SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

11 June 2008

Sudah Sampai Masanya Penggunaan NGV Diperluas

Genap seminggu sudah harga petrol di negara ini berada pada paras RM 2.70 seliter, paras harga yang tidak pernah kita terbayang sebelum ini. Tidak ada sesiapa pernah menduga yang kita akan berada dalam situasi seperti hari ini. Sejak sekian lama kita sentiasa merasa selesa dengan harga minyak yang rendah semata-mata kerana negara kita adalah pengeluar minyak.

Lantaran itu, kita tidak pernah 'berkira' untuk 'jalan-jalan' ke mana-mana sahaja kerana kita tahu berapalah sangat harga minyak yang perlu dituang ke dalam tangki kereta. Kerana harga yang rendah sejak sekian lama jugalah kita menjadi terlalu 'bermewah' dengan emas hitam ini sehingga tidak menyedari kadang kala banyak pembaziran berlaku akibat penggunaan tidak ekonomik.

Kita sentiasa melihat Petronas sebagai pelindung kepada bekalan minyak negara sedangkan pengeluaran Petronas hanya 20% kepada keperluan penggunaan minyak dalam negara jika hendak dibandingkan dengan pengeluar-pengeluar asing. Kita sentiasa beranggapan Petronas perlu terus menyumbang keuntungan perniagaannya kepada rakyat sedangkan sebahagian besar daripada kita tidak membeli petrol di stesen-stesen minyak Petronas. Ramai antara kita lebih berminat mengisi minyak di stesen-stesen minyak asing kerana kononnya petrolnya lebih berkualiti dan ada 'class'.
.
Kini, sama ada kita mahu terima atau tidak harga petrol di negara ini adalah RM2.70 seliter. Hakikatnya, zaman petrol murah sudah berakhir. Zaman subsidi minyak 60%-70% juga sudah berlalu. Sekarang pada tahun 2008 kita perlu bersyukur kerana bekalan minyak di perut bumi kita masih ada lagi.

Ia khabarnya akan habis menjelang 2014.. hanya 6 tahun dari sekarang. Mahu tak mahu jika benar pada masa itu simpanan minyak akan kering, kita akan menjadi pengimport bersih minyak seperti Singapura. Dan tentunya harganya pun macam Singapura jugalah. Adakah pada masa itu kita masih mahu Petronas bagi subsidi juga?

Seharusnya kita sudah ada perancangan tersendiri untuk menangani perkara ini. Dalam masa 6 tahun dari sekarang petrol tidak akan menjadi pilihan ekonomik kepada pengguna di negara ini, sedangkan kita tetap memerlukan kenderaan untuk bergerak ke mana-mana dan kenderaan memerlukan bahan bakar untuk ianya bergerak.

Antara pilihan yang kita ada ialah dengan menggunakan kuasa elektrik seperti kereta-kereta generasi ketiga sekarang yang dilengkapi dengan sistem hybrid. Tapi harganya masih terlalu tinggi di pasaran, hanya golongan tertentu mampu memilikinya.

Satu lagi pilihan yang ada adalah menggunakan Natural Gas Vehicle (NGV) yang mulanya hanya digunakan oleh Teksi di Lembah Klang tetapi kini ianya mendapat sambutan hangat pengguna kenderaan biasa.

Harga NGV di pasaran adalah RM8.50 setong yang mampu mencapai jarak sejauh 130km, iaitu kira-kira RM0.085 bagi 1 km. Ini bermakna jarak perjalanan dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur sejauh 470km hanya akan memakan kos RM39.95 berbanding dengan petrol kira-kira RM100 sekarang.

Lebih menarik adalah satu perkara yang kita tidak sedar selama ini iaitu Malaysia merupakan antara negara pengeluar gas asli terbesar di dunia dengan mempunyai simpanan gas yang mampu bertahan sehingga 35 tahun.

Jadi apa masalahnya untuk kereta-kereta di Malaysia menggunakan NGV?

Pertama : Untuk membolehkan kenderaan biasa menggunakan NGV, ia memerlukan sedikit pengubahsuaian dan melengkapkan kenderaan kita dengan tabung NGV. Pada masa ini kos pengubahsuaian ini menelan kos antara RM3000 hingga RM7000. Ia pastinya sedikit sebanyak akan membebankan pemilik kenderaan berkenaan terutama yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan yang ramai. Mungkin kerajaan boleh memikirkan mekanisma terbaik dalam membantu rakyat dalam hal ini.

Kedua : Pada masa ini stesen-stesen minyak yang membekalkan NGV hanya ada 41 buah di seluruh Malaysia. 32 daripadanya berada di Lembah Klang. Selebihnya ada 5 di Johor, 2 buah di Negeri Sembilan dan masing-masing sebuah di Pulau Pinang dan Melaka.

Sewajarnya kerajaan menetapkan semua stesen Petronas di seluruh negara membekalkan NGV bagi menjamin bekalan mencukupi kepada pengguna. Ia mungkin akan mengambil sedikit masa tetapi daya usaha ke arah itu perlu bermula sekarang.
.
Ini pastinya langkah yang terbaik yang boleh dilakukan bagi menjamin rakyat tidak terus terbeban dengan peningkatan harga minyak dunia. Dengan itu banyak masalah kenaikan harga barang akan dapat diselesaikan kerana kenaikan harga bahan bakar adalah ibu kepada segala kenaikan kos hidup.