dipetik dari agendadaily.com
Bakal Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bertekad untuk mengembalikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Serentak dengan itu katanya, UMNO akan berusaha untuk memperkukuhkan parti itu dengan menangani beberapa permasalahan dan kelemahan dalaman bagi mencapai maksud tersebut.
“Kami bertekad untuk membuat yang terbaik dan InsyaAllah akan merampas semula majoriti dua pertiga seperti mana yang dinikmati sebelum ini,” ujar beliau dalam temuramah dengan agensi berita AFP di sela-sela Sidang kemuncak APEC di Peru hari Isnin.
Selain tekad tersebut, Najib menjelaskan keutamaan yang perlu dilakukan bagi melonjakkan semula imej gabungan parti pemerintah.
“Parti perlu disegarkan semula terutama dalam soal imej dan bagaimana masyarakat melihat UMNO dan BN,” katanya Ini adalah kenyataan politik yang dibuat oleh Najib sejak mendapat pencalonan 185 UMNO Bahagian yang bermesyuarat antara Oktober dan November lalu, Berdasarkan pelan peralihan kuasa, Najib akan mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan Mac 2009 selepas tamatnya Perhimpunan Agung UMNO.
Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pihaknya mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN yang akan lompat parti yang mencukupi untuk menumbangkan BN, ini jawapan Najib: “Kebarangkalian lompat parti secara beramai-ramai kini makin terpencil, kami akan terus memegang tampuk kuasa sehingga pilihan raya akan datang dan mendapatkan semula mandat daripada rakyat”.
Sementara itu Bernama melaporkan dari Peru, Najib sebagai berkata, UMNO akan mengambil beberapa langkah lagi untuk membanteras politik wang dan ia mesti diperjuangkan secara menyeluruh. Bagaimanapun, secara realistiknya gejala itu tidak boleh dibanteras dalam masa terdekat, dan perlu ditunjangi oleh kekuatan politik serta komitmen yang kuat, katanya apabila diminta mengulas kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan gejala politik wang masih menghantui UMNO walaupun apabila Najib mengambil alih kepimpinan parti. Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri hari terakhir Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di sini Ahad.
Najib, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha membanteras politik wang perlu “ditunjangi oleh kekuatan politik serta komitmen yang kuat dengan apa cara yang boleh kita dilakukan.”
Usaha untuk membanteras gejala itu adalah satu proses yang membabitkan satu tempoh masa yang tertentu, katanya.
“Sebab masa Tun Dr Mahathir pun, ia juga memperjuangkan usaha untuk menghapuskan politik wang dan bila ia tamat sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden Umno, beliau telah menyatakan kekecewaannya kerana gagal untuk membanteras gejala itu.”