SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

09 August 2008

Latheefa, wakil PKR matlamat forum Majlis Peguam

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PRK), Latheefa Koya menyokong forum “Memeluk Islam” anjuran Majlis Peguam hari ini dengan menyifatkan semua pihak menyuarakan pandangan tetapi tidak harus menggesa dihentikannya.

Kata beliau, mereka berhak berprotes dengan melaungkan rasa tidak puas hati di luar premis Majlis Peguam tetapi tidak berhak untuk menghentikan forum tersebut.

“Parti Keadilan Rakyat sokong forum pagi ini dijalankan. Kami percaya semua orang berhak untuk bercakap dan berhimpun tetapi jangan melebih batasannya,” kata Latheefa sambil menambah, beliau hanya bercakap untuk pihak PKR, dan tidak melibatkan Pakatan Rakyat.

“Saya bercakap bagi pihak Parti Keadilan Rakyat sahaja, tiada pendirian yang telah dibuat bagi pihak Pakatan Rakyat. Setiap parti mempunyai pandangan yang berbeza terhadap isu yang berbeza,” kata beliau.

PAS turut membantah forum diadakan manakala Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam meminta forum sedemikian diadakan secara terbuka.

Latheefa berkata, polis tidak sepatutnya membawa atau pun membenarkan orang-orang yang datang untuk mengganggu forum masuk ke bangunan tersebut.
.

Nik Aziz: 'Saya lantik menantu sebab dia layak'

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan wujudnya unsur kronisme dalam pelantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), sebaliknya dibuat berdasarkan kelayakannya.

Beliau berkata, Ariff Fahmi Abdul Rahman yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dipercayai mampu menjalankan tanggungjawab itu setelah CEO sebelum ini meletak jawatan.

"Jadi saya lantik bukan atas dasar menantu tetapi atas dasar kelayakan dia (Ariff Fahmi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Rangkaian Perniagaan Muslim Antarabangsa Ketiga di sini, hari ni.

Nik Aziz berkata, beliau telah menjelaskan kepada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas sebab-sebab pelantikan menantunya itu.

Semalam media melaporkan mengenai beberapa pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) memasuki premis PMBK di sini untuk meneliti beberapa dokumen berhubung beberapa isu yang berbangkit termasuk salah guna kuasa.

Nik Aziz sebelum ini berkata beliau sedia disiasat oleh BPR sekiranya wujud unsur-unsur salah guna kuasa dalam pelantikan menantunya itu.

- BERNAMA
.

.

Sekitar demonstrasi bantahan forum "Memeluk Islam"











.

Nik Aziz dakwa ada cubaan sabotaj Anwar

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan berlaku hasad dengki dalam Pakatan Rakyat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya kecil Parlimen kawasan Permatang Pauh, 26 Ogos ini. Menteri Besar Kelantan itu berkata, ada pihak cuba sabotaj bagi memastikan Anwar tidak berjaya menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Saya dapati memang ada orang yang dengki kepada Anwar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MATTA Fair peringkat Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Anwar untuk bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh, namun beliau semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suami beliau untuk bertanding. Nik Abdul Aziz juga menasihatkan pihak yang menyimpan perasaan dengki itu agar melupakan hasrat mereka demi kebaikan Pakatan Rakyat.
.

Malaysia akan lapor tindakan AS ke PBB

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuat aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika Amerika Syarikat terus mencampuri dan memperlekehkan sistem perundangan negara berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini berikutan tindakan terbaru Amerika memanggil Timbalan Ketua Misi Malaysia di Washington, Ilango Karuppannan, Rabu lalu, sehari sebelum Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tiada pilihan lain kecuali merujuk kelakuan Amerika ke PBB jika Washington masih tidak menghormati keluhuran perundangan negara.

"Kita akan terus membuat protes secara diplomasi tetapi jika mereka terus berlagak, saya beri amaran kita akan buat laporan rasmi kepada PBB dan kita akan tunjukkan Amerika lebih teruk dan dahsyat dari segi pentadbiran undang-undangnya terhadap negara asing.

"Perkara ini memang kita tidak pernah buat tetapi nampaknya mereka seperti 'kaduk naik junjung'," katanya ketika dihubungi malam tadi bagi mengulas laporan AFP mengenai tindakan Jabatan Negara Amerika memanggil Ilango, Rabu lalu. Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika dipetik AFP sebagai berkata, Washington memandang berat banyak persoalan serius yang dibangkitkan di Malaysia, termasuk oleh Majlis Peguam berhubung kes Anwar.

Bulan lalu, Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice turut menyuarakan kebimbangan Washington berhubung tindakan Kuala Lumpur menahan Anwar berhubung kes itu. Kelmarin, bekas Naib Presiden Amerika, Al Gore, pula menuduh Malaysia terbabit dengan 'kelakuan pembunuhan untuk melenyapkan seorang pemimpin politik pembangkang yang berkesan'. Rais menegaskan, sesebuah negara berhak membuat aduan rasmi ke PBB apabila kedaulatannya digugat bukan saja melalui penggunaan senjata, malah jika imejnya dijatuhkan negara lain.

Mengenai pertemuan Ilango dengan pegawai Jabatan Negara Amerika, Rais berkata Washington sekadar mahu mendapatkan perkembangan terkini kes Anwar.

"Setakat mahu bertanya, tak menjadi masalah tetapi jika mahu mengaibkan negara ini dan undang-undangnya, ia salah di sisi undang-undang antarabangsa dan deklarasi PBB," katanya. Rais berkata, Amerika tidak boleh menganggap perbuatan liwat atau homoseksual yang mungkin dibenarkan negara itu, dapat diterima Malaysia.

"Sudah sampai masanya Amerika belajar budaya dan sosial dunia," katanya sambil menegaskan Washington dilihat lebih memperjuangkan hak asasi individu tetapi bukan prinsipnya. Beliau berkata, rekod Amerika sendiri cukup buruk di mata dunia kerana menyerang Iraq dan sehingga kini Washington belum dapat memberi alasan sebenarnya berbuat demikian, malah dua rakyat Malaysia turut ditahan di Guantanamo tanpa dibicarakan.
.

Menantu Nik Aziz disiasat

Ariff Fahmi hadir pada Mesyuarat Lembaga Penasihat PMBK di Kota Bharu, semalam.


BPR semak dokumen dakwaan salah guna kuasa pelantikan COO

KOTA BHARU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam memulakan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa berhubung pelantikan Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ariff Fahmi Abdul Rahman, yang juga menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sepasukan pegawai BPR Kelantan ke bangunan PMBK dekat Jalan Kuala Krai, di sini, kira-kira jam 10 pagi. Mereka berada lebih sejam di situ, sebelum beredar bersama fail dan dokumen yang dipercayai ada kaitan dengan kenderaan milik perbadanan terbabit terutama yang disumbangkan syarikat tertentu.

Ketika serbuan itu, Lembaga Penasihat PMBK yang dipengerusikan Nik Abdul Aziz bermesyuarat di situ. Pengarah BPR Kelantan, Mohd Jaafar Hussein, ketika dihubungi enggan memberi sebarang ulasan mengenai siasatan yang dijalankan oleh anggotanya itu.

Ariff Fahmi yang ditemui media selepas Mesyuarat Lembaga Penasihat PMBK itu berkata, beliau dinasihatkan supaya tidak memberikan sebarang ulasan berhubung isu terbabit.

"Saya dinasihatkan tidak memberi sebarang komen kepada media.... cuma kita akan bagi kerjasama kepada BPR, tak ada masalah (terhadap siasatan yang dijalankan).

"Saya tak boleh nak mengesahkan yang itu (tindakan BPR mengambil dokumen dari pejabat PMBK pagi semalam) kerana turut berada dalam bilik mesyuarat tadi," katanya. Ariff Fahmi juga enggan mengulas sama ada mesyuarat Lembaga Penasihat PMBK yang disertainya turut menyentuh mengenai siasatan yang dijalankan BPR.

.

Anwar dibenar jamin

DIDAKWA: Anwar ditemani isterinya, Dr Wan Azizah keluar dari bilik mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam selepas dibebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.


Hakim guna budi bicara bebaskan Penasihat PKR

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan dengan sengaja meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Jun lalu, dibebaskan dengan bon jaminan peribadi berjumlah RM20,000 tanpa penjamin.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang lazimnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin tetapi Hakim S M Komathy Suppiah menggunakan budi bicara membebaskannya dengan bon jaminan.

Situasi itu berbeza berbanding sewaktu pertama kali Anwar didakwa atas tuduhan liwat dan rasuah 10 tahun lalu apabila permohonan jaminannya ditolak dan beliau ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Prosiding bermula jam 10 pagi dan berakhir pada 10.35 pagi itu berlangsung dalam suasana tenang berbanding pada 1998, yang mengambil masa lama selepas isu kecederaan Anwar dalam tahanan polis dibangkitkan peguamnya sebelum mahkamah mendengar kes rasuah dan liwatnya.

Jika keadaan di luar mahkamah kecoh 10 tahun lalu kerana tindakan penyokongnya mengadakan demonstrasi jalanan, pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujah masing-masing secara profesional semalam tanpa sebarang pertikaman lidah.

Anwar pula, yang menerima sapina kelmarin, hadir sendiri di mahkamah pada jam 9.43 pagi bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga anak mereka. Pada 1998, beliau dibawa dengan kenderaan polis serta dikawal ketat anggota pasukan khas bertopeng ski dengan tangannya bergari dan mata lebam.

Beliau yang berpakaian sut kelabu serta kemeja merah jambu, kelihatan tenang sepanjang prosiding dan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan: "Itu fitnah, berniat jahat dan khianat. Saya tidak bersalah, Yang Arif."

Anwar, 61, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Mohd Saiful, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Komathy menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu permohonan pihak pendakwaan bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi. Ketika membenarkan jaminan itu, Komathy berkata undang-undang menetapkan bahawa seseorang dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan jaminan pula dikenakan bagi menentukan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Saya tidak fikir Anwar akan menghilangkan diri. Jadi, saya akan membenarkan anda dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin," katanya. Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwa raya, mulanya membantah jaminan terhadap Anwar tetapi menjelaskan pihaknya sedia menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah jika hakim membenarkan jaminan.

Peguam tertuduh, Sulaiman Abdullah bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 388 (2) Kanun Acara Jenayah untuk membebaskan anak guamnya itu dengan bon peribadi tanpa menetapkan sebarang jumlah. Beliau juga memohon supaya pasport tertuduh tidak ditahan kerana anak guamnya mempunyai urusan di luar negara.

Katanya, Anwar tidak mungkin melarikan diri atau tidak hadir pada sebutan kes itu kerana anak guamnya akan bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan dijangka mendapat tempat di Parlimen.

Selepas mendapat pengesahan pegawai penyiasat kes itu, Deputi Superintendan Jude Pereira bahawa tertuduh memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan, Komathy kemudian membacakan keputusannya dengan membenarkan jaminan terhadap Anwar. Sejurus sebelum prosiding berakhir, Komathy juga sempat bertanya tertuduh: "Hari lahir kamu pada 10 Ogos inikah?" Anwar kemudian mengiakannya dengan disertai tepukan dan sorakan penyokongnya.
.