SOKONGAN ONLINE PRU13:
"Setujukah anda BN Menang Besar PRU-13?" Jika setuju sila klik vote "Like" di bawah.

COUNTDOWN KEMENANGAN BESAR BN

Created by DAPATKAN DI SINI

12 June 2008

Bukan pengecut tapi berprinsip

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri tegaskan beliau bukan pengecut apabila tidak mengambil alih kepimpinan UMNO daripada YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ekoran prestasi buruk Barisan Naisonal (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
.
Sebaliknya beliau berkata : "Saya datang daripada keluarga di mana ayahanda (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein) saya membantu menubuhkan parti dan saya bukannya anak lelaki yang memusnahkan parti. Saya mahu terus menyambung membangunkan parti ini”.

Dengan itu beliau percaya peralihan kuasa mestilah berlaku secara tradisi kovensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak. Najib berkata demikian semasa menjawab soalan seorang peserta pada syarahan mengenai "Malaysia dalam menghadapi cabaran baru global" di Royal Institute of International Affairs, London hari Rabu. Peserta berkenaan bertanya mengapa beliau tidak mengambilalih tampuk pemerintahan ekoran prestasi buruk Barisan Nasional dan UMNO pada pilihan raya umum Mac lepas.

Pada pilihan raya umum lalu, BN bukan sahaja kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat tetapi turut kehilangan empat negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah di samping Kelantan terus kekal di tangan PAS.

Menurut Najib, orang ramai boleh memberikan pandangan mereka mengenai pendiriannya tetapi itu tidak bermakna beliau tidak berani mengambil tindakan kerana tegasnya, beliau adalah individu yang mempunyai prinsip nilai teras.

"Dan saya percaya apa yang penting, apa jua langkah yang anda ambil, ia mestilah mempunyai prinsip nilai teras peribadi kepada anda,” tambahnya. Jelas Najib lagi, UMNO kini berada pada tahap tidak begitu baik dan sekirrnya ahli-ahli terus bergaduh untuk merebut kepimpinan, UMNO akan terus lemah dan tidak akan berupaya menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Apakah yang ada dengan mewarisi kedudukan apabila anda kalah dalam pilihan raya. Saya tidak mahu memimpin parti untuk kalah,” tanya beliau.

Kelantan ikut kerajaan pusat bayar gaji dua kali sebulan

KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan mengikuti langkah kerajaan pusat membayar gaji dua kali sebulan kepada kakitangan awam kerana Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata ia sesuatu yang akan banyak membantu rakyat.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perkara itu semalam, Nik Aziz memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa pendekatan itu akan memudahkan kakitangan awam mengurus dengan lebih baik perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga bahan api.

Beliau tidak menyatakan sama ada pembayaran gaji dua kali sebulan itu akan bermula Ogos ini seperti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

Bagaimanapun Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, menyifatkan kerajaan pusat sebagai tidak bijak dalam menangani isu kenaikan harga minyak kerana, sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia masih mempunyai cara lain untuk mengelak daripada turut merasai kesan kenaikan harga minyak global tanpa perlu menaikkan harga petrol dan diesel.

“Saya difahamkan kita ada rizab bekalan minyak untuk 20 tahun dan rizab gas asli untuk 35 tahun. Jadi kenapa tidak guna bahan lebih murah seperti gas asli kenderaan (NGV). Selain murah, gas ini juga boleh kurangkan pencemaran udara. Kenapa buat tidak peduli dengan perkara ini dan (sebaliknya) ambil jalan mudah naikkan harga minyak dan biarkan rakyat menderita,” katanya.
.
Nik Aziz mencadangkan agar kerajaan pusat memperbanyakkan stesen minyak yang menjual NGV di seluruh negara. “Setahu saya tak banyak kos yang perlu untuk kenderaan bertukar kepada NGV, cuma perlu tambah balang (tangki) untuk isi gas,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak dalam jumlah yang banyak sekaligus amat membebankan rakyat terutama yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Tak kena gaya, makin banyak kes rompak, curi dan peminta sedekah di Malaysia nanti,” katanya.

Pada 7 Jun lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter, dan harga diesel pula dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58.

Mengenai ura-ura kononnya beliau akan meletak jawatan sekembalinya daripada mengerjakan umrah pada 9 Jun lalu, Nik Aziz sekali lagi menafikannya dengan berkata bahawa isu itu tidak timbul kerana beliau masih melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk negeri dan juga parti.

- Bernama

Gaji kakitangan awam dibayar dua kali sebulan mulai Ogos

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan gaji pegawai dan kakitangan kerajaan akan dibayar dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api.

‘‘Separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan setiap bulan manakala separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

‘‘Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurut Perdana Menteri, langkah pembayaran gaji kakitangan awam dua kali sebulan itu diputuskan pada mesyuarat pasca Kabinet bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

‘‘Ia tidak dibincang dalam Kabinet tetapi dibincang dalam mesyuarat pasca Kabinet bersama pegawai tinggi kerajaan,’’ jelasnya.

Ditanya sama ada beliau menyarankan agar pihak swasta turut mencontohi tindakan tersebut, Abdullah berkata, langkah yang diambil itu adalah satu pendekatan yang positif.

Menurutnya, pembayaran gaji dua kali sebulan itu boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan para pekerja.

‘‘Saya anggap ini satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerja kita untuk uruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting,’’ jelasnya.