SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

22 August 2008

Isu rasuah Exco Perak: Kerajaan negeri gesa BPR dan media mohon maaf dalam 24 jam

IPOH: Kerajaan negeri Perak hari ini memberi tempoh 24 jam kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran penyiaran laporan yang telah mencemarkan nama baik dua anggota Exconya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu satu sidang media bersama selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang dengan meminta ganti rugi daripada pihak terbabit yang telah membuat dan menyiarkan laporan mencemarkan nama baik dua anggota Exco berkenaan.
Hadir sama di sidang media itu ialah Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Nga Kor Ming serta keduadua Exco terbabit.

Sementara itu, Ngeh berkata BPR dalam kenyataan kepada media mengatakan seorang daripada Exco yang ditahan terlibat dalam rasuah membabitkan RM100,000 untuk satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini serta rasuah seks.

Selain itu, Mohammad Nizar berkata dua anggota Exco kerajaan negeri Perak yang dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan tidak perlu digantung tugas bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya penggantungan tugas kedua-dua Exco itu tidak perlu kerana dakwaan mereka terbabit dalam kes berkenaan tidak dibuktikan.

"Kita akan benarkan proses undang-undang dilaksanakan dengan mengikut ketetapan dan fitrahnya. Kita tidak akan menghalang proses undang-undang," katanya.

Beliau berkata tidak ada peraturan dalam perkhidmatan kerajaan yang menetapkan mereka yang ditahan reman berhubung sesuatu kes perlu digantung tugas.

Katanya pentadbiran kerajaan negeri juga tidak terjejas dengan penahanan reman dua anggota Exco berkenaan, sebaliknya mereka masih meneruskan tanggungjawab dan menghadiri mesyuarat mingguan kerajaan negeri hari ini yang berlangsung mulai 10 pagi selepas dibebaskan.

"Kita akan meneruskan kerjakerja kita sebagaimana yang diberikan mandat oleh rakyat negeri Perak untuk kita mentadbir dan kita mahu menyatakan dengan sejelasjelasnya bahawa kerajaan negeri tetap melawan dan menentang apa-apa elemen rasuah serta apa-apa sahaja penyalahgunaan kuasa," katanya.
.

Harga minyak turun 15 sen mulai esok

dipetik dari mstar online.com

PUTRAJAYA: Harga diesel dan petrol akan turun antara lapan sen dan 22 sen seliter mulai esok, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.


Harga runcit diesel akan dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter, katanya dalam kenyataan akhbar di sini.


Harga baru bahan api itu ditentukan dengan mengambilkira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos hingga 21 Ogos serta penetapan subsidi 30 sen seliter manakala subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk diesel berdasarkan harga baru itu ialah sebanyak 50 sen setiap liter.


"Jemaah Menteri hari ini telah mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru," katanya.


Abdullah berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan lepas.


Harga minyak mentah di pasaran dunia kini adalah sekitar US$121 setong berbanding sebelum ini harganya melonjak sekitar US$140 setong.

Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan lepas berbanding Julai 2007, yang diumumkan hari ini, meningkat pada kadar 8.5 peratus.


"Adalah menjadi harapan kerajaan agar pengurangan harga petrol dan diesel ini akan dapat membantu meringankan beban pengguna serta mengurangkan tekanan inflasi, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keputusan kerajaan ini juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa," katanya.


Pada 1 Ogos, kerajaan mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 haribulan setiap bulan, dengan penetapan subsidi 30 sen seliter.


Namun, Perdana Menteri berkata formula pelarasan harga pam ini hanya akan dilaksanakan sekiranya harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter.


Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan tetap berada pada RM2.70 seliter, katanya.


Pada 5 Jun lepas, kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.


Ketika itu, harga minyak mentah dunia adalah US$125 setong. Selepas itu harga minyak mentah dunia terus melonjak dan ada ketikanya mencecah sehingga US$140 setong.


Bagaimanapun, harga minyak mentah dunia menunjukkan trend penurunan sejak awal bulan ini.
Kenyataan itu tidak menyebut purata harga minyak mentah dunia antara 1 Ogos hingga 21 Ogos.


Mengikut rekod, harga minyak mentah dunia adalah sekitar US$115 setong minggu lepas dan semalam harganya US$121 setong.


Dengan pengumuman baru itu, peratusan harga petrol RON97 turun sebanyak 5.5 peratus, petrol RON92 sebanyak 8.4 peratus dan diesel sebanyak 3.1 peratus.


- BERNAMA


.

Anwar dakwa pemimpin asing sedia bantu beliau

BUKIT MERTAJAM 21 Ogos — Hampir di setiap ceramah, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti menyebut nama-nama pemimpin asing yang menurutnya memberi sokongan kepada beliau dalam usahanya memenangi hati pengundi di Permatang Pauh.

Antara nama yang disebut ialah bekas Presiden Indonesia, Gus Dur atau Abdurrahman Wahid, bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada, ulama terkenal, Yusof Qardhawi dan yang terbaru beliau mengaitkan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair kononnya turut menyokongnya.

Malah, katanya ada pemimpin luar negara yang menawarkan kapal terbang serta mahukan khidmat beliau sebagai penasihat.

“Saya tak mahu dolak dalik. Ada pemimpin dari luar tawarkan kepada saya kapal terbang dan ada juga anak raja Arab yang dua kali telefon saya minta saya jadi penasihat dia. Saya kalau nak, cakap saja apa, anak raja itu akan bagi. Nak rumah macam istana dia bagi, nak gaji besar berbilion-bilion pun dia bagi tapi nak bagi puteri tak tahulah. Dia tak bagi kot.

“Sewaktu saya jadi pensyarah di luar negara, ada juga orang yang tawarkan saya jawatan yang tinggi. Tapi itu saya tak mahu.”

Anwar juga mendakwa kononnya pelabur-pelabur asing sedia membantunya menaikkan ekonomi negara jika beliau menjadi pemimpin.

“Pelabur-pelabur luar pun ada jumpa saya. Mereka cakap, Anwar, kamu pimpinlah negara ini kerana kalau kamu pimpin, ekonomi negara ini akan kami naikkan dalam masa tiga bulan. Itu kamu tak perlu risau,” katanya pada hadirin di ceramahnya di Kampung Pertama, Permatang Janggus dekat sini.

Sebelum ini, beberapa penganalisis politik berpendapat tindakan Anwar mengagung-agungkan pemimpin-pemimpin luar dan menggunakannya dalam setiap kempennya itu memperlihatkan bahawa beliau semakin terdesak.

Mereka berpendapat, sokongan daripada luar tidak dapat mempengaruhi undi dan kebanyakan bekas pemimpin itu masih dipengaruhi oleh dasar dan hubungan yang dibuat oleh Anwar ketika beliau mempunyai kedudukan.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh diadakan pada 26 Ogos ini berikutan peletakan jawatan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberikan laluan kepada suaminya, Anwar bertanding.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

— BERNAMA
.