SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

18 June 2008

Ketua Wanita UMNO : Shahrizat tak ‘tutup pintu’ ?

Sidang media selepas mesyuarat Exco Wanita UMNO Malaysia tingkat 37 Menara Dato Onn, petang Isnin agak menarik bila isu pertandingan jawatan utama dalam pergerakan itu menjadi tumpuan.
.
Ini lebih-lebih lagi bila Naib Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Jalil membuat kenyataan beliau serah kepada kuasa ahli-ahli pergerakan itu bila ditanya mengenai desas desus mengatakan beliau berminat nak bertanding jawatan Ketua Wanita.

Mesyuarat kali ini berlangsung agak lama.Ia bermula pada jam 9 pagi telah berlarutan hingga 3 petang dan menyebabkan beberapa orang wartawan yang menunggu sidang media itu terpaksa pulang kerana tugas lain.

Seperti biasa semasa permulaan sidang akhbar Tan Sri Rafidah Aziz memberitahu beberapa keputusan mesyuarat tersebut sebelum menerima soalan wartawan.

Habis saja penerangan Rafidah tidak siapa yang ajukan soalan hingga wartawan Agendadaily bertanya tentang kemungkinan akan ada peralihan kuasa dalam jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang disandangnya sekarang.

Rafidah dengan tegas memberitahu bahawa perkara tersebut tidak dibincangkan tetapi soal dirinya, beliau menyerahkan pada perwakilan wanita untuk menentukannya.

Agendadaily terus meminta izin Rafidah untuk bertanya soalan Shahrizat yang berada disebelahnya tentang ada cakap-cakap beliau akan bertanding jawatan Ketua Wanita atau apakah beliau akan terus menyokong Tan Sri Rafidah.

Shahrizat mengucapkan terima kasih kerana buat pertama kali wartawan bertanya soalan seumpama itu padanya.

Beliau terus berkata,"dalam isu jawatan ini kita tidak boleh buat keputusan sendiri sebab kuasa itu berada diperingkat akar umbi, perwakilan cawangan dan di bahagian, kita boleh merancang di sini tapi yang menentukan di peringkat akar umbi" .

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa sebenarnya, saya dimaklumkan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO akan dipertandingkan, saya sekarang ini sedang menengok apa yang akan berlaku samada ianya benar atau tidak, tapi dari maklumat yang saya dapat angin bertiup bergoncang begitu kuat akan ada rebutan untuk jawatan Naib Ketua," jelasnya.

Pada soalan samada beliau akan tanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Shahrizat menjawab,"itu terpulang kepada peringkat akar umbi…"

Rafidah pula bila ditanya samaada beliau akan terus mempertahankan jawatan Ketua Wanita, berkata,"terpulang pada dia (Shahrizat), kalau Wanita calonkan, kita tandinglah, cukup kuota pencalonan...kita pertahanlah".

Rafidah menambah,"saya beralas katakan, terpulang pada Wanita, kalau nak saya sebagai ketua, kalau cukup kuota pencalonan maka kita tengoklah, kalau tidak ada orang lain yang bertanding maka menang tanpa tandinglah..."

Shahrizat pula, bila ditanya samada beliau sedia untuk tanding jawatan lebih tinggi sekiranya ada pertandingan peringkat Naib Ketua, berkata,"sebenarnya saya sedang mengawasi situasi diperingkat akar umbi…kerana saya difahamkan jawatan Naib Ketua akan dipertandingkan, sebelum apa keputusan yang saya buat, saya akan bincang dengan Tan Sri dulu kerana kami berdua baik".

Setelah ditekan sekali lagi soal rebut jawatan Ketua Wanita Shahrizat berkata,"saya dah jawab dah…seperti Tan Sri Rafidah dah kata, kuasa itu tidak ada ditangan saya atau mana-mana pihak, itu terpulang pada peringkat akar umbi'.

Mengenai hasratnya sendiri, Shahrizat berkata,"hasrat saya ingin melihat jawatan yang saya pegang hari ini pun mungkin tergugat..."

Ditanya kenapa tergugat, Shahrizat kata,"...may be next time bolehlah saya jawab..."

Apakah Rafidah bersedia untuk berdepan dengan Shahrizat sekiranya ada pencalonan bagi membolehkan beliau tanding jawatan Ketua Wanita? Menjawab soalan ini, Rafidah berkata,"...tak tahulah..." sambil menoleh kearah Shahrizat dan bertanya,"...tak tahulah Jat.." sambil disambut dengan ketawa para Exco Wanita lain.

Pada ketika itu Rafidah minta ahli Exco lain menjawab soalan itu. Datuk Maznah Mazlan yang menjawabnya berkata,"kita bincang panjang lebar tentang kedudukan pucuk pimpinan (Ketua) dan Naib Ketua, pada keseluruhan kita bersetuju bahawa dalam keadaan UMNO sekarang, kita rasa ini tidak sesuai untuk ada pertandingan. “Bahkan kita nak mempertahankan Tan Sri Rafidah sebagai Ketua dan Datuk Seri Shahrizat sebagai Naib Ketua dan kalau ada ura-ura orang nak lawan Shahrizat sebagai Naib Ketua, kita akan pertahankannya".

"Ianya telah diputuskan secara consesnsus ..." tambah Maznah.

Mengenai tanggapan Rafidah sudah terlalu lama di jawatan Ketua Wanita, Rafidah jawab,"tak ada, saya tak rasa kerana selagi ada tugas yang wajar dibuat dan mandat diberi pada saya menjalankan tugas, Insyaallah, saya akan jalankan tugaslah, belum lagi rasa fed-up ...masih seronok, bahkan dalam masa sekarang yang berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Saya seronok bekerja, tapi malangnya terdapat banyak sangat desas-desus yang tidak ada kena mengena dengan kita..." katanya.

Ditanya samada beliau dan Shahrizat bersedia ditentang oleh pihak lain yang mungkin dapat pencalonan, Rafidah berkata,"saya pernah kalah jawatan Ketua Wanita…jangan lupa soal sedia atau tak sedia…nak buat macamana kalau orang bertanding."

Rafidah juga mengingatkan Wanita yang terlibat dalam pertandingan peringkat bahagian agar ianya berlaku dalam suasana yang baik.

"Seelok-eloknya biarlah tiada pertandingan tetapi demokrasi membenarkan, saya khuatir kalau berlaku pertandingan tiga empat penjuru, ianya akan menyukarkan proses pemulihan. Bagaimanapun tahun ini adalah pemilihan namun jangan jadikan ianya satu keadaan yang boleh melemahkan parti," katanya.

Mengenai kemunculan bekas-bekas anggota Puteri UMNO yang sudah habis umur dan menawarkan diri untuk tanding jawatan dalam Wanita UMNO, Rafidah berkata,"tak apa bertanding, saya harap yang muda-muda sikit ni, usahlah tergesa-gesa tanding ketua, kita belajar dulu, kalau tanding ajk tak apalah..kena pertimbangkan kepuasan hati atau kekuatan parti."

Wanita UMNO juga mengulangi pendiriannya agar peralihan kuasa pucuk pimpinan biarlah berlaku atas muafakat antara Presiden dan Timbalan Presiden mengikut masa yang ditentukan oleh mereka berdua.
.