombor 4, yang tadi 36. Saya pergi yang 36 dahulu. Saya tidak pernah mengatakan pada mana-mana pihak apabila saya tanya dalam Mesyuarat tadi bersabit dengan kedudukan kenyataan yang dibuat oleh Tuan Yang di-Pertua dengan Yang Berhormat Puchong secara profesional. Saya digelar katak dan kalau marah saya sebut perkataan “barua” kepada Yang Berhormat Padang Serai,...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Baik Yang Berhormat.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya boleh tarik balik perkataan barua! Itu dia.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Cukup Yang Berhormat.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya tarik balik itu. Saya tarik balik barua!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Cukup Yang Berhormat
.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua, saya pula.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, saya nak perjelaskan.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Yang Berhormat Pasir Mas duduk, cukuplah.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya hendak minta peraturan. Ini empat yang saya bangkit awal-awal tadi.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Ketawa]

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Untuk membetulkan kenyataan Tuan Yang di-Pertua dengan Yang Berhormat Puchong yang keluar dalam akhbar yang mengatakan maaf dan tidak maaf kerana ia menjejas Dewan Rakyat ini. Jadi, saya bagilah kawan-kawan yang lainlah hendak bercakap. Terima kasih.
.

NAJIB TEGASKAN TIDAK KENAL ALTANTUYA

KUALA LUMPUR 3 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, akuan bersumpah pegawai penyiasat P. Balasubramaniam berkaitan hubungannya dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu merupakan usaha terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengalihkan perhatian umum terhadap dakwaan liwat yang dihadapinya.

Timbalan Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak mengenali Altantuya.Menurutnya, akuan bersumpah itu merupakan satu pembohongan yang amat dahsyat, rekaan semata-mata, berniat jahat, berunsur fitnah dan bertujuan mencemarkan imej beliau.

"Saya amat yakin ia usaha terdesak oleh Anwar untuk mengalihkan perhatian terhadap tuduhan liwat yang dihadapinya,'' kata beliau pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Najib mengakui beliau ditemui oleh Mohd. Saiful Bukhari untuk mendapatkan nasihat setelah mendakwa dirinya diliwat Anwar.
.
– Utusan.

Dakwaan liwat: Mufti Perlis minta Anwar, Saiful bersumpah

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini kali kedua berhadapan dengan isu dakwaan meliwat dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya 'mubahalah' (bersumpah).

"Daripada bertengkar tidak tentu arah, saya syorkan mubahalah agar dapat menyelesaikan kekalutan isu liwat ini. Disebabkan isu yang semakin kalut ini, rakyat menjadi celaru," kata beliau dalam Kuliah Hadith lewat malam semalam di Masjid Alwi, Kangar Perlis.

(Rakaman ucapan Mufti Perlis boleh diakses di laman web beliau http://www.drmaza.com/).

Asri menjelaskan: "Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berbohong. Dia kata dia, ada kata orang ni. Ada kata konspirasi, niat jahat sampai rakyat berkelahi dan bertumbuk. Macam-macam cerita kita dengar.

Di sebalik isu berkenaan, Asri berkata, beliau kecewa kerana politik tanah air kini menjurus ke arah tindakan mengaibkan satu sama lain.

"Dalam Islam, pada asalnya tidak boleh buka aib orang, cerita peribadi orang tidak boleh dedah pada orang lain. Tapi dalam politik Malaysia sekarang, main lawan dedah aib. Dua kali lima, lima kali dua. Semua dok pakat bongkar hal orang," katanya lagi.

Tambah Asri, beliau tidak berhasrat membela sesiapa dalam isu liwat tersebut.

"Saya tak nak bela sesiapa. Yang untungnya, surat khabar laku. Asalnya memang perkara peribadi macam ini tidak boleh dedah," katanya.

"Ada orang kata kena kemukakan empat orang saksi. Saya tidak setuju sebab budak (Saiful) ini mendakwa diri dia sendiri (seorang diri), bukan orang lain.

"Pihak yang mendakwa (Saiful) hendaklah mendatangkan bai'nah (bukti). Sila bersumpah pada orang yang dituduh yang dia tidak melakukannya.

"Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini... 'Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya' dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi... saya tidak melakukannya," katanya.

Selepas bersumpah, kata Asri, kedua-dua pihak dan semua orang kena senyap dan tidak perlu memberikan sebarang ulasan lanjut.

"Ini benda peribadi tapi sudah jadi urusan rakyat. Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah," kata Asri.

Kata Asri, politik pada asalnya ialah satu tanggungjawab khilafah yakni memakmurkan dunia dan khalifah yang dilantik mesti menegakkan agama dan menguruskan dunia.

"Tapi sekarang politik sudah jadi lawan tuduh dan lawan dedah. Gelanggang yang kotor. Tokoh Turki Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'," ujar beliau.

Katanya, tokoh agama Rasyid Ridha pula pernah berkata, "Aku berlindung dengan Allah daripada politik dan apa sahaja terbitan politik".

Beliau turut merujuk pertama kali mubahalah dilakukan dalam satu peristiwa pada zaman Nabi apabila puak Kristian di Najran mempertikaikan kebenaran Nabi.

"Nabi telah membawa Hussin, Hassan dan Fatimah dan mencabar puak Kristian di Najran untuk bermubahalah iaitu laknat-melaknati atas nama Tuhan tapi puak Kristian Najran tidak berani...," katanya.

Seperti yang terkandung dalam Ayat 59-61, Surah Ali-Imran di mana antara lain, Allah berfirman,"Kebenaran itu dari Tuhanmu. Jangan kamu termasuk dalam golongan mereka yang ragu. Setelah datang kepada engkau keterangan dan ilmu. Katakanlah pada mereka semua..."

Katanya lagi, ulamak Al Abbas pernah melakukan mubahalah, begitu juga Ibnu Hajar Al-Asqalani (penyusun kitab Bulughul Maram) pernah mencabar pendapat kesesatan ahli sufi Ibnu Arabi dengan mubahalah apabila pertengkaran mereka melarat sampai ke pengetahuan Sultan.

"Ketika itu, Ibnu Hajar dan Ibnu Arabi bermubahalah di mana dia berkata kalau Ibnu Hajar berada di atas petunjuk Allah, Allah akan laknat aku dan begitu juga jika dia berada di atas kesesatan Allah."

Kata Asri, mubahalah itu dilakukan pada bulan Ramadan. Bila tiba bulan Zulkaedah, bapa saudara Ibnu Arabi buta mata dan mati.

.

Dakwaan liwat Anwar tiada kaitan Ezam sertai semula Umno

KUALA LUMPUR: Bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd. Nor yang kembali ke pangkuan Umno bulan lalu menegaskan, beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang konspirasi yang didakwa wujud untuk menjatuhkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Malah kata Ezam, isu dakwaan meliwat yang dihadapi semula oleh Anwar, buat kali kedua dalam tempoh satu dekad, juga tiada kaitan dengan tindakan beliau menyertai semula Umno."Saya tidak terlibat langsung... ia juga tidak berkait dengan kemasukan (semula) saya ke dalam Umno," kata Ezam ketika dihubungi hari ini.

Pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor semalam, Anwar berkata, tiga orang yang dikenali Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, terlibat dalam rancangan dakwaan meliwat membabitkan beliau.

"Saya pasti tuduhan ke atas saya mesti dirancang oleh ketiga-tiga karakter ini, bukan orang lain," katanya.Pada sidang akhbar itu Anwar juga mendakwa Saiful mempunyai hubungan akrab dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak; isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai khas Najib, Khairil Anas Yusof.

Anwar turut membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Ketika mengulas lanjut, Ezam berkata, masalah yang dihadapi oleh Anwar seharusnya diselesaikan secara peribadi dan mengikut lunas agama.

"Saya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa, malah sejak kes (pertama) tahun 1998, isu-isu ini seharusnya diselesaikan menerusi pendekatan bukan politik," katanya.
.

LIWAT MELIWAT KERANA KUASA?

dipetik dari Blog Ruhanie Ahmad

Banyak pihak telah memprovokasi saya untuk membuat posting mengenai tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya mendiamkan diri buat beberapa ketika kerana mengkaji dan menyaksikan seluruh babak perkembangan harian mengenainya.

Saya bertindak begini kerana pada saat dan ketika ini wujud terlalu banyak teori konspirasi bertebaran di Malaysia - mengenai pelbagai hal, dengan aneka motif, membabitkan beberapa personaliti besar, segala-galanya kerana kuasa.

Tetapi, dalam diam saya saksikan betapa heronya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menjamin keselamatan Anwar tidak akan tergugat. Dalam diam saya saksikan betapa kesiannya Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa menafikan pembabitannya dalam kontroversi liwat ini. Dalam diam saya saksikan betapa ghairahnya Datuk Seri Syed Hamid Albar membuat kenyataan demi kenyataan juga mengenai kes yang sama. Dalam diam juga saya saksikan betapa Amerika Syarikat cuba campur tangan dalam kelam-kabut ini.

Persada Kuasa

Maka, sikap hero Abdullah dalam perkembangan ini pun seolah-olah disanjung dan dipuji. Maka, seolah-olah terlupalah rakyat jelata akan soal Abdullah yang sepatutnya telah mengundurkan diri dari persada kuasa negara dan siasah UMNO sesudah PRU12. Maka, seolah-olah terlupalah rakyat jelata akan kedolak-dalikan Abdullah dalam soal peralihan kuasa kepada Najib yang indah khabar dari rupa. Maka, seolah-olah terlupalah rakyat jelata kepada tindakan-tindakan adhok kerajaan Abdullah dalam menangani kenaikan harga bahan bakar kebelakangan ini.

Pada waktu yang sama, seolah-olah terkapai-kapailah Najib dihambat penafian demi penafian yang sememangnya mesti beliau lakukan demi survival dan kerjaya siasahnya yang sedang diharu-birukan oleh kelompok-kelompok tertentu yang tidak mahu beliau mewarisi kuasa daripada Abdullah. Maka, terkapai-kapailah Anwar untuk menafikan tuduhan berkenaan yang dibuat oleh seorang pemuda berusia 23 tahun. Maka, hebat dan ghairah sungguhlah “adegan wayang” membelasah dan menyesah AS dilakukan oleh banyak pihak. [Moga-moga ini jadi pengajaran kepada AS supaya jangan sekali-kali masuk campur urusan dalaman kita.]

Bagaimanapun, dalam diam juga saya dapati seolah-olah wujud satu common denominator mengenai Najib dan Anwar dalam senario ini. Kedua-duanya jadi defensif. Najib jadi defensif kerana telah ditohmah sebagai pihak yang mendalangi perkembangan ini. Anwar pula jadi defensif dalam usahanya untuk menafikan tuduhan ke atas dirinya sendiri.

Siapakah yang membuat strategi supaya Najib dan Anwar jadi defensif sedemikian rupa? Adakah ianya pihak yang tidak mahu Najib mewarisi kuasa daripada Abdullah? Adakah ianya pihak yang cuba menyekat Najib daripada menandingi Abdullah untuk jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti Disember 2008 ini? Adakah ianya pihak yang cuba menghalang Anwar daripada menggugat masa depan politik Abdullah menerusi pelbagai cara dan pendekatan? Adakah ianya pihak yang cuba melakukan psywar untuk mencipta kesan reversed psychology yang memihak kepada Anwar? Siapakah tangan ghaib sebenarnya di sebalik percaturan ini?

Proksi Dan Boneka

Ketika ini saya tidak terdaya untuk memberikan jawapan kepada seluruh persoalan di atas. Tetapi, mustahilkah jika matlamat akhir kepada segala-galanya ini adalah mengenai kuasa? Fikirkanlah sendiri, siapakah antara pemain utama dalam peraturan kuasa di Malaysia mutakhir ini? Siapakah individu utama di sebalik takhta dan kuasa selama ini? Siapakah yang tergamak meliwat politik dan masa depan siapa semata-mata kerana kuasa? Siapakah antara individu yang didakwa bermain kuasa secara proksi? Siapakah antara individu yang dikatakan melaksanakan kuasa secara boneka? Siapakah individu yang sanggup menghalalkan apa jua cara kerana kuasa? Siapakah yang telah tergamak berbohong kerana kuasa?

Berapa ramai antara kita sudi menganalisa situasi mutakhir ini secara tajam dan rasional? Berapa ramai di kalangan kita sedia melihat babak-babak sarkas media mutakhir ini dan sanggup mempersoalkan mengapakah ianya jadi sebegitu ghairahnya? Berapa ramai antara kita sanggup merungkai pelbagai kemungkinan di sebalik kegawatan suasana ini?

Berapa ramaikah antara kita yang berani menganggap bahawa senario mutakhir ini adalah satu diversion, satu operasi bendera palsu, satu kaedah untuk melalaikan kita semua daripada memfokus kepada soal politik yang amat mendesak untuk diselesaikan dengan segera? Berapa ramaikah juga antara kita yang berani mengatakan bahawa apa yang sedang berlaku sekarang adalah tindakan terancang untuk memesongkan kita semua daripada soal kesengsaraan hidup yang kita alami akibat kenaikan harga minyak yang nampaknya ditangani oleh pihak berkuasa menerusi kaedah yang kurang berkesan dan kurang bijaksana?

Kembali Fokus

Lantaran itu, wajarlah kita kembali fokus kepada masalah semasa kita yang lebih penting – menyelesaikan krisis kepimpinan dan keyakinan yang membabitkan Abdullah dan mengatasi masalah kesulitan hidup yang juga wujud dalam era kepimpinan Abdullah. Lantas, wajarlah kita serahkan soal liwat meliwat ini kepada kebijaksanaan polis untuk menyiasatnya secara rapi dan professional.

Oleh itu, kalau ada pihak yang hari ini menyindir kononnya saya mendimkan diri dalam hal ini kerana sedang bertapa di sebuah gua, tulisan ini adalah hasil pertapaan minda saya kebelakangan ini. Saya serahkan tulisan ini untuk diadili oleh masa dan keadaan.

Kini, kita tunggu dan kita lihat, siapakah yang akhirnya akan beroleh manfaat paling besar daripada kisah liwat meliwat mutakhir ini. Dan, tanyalah juga kepada diri sendiri, adakah senario mutakhir ini juga merupakan mukadimah kepada kemungkinan Malaysia akan dilanggar todak? Fikir-fikirkanlah!

ANWAR TIDAK NAFI PERGI KE KONDOMINIUM TEMPAT LIWAT DIDAKWA BERLAKU

JENG JENG JENG...Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak pernah nafi pergi ke kondominium Desa Damansara tempat kejadian liwat didakwa berlaku.
.
Katanya, beliau akan jelas mengenai isu itu kemudian. Beliau kata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat di pejabat PKR hari Rabu. - 2/7/2008

Mohd. Saiful beri keterangan kepada polis

KUALA LUMPUR 2 Julai - Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang membuat laporan polis mendakwa dia di liwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibarahim malam ini dibawa ke balai polis Brickfield untuk diambil keterangan.

Mohd. Saiful yang tinggi lampai tiba di IPD Brickfields pada pukul 8.10 malam. Dia memakai baju kemeja lengan panjang berwarna putih, berseluar gelap dan menjinjing sebuah beg kecil berwarna hitam.

Dia diiringi masuk ke IPD itu oleh seorang anggota polis berpakaian preman. Mohd. Saiful, 23, tersenyum memandang sekumpulan pemberita dan jurugambar yang berada di pekarangan balai dan sempat melambai-lambaikan tangannya.

Rais Minta AS Jelas Kenyataan Mengenai Kes Anwar

BANGKOK, 2 Julai (Bernama) - Malaysia mahu Amerika Syarikat menjelaskan di bawah undang-undang mana ia hendak "menentang sebarang penggunaan penguatkuasaan undang-undang atau prosedur kehakiman" berhubung dakwaan liwat terhadap penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim berkata beliau akan menulis kepada jurucakap Jabatan Negara AS Tom Casey meminta penjelasan dan menentang dakwaan bahawa aduan liwat itu bermotif politik. Rais berkata beliau hairan mengapa sebuah kuasa besar seperti AS mahu memaksakan pandangannya ke atas Malaysia dan hanya yang berkaitan dengan Anwar."

Kerajaan berpendapat ia (kenyataan AS) adalah pencabulan jelas terhadap sebuah negara merdeka...Malaysia adalah sebuah negara yang mematuhi undang-undang dalam konsep komuniti antarabangsa," kata beliau selepas melawat Kedutaan Malaysia di sini hari ini. Rais, dalam lawatan tiga hari ke Thailand, berkata kes itu adalah yang mudah melibatkan aduan oleh seorang warga negara dan polis hendaklah dibenarkan menjalankan penyiasatan dan mahkamah membuat keputusan.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada Washington berikutan amaran yang dibuat oleh AS itu kepada Malaysia. Casey meminta Malaysia memisahkan politik dari sistem perundangan, dengan menyatakan "Kami (AS) akan menentang sebarang penggunaan penguatkuasaan undang-undang atau prosedur kehakiman bagi apa saja selain tujuan sah undang-undang".

Beliau seterusnya berkata Anwar pernah dibebaskan dari sabitan tuduhan liwat dan berharap tidak akan wujud satu "corak di sini". Mengenai kejadian Anwar mendapatkan perlindungan di kediaman Duta Besar Turki ke Malaysia, Barlas Ozener, Rais berkata ini satu pengajaran penting bagi setiap orang bahawa kedutaan asing tidak harus menjadi tempat perlindungan mana-mana orang yang disiasat di bawah undang-undang biasa. Beliau berkata kementeriannya yang memanggil Ozener Isnin lepas, tidak bercadang melanjutkan perkara itu dengan kerajaan Turki dan menganggap perkara itu selesai."

Kami tidak ada apa hendak bertikai (dengan Turki). Ia cuma publicity stunt oleh Anwar," kata Rais.

- BERNAMA