SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

18 June 2008

Anggota Parlimen BN Perlu Tolak Usul Tidak Percaya Terhadap PM

MELAKA, 18 Jun (Bernama) - Semua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu menolak usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Isnin ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata semua anggota parlimen BN perlu mempertahankan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN. "Tindakan untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri di parlimen (dijangka Isnin ini) adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak demokratik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul itu.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata "Yong Teck Lee dan SAPP perlu dipecat daripada menjadi anggota BN".Beliau berkata semua anggota parti komponen BN mesti ada disiplin dan mesti membincangkan hal-hal parti."

Dalam mesyuarat BN beliau (Yong) menyatakan sokongan kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri dan presiden BN bagaimana di luar beliau menyatakan hilang keyakinan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden BN," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad berkata beliau yakin tindakan yang diambil oleh SAPP itu tidak akan menyebabkan parti komponen lain dalam BN mengambil tindakan yang sama.

"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak fikir mereka dengan tiba-tiba satu keadaan di mana anggota BN lain akan meninggalkan parti ini."Saya tidak fikir mereka mempunyai kepimpinan atau pun mereka konsisten dalam isu mereka kerana anda dengar pelbagai komen yang dibuat oleh anggota Parlimen berlainan daripada parti itu.

"Ia agak tidak jelas apa mereka lakukan. Jadi, kita tidak pasti apa yang mereka buat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata beliau tidak nampak usul yang akan dibawa oleh dua anggota Parlimen Sabah pada sidang Parlimen minggu depan akan mendapat sambutan.

Beliau berkata ini kerana wakil kerajaan akan membentangkan usul mengenai kenaikan harga barang dan petrol, termasuklah isu subsidi dan inflasi untuk dibahaskan pada sidang tersebut. "Ia masih belum jelas apa sebenarnya yang akan berlaku. Mungkin akan ada perkara lain akan berlaku. Tentunya tidak wajar buat kenyataan masih kabur, saya sendiri tidak pasti apa pendirian SAPP.

"Tetapi pokoknya dalam sistem Parlimen, bagaimana nak menguruskan usul undi tak percaya itu? Kalau ia seperti usul atau perbahasan, kita lihatlah. Pokoknya memang ada usul kerajaan pada hari Isnin dan kita lihat bagaimana sambutan kepada usul ini," katanya.

Mengulas mengenai kepimpinan Abdullah, Shahrir berkata : "Beliau telah menemui pemimpin akar umbi dan dalam keadaan baik bagi seseorang yang dilihat dan nampaknya diserang dari setiap sudut.

"Beliau masih membuat keputusan yang agak jelas dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menetri," kata Shahrir.

- BERNAMA

Musa kesal SAPP sokong undi tidak percaya terhadap PM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman melahirkan rasa kesal dengan pengumuman Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee bahawa Anggota Parlimen parti itu akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tidak pasti apakah motif sebenar SAPP mengambil tindakan sedemkian," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Musa berkata sebagai presiden parti komponen Barisan Nasional (BN), tindakan seumpamanya adalah tidak wajar dan tidak pernah berlaku berasaskan kepada semangat keakraban yang diamalkan oleh BN selama ini.

Musa, yang juga Pengerusi BN negeri, mengulas pengumuman SAPP bahawa parti itu telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah.

Yong mendakwa dua anggota Parlimen parti itu (Sepanggar dan Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Yong, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata anggota Parlimen kawasan Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, yang kini berada di luar negara bagi tugasan rasmi, telah menyatakan pendiriannya dalam kenyataan media yang ditandatangani, manakala anggota Parlimen kawasan Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui juga membuat pendirian serupa dalam kenyataan yang ditandatangan.

- BERNAMA

SAPP keluar BN Jumaat ini?

Adakah Parti Maju Sabah (SAPP) akan meninggalkan Barisan Nasional (BN)?

SAPP dijadual akan mengadakan sidang akhbar Jumaat ini untuk mengumumkan keanggotaan mereka dalam BN selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP diadakan.

Dalam kenyataan dipaparkan di dalam laman web SAPP hari ini, parti itu mendakwa BN telah meninggalkan Sabah dan semangatnya telah lenyap.

"Bukan kami (Sabah) tidak mahu Barisan Nasional (BN), tetapi BN yang tidak mahu kami," kata SAPP.

Menurut SAPP, BN tidak mengaktifkan sumbangan Sabah dalam arus perdana negara.

Pakatan Rakyat Akan Sokong Usul Terhadap Abdullah

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) - Pakatan Rakyat akan menyokong usul bagi undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen Isnin ini, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Ya" kata beliau bila ditanya sama ada Pakatan Rakyat akan menyokong usul yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Isnin ini, selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini hari ini. Beliau berkata demikian bila diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul itu.Yong tidak menyebut tentang kemungkinan partinya keluar dari Barisan Nasional (BN) dan siapa yang akan mengemuka undi tidak percaya itu.

"Ini berita baik kepada saya tetapi kami dalam Pakatan Rakyat memang menyambut baik penyertaan oleh anggota-anggota baru dalam gabungan itu, tetapi kita perlu bekerja sama ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat," kata beliau.

Ditanya sama beliau akan mengosongkan kerusi parlimen Bandar Tun Razak untuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Khalid berkata:" Saya ingat spekulasi ada tapi saya telah beri kenyataan setiap Ahli parlimen dalam Keadilan akan memberikan kerusinya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk saya". Apapun, beliau berkata perkara ini perlu dibincang atau disuarakan oleh Anwar. Khalid berkata beliau percaya Anwar akan lebih memfokus kepada usaha menentukan Pakatan Rakyat menguasai parlimen dan kerajaan dalam masa terdekat daripada bertanding dalam pilihan raya kecil.

- BERNAMA

Nik Aziz sifatkan keputusan DUN Sanglang bukti mahkamah telus

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata keputusan Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dikosongkan bukti sistem pengadilan semakin telus. Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan itu pertama kali dilihat menyebelahi pembangkang sejak beliau menyertai politik pada 1967.

“Inilah kali pertama saya dengar keputusan mahkamah berpihak kepada pembangkang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra selepas tiba dari Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Kangar, Perlis hari ini mengisytiharkan kerusi itu yang dimenangi Abdullah Hassan dari Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, dikosongkan. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani selepas menolak petisyen calon Pas, Hashim Jasin yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis untuk mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang di kawasan DUN itu pada pilihan raya itu. Nik Aziz berkata keputusan itu akan menaikkan imej mahkamah di negara ini yang selama ini ramai berpendapat menyebelahi satu pihak saja.

“Ini akan membaiki imej mahkamah yang selama ini tercalit,” katanya. Beliau juga meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan proses pilihan raya kecil di DUN Sanglang itu bagi mengisi kekosongan kerusi kawasan berkenaan.

- Bernama

Presiden SAPP bayangkan wakil campuran bebas

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, yang mengisytiharkan bahawa parti itu hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, membayangkan kemungkinan beberapa wakil rakyat dari Sabah meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat sebagai “wakil rakyat” bebas.

Bekas Ketua Menteri itu juga membayangkan kemungkinan “wakil rakyat” bebas ini terdiri Ahli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Pakatan Rakyat, jika mereka memutuskan untuk meninggalkan parti campuran yang memerintah.

Yong, yang lantang dengan keputusan politik Abdullah mengenai Sabah dan yang beliau sifatkan sebagai langkah “tidak popular” berkaitan dengan kenaikan harga bahan api dan isu pendatang haram di negeri itu, berkata bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai parti pembangkang di Semenanjung.

“Kita tidak mahu itu. Apa yang kita mahu ialah jika ada mana-mana parti politik di negeri itu, ia hendaklah sebuah parti yang beribu pejabat di Sabah dan yang menjaga hal ehwal orangnya,” katanya dalam temubual dengan Bernama di Kota Kinabalu baru-baru ini.

“Kita tidak jangka diri kita menyertai sebarang parti pembangkang dari Semenanjung jika kita fikir untuk meninggalkan BN. Mungkin dalam aspek sebuah campuran yang kecil (dengan parti pembangkang dari semenanjung),” katanya. Yong, bagaimanapun, enggan mengatakan sama ada SAPP sendiri akan meninggalkan BN.

“Kita tunggu dan lihat,” kata Yong, yang mengisytiharkan di Kota Kinabalu hari ini bahawa dua anggota Parlimen parti itu (Sepanggar dan Tawau) akan menyokong satu usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada sidang Parlimen Isnin ini. Beberapa pemimpin SAPP, ketika ditemui, membayangkan bahawa beberapa ahli politik negeri daripada parti lain menunjukkan minat untuk menyertai “campuran wakil bebas”.

“Ia bukan hanya SAPP. Ia akan menjadi campuran bebas yang besar Ahli Parlimen dan Adun, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang,” kata seorang pemimpin yang enggan dinamakan. Difahamkan kira-kira 10 hingga 18 anggota Parlimen dan Adun Sabah akan mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan BN dan sebagai permulaan “sekumpulan wakil bebas” dalam masa beberapa hari saja.

“Tunggu Sabtu ini. Ia boleh menjadi satu lagi tsunami politik,” kata seorang pembantu kepada presiden SAPP itu kepada Bernama. Sementara itu, seorang pemerhati politik berkata beberapa anggota Parlimen dari Sabah akan mengumumkan pendirian mereka dalam BN selepas SAPP mengadakan mesyuarat tergempar majlis tertingginya Jumaat ini.

— Bernama

Umno Perlis siap sedia hadapi pilihan raya kecil DUN Sanglang

KANGAR: Umno Perlis bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang berikutan keputusan mahkamah pilihan raya hari ini mengosongkan kerusi yang disandang oleh Abdullah Hassan yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Berikutan keputusan mahkamah itu, mulai hari ini kerusi DUN Sanglang yang mempunyai 7,946 pemilih tidak lagi mempunyai wakil rakyat sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pilihan raya kecil diadakan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassin, berkata perbincangan mengenai kemungkinan pilihan raya kecil berlaku dalam tempoh terdekat akan dibincangkan malam ini.
.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Shahidan berkata: “Jangan anggap Sanglang terlalu mudah. Kita kena berusaha untuknya (memenangi pilihan raya).”
.
Shahidan, yang juga Pengerusi BN Perlis, yang akan mengetuai jentera pilihan raya itu berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan rakan parti dari negeri lain bagi membantu kempen pilihan raya itu.
- Bernama

SAPP isytihar hilang kepercayaan kepimpinan Abdullah

KOTA KINABALU 18 Jun - Komponen Barisan Nasional (BN), Parti Maju Sabah (SAPP) mengatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bersedia untuk menyokong sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Presidennya Datuk Yong Teck Lee berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) lewat menyelesaikan semua isu-isu membabitkan Sabah.

SAPP mempunyai dua ahli parlimen iaitu Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun yang menang atas tiket BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

- Utusan

Mahkamah putus kerusi DUN Sanglang dikosongkan

KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, dikosongkan selepas mahkamah menerima permohonan petisyen yang dikemukakan bekas calon pilihan raya Pas bagi kerusi berkenaan. Keputusan itu bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan untuk memilih wakil rakyat baru kawasan DUN berkenaan. Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membuat keputusan itu bagaimanapun menolak permohonan bekas calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin supaya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi kawasan berkenaan.
.
Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003. Mahkamah bagaimanapun meyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan bila pilihan raya kecil akan diadakan. Sebelum ini, ADUN Sanglang, Abdullah Hassan, dari BN memohon supaya mahkamah memerintahkan pilihan raya semula bagi menyelesaikan pertikaian itu manakala Hashim pula mahu beliau diisytiharkan menang.

Hashim diwakili peguam Mohamad Ariff Yusof mengemukakan petisyen pilihan raya mencabar keputusan pilihan raya DUN berkenaan yang diadakan pada 8 Mac lalu dengan asas berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi. Hashim tewas kepada Abdullah dengan perbezaan 149 undi. Abdullah diwakili peguam K Jegathesan.

Berita Terkini

PILIHANRAYA KECIL DUN SANGLANG PERLIS

Mahkamah Pilihanraya di Kangar pagi Rabu putuskan tiada calon yang menang dalam di kawasan itu masa pilihanraya umum 8 Mac. Ini berikutan petisyen calon PAS Hashim Jasin.

Calon BN ialah Abdullah Hassan. Beliau menewaskan Hashim dengan majoriti 149 undi. Hashim dapat 3,235 undi manakala Abdullah 3,384. Itulah maklumat awal yang Agendadaily pada jam 10.30 pagi.

Sementara itu Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim ketika dihubungi juga kata beliau pun baru dengar dan sedang berkejar balik ke Perlis dari Kuala Lumpur. Namun beliau yakin Barisan Nasional dapat kekalkan kerusi itu.

Ketua Wanita UMNO : Shahrizat tak ‘tutup pintu’ ?

Sidang media selepas mesyuarat Exco Wanita UMNO Malaysia tingkat 37 Menara Dato Onn, petang Isnin agak menarik bila isu pertandingan jawatan utama dalam pergerakan itu menjadi tumpuan.
.
Ini lebih-lebih lagi bila Naib Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Jalil membuat kenyataan beliau serah kepada kuasa ahli-ahli pergerakan itu bila ditanya mengenai desas desus mengatakan beliau berminat nak bertanding jawatan Ketua Wanita.

Mesyuarat kali ini berlangsung agak lama.Ia bermula pada jam 9 pagi telah berlarutan hingga 3 petang dan menyebabkan beberapa orang wartawan yang menunggu sidang media itu terpaksa pulang kerana tugas lain.

Seperti biasa semasa permulaan sidang akhbar Tan Sri Rafidah Aziz memberitahu beberapa keputusan mesyuarat tersebut sebelum menerima soalan wartawan.

Habis saja penerangan Rafidah tidak siapa yang ajukan soalan hingga wartawan Agendadaily bertanya tentang kemungkinan akan ada peralihan kuasa dalam jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang disandangnya sekarang.

Rafidah dengan tegas memberitahu bahawa perkara tersebut tidak dibincangkan tetapi soal dirinya, beliau menyerahkan pada perwakilan wanita untuk menentukannya.

Agendadaily terus meminta izin Rafidah untuk bertanya soalan Shahrizat yang berada disebelahnya tentang ada cakap-cakap beliau akan bertanding jawatan Ketua Wanita atau apakah beliau akan terus menyokong Tan Sri Rafidah.

Shahrizat mengucapkan terima kasih kerana buat pertama kali wartawan bertanya soalan seumpama itu padanya.

Beliau terus berkata,"dalam isu jawatan ini kita tidak boleh buat keputusan sendiri sebab kuasa itu berada diperingkat akar umbi, perwakilan cawangan dan di bahagian, kita boleh merancang di sini tapi yang menentukan di peringkat akar umbi" .

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa sebenarnya, saya dimaklumkan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO akan dipertandingkan, saya sekarang ini sedang menengok apa yang akan berlaku samada ianya benar atau tidak, tapi dari maklumat yang saya dapat angin bertiup bergoncang begitu kuat akan ada rebutan untuk jawatan Naib Ketua," jelasnya.

Pada soalan samada beliau akan tanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Shahrizat menjawab,"itu terpulang kepada peringkat akar umbi…"

Rafidah pula bila ditanya samaada beliau akan terus mempertahankan jawatan Ketua Wanita, berkata,"terpulang pada dia (Shahrizat), kalau Wanita calonkan, kita tandinglah, cukup kuota pencalonan...kita pertahanlah".

Rafidah menambah,"saya beralas katakan, terpulang pada Wanita, kalau nak saya sebagai ketua, kalau cukup kuota pencalonan maka kita tengoklah, kalau tidak ada orang lain yang bertanding maka menang tanpa tandinglah..."

Shahrizat pula, bila ditanya samada beliau sedia untuk tanding jawatan lebih tinggi sekiranya ada pertandingan peringkat Naib Ketua, berkata,"sebenarnya saya sedang mengawasi situasi diperingkat akar umbi…kerana saya difahamkan jawatan Naib Ketua akan dipertandingkan, sebelum apa keputusan yang saya buat, saya akan bincang dengan Tan Sri dulu kerana kami berdua baik".

Setelah ditekan sekali lagi soal rebut jawatan Ketua Wanita Shahrizat berkata,"saya dah jawab dah…seperti Tan Sri Rafidah dah kata, kuasa itu tidak ada ditangan saya atau mana-mana pihak, itu terpulang pada peringkat akar umbi'.

Mengenai hasratnya sendiri, Shahrizat berkata,"hasrat saya ingin melihat jawatan yang saya pegang hari ini pun mungkin tergugat..."

Ditanya kenapa tergugat, Shahrizat kata,"...may be next time bolehlah saya jawab..."

Apakah Rafidah bersedia untuk berdepan dengan Shahrizat sekiranya ada pencalonan bagi membolehkan beliau tanding jawatan Ketua Wanita? Menjawab soalan ini, Rafidah berkata,"...tak tahulah..." sambil menoleh kearah Shahrizat dan bertanya,"...tak tahulah Jat.." sambil disambut dengan ketawa para Exco Wanita lain.

Pada ketika itu Rafidah minta ahli Exco lain menjawab soalan itu. Datuk Maznah Mazlan yang menjawabnya berkata,"kita bincang panjang lebar tentang kedudukan pucuk pimpinan (Ketua) dan Naib Ketua, pada keseluruhan kita bersetuju bahawa dalam keadaan UMNO sekarang, kita rasa ini tidak sesuai untuk ada pertandingan. “Bahkan kita nak mempertahankan Tan Sri Rafidah sebagai Ketua dan Datuk Seri Shahrizat sebagai Naib Ketua dan kalau ada ura-ura orang nak lawan Shahrizat sebagai Naib Ketua, kita akan pertahankannya".

"Ianya telah diputuskan secara consesnsus ..." tambah Maznah.

Mengenai tanggapan Rafidah sudah terlalu lama di jawatan Ketua Wanita, Rafidah jawab,"tak ada, saya tak rasa kerana selagi ada tugas yang wajar dibuat dan mandat diberi pada saya menjalankan tugas, Insyaallah, saya akan jalankan tugaslah, belum lagi rasa fed-up ...masih seronok, bahkan dalam masa sekarang yang berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Saya seronok bekerja, tapi malangnya terdapat banyak sangat desas-desus yang tidak ada kena mengena dengan kita..." katanya.

Ditanya samada beliau dan Shahrizat bersedia ditentang oleh pihak lain yang mungkin dapat pencalonan, Rafidah berkata,"saya pernah kalah jawatan Ketua Wanita…jangan lupa soal sedia atau tak sedia…nak buat macamana kalau orang bertanding."

Rafidah juga mengingatkan Wanita yang terlibat dalam pertandingan peringkat bahagian agar ianya berlaku dalam suasana yang baik.

"Seelok-eloknya biarlah tiada pertandingan tetapi demokrasi membenarkan, saya khuatir kalau berlaku pertandingan tiga empat penjuru, ianya akan menyukarkan proses pemulihan. Bagaimanapun tahun ini adalah pemilihan namun jangan jadikan ianya satu keadaan yang boleh melemahkan parti," katanya.

Mengenai kemunculan bekas-bekas anggota Puteri UMNO yang sudah habis umur dan menawarkan diri untuk tanding jawatan dalam Wanita UMNO, Rafidah berkata,"tak apa bertanding, saya harap yang muda-muda sikit ni, usahlah tergesa-gesa tanding ketua, kita belajar dulu, kalau tanding ajk tak apalah..kena pertimbangkan kepuasan hati atau kekuatan parti."

Wanita UMNO juga mengulangi pendiriannya agar peralihan kuasa pucuk pimpinan biarlah berlaku atas muafakat antara Presiden dan Timbalan Presiden mengikut masa yang ditentukan oleh mereka berdua.
.

SAPP adakan sidang akhbar khas Rabu

KOTA KINABALU 17 Jun – Parti Maju Sabah (SAPP) yang dikaitkan dengan pelbagai khabar angin tentang tindakan keluar daripada Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan satu `kejutan' esok.

Utusan Malaysia difahamkan kejutan itu akan diumumkan pada sidang akhbar khas parti tersebut di Ibu Pejabat SAPP di Luyang dekat sini.

"Tunggu dan lihat sahaja esok, ia satu pengumuman yang mengejutkan senario politik di Malaysia dan dijangka satu keputusan akan diambil SAPP,'' kata seorang pemimpin kanan parti itu yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya khabar angin bahawa ada pemimpin politik atau Ahli Parlimen dari Sabah akan keluar BN memberitahu, beliau tidak mengetahui mengenainya.

"Saya tidak diberitahu apa-apa,'' kata Abdullah ringkas kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Pegawai Eksekutif di sini hari ini.
.

Pengguna meter pukal juga patut diberi air percuma

Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor digesa supaya turut melaksanakan pemberian air percuma terhadap rakyat Selangor yang menggunakan meter secara pukal.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pemberian air percuma untuk 20 meter padu pertama ketika ini hanya melibatkan pengguna meter individu dan tidak menyeluruh untuk semua rakyat negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan campuran mencari formula terbaik untuk membolehkan semua rakyat Selangor menikmati kemudahan tersebut.

"Sebagai contoh, jika satu kawasan rumah pangsa yang menggunakan meter pukal mempunyai 400 unit kediaman dan bacaan meter untuk sebulan adalah 40,000 meter padu, maka, kerajaan negeri perlu menolak sebanyak 8,000 meter padu sebagai air percuma.

"Perkara inilah yang perlu diambil kira oleh kerajaan negeri sebelum melaksanakan program air percuma ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan negeri melaksanakan program pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada pengguna di negeri ini yang menggunakan meter individu.

Persetujuan pemberian air percuma itu dicapai setelah kerajaan negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) semalam menerima terma yang dikemukakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berhubung pembayaran pampasan sebanyak RM11 juta sebulan.

Mohamad Khir yang juga Ketua Pembangkang Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang turut berkata, KDEB dijangka mengalami masalah kewangan termasuk kejatuhan harga saham pada masa depan sekiranya terus-menerus menanggung kos pemberian air percuma sebanyak RM132 juta setahun.

Katanya, anak syarikat kerajaan negeri itu tidak layak untuk menampung kos berkenaan kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang besar bagi tujuan tersebut.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan negeri perlu menggunakan anak syarikat lain seperti Kumpulan Perangsang Selangor atau Kumpulan Hartanah Selangor kerana syarikat itu mempunyai sumber kewangan yang besar.

Malah katanya, syarikat-syarikat berkenaan terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk dalam industri bekalan air itu sendiri.

Dalam pada itu, Mohamad Khir turut meminta supaya kerajaan negeri melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan negeri itu seperti yang dijanjikan kepada rakyat Selangor sebelum ini.

"Jika pakatan pembangkang mahu melaksanakan gaji minimum, mereka boleh melaksanakannya termasuk di peringkat kerajaan negeri, anak-anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sememangnya berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri," ujarnya.
.