SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

09 August 2008

Malaysia akan lapor tindakan AS ke PBB

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuat aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika Amerika Syarikat terus mencampuri dan memperlekehkan sistem perundangan negara berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini berikutan tindakan terbaru Amerika memanggil Timbalan Ketua Misi Malaysia di Washington, Ilango Karuppannan, Rabu lalu, sehari sebelum Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tiada pilihan lain kecuali merujuk kelakuan Amerika ke PBB jika Washington masih tidak menghormati keluhuran perundangan negara.

"Kita akan terus membuat protes secara diplomasi tetapi jika mereka terus berlagak, saya beri amaran kita akan buat laporan rasmi kepada PBB dan kita akan tunjukkan Amerika lebih teruk dan dahsyat dari segi pentadbiran undang-undangnya terhadap negara asing.

"Perkara ini memang kita tidak pernah buat tetapi nampaknya mereka seperti 'kaduk naik junjung'," katanya ketika dihubungi malam tadi bagi mengulas laporan AFP mengenai tindakan Jabatan Negara Amerika memanggil Ilango, Rabu lalu. Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika dipetik AFP sebagai berkata, Washington memandang berat banyak persoalan serius yang dibangkitkan di Malaysia, termasuk oleh Majlis Peguam berhubung kes Anwar.

Bulan lalu, Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice turut menyuarakan kebimbangan Washington berhubung tindakan Kuala Lumpur menahan Anwar berhubung kes itu. Kelmarin, bekas Naib Presiden Amerika, Al Gore, pula menuduh Malaysia terbabit dengan 'kelakuan pembunuhan untuk melenyapkan seorang pemimpin politik pembangkang yang berkesan'. Rais menegaskan, sesebuah negara berhak membuat aduan rasmi ke PBB apabila kedaulatannya digugat bukan saja melalui penggunaan senjata, malah jika imejnya dijatuhkan negara lain.

Mengenai pertemuan Ilango dengan pegawai Jabatan Negara Amerika, Rais berkata Washington sekadar mahu mendapatkan perkembangan terkini kes Anwar.

"Setakat mahu bertanya, tak menjadi masalah tetapi jika mahu mengaibkan negara ini dan undang-undangnya, ia salah di sisi undang-undang antarabangsa dan deklarasi PBB," katanya. Rais berkata, Amerika tidak boleh menganggap perbuatan liwat atau homoseksual yang mungkin dibenarkan negara itu, dapat diterima Malaysia.

"Sudah sampai masanya Amerika belajar budaya dan sosial dunia," katanya sambil menegaskan Washington dilihat lebih memperjuangkan hak asasi individu tetapi bukan prinsipnya. Beliau berkata, rekod Amerika sendiri cukup buruk di mata dunia kerana menyerang Iraq dan sehingga kini Washington belum dapat memberi alasan sebenarnya berbuat demikian, malah dua rakyat Malaysia turut ditahan di Guantanamo tanpa dibicarakan.
.