SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

11 June 2008

Sudah Sampai Masanya Penggunaan NGV Diperluas

Genap seminggu sudah harga petrol di negara ini berada pada paras RM 2.70 seliter, paras harga yang tidak pernah kita terbayang sebelum ini. Tidak ada sesiapa pernah menduga yang kita akan berada dalam situasi seperti hari ini. Sejak sekian lama kita sentiasa merasa selesa dengan harga minyak yang rendah semata-mata kerana negara kita adalah pengeluar minyak.

Lantaran itu, kita tidak pernah 'berkira' untuk 'jalan-jalan' ke mana-mana sahaja kerana kita tahu berapalah sangat harga minyak yang perlu dituang ke dalam tangki kereta. Kerana harga yang rendah sejak sekian lama jugalah kita menjadi terlalu 'bermewah' dengan emas hitam ini sehingga tidak menyedari kadang kala banyak pembaziran berlaku akibat penggunaan tidak ekonomik.

Kita sentiasa melihat Petronas sebagai pelindung kepada bekalan minyak negara sedangkan pengeluaran Petronas hanya 20% kepada keperluan penggunaan minyak dalam negara jika hendak dibandingkan dengan pengeluar-pengeluar asing. Kita sentiasa beranggapan Petronas perlu terus menyumbang keuntungan perniagaannya kepada rakyat sedangkan sebahagian besar daripada kita tidak membeli petrol di stesen-stesen minyak Petronas. Ramai antara kita lebih berminat mengisi minyak di stesen-stesen minyak asing kerana kononnya petrolnya lebih berkualiti dan ada 'class'.
.
Kini, sama ada kita mahu terima atau tidak harga petrol di negara ini adalah RM2.70 seliter. Hakikatnya, zaman petrol murah sudah berakhir. Zaman subsidi minyak 60%-70% juga sudah berlalu. Sekarang pada tahun 2008 kita perlu bersyukur kerana bekalan minyak di perut bumi kita masih ada lagi.

Ia khabarnya akan habis menjelang 2014.. hanya 6 tahun dari sekarang. Mahu tak mahu jika benar pada masa itu simpanan minyak akan kering, kita akan menjadi pengimport bersih minyak seperti Singapura. Dan tentunya harganya pun macam Singapura jugalah. Adakah pada masa itu kita masih mahu Petronas bagi subsidi juga?

Seharusnya kita sudah ada perancangan tersendiri untuk menangani perkara ini. Dalam masa 6 tahun dari sekarang petrol tidak akan menjadi pilihan ekonomik kepada pengguna di negara ini, sedangkan kita tetap memerlukan kenderaan untuk bergerak ke mana-mana dan kenderaan memerlukan bahan bakar untuk ianya bergerak.

Antara pilihan yang kita ada ialah dengan menggunakan kuasa elektrik seperti kereta-kereta generasi ketiga sekarang yang dilengkapi dengan sistem hybrid. Tapi harganya masih terlalu tinggi di pasaran, hanya golongan tertentu mampu memilikinya.

Satu lagi pilihan yang ada adalah menggunakan Natural Gas Vehicle (NGV) yang mulanya hanya digunakan oleh Teksi di Lembah Klang tetapi kini ianya mendapat sambutan hangat pengguna kenderaan biasa.

Harga NGV di pasaran adalah RM8.50 setong yang mampu mencapai jarak sejauh 130km, iaitu kira-kira RM0.085 bagi 1 km. Ini bermakna jarak perjalanan dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur sejauh 470km hanya akan memakan kos RM39.95 berbanding dengan petrol kira-kira RM100 sekarang.

Lebih menarik adalah satu perkara yang kita tidak sedar selama ini iaitu Malaysia merupakan antara negara pengeluar gas asli terbesar di dunia dengan mempunyai simpanan gas yang mampu bertahan sehingga 35 tahun.

Jadi apa masalahnya untuk kereta-kereta di Malaysia menggunakan NGV?

Pertama : Untuk membolehkan kenderaan biasa menggunakan NGV, ia memerlukan sedikit pengubahsuaian dan melengkapkan kenderaan kita dengan tabung NGV. Pada masa ini kos pengubahsuaian ini menelan kos antara RM3000 hingga RM7000. Ia pastinya sedikit sebanyak akan membebankan pemilik kenderaan berkenaan terutama yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan yang ramai. Mungkin kerajaan boleh memikirkan mekanisma terbaik dalam membantu rakyat dalam hal ini.

Kedua : Pada masa ini stesen-stesen minyak yang membekalkan NGV hanya ada 41 buah di seluruh Malaysia. 32 daripadanya berada di Lembah Klang. Selebihnya ada 5 di Johor, 2 buah di Negeri Sembilan dan masing-masing sebuah di Pulau Pinang dan Melaka.

Sewajarnya kerajaan menetapkan semua stesen Petronas di seluruh negara membekalkan NGV bagi menjamin bekalan mencukupi kepada pengguna. Ia mungkin akan mengambil sedikit masa tetapi daya usaha ke arah itu perlu bermula sekarang.
.
Ini pastinya langkah yang terbaik yang boleh dilakukan bagi menjamin rakyat tidak terus terbeban dengan peningkatan harga minyak dunia. Dengan itu banyak masalah kenaikan harga barang akan dapat diselesaikan kerana kenaikan harga bahan bakar adalah ibu kepada segala kenaikan kos hidup.

Salahuddin dikritik hebat 'gagal' debat minyak

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini menjadi sasaran kritikan penyokongnya sendiri apabila didakwa "gagal" dalam perdebatannya dengan Datuk Sharir Samad berhubung isu kenaikan harga minyak.

Perdebatan ahli parlimen Kubang Kerian dengan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna disiarkan secara langsung selama sejam di RTM1 jam 9.30 malam tadi.

Beberapa pembaca mengkritik kelemahan Salahuddin di laman web Tranungkite.net, milik Pemuda PAS Dungun, Terengganu hari ini dan semalam.

"Apa yang saya harapkan dari perdebatan ... tidak langsung mencapai tujuan, ruang dan peluang yang sepatutnya digunakan terus gagal dimanafaatkan Salehuddin, sungguh mengecewakan," kata seorang pembaca web itu, 'Reformis Muda'.
.
"Saya mencadang selepas ini (ahli parlimen PKR) Saifuddin Nasution (Ismail) ataupun (naib presiden PAS) Husam Musa dihantar mewakili Pakatan Rakyat, kerana Saifuddin lebih bersedia dalam soal fakta dan gaya penyampaian yang sinis. Manakala Husam dilihat lebih berani menyanggah," katanya.

Sementara seorang lagi penulis yang menyumbang kritikan menyatakan hujah-hujah Salahuddin "banyak terdapat di dalam blog-blog internet" dan menyarankan ahli parlimen itu menjalankan kajian awal sebelum menghadiri program tesebut.

"Saya tidak salahkan penonton-penonton apabila kecewa dengan hujah-hujah daripada Salahuddin... Kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin pernah terbaca oleh saya (di internet).

"Pada saya, Salahuddin sepatutnya menggunakan hujah beliau sendiri dan boleh menggunakan fakta internet itu sebagai sokongan sahaja," kata 'Ciklee'.

Penulis itu juga menyifatkan Salahuddin gagal "memberikan pukulan KO (kalah terus) kepada Shahrir" yang menyebabkan penonton tidak berpuas hati.

'Pemuda Sabah' menyifatkan ahli parlimen itu suka membuat kesilapan fakta.

"Kadangkala Salahuddin cuba untuk menguatkan hujah beliau berpandukan sejarah dan insiden yang pernah berlaku tetapi cukup memalukan apabila fakta sejarah diubah, malahan Shahrir nampak senyum kambing sambil memperbetulkan beberapa fakta yang didakwa oleh Salahuddin," tulisnya di laman web itu, yang diasaskan sejak 1999.

"Salahuddin sendiri terperangkap dalam data statistik yang disebut oleh beliau apabila kurang memberi perhatian terhadap perbezaan antara 'keuntungan' dengan 'pendapatan'," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, penghujahan wakil PAS itu "agak tercapai" apabila Shahrir kelihatan "tidak mampu memberi satu jawapan konkrit" berhubung isu tersebut. "Beliau lebih banyak bermain kata-kata dan bercakap tentang teori semata-mata," tulis 'Pemuda Sabah'.

Selepas menganggap Salahuddin gagal menggunakan istilah-istilah umum yang difahami semua, 'Tinta Islam' pula kecewa kerana wakil PAS itu gagal menimbulkan isu-isu kesusahan orang ramai.

"Namun bagi pihak rakyat, ana (saya) merasa sedikit kecewa kerana Salahuddin tidak dapat membangkitkan hujah-hujah bagi menyuarakan kesusahan dan keperitan hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga minyak yang melampau," tulisnya.'Reformis Muda' bersetuju dengan pandangan ini dan mencadangkan "kita perlu menyampaikan dengan bahasa yang mudah dan senang diterjemah dan dirasai rakyat."
.
"Gaya bahasa dan rentak beliau bercakap seperti seorang profesor yang didatangkan dari Universiti Tokyo untuk menyampaikan kuliah sains," katanya.

'Reformis Muda' berkata tidak sesuai Salahuddin membincangkan isu carigali Petronas tetapi seharusnya mengupas "tentang kesannya kepada rakyat."

'Topeng Perak' turut membangkitkan persoalan yang sama.

"Saya kira golongan (berpendapatan rendah) ini amat-amat kecewa dengan Salahuddin kerana beliau juga seolah lupa pada golongan ini. Pada saya kesilapan Salahuddin ialah, terlalu cepat dan gopoh dalam memenangi isu ini," katanya. Beliau mencadangkan ahli parlimen itu berbincang dengan semua golongan sebelum bertindak sebagai "duta besar" di program TV itu.

Seorang penulis yang dikenali 'Matlan75' menganggap ulasan Salahuddin "terlalu berhati-hati" sehingga "mood penonton hilang apabila mendengar hujahnya."
.
"Penonton mahu hujah yang kuat dan boleh membuatkan Shahrir jadi bisu dan terus masuk PAS. Itu yang rakyat mahu," katanya.

MUTAKHIR Tiada lagi kenaikan harga minyak tahun ini: Abdullah

PUTRAJAYA: Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi selepas ini.

"Harga sekarang akan dikekalkan walaupun sekiranya harga minyak dunia mencecah AS$200 setong pada tahun ini," katanya pada persidangan akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia di masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu pada tahun ini. Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lalu.

Harga itu ialah harga di pam dengan kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter petrol. Tanpa subsidi harga pasaran petrol tempatan ialah RM3 seliter.

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

“Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada Julai,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku ekoran pengumuman kerajaan itu setelah keputusan dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan kerajaan, Perdana Menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

— Bernama

Dr Mashitah Ibrahim Akan Bertanding Dalam Pemilihan UMNO

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Masitah Ibrahim secara rasminya mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan dalam Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Walaupun sejarah UMNO melihat ‘orang agama’ hayat politik mereka tidak panjang, tetapi bagi Dr. Masitah, perlu ada penyesuaian dalam pendekatan untuk memastikan golongan yang berlatarbelakangkan agama terus relevan dalam perjuangan politik.

“Saya tak nak kata orang UMNO tak nak terima (orang agama). Cuma dalam politik ini pembawakan orang agama ini dia lain, mungkin dia terpaksa nak kena jadi sama macam orang yang bukan dari berlatarbelakangkan agama. Jadi dalam politik ini either to kill or to be killed dan ini kadang-kadang berdasarkan pengalaman, agak berat bagi kita tapi kalau kita tidak ke depan kita dibunuh dan sebagainya.

“Jadi perkara-perkara sebegini kita bertarung dalam sistem politik itu sendiri untuk berada di dalamnya. Tidak ramai yang nak memperjuangkan untuk itu. Jadi kita kena ikut kepada sistem itu sedikit sebanyak,” katanya dalam satu temubual bersama Agendadaily hari Rabu. Dr. Masitah menyatakan demikian ketika ditanya pandangannya mengenai penglibatan orang berlatarbelakangkan bidang agama dalam politik dan apakah beliau sedia berhadapan dengan cabaran politik jika ingin aktif di dalam bidang tersebut.

Selain itu, temubual ini juga sebagai susulan laporan Agendadaily sebelum ini mengenai dakwaan pihak-pihak tertentu yang menuduh beliau terlibat dengan kempen pembangkang semasa pilihan raya umum yang lalu sehingga mencetuskan isu bagaimana beliau boleh dilantik kembali menjawat Timbalan Menteri di JPM.

Ditanya adakah beliau menjangkakan sebarang halangan baginya jika ingin bertanding sebarang jawatan dalam Wanita UMNO, Dr. Masitah mengakui halangan itu tetap ada kerana walaupun niat beliau aktif dalam politik untuk menyumbang, ia mungkin dilihat sebagai saingan atau cabaran oleh pihak lain.

“Saya terpaksa terima hakikat bahawa dalam politik apabila kita masuk sahaja kita memang dah ada musuh dan orang sentiasa melihat kita ini sebagai saingan yang kalau ada dia ni maka orang lain tak dapat habuan di situ.

“Jadi itu adalah satu perkara yang harus diterima dalam politik tak dapat tidak. Mungkin kita melihat bahawa saya masuk ini saya nak beri sumbangan. Orang tidak melihat begitu. Kalau dia masuk orang lain terpaksa keluar kerana tempat itu cuma terhad,” ujarnya.

Berikut adalah temubual penuh dengan Dr. Masitah:

Agendadaily: Apakah pandangan Datuk mengenai penglibatan orang-orang berlatarbelakang agama di dalam UMNO yang sebelum ini kebanyakannya tidak ke mana politik mereka?

Dr. Masitah: Bila kita bercakap tentang UMNO, perjuangan UMNO inilah perjuangan orang Melayu dan perjuangan orang Melayu ini tidak boleh lari daripada memperjuangkan agama Islam.

Kalau UMNO berjuang atas nama bangsa sahaja tidak ke mana perjuangan dia kerana bagaimana sekalipun kita kena bercakap tentang bangsa Melayu yang beragama Islam. Jadi langkah yang diambil Perdana Menteri untuk menarik masuk orang-orang berlatarbelakang agama untuk berada dalam arena politik ini saya kira satu langkah yang baik dan perlu melaksanakan banyak perkara yang berkaitan dengan Islam.

Cuma perjuangan dalam Islam ini ia tidak mudah untuk orang terima. Sebab itu dalam apa jua ia memerlukan masa yang panjang. Tetapi dalam masa kita perlu lihat kepada dua aspek. Pertamanya, mahu tidak mahu mereka mesti rujuk kepada orang agama dan keduanya orang agama harus mempunyai pendekatan yang terkini, yang hadhari yang terbaru bagaimana program-program harus dikembangkan dan tidak kekal dengan cara kita dahulu.

Bila cakap pasal Islam kita hanya tumpu kepada ceramah, forum perdana itu sahaja. Kalau ada lebih sedikit, kita anjur qiamullail. Ia tidak seperti apa yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri mahu bagaimana Islam boleh tangani isu-isu terkini, bagaimana Islam boleh menjawab kepada permasalahan-permasalahan baru yang berlaku. Bagaimana Islam boleh masuk untuk memberi jawapan dan menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah ini.

Saya tak nak kata orang UMNO tak nak terima (orang agama). Cuma dalam politik ini pembawakan orang agama ini dia lain, mungkin dia terpaksa nak kena jadi sama macam orang yang bukan dari berlatarbelakangkan agama. Jadi dalam politik ini either to kill or to be killed dan ini kadang-kadang berdasarkan pengalaman agak berat bagi kita tapi kalau kita tidak ke depan kita dibunuh dan sebagainya, Jadi perkara-perkara sebegini kita bertarung dalam sistem politik itu sendiri untuk berada di dalamnya. Jadi tidak ramai yang nak memperjuangkan untuk itu jadi kita kena ikut kepada sistem itu sedikit sebanyak.

Agendadaily: Berdasarkan keadaan tersebut, adakah Datuk merasakan Datuk boleh menyesuaikan diri dengan politik UMNO?

Dr. Masitah: Saya melihat begini, bahawa saya masuk ini dengan nawaitu saya ialah perjuangan dalam bidang dakwah itu diteruskan dan saya lihat politik ini merupakan satu media dakwah yang baik di mana kita bercampur dengan rakyat, kita pergi ke akar umbi kita menjadi pelaksana kepada dasar. Berbeza dengan menjadi seorang penceramah. Dulu kita mungkin hanya boleh bercakap sahaja tetapi kita tak dapat berbuat sesuatu. Saya rasa InsyaAllah saya boleh pergi jauh dalam politik ini. Cuma tentulah ada perkara-perkara yang kita nak kena betulkan bersendirian tu rasanya tak mampulah untuk diperbetulkan perkara-perkara yang tidak betul ini.

Agendaily : Dalam usaha mencapai matlamat politik adakah terpaksa korbankan prinsip?

Dr. Masitah: Bertolak ansur itu ada. Saya lihat kadang-kadang mungkin prinsip ini tidak boleh dibuat sekarang kita terpaksa diamkan sekejap, kita kena tunggu masa yang sesuai untuk kita praktikkan. Tapi untuk korban langsung sampai hilang dan bercanggah dengan agama… saya rasa saya tak sanggup lagilah.

Agendadaily: Bagaimana Datuk rasakan penerimaan Wanita UMNO terhadap Datuk?

Dr. Masitah: Terus terang mungkin ada sedikit halangan lagi. Saya pada peringkat awal bila saya masuk saya lihat sebagai seorang pendakwah saya ambil sikap berikan laluan kepada pemegang jawatan yang dah ada ni biarlah dia teruskan satu penggal jadi mungkin selepas ini kita boleh ambil tapi rupanya bila saya nak ambil untuk penggal ini untuk Wanita Bahagian, saya ditikam saya dicincang selumat-lumatnya itu yang kita cakap tentang prinsip kita itu jadi tolak ansur kita itu tidak dihargai.

Jadi yang ada sekarang kita terpaksalah berjuang untuk naik ke situ kerana apabila ada jawatan itu ada banyak benda lagi yang kita boleh buat. Jadi penerimaan Wanita UMNO itu saya tak tahulah kena tanya kepada Wanita sendiri macam mana. Cuma saya rasa bagi pihak saya saya sentiasa bersedia untuk bersama-sama dan membantu dengan kebolehan dan kepakaran yang ada. Saya rasa banyak benda yang saya boleh buat.

Agendadaily: Boleh Datuk jelaskan Datuk nak bertanding Majlis Tertinggi atau Wanita UMNO?

Dr. Masitah: Berat nak jawab…biarlah Wanita dululah.

Agendadaily: Adakah Datuk melihat kehadiran Datuk ini sebagai satu cabaran atau lebih kepada penyumbang?

Dr. Masitah: Saya terpaksa terima hakikat bahawa dalam politik apabila kita masuk sahaja kita memang dah ada musuh dan orang sentiasa melihat kita ini sebagai saingan yang kalau ada dia ni maka orang lain tak dapat habuan di situ.

Jadi itu adalah satu perkara yang harus diterima dalam politik tak dapat tidak. Mungkin kita melihat bahawa saya masuk ini saya nak beri sumbangan. Orang tidak melihat begitu. Kalau dia masuk orang lain terpaksa keluar kerana tempat itu cuma terhad. Ada tiga jadi kalau satu dia dah masuk seorang terpaksa keluar. Kehadiran yang dilihat begitu menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan beberapa pihak. Itu pandangan masing-masing.

Saya mungkin melihat bahawa ini adalah sebagai sumbangan tetapi orang melihat ini sebagai satu cabaran bagi dia, saingan dia.

Agendadaily: Apakah jawatan dalam Wanita UMNO yang akan Datuk tandingi?

Dr. Masitah: Biarlah Wanita tentukan di mana dirasakan sesuai saya untuk berkhidmat. Biarlah Wanita melihat di mana kesesuaian di mana saya boleh menyumbang.

Agendadaily: Akhirnya Datuk sekali lagi adakah Datuk merasakan UMNO bukan tempat orang yang berlatarbelakangkan agama?

Dr. Masitah: Tidak, saya rasa perjuangan UMNO adalah perjuangan agama. UMNO ini unik kerana ia bergerak untuk bangsa beragama Islam. Kalau perjuangannya terkeluar dari Islam sudah tentu orang Melayu akan pertikai (peranan UMNO itu sendiri).

Air percuma…KDEB diarah bayar

Anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) telah diarahkan menanggung program air percuma untuk orang ramai yang dijanjikan kerajaan negeri.

Keputusan ini diumum oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini syarikat air Selangor, Syabas enggan beri air percuma sebanyak 20 meter padu pertama bernilai RM11.40 kecuali kerajaan negeri sanggup menanggung kos berkenaan.

Program ini akan mula dilaksanakan Ahad ini. Ia dijangka melibatkan kos hampir RM 11 juta sebulan

Lima negeri sedia potong elaun Exco

Keputusan Selaras Kerajaan Pusat Jimat Perbelanjaan

KUALA LUMPUR : Lima kerajaan negeri menyatakan kesediaan memotong 10 peratus elaun semua Ahli Exco Negeri sebagai tanda prihatin kepada bebanan rakyat, selaras langkah Kerajaan Pusat untuk menjimatkan perbelanjaan awam berikutan kenaikan harga minyak, baru-baru ini.

Kepemimpinan negeri berkenaan, masing-masing Terengganu, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak memaklumkan perkara itu sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan memotong elaun keraian beliau sendiri, timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta jemaah menteri, berkuat kuasa 1 Julai ini bagi meringankan beban rakyat.
.
Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mula memotong elaun Exco negeri itu bulan ini.

“Saya dengan ini mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memotong elaun Exco sebanyak 10 peratus," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Sukan Malaysia XII (Sukma) kelmarin.
.
Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, mengumumkan pemotongan elaun berkenaan juga berkuat kuasa 1 Julai ini. Beliau berkata, pemotongan elaun keraian 10 peratus itu membabitkan Ketua Menteri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, selaras langkah diambil Kerajaan Pusat.

“Elaun keraian Ketua Menteri sebanyak RM5,500 sebulan akan dikurangkan RM550, manakala Speaker DUN dan Exco Kerajaan Negeri sebanyak RM1,000 pula menjadi RM900, manakala RM250 bagi Adun akan kurang RM25 sebulan,” katanya.
.
Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan semua 10 Exco kerajaan negeri sedia memotong elaun keraian sehingga 30 peratus dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak. Beliau berkata, perkara itu akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat mingguan Exco hari ini.
.
Adnan berkata, kadar potongan 10 peratus elaun keraian pemimpin Pusat itu wajar kerana mereka tinggal di Kuala Lumpur, manakala potongan hingga 30 peratus pula sesuai untuk pemimpin di negeri.
.
Di JEMPOL, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan negeri itu sudah memulakan langkah berjimat cermat sejak Mac lalu dengan memberhentikan pembayaran elaun bulanan pentadbiran pejabat RM1,500 kepada setiap Adun negeri itu.
.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah Peneroka Felda Sungai Lui, dekat sini, Mohamad berkata, pemberhentian elaun itu membolehkan kerajaan negeri berjimat RM54,000 sebulan.
.
Di KUCHING, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata Sarawak bersetuju memotong gaji 10 peratus secara sukarela membabitkan beliau sendiri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri, dan Menteri Muda negeri.

6 setiausaha politik angkat sumpah

PUTRAJAYA: Enam orang setiausaha politik hari ini mengangkat sumpah menyimpan rahsia di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pejabatnya di sini, hari ini.
.
Mereka ialah;
  1. Datuk Suhaimi Ibrahim (Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri),
  2. Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar (Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri),
  3. Datuk Abdul Hamid Mohd Nazahar (Setiausaha Politik kepada Menteri Pelajaran),
  4. Jaujan Sambakong (Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan),
  5. Amran Mat Nor (Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan)
  6. Mohamed Hashim Hussin (Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan).
— Bernama

Elaun Ketua Menteri, Speaker, Exco dan Adun BN Melaka dikurangkan 10 peratus

Kerajaan Melaka turut mengikut langkah kerajaan pusat apabila membuat potongan 10 peratus elaun keraian bagi Ketua Menteri, Speaker, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pengurangan elaun yang berkuatkuasa 1 Julai ini, dibuat bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri dalam menangani kesan kenaikan harga minyak di samping dapat digunakan untuk kebajikan rakyat.

Ketika ini elaun keraian bulanan bagi Ketua Menteri ialah RM5,500 diikuti Speaker dan anggota Exco masingmasing RM1,000 dan ADUN sebanyak RM250, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan elaun keraian Perdana Menteri, timbalannya, menteri dan timbalan menteri dikurangkan sebanyak 10 peratus mulai 1 Julai.

Mohd Ali berkata kerajaan negeri juga akan mengurangkan lawatan ke luar negara dengan mengutamakan lawatan yang perlu sahaja.

"Pegawai yang mengikuti sesuatu lawatan kerja juga akan dikurangkan," katanya.

Sementara itu di Kuching, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, semua anggota kabinet Sarawak bersedia melakukan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus secara sukarela sebagai langkah untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Taib berkata setakat ini anggota kabinet negeri pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing dalam masa terdekat berikutan kenaikan harga minyak global.

"Sebaik saja rakan kabinet saya bersetuju dengan saya, di mesyuarat kabinet akan datang, kami akan laksana potongan gaji tersebut, pada bulan pertama berikutnya," kata Taib kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas menghantar pulang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengadakan lawatan sehari ke Sarawak hari ini.

BERNAMA

Sarawak: Pak Lah umum 'manisan' RM1 bilion, insentif helikopter

KUALA LUMPUR: Sebagaimana diharapkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan 'manisan' sempena lawatan kerja beliau hari ini - peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk Sarawak bagi melaksanakan projek-projek infrastruktur asas, dengan tumpuan khas kepada keperluan asas di luar bandar.

Selain itu semua Ahli Parlimen Sarawak bakal menerima RM15,000 elaun perjalanan helikopter bagi memudahkan mereka 'turun padang' mendekati rakyat.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Jemaah Menteri baru-baru ini telah meluluskan peruntukan tambahan itu, yang akan diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri.

"Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan keperluan pembangunan di Sarawak. Walau bagaimanapun, ini (pembangunan) tidak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh singkat memandangkan kawasan yang luas dan peruntukan kewangan yang terhad," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini selepas melakukan lawatan kerja sehari ke Sarawak.

Abdullah, yang telah mengarahkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi perhatian khusus kepada Sarawak dan Sabah kerana topografi dan kawasan kedua-dua yang luas, berkata, agenda pembangunan adalah fokus utama Kerajaan Persekutuan di negeri berkenaan.

Isu-isu kemudahan asas dan kekurangan bekalan air dan elektrik luar bandar akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Infrastruktur (JKPI), yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bermesyuarat pada 20 Jun ini, katanya.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran juga memberi tumpuan khas kepada sekolah-sekolah luar bandar dengan menyediakan bekalan air dan elektrik 24 jam menerusi peruntukan RM3.9 bilion.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju menanggung kos penyewaan helikopter sebanyak RM15,000 sebulan bagi setiap Anggota Parlimen Sarawak untuk melawat kawasan Parlimen terpencil.

Mengenai pembasmian kemiskinan di Sarawak, beliau berkata, tumpuan diberikan kepada pembangunan projek agropolitan, yang berasaskan pertanian dan industri asas tani, bagi membolehkan pesertapeserta menambah pendapatan dengan kadar antara RM300 dan RM1,500 sebulan.

"Kerajaan terus bertekad untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus menjelang 2010 dan telah menubuhkan kumpulan fokus kemiskinan untuk menyelaras pelaksanaan programprogram pembasmian kemiskinan," katanya.

Setakat ini 42,654 keluarga berpendapatan kurang RM1,500 sebulan di Sarawak dibanci bagi memberi input kepada Bank Data Kemiskinan Nasional (e-KASIH)

Mengenai penyertaan anak Sarawak dalam perkhidmatan awam persekutuan di negeri ini, Abdullah berkata, Jabatan perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan skim tukar lantik, sebagai langkah segera, untuk melantik Pegawai Perkhidmatan Negeri ke Perkhidmatan Awam Persekutuan di peringkat pertengahan dan tertinggi.

"Kerajaan telah menimbangkan pelbagai langkah untuk menambah penyertaan anakanak Sarawak di dalam Perkhidmatan Awam persekutuan dan pengisian ketuaketua jabatan memandangkan pada masa lalu tidak ramai anakanak Sarawak memilih untuk menyertainya," katanya.

Antara pelantikan yang dilakukan barubaru ini, katanya adalah pelantikan Mat Omar Johari, seorang anak Sarawak dan bekas pengarah Bahagian Penyelidikan (Ekonomi) di Jabatan Perdana Menteri, sebagai Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak yang baru.

Perdana Menteri berkata, peruntukan bagi Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) meningkat kepada RM12.365 bilion dan merupakan keempat terbesar berbanding negerinegeri lain.

Katanya Sarawak juga memperoleh peruntukan kedua tertinggi bagi pembangunan pendidikan iaitu RM3,015.1 juta bagi melaksanak 2,187 projek pendidikan.

Mengenai lawatannya ke Kompleks Kastam, Immigresen dan Kurantin (CIQ) Tebedu di Bandar Mutiara Tebedu kirakira 90 km dari sini, beliau berkata kerjasama dua hala dengan Indonesia perlu ditingkatkan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku di kawasan sempadan SarawakKalimantan Barat.

Kini terdapat hanya 12 pos kawalan sempadan di Sarawak berbanding dengan jumlah pos yang lebih banyak di sebelah Indonesia, katanya.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi mStar Online berkata, rakyat Sarawak sememangnya menanti sesuatu yang mengembirakan mereka pada kunjungan Abdullah ke negeri itu.

"Kami (Sarawak) juga berharap Perdana Menteri akan bawa bersama manisan (hari ini)."Demikian harapan rakyat Sarawak khususnya ahli-ahli politik negeri itu yang menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini - lawatan kerja kedua beliau selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.Mereka juga mengharapkan Abdullah akan mengumumkan sesuatu yang lebih baik ataupun sekurang-kurangnya sama dengan insentif yang diperoleh oleh rakyat Sabah awal bulan ini.
.
"Kami berharap beliau akan membawa buah tangan, manisan yang tidak kurang daripada yang telah diterima rakyat Sabah."Sarawak juga merupakan penyokong kuat kerajaan dan parti (Barisan Nasional). Kami harap ini akan dihargai (sempena lawatan Perdana Menteri hari ini)," kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi mStar Online semalam.

Abdullah tiba pagi tadi.Ketika lawatan kerja dua hari ke Sabah awal bulan ini, Abdullah mengumumkan 13 insentif yang disifatkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah sebagai boleh menarik nafas lega kerana ia dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
.
Antara insentif itu termasuklah memansuhkan serta-merta Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS), melantik anak Sabah menjawat jawatan penting di universiti dan dalam kerajaan. Ia sebahagian daripada insentif yang diputuskan kerajaan persekutuan ekoran desakan dan tuntutan yang dikemukakan pemimpin Sabah bagi menghargai prestasi mereka dalam pilihan raya umum lalu.
.
Dalam pilihan raya umum ke-12, Sarawak telah menyumbangkan 30 kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional (BN) manakala Sabah pula 24, daripada 140 kerusi dimiliki BN di Dewan Rakyat sekarang. Sarawak juga pernah menimbulkan rasa tidak puas hati yang serupa kerana tiada perwakilan yang cukup menarik dan 'lumayan' dalam barisan Jemaah Menteri yang dibentuk selepas pilihan raya umum lalu.
.
Ia turut disentuh Wan Junaidi, yang merupakan Ahli Parlimen Santubong.
.
"Memang ada rasa kekecewaan sedikit kerana tiada penghargaan cukup menarik dalam jawatan Kabinet Persekutuan (semasa)," kata Wan Junaidi lagi, yang bulan lalu pernah mendedahkan beliau juga ditawarkan untuk menyertai barisan pembangkang Pakatan Rakyat.
.
Kata Wan Junaidi selepas lawatan kerja pertama Abdullah dua bulan lalu tiada banyak perubahan ataupun insentif yang diumumkan bagi rakyat Sarawak. Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri akan mengubati kekurangan dan kekecewaan yang wujud di kalangan rakyat Sarawak dengan mengumumkan pendekatan yang menyeluruh untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial di Sarawak, khususnya dengan mengambil kira persekitaran semasa yang dihimpit kenaikan kos bahan api.
.
Ia juga merupakan lawatan kerja pertama ke Sarawak bagi Abdullah selepas beliau mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel berkuat kuasa Khamis lalu.
.
"Sarawak masih ketinggalan dalam banyak infrastruktur sosial dan infrastruktur ekonomi, ketinggalan jauh berbanding negeri-negeri yang masih di belakang di Semenanjung," katanya.

Jakim Minta Celcom Henti Sementara Peraduan Kereta

PUTRAJAYA: Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bermesyuarat hari ini meminta syarikat telekomunikasi, Celcom (Malaysia) Bhd (Celcom), menghentikan sementara peraduan `100 Hari 100 Kereta' sehingga keputusan muktamad dibuat pada 17 Jun ini.

Pengerusinya yang juga Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, berkata pemberhentian itu wajar sementara panel itu meneliti terma dan syarat peraduan yang dikemukakan Celcom sama ada ia menyalahi hukum syarak atau tidak.