SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

26 November 2008

Najib tekad rampas semula dua pertiga


dipetik dari agendadaily.com

Bakal Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bertekad untuk mengembalikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Serentak dengan itu katanya, UMNO akan berusaha untuk memperkukuhkan parti itu dengan menangani beberapa permasalahan dan kelemahan dalaman bagi mencapai maksud tersebut.

“Kami bertekad untuk membuat yang terbaik dan InsyaAllah akan merampas semula majoriti dua pertiga seperti mana yang dinikmati sebelum ini,” ujar beliau dalam temuramah dengan agensi berita AFP di sela-sela Sidang kemuncak APEC di Peru hari Isnin.

Selain tekad tersebut, Najib menjelaskan keutamaan yang perlu dilakukan bagi melonjakkan semula imej gabungan parti pemerintah.

“Parti perlu disegarkan semula terutama dalam soal imej dan bagaimana masyarakat melihat UMNO dan BN,” katanya Ini adalah kenyataan politik yang dibuat oleh Najib sejak mendapat pencalonan 185 UMNO Bahagian yang bermesyuarat antara Oktober dan November lalu, Berdasarkan pelan peralihan kuasa, Najib akan mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan Mac 2009 selepas tamatnya Perhimpunan Agung UMNO.

Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihaknya mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN yang akan lompat parti yang mencukupi untuk menumbangkan BN, ini jawapan Najib: “Kebarangkalian lompat parti secara beramai-ramai kini makin terpencil, kami akan terus memegang tampuk kuasa sehingga pilihan raya akan datang dan mendapatkan semula mandat daripada rakyat”.

Sementara itu Bernama melaporkan dari Peru, Najib sebagai berkata, UMNO akan mengambil beberapa langkah lagi untuk membanteras politik wang dan ia mesti diperjuangkan secara menyeluruh. Bagaimanapun, secara realistiknya gejala itu tidak boleh dibanteras dalam masa terdekat, dan perlu ditunjangi oleh kekuatan politik serta komitmen yang kuat, katanya apabila diminta mengulas kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan gejala politik wang masih menghantui UMNO walaupun apabila Najib mengambil alih kepimpinan parti. Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri hari terakhir Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di sini Ahad.

Najib, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha membanteras politik wang perlu “ditunjangi oleh kekuatan politik serta komitmen yang kuat dengan apa cara yang boleh kita dilakukan.”

Usaha untuk membanteras gejala itu adalah satu proses yang membabitkan satu tempoh masa yang tertentu, katanya.

“Sebab masa Tun Dr Mahathir pun, ia juga memperjuangkan usaha untuk menghapuskan politik wang dan bila ia tamat sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden Umno, beliau telah menyatakan kekecewaannya kerana gagal untuk membanteras gejala itu.”

Dr Shafie: Khalid digugur kerana rapat dengan PKR

dipetik daripada malaysiakini
.
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad digugurkan sebagai timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor kerana beliau dianggap rapat dengan PKR dan tidak mewakili kepentingan partinya sendiri apabila berdepan dengan rakan kongsinya itu, kata bekas timbalan pesuruhjaya I PAS Selangor.

Menurut Dr Shafie Abu Bakar, hubungan erat Khalid dengan PKR telah menyukarkan PAS menyalurkan rasa tidak puas hati mereka berhubung pengagihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

"Realitinya, (walaupun) sesama Pakatan Rakyat, PAS rasa terpinggir. Kita mahu diberikan kedudukan yang wajar dalam pemerintahan," katanya, yang juga wakil rakyat Bangi.

"Walaupun daripada segi bilangan kerusi kita berada di tempat ketiga, tetapi daripada aspek pengalaman dan akar umbi, (PAS) ada peranan yang sama besar (dengan PKR dan DAP)."

Beliau berkata, dua daripada tiga portfolio yang dipegang PAS termasuk pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali - agama dan pendidikan – juga masih "terbatas dan tidak stabil".

Dr Hasan dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan, sementara Dr Halimah Ali memegang Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Ruang kedua-dua mereka untuk bertindak dan menjalankan tugas juga dikatakan selalu "diambil alih dan disabotaj" dalam mesyuarat exco kerajaan negeri.

Dr Shafie bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pihak yang didakwa mensabotaj itu.

Seorang lagi exco PAS, Iskandar Abdul Samad yang memegang Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan bagaimanapun tidak menghadapi masalah dalam pentadbiran kerajaan Selangor. Beliau, wakil rakyat Chempaka, juga seorang timbalan pesuruhjaya PAS Selangor.

Dr Shafie menambah, Khalid bersama beberapa pemimpin muda PAS yang dekat dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengusahakan projek pembentukan kerajaan baru persekutuan pada 16 September lalu dilihat lebih terikat dan bersimpati dengan parti itu.

"Beliau (Khalid) dilihat terikat, lantang, simpati ke sana (PKR)," kata bekas ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Hubungan erat Khalid itu, tambahnya, menyebabkan rasa tidak puas hati PAS "sulit disuarakan" kepada PKR.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Dr Shafie menambah, keluhan PAS negeri itu perlu diketengahkan sebagai suatu "peringatan" kerana "mereka (PKR) mungkin tidak tahu".

Beliau, yang juga yang dipertua PAS Serdang berkata, Khalid (foto) seorang pemimpin yang bagus daripada aspek intelektual dan keberaniannya menyampaikan pandangan.

Bagaimanapun, tambahnya, kelantangannya itu dilihat oleh sesetengah pihak "melanggar batasan, kasar dan menyebabkan banyak (pihak) kecil hati".

Seorang lagi ahli jawatankuasa perhubungan negeri Selangor berkongsi pandangan yang hampir sama dengan Dr Shafie.

Setiausaha PAS Gombak, A Yazid Alias berkata, Dr Hasan dan Khalid malah berbeza pandangan berhubung ruang bergerak PAS yang terbatas di Selangor akibat peranan PKR. Wujud tanggapan dalam PAS, termasuk ditimbulkan sendiri oleh Dr Hasan, bahawa parti itu tidak diberi tempat untuk bergiat dan mengadakan program dalam kawasan yang dikuasai PKR.

Hasan didakwa menyuarakan perkara itu dalam satu mesyuarat, tetapi tanggapan itu dibantah oleh Khalid yang mendakwa ia tidak berasas. Khalid juga didakwa berkata, PAS juga bertindakan sedemikian terhadap PKR dalam kawasan yang mereka kuasai.

Menurut A Yazid lagi, oleh itu, Khalid berkata, tanggapan itu tidak perlu dibesar-besarkan kerana boleh merosakkan hubungan baik PAS-PKR dalam Pakatan Rakyat.

Setiausaha kawasan itu menambah, daripada 22 bahagian, tanggapan sedemikian hanya wujud di "dua, tiga tempat sahaja".

Perbezaan pandangan Dr Hasan dan Khalid itu, menurut A Yazid lagi, perkara kecil yang lebih bersifat peribadi dan melibatkan ego masing-masing.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Sallehen Mukhyi pula menafikan pengguguran Khalid daripada hirarki PAS disebabkan kelantangan ahli parlimen itu.

"Kalau kata beliau lantang, saya lagi lantang. Beliau ada juga bertahan-tahan," katanya.

Tambahnya, keputusan yang dibuat Dewan Harian dan badan perhubungan negeri Jumaat lalu itu bawah bidang kuasa pesuruhjaya dengan persetujuan ahli mesyuarat.

"Jika tidak setuju, tentu akan dibantah dan keputusannya hendaklah ditangguhkan."

Sebaliknya, kata beliau lagi, bantahan itu tidak berlaku.

Selain Khalid, wakil rakyat Hulu Kelang, Saari Sungib turut digugurkan daripada jawatan ketua penerangan PAS Selangor.


.

Khalid digugur sebab 'tikam belakang' Hassan Ali?


dipetik daripada agendadaily.com

PASTI ada sebab mengapa Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali mengugurkan timbalan II beliau, Khalid Abdul Samad daripada saf kepimpinan parti itu di Selangor. Memang benar, beliau mempunyai kuasa penuh melantik dan menggugur mana-mana pemimpin PAS negeri tetapi mengenepikan Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam perlu ada sebab lebih kuat.

Selain Khalid, turut digugurkan Ketua Penenrangan PAS Selangor, Shaari Sungib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang. Tempat Khalid digantikan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat manakala Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir mengambil alih jawatan Ketua Penerangan PAS negeri.

Seorang pemimpin parti yang rapat dengan Dr Hassan memberitahu Agendadaily, Dr Hassan yang juga Naib Presiden PAS Pusat itu mempunyai alasan munasabah membuat perubahan drastik itu demi survival PAS Selangor dalam kerajaan campuran PKR dan DAP di negeri itu.

Beliau mengakui Khalid adalah seorang yang vokal dan sering bersuara dalam isu-isu tertentu di Selangor seperti pelantikan Low Siew Moi sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan peruntukan RM10 juta untuk rumah ibadat bukan Islam di negeri itu. Katanya, Khalid boleh mempertahankan tindakannya itu dengan alasan tanggungjawab sebagai seorang ahli Parlimen untuk menjaga kepentingan semua rakyat walaupun kadangkala menyentuh isu agama serta kaum dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Namun disebalik itu, Khalid adalah pemimpin PAS negeri yang dilihat kerap mempertahankan tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta tidak bersetuju jika PAS Selangor mahu membantah tindak tanduk Menteri Besar itu.

“Beliau seolah-olah memandang sesuatu perkara itu tidak serius dan PAS negeri tak perlu berkeras terhadap Menteri Besar. Ini bertentangan dengan sikap Dr Hassan yang tidak bersetuju perkara berkaitan Islam dan Melayu di Selangor diperleceh,” ujarnya.

Sumber itu juga tidak menafikan tindakan terhadap Khalid ada kaitan dengan tindak tanduknya yang dilihat menyokong penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun Agendadaily difahamkan, ada peristiwa selepas retreat PAS di Langkawi baru-baru ini menyebabkan Dr Hassan mengambil tindakan tersebut.

Ketika retreat itu, Dr Hassan banyak bercakap mengenai layanan tidak sepatutnya yang diterima PAS dalam kerajaan campuran di Selangor. Khalid memang tidak menghadiri majlis itu tetapi seorang pemimpin muslimat PAS membocorkan apa yang berlaku dan menceritakan kepada beliau bagaimana Exco Agama, Adat Istiadat dan Infrastruktur Selangor itu mendedahkan layanan tidak patut PKR dan DAP kepada PAS Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam itu yang tidak berpuashati, kemudiannya seperti bertindak menikam Dr Hassan dari belakang dengan memanggil Adun serta ahli Parlimen PAS Selangor menghadiri perjumpaan PASCAD, yang dipengerusikannya.

Dalam perjumpaan itu, Khalid dilaporkan ‘menghentam’ Dr Hassan dan dikatakan mempertahankan bahawa PAS perlu menguatkan sokongan kepada usaha-usaha pakatan rakyat. Tindakan Khalid ini juga sampai ke telinga Dr Hassan dan pastinya mengundang rasa tidak senang hati dan ekoran itu juga rombakan dalam kepimpinan PAS Selangor dilakukan.

Bagaimanapun, menurut Dr Hassan dalam satu kenyataan, Isnin, berkata pengguguran itu dibuat bagi membolehkan Khalid memberi tumpuan sepenuh masa dalam menjalankan amanah di peringkat pusat sebagai Ahli Parlimen Shah Alam, Ahli Lujnah Politik Pas Pusat dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Negeri.

Kini hampir jelas PAS berdepan isu dalaman terutama di negeri yang ditadbir bersama oleh tiga parti pembangkang tersebut. Malah, ada pemimpin PAS tidak senang hati melihat pemimpin DAP berhujah sesuka hati perkara-perkara yang boleh menyinggung orang Melayu dan agama Islam. Sepatutnya sebagai parti yang sepakat mentadbir negeri dan bercita-cita mentadbir negara, DAP dan pemimpin bukan Melayu dalam PKR harus menjaga sensitiviti rakan-rakan mereka dalam pakatan tersebut

.

Nik Aziz 'tak sabar' nak lepas jawatan MB


Selama ini memang terdapat semacam satu kepercayaan bahawa kerajaan negeri PAS Kelantan akan terus kekal selagi Datuk Nik Aziz Nik Mat kekal menjadi Menteri Besar negeri berkenaan.

Namun pada masa yang sama, tidak kurang juga kalangan pemimpin PAS yang khuatir sekiranya Nik Aziz tidak lagi menjadi Menteri Besar apakah parti itu mampu mengekalkan kekuasan mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.

Maka dengan sebab itu, tidak hairanlah sudah ada suara-suara yang mahukan Nik Aziz berundur daripada jawatan Menteri Besar Kelantan bagi memberi laluan kepada muka baru menerajui negeri berkenaan sebagai persediaan untuk tokoh baru memastikan PAS terus berkuasa di Kelantan.

Berdasarkan laporan akhbar mingguan WATAN, ada suara-suara kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kelantan mahukan Nik Aziz berundur ‘pada masa gemilang’ beliau.

Mengulas laporan itu, Nik Aziz berkata “Kalau orang Pas suruh saya berhenti, saya berhenti petang ini”. Malah beliau juga menjelaskan ‘tidak sabar’ untuk melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya PAS mahu beliau berbuat demikian. Akan tetapi katanya, jika pihak yang membuat gesaan itu tidak berani berhadapan dengan beliau menyatakan perkara tersebut, adalah lebih baik bagi mereka berdiam diri sahaja.

Menurut Nik Aziz, beliau memegang jawatan Menteri Besar kerana itulah yang dikehendaki oleh ahli-ahli parti berkenaan. Namun beliau menyerahkan kepada parti berhubung dengan isu penggantinya.

.