SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

09 August 2008

Anwar dibenar jamin

DIDAKWA: Anwar ditemani isterinya, Dr Wan Azizah keluar dari bilik mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam selepas dibebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.


Hakim guna budi bicara bebaskan Penasihat PKR

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan dengan sengaja meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Jun lalu, dibebaskan dengan bon jaminan peribadi berjumlah RM20,000 tanpa penjamin.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang lazimnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin tetapi Hakim S M Komathy Suppiah menggunakan budi bicara membebaskannya dengan bon jaminan.

Situasi itu berbeza berbanding sewaktu pertama kali Anwar didakwa atas tuduhan liwat dan rasuah 10 tahun lalu apabila permohonan jaminannya ditolak dan beliau ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Prosiding bermula jam 10 pagi dan berakhir pada 10.35 pagi itu berlangsung dalam suasana tenang berbanding pada 1998, yang mengambil masa lama selepas isu kecederaan Anwar dalam tahanan polis dibangkitkan peguamnya sebelum mahkamah mendengar kes rasuah dan liwatnya.

Jika keadaan di luar mahkamah kecoh 10 tahun lalu kerana tindakan penyokongnya mengadakan demonstrasi jalanan, pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujah masing-masing secara profesional semalam tanpa sebarang pertikaman lidah.

Anwar pula, yang menerima sapina kelmarin, hadir sendiri di mahkamah pada jam 9.43 pagi bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga anak mereka. Pada 1998, beliau dibawa dengan kenderaan polis serta dikawal ketat anggota pasukan khas bertopeng ski dengan tangannya bergari dan mata lebam.

Beliau yang berpakaian sut kelabu serta kemeja merah jambu, kelihatan tenang sepanjang prosiding dan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan: "Itu fitnah, berniat jahat dan khianat. Saya tidak bersalah, Yang Arif."

Anwar, 61, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Mohd Saiful, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Komathy menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu permohonan pihak pendakwaan bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi. Ketika membenarkan jaminan itu, Komathy berkata undang-undang menetapkan bahawa seseorang dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan jaminan pula dikenakan bagi menentukan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Saya tidak fikir Anwar akan menghilangkan diri. Jadi, saya akan membenarkan anda dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin," katanya. Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwa raya, mulanya membantah jaminan terhadap Anwar tetapi menjelaskan pihaknya sedia menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah jika hakim membenarkan jaminan.

Peguam tertuduh, Sulaiman Abdullah bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 388 (2) Kanun Acara Jenayah untuk membebaskan anak guamnya itu dengan bon peribadi tanpa menetapkan sebarang jumlah. Beliau juga memohon supaya pasport tertuduh tidak ditahan kerana anak guamnya mempunyai urusan di luar negara.

Katanya, Anwar tidak mungkin melarikan diri atau tidak hadir pada sebutan kes itu kerana anak guamnya akan bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan dijangka mendapat tempat di Parlimen.

Selepas mendapat pengesahan pegawai penyiasat kes itu, Deputi Superintendan Jude Pereira bahawa tertuduh memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan, Komathy kemudian membacakan keputusannya dengan membenarkan jaminan terhadap Anwar. Sejurus sebelum prosiding berakhir, Komathy juga sempat bertanya tertuduh: "Hari lahir kamu pada 10 Ogos inikah?" Anwar kemudian mengiakannya dengan disertai tepukan dan sorakan penyokongnya.
.