SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

16 November 2008

'Politik wang nampaknya lebih teruk, bahaya' - Tengku Rithaudeen


dipetik dari mstar.com

GEJALA politik wang dalam Umno kini disifatkan semakin serius dengan banyak pihak melahirkan keprihatinan dan keperluan untuk mengatasinya dengan segera. Sehingga hari ini, Lembaga Disiplin Umno sudah menerima 900 aduan dengan sebahagiannya berkaitan dengan politik wang.

Jumaat lalu, mStar Online menemu bual Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen (gambar) berhubung usaha pihaknya menangani isu tersebut menjelang pemilihan Umno.

Berikut sedutan temubual berkenaan

Bagaimana Tan Sri melihat gejala politik wang yang semakin menular dalam Umno?

TENGKU RITHAUDEEN - Saya mula bertugas sebagai Pengerusi Lembaga Displin sejak tahun 2001 dan saya bersama 18 ahli yang lain bertugas dalam pemilihan Umno sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan tahun ini. Setiap kali ada pemilihan, gejala ini semakin buruk. Pada tahun 2004 dulu, kira-kira 400 aduan kita terima tetapi bukan seratus peratus berkaitan politik wang. Ada juga mengenai mesyuarat cawangan dan bahagian. Begitu juga sekarang ini lebih kurang 900 aduan yang diterima dan daripada 900 itu, bukan seratus peratus di bawah Tata Etika Umno. Boleh dikatakan 40 hingga 45 peratus sahaja.

Sekarang ini, apabila kita dapat satu aduan, kita terus turun ke bawah untuk berbincang dan menyiasat keadaan. Jikalau ada kes, baru kita buat perbicaraan. Masalahnya, bagi kebanyakan aduan, mereka (pengadu) beritahu cerita sahaja contohnya, hari-hari yang berkenaan ada jamuan yang dibuat oleh orang-orang ini dan 50 orang yang lain. Selepas makan, mereka diberi RM100 seorang tapi tidak pula memberitahu siapa orang itu.

Ini tak boleh. Kita nak tahu siapa dia dan kalau boleh kita akan jejak orang yang berkenaan. Kita nak dapatkan bukti ia sebenarnya berlaku supaya kita boleh hukum orang berkenaan. Ini tidak, kita kena cari satu persatu. Kadangakala apa yang berlaku sekarang ini, ahli-ahli sendiri sebagai pengundi yang minta duit... jadi mungkin kita kena pinda sedikit undang-undang supaya orang yang minta duit pun salah juga. Ini satu perkara yang kita perlu beri pertimbangan.

Jika dibandingkan dengan pemilihan lalu, adakah kali ini lebih teruk?

TENGKU RITHAUDEEN - Nampaknya lebih teruk dan saya rasa ini merbahaya. Salah satu sebab orang tidak suka Umno adalah disebabkan politik ini, banyak wang yang dimainkan. Ia begitu teruk sejak kebelakangan ini. Masa saya masuk parti dulu, tidak lah begini.

Jika pemimpin terdiri daripada orang-orang seperti ini, beliau tidak layak memimpin parti dan negara. Kita tidak mahu orang yang ada duit sahaja tapi tiada kebolehan untuk membawa parti maju.

Mungkinkah ia berlaku kerana ketamakan kuasa?

TENGKU RITHAUDEEN - Itulah nampaknya. Mereka mahu berkuasa lagi. Di dalam parti jikalau dia ada bersama-sama dengan menteri dan orang-orang atasan, dia mahu supaya diberikan kontrak. Ini masalahnya.

Adakah politik wang ini dijangka akan lebih teruk menjelang pemilihan pusat Mac depan?

TENGKU RITHAUDEEN - Nampaknya begitulah keadaannya. Saya tak nak kata sangat dengan begitu yakin kerana mungkin tidak berlaku tetapi boleh jadi (akan berlaku) kerana pemilihan ini akan berakhir pada bulan Mac. Pada mereka, makin lama makin bagus, banyak lagi duit orang akan dapat. Saya tidak suka tengok keadaan seperti ini.

Nampaknya amaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Umno seperti tidak diendahkan? Mungkinkah ada mentaliti "kamu buat juga, apa salahnya saya buat"?

TENGKU RITHAUDEEN - Kemungkinan begitu tapi bukan semua pemimpin begitu tapi ada sesetengah yang memberi wang untuk memegang jawatan tinggi. Masalah ini bertambah apabila ahli yang mengundi itu juga meminta wang. Bila ada calon yang mahu bertanding, ada yang kata 'takkan tidak ada duit-duit kopi sikit' Ini masalahnya. Duit kopi bukan 10 sen atau 20 sen, dia nak beratus.

Setakat ini berapa banyak aduan yang telah disiasat dan telah diselesaikan?

TENGKU RITHAUDEEN - Banyak juga yang telah kita siasat. Dan, ada juga yang dibicarakan. Mungkin pada beberapa minggu yang akan datang, kita akan menambah ahli untuk mendengar kes. Selain itu, sebanyak 10 peratus kes telah diselesaikan. Kerjasama kita dengan BPR (Badan Pencegah Rasuah) juga dapat mengurangkan kerja kita. Dengan BPR, mungkin peluang untuk membuktikan sesuatu kes itu lebih tinggi.

Bagaimana dengan cadangan sesetegah pihak supaya diwujudkan jawatankuasa disiplin di setiap negeri bagi memantau gejala ini?

TENGKU RITHAUDEEN - Kita telah melantik pemantau di setiap negeri untuk memberi laporan dan membantu kita menyiasat. Malangnya kalau nak cari orang yang betul-betul boleh bertindak sebagai hakim, dia mesti betul-betul natural justice.

Bagaimana kriteria sesebuah kes itu disiasat?

TENGKU RITHAUDEEN - Bila kita dapat satu-satu kes dan kita rasa ia mesti didengar, kita akan hantar dua orang untuk menyiasat. Kadang-kadang dalam satu hari mereka berada di sana, mereka akan menyiasat sehingga lima kes. Lepas disiasat, baru kita tahu yang satu-satu kes itu cukup bukti dan saksi. Jika ada, dalam masa seminggu kita akan panggil. Mana yang dirasakan penting, kita utamakan dulu.

Bagaimana pendapat Tan Sri tentang kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau percaya, wujud politik wang bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno?

TENGKU RITHAUDEEN - Kemungkinan... ada orang cakap begitu tapi kita tiada bukti nak siasat. Buat masa sekarang ni, ada orang bercakap sahaja. Kita nakkan bukti, barulah kita boleh terus memanjangkan siasatan kita mendakwa orang berkenaan.

Bolehkah semua aduan politik wang yang diterima ini diselesaikan sebelum pemilihan Mac ini?

TENGKU RITHAUDEEN Kita cuba ikhtiar seberapa yang boleh untuk menghabiskan aduan-aduan sebelum Mac ini tapi kita kena kerja kuat.

Pandangan Tan Sri tentang pendapat sesetengah pemimpin Umno yang meminta Umno menggariskan definisi rasuah politik dengan jelas dan tepat bagi mengelak salah faham di kalangan semua pihak ?

TENGKU RITHAUDEEN - Kita ada nyatkan dalam illustrasi yang mengatakan sesuatu itu salah dalam etika. Kebanyakan mereka tahu kesalahan-kesalahan itu tapi ada yang masih buat. Itu masalahnya.

Dengan berleluasanya gejala ini, Umno melalui Lembaga Disiplin dilihat seperti tidak menjalankan tugas mereka. Apa pandangan Tan Sri?

TENGKU RITHAUDEEN - Mereka memikirkan kita ini tak bergerak... tapi kalau kita tengok kita bertugas, mereka sedar dengan kesulitan yang kita hadapi. Kita nak siasat satu-satu kes itu mengambil masa. Kita kena pergi ke bawah. Mereka (pengundi) nak datang sini, mereka tak mampu.

Pandangan Tan Sri dengan mentaliti sesetengah ahli yang menganggap 'Umno itu duit, duit itu Umno'?

TENGKU RITHAUDEEN - Saya rasa tidak semua begitu. Hanya golongan-golongan tertentu yang mengamalkannya. Orang-orang Umno perlu memikrkan cara bagaimana untuk menukar pemikiran mereka. Selepas pemilihan nanti, mereka patut pergi kampung dan berbincang bagaimana untuk menghapuskannya.

Adakah dengan menghapuskan sistem kuota boleh menghapuskan amalan politik wang atau setidak-tidaknya mengurangkan ia berlaku?

TENGKU RITHAUDEEN - Ia (sistem kuota) adalah salah satu sebab yang menggalakkan mereka. Satu (peringkat) nakkan kuota... dah (dapat) kuota nak menang pulak, jadi dua kali (gunakan wang).

Bagaimana pandangan Tan Sri tentang cadangan Tun Mahathir supaya ahli yang didapati bersalah mengamalkan politik wang dibuang terus daripada Umno bagi membersihkan parti?

TENGKU RITHAUDEEN - Saya rasa bagus juga. Orang yang terlibat dengan perkara-perkara tidak baik tidak perlu menjadi pemimpin.

Bagaimana kerjasama yang dijalankan dengan BPR setakat ini?

TENGKU RITHAUDEEN - Kerjasama berjalan dengan baik dan kita berbincang beberapa perkara. Kita sanggup memberikan apa saja pertolongan dan penjelasan termasuk fakta-fakta yang didapati. Secara prinsipnya, kita ada mekanisme khusus dan saya kerjasama dengan BPR ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan gejala politik wang.

.