SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

11 June 2008

Dr Mashitah Ibrahim Akan Bertanding Dalam Pemilihan UMNO

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Masitah Ibrahim secara rasminya mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan dalam Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Walaupun sejarah UMNO melihat ‘orang agama’ hayat politik mereka tidak panjang, tetapi bagi Dr. Masitah, perlu ada penyesuaian dalam pendekatan untuk memastikan golongan yang berlatarbelakangkan agama terus relevan dalam perjuangan politik.

“Saya tak nak kata orang UMNO tak nak terima (orang agama). Cuma dalam politik ini pembawakan orang agama ini dia lain, mungkin dia terpaksa nak kena jadi sama macam orang yang bukan dari berlatarbelakangkan agama. Jadi dalam politik ini either to kill or to be killed dan ini kadang-kadang berdasarkan pengalaman, agak berat bagi kita tapi kalau kita tidak ke depan kita dibunuh dan sebagainya.

“Jadi perkara-perkara sebegini kita bertarung dalam sistem politik itu sendiri untuk berada di dalamnya. Tidak ramai yang nak memperjuangkan untuk itu. Jadi kita kena ikut kepada sistem itu sedikit sebanyak,” katanya dalam satu temubual bersama Agendadaily hari Rabu. Dr. Masitah menyatakan demikian ketika ditanya pandangannya mengenai penglibatan orang berlatarbelakangkan bidang agama dalam politik dan apakah beliau sedia berhadapan dengan cabaran politik jika ingin aktif di dalam bidang tersebut.

Selain itu, temubual ini juga sebagai susulan laporan Agendadaily sebelum ini mengenai dakwaan pihak-pihak tertentu yang menuduh beliau terlibat dengan kempen pembangkang semasa pilihan raya umum yang lalu sehingga mencetuskan isu bagaimana beliau boleh dilantik kembali menjawat Timbalan Menteri di JPM.

Ditanya adakah beliau menjangkakan sebarang halangan baginya jika ingin bertanding sebarang jawatan dalam Wanita UMNO, Dr. Masitah mengakui halangan itu tetap ada kerana walaupun niat beliau aktif dalam politik untuk menyumbang, ia mungkin dilihat sebagai saingan atau cabaran oleh pihak lain.

“Saya terpaksa terima hakikat bahawa dalam politik apabila kita masuk sahaja kita memang dah ada musuh dan orang sentiasa melihat kita ini sebagai saingan yang kalau ada dia ni maka orang lain tak dapat habuan di situ.

“Jadi itu adalah satu perkara yang harus diterima dalam politik tak dapat tidak. Mungkin kita melihat bahawa saya masuk ini saya nak beri sumbangan. Orang tidak melihat begitu. Kalau dia masuk orang lain terpaksa keluar kerana tempat itu cuma terhad,” ujarnya.

Berikut adalah temubual penuh dengan Dr. Masitah:

Agendadaily: Apakah pandangan Datuk mengenai penglibatan orang-orang berlatarbelakang agama di dalam UMNO yang sebelum ini kebanyakannya tidak ke mana politik mereka?

Dr. Masitah: Bila kita bercakap tentang UMNO, perjuangan UMNO inilah perjuangan orang Melayu dan perjuangan orang Melayu ini tidak boleh lari daripada memperjuangkan agama Islam.

Kalau UMNO berjuang atas nama bangsa sahaja tidak ke mana perjuangan dia kerana bagaimana sekalipun kita kena bercakap tentang bangsa Melayu yang beragama Islam. Jadi langkah yang diambil Perdana Menteri untuk menarik masuk orang-orang berlatarbelakang agama untuk berada dalam arena politik ini saya kira satu langkah yang baik dan perlu melaksanakan banyak perkara yang berkaitan dengan Islam.

Cuma perjuangan dalam Islam ini ia tidak mudah untuk orang terima. Sebab itu dalam apa jua ia memerlukan masa yang panjang. Tetapi dalam masa kita perlu lihat kepada dua aspek. Pertamanya, mahu tidak mahu mereka mesti rujuk kepada orang agama dan keduanya orang agama harus mempunyai pendekatan yang terkini, yang hadhari yang terbaru bagaimana program-program harus dikembangkan dan tidak kekal dengan cara kita dahulu.

Bila cakap pasal Islam kita hanya tumpu kepada ceramah, forum perdana itu sahaja. Kalau ada lebih sedikit, kita anjur qiamullail. Ia tidak seperti apa yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri mahu bagaimana Islam boleh tangani isu-isu terkini, bagaimana Islam boleh menjawab kepada permasalahan-permasalahan baru yang berlaku. Bagaimana Islam boleh masuk untuk memberi jawapan dan menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah ini.

Saya tak nak kata orang UMNO tak nak terima (orang agama). Cuma dalam politik ini pembawakan orang agama ini dia lain, mungkin dia terpaksa nak kena jadi sama macam orang yang bukan dari berlatarbelakangkan agama. Jadi dalam politik ini either to kill or to be killed dan ini kadang-kadang berdasarkan pengalaman agak berat bagi kita tapi kalau kita tidak ke depan kita dibunuh dan sebagainya, Jadi perkara-perkara sebegini kita bertarung dalam sistem politik itu sendiri untuk berada di dalamnya. Jadi tidak ramai yang nak memperjuangkan untuk itu jadi kita kena ikut kepada sistem itu sedikit sebanyak.

Agendadaily: Berdasarkan keadaan tersebut, adakah Datuk merasakan Datuk boleh menyesuaikan diri dengan politik UMNO?

Dr. Masitah: Saya melihat begini, bahawa saya masuk ini dengan nawaitu saya ialah perjuangan dalam bidang dakwah itu diteruskan dan saya lihat politik ini merupakan satu media dakwah yang baik di mana kita bercampur dengan rakyat, kita pergi ke akar umbi kita menjadi pelaksana kepada dasar. Berbeza dengan menjadi seorang penceramah. Dulu kita mungkin hanya boleh bercakap sahaja tetapi kita tak dapat berbuat sesuatu. Saya rasa InsyaAllah saya boleh pergi jauh dalam politik ini. Cuma tentulah ada perkara-perkara yang kita nak kena betulkan bersendirian tu rasanya tak mampulah untuk diperbetulkan perkara-perkara yang tidak betul ini.

Agendaily : Dalam usaha mencapai matlamat politik adakah terpaksa korbankan prinsip?

Dr. Masitah: Bertolak ansur itu ada. Saya lihat kadang-kadang mungkin prinsip ini tidak boleh dibuat sekarang kita terpaksa diamkan sekejap, kita kena tunggu masa yang sesuai untuk kita praktikkan. Tapi untuk korban langsung sampai hilang dan bercanggah dengan agama… saya rasa saya tak sanggup lagilah.

Agendadaily: Bagaimana Datuk rasakan penerimaan Wanita UMNO terhadap Datuk?

Dr. Masitah: Terus terang mungkin ada sedikit halangan lagi. Saya pada peringkat awal bila saya masuk saya lihat sebagai seorang pendakwah saya ambil sikap berikan laluan kepada pemegang jawatan yang dah ada ni biarlah dia teruskan satu penggal jadi mungkin selepas ini kita boleh ambil tapi rupanya bila saya nak ambil untuk penggal ini untuk Wanita Bahagian, saya ditikam saya dicincang selumat-lumatnya itu yang kita cakap tentang prinsip kita itu jadi tolak ansur kita itu tidak dihargai.

Jadi yang ada sekarang kita terpaksalah berjuang untuk naik ke situ kerana apabila ada jawatan itu ada banyak benda lagi yang kita boleh buat. Jadi penerimaan Wanita UMNO itu saya tak tahulah kena tanya kepada Wanita sendiri macam mana. Cuma saya rasa bagi pihak saya saya sentiasa bersedia untuk bersama-sama dan membantu dengan kebolehan dan kepakaran yang ada. Saya rasa banyak benda yang saya boleh buat.

Agendadaily: Boleh Datuk jelaskan Datuk nak bertanding Majlis Tertinggi atau Wanita UMNO?

Dr. Masitah: Berat nak jawab…biarlah Wanita dululah.

Agendadaily: Adakah Datuk melihat kehadiran Datuk ini sebagai satu cabaran atau lebih kepada penyumbang?

Dr. Masitah: Saya terpaksa terima hakikat bahawa dalam politik apabila kita masuk sahaja kita memang dah ada musuh dan orang sentiasa melihat kita ini sebagai saingan yang kalau ada dia ni maka orang lain tak dapat habuan di situ.

Jadi itu adalah satu perkara yang harus diterima dalam politik tak dapat tidak. Mungkin kita melihat bahawa saya masuk ini saya nak beri sumbangan. Orang tidak melihat begitu. Kalau dia masuk orang lain terpaksa keluar kerana tempat itu cuma terhad. Ada tiga jadi kalau satu dia dah masuk seorang terpaksa keluar. Kehadiran yang dilihat begitu menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan beberapa pihak. Itu pandangan masing-masing.

Saya mungkin melihat bahawa ini adalah sebagai sumbangan tetapi orang melihat ini sebagai satu cabaran bagi dia, saingan dia.

Agendadaily: Apakah jawatan dalam Wanita UMNO yang akan Datuk tandingi?

Dr. Masitah: Biarlah Wanita tentukan di mana dirasakan sesuai saya untuk berkhidmat. Biarlah Wanita melihat di mana kesesuaian di mana saya boleh menyumbang.

Agendadaily: Akhirnya Datuk sekali lagi adakah Datuk merasakan UMNO bukan tempat orang yang berlatarbelakangkan agama?

Dr. Masitah: Tidak, saya rasa perjuangan UMNO adalah perjuangan agama. UMNO ini unik kerana ia bergerak untuk bangsa beragama Islam. Kalau perjuangannya terkeluar dari Islam sudah tentu orang Melayu akan pertikai (peranan UMNO itu sendiri).