SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 August 2008

PAS P Pinang duduk atas beranda...

PAS Pulau Pinang kecewa dengan sikap kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu yang didakwa telah meminggirkan parti itu di negeri berkenaan.

"Kita sudah lama hendak jumpa mereka tetapi sehingga hari ini belum dipanggil lagi.

"Oleh itu, PAS Pulau Pinang seolah-olah duduk di atas beranda sahaja. Panggillah kita duduk di atas kerusi," kata wakil Pulau Pinang, Mohd Pahwi Wahab, ketika membahaskan ucapan dasar presiden di muktamar PAS ke-54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Mohd Pahwi berkata: "Empat bulan menikah tak kan tak ada pening dan muntah-muntah lagi, seolah-olah tidak sentuh tangan lagi."

PAS Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang wakil dalam kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh DAP.

Dalam ucapannya, Mohd Pahwi mencadangkan supaya PAS Pusat mewujudkan sebuah badan pemantau untuk memantau ucapan dan tulisan pemimpin parti yang terkeluar dari dasar parti.Katanya, jawatankuasa disipilin parti perlu memandang serius kerana ada ahli PAS yang mula berpecah kerana perkara tersebut.

"PAS Pulau Pinang tidak menentang perjumpaan dengan mana-mana pihak asalkan ia tidak mengelirukan ahli," katanya lagi.
.

Pas perlu tampil pertahan cara saiful angkat sumpah

BUKIT MERTAJAM 16 Ogos – Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor mendesak Pas tampil mempertahankan cara Mohd. Saiful Bukhari Azlan mengangkat sumpah kerana ia dilakukan mengikut proses Islam.

Menurut Ezam, memandangkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan sumpah tersebut, maka sebagai sebuah parti Islam, Pas harus mempertahankannya.

"Saya ada banyak kawan-kawan di kalangan parti Pas, jadi saya yakin mereka akan meletakkan Islam lebih daripada kepentingan lain.

"Saya percaya mereka akan melihat isu ini dengan serius dan berlaku adil kepada Saiful kerana bukan senang untuk seseorang itu melakukan sumpah laknat seperti yang dilakukan oleh bekas pembantu khas Anwar itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah pada proses penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini hari ini.

Menurut Ezam, untuk berlaku adil kepada Saiful, pihak-pihak yang mempertikaikannya perlu meneliti dakwaan berkenaan dan memberi ruang kepada Saiful mendapatkan keadilan.

"Tetapi kalau saya sebagai Anwar, saya tidak akan cakap banyak, terus buat sumpah yang sama di masjid untuk membuktikan bahawa diri saya tidak bersalah,'' katanya.

Ditanya mengenai sokongan terhadap Anwar pada pilihan raya kecil ini, Ezam berkata, beliau melihat sokongan yang diberikan itu tidak seperti dulu iaitu pada masa era reformasi.

"Saya nampak mood mereka pun tidak macam dulu. Dulu mereka susah nak menerima apa juga benda melibatkan Anwar termasuk isu-isu melibatkan dakwaan liwat,'' katanya.

- Utusan
.

Proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh


7.25 pagi: Orang ramai mula tiba di pusat penamaan calon di Institut Penguruan Tuanku Bainun. Ramai anggota polis ditugaskan berkawal di situ.

7.37 pagi: sebuah helikopter polis kelihatan berlegar di udara. Terdapat sekatan jalanraya dan kesesakan lalulintas. Penyokong BN dan Pakatan Rakyat berkumpul ditempat yang ditetapkan sambil membawa kain rentang dan bendera parti masing-masing.

7.45 pagi: Penyokong BN dan Pakatan yang dianggarkan seramai 5,000 orang. Jelas penyokong Pakatan lebih ramai daripada penyokong BN. Penyokong PKR membawa plakad bertulis 'Harapan Baru untuk Malaysia'.

7.51 pagi: Calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah tiba untuk menyertai penyokong BN yang berkumpul sejak awal pagi di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, yang terletak kira-kira 600 meter dari tempat penamaan calon.

7.55 pagi: Manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba kira-kira empat minit kemudiannya.

8.12 pagi: 60 anggota FRU berkawal di pintu masuk dan di bahagian dalam pagar pusat penamaan calon.

8.15 pagi: Lim Guan Eng and pemimpin DAP tiba. Terdapat persembahan kebudayaan oleh pihak PKR, termasuk tarian singa dan tarian India, orami melum, sebagai menyambut ketibaan para penyokong Pakatan..

8.25 pagi: Penyokong pakatan mencecah 10,000 orang.

8.30 pagi: Penyokong BN yang dianggarkan kira-kira 3,000 mula berarak ke pusat penamaan calon sambil menyanyikan lagu 'Inilah barisan kita'.

Turut kelihatan ialah pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; ketua bahagian, Datuk Jalil Abdul Majid dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat; Ketua Wanita MCA, Datuk Ng Yen Yen dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai.

8.50 pagi: Penyokong BN sampai di padang Institut Perguruan Tuanku Bainun. Kedua belah pihak bersorak antara satu sama lain. Di sebelah BN, kedengaran laungan 'liwat tetap liwat'. Manakala di pihak Pakatan, penyokongnya melaung reformasi.

Penyokong kedua belah pihak dipisahkan oleh benteng pada jarak 30 meter. Jumlah penyokong BN bertambah manakala penyokong Pakatan kelihatan lebih ramai, sehingga melimpah ke tepi jalan.

9.03 pagi: Calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah sedang menyerahkan borang penamaan calon. Tempoh penamaan calon ialah dari jam 9 pagi hingga 10 pagi, diikuti oleh satu jam tempoh bantahan. Pegawai pengurus pilihanraya dijangka mengumumkan nama calon-calon pada kira-kira jam 12 tengahari.

9.08 pagi: Calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan masuk ke dewan untuk menyerahkan borang penamaan calon.

9.12 pagi: Arif Shah selesai menyerah borang penamaan calon.

9.15 pagi: Anwar dalam proses menyerahkan borang penamaan calon.

9.18 pagi: Anwar selesai menyerahkan borang penamaan calon. Manakala di luar penyokong PKR kedengaran meluangkan 'Saiful penipu'. 'Tangkap boleh boleh'. Turut kedengaran laungan 'Najib' dan disambut dengan jeritan 'Altantuya'.
.
Penyokong PKR juga membawa kain rentang yang berbunyi 'Bersatu kita bersatu, menjulang pemimpin Melayu, Umno terus maju, menipu umat Melayu'. Di sebelah BN pula terdapat kain rentang 'Pastikan kemenangan Barisan Nasional di Permatang Pauh', 'Hidup Umno!!! hidup BN!!!

9.19 pagi: Seorang lagi calon, Hanafi Hamat kelihatan di luar dewan dan dijangka menyerahkan borang percalonan. Beliau adalah presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM)

9.20 pagi: Calon bebas, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman sedang menyerahkan borang penamaan calon.

9.30 pagi: Hanafi Hamat masuk ke dewan untuk menyerahkan borang penamaan calon.
.
9.40 pagi: Dr Mansor Othman selesai menyerahkan borang penamaan calon.

9.45 pagi: Hanafi Hamat sedang dalam proses menyerahkan borang penamaan calon.

9.55 pagi. Hanafi Hamat selesai menyerahkan borang penamaan calonnya.

9.56 pagi: Di luar pula keadaan riuh rendah dengan penyokong kedua pihak 'perang mulut'. Penyokong BN melaung 'liwat tetap liwat' sambil menepuk benteng penghalang.

Penyokong Pakatan pula membalas dengan laungan 'Altantuya' dan turut menepuk benteng penghalang. Juga kedengaran laungan 'Samy Vellu undur undur'. Ini dibalas oleh penyokong BN dengan melaungkan 'Kasihan Saiful' beberapa kali.

Kemudian kedengaran laungan Selawat dari penyokong Pakatan dan disambut oleh jeritan penyokong BN 'Hidup BN'.

10.00 pagi: Proses penamaan calon ditutup, diikuti dengan tempoh sejam waktu bantahan.

10.40 pagi: BN mengemukakan tiga bantahan.

10.55 pagi: Keadaan tegang sedikit apabila seorang penyokong BN bertindak menunjuk punggung ke arah penyokong Pakatan. Dia bagaimanapun dinasihatkan oleh pihak polis supaya jangan berbuat demikian.

Kira-kira 40 anggota FRU kelihatan masuk ke ruang kosong yang memisahkan antara penyokong BN dan Pakatan, tetapi beredar keluar dari situ sejurus kemudian.

11.00 pagi: Tempoh bantahan ditutup. Hanya BN mengemukakan tiga bantahan. Tiada bantahan dari PKR dan calon lain.

11.45 pagi: Pegawai pengurus pilihanraya kecil Permatang Pauh, Roslan Yahya mengumumkan tiga calon akan bertanding - Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamat (AKIM). Dr Mansor tarik diri.

.


Komen Hadi, Najib dan calon AKIM mengenai sumpah Saiful…

Bagi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sumpah yang dibuat Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan petang Jumaat adalah tindakan bodoh dan tidak ikut syariat Islam.
.
Bercakap di Ipoh Hadi anggap cara Saiful memegang al-Quran ketika lafaz sumpah seperti orang Kristian memegang kitab Bible. Sambil menyatakan PAS akan tetap sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh beliau juga sifatkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul yang meminta Anwar turut bersumpah sebagai orang agama yang tidak tahu mengenai agama Islam.
.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula yang diminta mengulas kenyataan Hadi itu selepas penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh anggap ia kenyataan peribadi Presiden PAS itu.
.
“Itu pendapat haji Hadi tetapi pendapat ulama yang betul lain.
.
Dalam perkembangan berkaitan calon AKIM – calon ketiga – dalam pilihanraya kecil itu, Hanafi Hamat sifatkan kenyataan Hadi tidak mencerminkan kehendak agama. Baginya Saiful ikut syarak dan jalan untuk cari kebenaran.
.
Hanafi adalah mudir Pondok Padang Siam di Tanah Merah, Kelantan.
.

PERMATANG PAUH…. TIGA CALON BERENTAP - BN PKR DAN AKIM

CALON Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah bersalaman dengan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat (tengah) sambil diperhatikan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas masing-masing menyerahkan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini, hari ini.
Pada jam 8.40 pagi

Suasana di sekitar pusat penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh di Institut Perguruan Tuanku Bainon dekat Bukit Mertajam terkawal walaupun ‘agak panas’.

Jumlah para penyokong pembangkang yang berkumpul di kawasan sekitar itu nampaknya jauh melebihi penyokong Barisan Nasional.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi calon BN Datuk Ariff Shah Omar Shah masuk ke pusat penamaan calon.

Ramai para pemimpin BN turut hadir untuk memberi sokongan moral.


Pada jam 9 pagi - SEPERTI YANG DIRAMALKAN...

Calon Angkatan Keadilan Islam (AKIM), serpihan PAS, Hanafi Hamat sudah kelihatan di pintu masuk pusat penamaan calon. Ini bakal menjadikan pertandingan tiga penjuru pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pun sudah tiba diiringi beberapa tokoh pembangkang termasuk Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan orang kuat DAP Lim Kit Siang.


9.50 pagi ... JANGAN DAHULUI KUASA TUHAN...

Itu kata Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil yang geram melihat gelagat sesetengah para penyokong pembangkang di Permatang Pauh yang disifatkannya terlalu taksub dengan Anwar.

Bercakap pada para wartawan di pusat penamaan calon pilihanraya kecil itu pagi ini Shahrizat kata ini adalah pilihanraya kecil paling teruk pernah dihadirinya setakat ini. Beliau kesal melihat cara sebilangan penyokong pembangkang suka tunjuk tanda lucah dan sebagainya.


10 pagi - MUNGKIN EMPAT PENJURU..

Selain calon BN Ariff, PKR Anwar dan AKIM Hanafi ... turut kelihatan masuk ke pusat penamaan calon ialah bekas pemimpin PKR P.Pinang Dr Mansor Othman. Beliau juga disebut-sebut nak tanding sebagai calon bebas.


10.39 pagi - SPARE TYRE...

Pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh Mustapha Kamal Yusuf sahkan bahawa Dr Mansor Othman yang turut kemukakan borang pencalonan sebagai calon bebas cuma 'spare tyre' jika apa-apa berlaku pada borang pencalonan Anwar.

Naib Presiden PKR Azmin Ali juga sahkan Dr Mansor masih ahli PKR. Dr Mansor dikatakan akan tarik diri bila semunya beres.


11.44 pagi - TIGA CALON SAHAJA...

SPR umum senarai calon selepas selesai waktu bantahan. Sah hanya tiga calon saja akan berentap dalam pilihanraya kecil itu BN Ariff Shah, PKR Anwar manakala AKIM Hanafi. Apa pun bermula dengan cuaca dan suasana panas tetapi berakhir dingin bila hujan turun dengan lebat sekali di kawasan itu tidak lama selepas penamaan calon selesai.

.

Anwar juga perlu bermubahalah – Mufti Perlis

KANGAR 15 Ogos – Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melakukan mubahalah bagi menghilangkan keraguan orang ramai terhadap beliau selepas pembantunya bersumpah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Jika Anwar juga bersumpah laknat seperti itu, maka jadilah mubahalah dan kita akan lihat hukuman Tuhan nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, oleh kerana Mohd. Saiful Bukhari Azlan sudah bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, bagi menghilangkan keraguan tersebut, Anwar yang didakwa meliwatnya juga perlu bersumpah laknat.

Dr. Mohd. Asri menyifatkan Mohd. Saiful menanggung risiko yang besar apabila membuat ‘mubahalah’ atau sumpah laknat yang mendakwa beliau diliwat oleh Anwar.

Menurutnya, bekas pembantu peribadi Anwar itu akan menghadapi laknat Allah jika dia berbohong dan akan selamat kalau dia bercakap benar.

“Saya terkejut dengan keberaniannya bermubahalah tetapi dia sebenarnya menanggung risiko yang amat besar.

“Jika dia berbohong, banyak kelaknatan akan diturunkan Allah kepadanya," kata beliau.

Mufti Perlis itu ialah tokoh agama yang mencetuskan cadangan supaya Anwar dan Mohd. Saiful melakukan mubahalah.

Dr. Mohd. Asri bagaimanapun berkata, keberanian Mohd. Saiful melafazkan sumpah laknat tersebut menunjukkan pemuda itu yakin dengan apa yang dakwanya.

“Tetapi dia juga perlu faham akan kesan sumpah yang dibuatnya jika dia berbohong," katanya.

Mohd. Saiful hari ini bersumpah laknat mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat oleh Anwar.

Upacara mengangkat sumpah itu dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang.

Dalam upacara yang berlangsung di Dewan Solat Utama masjid berkenaan, Mohd. Saiful, 23, bersumpah disaksikan beberapa pegawai masjid tersebut serta ahli keluarganya.

Turut hadir ialah para pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), antaranya Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.
.

Anwar gadai maruah bangsa – Ibrahim Ali

KOTA BHARU 15 Ogos – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggadai maruah bangsa sendiri apabila menyokong cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tindakan itu hanya kenyataan popular Anwar untuk meraih sokongan pengundi bukan bumiputera menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Katanya, beliau juga sanggup menggadaikan nyawanya jika benar Anwar mahu menghapuskan hak keistimewaan Melayu sedikit demi sedikit.

"UiTM adalah darah daging saya, darah bangsa saya dan saya rela bergadai nyawa untuk mempertahankannya. Jangan sesiapa cuba mengganggu-gugat keistimewaan ini.

"Walaupun saya tidak popular, saya rela tidak menjadi Perdana Menteri, tidak guna menjadi Perdana Menteri kalau menjual maruah bangsa sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Anwar yang menyokong cadangan supaya UiTM membuka kuota 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera .

Anwar dalam sidang akhbar bersama pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, hari ini berkata, angka itu kecil sahaja dan syor yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tepat dan kena pada masanya.

- Utusan.
.

Ibrahim Ali: Budaya tidak sihat Umno menular ke PAS

IPOH: Budaya tidak sihat yang wujud dalam Umno kini mula menular ke dalam PAS, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

"Hanya yang membezakan PAS dan Umno ialah kita belum dengar lagi pemimpin PAS telibat dengan pengambilan minuman keras, judi serta yang berkaitan dengan isu keruntuhan moral," katanya.

Tambah beliau pemimpin PAS hari ini lebih mementingkan kuasa dan pangkat sehingga ada yang merebut pangkat 'datuk'.

Menurutnya ahli dalam komponen Pakatan Rakyat kini lebih menunjukkan ketamakan kuasa melalui perebutan beberapa projek seperti tanah dan konsesi pasir.

Beliau yang hadir sebagai pemerhati berkata demikian selepas menghadiri majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Selain itu katanya Ucapan Dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai 'lembut' dan terlalu umum.

"Banyak isu-isu penting tidak disentuh dengan baik dan berkesan. Isu ekonomi yang melanda negara misalnya tidak dihuraikan dengan jelas," katanya.

Tambah beliau tiada gesaan tegas terhadap kerajaan berhubung isu untuk menurunkan harga minyak memandangkan harga minyak dunia bagi bahan bakar itu kini menurun kepada USD113 setong daripada USD142 setong sebelum ini.

Jelas beliau Abdul Hadi perlu memberi fokus kepada isu-isu penting seperti ini terutamanya apabila muktamar ini adalah yang pertama selepas kemenagan cemerlang pas selepas pilihan raya umum yang lalu.
.

5 calon dipercayai berentap, Permatang Pauh fokus Arif-Anwar

PERMATANG PAUH: Hari penentuan rasmi calon-calon merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh tinggal hanya beberapa jam lagi dengan lima orang dipercayai akan mengemukakan borang penamaan calon di sini pagi esok untuk berentap menawan lebih 58,459 pemilih, 26 Ogos ini.

Setakat petang ini, dua calon sudah mengesahkan akan bertanding - Datuk Arif Shah Omar Shah yang mewakili Barisan Nasional (BN) manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar merupakan wakil rakyat bahagian itu selama empat penggal sejak 1982 sebelum diambil alih oleh isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum 1999. mStar Online difahamkan empat borang penamaan calon telah pun diambil daripada pejabat Suruhanjaya Pilihan Negeri sehingga petang semalam.

Sebelum ini Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) telah menyatakan kesediaan untuk bertanding. Dan, kemungkinan seorang calon Bebas akan turut bertanding.

Bagaimanapun Presiden AKIM, Hanafi Mamat berkata, pihaknya hanya akan mengumumkan nama calon mereka pagi esok - sebelum penamaan calon.

"Kita ada lima nama yang sedang dipertimbangkan dengan mengambil kira pelbagai perkara. Mungkin calon ini dari kawasan tempatan dan mungkin juga dari luar kawasan," kata beliau ketika dihubungi tengah hari ini.

Malah beliau juga berkata, AKIM juga difahamkan kesemua akan ada lima calon termasuk dua daripada Bebas.

Sesi penamaan calon akan bermula pukul 9 pagi selama sejam manakala waktu mengemukakan bantahan adalah antara 10 dan 11 pagi.

"Keputusan rasmi senarai calon akan diumumkan antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari. Jika tiada bantahan, nama calon akan diumumkan dengan segera," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Kata beliau, pihaknya menjangkakan 'suasana hangat' ketika penamaan calon esok sebagaimana pernah disaksikan ketik pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok, Selangor awal tahun lalu, tetapi yakin suasana itu dapat dikawal dengan sokongan semua pihak.

Hampir 20,000 penyokong semua parti dan calon Bebas akan berkumpul di kawasan pusat penamaan calon iaitu Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat meramalkan kemenangan kepada mereka pada ratio 60:40 peratus, tetapi BN pula berkeyakinan ia akan mengubah kedudukan itu ke sebelah pihaknya pada kadar 55:45 peratus pada 26 Ogos ini.

Bahagian Permatang Pauh yang agak 'sunyi' selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu kembali aktif dengan kempen-kempen secara tidak rasmi dan tidak formal, diadakan sepanjang malam tadi hingga awal pagi ini.

Kempen rasmi hanya bermula selepas penamaan calon pagi esok.

Tinjauan mStar Online sehingga awal pagi ini mendapati ''kempen politik'' sudah pun dimulakan sejak pukul 9 malam tadi dengan ucapan berapi kedengaran di kawasan Seberang Jaya dan Penanti - yang masing-masing kini dikuasai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) - komponen Pakatan Rakyat.

Apa yang menarik kedua-dua Dewan Undangan Negeri - sebahagian daripada tiga kerusi DUN dalam Bahagian Permatang Pauh, sudah berubah menjadi "pesta pilihan raya".
.

Rahsia Anwar senjata Ezam di Permatang Pauh

PETALING JAYA: Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor mengulangi pendiriannya bahawa akan mendedahkan semua rahsia Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.

Ezam berkata, beliau sudah tidak dapat lagi menerima segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya oleh Anwar melalui laman-laman blog dan mengambil keputusan nekad untuk membela dirinya.

“Beliau (Anwar) tidak ‘menyerang’ saya secara terus tetapi menggunakan orang-orangnya untuk memburuk-burukkan saya di laman-laman blog termasuk dalam Harakah Daily dan Malaysia Today mengatakan saya masuk Umno kerana wujud konspirasi dan disogok dengan wang.

“Saya akan jawab segala tuduhan itu di Permatang Pauh nanti untuk membersihkan nama saya dan mendedahkan semua rahsia Anwar termasuk sebab sebenar saya meninggalkan beliau (Anwar) kerana sebelum ini, saya sudah beritahu, jika saya masih lagi diserang dengan fitnah-fitnah seperti ini, saya akan lakukannya (dedahkan rahsia),” katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Ezam berkata, dengan mendedahkan semua rahsia Anwar akan membuktikan ‘kepalsuan’ bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang selama ini sering menguar-uarkan bahawa beliau adalah mangsa fitnah dan konspirasi kerajaan Barisan Nasional untuk memusnahkan karier politiknya.
Ezam berkata, esok, beliau dan 100 bekas ahli Pemuda PKR akan ke Permatang Pauh untuk menyertai jentera BN di Bahagian itu untuk menghadapi pilihan raya kecil menentang Anwar pada 26 Ogos ini.

"Saya akan mengadakan banyak perjumpaan tertutup dengan rakan-rakan dari Umno, PKR dan juga PAS untuk menerangkan kepada mereka asas-asas mengapa mereka perlu mengundi BN dan bukan PKR,” katanya.

Ketika ditanya mengenai segelintir ahli Umno yang masih tidak yakin dengan keikhlasannya menyertai kembali parti itu, Ezam berkata, ini bukan masanya untuk beliau cuba mengubah persepsi tersebut.

“Ini bukan masanya. Saya mahu terus bekerja dan menggempur Permatang Pauh untuk menentang Anwar habis-habisan.

“Apa yang penting, saya mahu tunaikan tanggungjawab untuk menyatakan kebenaran dan mendedahkan kepalsuan Anwar.

“Saya yakin jika saya benar-benar ikhlas, mereka akan dapat menilainya sendiri... tidak perlu mengambil hati,” katanya.

Mengenai pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon BN menentang Anwar, Ezam menyifatkan Arif Shah sebagai antara calon terbaik yang dipilih BN.

"Saya mengenali beliau. Beliau memang seorang yang kuat berkerja, berkhidmat dengan cemerlang dan mempunyai rekod hebat kerana berjaya memenangi DUN Seberang Jaya selama dua penggal.

"Tidak mustahil beliau akan merampas kembali kerusi Permatang Pauh walaupun ia adalah kubu kuat Anwar.

"Saya nekad akan bantu beliau (Arif Shah) berjuang habis-habisan," katanya
.

Mufti Perlis: Sumpah Saiful risiko teramat besar

PETALING JAYA: Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin melahirkan rasa terkejut dengan keberanian Mohd Saiful Bukhari Azlan bermubahalah. Namun begitu, beliau menyifatkan sumpah yang dibuat oleh Saiful itu sebagai risiko yang teramat besar.

"Sekiranya dia benar, dia akan selamat tetapi jika dia berbohong lambat laun, kelaknatan Allah akan turun kepadanya dalam berbagai perkara yang tidak tergambar oleh dirinya sendiri," tegas Dr Asri ketika dihubungi sebentar tadi.

Dr Asri yang kini berada di Kota Bharu menghadiri 'Seminar Tajdid' di USM, Kota Bharu berkata, "Keberanian Saiful melafazkan lafaz yang seperti itu menunjukkan samada dia meyakini apa yang dia dakwa ataupun dia tidak faham akan kesan terhadap lafaz berkenaan pada masa hadapan."

Menurut tokoh agama yang lantang bersuara ini, tindakan Saiful itu juga boleh menimbulkan kesangsian dan keraguan terhadap pihak yang dicabar kerana bukan mudah seseorang untuk melafazkan apa yang dilafazkan oleh Saiful.

"Bukan mudah seseorang melafazkan sumpah mubahalah itu melainkan dia dalam keadaan tidak siuman ataupun dia sedar apa yang diyakini itu benar," katanya lagi.

Tambahnya, "Oleh kerana akan timbul kesangsian pihak yang dicabar dan untuk menghilangkan keraguan masyarakat maka pihak yang didakwa iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim hendaklah melafazkan sumpah bermubahalah dengan bentuk yang sama. Maka jadilah mubahalah yang mana kita akan lihat hukuman Tuhan nanti."

Ketika ditanya bagaimanakah pendirian beliau kini setelah Saiful bermubahalah, Dr Asri berkata, "Adapun saya tidak pernah menyatakan secara putus siapa yang benar, siapa yang salah."
.

Saiful bersumpah 'mubahalah' di Masjid Wilayah

Saiful (kanan) yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpahnya. -foto THE STAR

KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu kes diliwat disebut di mahkamah, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini petang ini.

Saiful, 23, memilih hari Jumaat untuk menyempurnakan upacara sumpahnya.

Pada pukul 6.23 petang, Saiful yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan Mohd Lazim yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpah.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Imam Masjid Wilayah Persekutuan, bapa saudara Saiful, 'Uncle Pet', beberapa pegawai masjid berkenaan, ahli keluarga Mohd Saiful, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) iaitu Datuk Che Mat Che Ali dan pegawai dari Jawi.

Sambil memegang al-Quran, Saiful yang duduk bersila di atas sejadah sambil mengadap kiblat dan diperhatikan bapanya, telah memulakan upacara 'bermubahalah' dimulai dengan mengucap dua kalimah Syahadah sebanyak tiga kali dan bacaan Al-Fatihah.

"Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut....

A'uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi...Wabillahi....Wata'alahi.

Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam."

Sejurus selepas upacara bersumpah itu, Saiful memeluk bapanya, Azlan dan menerima ciuman bapanya di dahi kemudian terus bergegas meninggalkan masjid tanpa memberi peluang kepada pihak wartawan untuk menemuramahnya.

Detik Saiful melafazkan sumpah boleh dilihat di http://thestaronline.tv/default.aspx?vid=1892
.