SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 November 2008

Tsunami dalam Wanita UMNO

Rakyat Malaysia sepanjang minggu ini berasa ada kelainan dalam episod politik tanah air. Daripada cerita pemilihan jawatan tertinggi UMNO hingga perbalahan antara ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, namun drama dalam Pergerakan Wanita UMNO menduduki carta teratas dalam pemerhatian peminat politik.

Selepas mesyuarat Exco Wanita UMNO selesai Isnin lalu dengan ketetapan mengekal pelan peralihan, namun masih terdapat desakan daripada bawah yang mahu pelan peralihan kuasa itu mesti diselaraskan dengan UMNO pusat, Pemuda dan Puteri dijalankan pada Mac 2009. Sementara sebilangan anggota Exco Wanita UMNO mahu pelan itu dikekalkan pada Jun.

Kini, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dianggap orang paling tersepit walaupun mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Wanita.

Isnin lalu beliau gagal meyakinkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dan sebilangan anggota Exco untuk menyelaras kembali tarikh pelan peralihan itu. Ekoran perubahan pendirian Shahrizat itu beliau diminta mengotakan janjinya sebelum ini yang tidak mahu mencabar Rafidah pada pemilihan parti Mac depan walaupun mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan.

Beberapa pemimpin Wanita UMNO negeri yang juga anggota Exco Wanita Pusat mengkritik sikap Shahrizat. Sebagai orang yang bakal menerajui pergerakan itu, Shahrizat sepatutnya tidak berdolak-dalik sebaliknya bertegas dengan keputusan meneruskan pelan peralihan kuasa yang telah ditetapkan pada Jun 2009.

Jika Shahrizat terus mendesak supaya jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO diserahkan lebih awal, ada suara menyeru Rafidah supaya membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti Mac depan. Permintaan itu dibuat berdasarkan 117 pencalonan yang diterima oleh Rafidah menunjukkan peringkat akar umbi mahu beliau terus menerajui kepimpinan Wanita sehingga Jun 2009.

Benarkah pencalonan itu adalah kehendak dan kemahuan tulen daripada akar umbi? Apakah Shahrizat mesti berpegang pada janji atau menghormati kehendak akar umbi yang mahu beliau bertanding Ketua Wanita? Ataupun selepas mesyuarat Isnin lalu, pelan peralihan itu sudah tidak 'terpakai' lagi?

Pada 4 Ogos lalu apabila Rafidah mengumumkan pelan peralihan, ia dikatakan dibuat tanpa perundingan dengan Shahrizat dan anggota exco lain. Rafidah dikatakan mengumumkannya dalam sidang akhbar apabila selesai mesyuarat exco.

Jika diimbas sebab pelan peralihan itu dilakukan, Rafidah mengemukakan tiga sebab 'rasmi'. Pertama Ketua Wanita UMNO itu mahu memastikan jawatan Presiden UMNO tidak diganggu gugat supaya peralihan kuasa yang ketika itu dijadual pada Jun 2010 berjalan dengan sebaik-baiknya. Jika Wanita UMNO juga turut mengadakan pertandingan tertinggi dalam pemilihan yang dijadual (ketika pengumuman) pada Disember 2008, UMNO akan tergugat.

Kedua, Rafidah tidak mahu ada pertandingan Ketua dan Naib Ketua Wanita. Ketiga, beliau mahu wujud perpaduan dalam Wanita UMNO. Jika ada pertandingan akan mengakibatkan pecah belah dalam Pergerakan Wanita.

Namun ada satu alasan 'tidak rasmi' yang umum sudah maklum ialah usaha tidak mahu Datuk Seri Azalina Othman Said dibawa masuk ke dalam kepimpinan Wanita UMNO.

Kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu. Ketiga-tiga hajat Rafidah dimakbulkan Tuhan. Hajat pertama, peralihan kuasa di antara Presiden UMNO dengan timbalannya berjalan lancar, malah dipercepatkan daripada Jun 2010 kepada Mac 2009.

Kuota kelayakan

Kedua, wanita bahagian sudah menunjukkan mereka mahu hanya Shahrizat sebagai ketua dan Datuk Kamilia Ibrahim untuk Naib Ketua Wanita. Tiada orang lain yang dicalonkan melepasi kuota kelayakan. Ketiga, Wanita UMNO tidak berpecah dan Azalina atau mana-mana wanita dari luar tidak dapat masuk bertanding jawatan Wanita UMNO.

Berdasarkan itu, syarat-syarat pelan peralihan sudah dipenuhi, jadi mengapa perlu diteruskan pelan itu hingga Jun?

Ada risiko dan implikasi jika pelan itu diteruskan. Perlu diperhatikan bahawa perjanjian antara Rafidah dan Shahrizat pada asalnya tanpa ada rundingan rasmi. Oleh sikap tidak mahu melawan ketua, Shahrizat akur sahaja pelan peralihan itu.

Tetapi ramai ahli akar umbi Wanita UMNO tidak setuju dengan pelan peralihan itu. Ada lebih satu juta ahli Wanita UMNO mahu jawatan itu dipertandingkan. Sudah tentu ramai ahli Wanita marah kepada Shahrizat. Justeru kebangkitan Wanita menentang pelan peralihan telah bermula pada tanggal 4 Ogos lagi.

Semua kerana hak mereka untuk memilih pemimpin Wanita telah ditarik tanpa merujuk kepada mereka. Mereka mempersoalkan kenapa jawatan itu hanya untuk Rafidah dan Shahrizat. Kenapa tidak diserahkan kembali kepada akar umbi untuk menentukan siapa yang patut dipilih.
.
Hakikatnya, sejak tiga bulan lalu Wanita UMNO dalam resah gelisah dan geram. Mereka mahu membuat pilihan sendiri. Mereka juga bangkitkan persoalan kenapa perlu jawatan pemangku. Sebab itu sebahagian besar Wanita mengharapkan Shahrizat tidak menerima pelan peralihan itu. Tetapi Shahrizat yang lemah lembut itu tetap berulang kali menegaskan beliau setia dan akur dengan peralihan itu serta sedia berkorban demi Wanita UMNO.
.
Ketika mesyuarat perwakilan bahagian Wanita berlangsung pada 9 Oktober lalu, pada minggu pertama dan kedua sudah tergambar penentangan terhadap pelan peralihan. Gelombang menentang pelan peralihan semakin membesar. Hal ini dapat disaksikan pada pencalonan untuk Rafidah dan Shahrizat sebagai Ketua Wanita.

Dalam keadaan ini, ada juga yang keliru. Sesetengah Wanita bahagian yang hendakkan perubahan terpaksa mengalah dengan memberikan pencalonan kepada Rafidah. Yang mana tetap mahu perubahan, terus menyokong pencalonan untuk Shahrizat. Jadi, jumlah pencalonan kepada kedua-dua pemimpin itu tidak boleh diambil kira untuk menggambarkan kekuatan sokongan akar umbi kepada mereka.

Dalam minggu ketiga pencalonan, apabila berlaku peningkatan jumlah pencalonan jawatan Naib Ketua untuk Shahrizat, Kamilia dan Azalina, pemerhati politik dan Wanita UMNO sendiri dapat melihat kemungkinan kedudukan Shahrizat akan ditentang.

Pada masa itu ada desas-desus bahawa Wanita UMNO mahu memberi peringatan kepada pucuk pimpinan mereka.

Jika Rafidah dan Shahrizat terpaksa bertanding, maka akan ada tsunami dalam Wanita . Kalau Shahrizat mempertahankan jawatan Naib Ketua, akan berlaku juga tsunami. Ada spekulasi mengatakan Wanita UMNO akan memberi isyarat protes kepada Shahrizat dengan mengundi Kamilia bagi jawatan Naib Ketua. Ini sebagai balasan kepada Shahrizat jika enggan bertanding jawatan Ketua.

Begitu juga tsunami terhadap Rafidah akan berlaku jika beliau bertanding mempertahankan jawatan. Kecuali beliau melepaskannya secara terhormat.

Bermakna jika Rafidah bertanding mempertahankan jawatan Ketua Wanita, manakala Kamilia bertanding Naib Ketua, maka akan berlaku tsunami. Jadi yang tersepit ialah Shahrizat. Wanita akan melandakan tsunami ke atas Rafidah dan Shahrizat.

Oleh itu sebaik-baiknya jangan berlaku sejarah hitam dalam Wanita UMNO. Tidak pernah dalam sejarah Wanita daripada zaman Puteh Mariah hingga Rafidah, pergerakan itu akan hanya dipimpin oleh ketua yang berjawatan pemangku dan tiada naib ketua.

Jika ini berlaku dalam zaman Datuk Seri Najib sebagai Presiden UMNO, ia adalah suatu perkara yang pelik dalam UMNO. Oleh kerana menjaga prinsip pemimpin dan keengganan menganjak tiga bulan maka kesannya hingga tiga empat tahun ditanggung oleh Wanita UMNO dan UMNO induk sendiri.

Jadi kenapa tiga bulan - antara Mac dan Jun? Ia boleh menukar sejarah Wanita UMNO. Apa asas lain untuk mempertahankan pelan peralihan hingga Jun 2009. Jika Presiden UMNO boleh menganjakkan tarikh peralihan kuasa daripada Jun 2010 kepada Mac 2009, apa istimewanya Jun?

Apa yang Ketua Wanita yang telah lebih 20 tahun menerajui pergerakan itu hendak lakukan dalam tempoh tiga bulan itu. Sebagai mana dinyatakannya baru-baru ini bahawa beliau mahu memastikan pentadbiran Wanita Barisan Nasional (BN) supaya memudahkan Shahrizat mengambil alih kuasa kelak.

Bagaimanapun Wanita BN mungkin mentertawakan tindakan Wanita UMNO. Ini kerana baru-baru ini Wanita MCA sudah membayangkan kalau Ketua Wanita UMNO hanya seorang pemangku, belum tentu semua wanita komponen menerimanya sebagai Pengerusi Wanita BN.

Rendah taraf

Semua 13 parti komponen BN yang lain akan melihat Shahrizat hanya seorang pengerusi dengan jawatan pemangku Ketua Wanita UMNO. Walau pun yang penting pemimpin itu boleh membuat kerja, namun gelaran jawatan memangku itu rendah tarafnya dibandingkan dengan jawatan ketua wanita BN lain. Kedudukan itu besar maknanya kepada Wanita BN.

Sejak dahulu Ketua Wanita UMNO dilantik sebagai Pengerusi Wanita BN dan Naib Ketua Wanita UMNO pula adalah Timbalan Pengerusinya. Sebagai timbalan pengerusi Wanita BN ia sudah melayakkan untuk mempengerusikan mesyuarat. Jika berjawatan sebagai pemangku, bagaimana penerimaan wanita komponen lain kelak.

Bayangkan jika Shahrizat memangku Pengerusi Wanita BN, maka kerusi Timbalan Pengerusi Wanita BN akan dituntut dan diambil alih oleh pemimpin wanita kaum lain. Apabila jawatan itu dibuka sahaja kepada kaum lain, ingat bahawa ia bukan mudah untuk dikembalikan. Jadi, haruskah perkara sebegini dibiarkan berlaku.

Hal ini harus difikirkan oleh Wanita UMNO tentang agenda perjuangan mereka.

Shahrizat bakal menjadi sasaran kemarahan Wanita UMNO kerana beliau boleh didakwa bersubahat menjadikan perkara ini berlaku, jika masih akur dengan pelan peralihan. Jika beliau bertanding mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita, ada usaha untuk memastikan Shahrizat kalah.

Mesej yang Wanita UMNO ingin sampaikan ialah jika pelan peralihan terus dilaksanakan pada Jun depan maka Rafidah dan Shahrizat bukanlah pemimpin yang bertanggungjawab tetapi hanya mementingkan diri.

Atas maruah dan prinsip diri masing-masing, kedudukan Wanita UMNO dipertaruhkan. Wanita UMNO tidak dapat menerima perjuangan yang mempertahankan 'tiga bulan'.

Wanita UMNO sekarang sudah berubah dan mampu berfikir yang mana baik dan buruk untuk parti. Selama ini kumpulan yang menyokong penuh pelan peralihan adalah mereka yang memegang jawatan sekarang seperti ketua penerangan, ketua-ketua wanita negeri dan beberapa exco.

Ada kebimbangan apabila Rafidah terus memimpin sehingga Jun, dan mesyuarat exco sebelum Jun 2009 membuat kejutan dengan satu resolusi menolak pelan peralihan. Ini mungkin boleh berlaku kerana pelan peralihan itu tidak ada dalam perlembagaan dan boleh diubah-ubah. Bagaimana nasib dan jawatan Shahrizat?

Begitu juga jika Shahrizat tewas di tangan Kamilia bagi jawatan Naib, adakah Rafidah akan membuat peralihan kuasa kepada Kamilia? Pelan boleh diubah kerana tiada perjanjian dengan Kamilia mengenai perkara itu.

Syak wasangka ini bermain di dalam minda ahli Wanita UMNO sekarang. Semua ini kerana tidak ada perjanjian bertulis, hanya bersandarkan kepada kepercayaan dan tanggungjawab moral.

Pada dasarnya kini Shahrizat boleh dianggap tidak lagi terikat dengan pelan peralihan. Suasana sekarang dengan semasa pelan peralihan dibuat pada Ogos lalu sudah jauh berbeza. Hakikat ini perlu diterima. Pada masa itu peralihan kuasa Presiden UMNO adalah Jun 2010 dan Perhimpunan Agung UMNO pada Disember 2008. Tetapi suasana sudah bertukar dengan peralihan dan perhimpunan diadakan serentak pada Mac depan.

Shahrizat boleh menunggu jawatan Ketua Wanita diserah kepadanya tetapi adakah beliau rela menerima tindakan yang boleh melemahkan struktur Wanita UMNO sendiri? Sekarang bukan soal personaliti tetapi keputusan itu akan mencacatkan struktur Wanita UMNO dengan pemimpinnya hanya berjawatan pemangku dan tiada naib ketua selama tiga atau empat tahun.

Jadi Shahrizat tidak mempunyai pilihan lain. Jika beliau benar-benar mahu menyelamatkan Wanita UMNO, beliau mesti ada keberanian. Apakah motif sebenar Rafidah berkeras mempertahankan pelan peralihan Jun itu. Apakah Rafidah tidak mahu meninggalkan satu warisan kepimpinan wanita yang dihormati.

Apakah Pergerakan Wanita sanggup membiarkan era kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO, Ketua Wanita UMNO hanya seorang berjawatan pemangku. Tetapi sebelum keadaan bertambah meruncing, mungkin Timbalan Presiden UMNO itu perlu menjadi orang tengah dalam mencari penyelesaian kemelut kepimpinan Wanita.

Sesungguhnya, Rafidah dan Shahrizat jangan fikir tentang politik mereka sahaja kerana rakyat seluruh negara baik Melayu, Cina dan India sedang memerhatikan rentak politik Wanita UMNO. Rakyat akan terus memerhati drama tsunami Wanita UMNO hingga pilihan raya umum akan datang.

.