SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 November 2008

Mahathir: Najib perlu hapus politik wang kuasai PRU-13

MOHD. Najib Tun Razak bercakap sesuatu dengan Dr. Mahathir Mohamad sambil diperhatikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin pada majlis jamuan Aidilfitri di Hulu Klang 14 Oktober lalu.

PETALING JAYA: Kepimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak - yang bakal mengetuai Umno dan Barisan Nasional (BN) mulai Mac depan - tiada pilihan melainkan menghapuskan rasuah dalam Umno jika mahu terus menerima sokongan rakyat, sekali gus memenangi pilihan raya umum ke-13.

Ketika memberikan peringatan ini, kata bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui tugas tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

"Jika Umno pimpinan Najib ingin diterima dan disokong oleh rakyat sebagai pengundi, ingin memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13, maka rasuah dalam parti hendaklah dihapuskan.

"Usaha ini bukanlah mudah tetapi suka atau tidak suka, Najib dan pasukannya perlu berusaha sedaya upaya," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya.

Beliau yang sejak kebelakangan menyentuh isu politik wang dalam pemilihan Umno menambah, jika tidak pengundi akan memilih sesiapa sahaja yang menyogok wang kepada mereka termasuk parti lawan.

"Umno dan BN mungkin tidak akan dapat memerintah negara ini lagi. Kita sekarang sedang diberi preview jenis pemerintahan yang akan didirikan oleh parti-parti lawan," katanya.

Malah, kata Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin Umno yang kurang tercemar imej perlu mengambil tindakan gigih untuk membetulkan kerosakan yang dialami oleh parti itu dan BN sepanjang empat tahun lalu.

Beliau menekankan, usaha tersebut perlu diberi perhatian oleh Najib, yang telah memenangi jawatan Presiden Umno tanpa cabaran minggu lalu.

Dengan kejayaan itu beliau bakal mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Pilihan raya umum ke-13 dijadual pada 2012 atau 2013, ataupun kemungkinan lebih awal daripada tempoh tersebut.

Abdullah menggantikan Dr. Mahathir sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Oktober 2003.

"Untuk memperbaiki kerosakan ini masa yang panjang dan usaha yang gigih perlu dibuat oleh pemimpin-pemimpin Umno yang kurang tercemar imej mereka.

"Mereka perlu turun padang untuk berjumpa dengan seberapa ramai ahli Umno dan pengundi-pengundi supaya dapat mendengar rintihan mereka.

"Banyaklah kesalahan kerajaan pimpinan Abdullah yang perlu dibetulkan. Kemerosotan ekonomi, kehilangan peluang-peluang kerja, kenaikan harga barang, tidak adanya lagi kontrak bagi kontraktor kecil, semua ini perlu diberi perhatian oleh Najib dan pasukannya," katanya.

Katanya, tindakan berkesan perlu diambil bagi mengatasi masalah-masalah tersebut.

Malah tegas Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin Umno menghentikan amalan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan ahli keluarga bagi menarik balik sokongan pengundi-pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Di masa yang sama penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan ahli keluarga perlu dihentikan. Cara hidup yang mewah yang diamali oleh pemimpin-pemimpin parti dan kerajaan perlu dihentikan," katanya.

Jelas beliau, kontrak-kontrak perlu diagih dengan adil kepada semua pihak dan tidak hanya kepada orang tertentu diantara pemimpin politik sebagai sogokan untuk mendapat sokongan.

"Kerosakan besar yang kedua, yang berlaku dan berkembang semasa kepimpinan Abdullah ialah rasuah di kalangan pemimpin dan ahli Umno di semua peringkat," katanya.

.

Cabar Rafidah? Shahrizat dijangka umum pendirian minggu depan

dipetik dari mstar.com

PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dijangka mengumumkan pendiriannya minggu depan berhubung jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan pergerakan itu.

Setiausaha akhbarnya, Eikmar Rizal Ripin berkata, pengumuman secara rasmi akan dibuat sama ada Shahrizat akan menentang Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz untuk jawatan Ketua atau menghadapi cabaran Exco Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim bagi jawatan Naib Ketua.

"Mungkin minggu depan (akan buat pengumuman). Tunggulah sikit masa lagi... kita akan buat pengumuman rasmi," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Shahrizat sehingga hari ini masih belum menyatakan pendiriannya sama ada akan bertanding jawatan nombor satu atau dua pergerakan itu selepas menyatakan beliau bertegas supaya pelan peralihan kuasa pergerakan itu perlu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri, Mac depan.

Isnin lalu, mesyuarat Exco Wanita Umno memutuskan pelan peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal pada Jun 2009, manakala jawatan ketua dan naibnya tidak akan dipertandingkan.

Sementara itu, Kamilia tetap dengan pendiriannya untuk bertanding merebut jawatan Naib Ketua dan tidak bersetuju dengan pelan peralihan kuasa tersebut.

Shahrizat memperoleh 73 pencalonan sementara Rafidah dengan 117 pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita, manakala bagi jawatan Naib Ketua, beliau mendapat 113 pencalonan manakala Kamilia 54.

.

'Politik wang nampaknya lebih teruk, bahaya' - Tengku Rithaudeen


dipetik dari mstar.com

GEJALA politik wang dalam Umno kini disifatkan semakin serius dengan banyak pihak melahirkan keprihatinan dan keperluan untuk mengatasinya dengan segera. Sehingga hari ini, Lembaga Disiplin Umno sudah menerima 900 aduan dengan sebahagiannya berkaitan dengan politik wang.

Jumaat lalu, mStar Online menemu bual Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen (gambar) berhubung usaha pihaknya menangani isu tersebut menjelang pemilihan Umno.

Berikut sedutan temubual berkenaan

Bagaimana Tan Sri melihat gejala politik wang yang semakin menular dalam Umno?

TENGKU RITHAUDEEN - Saya mula bertugas sebagai Pengerusi Lembaga Displin sejak tahun 2001 dan saya bersama 18 ahli yang lain bertugas dalam pemilihan Umno sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan tahun ini. Setiap kali ada pemilihan, gejala ini semakin buruk. Pada tahun 2004 dulu, kira-kira 400 aduan kita terima tetapi bukan seratus peratus berkaitan politik wang. Ada juga mengenai mesyuarat cawangan dan bahagian. Begitu juga sekarang ini lebih kurang 900 aduan yang diterima dan daripada 900 itu, bukan seratus peratus di bawah Tata Etika Umno. Boleh dikatakan 40 hingga 45 peratus sahaja.

Sekarang ini, apabila kita dapat satu aduan, kita terus turun ke bawah untuk berbincang dan menyiasat keadaan. Jikalau ada kes, baru kita buat perbicaraan. Masalahnya, bagi kebanyakan aduan, mereka (pengadu) beritahu cerita sahaja contohnya, hari-hari yang berkenaan ada jamuan yang dibuat oleh orang-orang ini dan 50 orang yang lain. Selepas makan, mereka diberi RM100 seorang tapi tidak pula memberitahu siapa orang itu.

Ini tak boleh. Kita nak tahu siapa dia dan kalau boleh kita akan jejak orang yang berkenaan. Kita nak dapatkan bukti ia sebenarnya berlaku supaya kita boleh hukum orang berkenaan. Ini tidak, kita kena cari satu persatu. Kadangakala apa yang berlaku sekarang ini, ahli-ahli sendiri sebagai pengundi yang minta duit... jadi mungkin kita kena pinda sedikit undang-undang supaya orang yang minta duit pun salah juga. Ini satu perkara yang kita perlu beri pertimbangan.

Jika dibandingkan dengan pemilihan lalu, adakah kali ini lebih teruk?

TENGKU RITHAUDEEN - Nampaknya lebih teruk dan saya rasa ini merbahaya. Salah satu sebab orang tidak suka Umno adalah disebabkan politik ini, banyak wang yang dimainkan. Ia begitu teruk sejak kebelakangan ini. Masa saya masuk parti dulu, tidak lah begini.

Jika pemimpin terdiri daripada orang-orang seperti ini, beliau tidak layak memimpin parti dan negara. Kita tidak mahu orang yang ada duit sahaja tapi tiada kebolehan untuk membawa parti maju.

Mungkinkah ia berlaku kerana ketamakan kuasa?

TENGKU RITHAUDEEN - Itulah nampaknya. Mereka mahu berkuasa lagi. Di dalam parti jikalau dia ada bersama-sama dengan menteri dan orang-orang atasan, dia mahu supaya diberikan kontrak. Ini masalahnya.

Adakah politik wang ini dijangka akan lebih teruk menjelang pemilihan pusat Mac depan?

TENGKU RITHAUDEEN - Nampaknya begitulah keadaannya. Saya tak nak kata sangat dengan begitu yakin kerana mungkin tidak berlaku tetapi boleh jadi (akan berlaku) kerana pemilihan ini akan berakhir pada bulan Mac. Pada mereka, makin lama makin bagus, banyak lagi duit orang akan dapat. Saya tidak suka tengok keadaan seperti ini.

Nampaknya amaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Umno seperti tidak diendahkan? Mungkinkah ada mentaliti "kamu buat juga, apa salahnya saya buat"?

TENGKU RITHAUDEEN - Kemungkinan begitu tapi bukan semua pemimpin begitu tapi ada sesetengah yang memberi wang untuk memegang jawatan tinggi. Masalah ini bertambah apabila ahli yang mengundi itu juga meminta wang. Bila ada calon yang mahu bertanding, ada yang kata 'takkan tidak ada duit-duit kopi sikit' Ini masalahnya. Duit kopi bukan 10 sen atau 20 sen, dia nak beratus.

Setakat ini berapa banyak aduan yang telah disiasat dan telah diselesaikan?

TENGKU RITHAUDEEN - Banyak juga yang telah kita siasat. Dan, ada juga yang dibicarakan. Mungkin pada beberapa minggu yang akan datang, kita akan menambah ahli untuk mendengar kes. Selain itu, sebanyak 10 peratus kes telah diselesaikan. Kerjasama kita dengan BPR (Badan Pencegah Rasuah) juga dapat mengurangkan kerja kita. Dengan BPR, mungkin peluang untuk membuktikan sesuatu kes itu lebih tinggi.

Bagaimana dengan cadangan sesetegah pihak supaya diwujudkan jawatankuasa disiplin di setiap negeri bagi memantau gejala ini?

TENGKU RITHAUDEEN - Kita telah melantik pemantau di setiap negeri untuk memberi laporan dan membantu kita menyiasat. Malangnya kalau nak cari orang yang betul-betul boleh bertindak sebagai hakim, dia mesti betul-betul natural justice.

Bagaimana kriteria sesebuah kes itu disiasat?

TENGKU RITHAUDEEN - Bila kita dapat satu-satu kes dan kita rasa ia mesti didengar, kita akan hantar dua orang untuk menyiasat. Kadang-kadang dalam satu hari mereka berada di sana, mereka akan menyiasat sehingga lima kes. Lepas disiasat, baru kita tahu yang satu-satu kes itu cukup bukti dan saksi. Jika ada, dalam masa seminggu kita akan panggil. Mana yang dirasakan penting, kita utamakan dulu.

Bagaimana pendapat Tan Sri tentang kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau percaya, wujud politik wang bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno?

TENGKU RITHAUDEEN - Kemungkinan... ada orang cakap begitu tapi kita tiada bukti nak siasat. Buat masa sekarang ni, ada orang bercakap sahaja. Kita nakkan bukti, barulah kita boleh terus memanjangkan siasatan kita mendakwa orang berkenaan.

Bolehkah semua aduan politik wang yang diterima ini diselesaikan sebelum pemilihan Mac ini?

TENGKU RITHAUDEEN Kita cuba ikhtiar seberapa yang boleh untuk menghabiskan aduan-aduan sebelum Mac ini tapi kita kena kerja kuat.

Pandangan Tan Sri tentang pendapat sesetengah pemimpin Umno yang meminta Umno menggariskan definisi rasuah politik dengan jelas dan tepat bagi mengelak salah faham di kalangan semua pihak ?

TENGKU RITHAUDEEN - Kita ada nyatkan dalam illustrasi yang mengatakan sesuatu itu salah dalam etika. Kebanyakan mereka tahu kesalahan-kesalahan itu tapi ada yang masih buat. Itu masalahnya.

Dengan berleluasanya gejala ini, Umno melalui Lembaga Disiplin dilihat seperti tidak menjalankan tugas mereka. Apa pandangan Tan Sri?

TENGKU RITHAUDEEN - Mereka memikirkan kita ini tak bergerak... tapi kalau kita tengok kita bertugas, mereka sedar dengan kesulitan yang kita hadapi. Kita nak siasat satu-satu kes itu mengambil masa. Kita kena pergi ke bawah. Mereka (pengundi) nak datang sini, mereka tak mampu.

Pandangan Tan Sri dengan mentaliti sesetengah ahli yang menganggap 'Umno itu duit, duit itu Umno'?

TENGKU RITHAUDEEN - Saya rasa tidak semua begitu. Hanya golongan-golongan tertentu yang mengamalkannya. Orang-orang Umno perlu memikrkan cara bagaimana untuk menukar pemikiran mereka. Selepas pemilihan nanti, mereka patut pergi kampung dan berbincang bagaimana untuk menghapuskannya.

Adakah dengan menghapuskan sistem kuota boleh menghapuskan amalan politik wang atau setidak-tidaknya mengurangkan ia berlaku?

TENGKU RITHAUDEEN - Ia (sistem kuota) adalah salah satu sebab yang menggalakkan mereka. Satu (peringkat) nakkan kuota... dah (dapat) kuota nak menang pulak, jadi dua kali (gunakan wang).

Bagaimana pandangan Tan Sri tentang cadangan Tun Mahathir supaya ahli yang didapati bersalah mengamalkan politik wang dibuang terus daripada Umno bagi membersihkan parti?

TENGKU RITHAUDEEN - Saya rasa bagus juga. Orang yang terlibat dengan perkara-perkara tidak baik tidak perlu menjadi pemimpin.

Bagaimana kerjasama yang dijalankan dengan BPR setakat ini?

TENGKU RITHAUDEEN - Kerjasama berjalan dengan baik dan kita berbincang beberapa perkara. Kita sanggup memberikan apa saja pertolongan dan penjelasan termasuk fakta-fakta yang didapati. Secara prinsipnya, kita ada mekanisme khusus dan saya kerjasama dengan BPR ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan gejala politik wang.

.

Bubar Majlis Peguam Jika Mahu Berpolitik, Kata Abu Zahar

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) - Majlis Peguam Malaysia perlu dibubarkan jika badan itu bertindak tidak ubah seperti sebuah parti pembangkang, mempersoalkan hak-hak pribumi di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata badan itu kini tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya kepada peguam-peguam yang menjadi anggotanya.

"Saya menasihatkan supaya Majlis Peguam dibubarkan dan mereka yang terbabit menubuhkan sebuah parti jika ingin aktif dalam politik," katanya ketika berucap di program wacana isu perundangan dan hak-hak pribumi dalam perlembagaan di Memorial Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Beliau juga meminta semua peguam Melayu di negara ini supaya bersatu dalam menangani isu bangsa mereka yang berada dalam keadaan "amat tertekan sekali" ketika ini.

Katanya, isu berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu sering dibangkitkan lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas dan "saya tidak sanggup lagi menghadapi situasi seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

"Dalam ucapannya, Abu Zahar yang juga anggota jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno berkata lembaga itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati mengamalkan rasuah atau politik wang.

- BERNAMA

.

Tsunami dalam Wanita UMNO

Rakyat Malaysia sepanjang minggu ini berasa ada kelainan dalam episod politik tanah air. Daripada cerita pemilihan jawatan tertinggi UMNO hingga perbalahan antara ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, namun drama dalam Pergerakan Wanita UMNO menduduki carta teratas dalam pemerhatian peminat politik.

Selepas mesyuarat Exco Wanita UMNO selesai Isnin lalu dengan ketetapan mengekal pelan peralihan, namun masih terdapat desakan daripada bawah yang mahu pelan peralihan kuasa itu mesti diselaraskan dengan UMNO pusat, Pemuda dan Puteri dijalankan pada Mac 2009. Sementara sebilangan anggota Exco Wanita UMNO mahu pelan itu dikekalkan pada Jun.

Kini, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dianggap orang paling tersepit walaupun mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Wanita.

Isnin lalu beliau gagal meyakinkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dan sebilangan anggota Exco untuk menyelaras kembali tarikh pelan peralihan itu. Ekoran perubahan pendirian Shahrizat itu beliau diminta mengotakan janjinya sebelum ini yang tidak mahu mencabar Rafidah pada pemilihan parti Mac depan walaupun mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan.

Beberapa pemimpin Wanita UMNO negeri yang juga anggota Exco Wanita Pusat mengkritik sikap Shahrizat. Sebagai orang yang bakal menerajui pergerakan itu, Shahrizat sepatutnya tidak berdolak-dalik sebaliknya bertegas dengan keputusan meneruskan pelan peralihan kuasa yang telah ditetapkan pada Jun 2009.

Jika Shahrizat terus mendesak supaya jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO diserahkan lebih awal, ada suara menyeru Rafidah supaya membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti Mac depan. Permintaan itu dibuat berdasarkan 117 pencalonan yang diterima oleh Rafidah menunjukkan peringkat akar umbi mahu beliau terus menerajui kepimpinan Wanita sehingga Jun 2009.

Benarkah pencalonan itu adalah kehendak dan kemahuan tulen daripada akar umbi? Apakah Shahrizat mesti berpegang pada janji atau menghormati kehendak akar umbi yang mahu beliau bertanding Ketua Wanita? Ataupun selepas mesyuarat Isnin lalu, pelan peralihan itu sudah tidak 'terpakai' lagi?

Pada 4 Ogos lalu apabila Rafidah mengumumkan pelan peralihan, ia dikatakan dibuat tanpa perundingan dengan Shahrizat dan anggota exco lain. Rafidah dikatakan mengumumkannya dalam sidang akhbar apabila selesai mesyuarat exco.

Jika diimbas sebab pelan peralihan itu dilakukan, Rafidah mengemukakan tiga sebab 'rasmi'. Pertama Ketua Wanita UMNO itu mahu memastikan jawatan Presiden UMNO tidak diganggu gugat supaya peralihan kuasa yang ketika itu dijadual pada Jun 2010 berjalan dengan sebaik-baiknya. Jika Wanita UMNO juga turut mengadakan pertandingan tertinggi dalam pemilihan yang dijadual (ketika pengumuman) pada Disember 2008, UMNO akan tergugat.

Kedua, Rafidah tidak mahu ada pertandingan Ketua dan Naib Ketua Wanita. Ketiga, beliau mahu wujud perpaduan dalam Wanita UMNO. Jika ada pertandingan akan mengakibatkan pecah belah dalam Pergerakan Wanita.

Namun ada satu alasan 'tidak rasmi' yang umum sudah maklum ialah usaha tidak mahu Datuk Seri Azalina Othman Said dibawa masuk ke dalam kepimpinan Wanita UMNO.

Kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu. Ketiga-tiga hajat Rafidah dimakbulkan Tuhan. Hajat pertama, peralihan kuasa di antara Presiden UMNO dengan timbalannya berjalan lancar, malah dipercepatkan daripada Jun 2010 kepada Mac 2009.

Kuota kelayakan

Kedua, wanita bahagian sudah menunjukkan mereka mahu hanya Shahrizat sebagai ketua dan Datuk Kamilia Ibrahim untuk Naib Ketua Wanita. Tiada orang lain yang dicalonkan melepasi kuota kelayakan. Ketiga, Wanita UMNO tidak berpecah dan Azalina atau mana-mana wanita dari luar tidak dapat masuk bertanding jawatan Wanita UMNO.

Berdasarkan itu, syarat-syarat pelan peralihan sudah dipenuhi, jadi mengapa perlu diteruskan pelan itu hingga Jun?

Ada risiko dan implikasi jika pelan itu diteruskan. Perlu diperhatikan bahawa perjanjian antara Rafidah dan Shahrizat pada asalnya tanpa ada rundingan rasmi. Oleh sikap tidak mahu melawan ketua, Shahrizat akur sahaja pelan peralihan itu.

Tetapi ramai ahli akar umbi Wanita UMNO tidak setuju dengan pelan peralihan itu. Ada lebih satu juta ahli Wanita UMNO mahu jawatan itu dipertandingkan. Sudah tentu ramai ahli Wanita marah kepada Shahrizat. Justeru kebangkitan Wanita menentang pelan peralihan telah bermula pada tanggal 4 Ogos lagi.

Semua kerana hak mereka untuk memilih pemimpin Wanita telah ditarik tanpa merujuk kepada mereka. Mereka mempersoalkan kenapa jawatan itu hanya untuk Rafidah dan Shahrizat. Kenapa tidak diserahkan kembali kepada akar umbi untuk menentukan siapa yang patut dipilih.
.
Hakikatnya, sejak tiga bulan lalu Wanita UMNO dalam resah gelisah dan geram. Mereka mahu membuat pilihan sendiri. Mereka juga bangkitkan persoalan kenapa perlu jawatan pemangku. Sebab itu sebahagian besar Wanita mengharapkan Shahrizat tidak menerima pelan peralihan itu. Tetapi Shahrizat yang lemah lembut itu tetap berulang kali menegaskan beliau setia dan akur dengan peralihan itu serta sedia berkorban demi Wanita UMNO.
.
Ketika mesyuarat perwakilan bahagian Wanita berlangsung pada 9 Oktober lalu, pada minggu pertama dan kedua sudah tergambar penentangan terhadap pelan peralihan. Gelombang menentang pelan peralihan semakin membesar. Hal ini dapat disaksikan pada pencalonan untuk Rafidah dan Shahrizat sebagai Ketua Wanita.

Dalam keadaan ini, ada juga yang keliru. Sesetengah Wanita bahagian yang hendakkan perubahan terpaksa mengalah dengan memberikan pencalonan kepada Rafidah. Yang mana tetap mahu perubahan, terus menyokong pencalonan untuk Shahrizat. Jadi, jumlah pencalonan kepada kedua-dua pemimpin itu tidak boleh diambil kira untuk menggambarkan kekuatan sokongan akar umbi kepada mereka.

Dalam minggu ketiga pencalonan, apabila berlaku peningkatan jumlah pencalonan jawatan Naib Ketua untuk Shahrizat, Kamilia dan Azalina, pemerhati politik dan Wanita UMNO sendiri dapat melihat kemungkinan kedudukan Shahrizat akan ditentang.

Pada masa itu ada desas-desus bahawa Wanita UMNO mahu memberi peringatan kepada pucuk pimpinan mereka.

Jika Rafidah dan Shahrizat terpaksa bertanding, maka akan ada tsunami dalam Wanita . Kalau Shahrizat mempertahankan jawatan Naib Ketua, akan berlaku juga tsunami. Ada spekulasi mengatakan Wanita UMNO akan memberi isyarat protes kepada Shahrizat dengan mengundi Kamilia bagi jawatan Naib Ketua. Ini sebagai balasan kepada Shahrizat jika enggan bertanding jawatan Ketua.

Begitu juga tsunami terhadap Rafidah akan berlaku jika beliau bertanding mempertahankan jawatan. Kecuali beliau melepaskannya secara terhormat.

Bermakna jika Rafidah bertanding mempertahankan jawatan Ketua Wanita, manakala Kamilia bertanding Naib Ketua, maka akan berlaku tsunami. Jadi yang tersepit ialah Shahrizat. Wanita akan melandakan tsunami ke atas Rafidah dan Shahrizat.

Oleh itu sebaik-baiknya jangan berlaku sejarah hitam dalam Wanita UMNO. Tidak pernah dalam sejarah Wanita daripada zaman Puteh Mariah hingga Rafidah, pergerakan itu akan hanya dipimpin oleh ketua yang berjawatan pemangku dan tiada naib ketua.

Jika ini berlaku dalam zaman Datuk Seri Najib sebagai Presiden UMNO, ia adalah suatu perkara yang pelik dalam UMNO. Oleh kerana menjaga prinsip pemimpin dan keengganan menganjak tiga bulan maka kesannya hingga tiga empat tahun ditanggung oleh Wanita UMNO dan UMNO induk sendiri.

Jadi kenapa tiga bulan - antara Mac dan Jun? Ia boleh menukar sejarah Wanita UMNO. Apa asas lain untuk mempertahankan pelan peralihan hingga Jun 2009. Jika Presiden UMNO boleh menganjakkan tarikh peralihan kuasa daripada Jun 2010 kepada Mac 2009, apa istimewanya Jun?

Apa yang Ketua Wanita yang telah lebih 20 tahun menerajui pergerakan itu hendak lakukan dalam tempoh tiga bulan itu. Sebagai mana dinyatakannya baru-baru ini bahawa beliau mahu memastikan pentadbiran Wanita Barisan Nasional (BN) supaya memudahkan Shahrizat mengambil alih kuasa kelak.

Bagaimanapun Wanita BN mungkin mentertawakan tindakan Wanita UMNO. Ini kerana baru-baru ini Wanita MCA sudah membayangkan kalau Ketua Wanita UMNO hanya seorang pemangku, belum tentu semua wanita komponen menerimanya sebagai Pengerusi Wanita BN.

Rendah taraf

Semua 13 parti komponen BN yang lain akan melihat Shahrizat hanya seorang pengerusi dengan jawatan pemangku Ketua Wanita UMNO. Walau pun yang penting pemimpin itu boleh membuat kerja, namun gelaran jawatan memangku itu rendah tarafnya dibandingkan dengan jawatan ketua wanita BN lain. Kedudukan itu besar maknanya kepada Wanita BN.

Sejak dahulu Ketua Wanita UMNO dilantik sebagai Pengerusi Wanita BN dan Naib Ketua Wanita UMNO pula adalah Timbalan Pengerusinya. Sebagai timbalan pengerusi Wanita BN ia sudah melayakkan untuk mempengerusikan mesyuarat. Jika berjawatan sebagai pemangku, bagaimana penerimaan wanita komponen lain kelak.

Bayangkan jika Shahrizat memangku Pengerusi Wanita BN, maka kerusi Timbalan Pengerusi Wanita BN akan dituntut dan diambil alih oleh pemimpin wanita kaum lain. Apabila jawatan itu dibuka sahaja kepada kaum lain, ingat bahawa ia bukan mudah untuk dikembalikan. Jadi, haruskah perkara sebegini dibiarkan berlaku.

Hal ini harus difikirkan oleh Wanita UMNO tentang agenda perjuangan mereka.

Shahrizat bakal menjadi sasaran kemarahan Wanita UMNO kerana beliau boleh didakwa bersubahat menjadikan perkara ini berlaku, jika masih akur dengan pelan peralihan. Jika beliau bertanding mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita, ada usaha untuk memastikan Shahrizat kalah.

Mesej yang Wanita UMNO ingin sampaikan ialah jika pelan peralihan terus dilaksanakan pada Jun depan maka Rafidah dan Shahrizat bukanlah pemimpin yang bertanggungjawab tetapi hanya mementingkan diri.

Atas maruah dan prinsip diri masing-masing, kedudukan Wanita UMNO dipertaruhkan. Wanita UMNO tidak dapat menerima perjuangan yang mempertahankan 'tiga bulan'.

Wanita UMNO sekarang sudah berubah dan mampu berfikir yang mana baik dan buruk untuk parti. Selama ini kumpulan yang menyokong penuh pelan peralihan adalah mereka yang memegang jawatan sekarang seperti ketua penerangan, ketua-ketua wanita negeri dan beberapa exco.

Ada kebimbangan apabila Rafidah terus memimpin sehingga Jun, dan mesyuarat exco sebelum Jun 2009 membuat kejutan dengan satu resolusi menolak pelan peralihan. Ini mungkin boleh berlaku kerana pelan peralihan itu tidak ada dalam perlembagaan dan boleh diubah-ubah. Bagaimana nasib dan jawatan Shahrizat?

Begitu juga jika Shahrizat tewas di tangan Kamilia bagi jawatan Naib, adakah Rafidah akan membuat peralihan kuasa kepada Kamilia? Pelan boleh diubah kerana tiada perjanjian dengan Kamilia mengenai perkara itu.

Syak wasangka ini bermain di dalam minda ahli Wanita UMNO sekarang. Semua ini kerana tidak ada perjanjian bertulis, hanya bersandarkan kepada kepercayaan dan tanggungjawab moral.

Pada dasarnya kini Shahrizat boleh dianggap tidak lagi terikat dengan pelan peralihan. Suasana sekarang dengan semasa pelan peralihan dibuat pada Ogos lalu sudah jauh berbeza. Hakikat ini perlu diterima. Pada masa itu peralihan kuasa Presiden UMNO adalah Jun 2010 dan Perhimpunan Agung UMNO pada Disember 2008. Tetapi suasana sudah bertukar dengan peralihan dan perhimpunan diadakan serentak pada Mac depan.

Shahrizat boleh menunggu jawatan Ketua Wanita diserah kepadanya tetapi adakah beliau rela menerima tindakan yang boleh melemahkan struktur Wanita UMNO sendiri? Sekarang bukan soal personaliti tetapi keputusan itu akan mencacatkan struktur Wanita UMNO dengan pemimpinnya hanya berjawatan pemangku dan tiada naib ketua selama tiga atau empat tahun.

Jadi Shahrizat tidak mempunyai pilihan lain. Jika beliau benar-benar mahu menyelamatkan Wanita UMNO, beliau mesti ada keberanian. Apakah motif sebenar Rafidah berkeras mempertahankan pelan peralihan Jun itu. Apakah Rafidah tidak mahu meninggalkan satu warisan kepimpinan wanita yang dihormati.

Apakah Pergerakan Wanita sanggup membiarkan era kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO, Ketua Wanita UMNO hanya seorang berjawatan pemangku. Tetapi sebelum keadaan bertambah meruncing, mungkin Timbalan Presiden UMNO itu perlu menjadi orang tengah dalam mencari penyelesaian kemelut kepimpinan Wanita.

Sesungguhnya, Rafidah dan Shahrizat jangan fikir tentang politik mereka sahaja kerana rakyat seluruh negara baik Melayu, Cina dan India sedang memerhatikan rentak politik Wanita UMNO. Rakyat akan terus memerhati drama tsunami Wanita UMNO hingga pilihan raya umum akan datang.

.

Bapa akan saman pemandu rempuh, seret anak 5km

MOHD. HAFIZI Suhairi ditemani ibunya, Yusnita Harun memegang erat batu nisan pusara abangnya, Mohd. Hanafiz (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Besar, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 15 Nov. - Bapa Allahyarham Mohd. Hanafiz, 10, yang maut selepas dirempuh dan diseret sejauh lima kilometer oleh sebuah kereta kelmarin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan itu.

Suhairi Yusof (gambar), 35, yang percaya anaknya mungkin boleh diselamatkan jika tidak diseret sebegitu jauh, berkata, tidak adil membiarkan pemandu berkenaan terlepas begitu sahaja sedangkan anaknya menemui ajal dalam keadaan azab dan mengerikan.

"Saya tak percaya dia (pemandu) tidak sedar, mengapa dia tergamak biarkan anak saya dalam keadaan begitu dengan terus memecut laju. Sekiranya dia berhenti, mungkin anak saya dapat diselamatkan," ujar Suhairi ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam Khamis lalu, Mohd. Hanafiz yang membonceng motosikal dirempuh sebuah kereta di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang dan diseret sejauh lima kilometer sehingga ke pekan Rantau Panjang.

Semasa kejadian, Mohd. Hanafiz membonceng motosikal yang ditunggangi sepupunya Ridzuan Razali, 19, bersama adiknya, Mohd. Hafizi, 7, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di sebuah kedai runcit berdekatan.

Sepupu mangsa, Ridzuan yang cedera parah masih dirawat di Hospital Pasir Mas manakala Mohd. Hafizi hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Dalam pada itu itu, Suhairi meminta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pemandu terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Amir Hamzah Ibrahim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap pemandu kereta terbabit.

Katanya, pemandu itu yang telah dibebaskan dengan jaminan polis tidak akan terlepas daripada undang-undang jika terbukti melakukan kesalahan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa mangsa kerana membiarkan anak mereka membonceng motosikal tanpa mematuhi peraturan jalan raya.

Menurunya, beliau difahamkan, mangsa membonceng motosikal bersama adiknya tanpa memakai topi keledar dan penunggangnya pula dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.

.